Suatu ketika, Nabi Ibrahim عليه السلام pernah ditanya, "Sebab apa Allah ﷻ menjadikanmu kekasih-Nya?"
Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab, :
Kerana tiga perkara, iaitu:
1) Aku selalu mengutamakan perintah Allah ﷻ di atas perintah selain-Nya,
2) Aku tidak pernah mengkhawatirkan ketentuan/rezeki yang telah ditanggung Allah ﷻ,
3) Aku tidak makan pada petang mahupun di pagi hari kecuali bersama tetamu."
[ Al-'Allamah Syeikh Nawawi al-Jawi رحمة الله تعالى Dalam Nashaih al-Ibad fi Bayan al-Fadz Munabihat 'Ala al-Isti'dad li Yaum al-Ma'ad ]
Dari An-Nawwas bin Sim'an Al-Ansari رضي الله عنه dia berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang erti kebajikan (kebaikan) dan dosa. Sabda Baginda Nabi ﷺ :
"Kebajikan (kebaikan) itu ialah budi pekerti yang baik. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan (menggelisahkan) dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain."
[ Hadith riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad ]
Majlis Maulid Nabi Muhammad ﷺ yakni dengan mensyukuri kurniaan Allah سبحانه وتعالی iaitu diutuskan Nabi Muhammad ﷺ kepada ummat ini, atau dengan memperingati atau mengenangkan pemberian dan anugerah Allah سبحانه وتعالی dan sebagainya adalah Sunnah yang dibenarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri dan termasuk perbuatan yang dibanggakan oleh Allah سبحانه وتعالی.
Hal ini sepertimana yang telah dilakukan oleh para Sahabat رضي الله عنهم dan disaksikan oleh Rasulullah ﷺ sendiri sepertimana Hadith :
"Telah mengkhabarkan kepada kami Sawwur bin Abdullah ia berkata; telah menceritakan kepada kami Marhum bin Abdul Aziz dari Abu Na'amah dari Abu Uthman an-Nahdi dari Abu Sa'id al-Khudri ia berkata ; Mu'awiyah رضي الله عنه berkata :
"Rasulullah ﷺ keluar menemui serombongan orang, yakni para sahabatnya.
Baginda ﷺ lalu bertanya : "Apa yang membuat kamu duduk (berkumpul)?"
Para sahabat menjawab ; "Kami duduk untuk berdoa kepada Allah dan memuji-Nya atas petunjuk yang Dia berikan hingga kami memeluk agama-Nya. *Serta memberikan kepada kami kurniaan dengan perantaraanmu (Nabi Muhammad ﷺ)*."
Baginda ﷺ bertanya lagi ; "Demi Allah, apakah hanya itu yang menjadikan kamu duduk berkumpul?"
Para sahabat menjawab ; "Demi Allah, kami tidak duduk berkumpul di sini kecuali hanya untuk itu."
Baginda ﷺ bersabda : "Sungguh, aku tidak akan meminta kamu bersumpah untuk menghilangkan keraguan, namun Jibril عليه السلام datang kepadaku, ia mengkhabarkan bahawa Allah سبحانه وتعالی membanggakan kamu di hadapan para malaikat-Nya."
[ Hadith riwayat an-Nasa'i dalam Sunannya dengan Sanad yang Sahih ]
Para sahabat Rasulullah ﷺ telah pun melakukan Majlis Maulid dengan berkumpul dan bersyukur atas kurniaan Allah سبحانه وتعالی iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang menjadi perantara di antara manusia dengan Allah سبحانه وتعالی untuk mengenal Islam dan sebagainya.
Maka Majlis Maulidur-Rasul ﷺ yakni Majlis bersyukur atas kurniaan Allah سبحانه وتعالی (iaitu dilahirkan atau diutuskan Nabi Muhammad ﷺ sebaik-baik kurniaan) bukanlah Bid'ah yang sesat sepertimana yang dikatakan oleh Salafi-Wahhabi.
Janganlah bila makin belajar, makin berlagak dengan guru, bercakap menunjuk pandai depan guru, akhirnya semakin banyak dipelajari, semakin jauh kita dari Allah, dan semakin banyak belajar, semakin serabut hidupnya, berkahnya tidak ada, kehidupan makin susah, ujian bertimpa-timpa, rezeki semakin sempit, antaranya ialah sebab berkat ilmu tidak ada, dan sebab tidak berkat ialah Adab dengan guru kita tidak jaga. Berhati-hatilah.
Bermula adab orang yang belajar ilmu itu sebelas perkara.
