Showing posts with label Aqidah & Tauhid. Show all posts
Showing posts with label Aqidah & Tauhid. Show all posts

Wednesday, October 15, 2025

BAHAYA WAHABI

Oleh Roslan Ibrahim dan Mohd Fadly Samsudin


GERAKAN Wahabi diasaskan Imam Muhamad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703-1791). Beliau muncul ketika pengaruh mazhab Hambali sedang merosot dan umat Islam ketika itu melakukan pencemaran akidah seperti khurafat dan bidaah.

Perkembangan fahaman berkenaan di Malaysia kebanyakan dibawa pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di negara Arab yang terpengaruh dengan ajaran itu.

Kehadiran golongan itu di sini dapat dirasakan berikutan ada pengikutnya berani mencerca ulama ahlu Sunnah Wal-Jamaah termasuk amalan sunat yang terdapat dalam ajaran Islam seperti doa qunut dan berzikir selepas solat.

Aliran Wahabi ibarat api dalam sekam dan boleh mengancam negara dan menyebabkan umat Islam bergaduh sesama sendiri jika tidak dibendung pihak berkuasa agama di Malaysia.

Mereka juga seperti musuh dalam selimut kerana sukar untuk mengenal pasti golongan ini apatah lagi mereka turut hadir dalam majlis agama, bersolat di masjid atau surau dan tidak mengaku diri mereka pengikut ajaran Wahabi.

Bagaimanapun, secara halus mereka menyusup dalam kelompok masyarakat Islam di negara ini dengan menghina mazhab Ahlu Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi rujukan umat Islam dengan membawa Islam mudah sehingga masyarakat keliru.

Mazhab Ahlu-Sunnah dalam syariat beragama sangat penting bukan saja kepada umat Islam sendiri, malah seluruh masyarakat.

Fahaman Wahabi turut menolak ijmak dan qias. Ijmak ialah persepakatan dalam hukum syarak di kalangan umat Islam dari satu zaman ke satu zaman selepas Nabi Muhamad s.a.w wafat.

Ini jelas dibuktikan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman. Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa', ayat 115).

Jadi, wajib kita mengikut apa yang diputuskan ijmak kerana ia senarai yang ketiga terpenting daripada sumber perundangan Islam.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemantauan Akidah dan Pentauliahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Mahfuz Mohamad, fahaman Wahabi bertapak di negara ini sejak awal tahun 1900 apabila Sheikh Abdul Hadi membuka sekolah agama di Melaka.

"Bagaimanapun, sekolah itu tidak mendapat sambutan dan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Melalui sekolah itu lahir tokoh fahaman Wahabi iaitu Sheikh Abu Bakar al-Ashaari.

"Selepas menamatkan pengajian di sekolah terbabit pada tahun 1925 beliau menyambung pengajiannya di Mesir dan pulang ke negara ini pada tahun 1932.

"Beliau menyebar fahaman Wahabi di Pulau Pinang, tetapi mendapat tentangan hebat ramai tokoh ulama ahlu Sunnah, antaranya Sheikh Abdullah Fahim.

"Beliau lari ke Kedah dan kemudian menetap di Perlis bagi menyebarkan fahaman Wahabi," katanya.

Mahfuz berkata, ketika itu ia dinamakan fahaman muda atau mudah kerana mereka selalu bermudah-mudahan.

Ini dicatatkan di dalam Kitab Senjata Syariat yang diterbitkan pada tahun 1953 khas bagi menjawab gerakan Wahabi oleh tiga tokoh ulama besar ketika itu: Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Tun Hussein Pokok Sena dan Sheikh Abdul Rahman Abdullah Merbok.

Abu Bakar as-Ashaari pernah menerbitkan buku bertajuk Ibadah Rasulullah s.a.w yang menimbulkan keraguan kerana 'menjelmakan' petua menghalalkan memakan biawak, ular, labi-labi dan penyu.

"Di dalam buku itu, Abu Bakar as-Ashaari mencaci amalan bermazhab yang dikatakan haram dan bidaah dalal.

"Ulama ketika itu sudah memberi amaran bahawa gerakan Wahabi sudah menyusup dalam masyarakat dan perlu membendung segera," katanya.

Hasil ketegasan ulama sebelum ini, fahaman Wahabi kian menyepi, tetapi kini muncul kembali berikutan banyak kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja atas 'tiket' menyebarkan Islam.

"Golongan Wahabi tidak berpegang kepada mana-mana mazhab kononnya hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis.

"Tetapi, sejarah membuktikan ramai tokoh tersohor Islam seperti Imam Nawawi, Imam al-Ghazali, Termidzi, Bukhari dan Muslim berpegang kepada mazhab yang empat itu," katanya.

Katanya, tuduhan Wahabi terhadap beberapa amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia seperti doa qunut, membaca al-Quran di atas kubur dan wirid selepas solat membuatkan umat keliru.

Merujuk kepada buku Makna Sebenar Bid'ah : Satu Penjelasan Rapi yang dikarang oleh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari yang turut disemak oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya serta Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad menyebutkan ulama bersepakat mengenai pembahagian bid'ah antara yang terpuji dan tercela. Orang pertama yang mengatakan demikian ialah Umar r.a.

Ulama juga bersepakat bahawa sabda Rasulullah s.a.w yang menyebutkan: "Setiap yang bid'ah itu sesat" adalah hadis umum yang perlu dikhususkan.

Imam al-Syafie berkata: "Setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak, bukannya bid'ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Mereka meninggalkan perkara itu mungkin kerana keuzuran."

Al-Imam Ibn Lub dalam menyangkal pendapat golongan yang tidak menyenangi amalan berdoa selepas sembahyang mengatakan perkara berkenaan tidak diamalkan generasi salaf.

Namun, tidak mungkin mengatakan hukumnya haram atau makruh kerana perkara yang dilakukan itu mempunyai asas dalam syarak.

Mengenai amalan membaca wirid beramai-ramai selepas sembahyang. Memang ia tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, tetapi tidak haram. Sesiapa yang mendakwa amalan ini diharamkan bererti dia melakukan pembohongan atas nama Allah s.w.t.

Pengharaman amalan itu tidak disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Hadis Muslim yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mengulangkaji antara sesama mereka melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dan mereka diliputi oleh rahmat dan dinaungi oleh malaikat, dan Allah menyebut perihal mereka kepada makhluk yang di sisiNya."

Hadis ini memberikan kefahaman bahawa membaca al-Quran secara beramai-ramai di dalam masjid adalah disyariatkan.

Dalam Sahih Muslim terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari daripada nabi s.a.w yang bersabda yang maksudnya: "Selalulah membaca al-Quran, demi Dia Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, al-Quran itu lebih mudah terlepas (hilang) daripada unta yang diikat." (Muslim. Kitab Salah al-Musafirin (231/791).

Kesimpulannya, dari segi tauhid, fahaman Wahabi bukan ajaran baru atau termasuk antara 73 cabang ajaran sesat, cuma ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat Islam kerana pendekatan yang diambil terlalu mudah tetapi bahaya.


INFO

Amalan dalam fahaman Wahabi antaranya:

# Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah

# Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)

# Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias

# Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)

# Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w

# Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya

# Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain

# Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya

# Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh

# Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah

# Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w

# Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja

# Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang

# Amalan tariqah dilarang sama sekali

# Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

Monday, January 27, 2025

KRITIK KERAS SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS TERHADAP GERAKAN SALAFIYYAH MODERN

Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan salah seorang ilmuwan Muslim yang telah diakui keilmuan-nya tidak hanya di dunia Islam namun juga di negara² Barat. Beliau menjadi tokoh sentral bagi berbagai ilmuwan Muslim di dunia khususnya di Asia Tenggara kerana sikap-nya yang gigih dan sangat kritik terhadap pemikiran sekular-liberal Barat.

Ilmuwan besar dari keluarga habaib ini memandang worldview peradaban Barat yang sekarang diusahakan menjadi ideologi global menjadi sebab eksternal utama kemunduran Islam.

Selain itu, menurut Al-Attas, faktor dalaman yang menjadi penyebab serius kemunduran Islam di dunia adalah penyakit hilangnya adab (loss of adab). “Mengenai sebab dalaman dilemma yang kita hadapi sekarang bagi saya, masalah dasar dapat disimpulkan pada suatu krisis yang jelas saya sebut sebagai kehilangan ADAB (the loss of adab).” (Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dan Sekularisme, 2011, hal.129)

Ramai kalangan yang menggunakan dasar pemikiran Syed Naquib al-Attas ini sebagai perspektif untuk mengkritik cendekiawan Muslim yang membiuskan pemikiran sekular-liberal Barat di tengah² ummat. Al-Attas mengkritik mereka telah kehilangan adab kerana miskin pemahaman Islam dari sumber² Islam terpercaya sendiri dan malah menggunakan faham² Barat sebagai pisau analisis memahami Islam. Dalam buku-nya berjudul "Risalah untuk Kaum Muslimin", Syed Muhammad Naquib al-Attas menulis:

“Golongan sarjana sekular serta cerdik pandai di kalangan kaum Muslimin memperoleh ilham tentang cara-gaya dan pemikirannya hampir pada keseluruhannya dari Barat… yang kebanyakan dari golongan sarjana sekular dan cerdik-pandai ini tiada memiliki kebakatan akali dan ruhani dan kebolehan bahasa yang mensyaratkan penguasaan ilmu² Islamiah, mahupun kebolehan cara-gaya pendekatan serta faham ilmu yang Islam… Di kalangan mereka yang menghidapi penyakit keruntuhan adab, golongan sarjana sekular dan cerdik-pandai inilah yang paling gegabah kurang-ajar.” (Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Risalah untuk Kaum Muslimin", hlm. 178)

Akan tetapi, di dalam buku yang sama, Syed Muhammad Naquib al-Attas juga melancarkan kritik keras terhadap tokoh dan kelompok yang mengaku sebagai pembaharu Islam seperti Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, dan para pengikut-nya yang seringkali lebih ekstrim dari guru-nya. Beliau mengemukakan kritik-nya yang tajam sekaligus memberikan pandangan yang tepat sesuai tingkat keruntuhan adab yang dilakukan masing².

Kaum Salafi TIDAK SAH Menolak al-Madzahib’l-Arba’ah

Al-Attas menetapkan bahawa gerakan pembaharuan salafi-modern di atas telah kemasukan faham² Barat yang telah dipupuk ke dalam pemikiran-nya dan semakin menjadi-jadi pada pemikiran para pengikut-nya. Diantara yang beliau sebutkan adalah:

(1) faham keutamaman akal hayawani (ratio) yang menimbulkan:

(2) faham kebebasan untuk menentukan nasib-nya sendiri (freedom) yang erat dengan:

(3) hak² asasi manusia (human rights) yang semakin mengukuh-nya (1) dan (2). Kemudian:

(4) kesamaan taraf manusia (equality) dalam undang² buatan manusia. Faham² ini menimbulkan penerimaan:

(5) faham evolusi manusia, sejarah, dan dunia-nya (evolution) yakni perubahan tanpa batas, ditambah:

(6) faham sosialisme dan demokrasi yang disalahartikan sama dengan faham kemasyarakatan dan politik Islam. (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 158-159)

Syed Naquib al-Attas menyebutkan tentang bagaimana para pengikut Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab (Wahabi) telah menyimpang jauh dari dua kiblat ajaran-nya tersebut kerana melarang faham bermazhab yang menjadi kebiasaan majoriti ummat Islam Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Beliau menulis:

“Meskipun dapat diakui benar bahawa ulama² penggugat seperti ibn Taimiyyah dan beberapa ratus kemudiannya, ibn ‘Abd al-Wahhab, yang bawaan-nya gemar mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan darjat yang cukup sempurna ke taraf yang kurang sempurna, dalam ajaran-nya masing² tiada menganjurkan perpisahan dari faham bermazhab. Bahkan mereka tetap mengisbatkan ajaran para Imam dalam gelanggang Ahlu’l-Sunnah wa’l-Jama’ah, yang berpegang kepada ajaran Sunnah dan para Sahabat dan Tabi'īn dan para pengikut Tabi'īn. Akan tetapi kita lihat bagaimana perkembangan pengaruhnya di negeri Arab lebih kurang dua ratus tahun ini, dan dengan timbulnya aliran baru di Mesir akibat ajaran al-Afghani dan Muhammad Abduh, maka semakin terjadi deras aliran yang menganjurkan perpisahan dari ajaran² ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana ummat Islam berabad². Dengan ajaran al-Afghani dan Abduh mulai menyeludup masuk pengaruh² dari jurusan luar yang merupakan sebab² tambahan yang membawa akibat keruntuhan adab di kalangan kita.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 158)

Lanjutnya, “Tanpa berpandukan ajaran ulama lama dan para Imam mujtahidin, tanpa merujuk kepada hasil pemikiran-nya dan mengamalkan tafsiran agungnya -yang semuanya berdasarkan penerokan akali dan naqali terhadap Al-Qur'an dan Sunnah- maka golongan yang beraliran dari Ibn Taimiyyah, yang terbahagi ke dalam golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaannya, dan golongan pembaharu yang dipelopori oleh yang menyeludupkan faham² asing ke dalam Islam, sesungguhnya tiada berkemampuan untuk menafikan sah-nya pelbagai mazhab yang sah, dan mendirikan mazhab baru yang berdasarkan faham sendiri merujuk terus kepada kedua Sumber Agung Islam itu… Mereka asyik dalam mempersoalkan perkara² remeh, yang menganggapnya seolah² para Imam mujtahidin itulah yang mempersoalkan keremehan -padahal kekecilan pandangan dan tanggapan mereka sendirilah yang memperlihatkan pada fahaman-nya bahawa yang kecil itu besar sehingga yang benar besar itu tiada terlihat langsung. Mereka telah melakukan jauh lebih banyak kesilapan² yang besar pula- dari kesilapan² yang terdapat pada yang lama.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 160-161)

Rasulullah  Hanyalah Manusia Biasa?

Selanjutnya, Al-Attas mengkritik pemikiran kaum Salafi-Wahabi-Modernis yang mendakwahkan pemikiran bahawa Nabi Muhammad ﷺ hanya seorang manusia biasa sama seperti lainnya, sehingga mereka mengharamkan dan membid’ahkan acara penghormatan dan perenungan kemuliaan dan keagungan Baginda ﷺ di atas seluruh makhluk.

“Mereka dan pengikut-nya yang sudah menjadi tebal-muka serta lebih takbur daripada guru²-nya, telah melakukan suatu perbuatan janggal yang tiada pernah dilakukan oleh sebarang golongan atau mazhab, dan yang tiada terlintas pun pada renungan Muslimin dahulu. Perbuatan janggal yang dimaksudkan itu iaitu penyebaran faham kepada pengertian awam bahawa Rasulullah ﷺ tiadalah lebih dari manusia biasa seperti tiap orang lain… Sayugia golongan pembaharu aliran naqali diingatkan bahawa bagi para Mu’minin dan Muslimin Allah, ﷻ, memberitahukan bahawa Rasulullah ﷺ itu Mohor Para Anbiya; Pesuruh Allah yang Terakhir bagi Alam Semesta dan bagi Bangsa Insani; Pelita Agung yang menyebarkan Cahaya Murni; Rahmat Ilahi bagi Makhluk Jelata; Teragung Murni sifat khuluqiahnya sebagai Ukuran bagi menilai Insan; Tauladan serta Contoh terbaik bagi Anak Adam-dan banyak lagi sepertinya… Maka sifat² kelebihan yang terjelma pada diri Rasulullah ﷺ, inilah semua yang seharusnya dititik-berat serta diingat²-kan kepada Kaum Muslimin lelaki dan perempuan, tua dan muda.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 164)

Al-Attas melihat bahawa kaum Salafi telah salah mendiagnosa kekeliruan dan penyimpangan yang terjadi di tengah² ummat Islam dalam masalah ini. “Kekeliruan iman yang berlaku di kalangan sebahagian besar kaum Muslimin tiada kena-mengena dengan kefahaman serta tanggapan hati-nya, atau berkisar di sekitar kepercayaan-nya, terhadap sifat makhluk serta kemanusiaan Baginda Rasulullah ﷺ. Sebab kekeliruan itu bukannya terletak pada kesilapan mengenai perkara seperti itu, akan tetapi berpunca pada kejahilan mengenai tawhid, dan mengenai rukun² iman dan Islam, dan lain² dasar kepercayaan, yang semuanya telah dijelaskan di sini sebagai terumus dalam bahagian ilmu berjenis fardhu ain.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 165)

Kesenangan Salafi Merendahkan Ulama Pendahulunya

Al-Attas juga mengkritik sikap kaum Salafi (baik Wahabi ataupun Modernis-Mesir) yang menonjolkan sikap angkuh dan merendahkan martabat para ulama pendahulu yang sejatinya melebihi mereka.

“Adab ini pengenalan serta pengakuan adanya cahaya² seperti itu di kalangan bangsa insani: dan pengakuan adanya yang demikian itu mensyaratkan adanya suatu sikap pada diri yang mengakuinya, yakni sikap hormat tawaduk, kasih-patuh, rendah-diri yang ikhlas-sejati; bagi diri itu mengenali makam yang wajar bagi-nya bernisbah kepada yang menyorotkan cahaya seperti itu. Akan tetapi ulama golongan pembaharu aliran naqali zaman kita, walaupun merupakan hanya pelbagai kandil kecil sahaja, jauh mengurangi pelita² agung zaman lampau; walaupun cahayanya justeru hilang langsung apabila dilawankan dengan kilauan cahaya lama, beria-ia sangat memainkan lakonan ‘pembaharuan’ kepada penonton yang keliru, yang tiada berdaya menilai dengan sempurna kemurnian mutu ‘pembaharuan’ yang ditanggapkan kepada-nya, melainkan dengan ukuran nilaian yang suntuk seperti yang lazim berlaku dalam suasana kekeliruan.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 162-163)

Lanjut Al-Attas: “Maka keadaan demikian menggalakkan golongan pembaharu, yang modernis dan yang beraliran naqali, dan yang mengekorinya, untuk melabrak para mujtahidin yang dihasut-nya dengan tuduhan palsu sebagai yang salah. Dengan ini mereka telah menggasir merosakkan dasar kewibawaan yang sah, dan memburukkan faham serta pengesahan hidup bermazhab dalam Islam… Kesibukannya senantiasa melanjutkan penekanan masalah² palsu dan yang remeh telah membawa kepada pengabaian masalah pokok yang sebenarnya, iaitu masalah pendidikan dan penyusunan sistemnya yang sempurna. Mereka berpuas-hati sahaja membiarkan pendidikan asasi Muslim dalam ilmu fardhu ain itu mandek pada peringkat kanak², sedangkan sepanjang hayatnya si-Muslim itu dibiarkan pula memperkembangkan menambah pencapaian ilmu fardhu kifayah dengan berkali-kali ganda lebihnya dari yang fardhu ain.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 167)

Ambisi Negara Islam, Lupa Ilmu Fardhu 'Ain

Syed Muhammad Naquib al-Attas juga mengkritik beberapa tokoh dan golongan yang sangat menggebu² dalam usaha-nya mendirikan negara Islam akan tetapi lupa dengan masalah pendidikan ilmu² fardhu ain. Menurut beliau, hal tersebut tidak akan mencerabut akar permasalahan utama ummat Islam yang semakin jauh dari ajaran Islam yang benar kerana pendidikan tidak dikelola dengan baik. Semua hanya ingin masuk dalam ranah politik yang masuk wilayah ilmu fardhu kifayah.

“Kesibukan di zaman kita perihal hasrat terhadap mendirikan negara Islam dan menjelmakan ummat Islam-seperti juga yang terbayang di zaman lampau pada golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaan-nya dan pada pengikut-nya yang berlebih kurang kesempurnaan itu -memang merupakan suatu ciri yang jelas tentang keutamaan melampau yang diberikan kepada pencapaian ilmu fardhu kifayah, yang memang lazim berlaku pada masa kekeliruan serta kehidupan yang tegang mendesak Kaum Muslimin dari semua jurusan.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 167)

Al-Attas menambahkan, kecenderungan ummat Islam yang tidak berimbang dalam mendudukkan ilmu fardhu kifayah di atas ilmu fardhu ain tersebut menjadikan mereka mudah terbawa arus penyamarataan manusia sebagai manusia (sosialisme) dan masyarakat awam sebagai penentu hukum bukan ulama (demokrasi).

“Merujuk kepada kedudukan istimewa yang diberikan kepada ilmu fardhu kifayah itu juga, maka yang menagih perhatian penuh melampaui hak tuntutan ilmu fardhu ain dan secara yang tiada berpatutan sehingga menawan nilaian hidup serta kesedaran kita adalah ilmu² kemasyarakatan, politik, dan hukum dan undang². Dalam suasana demikian maka mudah sekali pelbagai peristiwa kehidupan serta pandangan hidup Muslim terbawa ke arah ‘pensosialisasian’ Islam-yakni pemahaman serta pengalaman Islam sebagai suatu falsafah dan rencana-bentuk politik yang mengutamakan masyarakat dan golongan awam; dan penyamarataan RasuluLlah ﷺ, ke taraf yang sama serupa dengan orang awam hanyalah merupakan akibat nisbi pensosialisasian itu jua. Berturut serta dengan peristiwa pensosialisasian maka cara-gaya ‘rasionalisme’ -yakni dengan maksud pengertian yang difahamkan oleh pemikiran Barat…- berkuat-kuasa menepis nilaian hidup dan kesedaran-mu.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 168)

Akibat terbius secara tidak sadar oleh sosialisme, demokrasi, dan rasionalisme di atas, menjadikan sebahagian golongan berani membuat penafsiran baru terhadap Al-Qur'an yang sejalan dengan tiga faham di atas. Tentu saja, selain sebagai kritik pedas terhadap penafsiran kaum sekular-liberal, Al-Attas ingin menunjukkan bahawa kasus ini terjadi pada beberapa tokoh pembesar yang berfahaman salafiyah modern abad ini seperti teori ‘cacar’ yang menimpa pasukan Abrahah oleh Muhammad Abduh, penafsiran jin sebagai mikroba dan Malaikat sebagai daya spiritual manusia oleh Rasyid Ridha, dan teori ‘teriakan demokrasi Malaikat’ oleh Jamaluddin al-Afghani. (lihat lebih detail: Syaikh Muhammad Najih, al-Tahdzir al-Mubin, hlm. 182-202)

“Tetapi golongan modernis, yang menuturi tauladan guru²-nya pada penghujung abad yang kesembilan-belas, dengan tiada memahami benar faham² Islam dan Barat yang diperolehkan-nya, dan dengan tiada firasat akan timbulnya kekeliruan besar di masa hadapannya akibat penyebaran serta penerapan faham perolahan mereka itu pada pemikiran Muslim kini, dengan giat sekali menyadurkan faham ratio serta cara ‘rasionalisme’ itu-tanpa disesuaikan dengan faham akal dan pemikiran Islam. Dan lebih mengagumkan lagi mereka terus mengenakan cara rasionalisme itu pada ‘mentafsirkan’ Al-Qur’an’l-Karim…. Dan anehnya orang² inilah yang rebut menuntut ijitihad sedangkan sebenarnya tiada menunaikan syarat² bagi seorang mujtahid!” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 169)

Tasawuf Biang Keladi Kemunduran Ummat?

Penolakan kaum Salafiyah baik Wahabi dan Modernis terhadap tasawuf juga menjadi perhatian Al-Attas. Beliau mengkritik mereka kerana tidak memiliki pemahaman yang memadai tentang tasawuf, dengan mengatakan bahawa tasawuf itu bukan istilah Islam dan asing bagi Islam.

“Meskipun golongan pembaharu aliran naqali tiada semestinya bersetuju dengan golongan modenis dalam segala hal mengenai perkara² yang difikirkan dan dikatakan dan dianjurkan-nya, namun demikian mereka juga terpengaruh olehnya dan sama terjangkit menghidap penyakit memperdewakan masyarakat dan awam, menghilangkan unsur² ruhaniah dalam Islam dan menyamaratakan semua Muslim. Dengan itu maka mereka secara yang mungkin tiada disedarinya membantu gerak-daya mensekularkan Islam dengan daya usaha-nya menindas unsur² akali dan ruhani dalam Islam itu. Mereka bersama dengan golongan modernis menyalah-tuduhkan tasawuf khususnya sebagai sebab tunggal yang mengakibatkan kemerosotan kaum Muslimin. Sebenarnya mereka tiada memiliki daya akli mahupun pandangan ruhani untuk memahami tasawuf; dan apa yang tiada difahami-nya dituduh-nya… Mereka buta terhadap hakikat bahawa tasawuf itu suatu bahagian penting Islam yang tiada dapat diasingkan dari-nya; bahawa sebagaimana hakikat semesta dan kebenaran itu mempunyai kenyataan zahir-batinnya, begitulah tasawuf merupakan luasan kenyataan batin Islam.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm.171)

Beliau menjelaskan bahawa yang salah bukan tasawuf-nya, akan tetapi perilaku sebahagian orang yang tidak memahami dan mengamalkan tasawuf dengan benar sehingga menimbulkan kekeliruan dan penyimpangan dalam Islam. Kerana itu, kaum Salafi salah diagnosa kerana memukul rata seluruh tasawuf keliru dan menolaknya secara keseluruhan.

“Sanya sesungguhnya kuman² kemunduran dan kemerosotan bukannya terkandung dalam tasawuf, dan jauh lagi dalam sumber² agungnya, akan tetapi kuman² kemunduran dan kemerosotan itu terkandung dalam akal-pengertian yang jahil, yang menyalah-fahami dan menyalah-kena dan menyalah-amalkannya sehingga membawa kepada pelbagai macam kekeliruan dan kerosakan dan keterlaluan dan penyelewengan dari ajaran sebenarnya dan dari Islam… Serangan yang telah mereka lontarkan terhadap tasawuf itu sesungguhnya difahamkan sebagai akibat-balas dari pengaruh buruk ajaran² keterlaluan setengah golongan tariqat yang membawa faham² yang menyeleweng dari ajaran Islam. Akan tetapi bagaimanapun, serangan-balas golongan ulama yang ku maksudkan di atas itu juga bersifat keterlaluan jua, sebab mereka tiada memandangkan benar-palsunya dengan teliti ajaran² yang menjadi asa faham yang menimbulkan serta mengembangkan tariqat itu di dalam Islam.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 172-173)

Lanjut Al-Attas: “Sebaliknya pula serangan mereka terhadap ilmu tasawuf dan para awliya telah membawa akibat kemerosotan dalam amalan Islam yang mengisbatkan unsur² ruhaniah seperti zikir dan muraqabah dan musyahadah dan solat sunnah dan nawafil dan sebagainya, yang semuanya memimpin seorang Muslim sejati ke arah pencapaian peringkat budipekerti ruhani yang merupakan makam ihsan. Sebagaimana yang telah disentuh tadi, gugatan serta kecaman terhadap para pemimpin agung ulama lama kita itu kebanyakannya berlandaskan pemencilan penilikan terhadap kesilapan² kecil yang dibesar²-kan justeru kerana kekecilan pandangan yang menggugat dan mengecam, yang melihat yang kecil itu besar dan yang besar itu tiada terlihat langsung oleh-nya!” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 174)

Kaum Salafi Gemar Takfir dan Permusuhan

Syed Muhammad Naquib al-Attas mengkritik keras golongan Salafi-Wahabi-Modernis yang gemar menyematkan tuduhan bid’ah dan kafir serta menebar permusuhan di antara kaum Muslimin. Setelah mereka merosak ajaran Islam dengan mengabaikan ilmu² ulama pendahulu, tindakan takfir yang membabi-buta dan serampang semakin menjerumuskan ummat Islam dalam kemerosotan. Beliau menyamakan kaum Salafi dengan Timur Lenk yang pernah membuat kekacauan wilayah kekuasaan Islam.

“Seperti juga ulama² palsu gemarkan pertelingkahan dan pertentangan faham yang tiada berputusan, saling-melontarkan tuduhan takfir satu sama lain, begitulah yang memerintah gemarkan pertikaian peperangan berpanjangan yang merosak bagi kita semua. Suatu contoh yang senantiasa mengagumkan adalah riwayat Timur (Lenk, red.), misalnya, yang perkasa pada zaman-nya dan mampu boleh menaklukkan Rusia dan China, yang jikalau dilakukannya penaklukkan itu tentu akan merubah aliran sejarah dunia sehingga mungkin membawa kepada keadaan yang lebih baik kini, memandangkan peranan Rusia dan China dewasa ini dalam menyebarkan ketegangan. Akan tetapi bukannya Rusia dan China yang diserang ditaklukkannya; bahkan tanpa sebab yang sah yang diserang dihancurkannya tiada melainkan Farsi dan Turki dan Mesir sesama Muslim jua.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 177)

Kaum Wahabi-Salafi Modernis selama ini selalu mengklaim diri-nya sebagai penerus golongan Salafiyyah, dengan jargon mengembalikan ummat Islam pada akidah dan amalan kaum Salaf. Namun, kerana tindakan mereka yang merendahkan martabat ulama² pendahulu, Al-Attas tahu bahawa jargon mereka tersebut hanyalah menjadi slogan tanpa isi.

“Keduanya juga mendakwa berhasrat memulihkan pentafsiran Islam dalam faham dan cara dan amal kepada yang difaham serta di-cara dan di-amalkan oleh golongan salafiyyah-meskipun sebenarnya mereka tiada menghampiri hasrat yang mulia itu.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 175)

Namun, meski begitu banyak penyimpangan dan kekeliruan yang dilakukan oleh kaum Salafi-Wahabi-Modernis ini, Al-Attas tetap berpandangan adil bahawa golongan ini memainkan peranan dalam mengingatkan ummat Islam akan kekacauan ilmu dan iman ummat Islam sekarang di tengah ombang-ambing peradaban Barat.

“Maka dalam keadaan demikian sekurang²-nya kedua golongan itu merupakan tumpuan kewaspadaan Ummah akan kesedaran tugasnya di waktu genting agar supaya jangan bertempiaran (baca: berpecah-belah); dalam keadaan di waktu keturunan anak zaman kehilangan haluan dan memerlukan bimbingan, sekurang²-nya mereka menyedarkan semula keinsafan kepercayaan terhadap kebolehan diri mengatasi cabaran zama sambil tetap setia kepada Islam. Dan walaupun kesilapannya menggugat zaman lampau itu memang besar, namun demikian tiada pula mereka memisahkan diri daripada sumber² lampau dan keyakinannya terhadap keagungan serta keluhuran dan ketunggalan kebenaran Islam itu menanamkan dalam hati harapan sebagai ganti kekecewaan. (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 178)

Wednesday, January 8, 2025

Benarkah Empat Imam Mazhab Sepakat Allah Berada di Atas Langit?

Oleh : Dr Mohd Khafidz Soroni

1. Di antara musibah besar yang banyak pada zaman ini ialah kemunculan golongan yang menolak fahaman ASWJ sebenar dan mendakwa pula bahawa mereka itulah yang sebenar-benarnya ASWJ. Antara isu usul yang sering mereka canangkan kepada masyarakat umum ialah “Allah Berada di Atas Langit”. Kalimah “Berada” yang menunjukkan tempat merupakan tasybih (serupa dengan makhluk) yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ. Sedangkan Allah SWT itu Maha Tinggi lagi Maha Kaya tanpa perlu dan berhajat kepada tempat.

2. Fahaman golongan ini sebenarnya dikutip daripada akidah Musyabbihah-Mujassimah yang berinteraksi dengan nas-nas sifat khabariyyah sebagai Muhkamat, iaitu menentukan satu makna baginya dan tiada makna yang lain. Seolah-olah mereka mengatakan sepenuh yakin: ‘Inilah sahaja maksud dan kehendak Allah pada nas ini’. Sedangkan golongan ASWJ berinteraksi dengan nas-nas ini sebagai Mutasyabihat, iaitu mempunyai makna berlapis dan tidak menentukan mana-mana makna serta menyerahkan penentuannya kepada Allah SWT (iaitu tafwidh), di samping merujukkannya kepada nas-nas yang Muhkamat (رد المتشابهات إلى المحكمات).

3. Bagi mempromosikan akidah ini kepada masyarakat awam, golongan ini menggunakan pelbagai dalil meskipun hujah-hujah yang dikemukakan adalah daif sama sekali. Antaranya, mereka mendakwa dalam satu tulisan: Empat Imam Madzhab Sepakat Bahwa Allah Berada di Atas Langit. Maka, apakah benar demikian???

4. Dakwaan 1:
Imam Abu Hanifah

((Dari Abu Muthi’ Al Hakam bin Abdillah Al Balkhiy -Pemilik Kitab Al Fiqhul Akbar– beliau berkata:

سألت أبا حنيفة عمن يقول لا أعرف ربي في السماء أو في الأرض فقال قد كفر لأن الله تعالى يقول الرحمن على العرش استوى وعرشه فوق سمواته فقلت إنه يقول أقول على العرش استوى ولكن قال لا يدري العرش في السماء أو في الأرض قال إذا أنكر أنه في السماء فقد كفر رواها صاحب الفاروق بإسناد عن أبي بكر بن نصير بن يحيى عن الحكم

Artinya: Aku bertanya pada Abu Hanifah mengenai perkataan seseorang yang menyatakan, “Aku tidak mengetahui di manakah Rabbku, di langit ataukah di bumi?” Imam Abu Hanifah lantas mengatakan: “Orang tersebut telah kafir karena Allah Ta’ala sendiri berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Artinya: “Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Dan ‘Arsy-Nya berada di atas langit”. Orang tersebut mengatakan lagi, “Aku berkata bahwa Allah memang menetap di atas ‘Arsy.” Akan tetapi orang ini tidak mengetahui di manakah ‘Arsy, di langit ataukah di bumi. Abu Hanifah lantas mengatakan, “Jika orang tersebut mengingkari Allah di atas langit, maka dia kafir”.))

Ulasan:
Pertamanya, sanad riwayat ini daif kerana perawinya, Abu Muthi’ Al Hakam bin Abdillah Al Balkhiy dihukum daif oleh para pengkritik hadis seperti Ahmad, Ibn Ma‘in, Abu Dawud, Ibn ‘Adi, Abu Hatim dan lain-lain, bahkan ada yang mengatakannya memalsukan hadis. Justeru, ia tidak dapat dijadikan hujah, apatah lagi dalam bab akidah yang merupakan perkara agama yang serius.

Terjemahan “istawa” di atas sebagai “menetap” merupakan tafsiran golongan Musyabbihah-Mujassimah dan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ. Ini kerana Musyabbihah-Mujassimah berinteraksi dengan ayat ini sebagai Muhkamat (menentukan suatu makna dan tiada makna yang lain), sedangkan ASWJ berinteraksi dengan ayat ini sebagai Mutasyabihat (makna berlapis dan tidak menentukan mana-mana makna serta menyerahkan penentuannya kepada Allah SWT).

Memadailah untuk mengetahui akidah Imam Abu Hanifah yang sebenar dengan merujuk kepada matan al-‘Aqidah al-Tahawiyyah kerana Imam al-Tahawi (w. 321H) dengan jelas menyebut ianya merupakan pegangan Imam Abu Hanifah, dan dua sahabatnya; Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin al-Hasan رحمهم الله. Dinyatakan dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah:

تَعَاْلَىْ – أي الله- عَنِ الْحُدُوْدِ وَالْغَاْيَاْتِ وَالْأَرْكَاْنِ وَالْأَعْضَاْءِ وَالْأَدَوَاْتِ لَاْ تَحْوِيْهِ الْجِهَاْتُ السِّتُّ كَسَاْئِرِ الْمُبْتَدَعَاْتِ

Terjemahan: “Maha Suci Allah daripada mempunyai had ukuran, batasan, sudut/sisi, anggota badan dan juga alat. Arah yang enam tidak menanggung-Nya sepertimana semua makhluk yang baharu.”

5. Dakwaan 2:
Imam Malik bin Anas

((Dari Abdullah bin Ahmad bin Hambal ketika membantah paham Jahmiyah, ia mengatakan bahwa Imam Ahmad mengatakan dari Syraih bin An Nu’man, dari Abdullah bin Nafi’, ia berkata bahwa Imam Malik bin Anas berkata:

الله في السماء وعلمه في كل مكان لا يخلو منه شيء

Artinya: “Allah berada di atas langit. Sedangkan ilmu-Nya berada di mana-mana, segala sesuatu tidaklah lepas dari ilmu-Nya”.))

Ulasan:
Sanad riwayat ini juga daif kerana perawinya, Abdullah bin Nafi’ didaifkan oleh para pengkritik hadis seperti Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim, Ibn ‘Adi dan lain-lain. Maka, ia juga tidak dapat menjadi hujah sama sekali, apatah lagi dalam bab akidah.

Malah Kitab as-Sunnah yang disandarkan kepada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal itu juga bersanad daif dan tidak sahih kepada beliau. Maka, tidaklah mustahil jika ada tangan-tangan yang merubah dan menokok tambah di dalamnya.

Sedangkan masyhur daripada Imam Malik, beliau enggan menyentuh perbincangan tentang nas-nas Mutasyabihat. Beliau pernah ditanya tentang istiwa’ lalu jawabnya:

الاستواء غير المجهول والكيف غير المعقول والايمان به واجب و السؤال عنه بدعة

Terjemahan: “Istiwa’ itu tidak majhul (diketahui ada berbagai makna), dan kaif (bentuk) pula tidak diterima akal, serta beriman dengannya itu wajib, dan menyoal tentangnya pula bidaah.”

Termasuk kaif (bentuk) ialah mengatakan Allah itu berada di bahagian atas dalam keadaan Arasy berada di bahagian bawah-Nya. Ini sudah dikira menetapkan kaif bagi kedudukan Allah SWT sehingga tertakluk pada arah sebelah atas dan arah sebelah bawah bagi zat-Nya. Sebab itu Imam Malik menyebut: “…dan kaif (bentuk) tidak diterima akal”.

6. Dakwaan 3:
Imam Asy Syafi’i

((Syaikhul Islam berkata bahwa telah mengabarkan kepada kami Abu Ya’la Al Kholil bin Abdullah Al Hafizh, beliau berkata bahwa telah memberitahukan kepada kami Abul Qosim bin ‘Alqomah Al Abhariy, beliau berkata bahwa Abdurrahman bin Abi Hatim Ar Roziyah telah memberitahukan pada kami, dari Abu Syu’aib dan Abu Tsaur, dari Abu Abdillah Muhammad bin Idris Asy Syafi’i (yang terkenal dengan Imam Syafi’i), beliau berkata:

القول في السنة التي أنا عليها ورأيت اصحابنا عليها اصحاب الحديث الذين رأيتهم فأخذت عنهم مثل سفيان ومالك وغيرهما الإقرار بشهادة ان لااله الا الله وان محمدا رسول الله وذكر شيئا ثم قال وان الله على عرشه في سمائه يقرب من خلقه كيف شاء وان الله تعالى ينزل الى السماء الدنيا كيف شاء وذكر سائر الاعتقاد

Artinya: “Perkataan dalam As Sunnah yang aku dan pengikutku serta pakar hadits meyakininya, juga hal ini diyakini oleh Sufyan, Malik dan selainnya: “Kami mengakui bahwa tidak ada sesembahan yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah. Kami pun mengakui bahwa Muhammad adalah utusan Allah.” Lalu Imam Asy Syafi’i mengatakan, “Sesungguhnya Allah berada di atas ‘Arsy-Nya yang berada di atas langit-Nya, namun walaupun begitu Allah pun dekat dengan makhluk-Nya sesuai yang Dia kehendaki. Allah Ta’ala turun ke langit dunia sesuai dengan kehendak-Nya.” Kemudian beliau rahimahullah menyebutkan beberapa keyakinan (i’tiqod) lainnya.))

Ulasan:
Perawi riwayat ini, Abu al-Hasan al-Hakkari yang digelar ‘Syeikhul Islam’ itu adalah perawi daif, malah dituduh memalsukan hadis, sebagaimana yang boleh dirujuk biografinya dalam kitab Siyar A‘lam an-Nubala’ dan Mizan al-I’tidal oleh al Zahabi serta Lisan al Mizan oleh Ibnu Hajar.

