Showing posts with label Ulama' & Wali Allah. Show all posts
Showing posts with label Ulama' & Wali Allah. Show all posts

Monday, January 27, 2025

TUAN GURU SYEIKH IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI

NAMA LENGKAP

Nama lengkap tuan guru Imam Hj Ishaq ialah Ishaq bin Muhammad Arif bin Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut bin Merah Mas. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Hj. Ishaq. Tuan Hj. Ishaq dilahirkan pada tahun 1908 di kampung Rawa, Cemur, Perak. Beliau adalah anak bongsu daripada enam orang adik beradik yang terdiri dari tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan.

Datuk dan nenek beliau di sebelah ayahanda beliau adalah dari keturunan keluarga Kesultanan Rawa, Sumatera, Indonesia. Datuk lelaki beliau yang bernama Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut itu telah meninggalkan tanah Rawa, Sumatera, berhijrah ke Malaysia dan terus ke Pahang di sekitar tahun 1830-an iaitu lebih kurang 170 tahun yang lalu. Selain beliau, kedapatan ramai juga dari kalangan adik-beradik dan saudara mara beliau yang lain yang turut sama berhijrah ke Semenanjung Malaysia yang pada masa itu disebut Tanah Melayu. Antara mereka ialah Fakih Khalifah Saka yang bergelar Sutan Segentar Alam iaitu abang kandung beliau, Khatib Abdullah iaitu saudara sepupu beliau dan Dato’ Pertemuan iaitu bapa saudara beliau dari sebelah ibu.

Tidak lama sesudah berada di Pahang, maka datuk beliau itu telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Siti Umai, anak perempuan Dato' Paduka iaitu hasil perkahwinan beliau dengan Halimah. Dato' Paduka adalah seorang bangsawan yang berasal dari Kampar, Sumatera. Dato' Paduka inilah yang telah datang ke Pahang dan membuka kampung Temau, Dong, Raub yang mana pada masa dahulu ia dikenali sebagai kampung Lata Limau. Perkahwinan Sutan Tujuan Saka dengan Siti Umai tersebut, telah melahirkan enam orang anak iaitu Soman, Muhammad Arif, Mahida, Muhammad Amin, Ahmad dan Muhammad Diah. Sutan Tujuan dan bapa mertuanya iaitu Dato' Paduka, telah meninggal dunia di Temau dan jenazah kedua-duanya itu dimakamkan di tanah perkuburan Bukit Kepayang, Temau.


AYAHANDA

Ayahanda Tuan Hj. Ishaq iaitu Muhammad Arif ialah seorang yang lama berkhidmat di bawah pemerintahan kesultanan Pahang iaitu pada zaman pemerintahan al-Marhum Sultan Ahmad. Beliau masih dapat mewarisi sifat-sifat kepahlawanan datok-nenek beliau. Beliau pernah menjadi salah seorang panglima tentera Pahang dan dikenali di zaman beliau itu sebagai Panglima Perang Muhammad Arif. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan seperjuangan beliau seperti Imam Perang Yusuf bin Tan Ibrahim dan Panglima Alam, pernah beberapa kali mengetui tentera Pahang di dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti peperangan yang dikenali sebagai Perang Tengku Wan Aman.

Muhammad Arif juga telah turut memimpin tentera Pahang di dalam peperangan yang berlaku di negeri Selangor seperti Perang Sayyid al-Masyhur yang dikenali juga oleh orang-orang Pahang sebagai Perang Sayyid Suhur dan peperangan saudara antara Tengku Kudin dengan Raja Mahdi. Dalam peperangan yang berlaku di antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi tersebut, beliau memihak dan membantu Tengku Kudin. Muhammad Arif juga selalu bersama-sama dengan Dato’ Gajah iaitu panglima Pahang dan juga dengan anak beliau iaitu Dato’ Mat Kilau.

Muhammad Arif pada mulanya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Zulihan. Ayahanda Zulihan berasal dari Selangor dan ibunya pula berasal dari kampung Dong, Raub, Pahang. Beliau kemudiannya telah menceraikan Zulihan dan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Shamsiah. Ibu Shamsiah bernama Zuyah iaitu anak kepada Fakih Tan Fakih Ali. Hasil perkahwinan beliau dengan Zuyah tersebut, beliau telah dikurniakan seorang anak bernama Itam. Beliau kemudiannya menceraikan Shamsiah dan terus mengembara ke Perak dan menetap di Gopeng. Di Gopeng, Muhammad Arif mengahwini seorang lagi perempuan yang bernama Qamariah yang berketurunan Rawa. Namun kemudiannya beliau menceraikan Qamariah tersebut dan kembali ke Pahang. Di Pahang, beliau telah mengahwini Hindun atau Nujumah binti Tengku Nahmad iaitu bonda kepada Tuan Hj. Ishaq.


BONDA

Bonda Tuan Hj. Ishaq berasal dari keturunan orang kenamaan di Selangor. Tengku Nahmad yang asalnya berketurunan Siak, Sumatera, telah mengembara dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia dan menetap di kampung Kuantan, Klang, Selangor. Di sana beliau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Ubah. Setelah beberapa lama tinggal di kampung Kuantan tersebut, Tengku Nahmad telah mengahwini seorang perempuan yang bernama Maryam yang berasal dari kampung Teluk Pulai, Kelang iaitu anak saudara kepada Dato’ Buang. Hasil perkongsian hidup dengan Maryam tersebut, Tengku Nahmad telah dikurniakan dua orang anak iaitu Maryam dan Hindun. Tengku Nahmad kemudiannya telah meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di daerah Kajang (Hulu Langat).

Apabila berlakunya peperangan di Selangor yang dikenali dengan nama perang Raja Mahdi, maka Maryam telah meninggalkan kampung Teluk Pulai kerana melarikan diri dari huru-hara peperangan tersebut dengan membawa bersama kedua-dua orang anaknya itu. Hindun pada masa itu masih kecil lagi iaitu berumur kurang dari tiga tahun. Selepas itu Maryam terus melarikan diri sehingga sampai ke Bidur, Perak dan di sana anaknya yang bernama Kalthom telah meninggal dunia. Maryam kemudiannya meninggalkan Bidur dan menuju pula ke Pahang iaitu ke kampung Gali, Dong.

Di Dong, Maryam dan anaknya itu tinggal di rumah Hajjah Syarifah, anak kepada Fakih Khalifah Saka (Sutan Segentar Alam) iaitu abang kepada Sutan Tujuan Saka. Hindun telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Hajjah Syarifah kerana beliau sendiri secara kebetulannya tidak mempunyai anak. Nama Hindun kemudiannya telah ditukarkan kepada Nujumah. Setelah dewasa, Nujumah dikahwinkan dengan Muhammad Arif, ayahanda Tuan Hj. Ishaq, iaitu saudara sepupu dengan Hajjah Syarifah tersebut. Kemudian, Muhammad Arif telah membawa isteri dan mertuanya itu berpindah ke Perak dan menetap di sebuah perkampungan yang bernama Pelong iaitu satu tempat yang terletak di antara Cemur dan Sungai Siput. Di Pelong itulah bonda Nujumah meninggal dunia dan dimakamkan di perkuburan kampung tersebut.

Sewaktu menetap di Pelong, Muhammad Arif pernah berkerja mengambil upah menebang hutan untuk membina jalan keretapi di antara Ipoh dan Kuala Kangsar yang mana pada waktu itu masih belum ada perhubungan jalan keretapi di antara kedua-dua bandar tersebut. Ketika berada di Pelong, beliau telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Manan, Sa`diah dan kemudian Khadijah. Setelah lama berada di Pelong, beliau telah didatangi oleh seorang yang bernama Qasim iaitu saudara sepupu beliau lalu mengajak beliau berpindah ke Cemur, Perak, kerana di Cemur itu, menurutnya, terdapat ramai kaum kerabat Sutan Tujuan Saka. Memandangkan ramai orang Melayu yang telah berpindah ke tempat lain sehingga yang tinggal di Pelong itu hanya beberapa buah sahaja rumah yang didiami oleh orang-orang Melayu di samping yang ramai tinggal di situ adalah terdiri dari orang-orang Cina yang kebanyakan mereka berkerja sebagai pemotong papan, maka beliau pun akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Cemur.

Ketika menetap di Cemur inilah Tuan Hj. Ishaq dilahirkan, begitu juga dengan abang kandung beliau, Ayub. Walau bagaimanapun, di Cemur ini jugalah berlakunya perkara yang sangat mendukacitakan. Bonda Tuan Hj. Ishaq, Nujumah (Hindun), telah meninggal dunia pada tahun 1914 di kampung Rawa, Cemur. Pada masa itu Tuan Hj. Ishaq masih kanak-kanak lagi iaitu berumur lebih kurang enam tahun. Setelah kewafatan bonda Tuan Hj. Ishaq, kaum keluarga beliau di Pahang, khasnya di daerah Raub, meminta serta mendesak supaya ayahanda beliau, Muhammad Arif, berpindah ke Pahang. Pada tahun 1915, keluarga beliau telah berpindah ke Pahang dan terus menetap di Kampung Pasir Bayam, Dong, Raub. Setelah lebih kurang lapan tahun berada di Pahang, maka pada tahun 1923, ayahanda Tuan Hj. Ishaq pula meninggal dunia, ketika berusia 75 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kuala Gali. Tuan Hj Ishaq pada masa itu masih remaja iaitu berumur lebih kurang 15 tahun.

Kematian ayahanda beliau itu menjadikan beliau yatim piatu. Walau bagaimanapun beliau kemudiannya telah dipelihara pula oleh saudara sepupu beliau yang bernama Muhammad Tahir bin Osman bin Sutan Tujuan yang tinggal di Kampung Pasir Bayam, Dong. Dua tahun setelah kematian ayahanda beliau iaitu dalam tahun 1925, beliau pun mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan yang bernama Rubiah binti Awaludin yang berasal dari kampung Bukit Kemuning, Dong. Usia beliau pada waktu itu agak muda iaitu lebih kurang 17 tahun. Dalam tahun yang sama beliau telah berpindah ke kampung Bukit Kemuning bagi menjalani hidup berkeluarga.

Tuan Hj. Ishaq menyara hidup keluarga beliau dengan berkebun dan bersawah padi. Beliau juga pandai bertukang dan beliau adalah merupakan salah seorang tukang rumah yang agak mahir. Beliau juga ada membuka kelas pengajian al-Qur’an, fardu ain dan qasidah di rumah beliau di kampung Bukit Kemuning dengan dibantu oleh isteri beliau, Rubiah. Tidak hairanlah kalau rumah beliau itu sentiasa saja dipenuhi dengan murid-murid beliau yang datang untuk belajar ilmu-ilmu agama.

Tuan Hj. Ishaq adalah merupakan seorang imam dan amil masjid yang bertauliah yang agak lama berkhidmat memegang jawatan beliau itu, iaitu semenjak awal tahun 1930-an sehinggalah pertengahan tahun 1960-an. Beliau dengan sebulat suara telah dilantik sebagai imam serta amil masjid di kampung Lecar, mukim Dong pada tahun 1931. Ketika itu beliau telah berusia 23 tahun. Pada mulanya beliau ditauliahkan sebagai imam masjid tersebut oleh Hj. Zayadi iaitu qadi yang ketiga di daerah Raub yang juga merupakan seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin suluk serta murid Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Pada tahun 1951, beliau ditauliahkan pula oleh al-Marhum Sultan Abu Bakar ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. Jawatan imam dan amil masjid kampung Lecar ini disandang oleh Tuan Hj. Ishaq hingga tahun 1965 iaitu selama lebih kurang 34 tahun. Di samping itu beliau juga merupakan seorang guru agama sukarela yang telah diberikan kebenaran mengajar agama di Masjid Bukit Pampong, Dong, Raub bermula tahun 1977/1978.

Tahun 1976 adalah merupakan tahun kesedihan bagi Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana isteri beliau yang bernama Rubiah binti Awwaluddin meninggal dunia pada tahun tersebut dan jenazahnya dimakamkan di tanah perkuburan kampung Bukit Kemuning. Sepanjang tempoh perkongsian hidup Tuan Hj. Ishaq dengan Rubiah selama lebih kurang 51 tahun, beliau tidak dikurniakan sebarang cahaya-mata. Tidak lama setelah kematian isteri beliau itu, Tuan Hj. Ishaq berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Hajjah Fatimah binti Mat Yasin yang berasal dari kampung Ulu Gali, Raub. Perkahwinan beliau yang kedua itu terjadi pada tahun 1977. Perkahwinan tersebut juga tidak melahirkan sebarang zuriat.

Pada tahun 1982, Tuan Hj. Ishaq telah pergi ke Mekah bagi tujuan menunaikan fardu haji bersama-sama dengan isteri beliau, Hajjah Fatimah, dengan diikuti oleh beberapa orang murid beliau. Sepanjang hidup beliau itu, hanya sekali sahaja beliau pergi menunaikan fardu haji ke Mekah. Tuan Hj. Ishaq telah meninggal dunia pada 21 hb. Febuari, tahun 1992 di kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang, kerana sakit tua. Usia beliau ketika itu adalah lebih kurang 84 tahun. Jenazah beliau kemudiannya telah dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut.


LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Dari segi latar-belakang pendidikan khususnya pendidikan keagamaan, Tuan Hj. Ishaq tidak seperti tokoh-tokoh lain yang mendapat pendidikan keagamaan secara formal di pusat-pusat pengajian sama ada di dalam atau di luar negeri. Ini mungkin kerana kehidupan beliau yang agak susah lantaran kematian bonda dan ayahanda beliau itu. Sekalipun begitu, namun beliau tetap berusaha secara sendirian bagi mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu keislaman menerusi pengajian tidak rasmi iaitu pengajian yang dilakukan di masjid-masjid dan juga surau-surau.

Walau bagaimanapun Tuan Hj. Ishaq juga pernah mengecapi alam persekolahan ala moden iaitu sewaktu beliau masih kanak-kanak. Beliau mula mengenali alam persekolahan tersebut ketika keluarga beliau mula menetap di kampung Pasir Bayam, Dong, Raub, setelah dua tahun berpindah dari Cemur, Perak iaitu setelah kematian bonda beliau, Nujumah (Hindun). Beliau mula bersekolah dalam tahun 1917 di Sekolah Melayu Dong ketika berusia sembilan tahun. Guru besar sekolah tersebut pada waktu itu bernama Muhammad Jabar bin Hj. Abdul Qadir dan penolong beliau ialah anak beliau sendiri iaitu Abdul Majid bin Muhammad Jabar.

Muhammad Jabar bukanlah orang lain, beliau adalah merupakan saudara dua pupu dengan Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana ayahanda Muhammad Jabar, Hj. Abdul Qadir adalah merupakan anak kepada Raja Parmainan yang bergelar Dato’ Raja Ninda. Raja Parmainan itu pula adalah merupakan anak kepada Sutan Limbang Laut Selingkar Alam. Dengan itu Raja Parmainan adalah saudara kandung kepada Sutan Tujuan Saka iaitu datuk kepada Tuan Hj. Ishaq. Muhammad Jabar ini merupakan orang yang pertama dari kalangan orang-orang Melayu yang menjadi guru besar Sekolah Melayu di kampung Dong, Raub. Sekolah tersebut kemudiannya dinamakan Sekolah Menengah Muhammad Jabar, sempena nama guru besar pertamanya.

Tuan Hj. Ishaq berjaya menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Dong. Pada tahun 1922 beliau telah berhenti dari sekolah tersebut kerana telah tamat darjah lima yang merupakan darjah tertinggi di sekolah tersebut pada waktu itu. Beliau termasuk salah seorang pelajar yang agak pintar dan berjaya di sekolah itu. Kerana itu beliau bersama dengan seorang pelajar lain yang bernama Dakhili telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak yang merupakan tempat mendidik para pelajar untuk menjadi guru. Tawaran tersebut dibuat oleh nazir sekolah yang pada waktu itu disandang oleh Muhammad Idrus, pada tahun 1922, iaitu setelah Tuan Hj. Ishaq tamat pengajian di sekolah itu.

Rakan beliau, Dakhili menerima tawaran tersebut dan terus menyambung pelajarannya di sana sehingga beliau berjaya menjadi seorang pendidik. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi guru besar dan terus berkhidmat sehinggalah beliau bersara. Tuan Hj. Ishaq pula menolak tawaran tersebut kerana beliau melihat ayahanda beliau sudah terlalu tua dan uzur sehingga beliau tidak sanggup untuk meninggalkannya. Tuan Hj. Ishaq adalah seorang yang berminat dan mempunyai kemahuan yang agak tinggi untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Ini dapat dilihat pada usaha dan kesungguhan beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dan bahasa Arab dari guru-guru tempatan setelah beliau menamatkan persekolahan beliau.

Setelah tamat pengajian di Sekolah Melayu Dong, Tuan Hj. Ishaq mula giat belajar ilmu-ilmu agama dengan guru-guru tempatan. Umur beliau pada masa itu adalah lebih kurang 15 tahun. Pada peringkat permulaannya beliau belajar membaca al-Qur’an sehingga khatam dengan guru beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Muhammad Saman. Beliau berjaya menamatkan pengajian al-Qur’an tersebut setelah hampir setahun belajar dengan guru beliau itu. Di samping itu beliau juga mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu usuluddin dan fiqh dan seterusnya beliau belajar pula ilmu tajwid, qasidah dan lagu-lagu dengan seorang guru beliau yang lain yang bernama Tuan Guru Lebai Muhammad Din bin Imam Sani yang berasal dari Kg. Semantan Hilir, Temerloh, Pahang.

Dalam tahun 1927 iaitu ketika Tuan Hj. Ishaq berumur lebih kurang 19 tahun, beliau pergi belajar pula, bagi tujuan mendalami lagi ilmu fiqh dan tasawuf, dengan guru beliau yang bernama Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang sebelum itu merupakan seorang guru agama di Tanjung Malim, Perak. Ketika belajar dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib inilah beliau mula diperkenalkan dengan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang kemudiannya beliau menyambung pengajian tarekat tersebut dengan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad yang juga merupakan guru kepada Hj. Muhammad Khatib.

Tuan Hj. Ishaq juga ada mempelajari bahasa Arab dari beberapa orang guru. Antara guru beliau yang mengajarkan beliau ilmu bahasa Arab itu ialah Tuan Guru Hj. Abdul Razak iaitu kadi yang keenam di daerah Raub, Pahang. Bagi tujuan mendalami lagi pengetahuan tentang bahasa Arab tersebut, Tuan Hj. Ishaq belajar pula dengan Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar bin Hanafiah iaitu seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan juga menantu kepada Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar ini berasal dari Banjar Masin, Kalimantan Barat, Indonesia.

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh Tuan Hj. Ishaq sejak dari zaman remaja beliau itu telah dikembangkan sedikit demi sedikit menerusi pengkajian dan pembacaan kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab. Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan utama Tuan Hj. Ishaq ialah Kitab Bahr al-Madhi, Furu` al-Masail, Tanwir al-Qulub, Qut al-Qulub, Hidayah al-Salikin, Siyar al-Salikin, Kashf al-Mahjub, Tafsir al-Baidawi, Tafsir Ibn `Abbas, Tafsir al-Jalalain dan Sahih al-Bukhari.

Sekalipun Tuan Hj. Ishaq mempunyai latar belakang pendidikan keagamaan yang agak sederhana, tidak seperti tokoh-tokoh agama lain, namun beliau didapati agak aktif menulis dan menghasilkan buku-buku agama terutamanya tentang ajaran tasawuf dan tarekat dan juga sejarah perkembangannya di Raub, Pahang. Antara karya-karya beliau yang telah dihasilkan ialah Majmu` al-Masa'il, Tanbih al-Muridin, Majmu` al-Mau`izah, Cara-Cara Menjalani Amalan Dalam Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah Untuk Mencapai Kepada Tasawuf, Asal-Usul Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah di Daerah Raub, Pahang, dan Sejarah Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang Dar al-Ma`mur, di samping tulisan-tulisan dan risalah-risalah lain yang tidak dibukukan.


PENGLIBATAN DALAM KEGIATAN
TAREKAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH


Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah sudah lama bertapak dan berkembang di daerah Raub, Pahang. Sejarah awal kemasukan dan perkembangan tarekat ini di Raub adalah dipelopori oleh golongan pentadbir agama dan penguasa tempatan. Kadi-kadi dan beberapa orang penghulu terawal di beberapa mukim di Raub didapati terlibat dengan pengamalan dan penyebaran Tarekat Naqshabandiyyah ini. Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan yang menetap di kampung Kuala Gali, Raub, adalah kadi pertama di daerah Raub sebelum zaman penjajahan Inggeris. Hj. Salim adalah orang pertama yang mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah di daerah tersebut. Beliau telah belajar dan menerima asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah tersebut dari seorang yang berasal dari Sumatera yang bernama Shaikh Muhammad Salih.

Kadi yang kedua di Raub ialah Tuan Hj. Muhammad Arif. Beliau berasal dari Minangkabau, Sumatera dan kemudian telah berpindah ke Raub dan menetap di Sana. Beliau adalah menantu kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Di samping sebagai seorang kadi, beliau juga pengamal dan pengembang Tarekat Naqshabandiyyah. Beliau telah menerima tarekat itu dari seorang shaikh di Jabal Hindi, Mekah. Manakala kadi yang ketiga di daerah Raub pula ialah Tuan Hj. Ziyadi iaitu anak kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Beliau juga seorang pengamal dan juga pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Raub. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi adalah guru yang telah mengijazahkan kepada beliau tarekat tersebut.