1. Memberi salam dahulu apabila berhadapan dengan guru.
2. Tidak banyak berkata-kata di hadapan guru.
3. Tidak berkata dengan izin guru.
4. Tidak bertanya sebelum minta izin dari guru.
5. Tidak menyanggah kata-kata guru seperti berkata "si polan tak kata seperti yang guru kata".
6. Tidak menunjukkan diri lebih tahu dari guru.
7. Tidak berbisik-bisik dengan rakan di hadapan guru.
8. Tidak menoleh ke kiri & kanan BAHKAN hendaklah ia menunduk.
9. Tidak banyak bertanya tatkala guru segan hendak bercakap atau sedang keletihan.
10. Hendaklah ikut berdiri ketika guru berdiri atau ketika guru baru sampai ke tempat pengajian kerana berdiri itu tanda ta'zim (memuliakan). Dan ketika guru sedang bangun atau berjalan, jangan ditanya soalan KECUALI dharurat.
11. Jangan buruk sangka dengan guru pada segala perbuatannya yang zahir sebab berbeza denganmu kerana mereka lebih tahu segala hukum syarak dan rahsia syarak berbanding kamu.
[ Kitab SiyarusSalikin karangan Asy-Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani رحمة الله تعالى - Juz 1 m/s 16 ]
كتاب سير السالكين ج ١ م/س ١٦
Ada seorang 'alim bertanya pada saya,
"Apa yang lebah akan cari bila dicampak ke dalam sampah?"
Saya jawab,
"Dia akan mencari madu,"
Orang 'alim tu beritahu,
"Tidak sebaliknya dia akan cari bunga terlebih dahulu, kemudian baru akan datangnya madu."
Selepas itu dia bertanya lagi,
"Apa yang terjadi apabila lalat dicampakkan ke dalam taman yang dipenuhi dengan bunga?"
Saya jawab,
"Pasti lalat akan mencari sampah."
Kemudian orang 'alim tu beritahu,
"Jadilah kamu seperti mata lebah walaupun ditunjuk akan keburukan seseorang kepada kamu, tetap kamu mencari kebaikannya."
"Dan janganlah kamu jadi mata lalat walaupun ditunjuk seribu kebaikan seseorang kepada kamu, kamu masih lagi mahu mencari keburukan orang lain."
Jangan kau ambil ilmu ini sebagai maklumat tapi ambillah ilmu ini untuk amal dan sampaikan.
Semoga Allah سبحانه وتعالی beri taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...
"Terkadang seorang Murid diuji dengan kemiskinan dan kesempitan ekonomi, pada saat itu maka hendaklah dia tetap bersyukur kepada Allah dan menganggap hal itu bagian dari curahan nikmat terbesar-Nya.
Sebab Dunia ini hakikatnya adalah musuh, oleh kerananya Allah mendatangkan duniawi pada musuh-musuh-Nya, dan menjauhkan hal-hal duniawi dari para kekasih-Nya. Maka hendak bersyukurlah seorang Murid tersebut lantaran Allah telah membuatnya senasib dengan para Nabi, para Wali dan hamba-hamba Allah yang Shalih.
Sungguh Baginda Nabi Muhammad ﷺ dahulu sampai mengikat perutnya dengan batu untuk menahan lapar. Terkadang sampai dua bulan lebih dapurnya tidak berasap kerana tidak memasak makanan, dan Baginda ﷺ hanya memakan kurma dan air saja."
[ Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad رضى الله عنه, Risalah Adab Suluk al-Murid ]
"Hakikat dunia adalah negeri yang sementara, bukan negeri keabadian. Jika kita memanfaatkan dunia dan menyibukkannya dengan ketaatan kepada Allah Ta’ala, maka kita akan memetik hasilnya di akhirat kelak. Adapun jika kita menyibukkannya dengan syahwat, maka kita akan merugi, baik di dunia apa lagi di akhirat.
Hal ini sebagaimana Firman Allah Ta'ala;
خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ.
"Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata!". (QS. Al-Hajj [22] : 11).
Orang-orang yang menyibukkan dunia dengan sesuatu yang akan bermanfaat untuknya kelak di sisi Allah Ta’ala, mereka adalah orang-orang yang beruntung, baik di dunia dan di akhirat. Dia beruntung di dunia kerana menyibukkan diri dalam amal kebaikan. Demikian pula, dia beruntung di akhirat kerana telah membekali diri dengan berbagai amal shalih.
Allah Ta'ala berfirman dalam banyak ayat Al-Quran;
فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا.
"Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdaya kamu!". (QS. Luqman [31] : 33).
Dalam ayat ini, Allah Ta’ala melarang kita untuk terperdaya dengan kehidupan dunia!".
[ Sayyiddil Al Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ]