Wednesday, March 7, 2018

Muhasabahlah Ke Dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan :
“ Kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan.”

Imam Hasan Al-Bashri رضى الله عنه pernah berkata :
“ Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain.”

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah سبحانه وتعالی dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti : Memerhatikan dan Memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti : Perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه berkata :
" Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan." [ Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235 ]

Firman Allah سبحانه وتعالی :
Maksudnya :
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah رضى الله عنه berkata berkenaan dengan ayat ini : 
" Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…" [ Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85 ]

Telah berkata Imam Al-Hasan رضى الله عنه berkenaan dengan ayat ini :
" Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya."

Firman Allah سبحانه وتعالی lagi :
Maksudnya :
“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat).” (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah سبحانه وتعالی menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :
" Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Syeikh Ahmad Az-Zarruq رضى الله عنه berkata :
" Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [ Qawa'id At-Tasawwuf m/s 75 ]

Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه berkata :
" Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah سبحانه وتعالی, makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah سبحانه وتعالی. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."


Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama : Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya : Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan رضى الله عنه berkata :
" Allah سبحانه وتعالی merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah سبحانه وتعالی, maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah سبحانه وتعالی dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.
Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah سبحانه وتعالی, ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah سبحانه وتعالی, maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah سبحانه وتعالی, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah سبحانه وتعالی.

Jenis Kedua : Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu :

Pertama : Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah سبحانه وتعالی dalam ketaatan.

Kedua : Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga : Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah سبحانه وتعالی, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالی, kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah سبحانه وتعالی daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.


Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah سبحانه وتعالی. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah سبحانه وتعالی kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah سبحانه وتعالی berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Sayyidina Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda صلى الله عليه وسلم dengan Allah سبحانه وتعالی.


OLEH : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari


APAKAH SEMUA YANG TIDAK DIBUAT OLEH NABI ITU BID'AH?

NABI TIDAK BUAT MAKA TIDAK BOLEH DIBUAT, BENARKAH?

SOALAN : Segelintir golongan yang ekstrimis mengatakan bahawa orang Islam banyak melakukan perbuatan yang tidak harus dilakukan dengan hujjah bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم tidak melakukannya dan begitu juga para sahabat. Adakah perkara ini, iaitu perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabat menandakan ianya tidak harus dilakukan?



JAWAPAN : Berhubung dengan tajuk persoalan ini, al-Syeikh al-Sayyid Abdullah bin al-Sidq al-Ghumari رحمة الله تعالى telah mengarang risalah bertajuk ( حسن التفهم والدرك لمسألة الترك ) dan beliau menukilkan bait syair yang sangat indah. Katanya :

الترك ليس بحجة فى شرعنا / لا يقتضي منعا ولا إيجابا

فمن ابتغى حظرا بترك نبينا / ورآه حكما صادقا وصوابا


قد ضل عن نهج الأدلة كلها / بل أخطاء الحكم الصحيح وخابا


لا حظر يمكن إلا إن نهي أتى / متوعدا لمخالفيه عذابا


أو ذم فعل مؤذن بعقوبة / أو لفظ تحريم يواكب عابا


Yang bermaksud,


Perkara yang tidak dilakukan (oleh Nabi) tidaklah boleh dijadikan hujjah (kaedah) dalam syariat kita,


Kerana ianya tidak bermaksud dilarang atau tidak bermaksud ianya wajib,


Barang siapa beranggapan perkara yang tidak dilakukan (oleh Nabi) adalah haram,


Dan berpandangan ianya adalah hukum yang benar dan betul,


Maka dia telah sesat dalam manhaj (pengambilan) dalil,


Bahkan salah pada meletakkan hukum yang sahih dan melakukan kesalahan,


Tidaklah boleh dikatakan haram kecuali didatangkan (nas) larangan,


Yang menjanjikan orang yang melanggarnya dengan azab,


Atau pun ada celaan ke atas orang yang merestu sesuatu perbuatan dengan balasan,


Atau ada lafaz pengharaman yang membawa keaiban.


Ulama’ Islam sama ada salaf dan khalaf, di timur dan barat telah bersepakat bahawa alasan Nabi tidak melakukannya bukanlah satu kaedah untuk menjadi dalil sekiranya ianya bersendirian (tiada nas larangan). Kaedah yang digunakan oleh mereka dalam menetapkan hukum syarak sama ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram adalah seperti berikut:


1. Nas daripada al-Quran


2. Nas daripada al-Sunnah


3. Ijmak ulama’ pada hukum


4. Qias


Dan beberapa kaedah yang menjadi perselisihan pendapat antara mereka dalam menetapkan hukum yang lain iaitu:


5. Kata-kata sahabat


6. Saddu al-Zari‘ah ( سد الذريعة )


7. Perbuatan ahli Madinah


8. Hadith Mursal


9. al-Istihsan


10. Hadith Dhoif


Dan tidak terdapat daripada kaedah itu bahawa Nabi tidak melakukannya sebagai dalil dan alasan.


Perkara yang Nabi tidak dilakukan tidak boleh dijadikan hukum syarak sekiranya ianya bersendirian (tiada nas larangan) dan perkara ini disepakati oleh para ulama’. Terdapat bukti-bukti dan athar tentang kefahaman sahabat رضي الله عنهم bahawa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi ianya bukanlah bermaksud diharamkan mahupun makruh maka inilah juga yang difahami oleh para fuqaha’. Ibnu Hazm رحمة الله تعالى telah menolak hujjah al-Malikiyyah dan al-Hanafiyyah berhubung makruh solat sunat sebelum Maghrib dengan alasan Sayyidina Abu Bakar رضى الله عنه, Sayyidina Umar رضى الله عنه dan Sayyidina Uthman رضى الله عنه tidak melakukannya. Ibnu Hazm رحمة الله تعالى berkata: Perkara ini tidak benar. Ini kerana hadith berkenaan adalah hadith ( منقطع ), Ibrahim (perawi) tidak dikenali dikalangan kami dan dia dilahirkan bertahun-tahun selepas pembunuhan Sayyidina Uthman رضى الله عنه. Dan sekiranya hadith ini sah, ianya masih tidak boleh dijadikan hujjah kerana tiada tegahan daripada para sahabat yang lain dan mereka juga tidak memakruhkannya. Justeru kami tidak bertentangan dengan mereka iaitu perkara sunat yang tidak dilakukan oleh Nabi adalah boleh buat[1].


Maka inilah pendirian Ibnu Hazm رحمة الله تعالى kepada ibadah yang tidak dilakukan oleh sahabat رضي الله عنهم, dan begitu juga pendiriannya kepada perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi tentang ibadah yang asal sesuatu itu adalah disyariatkan. Beliau berkata tentang solat sunat selepas Asar: Adapun hadith Sayyidina Ali bin Abi Talib كرم الله وجهه tidak boleh dijadikan hujjah. Ini kerana ianya adalah pengkhabarannya tentang apa yang dia ketahui. Dia tidak melihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم menunaikan solat sunat selepas Asar dan dia benar tentang apa yang dia kata tetapi tiada larangan dan makruh bagi solat sunat itu. Begitu juga Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak berpuasa sebulan kecuali bulan Ramadhan. Ini bukanlah menunjukkan tegahan untuk berpuasa sunat sebulan penuh pada bulan-bulan yang lain[2]. Maka kefahaman mereka Nabi tidak berpuasa penuh pada bulan-bulan yang lain selain Ramadhan bukanlah menunjukkan haram atau makruh sekiranya seseorang itu berpuasa panuh sebulan pada bulan-bulan yang lain sekalipun baginda tidak melakukannya.


Dithabitkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم berkhutbah di atas batang pokok kurma dan bukan di atas mimbar. Para sahabat berpendapat berkhutbah di atas mimbar bukanlah bid’ah dan haram. Maka mereka membina mimbar bagi Rasulullah berkhutbah di atasnya[3]. Oleh itu, perbuatan mereka tidak mendahului perkara yang diharamkan oleh baginda kerana apa yang tidak dilakukan oleh nabi bukan bermaksud bid’ah atau haram.


Nabi صلى الله عليه وسلم juga tidak melakukan di dalam solat selepas rukuk membaca (ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا ). Para sahabat memahami doa yang tidak dibaca oleh baginda dalam solat bukan bermaksud perbuatan itu haram, dan seandai sebaliknya maka tidak perlulah mereka membuatnya kerana telah diyakini haram dan Nabi saw juga tidak menegur amalan yang dilakukan itu seraya bersabda: Bagus! Tetapi amalan itu tidak dikira, atau baginda menegahnya sebab mengada-adakan doa yang asing dalam solat, maka di sini tahulah kita bahawa peristiwa yang berlaku dahulu tidak boleh kita tetapkan hukumnya pada hari ini


Hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Rifa’ah bin Rafi’ al-Zarqi رضى الله عنه berkata: Suatu hari kami bersolat di belakang Nabi صلى الله عليه وسلم dan apabila bangkit daripada rukuk baginda berkata: ( سمع الله لمن حمده ). Kemudia dijawab oleh seorang sahabat: (ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه ). Selesai daripada menunaikan solat baginda bertanya: Siapa yang berkata tadi. Sahabat menjawab: Saya. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku melihat tiga puluh lebih malaikat berebut-rebut, siapakah yang pertama di kalangan mereka yang dapat mencatat amalan tersebut[4]. Al-Hafiz Ibnu Hajar رحمة الله تعالى mengulas hadith ini: Hadith ini menunjukkan bahawa harus berzikir dalam solat dengan doa yang tidak ma’thur selagi tidak bertentangan dengan yang ma’thur[5]. Jika dibenarkan mengada-adakan doa yang tidak ma’thur dalam solat, maka ianya di luar solat adalah aula.


Sayyidina Bilal رضى الله عنه turut memahami bahawa solat sunat wudhu’ yang tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم bukanlah bermaksud tidak harus dilakukan. Beliau tidak memberitahu baginda sehinggalah Nabi صلى الله عليه وسلم bertanya: Wahai Bilal, beritahu kepada aku, amalan yang paling baik yang engkau lakukan dalam Islam. Sungguhnya aku mendengar tapak kaki kamu di hadapan syurga. Bilal menjawab: Tiada amalan yang terbaik ku lakukan kecuali ketika aku dalam keadaan bersih (berwudhu’) pada saat siang atau malam, aku bersolat sunat dengan sebab keadaan bersih (berwudhu’) itu yang ianya bukanlah wajib untuk aku bersolat.


Sebagaimana yang diketahui, solat sunat selepas berwudhu’ dilakukan selama setahun sebalum diikrarkan oleh baginda صلى الله عليه وسلم. Justeru, inilah bukti kepada kita bahawa kefahaman para sahabat رضي الله عنهم harus mengada-adakan doa atau solat sunat pada waktu tertentu yang mana Nabi صلى الله عليه وسلم tidak melakukannya. Ini kerana baginda tidak mengingkari perbuatan para sahabat dan tidak menegahnya selepas baginda mengetahuinya.


Dari penjelasan tadi, dapat kita ketahui bahawa secala mutlaq perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم, para sahabat dan sehingga kurun ke 3, tidak ia bermaksud apa-apa, bukanlah ianya diharamkan, makruh dan selain daripada itu. Inilah kefahaman para sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم sepanjang hidup baginda dan Nabi tidak mengingkari kefahaman mereka itu. Seterusnya perkara ini diteruskan oleh ulama’ dan marilah kita memohon kepada Allah untuk memahamkan kita tentang agama kita Islam.


وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين، والله تعالى أعلى أعلم


[1] Al-Mahalliy bil Athar, Ibnu Hazam, Jilid 2 halaman 22.


[2] Sda, Jilid 2 halaman 36.


[3] Al-Bukhari pada dua tempat, Jilid 2 halaman 908 dan Jilid 3 halaman 1314.


[4] Di keluarkan oleh Iman Ahmad dalam Musnadnya, Jilid 4 halaman 340, al-Bukhary dalam Sohihnya, Jilid 1 halaman 275, Abu Daud dalam Sunannya, Jilid 1 halaman 204, al-Nisa’ie dalam Sunannya, Jilid 1 halaman 222, Malik dalam al-Muatta’, Jilid 1 halaman 211 dan al-Baihaqi dalam al-Kabir, Jilid 2 halaman 95.


[5] Fath al-Bari, Ibnu Hajar, Jilid 2 halaman 287.



Riya', Sum'ah dan 'Ujub

1. Riya’ dari segi Bahasa, berasal dari kata Ru’yah, ertinya "menampakkan".

Secara istilah riya’ adalah memperlihatkan suatu amal kebaikan/ibadah kepada sesama manusia agar ingin dipuji orang dan tidak diniatkan untuk Allah سبحانه وتعالی.

Al-Hafidz Imam Ibnu Hajar al-Asqolani رحمة الله تعالى dalam kitabnya
 Fathul Baari berkata :

“Riya’ ialah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.”