Di kalangan penguasa tempatan pula, didapati penghulu-penghulu terawal di mukim Gali, Raub terlibat dengan kegiatan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Lima orang penghulu pertama di situ adalah pengamal tarekat ini. Mereka ialah Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda, Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin dan Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad bin Tengku Abdul Majid. Penghulu pertama di mukim Gali iaitu Tengku Abdul Samad, menerima dan mempelajari Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Tuan Hj. Muhammad Arif, kadi kedua di Raub, pada tahun 1914 di kampung Durian Sebatang, mukim Gali, Raub, Pahang. Begitu juga dengan penghulu yang kedua iaitu Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, di mana beliau juga mengambil tarekat tersebut dari Tuan Hj. Muhammad Arif pada tahun yang sama.

Manakala penghulu ketiga iaitu Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, telah mengambil Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Hj. Umar bin Muhammad. Penghulu keempat pula iaitu Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin, telah menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Sidiq bin Hj. Salim, iaitu salah seorang murid dan khalifah Shaikh Hj. Umar. Penghulu kelima iaitu Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim, juga merupakan salah seorang murid dan khalifah kepada Shaikh Hj. Umar.

Tuan Hj. Ishaq mula mengenali Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah ketika beliau belajar ilmu tasawuf dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang mana pada ketika itu beliau berumur 19 tahun. Beliau telah mengambil talqin zikir dan bai`ah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari guru beliau, Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib, pada tahun 1927. Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib berasal dari kampung Rokan Kanan, Langkat, Sumatera, iaitu sekampung dengan Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi al-Naqshabandi yang telah membuka pusat Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di kampung Babussalam, Langkat, Sumatera.

Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib adalah antara anak murid Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi dan khalifah beliau yang paling tua. Sebelum beliau berpindah ke Raub, Pahang, beliau adalah merupakan seorang guru agama serta pemimpim suluk di kampung Bertam, Tanjung Malim, Perak dan mempunyai ramai murid di sana. Setelah Tuan Hj. Ishaq menerima bai`ah tarekat dari guru beliau itu, maka pada penghujung tahun 1927 iaitu pada tahun yang sama, beliau mula menjalani suluk di bawah pimpinan Tuan Guru Shaikh Hj. Umar ibn Muhammad di Surau Suluk Kubu di kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Shaikh Hj. Umar adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan, Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.

Tuan Hj. Ishaq kemudiannya telah memimpin suluk di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, mukim Gali, Raub, Pahang. Suluk pertama kali di surau tersebut berlaku pada bulan oktober tahun 1965. Pada ketika itu beliau telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai imam dan amil masjid kampung Lecar yang disandang oleh beliau selama lebih kurang 34 tahun. Dengan terbinanya surau tersebut, ramailah orang yang datang untuk belajar, menerima dan seterusnya mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di bawah pimpinan beliau itu. Mereka datang dari seluruh pelusuk tanah air dan juga dari Singapura, Thailand dan Sumatera. Murid-murid Tuan Hj. Ishaq dianggarkan melebihi 5000 orang yang terdiri dari laki-laki dan juga perempuan. Murid-murid yang diangkat menjadi khalifah beliau sahaja melebihi dua ratus lima puluh orang.

Murid-murid Tuan Hj. Ishaq itu adalah dari latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berbeza. Di samping orang-orang kampung yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak rendah, ada di antara murid-murid Tuan Hj. Ishaq yang terdiri dari ahli akademik bidang keagamaan yang sebahagiannya merupakan lulusan universiti di timur tengah dan juga universiti tempatan. Antara mereka ialah seperti Ustaz Mukhtar bin Yaqub yang merupakan seorang graduan Universiti al-Azhar yang memiliki ijazah sarjana dan juga bekas timbalan Shaikh al-Arqam, Prof. Madya Ustaz Hj. Jahid bin Sidek iaitu pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Ustaz Muhammad bin Long iaitu guru agama Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, Temerloh, Ustaz Hj. Husain bin Abdul Latif iaitu guru agama Balai Muzakarah, Pauh Sembilan, Bacok, Kelantan dan Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad guru agama di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.

Di kalangan murid-murid Tuan Hj. Ishaq ada juga yang menjadi wakil rakyat iaitu Yang Berhormat Tengku Mustafa bin Tengku Hj. Seti yang kemudiannya menjadi salah seorang khalifah yang menggantikan beliau. Ramai juga di kalangan murid-murid beliau itu yang terdiri dari golongan profesional seperti Hj. Hafas bin Idin iaitu seorang peguam di Kuantan, Pahang, Abdul Rahim bin Muhammad iaitu seorang pegawai Bank Nasional di Kuala Lumpur, Wan Abdul Rasyid bin Wan Abu Bakar iaitu seorang hakim di Mahkamah Tengah, Kuantan dan Hj. Aman Syah iaitu penyelia sekolah-sekolah di Raub, Pahang.

Sepanjang 18 tahun menjadi khadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah; beliau telah menganjurkan 120 amalan bersuluk di Surau Ehyaul Qulub, Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang; di samping menghasilkan banyak tulisan yang berkaitan dengan amalan tareqat. Khalifah yang diangkat di zaman hayatnya ialah seramai 350 orang.

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 21 Februari 1992 bersamaan 18 Sya’ban 1412 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di Kg Bukit Kemuning, Dong, Raub, Pahang.


PENGGANTI PEMIMPIN TARIQAH DAN SULUK

Al-marhum Tuan Guru Imam Hj. Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi telah meninggalkan beberapa orang pengganti yang dibenarkan memimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Antara mereka ialah al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Hasan bin Wan Abdullah yang memimpin tarekat tersebut di surau suluk kampung Pulau Rumput, Pekan, Pahang. Al-Marhum Ustaz Mukhtar bin Yaqub, Pekan, Pahang, juga adalah antara khalifah beliau yang dibenarkan memimpin tarekat ini, namun beliau terlebih dahulu meninggal dunia sebelum guru beliau. Al-Marhum Imam Haji Sani, Raub Pahang juga dizinkan untuk memimpin suluk dan tarekat. Salah seorang khalifah dan pengganti beliau yang sangat giat menyebarkan ajaran tarekat guru beliau ialah TUAN GURU DR HAJI JAHID BIN SIDEK AL-KHALIDI yang sehingga sekarang masih memimpin suluk dan pengamalan tarekat ini melalui 2 surau suluknya di SURAU SULUK BABUL KHAYRAT, KAMPUNG MELAYU MAJDI, JOHOR BHARU, JOHOR dan MADRASAH MANARATIL 'ILMI, PEKAN PAHANG. Manakala al-Marhum Tengku Mustafa bin Tengku Seti pula adalah merupakan khalifah beliau yang menggantikan tempat beliau sebagai pemimpin tarekat di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub sehingga sekarang. Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad juga merupakan salah seorang khalifah Tuan Hj. Ishaq yang dibenarkan memimpin tarekat namun beliau diberitakan tidak begitu aktif mengembangkan tarekat tersebut.

============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين


[ TUAN GURU SYEIKH IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI Al-NAQSHABANDIYYAH AL-KHALIDIYYAH ]

Monday, January 13, 2025

SYEIKH ABDUR RAUF AL-FANSURI AL-SINGKILI (1592-1693 M)

Oleh : Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI ulama ini sangat banyak ditulis orang, namun tulisan ini terlebih dahulu mengemukakan kelainan penulisan yang bersumber daripada orientalis yang diikuti oleh hampir semua penulis dunia Melayu, iaitu tentang namanya yang dikemukakan sebagai Abdur Rauf Singkil atau al-Sinkili. Walhal daripada Syeikh Abdur Rauf sendiri belum ditemui penambahan perkataan Sinkili di hujung namanya, yang ada hanyalah ‘al-Fanshuri’.

Penambahan nama ‘al-Fanshuri’ bukan ‘as-Sinkili’ di hujung nama untuk Syeikh Abdur Rauf bin Ali yang tersebut dilanjutkan oleh semua ulama Melayu, yang dimulai oleh muridnya Baba Daud bin Ismail ar-Rumi ketika beliau menyelesaikan Turjumanul Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi, demikian juga pada salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyahnya.

Hal yang sama dilanjutkan pula oleh murid Baba Daud bin Ismail ar-Rumi bernama Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dalam Manzharul Ajlanya. Malahan juga sama dengan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi di dalam Bidayatul Hidayahnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalush Shafi juga menyebut nama Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Demikian halnya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani di dalam Siyarus Salikin. Demikian halnya dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani di dalam Aqidatun Najin dan juga Syeikh Ahmad al-Fathani pada kenyataannya sewaktu mentashhih kitab Turjumanul Mustafid/Tafsir al-Baidhawi.

Barangkali tulisan terawal di kalangan ulama yang menyebut ulama ini berasal dari Singkel ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dalam karyanya berjudul Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Di antara tulisannya, “… dan berkata orang yang arif, iaitu Syeikh Abdur Rauf anak Ali, Singkil nama negerinya”.

Pada halaman terakhir manuskrip tertulis, “Ini kami mengambil risalah ini karangan Syaikhu Masyaikh segala Jawi Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkil nama kampungnya ….”

Namun dalam tulisan ini, penulis tetap mengikut tulisan ulama-ulama kita, iaitu menyebut nama lengkapnya Syeikh Aminuddin Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Nama Aminuddin yang biasa dipakai pada awal namanya, namun jika dihilangkan tidaklah cacat kerana untuk memendekkan kalimat.


ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Menurut pendapat A. Hasymi, ada dua orang ulama yang bersaudara keturunan Parsi, iaitu Ali al-Fansuri dan Hamzah al-Fansuri. Datuk nenek kedua-duanya diberi kepercayaan oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria. Ulama tersebut bernama Syeikh al-Fansuri.

Bahawa pada masa pemerintahan Sultan Alaiddin Riayat Syah Said Mukammil, 997-1011 H/1589-1604 M, dua orang keturunan Syeikh al-Fansuri itu mendirikan dua pusat pendidikan Islam di pantai barat Tanah Aceh, iaitu Syeikh Ali al-Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adiknya Syeikh Hamzah al-Fansuri mendirikan Dayah Obah di Simpang Kiri Rundeng.

Pada 1001 H/1592 M, Syeikh Ali al-Fansuri dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abdur Rauf. Ada pendapat lain menyebut bahawa Abdur Rauf lahir dalam tahun 1024 H/1615 M. Pendapat tersebut berbeza dengan pendapat Dada Meuraxa, menurutnya Abdur Rauf lahir di Singkel (Aceh Selatan), ibunya berasal dari Barus. Katanya, dalam sejarah abad ke-16 terdapat dua ulama yang serupa namanya, Syeikh Abdur Rauf dari Singkel dan Syeikh Abdur Rauf dari Barus.

Hamka dalam bukunya yang bercorak menyerang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berjudul “Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao” telah memansuhkan pendapatnya sendiri yang sebelumnya mengatakan bahawa yang bernama Syeikh Abdur Rauf itu adalah dua, dalam buku tersebut beliau mengatakan hanya seorang.

Walau bagaimana pun kalimat di bawah ini mencerminkan bahawa beliau masih belum tahqiq atau ragu-ragu. Katanya, “Tetapi saya akan kembali pula mengatakan dua kalau ada orang yang dapat mengemukakan fakta yang dapat dipertanggungjawabkan”.

Pendapat Dada Meuraxa dan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan yang menyebut Syeikh Abdur Rauf ada dua orang disokong kuat oleh Abdullah Abbas Nasution dalam bukunya Sejarah Islam Sedunia 14 Abad Silam.

Dengan bersyukur kepada Allah, penulis menemukan bukti bahawa di Aceh pada zaman yang sama memang terdapat dua orang yang bernama Syeikh Abdur Rauf. Penulis juga menemukan sebuah manuskrip berjudul ‘Durratun Nakhirah Tanbihan li Durril Fakhirah’ karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang diselesaikan pada 1238 H/1822 M. Di dalam kitab tersebut diceritakan dua orang yang bernama Abdur Rauf, iaitu yang seorang Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi Abdur Rauf Hitam.

Menurut jalan cerita kitab itu, yang Abdur Rauf saja iaitulah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Kedua-dua Abdur Rauf itu menerima wasiat daripada Syeikh Muhammad az-Zainusy Syakhiyah sewaktu mereka masuk ke dalam kubah Syeikh Syazili di Mokha.

Jadi berdasarkan kepada kitab yang tersebut bererti Syeikh Abdur Rauf memang ada dua orang. Walaupun dalam kitab tersebut tidak memberi maklumat secara jelas bahawa mereka berasal dari Aceh, namun secara logiknya dapat diterima bahawa mereka memang datang dari negeri yang sama.

Secara umumnya, mereka sama-sama berasal dari Sumatera. Penulis tidak bermaksud mencampuri pertikaian-pertikaian pendapat yang tersebut, tetapi dua orang yang bernama Abdur Rauf itu, penulis ungkapkan adalah menceritakan suatu penemuan penulis yang terbaru. Sekaligus adalah merupakan jawaban terhadap tulisan Almarhum Buya Hamka yang masih mencari-cari tentang Syeikh Abdur Rauf satu atau dua orang itu.

Syeikh Abdur Rauf Hitam tidak dibicarakan dengan panjang di sini, yang dibicarakan ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, penyusun Turjumanul Mustafid iaitulah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Hampir semua karya beliau sudah penulis pegang dan baca, baik yang manuskrip mahupun cetakan. Ada pun karya ulama bernama Syeikh Abdur Rauf Hitam belum lagi penulis menemuinya. Oleh itu tidak perlu dibicarakan mengenai beliau dalam artikel ini.

Mengenai para gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri mencatatkan dalam karyanya, Umdatul Muhtajin, secara keseluruhannya, termasuk salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah, telah penulis tulis dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1. Namun begitu, baik pada manuskrip ‘Umdatul Muhtajin mahupun Kifayatul Muhtajin koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terdapat ketinggalan beberapa nama jika dibandingkan dengan salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tidak tersebut nama Syeikh Abdullah asy-Syathari. Seharusnya guru Imam Qadi Syathari ialah Syeikh Abdullah asy-Syathari, dan guru Syeikh Abdullah asy-Syathari ialah Syeikh Muhammad Arif. Demikian menurut salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri langsung saja sesudah Syeikh Qadi Syathari berguru kepada Syeikh Muhammad Arif.

Orang-orang anti tarekat selalu berpendapat bahawa salasilah tarekat ada yang terputus-putus artinya seseorang guru tarekat meninggal dunia, muridnya pula belum lahir. Hal ini berlaku seperti Syeikh Hasan al-Kharqani tidak pernah berjumpa dengan Abi Yazid al-Bistami. Demikian juga Abi Yazid al-Bistami tidak pernah berjumpa dengan Imam Ja’far Shadiq.

Pandangan yang keliru dan salah itu perlu dijawab, jawabannya ialah bahwa kedua-dua tempat pada salasilah itu tidak terputus, dengan hujah-hujah sebagai yang berikut, bahawa yang tersebut ini memang ada golongan tarekat yang lebih suka menyebut bahawa penerimaan itu adalah secara rohaniah.

Namun secara arif, pengkaji-pengkaji dan pengamal-pengamal tarekat mempunyai hujah-hujah lain, iaitu sebenarnya Syeikh Hasan al-Kharqani sebelum menerima secara rohaniah daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami. Beliau terlebih dahulu belajar dengan Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi. Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi belajar pula kepada Khawajah Abi Yazid al-Asyqi. Khawajah Abi Yazid al-Asyqi belajar kepada Muhammad al-Maghribi. Khawajah Muhammad al-Maghribi inilah yang sebenarnya menerima tawajuh tarekat daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami.

Adapun perantaraan Syeikh Abi Yazid al-Bistami dengan Imam Ja’tar Shadiq pula, ialah Syeikh Abi Yazid al-Bistami berguru kepada Imam Ali Ridha. Imam Ali Ridha belajar kepada ayahnya Imam Musa al-Kazhim, Imam Musa al-Kazhim belajar pula kepada ayahnya Imam Ja’far as-Shadiq.

Dengan keterangan di atas tidak ragu lagi bahawa tarekat-tarekat yang diterima oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dari guru-gurunya selama berada di Mekah, Madinah dan Timur Tengah adalah sah ditinjau dari segi salasilah menurut istilah tasauf atau sanad dalam ilmu hadis.

Dari keseluruhan gurunya yang cukup ramai, yang paling banyak beliau sebut ialah Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.


MURID-MURID DAN KETURUNAN

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri sangat ramai, tetapi yang dapat dipastikan ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, beliau dikenal dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’.

Ada pun Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi di atas beliau inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu.

Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di halaman terakhir pada semua cetakan tafsir itu.

Turjumanul Mustafid yang diterbitkan sampai sekarang adalah merupakan lanjutan daripada cetakan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan dua orang muridnya itu (keterangan lanjut mengenai ini lihat buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, 1990:157-172).

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang lain pula ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau inilah yang disebut sebagai orang yang pertama sebagai penyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.

Di Jawa Barat, Indonesia terkenal seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang dianggap sebagai seorang Wali Allah. Beliau ialah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sepanjang catatan sejarah, beliau dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.

Adapun mengenai Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis ada riwayat menyebut bahawa beliau juga murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Riwayat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi itu adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Walau bagaimanapun, selembar salasilah yang ada pada penulis, yang ditemui di Kalimantan Barat, menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan.

Bahkan dianggap juga beliau sebagai orang pertama menyebarkan pelbagai tarekat lainnya, di antaranya Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah. Tetapi berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tertulis, “… kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pula, yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Kitab Kifayah.’

Ada yang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tetapi dalam penelitian penulis tidaklah demikian. Yang betul ialah ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itu, iaitu Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani dipercayai adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kerana sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani. Sebagai pengenalan awal penyelidikan murid-murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di sini setakat ini dulu dan penyelidikan lanjut masih sedang dijalankan.


KARYA-KARYA

Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu. Karya beliau telah penulis senaraikan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, sebanyak 25 buah.

Setelah buku tersebut diterbitkan, diketahui pula karya beliau yang belum termasuk dalam senarai yang tersebut. Karya-karya tersebut ialah: Aghmadhus Sail. Kitab ini baru ditemui hanya sebuah saja, iaitu yang diamanahkan kepada Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur. Kandungan kitab ini mengenai ilmu tauhid. Judul yang lain juga baru diketahui pula ialah Kanzul Insaniyi, telah menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM, nombor kelas MS1530.

Karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM pula ialah Durratul Baidha’ Tanbihan lin Nisa’ nombor kelas MS 1625.

Oleh itu, terdapat tiga karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru diketahui, dengan disebutkan tiga buah kitab yang tersebut bererti ada 27 buah karya beliau yang telah dikenalpasti kerana Hujjatul Balighah ternyata bukan karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, judul itu terpaksa digugurkan dari senarai yang telah lalu.


PENUTUP

Demikianlah satu tinjauan mengenai Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama Asia Tenggara yang berasal dari Aceh Selatan atau menurut pendapat yang lain berasal dari Mandailing (daerah Batak) yang telah menggunakan masa hidup mulai tahun 1001/1592 M.

Namun menurut pendapat lain 1024 H/1615 M, dan juga ada pendapat lain mengatakan 1620 M, hingga wafat tahun 1693 M. Setelah wafat lebih terkenal dengan sebutan Teuku Syiah Kuala.


=============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين

Thursday, October 24, 2024

SYEIKH IZZUDDIN AL-QASSAM IDOLA MUJAHIDIN PADA ERA MUTAKHIR

Oleh : Dr Mohd Khafidz Soroni

NAMA Briged al-Qassam, sayap tentera Hamas diambil sempena nama seorang tokoh pejuang mujahidin Palestin.

Dalam siri perang Palestin-Israel, nama Briged al-Qassam sering muncul dalam medan pertempuran sengit yang berlaku.

Nama Briged al-Qassam yang juga sayap tentera Hamas sebenarnya diambil sempena nama seorang tokoh pejuang mujahidin Palestin yang terkenal bernama Syeikh Izzuddin al-Qassam atau nama penuhnya Syeikh Muhammad Izzuddin bin Abd al-Qadir al-Qassam yang gugur syahid genap 88 tahun lalu bulan ini.

Syeikh 'Izzuddin dilahirkan di Jabalah, Syria pada 1883. Bapanya seorang ahli sufi yang amat soleh dan warak. Pada 1896, ketika Izzuddin berumur 14 tahun, bapanya menghantar beliau untuk belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir yang menyediakan peringkat pengajian lebih tinggi pada masa itu. Di Mesir, Izzuddin gigih menimba ilmu daripada guru di Al-Azhar sehinggalah beliau tamat pengajian pada 1904.

Setelah pulang ke tanah air, beliau mempelajari pula ilmu tasawuf daripada bapanya sendiri yang juga pemimpin sebuah tarikat tasawuf. Malah, selepas kewafatan bapanya, beliau mengambil alih tempat bapanya sebagai pemimpin tarikat berkenaan. Syeikh Zaki Mujahid menamakan tarikatnya sebagai Tariqat Syaziliyyah. Kata beliau dalam kitab al-A'lam as-Syarqiyyah (jld 1, hlm. 349): "Syeikh Izzuddin al-Qassam adalah syeikh Zawiyah Syaziliyyah di Jabalah al-Adhamiyyah, utara Syria." Namun, Muhammad Hasan Syurrab dalam bukunya Izzuddin al-Qassam Syaikhul Mujahidin fi Filastin (hlm. 33) menyebutkan, nama tarikat yang dibawa oleh bapa beliau ialah Tariqat Qadiriyyah.

Dalam fasa ini, beliau gemar menelaah kitab tasawuf di samping mengajar dan memberi bimbingan agama sehingga amat disayangi masyarakat sekeliling. Tatkala Perancis menjajah Syria seusai Perang Dunia Pertama pada 1918, beliau bangkit menentang mereka dengan bersungguh-sungguh dan menyeru kepada semua muridnya bahawa hukum berjihad pada saat itu adalah wajib.

Beliau dengan tegas menggesa mereka supaya bangkit melaksanakan kewajipan berjihad. Bersama muridnya, beliau bergabung dengan pejuang yang lain. Penentangan ini membuatkan pihak Perancis berasa terancam, lantas mengeluarkan perintah hukuman mati ke atasnya. Namun, beliau berjaya meloloskan diri dan berhijrah ke Haifa, Palestin pada 1920.

Di Palestin, beliau aktif menyeru masyarakat Islam agar bangkit melaksanakan kewajipan berjihad di samping mengingatkan mereka bahaya gerakan Zionisme yang mula bertapak di Palestin melalui bantuan pihak Inggeris. Seruan jihad yang beliau laungkan bukan semata-mata melibatkan jihad menentang musuh, malah turut menitikberatkan jihad melawan hawa nafsu sebagai proses menyucikan jiwa. Ini kerana jiwa yang bersih pasti tidak akan gentar dengan ujian dan kematian. Beliau cukup terkenal dengan syiar perjuangannya: "Jihad ini adalah menang atau mati syahid."

Dengan segala bantuan kewangan yang ada beliau berusaha membeli senjata untuk murid dan pengikutnya. Beliau bukan seorang menteri atau pemimpin politik, tetapi hanyalah seorang alim yang tidak rela bangsanya dijajah dan dihina.

Pada 20 November 1935, pihak Inggeris dengan kekuatan yang besar berjaya mengepung beliau bersama lapan pengikutnya sehingga berlaku pertempuran hebat yang berlangsung selama berjam-jam. Hingga akhirnya beliau dan tiga pengikutnya gugur syahid dalam pertempuran tersebut. Kesyahidan beliau menjadi inspirasi kepada ramai pejuang yang ikhlas berjuang bagi membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman musuh yang membawa kepada tercetusnya revolusi besar di Palestin pada 1936. (Lihat: al-Butulah wa al-Fida' 'inda as-Sufiyyah oleh As'ad al-Khatib, hlm. 225-227)

Syeikh Izzuddin al-Qassam tidak banyak menghasilkan karya penulisan kerana masanya banyak dihabiskan di medan dakwah dan jihad. Namun, antara sumbangannya yang dapat ditelaah ialah kitab An-Naqd wa al-Bayan yang disusun bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Kamil al-Qassab mengenai masalah menyaringkan suara dengan bertahlil, bertakbir dan seumpamanya ketika mengiringi jenazah. Dalam membahaskannya, mereka bukan sahaja merujuk kepada pandangan ulama fiqah, bahkan merujuk juga kepada pandangan ulama sufi seperti Syeikh Ibn Arabi, Imam as-Sya'rani, gurunya Syeikh Ali al-Khawwas dan Syeikh Abd al-Ghani an-Nabulusi. Ini membuktikan betapa luasnya pembacaan mereka dalam masalah yang dibahas.

Demikianlah sekelumit daripada riwayat hidup Syeikh Izzuddin al-Qassam, seorang alim Azhari, bertarikat sufi dan berfahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ). Maka itu, jelas bahawa Briged al-Qassam yang mengabadikan Syeikh Izzuddin al-Qassam pada nama pasukan mereka adalah kumpulan yang berpegang dengan fahaman ASWJ. Anehnya, entah dari mana muncul tiba-tiba tuduhan bahawa mereka ini berfahaman Syiah. Padahal amat mustahil bagi sesuatu gerakan untuk menjadikan tokoh yang bukan daripada fahaman mereka sebagai idola dan sumber inspirasi.

[ Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Ketua Kluster Hadis, Majlis Akademik ISLAMI ]

Thursday, June 1, 2023

SYEIKH MUHAMMAD ALI ABDUR RASYID AS-SUMBAWI – KADI SUMBAWA

Koleksi penyelidikan ALLAHYARHAM Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM percakapan, beberapa catatan dan penulisan kitab Melayu/Jawi memang dijumpai beberapa nama ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini.

Di antara mereka antaranya; Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, dan ramai lagi. Nama ulama ini, mulai penulis kesan daripada sebuah karyanya berjudul, Al-Yawaqitu wal Jawahir yang ditulis pada 1243 H/1827 M.

Beberapa maklumat tentang beliau, penyelidikan awal dapat diketahui dan dipetik daripada dua buah karyanya iaitu, satu di antaranya ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir, di bahagian tepi atau pinggirnya turut dicetak sebuah kitab berjudul ‘Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Buat pertama kali tentang ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini, penulis tulis dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1 (cetakan pertama, C.V.Ramadhani, hlm :127-128). Kemudian penulis singgung dengan agak ringkas dalam buku Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, 2000, hlm : 113-114).

Daripada bahan-bahan bertulis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang berasal dari Sumbawa yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Bahkan pada sektor penerimaan Thariqat Syaziliyah, kedua-dua ulama tersebut adalah seperguruan. Kedua-duanya menerima bai’ah dari Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais (1187 H/1773 M-1240 H/1824 M).

KARYA

Hanya sebuah yang telah pasti karyanya, kerana namanya terdapat pada kitab itu, sedang sebuah lagi diduga juga karya beliau. Karya yang telah pasti itu diberi judul lengkap ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir fi ‘Uqubati Ahlil Kabair. Dan kitab yang masih belum jelas hasil karya beliau ataupun tidak, tetapi sentiasa dicetak kombinasi dengan Al-Yawaqitu wal Jawahir diberi judul, ‘Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Ada pun karya beliau yang pertama Al-Yawaqitu wal Jawahir adalah terjemahan hadis targhib dan tarhib yang berasal daripada karangan Syeikh Abdul Wahhab as-Sya’rani. Yang diutamakan ialah menceritakan seksaan orang yang melakukan dosa besar, yang terdiri dari Dua Belas Bab.

– Bab Yang Pertama: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang

– Bab Yang Kedua: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Durhaka Bagi Ibu dan Bapanya

– Bab Yang Ketiga: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Minum Arak dan Tuak

– Bab Yang Keempat: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Berzina

– Bab Yang Kelima: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Liwat

– Bab Yang Keenam: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Makan Riba

– Bab Yang Ketujuh: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meratap

– Bab Yang Kelapan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Tiada Mengeluarkan Zakat Hartanya

– Bab Yang Kesembilan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Membunuh Orang Islam

– Bab Yang Kesepuluh: Pada Menyatakan Hak Perempuan Atas Lakinya dan Hak Laki Atas Isterinya

– Bab Yang Kesebelas: Pada Menyatakan Susah dan Kesakitan Pada Hari Kiamat

– Bab Yang Keduabelas: Pada Menyatakan Sifat Syurga dan Orang Di Dalam Syurga.


Al-Yawaqitu wal Jawahir diselesaikan hari Isnin, sesudah Asar, 18 Zulkaedah 1243 H. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan Al-Yawaqitu wal Jawahir, di antaranya cetakan mutawal oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Matba’ah al-‘Amirah al-Islamiyah, Matba’ah Fathul Karim al-Islamiyah, 1310 H, cetakan pertama Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1329 H, Maktabah wa Matba’ah Sulaiman Mar’i Singapura, Penang, Kota Bharu. Juga pernah dicetak oleh Maktabah wa Matba’ah al-Ma’arif Pulau Pinang dan lain-lain.

Penerbitan-penerbitan awal kitab Al-Yawaqitu wal Jawahir ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan terbitan-terbitan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Ilyas Ya’qub al-Azhari (Indonesia).

Pada mukadimah Al-Yawaqitu wal Jawahir Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi dinyatakan, “Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah pada tahun 1243 daripada tahun hijrah Nabi s.a.w. atas yang mempunyai dia yang terlebih afdhal rahmat dan yang terlebih suci haluannya, telah menuntut daripada hamba yang fakir, lagi hina, yang mengaku berdosa, lagi taqshir, iaitu Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi yang ada diam di Makkatul Musyarrafah; oleh setengah daripada orang yang mempunyai kelebihan, lagi mulia, iaitu setengah daripada sahabat kami. Bahwasanya hamba terjemahkan kitab syeikh yang alim, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani yang dinamakan dia Al-Yawaqitu dan Jawahir pada menyatakan seksaan segala orang yang berdosa yang besar, sekalian kesusahan, dan kesakitan pada hari kiamat, dan pada menyatakan sifat Syurga, dan sekalian orang yang di dalam Syurga, daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi. Maka hamba perkenankan dengan yang demikian itu” (petikan hlm: 2-3, cetakan pertama, Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah,1329 H).

Ada pun karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang satu lagi, iaitu Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain, kandungan keseluruhannya merupakan akhlak atau adab isteri kepada suaminya. Adalah merupakan ancaman yang sangat keras terhadap isteri yang durhaka kepada suaminya. Walaupun kedua-dua karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang tersebut di atas dapat dikategorikan kepada hadis targhib dan tarhib, namun tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi adalah seorang ulama fiqhi (Faqih) dan ulama shufi ahlit Thariqah.

PENDIDIKAN, PERSAHABATAN DAN MURID

Sewaktu belajar di Mekah, Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid as-Sumbawi adalah seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Di antara guru Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang telah pasti ialah, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais. Mengenai ini ada dinyatakan oleh seorang muridnya bernama Syeikh Umar ibnu Umaju’ Mempawah (Kalimantan Barat), dalam sebuah manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah.

Dipercayai bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi bersahabat dengan Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi. Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi pula adalah pernah menerima Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah daripada Syeikh Shiddiq bin Umar Khan, juga tarekat yang sama kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Oleh sebab Syeikh Shiddiq bin Umar Khan juga guru kepada Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, maka dipercayai ulama yang berasal dari Banjar ini juga bersahabat dengan Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi.

Daripada maklumat tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi sekurang-kurangnya mengamalkan tiga jenis tarekat shufiyah, ialah Thariqat Syaziliyah, Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.

Mengenai muridnya pula, selain Syeikh Umar ibnu Umaju’ Mempawah, termasuk juga seorang ulama Sumbawa yang sangat terkenal ialah al-Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Beliau ini juga murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan menerima bai’ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Pattani tersebut.

Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi sekurang-kurang menghasilkan dua buah karangan dalam bahasa Melayu yang terkenal di peringkat seluruh dunia Melayu, ialah Sirajul Huda (mengenai ‘aqidah) dan Minhajus Salam (mengenai fiqh). Kedua-dua kitab yang tersebut masih terdapat di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu.

=============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين


Tuesday, May 23, 2023

SYEIKH ABDUR RAHMAN PAUH BOK AL-FATHANI

Koleksi tulisan allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

RIWAYAT hidup ulama yang diperkenalkan ini, buat pertama kalinya pernah penulis muat dalam majalah Al-lslam, November dan Disember 1989 di bawah judul, Tabaqat Para Ulama Patani.

Mengenai nama ulama ini bermula diketahui dari beberapa buah kitab karya ulama-ulama dunia Melayu, di antaranya dalam kitab Kaifiyat Khatamil Quran tersebut nama Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman al-Jawi al-Fathani yang berasal dari Kampung Pauh Bok. Beliau ini adalah salah seorang ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang murid beliau.

Dalam kitab Lum’atul Aurad karya Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menyebut, beliau mengambil ijazah doa Hizbul Bahri dari Syeikh Abdullah bin Muhammad Shalih, ulama ini juga berasal dari Kampung Pauh Bok Fathani.

Salah sebuah manuskrip karya Abdur Rauf bin Abdul Ma’ruf al-Jawi al-Fathani, juga berasal dari Kampung Pauh Bok. Beliau adalah murid juga kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok yang tersebut di atas.

Salah sebuah di antara manuskrip Al-‘Urwatul Wutsqa karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ditulis dalam bahasa Melayu, beliau menamakan dirinya dengan Lebai Abdus Shamad al-Jawi al-Fathani, bahawa beliau menerima talqin bai’ah zikir daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani.

Nama Syeikh Abdur Rahman bin Syeikh al-Imam Abdul Mubin al-Fathani terdapat pula dalam sebuah manuskrip nombor kelas MI 697 halaman 30, bahawa beliau berasal dari Kampung Pauh Bunga, iaitu nama lain untuk Kampung Pauh Bok. Dalam kitab Fatihatul Kubra karya Syamsuddin al-Bahri bin Abdul Karim bin Umar al-Fathani, terdapat nama Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani yang digandingkan dengan nama Syeikh Hamzah (maksudnya Syeikh Hamzah al-Fansuri) dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.

Mengenai Syeikh Imam Lebai Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, iaitu ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok, telah ditemui beberapa buah karyanya. Sebuah di antaranya disalin oleh Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok bertarikh 1121 H/1709 M. Selanjutnya adik-beradik Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok dikenali dengan Syeikh Abdullah bin Syeikh Imam Lebai Abdul Mubin, beliau adalah penyusun kitab berjudul Tanbihul Ghafilin yang diselesaikan pada 1184 H/1770 M.

Kitab ini masih tersebar di pasaran kitab sampai sekarang. Manuskrip salinan semula kitab ini sangat banyak, salah sebuah daripadanya terdapat salinan Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba.

Penyelidikan berjalan terus, akhirnya penulis berhasil menemui sebuah hikayat mengenai beliau yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Hikayat tersebut diberi judul Hikayat Wali Allah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani.

Catatan terlengkap datuk nenek ulama ini hingga sampai kepada Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani ditulis oleh Haji Abdul Mubin al-Fathani bin Muhammad Thaiyib. Yang terakhir, penulis peroleh salasilah keturunan adik perempuan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani di Brunei Darussalam.

Dari semua maklumat tersebut, dapat disimpulkan bahawa Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok adalah seorang ulama Fathani Darus Salam yang terkenal zaman dahulu, namun penulisan biografi beliau secara lengkap memang belum pernah dilakukan.

Kesimpulan lain pula bahawa sebelum kemunculan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai seorang ulama yang menghasilkan karya yang banyak di Patani, telah muncul beberapa orang ulama yang menulis kitab. Bahawa tahun-tahun penulisan pada peringkat awal ulama-ulama berasal dari Patani dapat disejajarkan dengan penulisan ulama-ulama Aceh di abad ke 16-17.

ASAL USUL

Nama lengkap yang dapat dicatat ialah Syeikh Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Abdul Mubin III bin Syeikh Wan Muhammad Jailani bin Syeikh Muhammad Masari bin Syeikh Wan Hamzah bin Syeikh Wan Abdul Mubin (Pertama) bin Syeikh Wan Abdul Jabbar bin Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah hikayat mengenai ulama ini menulis, “… Ada pun kemudian daripada itu, maka lagi akan berkata hamba yang faqir yang mempunyai taqsir, iaitu Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris Kerisik al-Fathani atau Kuala Bekah namanya pada masa dahulunya …Ada pun Tok Nyang Syeikh Pauh Bok asalnya Arab Hadhrami datang berniaga singgah di pantai Fathani. Maka berlayar mengikut tali sungai kecil hingga sampailah ke Kampung Pauh Bok. Dapatlah di situ zuriat yang bertuah namanya Abdur Rahman. Bolehlah dikatakan dia jadi Auliya’ Allah”.

Oleh sebab salasilah yang sahih tentang datuk-nenek Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sampai kepada Syeikh Muhammad ‘Arifin Syah, maka tidak jelas siapakah yang pertama datang ke Pauh Bok seperti yang terdapat pada hikayat yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, oleh itu disimpulkan bahawa datuk-neneknya memang berasal dari Arab Hadhrami.

Adik beradik Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ada 11 orang, selanjutnya dapat dirujuk pada buku penulis berjudul Penyebaran Islam & Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, PENGENALAN Siri ke-4, hlm. 11-12.

PENDIDIKAN

Memperhatikan tahun Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani menyalin karya ayahnya tahun 1121 H/1709 M, maka dapat diandaikan bahawa beliau hidup sezaman dengan Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis).

Dipercayai Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri Syeikh Abdul Mubin III bin Muhammad Jailani, seorang ulama yang mengasaskan Pondok-pengajian Pauh Bok yang banyak mengkaderkan umat sehingga keluar sebagai ulama-ulama besar.

Pondok Pauh Bok yang tersebut adalah merupakan pondok pengajian Islam tua di Patani yang masih dapat dibuktikan beberapa kesan peninggalannya sampai sekarang ini.

Ada pun pondok-pondok lain di Patani, baik yang jauh lebih awal mahupun yang sezaman dengan Pondok Pauh Bok sukar dibuktikan peninggalan-peninggalannya.

Pondok Pauh Bok di antara dua institusi pengajian pondok yang masih dapat dikesan, yang satu lagi ialah Masjid Telok Manok bekas Pondok-pengajian Wan Husein al-Aidrus. Kedua-duanya tidak kalah kemasyhurannya dengan institusi pengajian di Aceh yang dijalankan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri atau dengan ulama-ulama yang sezaman dengannya.

Institusi sistem pengajian Pondok Pauh Bok, Patani sangat menarik untuk dibincangkan selanjutnya.

Selain mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belajar juga kepada beberapa orang ayah saudaranya, iaitu Syeikh Wan Muhammad Shalih, Syeikh Wan Abbas dan Syeikh Wan Muhammad Yunus.

Setelah ilmunya cukup banyak yang diperoleh di Pondok Pauh Bok, semuanya dari golongan keluarga terdekat, maka beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Tidak jelas kepada siapa beliau belajar di Mekah, tetapi diriwayatkan selanjutnya ketika belajar di Madinah, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok bersahabat dengan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani, atau yang terkenal dengan Syeikh Saman (1130 H/1717 M -1189 H/1775 M) itu.

Disebabkan tawaduknya, setelah Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu muncul sebagai Mujaddid dan Syeikh Mursyid Kamil Mukammil dalam Thariqat Samaniyah, lalu Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok menerima baiah Tarekat Samaniyah kepada ulama tersebut, walau pun beliau jauh lebih tua daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman. Penulis lebih meyakini bahawa selama belajar di Madinah, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok lebih banyak belajar kepada Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri (lahir 1099 H/1688 M, wafat 1162 H/1749 M), jika dibandingkan dengan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.

Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri adalah guru bagi Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman itu. Pada naskhah karya ayahnya yang disalin olehnya ada dicatat bahawa ayahnya Syeikh Abdul Mubin dan beliau sendiri adalah murid Syeikh Ibrahim Tok Hasan al-Kurani al-Madani, mungkin maksudnya ialah Syeikh Ibrahim al-Kurani (lahir 1023 H/1614 M, wafat 1102 H/1690 M).

Mungkin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani itu dalam masa penghujung hayat ulama itu, dan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ketika itu masih sangat muda.

Jadi jika berdasarkan ini, bererti Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sempat hidup sezaman dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Mungkin beliau berumur panjang sehingga sempat pula belajar kepada Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri dan sempat pula menuntut bersama Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang jauh lebih muda daripada beliau. Wallahu a’lam.

AKTIVITI

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sebelum pulang ke kampung halamannya, beliau pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah, juga pernah mengajar di Masjidil Haram Mekah. Jika riwayat ini adalah benar, bererti beliau adalah orang Melayu yang pertama pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah, bahkan hingga kini memang belum diketahui orang Melayu selain beliau yang pernah mengajar di masjid tersebut.

Ada pun Masjidil Haram Mekah memang ramai ulama yang berasal dari negeri-negeri Melayu yang pernah mengajar di sana.

Selain itu, sebelum Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tinggal menetap di Pauh Bok, beliau ditugaskan oleh sahabatnya berkali-kali pulang balik dari tanah Jawi ke Mekah-Madinah, selain membawa jemaah haji, sekali gus menyebarkan agama Islam dengan menggunakan kaedah Tarekat Khalwatiyah-Sammaniyah.

Pada waktu menjalankan tugas-tugas itulah, dipercayai bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok berkunjung di banyak tempat dalam alam Melayu.

Tempat-tempat yang dapat diketahui pernah dikunjunginya ialah Terengganu, Kelantan dan Brunei. Oleh sebab itulah barangkali anak saudaranya bernama Haji Wan Sulaiman sebagai khadamnya memperoleh anak di Kampung Tendong, Patani, namanya Haji Wan Muhammad, di Kampung Ibai, Terengganu, namanya Wan Ismail, anaknya di Brunei bernama Pehin Orang Kaya Di Gadong Wan Syihabuddin (Shahbuddin) dan Wan Radhiah.

Ini kerana di Brunei, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sempat mengajar masyarakat di sana, sehingga beliau digelar oleh masyarakat dengan ‘Tok Lubuk’. Gelaran ini barangkali kerana berasal dari perkataan ‘Pauh Bok’ itu.

Berapa lama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok berulang alik dari Mekah-Madinah ke tanah Jawi mengurus jemaah haji tersebut tidak diketahui dengan pasti, pekerjaan itu dihentikan setelah beliau tetap mengajar di Pondok Pauh Bok sebagai pengganti tugas ayahnya Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani, pengasas pondok itu.

Setelah tetap mengajar di satu institusi pondok, maka terkenallah beliau sebagai seorang Wali Allah yang sangat banyak karamah lalu digelar dengan Tok Nyang Wali Allah Perobok atau Tok Nyang Perobok atau Tok Perobok saja. Murid beliau pula sangat ramai.

KARYA-KARYA

Di dalam buku penulis, Manhalus Shafi Syeikh Daud Al-Fathani dijelaskan bahawa kitab Manhalus Shafi selain dikatakan sebagai karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, juga dikatakan sebagai karya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok.

Selain Manhalus Shafi, terdapat karya-karya beliau yang lain, yang telah dikenal pasti ialah: Mir-atul Haq, judul terjemahan beliau sendiri ialah Cermin Yang Sebenar-benarnya. Kitab ini telah disalin oleh salah seorang keturunan Syeikh Abdul Mubin yang pada kulit mukanya beliau buat catatan, “Pada bulan Muharam sanah 1407 Hijrah mula menulis kitab ini oleh keturunan Tok Nyang Syeikh Perobok, selamat sempurnanya, wassalam”.

Kandungan kitab Mir-atul Haq karya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ialah mengenai ilmu tasawuf. Di dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa buah kitab yang telah beliau rujuk di antaranya Kitab Tasawuf karya Syeikh Muhyiddin Ibnu ‘Arabi, kitab Wahdatul Wujud karya Syeikh Abdul Qadir al- Jilani dan Asrarul Insan karya Syeikh Nuruddin ar- Raniri.

Pada akhir karyanya beliau juga menyebut nama gurunya, juga guru kepada ayahnya iaitu Syeikh Ibrahim Tok Hasan al-Kurani al-Madani.

Ada sebuah lagi karya Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok, manuskrip asli tulisan tangan beliau ada dalam simpanan penulis. Kitab tersebut membahas secara mendalam pelbagai aspek tentang akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh sebab manuskrip tersebut tidak lengkap, maka tahun selesai penulisan belum diketahui. Penulis belum mengetahui di mana tersimpan manuskrip karya akidah tersebut, selain manuskrip yang telah penulis punyai itu.

Penulis belum mendapat maklumat apakah karya tersebut pernah diterbitkan atau pun belum pernah diterbitkan. Namun dugaan penulis kuat mengatakan bahawa kitab yang tersebut memang belum pernah dilakukan penyalinan semula, demikian juga tentang penerbitannya berupa bahan cetakan.

Sebuah karya beliau yang bercorak wasiat mengenai pengamalan tasawuf, diberi judul oleh penyalin bernama Ibnu Qaim Abdus Shamad, judulnya dapat diketahui pada salinan ialah Wasiat Syeikh Abdur Rahman Ibnu Haji Abdul Mubin Kepada Segala Muridnya. Tarikh wasiat dan selesai penyalinan tidak terdapat.

Sesudah wasiat, dilampirkan pula satu judul yang dinamakan Kaifiyat Khalwat. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok memulai penulisan mengenai tatacara khalwat, katanya, “Hendaklah diperbuat peti sekadar setinggi berdiri dan beserta sekadar duduk bersila. Dan orang yang hendak masuk khalwat itu dibiasakan dirinya itu menjauh daripada orang barang setengah tahun supaya jinak hati itu serta dengan mujahadah. Dan dikurangkan makannya, sedikit-dikit minum pun dikurang juga”.

Sekian banyak karya dalam bahasa Melayu yang telah dijumpai, dalam pengamatan penulis, naskhah yang dibicarakan ini pada bahasan khusus mengenai tatacara mengerjakan khalwat nampaknya adalah yang paling lengkap.

Beberapa perkara yang dibahas di antaranya belum pernah dijumpai dalam kitab-kitab selainnya. Di dalam risalah tersebut termuat pula satu cara sembahyang sunat yang dinamakan Sunat al-Maqam Mutawajjihan wa Taqarruban ilallah.

Diiringi risalah selanjutnya merupakan ijazah dari Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok kepada murid kesayangannya bernama al-Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih al-Haji Abdus Shamad. Pada mukadimah risalah, setelah puji-pujian dan selawat dinyatakan, “Ada pun kemudian dari itu, maka bahawasanya saudara pada Allah yang berpegang dengan qalallah (maksudnya firman Allah) yang beroleh taufik, lagi fana ia pada mengasihi Allah, iaitu Tuan Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih al-Haji Abdus Shamad, sesungguhnya telah mengambil talqin zikir dan bai’ah dari fakir yang hina, lagi jadi khadam segala faqir, iaitu Haji Abdur Rahman anak Imam Abdul Mubin Pauh Bok …”.

Selanjutnya setelah selesai doa dalam bahasa Arab dinyatakan, “Mudah-mudahan diampuni (oleh) Allah ia dan dua ibu bapanya, dan disucikan ia akan rahsianya, dan segala gurunya, dan segala saudaranya, dan yang mengikutnya, dan bagi sekalian Islam, Amin”.

Setelah itu disambung dengan salasilah dimulai dari nama sahabat dan guru beliau, ialah Quthbul Akwan Muhammad, anak Abdul Karim al-Madani asy-Syahir bis Samman.

Pada akhir risalah dicatatkan bahawa Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih itu wafat pada hari Rabu empat likur bulan Rejab 1258 H/1842 M. Risalah terakhir diselesaikan penyalinan pada hari Isnin, 12 Ramadan 1258 H/1842 M.

Setelah penulis membanding karya-karya pendek Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani yang dikumpulkan dalam satu manuskrip tersebut, penulis berkesimpulan bahawa cara penulisan demikian pernah dilakukan oleh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati.

Kemungkinan model penulisan kedua-dua ulama itu mempunyai kesan tersendiri terhadap Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Mengenai kandungan dalam karya sufi keseluruhannya juga tidak banyak perbezaan antara ulama-ulama yang berasal dari Aceh, Bugis dan Patani itu.

KETURUNAN DAN MURID

Mengenai keturunan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belum banyak diperoleh keterangan. Namun yang dapat diketahui ada dua orang, ialah Syeikh Muhammad Shalih dan Syeikh Ahmad.

Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok tinggal di Mekah. Beliau adalah seorang ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Kedua yang bernama Syeikh Ahmad Pauh Bok juga seorang ulama. Beliau ini juga menghasilkan karangan, yang telah ditemui manuskripnya ialah Qawa’id Masailil Faraidh.

Anak Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok yang menjadi ulama ialah Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok. Ketiga-tiga yang tersebut, iaitu dua orang anak dan seorang cucu beliau itu adalah ulama-ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Sangat ramai ulama dunia Melayu yang belajar kepada kedua-duanya di Mekah terutama Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok yang tersebut. Antara anak murid Syeikh Abdul Rahman Pauh dan anaknya, Syeikh Muhammad Shalih yang terkenal ialah:

* Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang terkenal dengan kitab Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikinnya.

* Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang maklumat tentang beliau sudah cukup banyak diperkenalkan.

* Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ma’ruf al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari kampung Pauh Bok. Salah satu karya beliau yang masih berupa manuskrip juga telah ditemui.

* Syeikh Abdur Rauf bin Abdul Wahid al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari Pauh Bok. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah belajar kepada ulama ini.

* Syeikh Wan Hasan bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari Kampung Pauh Bok, kemudian menyebarkan Islam di Terengganu, berpusat di Besut. Di antara karya beliau yang telah ditemui baru dua buah, iaitu Hidayatul Mukhtar dan terjemahan Aiyuhal Walad al-Ghazali.

* Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau adalah saudara kandung kepada Syeikh Wan Hasan (nombor 5 di atas).

* Dan lain-lain ramai lagi yang belum dapat disebutkan di sini.

Demikianlah maklumat pengenalan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani yang wafat di Madinah dan kuburnya bersebelahan dengan kubur Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Saman al-Madani, guru dan sahabatnya yang dikatakan sebagai Wali Quthub pada zamannya itu. Wallahu A’lam.

=============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين


SYEIKH ABDUL MUHYI PAMIJAHAN PENYEBAR THARIQAT TASAWWUF DI JAWA BARAT

Koleksi tulisan HAJI WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SEBAGAIMANA telah diketahui bahawa pelaku utama berkembangnya Thariqat Syathariyah di Asia Tenggara pada peringkat awal dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh dan Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani di Pattani.

Syeikh Abdur Rauf mempunyai beberapa orang murid sebagai kadernya yang terkenal, di antara mereka ialah; Syeikh Burhanuddin Ulakan di Minangkabau, Syeikh Abdul Malik di Terengganu, dan ramai lagi, termasuklah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan yang akan dibicarakan ini.

Ulama ini cukup terkenal dalam percakapan lisan di Jawa Barat, terutama sekali mengenai keramat-keramatnya. Bahan mentah yang berupa cerita lisan masyarakat yang bercorak mitos atau legenda atau dongeng yang berbagai-bagai versi penyampaiannya lebih banyak diperoleh, jika dibandingkan dengan berupa bahan yang bertulis. Walau bagaimanapun, ada tiga buah manuskrip, iaitu nombor kelas LOr.7465, LOr 7527 dan LOr.7705, di Muzium Negeri Belanda dikatakan bahawa adalah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.

Sewaktu penulis melanjutkan tugasan mengkatalogkan manuskrip yang tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam (BAHAEIS), 1992, maka pada manuskrip nombor kelas MI 839 di beberapa tempat ada menyebut nama Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, seolah-olah naskhah itu dinuqil daripada ajaran ulama sufi yang tersebut. Naskhah ditulis dalam bahasa Melayu dan disalin di Pulau Pinang. Selain itu, penulis juga mempunyai sebuah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, juga dalam bahasa Melayu, yang membicarakan Martabat Tujuh.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Syeikh Haji Abdul Muhyi adalah salah seorang keturunan bangsawan. Ayahnya bernama Sembah Lebe Warta Kusumah, adalah keturunan raja Galuh (Pajajaran). Abdul Muhyi lahir di Mataram, Lombok, Nusa Tenggara Barat, pada 1071 H/1660 M dan wafat di Pamijahan, Bantarkalong, Tasikmalaya, Jawa Barat, 1151 H/1738 M. Abdul Muhyi dibesarkan di Ampel, Surabaya, Jawa Timur. Pendidikan agama Islam pertama kali diterimanya daripada ayahnya sendiri dan kemudian daripada para ulama yang berada di Ampel. Dalam usia 19 tahun, ia berangkat ke Aceh untuk melanjutkan pendidikannya dan belajar dengan Syekh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Lebih kurang enam tahun lamanya Syeikh Abdul Muhyi belajar dengan ulama besar Aceh itu, iaitu dalam lingkungan tahun 1090 H/1679 M-1096 H/1684 M.

Tahun pembelajaran Syeikh Abdul Muhyi di Aceh kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu, kita dapat membandingkan dengan tahun pembelajaran Syeikh Burhanuddin Ulakan yang dipercayai termasuk seperguruan dengannya.

Syeikh Burhanuddin Ulakan yang berasal dari Minangkabau itu belajar kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri bermula pada 1032 H/1622 M, tetapi tahun ini tetap masih dipertikaikan kerana riwayat yang lain menyebut bahawa ulama yang berasal dari Minangkabau itu dilahirkan pada tahun 1066 H/1655 M.

Maka kita perlu membandingkan dengan tahun kelahiran Syeikh Yusuf Tajul Khalwati dari tanah Bugis-Makasar, iaitu 1036 H/1626 M, selanjutnya keluar dari negerinya menuju ke Banten 1054 H/1644 M, seterusnya ke Aceh belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri juga. Selain itu, dapat juga kita bandingkan dengan tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, iaitu tahun 1060 H/1650 M hingga tahun 1092 H/1681 M; Semua ulama yang tersebut dikatakan adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Banyak pula ulama bercerita bahawa semua mereka termasuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan adalah bersahabat.

Dengan perbandingan-perbandingan tahun tersebut, dapat kita ketahui bahawa tahun-tahun itu masih bersimpangsiur, masih sukar untuk ditahqiqkan. Yang sahih dan tahqiq hanyalah mereka adalah sebagai murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Yang lebih menarik lagi, bahawa semua mereka, kecuali Syeikh Burhanuddin Ulakan, diriwayatkan sempat belajar ke luar negeri ke Mekah, Madinah, Baghdad dan lain-lain. Termasuk Syeikh Abdul Muhyi diriwayatkan adalah murid kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani di Mekah dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi di Madinah, yang kedua-dua ulama itu adalah ulama ahli syariat dan haqiqat yang paling terkenal pada zamannya.

Setelah Syeikh Abdul Muhyi lama belajar di Mekah dan Madinah, beliau melanjutkan pelajarannya ke Baghdad. Tidak jelas berapa lama beliau tinggal di Baghdad, tetapi diriwayatkan ketika beliau berada di Baghdad hampir setiap hari beliau menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat dikaguminya.

Dalam percakapan masyarakat, Syeikh Abdul Muhyi adalah termasuk keturunan/zuriat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Allah, Quthbul Ghauts, yang sangat terkenal itu. Riwayat yang lain diceritakan bahawa Syeikh Abdul Muhyi ke Baghdad dan Mekah adalah mengikuti rombongan gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari Baghdad beliau kembali lagi ke Mekah dan selanjutnya kembali ke Jawa dan berkahwin di Ampel.

AKTIVITI

Setelah selesai perkahwinan di Ampel, Syeikh Abdul Muhyi bersama isteri dan orang tuanya berpindah ke Darma, dalam daerah Kuningan, Jawa Barat. Selama lebih kurang tujuh tahun (1678 M-1685 M) menetap di daerah itu mendidik masyarakat dengan ajaran agama Islam. Kemudian berpindah pula ke daerah Pameungpeuk, Garut, Jawa Barat. Di daerah itu, beliau hanya menetap lebih kurang setahun saja (1685-1686), walau bagaimanapun beliau berhasil menyebarkan agama Islam kepada penduduk yang ketika itu masih menganut agama Hindu.

Pada 1686 ayahnya meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Dukuh, di tepi Kali Cikangan. Beberapa hari selepas pemakaman ayahnya, Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke daerah Batuwangi. Beliau berpindah pula ke tempat yang berhampiran dengan Batuwangi iaitu ke Lebaksiuh. Selama lebih kurang empat tahun di Lebaksiuh (1686 M-1690 M), Syeikh Abdul Muhyi berhasil mengislamkan penduduk yang masih beragama Hindu ketika itu.

Menurut cerita, keberhasilannya dalam melakukan dakwah Islam terutama kerana Syeikh Abdul Muhyi adalah seorang Wali Allah yang mempunyai karamah, yang dapat mengalahkan bajingan-bajingan pengamal “ilmu hitam” atau “ilmu sihir”. Di sanalah Syeikh Abdul Muhyi mendirikan masjid, tempat ia memberikan pengajian untuk mendidik para kader yang dapat membantunya menyebarkan agama Islam lebih jauh ke bahagian selatan Jawa Barat.

Kemudian Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke satu desa, iaitu Gua Safar Wadi di Karang Pamijahan, Tasikmalaya, Jawa Barat. Perpindahannya ke Karang Pamijahan itu, menurut riwayat bahawa beliau diperintahkan oleh para Wali Allah dan perjumpaan secara rohaniah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, supaya beliau mencari suatu gua untuk tempat berkhalwat atau bersuluk di Jawa Barat. Cerita mengenai ini banyak dibungai dengan berbagai-bagai dongeng yang merupakan kepercayaan masyarakat terutama golongan sufi yang awam.

Bagi mengimbangi cerita yang bercorak mitos itu, ada riwayat yang bercorak sejarah, bahawa Syeikh Abdul Muhyi diundang oleh Bupati Sukapura, Wiradadaha IV, R. Subamanggala untuk memerangi dan membasmi ajaran-ajaran sihir yang sesat Batara Karang di Karang Pamijahan dan di gua Safar Wadi itu. Di kedua-dua tempat tersebut adalah tempat orang-orang melakukan pertapaan kerana mengamalkan ilmu-ilmu sihirnya.

Oleh sebab Syeikh Abdul Muhyi memang hebat, beliau pula dianggap sebagai seorang Wali Allah, maka ajaran-ajaran sihir yang sesat itu dalam waktu yang singkat sekali dapat dihapuskannya. Penjahat-penjahat yang senantiasa mengamalkan ilmu sihir untuk kepentingan rompakan, penggarongan dan kejahatan-kejahatan lainnya berubah menjadi manusia yang bertaubat pada Allah, setelah diberikan bimbingan ajaran Islam yang suci oleh Syeikh Abdul Muhyi, Wali Allah yang tersebut itu.

Gua Safar Wadi pula bertukar menjadi tempat orang melakukan ibadat terutama mengamalkan zikir, tasbih, tahmid, selawat, tilawah al-Quran dan lain-lain sejenisnya. Maka terkenallah tempat itu sebagai tempat orang melakukan khalwat atau suluk yang diasaskan oleh ulama yang terkenal itu.

Disingkatkan saja kisahnya, bahawa kita patut mengakui dan menghargai jasa Syeikh Abdul Muhyi yang telah berhasil menyebarkan Islam di seluruh Jawa Barat itu. Bukti bahawa beliau sangat besar pengaruhnya, sebagai contoh Bupati Wiradadaha IV, iaitu Raden Subamanggala pernah berwasiat bahawa jika beliau meninggal dunia supaya beliau dikuburkan di sisi gurunya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu. Tempat tersebut sekarang lebih dikenali dengan nama Dalem Pamijahan.

Murid-murid yang tertentu, Syeikh Abdul Muhyi mentawajjuhkannya menurut metod atau kaedah Thariqat Syathariyah yang salasilahnya diterima daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun tarekat yang sama diterimanya juga kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, iaitu guru juga kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, namun Syeikh Abdul Muhyi memulakan salasilahnya tetap menyebut Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hal demikian kerana tarekat yang tersebut memang terlebih dulu diterimanya daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al Fansuri.

Setelah beliau ke Mekah, diterimanya tawajjuh lagi daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi itu. Maka berkembanglah Thariqat Syathariyah yang berasal daripada penyebaran Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu di tempat-tempat yang tersebut, melalui bai’ah, tawajjuh, dan tarbiyah ruhaniyah yang dilakukan oleh Syeikh Abdul Muhyi muridnya itu.

KETURUNAN

Menurut riwayat, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan mempunyai empat isteri. Hasil erkahwinannya itu, beliau memperoleh seramai 18 anak. Menerusi Raden Ayu Bakta, memperoleh anak bernama Kiyai Haji Muhyiddin atau digelar Dalem Bojong. Namun menurut Aliefya M. Santrie, dalam buku Warisan Intelektual Islam Indonesia, setelah beliau pulang dari Pamijahan beliau menemukan satu artikel dalam majalah Poesaka Soenda yang menunjukkan bahawa tidak identiknya Kiyai Haji Muhyiddin dengan Dalem Bojong.

Kedua-duanya memang anak Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, tetapi Kiyai Haji Muhyiddin personaliti tersendiri dan Dalem Bojong personaliti yang lain pula. Menurutnya makam Kiyai Haji Muhyiddin dalam majalah itu disebut namanya yang lain, iaitu Bagus Muhyiddin Ajidin, terletak di sebelah selatan makam Syeikh Abdul Muhyi, sedang makam Dalem Bojong terletak di sebelah timur.

Barangkali keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu sangat ramai yang menjadi ulama di daerah Jawa Barat, sewaktu penulis berulang-alik di Pondok Gentur, Cianjur (1986 M-1987 M) difahamkan bahawa Kiyai Haji Aang Nuh di pondok pesantren adalah termasuk keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Penulis sendiri menerima beberapa amalan wirid dari kiyai itu dan ternyata memang terdapat hadiah al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan beberapa ulama lainnya untuk memulakan amalan.

Dari Kiyai Haji Aang Nuh juga, penulis mendengar cerita-cerita yang menarik mengenai Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sampai sekarang Pondok pesantren Gentur dikunjungi mereka yang mempunyai permasalahan yang sukar diselesaikan dari seluruh Indonesia, tempat itu sentiasa ramai kerana doa kiyai itu dianggap mustajab.

Di Pondok-pesantren Gentur itu tidak mengajar disiplin ilmu sebagai pondok-pesantren lainnya, di situ hanya mengajar amalan-amalan wirid terutama selawat atas Nabi Muhammad. Penulis sempat mewawancara pengunjungnya, menurut mereka wirid atau amalan yang diterima dari kiyai itu terbukti mustajab.

PENYELIDIKAN ILMIYAH

Oleh sebab kepopularan ulama yang dianggap Wali Allah ini, beberapa sejarawan, budayawan dan lain-lain telah berusaha menyelidiki biografi ulama yang berasal dari Pulau Lombok itu. Di antara mereka umpamanya seorang Belanda, Snouck Hurgranje, pernah mengembara di Jawa Barat dan di Sukabumi menemukan beberapa naskhah karya yang dibangsakannya kepada karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.

R. Abdullah Apap ibn R. Haji Miftah menyusun sebuah buku berjudul, Sejarah Pamijahan: Kisah Perjuangan Syeik Haji Abdulmuhyi Mengembangkan Agama Islam di Sekitar Jabar. Aliefya M. Santrie menulis artikel Martabat (Alam) Tujuh Suatu Naskah Mistik Islam Dari Desa Karang, Pamijahan. Dan ramai lagi tokoh yang membuat kajian mengenai ulama yang dibicarakan ini.

Khas mengenai artikel Aliefya M. Santrie yang lebih menjurus kepada pengenalan ajaran Martabat Tujuh versi Kiyai Haji Muhyiddin yang ditulis dengan huruf pegon. Setelah penulis teliti dan membanding dengan naskhah yang ada pada penulis yang ditulis dalam bahasa Melayu/Jawi, yang juga tercatat sebagai karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, memang banyak persamaan.

Demikian juga dengan manuskrip koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor kelas MI 839, membicarakan Martabat Tujuh yang merupakan nukilan karya Syeikh Abdul Muhyi itu.

Sungguhpun demikian perlu kita ketahui bahawa ajaran Martabat Tujuh sebenarnya bukanlah ciptaan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan tetapi yang pertama membicarakan ajaran itu ialah dalam kitab bahasa Arab berjudul Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanpuri. Kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi.

Martabat Tujuh dalam bahasa Melayu selain yang dibicarakan oleh Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan juga banyak, dimulai oleh ulama-ulama tasawuf di Aceh, diikuti oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan Ad-Durrun Nafisnya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga membicarakannya dalam Siyarus Salikin, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalus Shafi dan ramai lagi.

Oleh itu, perkembangan ilmu tersebut di dunia Melayu tumbuh subur, tak ubahnya seperti perkembangan ilmu tauhid metode sifat 20 dan fiqh menurut Mazhab Syafie pada zaman itu.

Sebagai menutup artikel ini, perlu juga penulis sebutkan sungguhpun Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan terkenal di seluruh Jawa Barat tetapi riwayat hidupnya hampir-hampir tak dikenal di dunia Melayu lainnya. Oleh itu, artikel ini adalah satu usaha memperkenalkannya yang disejajarkan dengan ulama-ulama terkenal yang lain, yang hidup sezaman dengannya, iaitu Syeikh Abdul Malik Terengganu, Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh Yusuf Khalwati, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani dan ramai lagi.

===============================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين