Sunday, January 5, 2020

Mengapa orang saling berteriak jika mereka sedang marah?

Seorang 'Alim berjalan dengan para muridnya. Mereka melihat ada sebuah keluarga yang sedang bertengkar dan saling berteriak.

Orang 'Alim tersebut berpaling kepada muridnya dan bertanya, "Mengapa orang saling berteriak jika mereka sedang marah?"

Salah seorang murid menjawab, "Kerana kehilangan sabar sebab itulah mereka berteriak."

"Tetapi, mengapa harus berteriak kepada orang yang berada di sebelahnya? Bukankah pesan yang ia sampaikan boleh diucapkan dengan perlahan saja?" Tanya orang 
'Alim menguji murid-muridnya.

Muridnya pun saling memberikan jawapan, namun tidak satupun jawapan yang mereka sepakati.

Akhirnya orang 
'Alim berkata, "Bila dua orang sedang marah, ketahuilah hati mereka saling berjauhan. Untuk dapat menempuh jarak yang jauh itu, mereka mesti berteriak agar perkataannya dapat didengar. Semakin marah, maka akan semakin kuat teriakannya. Kerana jarak kedua hati semakin jauh."

"Begitu juga sebaliknya, di saat kedua insan saling jatuh cinta?" Tanya orang 
'Alim.

"Mereka tidak saling berteriak antara yang satu dengan yang lain. Mereka berbicara lembut kerana hati mereka berdekatan. Jarak antara kedua hati sangat dekat."

"Bila mereka semakin lagi saling mencintai, apa yang terjadi?" Mereka tidak lagi bicara. Mereka hanya berbisik dan saling mendekat dalam kasih sayang. Pada akhirnya, mereka bahkan tidak perlu lagi berbisik. Mereka cukup hanya dengan saling memandang. Itu saja. Sedekat itulah dua insan yang saling mengasihi."

Orang 
'Alim tadi memandang muridnya dan mengingatkan dengan lembut, "Jika terjadi pertengkaran di antara kalian, jangan biarkan hati kalian berjauhan. Jangan ucapkan perkataan yang membuat hati kian menjauh. Kerana jika kita biarkan, satu hari jaraknya tidak akan lagi boleh ditempuh."


Belajar Kerana Habuan Dunia


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه ia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda : 
"Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang seharusnya kerana Allah Azza Wa Jalla, namun ia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dari dunia, maka dia tidak akan mendapat bau Syurga pada Hari Kiamat." (HR Abu Daud No: 3179) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran :

1. Belajar merupakan suatu tuntutan setiap Muslim.

2. Mempelajari ilmu mesti bermatlamat mencari keredaan Allah.

3. Orang yang belajar semata-mata untuk tujuan dunia seperti hanya untuk keperluan pangkat dan kedudukan, dia tidak akan memasuki Syurga.

*Ikhlaskan niat belajar untuk mencari keredaan Allah.*


Jangan Mudah Menghukum Kafir Kepada Sesama Umat Islam


DI dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) karangan Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki 
رحمة الله تعالى telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.

Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham - semoga Allah سبحانه وتعالى memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar - tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.

Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik - demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah 
سبحانه وتعالى :

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." [ al-Nahl: 125 ].

Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.

Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah 
سبحانه وتعالى, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.

Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan "kafir" kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah 
سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.

Al-Allamah Al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur Al-Haddad رضى الله عنه mengatakan,

"Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad ﷺ, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."

Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad ﷺ, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.

Manakala hadith mutawatir ialah khabar atau hadith yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).

Adapun isnad, seperti hadith :

"Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka."

Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.

Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad 
ﷺ sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).

Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad 
ﷺ. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.

Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya.

Dalam hadith, Rasulullah 
ﷺ menegaskan :

"Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya." [ Riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah 
رضى الله عنه ].


Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah 
سبحانه وتعالى sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.


Tambahan :

Al-‘Allamah Syeikh ‘Ali Jum’ah dalam khutbah menyebutkan ada sebuah hadith yang disampaikan oleh beliau yang membuatkan kita perlu berfikir panjang sebelum berani menghukum sesama Umat Islam kafir dan syirik :

عن حُذَيْفَة بْن الْيَمَانِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّمَا أَتَخَوَّفُ عَلَيْكُمْ رَجُلا قَرَأَ الْقُرْآنَ حَتَّى إِذَا رُئِيَ عَلَيْهِ بَهْجَتُهُ ، وَكَانَ رِدْءًا لِلإِسْلامِ اعْتَزَلَ إِلَى مَا شَاءَ اللَّهُ، وَخَرَجَ عَلَى جَارِهِ بِسَيْفِهِ، وَرَمَاهُ بِالشِّرْكِ.

أخرجه البزار (رقم 2793) وقال: إِسْنَادُهُ حَسَنٌ، وقال الهيثمى أيضاً (1/188): إسناده حسن. وابن حبان في صحيحه (رقم 81)، وأبو يعلى، والضياء المقدسي. الردء: العون والناصر. وفي شرح مشكل الآثار للطحاوي (865): ...قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَيُّهُمَا أَوْلَى بِالشِّرْكِ الْمَرْمِيُّ أَوِ الرَّامِي؟ قَالَ: لَا بَلِ الرَّامِي. وأخرجه الطبراني عن معاذ (20/88 ، رقم 169) بنحوه بلفظ:أخوف ما أخاف على أمتى ثلاث رجل... وذكر هذا أولهم.

Terjemahan : Dari Huzaifah bin al-Yaman 
رضى الله عنه katanya : Sabda Rasulullah ﷺ : “Sesungguhnya aku takut ke atas kamu sekalian seorang lelaki yang membaca al-Quran sehingga apabila telah terlihat pada dirinya seri al-Quran itu, dan ia sebagai pembantu bagi agama Islam, dia pun mengasingkan diri sehingga masa yang dikehendaki Allah, lalu dia keluar kepada jirannya dengan pedang, serta melontarnya dengan tuduhan syirik”. [ Riwayat al-Bazzar, Ibn Hibban, Abu Ya’la, dan al-Dhiya’. Kata al-Haythami : Isnadnya hasan ].

Dalam riwayat al-Tahawi dan al-Tabarani : "Aku bertanya : "Ya Rasulullah, yang manakah lebih layak dengan tuduhan syirik itu, yang dilontar atau yang melontar?" Jawab Baginda 
ﷺ : “Tidak, bahkan yang melontar”.

Sifat-sifat yang digambarkan oleh Nabi 
ﷺ dalam hadis ini iaitu seorang yang mahir dengan al-Quran sehingga terlihat kesan al-Quran itu pada dirinya serta mempunyai semangat yang tinggi untuk mempertahankan Islam, menunjukkan mereka ini adalah orang-orang yang semangat beramal dan berpegang dengan agama.

Namun sayangnya mereka ini punya kelemahan dari sudut kefahaman ilmu dan juga sifat warak (barangkali boleh disebut sebagai; kurang fiqh dan tasawwuf). Lantaran itu, mereka mudah menuduh orang lain sebagai sesat dan melontarnya dengan tuduhan syirik. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali. Sebab itu Rasulullah 
ﷺ menyatakan bahawa tuduhan syirik itu kembali kepada dirinya. Ini menunjukkan satu kejahilan terhadap dirinya kerana ia menyangka bahawa perkara yang dipercayainya itu sebagai suatu isu besar dan masalah pokok dalam agama, sedangkan pada hakikat sebenarnya ia hanyalah isu cabang.

Saturday, January 4, 2020

Hikmah Sebalik Musibah


"Mengapa Rasulullah ﷺ, sentiasa berpesan kepada para sahabat yang miskin, yang susah dan sering kelaparan. Supaya sentiasa sabar, dan berfikir perihal apa yang positif, di sebalik musibah yang menimpa?, jawapannya, adalah Nabi 
ﷺ mengingatkan mereka bahwa di dalam setiap ujian di atas dunia ini. Pasti ada, ganjaran yang cukup besar menanti mereka di akhirat sana."

"Hanya sahaja, kamu perlu bersabar dan berbaik sangka, kepada Allah سبحانه وتعالى. Rasulullah ﷺ pernah memberitahu para sahabat yang diuji dengan dugaan itu. Rasulullah ﷺ mengatakan; "Jika kamu tahu apa yang Allah سبحانه وتعالى sediakan di akhirat nanti, di sebalik kesusahan yang kamu tanggung di atas dunia ini."

"Pasti kamu tidak akan meminta untuk dipulihkan daripada keadaan ini. Pasti kamu tidak akan meminta untuk hidup senang dan selesa. Kehidupan di atas dunia ini adalah ujian. Begitulah analogi kehidupan di atas dunia ini. Sekiranya kamu melihat, ujian yang menimpa diri kamu di dunia, tidaklah terlalu besar dan berat."

"Jika, nak dibandingkan dengan balasan dan ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah سبحانه وتعالى di akhirat sana. Maka, syaratnya itu kita hanya perlu bersabar, dan selalu berbaik sangka kepada Allah سبحانه وتعالى. Kelak, ketika segalanya telah terzahir pahala dan juga dosa di akhirat nanti. Pasti kita akan berkata; "Andai, jikalau aku diuji dengan ujian yang lebih banyak di atas dunia dahulu."

"Makanya, bersyukurlah kamu sekiranya diri kamu masih diuji Allah سبحانه وتعالى. Anggap saja ujian itu, sebagai umpan bagi memancing rahmat yang besar di akhirat sana. Rahmat yang tak terkira dan terhitung besar nikmatnya. Percayalah, Allah سبحانه وتعالى tidak memberati seseorang itu, melainkan apa yang terdaya untuk dirinya memikulnya."

"Anggap saja, ujian itu kecil dan senyumlah memghadapinya. Yakinlah, Allah سبحانه وتعالى memerhatikan kamu disetiap ujian. Sekiranya manusia dapat melihat, apa yang Allah سبحانه وتعالى sediakan kelak, pasti mereka akan meminta kepada Allah supaya ujiannya itu ditimpakan terus-menerus ke atas mereka.

"Andai saja, ujian ini berjaya dihadapi. Maka ia dapat mengangkat martabat seseorang untuk berada lebih tinggi disisi Allah سبحانه وتعالى. Jadi, bersyukurlah ke atas ujian yang ditimpakan ke atas kamu."

"Ini bermakna, Allah سبحانه وتعالى sedang menguji kamu, dengan melihat kesabaran kamu. Makanya, kuatkan hati kamu. Buktikan kepada Allah سبحانه وتعالى, bahawa kamu adalah seorang hamba yang kuat. Dan Allah, mencintai hamba-Nya yang kuat."


[ Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid. ]


Jauhi Dosa Besar


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ قُلْنَا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى قُلْتُ لَا يَسْكُتُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya رضى الله عنه dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang termasuk dosa besar? Kami menjawab; "Tentu wahai Rasulullah." Baginda 
ﷺ bersabda: "Menyekutukan Allah dan mendurhakai kedua orang tua." Ketika itu Baginda tengah bersandar, kemudian duduk lalu melanjutkan sabdanya: "Perkataan dusta dan kesaksian palsu, perkataan dusta dan kesaksian palsu." Baginda terus saja mengulanginya hingga aku mengira Baginda tidak akan berhenti." (HR Bukhari No: 5519) Hadis Sahih.


Pengajaran:

1. Menjadi kewajipan setiap Muslim menjauhi segala perkara dosa besar

2. Antara perkara yang termasuk dosa besar ialah:

a. Melakukan syirik

b. Mendurhakai kedua orang tua

c. Berdusta atau bercakap bohong

d. Menjadi saksi palsu


*Marilah kita berusaha menjauhi segala dosa besar.*


Berbakti Kepada Ibubapa


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Daripada Abu Ad Darda رضى الله عنه dia mendengar Nabi ﷺ bersabda: "Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik." (Sunan Ibnu Majah No: 3653) Hadith Sahih.


Pengajaran:

1. Ibu bapa ibarat pintu syurga bagi setiap anak.

2. Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa nescaya Allah akan memberikan ganjaran syurga.

3. Al-Qadhi Baidhawi رحمة الله تعالى : Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’ (Tuhfatul Ahwadzi, 6/21).

4. Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah 
رضى الله عنه dia berkata; Nabi ﷺ bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu Baginda ﷺ ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi ﷺ: "Barangsiapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)." (HR Muslim No: 4628) Hadith Sahih.

Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia (dengan mendoakannya).


SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA TAUBAT (SESEORANG) ITU DITERIMA


SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA TAUBAT (SESEORANG) ITU DITERIMA DAPAT DILIHAT DI DALAM 8 PERKARA :-



1) RASA TAKUT TERHADAP LIDAHNYA.

- Lidah akan di jaga dan dihalang dari berbuat dusta, mengumpat, banyak bercakap dan akan digunakan untuk sentiasa berzikrullah dan membaca al-Quran.


2) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN PERUTNYA.

- Maka ia tidak akan memasukkan sesuatu ke dalam perutnya kecuali yang halal sekalipun sedikit.


3) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN MATANYA.

- Maka ia tidak akan memandang yang haram dan tidak pula memandang kepada dunia dengan pandangan kasih terhadapnya, tetapi pandangannya terhadap dunia itu adalah sebagai pengajaran.


4) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN TANGANNYA.

- Maka ia tidak akan mengambil yang haram, tetapi ia akan mengambil sesuatu yang membawa kepada ketaatan (kepada Allah).


5) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN KEDUA KAKINYA.

- Maka ia tidak akan berjalan dengan kedua-dua kakinya itu untuk perkara maksiat, tetapi ia akan berjalan untuk perkara ketaatan kepada Allah.


6) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN HATINYA.

- Ia akan membuangkan dari hatinya itu sifat permusuhan, marah dan hasad dengki terhadap saudara-saudara dan ia akan memasukkan ke dalam hati itu nasihat yang baik dan sifat lembut dan belas kasihan di antara orang-orang islam.


7) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN PENDENGARANNYA.


- Tidak mendengar kecuali perkara yang benar.


8) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN PERKARA-PERKARA KETAATAN (KEPADA ALLAH).

- Ia akan menjadikan perkara-perkara ketaatan itu semata-mata ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah, menjauhkan rasa ria' dan berpura-pura.


Dipetik daripada buku ;

“Membentuk Jiwa Sufi: Ajaran Tariqah Naqsyabandiyah Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi ra.”. [ Muka surat 111-112 ]

Penterjemah: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek Al-Khalidi