2.
Sum’ah dari segi bahasa, berasal dari kata Samma’a, yang membawa erti "memperdengarkan".

Secara istilah Sum’ah adalah sikap seorang muslim memperdengarkan atau membicarakan amal/ibadahnya kepada orang lain untuk mendapat pujian, penghargaan atau sesuatu keuntungan.


3.
'Ujub adalah mengagumi diri sendiri, iaitu ketika kita merasa bahwa diri kita memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki orang lain. Imam Al Ghazali رحمة الله تعالى berkata : 


“Perasaan 'ujub adalah kecintaan seseorang pada suatu karunia dan merasa memilikinya sendiri, tanpa mengembalikan keutamaannya kepada Allah.”


Sunday, March 4, 2018

SANDARAN HUJJAH DAN DALIL BAGI MAJLIS TAHLILAN

1. Majlis Tahlilan adalah suatu majlis yang dilakukan oleh keluarga si mati untuk bersedekah makanan bagi pihak si mati kepada kaum muslimin yang mana pada masa yang sama hadirin membacakan al-Quran, zikir dan selawat lalu diakhiri dengan doa agar pahala amalan tersebut sampai kepada si mati.

2. Menurut jumhur ulama, amalan sedemikian dibolehkan dan digalakkan seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi, Imam Rafie, Imam Suyuthi, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dan lain-lain.

3. Masyarakat melayu kita seringkali dilihat mengadakan majlis tahlilan dalam tempoh yang tertentu seperti 3 hari, 7 hari dan 40 hari.

4. Persoalannya daripada manakah datangnya kebiasaan ini?

5. Sudah tentu tidak ada seorang pun yang menganggap hukumnya wajib melainkan bagi mereka yang jahil. Usaha ini adalah ikhtiar keluarga bagi pihak si mati sahaja seperti mana hadis Nabi 
صلى الله عليه وسلم :


ما على أحدكم إذا أراد أن يتصدق بصدقة تطوعا أن يجعلها لوالديه فيكون لوالديه أجرها وله مثل أجورهما من غير ينقص من أجورهما شيء

“Apa yang ada pada kalian, apabila disedekahkan dengan sedekah yang sunat, yang mana pahalanya dihadiahkan untuk kedua ibu bapanya, maka bagi kedua ibu bapanya pahala tersebut dan baginya juga mendapat pahala sama seperti yang diterima oleh kedua ibu bapanya tanpa berkurang sedikit pun.” (HR Ath-Thabarani dan Ibnu Hibban)

6. Berdasarkan pengajian dan penelitian saya, kebiasaan ini datang daripada beberapa hadis dan athar yang mana menjadi sandaran kepada amalan tersebut.

7. Sandaran bagi 3 hari :


حين طعن عمر أمر صهيبا أن يصلي بالناس ثلاثا وأمر بأن يجعل للناس طعاما

“Apabila Sayyidina Umar ditikam, beliau menyuruh Sayyidina Shuhaib untuk mengerjakan solat sunat bersama orang ramai selama 3 hari dan beliau memerintahkan agar disediakan makanan kepada orang ramai.” (Diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Fil Hadis Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Al-Matalib Al-Aliyyah)

8. Sandaran bagi 7 hari dan 40 hari :


رجلان مؤمن و منافق فأما المؤمن فيفتن سبعا وأما المنافق فيفتن أربعين صباحا

“Orang mukmin dan munafiq kedua-duanya diuji di dalam kubur. Bagi orang mukmin akan diuji selama 7 hari. Manakala bagi munafiq pula diuji selama 40 hari.” (HR Ahmad)

Oleh yang demikian, kata Imam Suyuthi رحمة الله تعالى :

ان سنة الإطعام سبعة أيام بلغني أنها مستمرة إلى الآن بمكة والمدينة

“Sesungguhnya sunat bersedekah memberi makanan selama 7 hari telah sampai kepadaku, ia berterusan hingga sekarang di Mekah dan Madinah.” (Al-Hawi lil Fatawi, hal. 194)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami 
رحمة الله تعالى juga menyatakan hal yang sama di dalam kitab beliau Al-Fatawa Al-Fiqhiah Al-Kubra.


9. Hal ini dapat dikukuhkan dengan kenyataan Imam Ibnu Asakir 
رحمة الله تعالى yang menaqalkan kata-kata Imam Nasrullah ibn Muhammad A-Qawiy Al-Masyisyi رحمة الله تعالى :


توفي الفقيه نصر بن إبراهيم في يوم الثلاثاء التاسع من المحرم سنة تسعين وأربع مائة بدمشق وأقمنا على قبره سبع ليال نقرأ كل ليلة عشرين ختمة

“Telah meninggal Imam Al-Faqih Nasr ibnu Ibrahim رحمة الله تعالى pada hari Selasa 9 Muharam tahun 490H di Damsyiq. Kami telah melaksanakan di kuburnya selama 7 malam, membacakan al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam.” (Tabyin Kazb Al-Muftari, hal.287)

10. Oleh yang demikian, tidak hairanlah para ulama kita tidak melarang mempraktikkan amalan yang mulia ini. Bahkan kata al-Muhadith Maulana Abdul Haq bin Saifuddin Al-Dehlawi 
رحمة الله تعالى :


والمستحب ان يتصدق عن الميت بعد ذهابه من الدنيا الى سبعة أيام والتصدق الى سبعة أيام ينتفع بلا خلاف بين أهل العلم

“Dan digalakkan untuk bersedekah bagi pihak si mati selepas kematiannya selama 7 hari. Dan sedekah selama 7 hari itu memberi manfaat kepada si mati tanpa khilaf dalam kalangan ulama.” (Asy’ah Al-Lima’at, juz.1, hal.634)

(Dinuqil daripada buku Majlis Tahlilan Polemik Sepanjang Zaman pada hal.196-202)

Disediakan oleh : Hafiz Al-Za’farani (HAZA)



HADITH DA'IF BUKAN HADITH PALSU

Perbuatan golongan Pseudo-Salafi (salafi palsu) menyamakan hadith da’if dengan hadith mawdu’ adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melampau. Meskipun majoriti ulama’ menerima hadith da’if, namun terdapat ulama’ kontemporari seperti Sheikh al-Albani yang menyanggah kesepakatan ulama ini dengan berkata : “kami menasihatkan saudara Muslim di timur dan di barat untuk meninggalkan beramal dengan semua hadith-hadith da’if, dan memberi perhatian kepada apa yang benar-benar thabit daripada Rasulullah saw padanya mencukupi daripada yang da’if, kerana daripada pengalaman kami tahu bahawa orang-orang yang berpandangan lain dalam hal ini telah jatuh ke dalam pembohongan...maka aku berkata: cukuplah seseorang itu menjadi sesat apabila ia beramal dengan segala apa yang ia dengar”. (Da’if al-Jami’ al-Saghir 1:45-51).

Hadith Da’if adalah hadith yang tidak memenuhi syarat sahih dan hasan, sama ada kerana bermasalah pada sanadnya atau pada perawinya. Maka hadith yang diriwayatkan tanpa sanad, atau sanadnya tidak lengkap seperti hadith mu’allaq dan hadith mursal, atau diriwayatkan oleh orang yang kurang dipercayai seperti bermasalah dari segi kekuatan ingatan dan hafalan, atau tidak dikenali perawinya adalah dikategorikan sebagai hadith da’if. Hadith da’if memiliki banyak pecahan, ada ulama’ yang membahagikan kepada 40 bahkan 60 bentuk hadith da’if.

Majoriti ulama’ mutaqaddimin, seperti Imam-imam mazhab yang empat, Sufyan al-Thawri, Abdullah Ibn al-Mubarak, Yahya bin Ma’in, dan ulama’ muta’akhkhirin seperti al-Nawawi, al-Iraqi (Shafi’i), Ibn al-‘Arabi, Ibn Qudamah, Abu Ya’la al-Farra’ (Hanbali), Ibn Abd al-Barr (Maliki), al-Sindi (Hanafi), al-Suyuti, Ibn Kathir dan ramai lagi berpendapat bahawa hadith da’if boleh diterima pakai khususnya dalam fada’il al-a’mal. Majoriti mereka menerima hadith mursal. Bahkan Imam Ahmad bin Hanbal mendahulukan hadith da’if daripada qiyas “hadith da’if lebih aku sukai daripada ra’y (qiyas)” (I’lam al-Muwaqqi’in 1:31) . Umumnya mereka hanya menolak hadith da’if yang tersangat da’ifnya seperti hadith munkar dan shaz.

Mengamalkan hadith da’if dalam perkara fada’il dan bukan halal haram atau permasalahan usul Aqidah adalah dibenarkan menurut Imam al-Nawawi dan beliau berkata: telah bersepakat para muhaddithin (ahli hadith) bahawa hadith da’if boleh diamalkan. Mulla Ali al-Qari juga berkata demikian. (Al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Maudu’ah, 315). Disebutkan sebagai hadith da’if kerana, sebagaimana ditegaskan oleh Nuruddin ‘Itr, para ulama’ tidak menghukum dusta (khizb) terhadap hadith ini, dan tidak cukup untuk disabitkan sebagai hadith sahih tetapi masih berkemungkinan untuk menjadi kuat apabila tiada yang bertentangan dengannya. (Manhaj al-Naqd, 294).

Kecenderungan tashaddud (mempersusah) golongan Pseudo-Salafi menyebabkan mereka tidak menerima ruang perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dan kerananya mudah menghukum amalan yang dilakukan oleh umat Islam sebagai bid’ah dan sesat hanya kerana hadith yang dijadikan sandaran dalam hal ini dianggap da’if bahkan sama martabatnya dengan mawdu’ (palsu).

[ Penulisan Dr. Khalif Muammar ]


Friday, March 2, 2018

MUJAHADAH DAN RIYADHAH

Ketahuilah wahai para murid yang menuju jalan kepada Allah, di dalam ilmu tasawwuf dan thariqat, mujahadah dan riyadhah adalah dua perkara yang penting yang boleh dikatakan sebagai dasar atau rukun di dalam melalui perjalanan ke hadrat Allah سبحانه وتعالی. Mula-mula kita memerhatikan erti kedua istilah yang tersebut di sisi ahli tasawwuf.

1. MUJAHADAH – Ertinya berjuang atau melawan hawa nafsu, melawan kehendak hawa nafsu jahat yang menghalangi seseorang murid itu serta godaan dan bisikan syaitan, melawan dan meninggalkan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan seseorang murid itu kedalam kelalaian dan kemaksiatan serta jauh daripada Allah Azza Wa Jalla.

2. RIYADHAH – Ertinya latihan atau melatih diri dan hawa nafsu supaya tunduk di dalam melakukan wirid zikir thariqat dan ibadah-ibadah yang lain supaya menjadi suatu kelaziman bagi diri seseorang murid di dalam melakukan ketaatan serta menjauhi kemaksiatan walaupun ada masanya di dalam melakukan riyadhah ini hawa nafsu seseorang murid tiada langsung merasai manis dan lazat dalam melakukan ibadah.

Begitulah pengertian mujahadah dan riyadhah secara dasarnya untuk menambahkan lagi kefahaman bagi para murid mengenai dua perkara yang disebutkan ini. Di dalam Al-Quran disebutkan firman Allah mengenai perkara mujahadah yang bermaksud :


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Ertinya :


“Dan orang-orang yang bermujahadah untuk (mencari keredhaan) KAMI, benar-benar akan KAMI tunjukkan kepada mereka jalan-jalan KAMI.” (Surah Al-Ankabut 69)

Sebagai orang Islam kita disarankan oleh Allah dan Rasul-Nya supaya bermujahadah untuk mencapai kebaikan dan kemenangan, kerana kebaikan dan kemenangan tidak akan datang percuma begitu sahaja, apatah lagi jika seseorang murid yang melalui jalan 'ubudiah dan makrifahnya kepada Allah, terlebih lagi ditekankan ke atas mereka itu (murid-murid). Seperti mana yang telah dimuafakatkan oleh para masyaikh ahli tasawwuf dan thariqat yang menghukumkan wajib bagi para murid itu melakukan mujahadah dan riyadhah di dalam perjalanannya menuju Allah.


Friday, August 12, 2016

Tokku Pulau Manis - Pensyarah Hikam Pertama Alam Melayu

Nama Tokku Pulau Manis sememangnya telah begitu masyhur di kalangan penduduk Terengganu sebagai seorang ulama dan juga pejuang tanah air pada waktu penjajahan British dahulu. Namun begitu, tidak ramai yang mengenali susur galur dan juga sejarah hidup ulama Melayu ini. Nama beliau yang sebenar ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Syeikh Abdul Malik adalah berasal dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang merupakan seorang raja di Baghdad. Kemudian beliau telah merantau ke Terengganu dan menjadi pemerintah di Terengganu yang dikenali dengan Kerajaan Temir.

Pada tahun 1650 M, Syeikh Abdul Malik telah dilahirkan di Kampung Pauh, Kuala Berang, Terengganu. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu. Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar "Serambi Mekah". Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (H.1030-1050 / M.1620-1693), seorang mursyid Thariqat Syattariyah yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680 M, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Kehidupan Syeikh Abdul Malik di istana adalah juga merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya dan melakukan ibadat. Hasil dari sifat-sifatnya yang mulia dan daya intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan kepimpinan.

Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik, dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya.

Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan juga ulama tempatan, Syeikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar ke Aceh bersama dengan sahabat-sahabatnya. Di sana, Syeikh Abdul Malik telah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok Syeikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.

Apabila Syeikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaiah oleh Syeikh Abdul Malik dengan Thariqat Syattariyah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga muridnya yang lain iaitu Syeikh Yusuf Khalwati al-Mankatsi dari Bugis Mekasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai beberapa maqam padanya. Akhirnya, Syeikh Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah Thariqat Syattariyah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di Terengganu apabila pulang ke negerinya.

Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Syeikh Abdul Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu, Syeikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di Mekah, Syeikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah seorang darinya ialah Syeikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Syeikh Ahmad Qusyasyi.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (H.1025-1011 / M.1616-1690), juga mursyid Thariqat Syattariyah yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Feqah, Usuluddin dan Tasawuf di samping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.

Beliau mendalami Fikah al-Syafi'e dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Syeikh Ahmad Qushashi (merupakan guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan mursyid Thariqat Syattariyah di Madinah) yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Syafi'e di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.

Syeikh Abdul Malik memilih Thariqat Syadzuliyah yang diasaskan oleh Saidi Syeikh Abu al-Hasan Asy-Syadzuli رضى الله عنه (H.656 / M.1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau turut mengamalkan hizib Hizbul Bahr yang terkenal itu. Beliau berkenalan dengan thariqat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga thariqat ini iaitu Syeikh Ibnu ‘Athaillah as-Sakandari (H.709 / M.1309) pengarang kitab Al-Hikam yang masyhur itu. Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam di samping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus. Pengajaran Asy-Syadzuli dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi al-Imam Abu al-Hassan Asy-Syadzuli dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat di samping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, di antara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Syeikh Ibn ‘Athaillah dan Syeikh Abu al-Hasan Asy-Syadzuli sendiri, Syeikh Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Syeikh Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Syeikh Abu Turab al-Khashabi, Syeikh Abu Yazid al-Bistami, Syeikh Abu Talib al-Makki, Imam Abu Hamid al-Ghazali, Syeikh Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Syeikh Abu Bakar al-Syibli, Syeikh Abu Nasar al-Sarraj, Syeikh Ahmad al-Rifa’i, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Syeikh Ibnu Ibbad, Imam Hassan al-Basri, Imam Junaid al-Baghdadi, Syeikh Ahmad Zarruq, Syeikh Sahl bin Abdullah, Syeikh Sirri al-Saqti, Imam Asy-Sya’rani, Syeikh Abd al-Salam bin Masyish dan Syeikh Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya' Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, al-Ri’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh Syeikh al-Harith al Mushasibi, Syarah terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Syeikh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Syeikh Ahmad al-Rifa’i.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Muhammad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu ‘Athaillah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :


"(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah aku memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan syarahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia..."

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Syeikh Ibrahim al-Kurani telah kembali ke Rahmatullah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syarif Abdul Malik kembali ke tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Syeikh Abdul Malik telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya makin hampir.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1690an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Sultan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya telah menjodohkan Syeikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang pembesar yang berasal dari kerabat DiRaja Johor yang kemudiannya telah menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila. Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Feqah.

Setelah ayahandanya mangkat, Syeikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk. Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk mencari pengganti dirinya.

Setelah itu, Syeikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun dari jawatan dan menggantikannya dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Syeikh Abdul Malik. Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Syeikh Abdul Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah di Terengganu.

Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan Thariqat Syattariyah. Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Syeikh Thariqat Syattariyah dan telah diizinkan untuk membai'ah dan membimbing suluk para muridnya.

Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya, murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.

Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M / 1149 H, Tok Pulau Manis telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya disembahyangkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makam dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan Zainal Abidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan diletakkan batu ’bereluk’ di sekelilingnya. Makamnya juga hendaklah ditutupi dengan kain kelambu berwarna kuning.


Al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Malik bin Abdullah ( Tokku Pulau Manis ).