Selepas menukilkan riwayat di atas dalam kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar, al Zahabi menukilkan satu riwayat lain dengan sanad yang tak diketahuinya tentang wasiat Imam as-Syafii. Kemudian beliau menghukum: “Sanad kedua-duanya adalah lemah”.

Seperkara lagi yang meragukan, Abu Syu’aib yang didakwa mendengar perkataan di atas daripada Imam al-Syafi’i pula sebenarnya lahir dua tahun setelah Imam al-Syafi’i wafat! Kerana Abu Syu’aib lahir pada tahun 206H dan Imam al-Syafi’i wafat pada tahun 204H. Bagaimana boleh dia bertemu dengan Imam al-Syafi’i?!

Kalimah “berada” di dalam terjemahan merupakan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ.

7. Dakwaan 4:
Imam Ahmad bin Hambal

(I)
(Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanya,

ما معنى قوله {وهو معكم أينما كنتم} {وما يكون من نجوى ثلاثه الا هو رابعهم} قال: علمه عالم الغيب والشهاده علمه محيط بكل شيء شاهد علام الغيوب يعلم الغيب ربنا على العرش بلا حد ولا صفه وسع كرسيه السموات والأرض.

Artinya: “Apa makna firman Allah,

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ

Artinya:“Dan Allah bersama kamu di mana saja kamu berada”.

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ

Artinya: “Tiada pembicaraan rahasia antara tiga orang, melainkan Dia-lah keempatnya”.

Yang dimaksud dengan kebersamaan tersebut adalah ilmu Allah. Allah mengetahui yang ghoib dan yang nampak. Ilmu Allah meliputi segala sesuatu yang nampak dan yang tersembunyi. Namun Rabb kita tetap menetap tinggi di atas ‘Arsy, tanpa dibatasi dengan ruang, tanpa dibatasi dengan bentuk. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Kursi-Nya pun meliputi langit dan bumi.”))

Ulasan:
Riwayat ini meragukan kerana ia dicatatkan oleh al-Lalika’i (w. 418H) dalam kitab Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tanpa sebarang sanad. Maka tentunya ia hujah yang lemah dan tidak dapat dijadikan pegangan sama sekali.

(II)
((Diriwayatkan dari Yusuf bin Musa Al Baghdadiy, beliau berkata,

قيل لأبي عبد الله احمد بن حنبل: الله عز و جل فوق السمآء السابعة على عرشه بائن من خلقه وقدرته وعلمه بكل مكان قال نعم على العرش وعلمه لايخلو منه مكان

Artinya: Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanyakan, “Apakah Allah ‘azza wa jalla berada di atas langit ketujuh, di atas ‘Arsy-Nya, terpisah dari makhluk-Nya, sedangkan kemampuan dan ilmu-Nya di setiap tempat (di mana-mana)?” Imam Ahmad pun menjawab, “Betul sekali. Allah berada di atas ‘Arsy-Nya, setiap tempat tidaklah lepas dari ilmu-Nya”.))

Ulasan:
Riwayat ini juga meragukan yang dicatatkan oleh al-Lalika’i (w. 418H) dalam kitab Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tanpa sebarang sanad. Justeru, ia tidak dapat dijadikan hujah sama sekali.

Memadai untuk mengetahui akidah Imam Ahmad yang sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn al-Jawzi dalam kitab Daf‘u Syubah al-Tasybih bi Akuff al-Tanzih, dan Imam Taqiyyuddin al-Hisni dalam kitab Daf‘u Syubah Man Syabbaha wa Tamarrada wa Nasaba Zalika ila as-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad.

Adapun kitab al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah yang disandarkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal, maka menurut az-Zahabi dalam Siyar A‘lam an-Nubala’ (11/286), ia adalah palsu ke atas beliau. Syeikh al-Kawthari menyatakan, kitab tersebut diriwayatkan oleh al-Khallal daripada seorang lelaki yang majhul, iaitu al-Khidr bin al-Muthanna daripada ‘Abdullah bin Ahmad daripada Ahmad bin Hanbal. Maka, sanad kitab yang sebegini tentunya tidak dirasakan selamat dan bebas daripada sebarang tokok tambah dan perubahan.

8. Dakwaan 5:
[Dakwaan Ijmak]

(I)
((Itulah perkataan empat Imam Madzhab yang jelas-jelas perkataan mereka meyakini bahwa Allah berada di atas langit, di atas seluruh makhluk-Nya. Bahkan sebenarnya ini adalah ijma’ yaitu kesepakatan atau konsensus seluruh ulama Ahlus Sunnah. Lantas mengapa aqidah ini perlu diragukan oleh orang yang jauh dari kebenaran?

Ini bukti ijma’ ulama yang dibawakan oleh Ishaq bin Rohuwyah.

قال أبو بكر الخلال أنبأنا المروذي حدثنا محمد بن الصباح النيسابوري حدثنا أبو داود الخفاف سليمان بن داود قال قال إسحاق بن راهويه قال الله تعالى الرحمن على العرش استوى إجماع أهل العلم أنه فوق العرش استوى ويعلم كل شيء في أسفل الأرض السابعة

Artinya:“Abu Bakr Al Khollal mengatakan, telah mengabarkan kepada kami Al Maruzi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Muhammad bin Shobah An Naisaburi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Abu Daud Al Khonaf Sulaiman bin Daud. Beliau katakana, Ishaq bin Rohuwyah berkata, “Allah Ta’ala berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Artinya: “Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Para ulama sepakat (berijma’) bahwa Allah berada di atas ‘Arsy dan beristiwa’ (menetap tinggi) di atas-Nya. Namun Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang terjadi di bawah-Nya, sampai di bawah lapis bumi yang ketujuh.))

Ulasan:
Sanad riwayat ini juga daif kerana Muhammad bin as-Sabah an-Naisaburi adalah perawi majhul. Kalimah “menetap” dan “berada” di dalam terjemahan juga merupakan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ.

Ijmak yang dikemukakan juga diragui kerana tafsiran ayat secara jelas menjadikan ayat tersebut berkedudukan Muhkamat tanpa syak lagi. Jika seluruh ulama berijmak bahawa ayat tersebut adalah Muhkamat, sudah tentu perkara ini tidak menjadi isu sejak awal-awal lagi kerana zahir makna ayat tersebut tidaklah begitu susah bagi umat Islam, apatah lagi bila para ulama turut menegaskan tafsirnya.

Namun, apabila para ulama salaf tidak mentafsirkannya sesuka hati dan menyatakan supaya melalukan ayat tersebut sebagaimana ia diwahyukan (أمروها كما جاءت), iaitu tafwidh, maka tahulah kita bahawa ianya adalah Mutasyabihat. Justeru, dakwaan ijmak yang dikemukakan itu adalah lemah. Ia juga bertentangan dengan pernyataan ijmak yang disebut oleh Imam Abu Mansur al-Baghdadi di dalam kitab al-Farq bain al-Firaq ketika menyenaraikan perkara yang diijmakkan oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah:

وأجمعوا على أنه لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان

Terjemahan: “Mereka bersepakat bahawa sesungguhnya Dia tidak ditanggung oleh tempat dan juga tidak berlalu ke atas-Nya masa”.

(II)
((Adz Dzahabi rahimahullah ketika membawakan perkataan Ishaq di atas, beliau rahimahullah mengatakan,

اسمع ويحك إلى هذا الإمام كيف نقل الإجماع على هذه المسألة كما نقله في زمانه قتيبة المذكور

Artinya: “Dengarkanlah perkataan Imam yang satu ini. Lihatlah bagaimana beliau menukil adanya ijma’ (kesepakatan ulama) mengenai masalah ini. Sebagaimana pula ijma’ ini dinukil oleh Qutaibah di masanya”.))

Ulasan:
Perlu diketahui, ketika al-Zahabi mula menyusun kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar ini beliau baru berusia 18 tahun. Dalam usia ini, pastinya beliau masih agak muda dan masih begitu terkesan dengan gurunya, Syeikh Ibn Taimiyyah. Beliau kemudian telah membuat penambahan dan akhirnya menyusunnya semula ketika berusia 25 tahun. Pada usia ini juga tentunya beliau masih belum lagi menjadi seorang imam & tokoh besar yang disegani.

Bagaimanapun, ketika ini beliau sudah sedar dan mengakui bahawa di dalam kitab beliau itu terdapat hadis-hadis yang daif dan kata-kata yang amat berlebihan di dalam mengungkap ibarat masing-masing serta beliau tidak menyetujuinya sama sekali (sepertimana yang tercatat pada manuskrip kitab).

Namun, tidak pula beliau menentukan mana kata-kata yang amat berlebihan itu serta yang beliau tidak persetujui. Malah, ulasan-ulasan beliau yang cenderung menyokong fahaman Tasybih masih ada di dalamnya. Maka, dapat kita katakan bahawa kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar ini adalah ibarat catatan penulisan pada zaman mudanya yang tidaklah dapat dijadikan sumber pegangan dan rujukan utama umat Islam di dalam bab akidah. Kata Syeikh al-Kawthari: “Di dalamnya terdapat kekeliruan yang banyak”.

9. Golongan Musyabbihah-Mujassimah selalu menyatakan fahaman mereka terhadap nas-nas Mutasyabihat ini (bagi mereka Muhkamat) bahawa ianya adalah ‘tanpa kaifiat’ (بلا كيف). Sedangkan iktikad bahawa Allah itu berada di atas langit atau berada di atas ‘Arasy dengan makna Allah berada di bahagian atas dalam keadaan langit/Arasy pula berada di bahagian bawah-Nya sudah pun mengkaifiatkan kedudukan bagi zat Allah Taala.

Tanpa mereka sedar, mereka menyalahi kaedah tersebut dengan mengkaifiatkan-Nya, iaitu dengan adanya arah sebelah atas dan arah sebelah bawah bagi-Nya sepertimana makhluk! Wal ‘iyazubillah. Selepas zaman Imam Ahmad, fahaman ini terus menular dalam kalangan sebahagian Hanabilah dan juga sebahagian ahli hadis sehingga wujud berbagai riwayat yang diragukan.

10. Kesimpulannya, dakwaan bahawa ‘Empat Imam Mazhab Sepakat Allah Berada di Atas Langit’ adalah lemah dan tidak benar sama sekali. Ini bukan bermakna mereka beriktikad bahawa Allah Taala tidak berada di langit atau tidak berada di ‘Arasy. Maha Suci Allah! Bukan seperti ini dan bukan seperti itu sama sekali. Akan tetapi maksudnya ialah mereka tidak mentafsir atau membincangkan hal tersebut sebagaimana para ulama salaf lain dan menyerahkan hakikatnya kepada Allah SWT semata-mata (iaitu tafwidh). Pastinya, iktikad mereka bukanlah sepertimana iktikad golongan Musyabbihah-Mujassimah yang terkeluar daripada ASWJ.


Wassalam.

Thursday, November 7, 2024

JAUHAR, JIRIM, JISIM DAN 'ARADH

Dalam konteks ilmu kalam dan falsafah Islam, istilah-istilah Jauhar, Jirim, Jisim, dan ‘Aradh sering kali digunakan untuk menggambarkan elemen-elemen dasar dalam metafizik, khususnya dalam membincangkan tentang hakikat kewujudan dan kejadian alam.

Takrif mengenai konsep-konsep asas dalam falsafah Islam seperti Jauhar, Jirim, Jisim dan 'Aradh sering menjadi topik perbahasan penting dalam perbincangan metafizik dan ilmu kalam.
Berikut adalah takrif dan pembahagian secara terperinci bagi setiap istilah ini:

1. Jauhar (الجوهر)

Takrif: Jauhar ialah zat atau inti yang berdiri dengan sendirinya tanpa memerlukan tempat atau sesuatu yang lain. Dalam erti kata lain, Jauhar merujuk kepada sesuatu yang tidak memerlukan asas atau sokongan lain untuk wujud. Ia adalah elemen asas yang membentuk benda fizikal.

Jauhar merujuk kepada entiti atau unsur yang berdiri sendiri tanpa memerlukan tempat atau medium untuk wujud. Ia merupakan "inti" atau "substance" yang membentuk perkara asas bagi kewujudan.

Jauhar adalah entiti yang paling kecil dan tidak dapat dipecahkan lagi. Dalam konsep ilmu kalam, jauhar ini adalah sesuatu yang tidak memiliki keluasan atau saiz, tetapi ia dianggap sebagai asas segala sesuatu.

Pembahagian Jauhar:

- Jauhar Fard (الجَوْهَرُ الْفَرْد): Merujuk kepada jauhar yang paling asas atau tunggal yang menjadi unit terkecil. Ia kadang-kadang digambarkan sebagai "atom" metafizik dalam alam semesta.

Jauhar Fard adalah jauhar tunggal atau atom yang tidak dapat dipecahkan lagi. Konsep ini berkaitan dengan atomisme dalam falsafah Islam, yang merujuk kepada unsur-unsur paling kecil yang membentuk segala benda.
Contoh: Setiap atom atau bahagian asas yang tidak boleh dibahagikan lagi merupakan Jauhar Fard.

- Jauhar Murakkab (الجوهر المركب): Jauhar yang bergabung atau bercampur dengan jauhar-jauhar lain, menghasilkan jirim atau benda yang lebih besar.

- Jauhar Naqis (الجَوْهَرُ النَّاقِص): Jauhar yang ada kekurangan atau batasan; tidak lengkap secara mutlak.

Pandangan Ahli Kalam:

Ahli kalam seperti al-Ash’ari dan al-Maturidi menggunakan konsep jauhar untuk membuktikan kewujudan dan keesaan Allah dengan menyatakan bahawa semua yang diciptakan memerlukan jauhar sebagai unsur asas.

Allah bukanlah jauhar Fard, jauhar Murakkab ataupun jauhar Naqis, kerana DzatNya adalah sedia ada, tiada sesuatu yang menjadikanNya dan menciptakanNya, bahkan Dialah yang menjadikan dan menciptakan segala sesuatu jauhar ciptaan.

2. Jirim (الجِرْم)

Takrif: Jirim ialah himpunan atau gabungan beberapa Jauhar. Ia wujud apabila lebih daripada satu Jauhar bergabung, menghasilkan entiti atau objek yang lebih besar.

Jirim secara umum boleh dirujuk sebagai substansi atau material. Jirim ialah gabungan beberapa jauhar yang bersama-sama membentuk sesuatu benda yang bersifat material. Ia bererti “substance” yang memiliki keluasan atau saiz tertentu dan dianggap sebagai himpunan jauhar-jauhar.

Pembahagian Jirim:

- Jirim Basit (الجرم البسيط): Jirim yang tidak memiliki komposisi atau lapisan yang kompleks. Ia adalah jirim yang hanya mempunyai satu jenis zat tanpa campuran.

- Jirim Murakkab (الجرم المركب): Jirim yang terdiri daripada gabungan beberapa zat atau Jauhar. Ia memiliki lapisan atau komponen yang pelbagai, yang mencipta objek atau bahan yang lebih kompleks.
Contoh: Logam seperti emas atau perak yang hanya mempunyai satu jenis zat adalah Jirim Basit, manakala tubuh manusia yang terdiri daripada pelbagai unsur adalah Jirim Murakkab.

- Jirim Lathif (الجِرْمُ اللَّطِيف): Jirim yang halus seperti udara dan api, yang tidak kelihatan tetapi masih mempunyai kewujudan.

- Jirim Katsif (الجِرْمُ الْكَثِيف): Jirim yang kasar seperti batu dan air, yang dapat dilihat dan disentuh kerana mempunyai bentuk fizikal yang jelas.

Pandangan Ahli Kalam:

Ahli kalam menggunakan jirim untuk membahaskan bahawa kewujudan jirim adalah bukti akan adanya Pencipta kerana jirim tidak mampu wujud dengan sendiri tanpa digabungkan oleh unsur jauhar.

Allah bukanlah jirim Basit, jirim Murakkab, jirim Lathif atau jirim Katsif yang terdiri dari gabungan beberapa jauhar kerana gabungan beberapa jauhar yang membentuk jirim adalah memerlukan kepada ruang tempat, sedangkan Dia tidak memerlukan kepada ruang tempat kerana Dia bukanlah himpunan beberapa jauhar, bahkan Dia adalah Dzat yang Tunggal Maha Esa.

3. Jisim (الجِسْم)

Takrif: Jisim ialah sesuatu yang memiliki keluasan, ketebalan, panjang, dan lebar. Jisim merujuk kepada sifat ruang atau dimensi dalam sesuatu benda yang menandakan kehadiran bahan yang nyata dan mempunyai tempat tertentu.

Jisim adalah bentuk yang terbentuk daripada beberapa jirim. Jisim bererti sesuatu yang mempunyai keluasan, panjang, lebar, dan kedalaman tertentu, atau ringkasnya, ia adalah benda yang boleh diukur dan mempunyai dimensi.

Pembahagian Jisim:

- Jisim Basit (الجسم البسيط): Sama seperti Jirim Basit, ia tidak mempunyai lapisan atau komposisi yang berbeza. Ia memiliki satu bentuk yang tidak dapat dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang berlainan dari segi komposisinya.

- Jisim Murakkab (الجسم المركب): Jisim yang mempunyai pelbagai lapisan atau bentuk yang berbeza, terbentuk daripada pelbagai jenis Jirim.
Contoh: Sebuah batu besar yang terdiri daripada lapisan yang berbeza adalah Jisim Murakkab, manakala satu helaian logam yang homogen adalah Jisim Basit.

- Jisim Muttasil (الجِسْمُ الْمُتَّصِل): Jisim yang bersambung atau kompak, misalnya batu atau tanah.

- Jisim Munfasil (الجِسْمُ الْمُنْفَصِل): Jisim yang terpisah atau boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian, misalnya pasir atau biji-bijian.

Pandangan Ahli Kalam:

Konsep jisim menunjukkan bahawa setiap jisim memerlukan jirim dan jauhar untuk wujud. Dengan itu, konsep jisim digunakan untuk menunjukkan bahawa alam adalah tersusun dan memerlukan Tuhan sebagai pencipta yang menyusunnya.

Allah bukanlah jisim yang memiliki keluasan, ketebalan, panjang, dan lebar kerana kesemuanya itu adalah ciri-ciri yang ada pada setiap jauhar ciptaan, Allah bukanlah ciptaan, Dia adalah Maha Pencipta sekalian ciptaan.

4. ‘Aradh (العَرَض)

Takrif: 'Aradh ialah sesuatu yang memerlukan atau bergantung kepada Jauhar atau benda lain untuk wujud. Ia adalah sifat atau keadaan yang tidak wujud dengan sendirinya, seperti warna, bau, rasa, dan suhu. 'Aradh tidak memiliki kewujudan yang berdiri sendiri dan hanya ada sebagai sifat yang menyertai sesuatu zat atau benda.

Pembahagian 'Aradh:

- 'Aradh Lazim (العَرَضُ اللاَّزِم): 'Aradh yang kekal atau selalu ada bersama zatnya, tidak berubah.
Contohnya, kebulatan bagi roda adalah sifat lazim yang tidak berubah selama roda tersebut wujud. ‘Aradh Lazim adalah ‘Aradh yang kekal melekat pada sesuatu benda, contohnya juga seperti segala bentuk dan saiz.

- 'Aradh Mufariq (العرض المفارق): 'Aradh yang bersifat sementara, ia boleh hilang atau berubah seiring masa. Contohnya, warna pada daun yang berubah mengikut musim.

- ‘Aradh Muta’addi (العَرَضُ الْمُتَعَدِّي): ‘Aradh yang berubah-ubah, seperti pergerakan dan warna.
Contoh: Warna pada objek adalah 'Aradh, kerana warna tidak dapat berdiri dengan sendiri tanpa medium atau bahan yang membawanya. Begitu juga dengan rasa dan bau, mereka adalah 'Aradh yang bergantung kepada jirim atau benda lain untuk wujud.

‘Aradh merujuk kepada sifat atau kualiti yang melekat pada jauhar atau jirim tetapi tidak boleh berdiri sendiri. 'Aradh adalah sifat yang berubah-ubah, seperti warna, bau, rasa, pergerakan, atau diam. Aradh hanya wujud pada benda atau entiti lain dan tidak mempunyai keberadaan mandiri.

Pandangan Ahli Kalam:

'Aradh digunakan oleh ahli kalam untuk menjelaskan bahawa sifat atau keadaan pada sesuatu benda menunjukkan ia tidak kekal kerana ia mengalami perubahan, dan perubahan ini membuktikan kewujudan Yang Maha Pencipta yang tidak berubah.

Allah bukanlah 'Aradh yang bergantung kepada sesuatu Dzat yang lain, kerana Dia adalah Dzat yang Maha berdiri sendiri dengan DzatNya, Dia adalah bersifat Al-Samad dan Al-Ghani yang Maha Kaya tidak bergantung dan bersandar dengan atau pada sesuatu jauhar, jirim dan jisim yang selain DzatNya, yang tiada sebarang persamaan dan penyerupaan dengan sesuatu apa pun.

Kesimpulan:

Jauhar jika berkeadaan tunggal dan tidak dapat dibahagi-bahagikan maka dinamakan sebagai Jauhar Fard, jika jauhar yang terhimpun lebih dari satu jauhar dan dapat dibahagikan maka dinamakan sebagai Jauhar Murakkab atau Jirim.

Jirim yang terhimpun daripada satu jenis jauhar adalah dinamakan sebagai Jirim Basit, dan jika terhimpun daripada beberapa jenis jauhar adalah dinamakan sebagai Jirim Murakkab, yang sama ada bersifat halus dinamakan sebagai Jirim Lathif, dan jika bersifat kasar dinamakan sebagai Jirim Katsif atau diistilahkan sebagai Jisim.

Jisim Basit adalah terdiri daripada satu jenis Jirim Basit, dan jika ia terdiri daripada beberapa jenis Jirim dinamakan sebagai Jisim Murakkab, dan jika berhubung dan bersambungan antara satu jirim dengan jirim lain dinamakan sebagai Jisim Muttasil seperti campuran tembaga, dan jika terpisah-pisah maka dinamakan sebagai Jisim Munfasil seperti pasir.

Konsep-konsep Jauhar, Jirim, Jisim dan 'Aradh ini merupakan asas dalam memahami metafizik dalam falsafah Islam. Takrif dan pembahagian setiap satu konsep ini membantu dalam memperinci cara setiap elemen wujud dan berinteraksi dalam alam.

Keempat-empat istilah ini membentuk asas dalam pemikiran falsafah dan teologi Islam, khususnya dalam membahaskan sifat-sifat kejadian dan kewujudan. Penggunaan konsep ini adalah untuk menunjukkan kebergantungan semua yang wujud kepada Tuhan yang menciptakan, menyusun, dan mengatur segala sesuatu dengan hikmah-Nya.

Ahli kalam berpendapat bahawa alam ini tersusun dari jauhar-jauhar yang membentuk jirim, kemudian membentuk jisim, dan setiap jisim pula memiliki ‘aradh, menunjukkan alam adalah makhluk yang tidak sempurna dan memerlukan pencipta yang sempurna, iaitu Allah Ta'ala.

Allah bukanlah sesuatu jauhar, jirim, jisim mahupun 'aradh, bahkan Dia adalah Dzat yang menciptakan sekalian in jauhar, jirim, jisim dan segala a'raadh, dengan kehendak dan kuasaNya sesuai dengan IlmuNya yang bersifat ijmali dan tafsil, Dialah Dzat Tunggal yang tidak menyerupai segala sesuatu dan tiada sesuatu apa pun yang dapat menyerupaiNya.

Wallahu a'lam.

[ Syeikh Maulana Jalalluddin Ahmad Ar-Rowi Al-Naqsyabandi Mujaddidi ]

Thursday, July 23, 2020

DIALOG IMAM ABU HANIFAH رحمة الله تعالى DENGAN ATEIS


Sorotan menunjukkan bahawa golongan ateis telah masuk menyerang Islam sejak sekian lama. Malangnya, karya ulama ASWJ silam khusus berkaitan ateis tidak ditemui ataupun mungkin hilang sehingga tidak sampai ke tangan generasi hari ini. Kebanyakkan kisah mengenai penyelewengan golongan ateis dikutip secara berasingan daripada pelbagai kitab yang datang terkemudian. Sedangkan masalah ateis Muslim pada kurun ke-3 dan ke-4 Hijrah berada dalam keadaan yang merisaukan. Dalam hal ini, dialog yang berlaku (Imam) Abu Hanifah (m. 150H/ 772M) dengan golongan ateis merupakan salah satu kisah masyhur yang dirakamkan oleh ramai ulama Islam dengan lafaz cerita yang berbeza-beza.

Ketika (Imam) al-Razi dan (Imam) Ibn Kathir membahaskan ayat 21 surah al-Baqarah, mereka menukilkan sebuah kisah dialog Abu Hanifah dengan golongan ateis secara ringkas, yang mana ia diriwayatkan daripada (Imam) Malik. Kisah dialog Abu Hanifah sebegini turut dinukilkan dalam kitab jawi ulama Tanah Melayu. Abu Hanifah menceritakan bahawa terdapat seorang ilmuwan besar yang berfahaman ateis dan kafir dari bangsa Rom yang sering mengadakan perdebatan dengan ulama Islam pada ketika itu. Ramai ulama telah dikalahkan olehnya kecuali seorang, iaitu (Imam) Hammad bin Abi Sulayman, guru kepada Abu Hanifah. Walau masih kecil, gurunya meyakini Abu Hanifah dapat menggantikan tempatnya untuk berdialog dengan ateis tersebut.

Pada hari yang ditetapkan, manusia berkumpul di masjid, maka orang ateis itu naik ke atas mimbar dan ingin mengadakan perdebatan dengan ulama Islam. Katanya: "Siapakah yang akan menjawab soalan-soalanku?" Abu Hanifah lantas bangun dan menjawab: "Nyatakan soalan kamu. Orang yang mengetahuinya akan menjawab." Ateis itu bertanya: "Siapakah engkau ini wahai kanak-kanak? Engkau bercakap kepadaku sedangkan orang-orang yang mempunyai kemegahan dan orang-orang yang tua, berserban besar, berpakaian jubah labuh dan berlengan baju yang luas tidak berupaya menandingiku. Inikan pula engkau seorang yang masih kecil, mentah dan hina?." Abu Hanifah menjawab: "Allah SWT tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Dia memberikannya kepada para ulama." Kemudian beliau membaca ayat 11 surah al-Mujadalah.

Ateis tersebut terus bertanya: "Apakah Allah itu wujud?" Abu Hanifah menjawab: "Ya." Ateis bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah menjawab: "Allah tidak bertempat." Ateis bertanya: "Bagaimana yang wujud itu tiada tempat" Abu Hanifah menjawab: "Dalilnya ada pada diri kamu sendiri." Ateis bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah bertanya semula: "Bukankah kamu ada nyawa?" Ateis menjawab; "Ya, memang." Abu Hanifah bertanya: "Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau diperut kamukah? Atau di kaki kamukah?" Ateis tersebut tercengang dan tidak tahu menjawab soalan tersebut. Kemudian Abu Hanifah terus bertanya: "Bukankah air susu itu mempunyai minyaknya?" Ateis menjawab: "Ya."Abu Hanifah bertanya: "Di manakah tempat minyak itu di dalam susu? Di sebelah atas susu atau di sebelah bawahnya?" Sekali lagi ateis tersebut tidak mampu menjawab soalan Abu Hanifah.

Abu Hanifah berkata: "Sepertimana roh itu tiada tempat di tubuh badan dan minyak tidak bertempat di dalam susu, maka begitu jugalah Allah SWT tidak bertempat di alam buana ini." Ateis bertanya lagi: "Apa yang ada sebelum Allah dan apa pula selepas-Nya." Abu Hanifah menjawab: "Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesuatu selepas-Nya." Ateis berkata: "Betapa dapat digambarkan sesuatu yang wujud itu tiada sesuatu mendahuluinya dan tiada sesuatu selepasnya?" Abu Hanifah menjawab: "Dalilnya ada pada anggota badanmu sendiri." Ateis bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah menjawab: "Tiada sesuatu pun mendahului ibujari tanganmu, dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. Begitu jugalah dengan Allah SWT Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya." Ateis itu berkata lagi: "Tinggal satu soalan lagi yang mahu aku kemukakan kepadamu."Abu Hanifah menjawab: " Kemukankanlah, insya-Allah aku akan menjawabnya." Ateis itu segera bertanya: "Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang ini?"Abu Hanifah menjawab: "Cara engkau ini tidak kena. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di atas mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan jawab pertanyaanmu jika aku berada di atas mimbar dan engkau turun ke bawah." Ateis itu pun turun dan Abu Hanifah pun naik ke atas mimbar tersebut. Setelah duduk, ateis itu mengemukakan semula soalan tadi dan lantas dijawab oleh Abu Hanifah: "Inilah yang Allah SWT sedang lakukan sekarang. Dia menggugurkan yang batil seperti kamu daripada atas ke bawah, dan Dia menaikkan yang benar sepertiku daripada bawah ke atas." Ateis itu tidak mampu menjawab dan tewas.

Sebuah lagi kisah, dilaporkan bahawa Abu Hanifah telah dijemput oleh golongan ateis untuk berdialog tentang Tuhan. Pada hari dan masa yang ditentukan, kelibat Abu Hanifah tidak kelihatan dan mereka hampir putus asa menantinya. Tiba-tiba Abu Hanifah muncul dan meminta maaf di atas kelewatannya dan menjelaskan sebab beliau terlambat. Abu Hanifah berkata: "Sejak pagi tadi aku berada di tepi sungai. Menunggu kedatangan tukang perahu yang akan menyeberangiku. Namun setelah lama aku menunggu, dia tidak datang juga. Ketika itu aku melihat sejumlah papan terapung-apung di atas air. Lama- kelamaan papan-papan itu saling menyatu dan membentuk sebuah sampan. Aku pun segera menaiki dan mendayungnya menuju ke tempat kalian ini." Mendengar cerita Abu Hanifah tersebut, para ateis berkata: "Kamu mengarut, wahai Abu Hanifah. Bagaimana mungkin papan-papan itu membentuk sampan dengan sendirinya?" Abu Hanifah menjawab: "Jika kalian tidak percaya papan- papan itu dapat membentuk sampan dengan sendirinya, lalu bagaimana mungkin aku percaya bahawa alam semesta yang begitu teratur dan indah ini tercipta dengan sendirinya, tanpa adanya Pencipta Yang Maha Agung?" Mendengar jawapan itu, para ateis terdiam dan tidak mampu berkata-kata lagi. Hujah mereka telah dipatahkan oleh Abu Hanifah dalam sekelip mata. Akhirnya, golongan ateis ini bertaubat di tangan Abu Hanifah.

Selain itu, Allah SWT turut merakamkan beberapa kisah umat terdahulu, antaranya kisah Nabi Ibrahim AS dengan kaumnya yang kafir. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan, orang itu berkata: Saya dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang- orang yang zalim."Ayat ini membuktikan bahawa tiada manusia yang dapat menafikan kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan Maha Pencipta.

Ustaz Rashidi Wahab (UNISZA)

(1) Penulis tidak berhasrat untuk memanjangkan perbahasan berkaitan topik ini. Berikut antara buku yang membincangkan tentang sejarah ateis dalam Islam: 'Abd al-Rahman Badawi. 1980. Min Tarikh al-Ilhad fi al-Islam. Bayrut: Muassasah al-'Arabiyyah. Dalam pendahuluan buku ini, penulis menyenaraikan empat prinsip ateis Muslim bagi membezakan dengan ateis Barat, iaitu:

1. Kecenderungan penggunaan akal (rasionalisme) sebagai penguasa serta penentu pertama dan terakhir, di mana tidak ada yang berhak menolak serta membatalkan keputusannya terhadap segala sesuatu.

2. Berpegang dengan idea yang menyatakan bahawa manusia berkembang secara progresif dan berjalan terus menerus, termasuklah perkembangan dalam medan ilmu.

3. Kecenderungan manusia untuk mengarahkan kepada nilai-nilai kemanusiaan yang murni (humanisme) dalam kaitan hubungannya dengan nilai-nilai ketuhanan dan kenabian.

4. Tuntutan terhadap kebebasan (liberalisme) dengan segala harganya tanpa menghiraukan kesan yang mungkin ditimbul daripada tuntutan ini.

(2) Golongan ateis dalam kisah ini hanya dikenali sebagai golongan dahri (dahriyyah) atau golongan zindiq (zanadiqah). Malah dalam tulisan yang Iain, kebanyakkan kisah hanya menisbahkan kepada golongan ateis tanpa menamakan terus invididu ateis tersebut.

(3) Walaupun sebilangan sarjana mempertikaikan kesahihahan kisah dialog ini, namun ia diriwayatkan oleh ramai ulama yang beribawa dalam kitab-kitab mereka.

(4) al-Razi, Fakhr al-Din Muhammad bin 'Umar. 1981. Tafsir al-Fakhr al-Razi: Tafsir al- Kabir wa Mafatih al-Ghaib. Bayrut: Dar al-Fikr. Jld. 2. Hlm. 108; Ibn Kathir, Abi al-Fida' Isma'il bin 'Umar bin Kathir. 1999. Tafsir al-Qur 'an al- 'Azim. Tahqiq: al-Salamah, Sami bin Muhammad. Riyad: Dar Thaibah. Jld. 1. Hlm. 197.

(5) al-Fatani, Zain al-'Abidin bin Muhammad. T.th. 'Aqidah al-Najinfi '11m Usul al-Din. Fatani: Matba'ah Bin Halabi. Hlm. 8. Dialog yang dinyatakan dalam topik ini diambil daripada kitab tersebut.

(6) al-Maydani, 'Abd al-Rahman Hasan Habannakah. 1979. Al- 'Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha. Damshiq: Dar al-Qalam. Hlm. 142.

(7) Surah al-Baqarah (2): ayat 258.

Saturday, June 27, 2020

ALLAH BUKAN DI LANGIT (BAHAGIAN 1)


Salah satu keyakinan Islam yang wajib diyakini adalah bahawa Allah Ta’ala itu tidak berada di suatu tempat, tidak di langit dan tidak di bumi.

Keyakinan keberadaan Allah di langit ini merupakan sebuah keyakinan sesat dan menyesatkan. Keyakinan Allah bertempat di langit bermula dari keyakinan kelompok yang sering disebut sebagai kelompok mujassimah (kelompok yang menyatakan tuhan bersifat dengan sifat benda. Pada zaman sekarang mereka sering menamakan dirinya sebagai kaum Salafi).

Berikut ini keterangan para ulama besar Ahlussunnah wal Jama’ah yang menjelaskan bahawa Allah tidak bertempat di langit, yakni sebagai berikut:

1. Abd al-Qahir al-Bagdadi (w. 429 H) dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq mengatakan:

واجمعوا على انه لا تحويه السماء ولا يجري عليه الزمان

“Telah terjadi ijmak ulama bahawa Allah Ta’ala itu tidak diliputi oleh langit dan tidak berlaku zaman atas-Nya.”

Masih dalam kitab dan halaman yang sama untuk menguatkan pernyataan beliau di atas, al-Baghdadi mengutip perkataan Sayyidina Ali r.a. seperti berikut:

إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته

“Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya, bukan untuk tempat zat-Nya.”

dan perkataan Sayyidina Ali r.a yang lain:

قد كان ولا مكان، وهو الان على ما كان

“Adalah Allah, tiada tempat bagi-Nya, dan Dia sekarang sebagaimana sebelumnya”[1]

2. Ibnu al-Jauzi (w. 597 H), salah seorang ulama hadits bermazhab Hanbali menyebut dalam kitabnya, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih seperti berikut:

قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والارض ولا تضمه الاقطار ، وإنما عرف بإشارتها تعظيم الخالق عندها .

“Telah tetap di kalangan para ulama bahawa Allah Yang Maha Tinggi tidak diliputi oleh langit dan bumi dan tidak pula dihimpun oleh penjuru. Akan tetapi ditunjuk kearah langit sebagai pengagungan Zat Maha Pencipta.”[2]

3. Mulla Ali al-Qarii (w. 1014 H), seorang ulama hadits terkenal dalam kitabnya Syarh Fiqh al-Akbar karya Abu Hanifah, mengatakan bahawa Syeikh al-Imam Ibnu Abdussalam dalam kitabnya Hall al-Rumuz mengatakan:

قال الامام ابو حنيفة رضي الله عنه : من قال لا اعرف الله تعالى في السماء هو ام في الارض فقد كفر لان هذا القول يوهم ان للحق مكانا ومن توهم ان للحق مكانا فهو مشبه

“Imam Abu Hanifah mengatakan, Barangsiapa yang mengatakan saya tidak tahu apakah Allah berada di langit ataukah berada di bumi maka dia telah kafir, kerana perkataan ini memberikan persangkaan bahawa Allah bertempat, dan barang siapa yang menyangka bahawa Allah bertempat maka ia adalah musyabbih (orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.”

Seterusnya Mulla Ali al-Qarii mengatakan, tidak diragukan bahawa Ibnu Abdussalam adalah seorang ulama besar dan sangat dipercayai, maka wajib berpegang pada kutipannya.[3]

4. Ibnu Hajar al-Asqalani (w. 852 H), seorang ahli hadits terkenal bermazhab Syafi’i mengatakan dalam kitabnya, Fathul Barri seperti berikut:

فإن إدراك العقول لاسرار الربوبية قاصر فلا يتوجه على حكمه لم ولا كيف ؟ كما لا يتوجه عليه في وجوده أين.

“Sesungguhnya jangkauan akal terhadap rahsia-rahsia ketuhanan itu terlampau pendek untuk menggapainya, maka tidak boleh dialamatkan untuk menetapkan-Nya, mengapa dan bagaimana begini? Sebagaimana tidak boleh juga mengalamatkan kepada keberadaan Zat-Nya, di mana?.”[4]

Keyakinan adanya Allah di langit bertentangan dengan penjelasan al-Asqalani di atas yang mengatakan bahawa wujud Allah tidak dapat diisyaratkan dengan kata-kata: “di mana?”. Kerana langit merupakan tempat yang dapat menjadi jawapan pertanyaan “di mana”.

5. Al-Zabidi telah menukil perkataan Imam Syafi’i dalam kitabnya, Ittihaf al-Saadah al- Muttaqin bi Syarh Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut:

إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته.

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah ada sedangkan tempat belum ada. Lalu Dia menciptakan tempat. Dia tetap atas sifat-Nya sejak azali sebagaimana sebelum Dia menciptakan tempat. Mustahil atas-Nya perubahan dalam Zat-Nya dan pergantian pada sifat-Nya.” [5]

6. Imam Ghazali (w. 505 H) menegaskan dalam kitab beliau yang terkenal, iaitu Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut:

ولا يحل فيه شئ تعالى عن ان يحويه مكان كما تقدس عن ان يحده زمان بل كان قبل ان خلق الزمان والمكان وهو الان على ما عليه كان

“Tidak menempati pada-Nya sesuatu pun, Maha Suci Allah dari meliputi oleh tempat sebagaimana Maha Suci Dia dari pembatasan oleh zaman, tetapi Dia telah ada sebelum diciptakan zaman dan tempat, Dia sekarang sebagaimana ada sebelumnya.”[6]

7. Imam al-Juwaini (w. 478 H), guru dari Imam al-Ghazali mengatakan dalam kitab al-Isyad seperti berikut:

ومذهب اهل الحق قاطبة ان الله سبحانه وتعالى يتعالى عن التحيز والتخصيص بالجهات

“Mazhab ahlul haq dari ulama quthub sesungguhnya Allah SWT Maha Suci dari mengambil tempat dan dari dibatasi dengan arah.”[7]

8. Dalam Matan al-Aqidah al-Thahawiyah, Imam al-Thahawi al-Hanafi dalam menjelaskan akidah Ahlussunnah wal Jama’ah berdasarkan akidah Abu Hanifah, Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Anshary dan Abu Abdullah Muhammad bin Hasan al-Syaibani, beliau mengatakan:

لا تحويه الجهات الست

“Allah itu tidak diliputi oleh jihat (arah) yang enam.”[8]

Mengatakan Allah bertempat di langit bererti mengi’tiqadkan Allah berada pada salah satu arah yang enam, iaitu arah atas. Dengan demikian, i’tiqad Allah bertempat di langit bertentangan dengan keterangan yang telah dijelaskan oleh Imam al-Juwaini dan al-Thahawi di atas.

9. Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh dalam keputusan fatwanya No. 09 Tahun 2014, Tanggal 25 Jun 2014 memutuskan antara lain:

a. Mengimani bahawa zat Allah hanya di atas langit/arasy adalah sesat dan menyesatkan.

b. Mengimani bahawa zat Allah terikat dengan waktu, tempat dan arah (berjihat) adalah sesat dan menyesatkan.


Dalil-dalil yang menegaskan keyakinan bahawa Allah tidak bertempat di langit

1. Firman Allah Ta’ala berbunyi:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat. (Q.S. al-Syuraa: 11)

Ayat ini adalah ayat yang paling jelas dalam al-Qur’an yang menjelaskan bahawa Allah sama sekali tidak menyerupai makhluk-Nya.

Seandainya Allah mempunyai tempat seperti langit dan arah, maka akan serupa dengan-Nya. Kerana dengan demikian, bererti ia memiliki dimensi (panjang, lebar dan tinggi), sedangkan panjang, lebar dan tinggi merupakan sifat yang khusus terdapat pada benda yang baharu.

2. Ijmak para ulama bahawa tidak ada yang azali dan qadim selain Allah ini sesuai dengan firman Allah Q.S al-Hadid: 3, berbunyi:

هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ

Ertinya: Dia (Allah) yang awal dan yang akhir (Q.S al-Hadid: 3)

Dalam ayat lain Allah berfirman, yakni Q.S. al-An’am: 101, berbunyi:

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Ertinya: Dia (Allah) menciptakan segala sesuatu dan Dia mengetahui segala sesuatu. (Q.S. al-An’am: 101)

Allah Ta’ala dengan jelas menerangkan melalui firman-Nya ini bahawa semua yang ada merupakan ciptaan-Nya, jadi tidak ada sesuatu pun selain-Nya yang bukan ciptaan Allah.

Sesuatu disebut sebagai ciptaan tentu merupakan sesuatu yang ada sesudah tidak ada. Dengan demikian, tidak ada yang qadim dan azali selain Allah.

Hadits Nabi SAW di bawah ini juga mendukung keyakinan bahawa tidak ada yang qadim selain Allah, yakni sabda Nabi SAW yang berbunyi:

كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ

Ertinya : Ada Allah tidak ada sesuatupun selain-Nya (H.R. Bukhari) [9]

Berdasarkan firman Allah dan hadits di atas, maka bererti Allah ada sebelum terciptanya tempat (langit) dan arah, maka Ia tidak memerlukan kepada keduanya dan Ia tidak berubah dari asal, yakni tetap ada tanpa tempat dan arah, kerana berubah adalah ciri dari sesuatu yang baharu (makhluk).

Seandainya Allah berada pada suatu tempat (langit), maka Allah tentu menyerupai makhluk, yakni berpindah dari azal kepada langit yang datang kemudian (yang diciptakannya).

3. Firman Allah Ta’ala berbunyi:

قُلْ لِمَنْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ قُلْ لِلَّهِ

Ertinya: Katakanlah: "Milik siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Milik Allah." (Q.S. al-An’am: 12)

Berdasarkan ayat ini, maka semua yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah Ta’ala. Oleh itu, apabila kita mengatakan Allah bertempat di langit, maka Allah itu menjadi milik Allah juga. Tentu ini mustahil terjadi, kerana Allah tidak mungkin memiliki diri-Nya sendiri.

4. Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda dalam doanya:

اللهم أنت الاول فليس قبلك شئ وأنت الآخر فليس بعدك شئ وأنت الظاهر فليس فوقك شئ وأنت الباطن فليس دونك شئ اقض عنا الدين واغننا من الفقر

Ertinya: Ya Allah, Engkaulah Zat Yang Maha Awal, maka tiada sesuatupun sebelum-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Akhir, maka tiada sesuatupun setelah-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Zahir maka tiada sesuatupun di atas-Mu dan Engkaulah Zat yang Maha Batin maka tiada sesuatu di bawah-Mu. Ya Allah selesaikanlah hutangku dan kayakan aku dari kefakiran. (H.R. Muslim)[10]

Dalam kitab al-Asmaa wa al-Shifat, al-Baihaqi menyebutkan bahawa sebahagian ulama telah menjadikan hadits ini sebagai dalil bahawa Allah Ta’ala tidak bertempat. Penjelasannya, apabila di atas Allah tidak ada sesuatu pun dan di bawah-Nya juga tidak ada sesuatu, maka Allah tidak berada di tempat manapun.[11]

5. Hadits riwayat Abu Ya’la dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أذن لي أن أحدث عن ملك قد مرقت رجلاه في الارض السابعة والعرش على منكبه وهو يقول سبحانك أين كنت وأين تكون

Ertinya: Aku telah diizinkan untuk menyampaikan berita bahawa ada seorang malaikat yang kedua kakinya terperosok dalam bumi lapis ketujuh sedang Arasy berada di pundaknya, ia berkata, “Maha Suci Allah (dari) di mana Engkau? Di mana Engkau nanti? (H.R. Abu Ya’la)[12]

Al-Haitsami mengatakan, rijalnya rijal sahih.

[13] Berdasarkan hadits ini, malaikat bertasbih dengan mengucapkan Maha Suci Allah dari pertanyaan di mana Allah? Seandainya Allah bertempat di langit, maka tasbih malaikat yang tersebut dalam hadits di atas tentu tidaklah tepat. Ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala itu tidak bertempat, baik di langit mahupun di mana sahaja.

Catatan:
Hadits-hadits sahih yang kami kemukakan di atas meskipun darjatnya ahad (dhanni wurud), tetapi kandungannya adalah qath’i, mengingat kandungan hadits tersebut bersesuaian dengan maksud firman Allah di atas.


[1] Abd al-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq, Maktabah Ibnu Sina, Kairo, Hal. 287
[2] Ibnu al-Jauzi, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih, Dar al-Imam al-Rawas, Beirut, Hal. 189
[3] Mulla Ali al-Qarii, Syarah Fiqh al-Akbar, Hal. 137-138
[4] Ibnu Hajar al-Asqalany, Fathul Barri, al-Maktabah al-Salafiyah, Juz. I, Hal. 221
[5] Al-Zabidi, Ittihaf al-Saadah al- Muttaqin, Muassisah li Tarikh al-Araby, Beirut, Juz. II, Hal. 24
[6] Al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Thaha Putra, Semarang, Juz. I, Hal. 89
[7] Al-Juwaini, al-Irsyad, Maktabah al-Khaaniji, Mesir, Hal. 39
[8] al-Thahawi, Matan al-Aqidah al-Thahawiyah, al-Maktab al-Islami, Hal. 7
[9] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 129
[10] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 2084, No. 2713
[11] Al-Baihaqi, al-Asmaa wa al-Shifat, al-Maktabah al-Azhariyah lil Turatsi, Hal. 373
[12] Abu Ya’la, Musnad Abu Ya’la, Maktabah Syamilah, Juz. XI, Hal. 496, No. 6619
[13] Al-Manawi, Faidh al-Qadir, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 458. 


[ Tuan Guru Kiyai Alizar Usman (MA) ]

ALLAH BUKAN DI LANGIT (BAHAGIAN 2)


{Bantahan terhadap syubhat-syubhat kaum Mujassimah yang berkeyakinan bahawa Allah bertempat di langit}

Di antara dalil yang sering kali menjadi pegangan kaum Mujassimah adalah firman Allah Ta’ala berbunyi:

أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ (16) أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ (17)

Ertinya: Apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahawa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?, atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku? (Q.S. al-Mulk: 16-17)

Kaum Mujassimah mengatakan, ayat ini secara tegas menjelaskan kepada kita bahawa Allah itu bertempat di langit. Kenapa kita tidak mahu beriman dengat ayat ini?

Bantahan

Berdasarkan dalil-dalil yang telah kami kemukakan pada bahagian (1) tulisan ini sebelumnya, baik ayat-ayat al-Qur’an, hadits Nabi mahupun dalil akal yang bersifat qath’i, maka kita berkeyakinan bahawa Allah Ta’ala mustahil bertempat di langit mahupun pada sesuatu tempat. Kerana itu, semua nas-nas syara’ yang zahirnya menunjukkan bahawa Allah Ta’ala bertempat wajib difahami dengan makna yang menyucikan Allah dari sifat-sifat baharu tersebut. Kerana itu, Qadhi ‘Iyadh mengatakan:

لا خلاف بين المسلمين قاطبة فقيههم ومحدثهم ومتكلمهم ونظارهم ومقتدهم أن الظواهر الواردة بذكر الله تعالى في السماء كقول الله تعالى ءأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الارض ونحوه ليست على ظاهرها

“Tidak diperselisihkan di antara kaum Muslimin, baik ahli fikh, ahli hadis, ahli teoloqi bahwa zahir-zahir nas yang datang menyebut Allah di langit seperti firman Allah: “Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahwa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu?” dan yang semisalnya itu tidak diertikan secara zahirnya.”[1]

Dalam menerangkan riwayat hamba perempuan yang ditanya Rasulullah SAW kepadanya di mana Allah, Imam al-Nawawi berpandangan seperti berikut:

هَذَا الْحَدِيثُ مِنْ أحَادِيثِ الصِّفَاتِ وَفِيهَا مَذْهَبَانِ تَقَدَّمَ ذِكْرُهُمَا مَرَّاتٍ فِي كِتَابِ الْإِيمَانِ أَحَدُهُمَا الْإِيمَانُ بِهِ مِنْ غَيْرِ خَوْضٍ فِي مَعْنَاهُ مَعَ اعْتِقَادِ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَتَنْزِيهِهِ عَنْ سِمَاتِ الْمَخْلُوقَاتِ وَالثَّانِي تَأْوِيلُهُ بِمَا يَلِيقُ بِهِ

“Hadis ini termasuk hadis-hadis sifat. Padanya ada dua aliran (penafsiran), telah berulang kali diterangkan tentangnya dalam Kitabul Iman, Aliran pertama: mengimaninya tanpa membincangkan maknanya dengan keyakinan bahwa Allah Ta’ala tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan mensucikan-Nya dari sifat-sifat makhluk. Aliran kedua : menta’wilkannya dengan memaknainya sesuai makna yang layak bagi-Nya.”[2]

Apabila kaum Mujassimah mengatakan wajib memahami ayat di atas dengan makna zahirnya, maka dapat kita kemukakan di sini bahawa banyak sekali nas-nas syara’, baik al-Qur’an mahupun hadits Nabi dimana makna zahirnya justeru bertentangan dengan makna zahir ayat di atas. Lalu adakah kita harus memahaminya dengan makna zahir? Jawabnya tentu tidak sama sekali. Berikut ini nas-nas syara’ yang zahirnya menunjukkan bahawa Allah Ta’ala tidak hanya bertempat di langit, antara lain:

1. Firman Allah berbunyi:

وَهُوَ اللهُ فِي السَمَواتِ وَ الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَ يَعْلَمُ مَا تَكْسِبُوْنَ.َ

Ertinya: Dan Dialah Allah di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan dan mengetahui apa yang kaum usahakan. (Q.S. al-An’am: 3)

Seandainya kaum Mujassimah mengatakan wajib mengertikan nas-nas syara’ tentang sifat Allah secara zahir, maka pastilah ia akan merobohkan akidahnya sendiri, sebab zahir ayat ini mengandungi makna bahawa Allah itu berada di langit dan bumi, bukan hanya di langit saja sebagaimana akidah mereka.

Padahal tiada seorang pun dari umat Islam yang mengatakan bahawa Allah bertempat di langit dan di bumi. Maha Suci Allah dari bertempat di langit dan di bumi. Kerana itu, para ulama Islam, baik salaf mahupun khalaf tidak memahami ayat di atas secara zahirnya.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir disebutkan para ulama tafsir bersepakat menolak pemahaman kaum Jahmiyah yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala berada pada setiap tempat bersandarkan kepada ayat ini. Selanjutnya Ibnu Katsir mengatakan setelah terjadi kesepakatan tersebut, para ulama tafsir berbeza pendapat dalam mentakwilnya, yang lebih sahih dari tafsir-tafsir itu adalah Yang diseru itu adalah Allah yang disembah, diesakan dan diakui ketuhanannya oleh orang-orang yang ada di langit dan di bumi.[3]

2. Firman Allah SWT:

وهُوَ مَعَكمْ أَيْنَما كُنتُ.

Ertinya: Dan Dia bersama kamu di mana pun kamu berada. (Q.S. Al-Hadid: 4)

dan ayat:

وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَنْ يَتِرَكُمْ أَعْمَالكُم
ْ
Ertinya: Dan Allah bersama kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu. (Q.S. Muhammad: 35)

Lafaz Allah adalah nama untuk zat bukan sifat. Jadi apabila difahami secara zahir sebagaimana doktrin kaum Mujassimah, maka ayat ini menunjukkan bahawa Allah berada di bumi bersama manusia. Kerananya, di sini tidak ada jalan lain selain mentakwilkan ayat di atas dan mengatakan bahawa zahir ayat ini bukan yang dimaksudkan.

Ibnu Katsir mengatakan tafsir Q.S al-Hadid: 4 ini adalah Allah selalu melihat dan menyaksikan segala perbuatan kamu dimana saja kamu berada, baik di darat mahupun di laut, malam atau siang, di rumah-rumah atau di gurun.[4] Sedangkan dalam mentafsirkan Q.S. Muhammad: 35, Ibnu Katsir mengatakan pada ayat ini merupakan khabar gembira dengan pertolongan dan kemenangan atas musuh. [5] Jadi maksud kedua ayat di atas bukan dalam erti zat Allah ada bersama mereka, tetapi yang ada bersama mereka itu hanya ilmu serta bashar Allah dan pertolongan serta anugerah kemenangan.

3. Allah SWT berfirman:

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ (83) وَأَنْتُمْ حِينَئِذٍ تَنْظُرُونَ (84) وَ نحْنُ أَقْرَبُ إلَيْهِ مِنْكُم و لكن لاَ تُبْصِرُوْنَ. (85)

Ertinya: Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkong, padahal kamu ketika itu melihat dan Kami lebih dekat kepadanya dari kamu, tetapi kamu tidak melihat (Q.S. al-Wâqi’ah: 85)

Ayat ini menjelaskan tentang seseorang yang sedang menghadapi sakaratul maut dan di sekelilingnya ada keluarga atau teman-teman dekatnya yang sedang mengerumuninya, di mana jaraknya sangat dekat dengannya, akan tetapi Allah menegaskan: “Kami lebih dekat kepadanya dari kamu”.

Jika ayat ini harus dimaknai secara zahir tanpa mentakwilkannya, maka akan bermakna Allah berada di bumi di sisi hamba yang sedang dalam keadaan sakaratul maut itu. Dan itu ertinya, Allah Ta’ala tidak berada di langit seperti yang diyakini kaum Mujassimah. Kerana itu, ayat-ayat yang seperti ini yang makna zahirnya menunjukkan kepada bahawa Allah bertempat, baik bertempat di langit mahupun di bumi harus dimaknai dengan makna lain yang sesuai dengan keagungan Allah dan kesucian-Nya.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir, makna “Kami” pada ayat ini adalah para malaikat Kami.[6] Ini sama halnya dengan seorang presiden yang mengatakan “Kami telah membangun jalan-jalan di negara kami”, tentu maknanya bukan bererti seorang presiden secara langsung berada di jalan-jalan memegang peralatan membina jalan, tetapi maksudnya adalah pembangunan jalan itu atas perintah sang presiden.

4. Allah SWT berfirman:

وَ لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسانَ وَ نَعْلَمُ ما تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَ نَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَريدِ.

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Q.S. Qaf: 16)

Adakah dengan ayat ini kita akan mengatakan bahawa Allah berada dalam salah anggota tubuh kita? Jawabnya tentu tidak. Tiada seorang pun yang beriman dan berakal sihat mengatakan seperti itu. Kerana itu, ayat ini tidak mungkin difahami secara zahir. Para ahli tafsir mentafsirkan firman Allah : “Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” dengan para malaikat lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya atau maksud “Kami” tersebut adalah ilmu Kami supaya tidak lazim ittihad dan hulul.[7]

5. Ketika Nabi Ibrahim a.s. dizalimi kaumnya, beliau berkata sebagaimana yang diabadikan Allah SWT dalam firman-Nya:

إنِّيْ ذاهِبٌ إلى رَبِّيْ سَيَهْدِينِ.

Ertinya: Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap Tuhanku dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (Q.S. ash-Shaffat: 99)

Nabi Ibrahim as. tidak hidup di langit dan beliau juga tidak hendak pergi ke langit untuk menjumpai Allah, lalu setelah itu beliau kembali lagi ke muka bumi. Apabila ayat seperti ini harus ditafsirkan secara makna zahirnya sebagaimana dakwaan kaum Mujassimah, maka tentu ayat ini akan bermakna bahwa Nabi Ibrahim a. s. hendak pergi ke langit menghadap tuhannya di sana. Tentu penafsiran seperti ini tidak pernah dikemukakan oleh sesiapa pun dari umat Islam yang sihat akalnya.

Para mufassir menerangkan bahawa kata-kata yang diucapkan Nabi Ibrahim a.s. itu adalah pada saat beliau hendak berhijrah. Beliau akan pergi menuju tempat yang diperintah Allah untuk berhijrah ke sana. Atau menuju tempat yang beliau dapat beribadah kepada Allah di sana.[8]

6. Firman Allah Q.S al-Baqarah: 115, berbunyi:

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Ertinya: Kemana saja kamu menghadap, maka di sana zat Allah. (Q.S. al-Baqarah: 115)

Zahir ayat ini menunjukkan bahawa Allah ada di mana kita menghadap. Ertinya apabila yang kita hadap itu rumah, maka di rumah itu ada Allah, apabila yang kita hadap ka’bah, maka di ka’bah itu ada Allah, na’udzubillah ‘an zalik.

Lalu apakah kita harus memahami ayat ini dengan makna zahirnya? Jawabnya, tentu tidak sama sekali dan tidak ada umat Islam yang sihat akalnya yang mentafsirkan demikian. Imam al-Razi, ahli tafsir dari kalangan Ahlussunnah wal Jama’ah menjelaskan dalam tafsir beliau, Mafatih al-Ghaib bahwa salah satu kemungkinan makna wajhullah pada ayat ini adalah bermakna arah yang dihadap pada waktu solat, yakni qiblat. Diidhafah wahj kepada Allah adalah seperti idhafah bait kepada Allah (baitullah) dan naaqah (unta) kepada Allah (naaqatullah). Idhafah seperti ini, maksudnya adalah idhafaf bil-khlaq wal-ijaad ‘ala sabilil tasyrif (menyandarkan penciptaannya untuk memuliakannya).[9]

7. Dari Abdullah ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا كان أحدكم يصلي فلا يبصق قبل وجهه فإن الله قبل وجهه إذا صلى .

Ertinya: Jika seorang dari kamu solat maka janganlah ia meludah di arah wajahnya, sebab sesungguhnya Allah berada di sisi wajahnya jika ia solat. (H.R. Bukhari[10] dan Muslim[11])

Dalam riwayat lain dalam kitab Sahih al-Bukhari berbunyi, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ القِبْلَةِ، فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ

Ertinya: Sesungguhnya Tuhan seseorang itu di antaranya dan qiblat, maka janganlah meludahi salah seorang kamu pada arah qiblat, tetapi di kiri atau di bawah dua tumitnya. (H.R. Bukhari)[12]

Apakah dengan zahir kedua hadits ini, kita akan mengatakan bahawa Allah berada di antara orang yang solat dan qiblatnya? Tentu hanya orang gila dan bodoh yang berani mengatakan seperti itu. Kerana tidak seorang pun dari orang-orang yang beriman dan berakal sihat yang beri’tiqad seperti itu. Disebabkan itu, para ulama tidak memaknai kedua hadits tersebut dengan makna zahirnya. Dalam menerangkan kedua hadits ini, al-Khuthabi mengatakan menghadap seseorang ke arah qiblat mengisyaratkan qashadnya itu adalah tuhannya, maka seolah-olah tuhannya itu ada di antaranya dan qiblatnya, kerana yang menjadi qashadnya adalah tuhannya.

Tafsir lain mengatakan maksudnya adalah kebesaran tuhan dan pahala-Nya.[13] Ibnu Hajar al-Asqalani ahli hadis terkenal mengatakan, dalam hadis ini terdapat bantahan atas orang yang menganggap bahwa Allah bersemayam di atas arsy-Nya dengan Zatnya. Hujahnya seandainya hadits ini boleh ditakwil dengan makna yang layak dengan kesucian Allah, tentu kebolehan takwil itu juga dapat berlaku untuk ayat yang zahirnya bermakna Allah bersemayam di atas arasy.[14]

8. Dari Abu Musa al Asy’ari bahwa Rasulullah SAW bersabda:

الذى تدعونه أقرب إلى أحدكم من عنق راحلة أحدكم.

Ertinya: Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat daripada seorang dari kamu kepada leher kenderaannya. (H.R. Muslim)[15]

Hadits ini tentunya bukan bermakna zat Allah berada di suatu tempat yang lebih dekat kepada penunggang unta daripada leher unta. Imam al-Nawawi mengatakan, hadits ini bermakna kiasan (majaz). Tujuan ucapan hadits itu adalah memastikan Allah mendengar doa hambanya.[16]

9. Dari Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Umar bahwa Rasulullah SAW jika telah menaiki kenderaannya untuk pergi bermusafir beliau berdoa:

اللهم أنت الصاحب في السفر والخليفة في الاهل

Ertinya: Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan khalifah/pengganti yang mengurus keluarga. (H.R. Muslim)[17]

Sesiapa pun jelas mengatakan tidak mungkin maksud hadits ini bahawa Rasullulah SAW berdoa agar Allah menjadi teman dalam perjalanan dengan erti bahawa zat Allah berada di bumi dalam perjalanan bersama beliau dan juga menjadi teman yang berada di sekitar keluarga beliau yang ditinggalkan. Akan tetapi maksudnya hanyalah pertolongan dan rahmat Allah selalu menyertai beliau dalam perjalanan serta keluarga beliau yang ditinggalkan.

Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadits Nabi SAW yang zahirnya bermakna Allah berada bukan hanya di langit, tetapi juga di bumi, namun para ulama Islam bersepakat memahami nas-nas syara’ tersebut tidak dengan makna zahirnya, tetapi mentakwilkannya sesuai dengan kesucian dan keagungan Allah SWT.

Seandainya kaum Mujassimah tetap berkeras memaknai ayat-ayat yang menyatakan secara zahir bahwa Allah berada di langit dan menolak pentakwilan dengan takwil yang sesuai dengan kemahasucian Allah SWT, maka kita minta mereka bersikap jujur dan objektif memaknai nas-nas syara’ yang kita sebutkan di atas yang menegaskan bahwa Allah tidak di langit.

Bukankah nas-nas syara’ yang kita sebutkan itu secara zahir menentang ayat-ayat yang mereka jadi dalil bahawa Allah berada di langit? Jika mereka mentakwilkannya dengan takwil tertentu, maka kita katakan, “Apa yang membenarkan mereka mentakwilkan nas-nas yang itu dan menolak takwil pada Q.S. al-Mulk :16-17 ini?”

Tafsir yang Benar Q.S. al-Mulk: 16-17
Setelah kita tetapkan dengan keyakinan yang pasti bahwa Allah tidaklah mungkin berada di suatu tempat, baik di langit mahupun di bumi ataupun di suatu yang lain yang bernama tempat, maka para ulama berusaha menafsirkan Q.S. al-Mulk: 16-17 sesuai dengan kemahasucian dan keagungan-Nya.

Diantara tafsir ayat di atas adalah bahawa apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang kekuasaan-Nya Maha Agung lagi Dahsyat dan itu tidak menunjukkan bahawa Allah berada dan bertempat di langit. Sebab orang-orang Arab jika hendak mengagungkan sesuatu perkara biasa menyifatkannya dengan sesuatu yang tinggi. Kerana itu, kira-kira makna ayat itu adalah : “Apakah kamu berasa aman terhadap Zat Yang Maha Agung dan Maha Kuasa yang dapat menggoncangkan bumi dan mengirimkan badai batu yang dapat membinasakan kamu ?”[18]

Syair-syair klasik orang-orang Arab membuktikan bahawa mereka terbiasa jika hendak mengagungkan sesuatu perkara menyifatkannya dengan sesuatu yang tinggi, seperti bait syair yang digubah pujangga kenamaan Arab di masa jahiliyah, `Antarah ibn Syaddâ al-Absi:

مقامك في جو السماء مكانه * وباعي قصير عن نوال الكواكب

“Kedudukanmu di awang-awang langit tempatnya * sedangkan lenganku pendek untuk menggapai bintang-bintang.”[19]

Akhthal salah seorang penyair terkenal pada zaman Bani Umayyah juga menggubah bait syair berbunyi:

بنو دارم عند السماء وأنتم * قذى الارض أبعد بينما بين ذلك

”Suku Bani Darim di langit sedangkan kamu* debu bumi, duhai alangkah jauhnya antara keduanya.”[20]

Atau boleh jadi yang dimaksud dengannya adalah para malaikat yang dikirim Allah untuk menurunkan azab-Nya, sebab tempat para malaikat di langit,[21]


[1] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. V, Hal. 34
[2] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. V, Hal. 33
[3] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. III, Hal. 215
[4] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VIII, Hal. 43
[5] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VII, Hal. 299
[6] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VIII, Hal. 35
[7] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VII, Hal. 371-372
[8] Al-Qurthubi, Tafsir al-Qurthubi, Maktabah Syamilah, Juz. XV, Hal. 97
[9] Imam al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Maktabah Syamilah, Juz. II, Hal. 307-308
[10] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 90, No. hadits: 406
[11] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 388, No Hadits: 547
[12] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 90, No. hadits: 405
[13] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Barri, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 508
[14] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Barri, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 508
[15] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 2077, No Hadits: 2704
[16] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. XVII, Hal. 43
[17] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. II, Hal. 978, No Hadits: 1342
[18] Lihat Tafsir al-Qurthubi, Maktabah Syamilah, Juz. XVIII, Hal. 216
[19] Al-Khatib al-Tabrizy, Syarah Diwan ’Antarah, Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut, Hal. 35
[20] Mahdi Muhammad Nashiruddin, Syarah Dewan al-Akhthal, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Hal. 221
[21] Lihat Khatib Syarbaini, Tafsir Siraj al-Munir, Juz. IV, Hal. 344

[ Tuan Guru Kiyai Alizar Usman (MA) ]