Saturday, June 27, 2020

MENGENAI AHLI DUNIA DAN AKHIRAT


Seorang lelaki bertanya kepada Sayyidina Ali كرم الله وجهه,

“Aku ingin tahu apakah aku ini ahli dunia atau ahli akhirat?”

Sayyidina Ali 
كرم الله وجهه menjawab :

“Jawapannya ada pada dirimu dan bukan diriku. Perhatikanlah, jika ada orang yang memberimu sesuatu dan ada orang yang meminta sesuatu darimu, manakah yang kamu sambut dengan wajah berseri-seri dan manakah yang paling kamu sukai?”

“Jika kamu mencintai orang yang meminta sesuatu darimu maka kamu adalah ahli akhirat. Namun jika kamu mencintai orang yang memberimu sesuatu maka kamu adalah ahli dunia,”

“Sebab orang yang meminta sesuatu darimu akan membawa kebaikanmu hingga ke akhirat. Adapun orang yang memberimu sesuatu akan menambah duniamu dan dia tidak memberimu sedikitpun akhiratmu.”

[ Syeikh Muhammad Mutawalli Sha’rawi, Qisas al-Sahabah wa al-Salihin ]



TOK KENALI : ULAMAK YANG BERTARAF WALI

Oleh Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?. Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian. Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H. 


Kelantan State - KISAH RAMALAN TOK KENALI KE ATAS BUMI ...

[ Syeikh Haji Muhammad Yusuf @ Tok Kenali ]


Menjadi Hamba Yang Beruntung Di Akhirat


DUNIA bukan matlamat mutlak buat manusia meraih nikmat kerana ia bersifat sementara. Bagaimanapun, bukan bermakna kita perlu sentiasa tegar dengan amalan akhirat sehingga melupakan tanggungjawab dan urusan duniawi.

Islam menyuruh kita seimbangkan kedua-duanya. Dalam kesibukan mengurus hal ehwal keduniaan, jangan sesekali kita melupakan bekalan untuk menuju ke akhirat.

Tingkatkan usaha untuk beribadat dan beramal soleh kerana dengan cara itu saja kita bakal ditempatkan pada kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.

Allah 
سبحانه وتعالی menjanjikan balasan syurga yang penuh kenikmatan buat hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Nikmat itu tidak tergambar pada fikiran mereka. 

Dalam surah As-Sajadah, ayat 17, Allah سبحانه وتعالی berfirman yang bermaksud: “Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”

Apa yang Allah sediakan untuk kita di dalam syurga tidak dapat diperincikan serta tidak terfikir oleh kekuatan akal.

Allah سبحانه وتعالی sentiasa menyeru hamba-Nya supaya beramal di dunia untuk merebut kedudukan terbaik di akhirat.

Dalam surah Ali Imran, ayat 133, Allah سبحانه وتعالی berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” 


Rasulullah  turut mengingatkan umatnya tidak lalai dengan kesibukan dunia tanpa mempedulikan urusan bekalan akhirat.

Baginda 
 bersabda yang bermaksud: “Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau pengembara. Apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah engkau menunggu pagi hari dan jika engkau berada pada waktu pagi hari, janganlah menunggu petang hari. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis direkodkan oleh At-Tirmizi)

Dalam surah Al-Hasyr, ayat 18, Allah menegaskan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperlihatkan apa yang dilakukannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Allah سبحانه وتعالی menjelaskan, hamba-Nya bertakwa itu adalah ciri terulung yang bakal mendapat nikmat syurga.

Dalam surah Ali Imran, ayat 133, Allah berfirman yang bermaksud: “Syurga disediakan (dipersiapkan) bagi orang yang bertakwa.”

Demikian juga dalam surah Maryam, ayat 63, Allah menegaskan: “Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba Kami yang selalu bertakwa.”

Dalam surah Al-Mukminun Allah سبحانه وتعالی menyenaraikan mereka yang bakal ditempatkan dalam syurga Firdaus.

Allah سبحانه وتعالی berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna. Dan orang yang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri atau hamba yang mereka miliki. Sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat yang dipikul dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi iaitu mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.” 


Pertama dan terulung bagi meletakkan diri sebagai golongan beruntung adalah menjadi orang beriman. Orang beriman sentiasa khusyuk dalam solatnya, bukan solat yang dilakukan sambil lewa dan hambar.

Kedua, kita diarahkan menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan serta mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

Mungkin kita mampu khusyuk dalam solat. Soalnya, mampukah kita pertahankan anggota badan dan lidah daripada berbuat sesuatu yang melanggar etika Islam?

Mengumpat, fitnah, berburuk sangka masih dilakukan secara terang-terangan. Jika itu ada pada kita, bermakna kita masih belum mencapai kriteria yang digariskan Allah untuk menjadi hamba yang beruntung di akhirat kelak. 



ALLAH BUKAN DI LANGIT (BAHAGIAN 1)


Salah satu keyakinan Islam yang wajib diyakini adalah bahawa Allah Ta’ala itu tidak berada di suatu tempat, tidak di langit dan tidak di bumi.

Keyakinan keberadaan Allah di langit ini merupakan sebuah keyakinan sesat dan menyesatkan. Keyakinan Allah bertempat di langit bermula dari keyakinan kelompok yang sering disebut sebagai kelompok mujassimah (kelompok yang menyatakan tuhan bersifat dengan sifat benda. Pada zaman sekarang mereka sering menamakan dirinya sebagai kaum Salafi).

Berikut ini keterangan para ulama besar Ahlussunnah wal Jama’ah yang menjelaskan bahawa Allah tidak bertempat di langit, yakni sebagai berikut:

1. Abd al-Qahir al-Bagdadi (w. 429 H) dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq mengatakan:

واجمعوا على انه لا تحويه السماء ولا يجري عليه الزمان

“Telah terjadi ijmak ulama bahawa Allah Ta’ala itu tidak diliputi oleh langit dan tidak berlaku zaman atas-Nya.”

Masih dalam kitab dan halaman yang sama untuk menguatkan pernyataan beliau di atas, al-Baghdadi mengutip perkataan Sayyidina Ali r.a. seperti berikut:

إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته

“Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya, bukan untuk tempat zat-Nya.”

dan perkataan Sayyidina Ali r.a yang lain:

قد كان ولا مكان، وهو الان على ما كان

“Adalah Allah, tiada tempat bagi-Nya, dan Dia sekarang sebagaimana sebelumnya”[1]

2. Ibnu al-Jauzi (w. 597 H), salah seorang ulama hadits bermazhab Hanbali menyebut dalam kitabnya, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih seperti berikut:

قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والارض ولا تضمه الاقطار ، وإنما عرف بإشارتها تعظيم الخالق عندها .

“Telah tetap di kalangan para ulama bahawa Allah Yang Maha Tinggi tidak diliputi oleh langit dan bumi dan tidak pula dihimpun oleh penjuru. Akan tetapi ditunjuk kearah langit sebagai pengagungan Zat Maha Pencipta.”[2]

3. Mulla Ali al-Qarii (w. 1014 H), seorang ulama hadits terkenal dalam kitabnya Syarh Fiqh al-Akbar karya Abu Hanifah, mengatakan bahawa Syeikh al-Imam Ibnu Abdussalam dalam kitabnya Hall al-Rumuz mengatakan:

قال الامام ابو حنيفة رضي الله عنه : من قال لا اعرف الله تعالى في السماء هو ام في الارض فقد كفر لان هذا القول يوهم ان للحق مكانا ومن توهم ان للحق مكانا فهو مشبه

“Imam Abu Hanifah mengatakan, Barangsiapa yang mengatakan saya tidak tahu apakah Allah berada di langit ataukah berada di bumi maka dia telah kafir, kerana perkataan ini memberikan persangkaan bahawa Allah bertempat, dan barang siapa yang menyangka bahawa Allah bertempat maka ia adalah musyabbih (orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.”

Seterusnya Mulla Ali al-Qarii mengatakan, tidak diragukan bahawa Ibnu Abdussalam adalah seorang ulama besar dan sangat dipercayai, maka wajib berpegang pada kutipannya.[3]

4. Ibnu Hajar al-Asqalani (w. 852 H), seorang ahli hadits terkenal bermazhab Syafi’i mengatakan dalam kitabnya, Fathul Barri seperti berikut:

فإن إدراك العقول لاسرار الربوبية قاصر فلا يتوجه على حكمه لم ولا كيف ؟ كما لا يتوجه عليه في وجوده أين.

“Sesungguhnya jangkauan akal terhadap rahsia-rahsia ketuhanan itu terlampau pendek untuk menggapainya, maka tidak boleh dialamatkan untuk menetapkan-Nya, mengapa dan bagaimana begini? Sebagaimana tidak boleh juga mengalamatkan kepada keberadaan Zat-Nya, di mana?.”[4]

Keyakinan adanya Allah di langit bertentangan dengan penjelasan al-Asqalani di atas yang mengatakan bahawa wujud Allah tidak dapat diisyaratkan dengan kata-kata: “di mana?”. Kerana langit merupakan tempat yang dapat menjadi jawapan pertanyaan “di mana”.

5. Al-Zabidi telah menukil perkataan Imam Syafi’i dalam kitabnya, Ittihaf al-Saadah al- Muttaqin bi Syarh Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut:

إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته.

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah ada sedangkan tempat belum ada. Lalu Dia menciptakan tempat. Dia tetap atas sifat-Nya sejak azali sebagaimana sebelum Dia menciptakan tempat. Mustahil atas-Nya perubahan dalam Zat-Nya dan pergantian pada sifat-Nya.” [5]

6. Imam Ghazali (w. 505 H) menegaskan dalam kitab beliau yang terkenal, iaitu Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut:

ولا يحل فيه شئ تعالى عن ان يحويه مكان كما تقدس عن ان يحده زمان بل كان قبل ان خلق الزمان والمكان وهو الان على ما عليه كان

“Tidak menempati pada-Nya sesuatu pun, Maha Suci Allah dari meliputi oleh tempat sebagaimana Maha Suci Dia dari pembatasan oleh zaman, tetapi Dia telah ada sebelum diciptakan zaman dan tempat, Dia sekarang sebagaimana ada sebelumnya.”[6]

7. Imam al-Juwaini (w. 478 H), guru dari Imam al-Ghazali mengatakan dalam kitab al-Isyad seperti berikut:

ومذهب اهل الحق قاطبة ان الله سبحانه وتعالى يتعالى عن التحيز والتخصيص بالجهات

“Mazhab ahlul haq dari ulama quthub sesungguhnya Allah SWT Maha Suci dari mengambil tempat dan dari dibatasi dengan arah.”[7]

8. Dalam Matan al-Aqidah al-Thahawiyah, Imam al-Thahawi al-Hanafi dalam menjelaskan akidah Ahlussunnah wal Jama’ah berdasarkan akidah Abu Hanifah, Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Anshary dan Abu Abdullah Muhammad bin Hasan al-Syaibani, beliau mengatakan:

لا تحويه الجهات الست

“Allah itu tidak diliputi oleh jihat (arah) yang enam.”[8]

Mengatakan Allah bertempat di langit bererti mengi’tiqadkan Allah berada pada salah satu arah yang enam, iaitu arah atas. Dengan demikian, i’tiqad Allah bertempat di langit bertentangan dengan keterangan yang telah dijelaskan oleh Imam al-Juwaini dan al-Thahawi di atas.

9. Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh dalam keputusan fatwanya No. 09 Tahun 2014, Tanggal 25 Jun 2014 memutuskan antara lain:

a. Mengimani bahawa zat Allah hanya di atas langit/arasy adalah sesat dan menyesatkan.

b. Mengimani bahawa zat Allah terikat dengan waktu, tempat dan arah (berjihat) adalah sesat dan menyesatkan.


Dalil-dalil yang menegaskan keyakinan bahawa Allah tidak bertempat di langit

1. Firman Allah Ta’ala berbunyi:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat. (Q.S. al-Syuraa: 11)

Ayat ini adalah ayat yang paling jelas dalam al-Qur’an yang menjelaskan bahawa Allah sama sekali tidak menyerupai makhluk-Nya.

Seandainya Allah mempunyai tempat seperti langit dan arah, maka akan serupa dengan-Nya. Kerana dengan demikian, bererti ia memiliki dimensi (panjang, lebar dan tinggi), sedangkan panjang, lebar dan tinggi merupakan sifat yang khusus terdapat pada benda yang baharu.

2. Ijmak para ulama bahawa tidak ada yang azali dan qadim selain Allah ini sesuai dengan firman Allah Q.S al-Hadid: 3, berbunyi:

هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ

Ertinya: Dia (Allah) yang awal dan yang akhir (Q.S al-Hadid: 3)

Dalam ayat lain Allah berfirman, yakni Q.S. al-An’am: 101, berbunyi:

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Ertinya: Dia (Allah) menciptakan segala sesuatu dan Dia mengetahui segala sesuatu. (Q.S. al-An’am: 101)

Allah Ta’ala dengan jelas menerangkan melalui firman-Nya ini bahawa semua yang ada merupakan ciptaan-Nya, jadi tidak ada sesuatu pun selain-Nya yang bukan ciptaan Allah.

Sesuatu disebut sebagai ciptaan tentu merupakan sesuatu yang ada sesudah tidak ada. Dengan demikian, tidak ada yang qadim dan azali selain Allah.

Hadits Nabi SAW di bawah ini juga mendukung keyakinan bahawa tidak ada yang qadim selain Allah, yakni sabda Nabi SAW yang berbunyi:

كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ

Ertinya : Ada Allah tidak ada sesuatupun selain-Nya (H.R. Bukhari) [9]

Berdasarkan firman Allah dan hadits di atas, maka bererti Allah ada sebelum terciptanya tempat (langit) dan arah, maka Ia tidak memerlukan kepada keduanya dan Ia tidak berubah dari asal, yakni tetap ada tanpa tempat dan arah, kerana berubah adalah ciri dari sesuatu yang baharu (makhluk).

Seandainya Allah berada pada suatu tempat (langit), maka Allah tentu menyerupai makhluk, yakni berpindah dari azal kepada langit yang datang kemudian (yang diciptakannya).

3. Firman Allah Ta’ala berbunyi:

قُلْ لِمَنْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ قُلْ لِلَّهِ

Ertinya: Katakanlah: "Milik siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Milik Allah." (Q.S. al-An’am: 12)

Berdasarkan ayat ini, maka semua yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah Ta’ala. Oleh itu, apabila kita mengatakan Allah bertempat di langit, maka Allah itu menjadi milik Allah juga. Tentu ini mustahil terjadi, kerana Allah tidak mungkin memiliki diri-Nya sendiri.

4. Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda dalam doanya:

اللهم أنت الاول فليس قبلك شئ وأنت الآخر فليس بعدك شئ وأنت الظاهر فليس فوقك شئ وأنت الباطن فليس دونك شئ اقض عنا الدين واغننا من الفقر

Ertinya: Ya Allah, Engkaulah Zat Yang Maha Awal, maka tiada sesuatupun sebelum-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Akhir, maka tiada sesuatupun setelah-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Zahir maka tiada sesuatupun di atas-Mu dan Engkaulah Zat yang Maha Batin maka tiada sesuatu di bawah-Mu. Ya Allah selesaikanlah hutangku dan kayakan aku dari kefakiran. (H.R. Muslim)[10]

Dalam kitab al-Asmaa wa al-Shifat, al-Baihaqi menyebutkan bahawa sebahagian ulama telah menjadikan hadits ini sebagai dalil bahawa Allah Ta’ala tidak bertempat. Penjelasannya, apabila di atas Allah tidak ada sesuatu pun dan di bawah-Nya juga tidak ada sesuatu, maka Allah tidak berada di tempat manapun.[11]

5. Hadits riwayat Abu Ya’la dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أذن لي أن أحدث عن ملك قد مرقت رجلاه في الارض السابعة والعرش على منكبه وهو يقول سبحانك أين كنت وأين تكون

Ertinya: Aku telah diizinkan untuk menyampaikan berita bahawa ada seorang malaikat yang kedua kakinya terperosok dalam bumi lapis ketujuh sedang Arasy berada di pundaknya, ia berkata, “Maha Suci Allah (dari) di mana Engkau? Di mana Engkau nanti? (H.R. Abu Ya’la)[12]

Al-Haitsami mengatakan, rijalnya rijal sahih.

[13] Berdasarkan hadits ini, malaikat bertasbih dengan mengucapkan Maha Suci Allah dari pertanyaan di mana Allah? Seandainya Allah bertempat di langit, maka tasbih malaikat yang tersebut dalam hadits di atas tentu tidaklah tepat. Ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala itu tidak bertempat, baik di langit mahupun di mana sahaja.

Catatan:
Hadits-hadits sahih yang kami kemukakan di atas meskipun darjatnya ahad (dhanni wurud), tetapi kandungannya adalah qath’i, mengingat kandungan hadits tersebut bersesuaian dengan maksud firman Allah di atas.


[1] Abd al-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq, Maktabah Ibnu Sina, Kairo, Hal. 287
[2] Ibnu al-Jauzi, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih, Dar al-Imam al-Rawas, Beirut, Hal. 189
[3] Mulla Ali al-Qarii, Syarah Fiqh al-Akbar, Hal. 137-138
[4] Ibnu Hajar al-Asqalany, Fathul Barri, al-Maktabah al-Salafiyah, Juz. I, Hal. 221
[5] Al-Zabidi, Ittihaf al-Saadah al- Muttaqin, Muassisah li Tarikh al-Araby, Beirut, Juz. II, Hal. 24
[6] Al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Thaha Putra, Semarang, Juz. I, Hal. 89
[7] Al-Juwaini, al-Irsyad, Maktabah al-Khaaniji, Mesir, Hal. 39
[8] al-Thahawi, Matan al-Aqidah al-Thahawiyah, al-Maktab al-Islami, Hal. 7
[9] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 129
[10] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 2084, No. 2713
[11] Al-Baihaqi, al-Asmaa wa al-Shifat, al-Maktabah al-Azhariyah lil Turatsi, Hal. 373
[12] Abu Ya’la, Musnad Abu Ya’la, Maktabah Syamilah, Juz. XI, Hal. 496, No. 6619
[13] Al-Manawi, Faidh al-Qadir, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 458. 


[ Tuan Guru Kiyai Alizar Usman (MA) ]

ALLAH BUKAN DI LANGIT (BAHAGIAN 2)


{Bantahan terhadap syubhat-syubhat kaum Mujassimah yang berkeyakinan bahawa Allah bertempat di langit}

Di antara dalil yang sering kali menjadi pegangan kaum Mujassimah adalah firman Allah Ta’ala berbunyi:

أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ (16) أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ (17)

Ertinya: Apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahawa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?, atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku? (Q.S. al-Mulk: 16-17)

Kaum Mujassimah mengatakan, ayat ini secara tegas menjelaskan kepada kita bahawa Allah itu bertempat di langit. Kenapa kita tidak mahu beriman dengat ayat ini?

Bantahan

Berdasarkan dalil-dalil yang telah kami kemukakan pada bahagian (1) tulisan ini sebelumnya, baik ayat-ayat al-Qur’an, hadits Nabi mahupun dalil akal yang bersifat qath’i, maka kita berkeyakinan bahawa Allah Ta’ala mustahil bertempat di langit mahupun pada sesuatu tempat. Kerana itu, semua nas-nas syara’ yang zahirnya menunjukkan bahawa Allah Ta’ala bertempat wajib difahami dengan makna yang menyucikan Allah dari sifat-sifat baharu tersebut. Kerana itu, Qadhi ‘Iyadh mengatakan:

لا خلاف بين المسلمين قاطبة فقيههم ومحدثهم ومتكلمهم ونظارهم ومقتدهم أن الظواهر الواردة بذكر الله تعالى في السماء كقول الله تعالى ءأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الارض ونحوه ليست على ظاهرها

“Tidak diperselisihkan di antara kaum Muslimin, baik ahli fikh, ahli hadis, ahli teoloqi bahwa zahir-zahir nas yang datang menyebut Allah di langit seperti firman Allah: “Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahwa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu?” dan yang semisalnya itu tidak diertikan secara zahirnya.”[1]

Dalam menerangkan riwayat hamba perempuan yang ditanya Rasulullah SAW kepadanya di mana Allah, Imam al-Nawawi berpandangan seperti berikut:

هَذَا الْحَدِيثُ مِنْ أحَادِيثِ الصِّفَاتِ وَفِيهَا مَذْهَبَانِ تَقَدَّمَ ذِكْرُهُمَا مَرَّاتٍ فِي كِتَابِ الْإِيمَانِ أَحَدُهُمَا الْإِيمَانُ بِهِ مِنْ غَيْرِ خَوْضٍ فِي مَعْنَاهُ مَعَ اعْتِقَادِ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَتَنْزِيهِهِ عَنْ سِمَاتِ الْمَخْلُوقَاتِ وَالثَّانِي تَأْوِيلُهُ بِمَا يَلِيقُ بِهِ

“Hadis ini termasuk hadis-hadis sifat. Padanya ada dua aliran (penafsiran), telah berulang kali diterangkan tentangnya dalam Kitabul Iman, Aliran pertama: mengimaninya tanpa membincangkan maknanya dengan keyakinan bahwa Allah Ta’ala tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan mensucikan-Nya dari sifat-sifat makhluk. Aliran kedua : menta’wilkannya dengan memaknainya sesuai makna yang layak bagi-Nya.”[2]

Apabila kaum Mujassimah mengatakan wajib memahami ayat di atas dengan makna zahirnya, maka dapat kita kemukakan di sini bahawa banyak sekali nas-nas syara’, baik al-Qur’an mahupun hadits Nabi dimana makna zahirnya justeru bertentangan dengan makna zahir ayat di atas. Lalu adakah kita harus memahaminya dengan makna zahir? Jawabnya tentu tidak sama sekali. Berikut ini nas-nas syara’ yang zahirnya menunjukkan bahawa Allah Ta’ala tidak hanya bertempat di langit, antara lain:

1. Firman Allah berbunyi:

وَهُوَ اللهُ فِي السَمَواتِ وَ الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَ يَعْلَمُ مَا تَكْسِبُوْنَ.َ

Ertinya: Dan Dialah Allah di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan dan mengetahui apa yang kaum usahakan. (Q.S. al-An’am: 3)

Seandainya kaum Mujassimah mengatakan wajib mengertikan nas-nas syara’ tentang sifat Allah secara zahir, maka pastilah ia akan merobohkan akidahnya sendiri, sebab zahir ayat ini mengandungi makna bahawa Allah itu berada di langit dan bumi, bukan hanya di langit saja sebagaimana akidah mereka.

Padahal tiada seorang pun dari umat Islam yang mengatakan bahawa Allah bertempat di langit dan di bumi. Maha Suci Allah dari bertempat di langit dan di bumi. Kerana itu, para ulama Islam, baik salaf mahupun khalaf tidak memahami ayat di atas secara zahirnya.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir disebutkan para ulama tafsir bersepakat menolak pemahaman kaum Jahmiyah yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala berada pada setiap tempat bersandarkan kepada ayat ini. Selanjutnya Ibnu Katsir mengatakan setelah terjadi kesepakatan tersebut, para ulama tafsir berbeza pendapat dalam mentakwilnya, yang lebih sahih dari tafsir-tafsir itu adalah Yang diseru itu adalah Allah yang disembah, diesakan dan diakui ketuhanannya oleh orang-orang yang ada di langit dan di bumi.[3]

2. Firman Allah SWT:

وهُوَ مَعَكمْ أَيْنَما كُنتُ.

Ertinya: Dan Dia bersama kamu di mana pun kamu berada. (Q.S. Al-Hadid: 4)

dan ayat:

وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَنْ يَتِرَكُمْ أَعْمَالكُم
ْ
Ertinya: Dan Allah bersama kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu. (Q.S. Muhammad: 35)

Lafaz Allah adalah nama untuk zat bukan sifat. Jadi apabila difahami secara zahir sebagaimana doktrin kaum Mujassimah, maka ayat ini menunjukkan bahawa Allah berada di bumi bersama manusia. Kerananya, di sini tidak ada jalan lain selain mentakwilkan ayat di atas dan mengatakan bahawa zahir ayat ini bukan yang dimaksudkan.

Ibnu Katsir mengatakan tafsir Q.S al-Hadid: 4 ini adalah Allah selalu melihat dan menyaksikan segala perbuatan kamu dimana saja kamu berada, baik di darat mahupun di laut, malam atau siang, di rumah-rumah atau di gurun.[4] Sedangkan dalam mentafsirkan Q.S. Muhammad: 35, Ibnu Katsir mengatakan pada ayat ini merupakan khabar gembira dengan pertolongan dan kemenangan atas musuh. [5] Jadi maksud kedua ayat di atas bukan dalam erti zat Allah ada bersama mereka, tetapi yang ada bersama mereka itu hanya ilmu serta bashar Allah dan pertolongan serta anugerah kemenangan.

3. Allah SWT berfirman:

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ (83) وَأَنْتُمْ حِينَئِذٍ تَنْظُرُونَ (84) وَ نحْنُ أَقْرَبُ إلَيْهِ مِنْكُم و لكن لاَ تُبْصِرُوْنَ. (85)

Ertinya: Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkong, padahal kamu ketika itu melihat dan Kami lebih dekat kepadanya dari kamu, tetapi kamu tidak melihat (Q.S. al-Wâqi’ah: 85)

Ayat ini menjelaskan tentang seseorang yang sedang menghadapi sakaratul maut dan di sekelilingnya ada keluarga atau teman-teman dekatnya yang sedang mengerumuninya, di mana jaraknya sangat dekat dengannya, akan tetapi Allah menegaskan: “Kami lebih dekat kepadanya dari kamu”.

Jika ayat ini harus dimaknai secara zahir tanpa mentakwilkannya, maka akan bermakna Allah berada di bumi di sisi hamba yang sedang dalam keadaan sakaratul maut itu. Dan itu ertinya, Allah Ta’ala tidak berada di langit seperti yang diyakini kaum Mujassimah. Kerana itu, ayat-ayat yang seperti ini yang makna zahirnya menunjukkan kepada bahawa Allah bertempat, baik bertempat di langit mahupun di bumi harus dimaknai dengan makna lain yang sesuai dengan keagungan Allah dan kesucian-Nya.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir, makna “Kami” pada ayat ini adalah para malaikat Kami.[6] Ini sama halnya dengan seorang presiden yang mengatakan “Kami telah membangun jalan-jalan di negara kami”, tentu maknanya bukan bererti seorang presiden secara langsung berada di jalan-jalan memegang peralatan membina jalan, tetapi maksudnya adalah pembangunan jalan itu atas perintah sang presiden.

4. Allah SWT berfirman:

وَ لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسانَ وَ نَعْلَمُ ما تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَ نَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَريدِ.

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Q.S. Qaf: 16)

Adakah dengan ayat ini kita akan mengatakan bahawa Allah berada dalam salah anggota tubuh kita? Jawabnya tentu tidak. Tiada seorang pun yang beriman dan berakal sihat mengatakan seperti itu. Kerana itu, ayat ini tidak mungkin difahami secara zahir. Para ahli tafsir mentafsirkan firman Allah : “Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” dengan para malaikat lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya atau maksud “Kami” tersebut adalah ilmu Kami supaya tidak lazim ittihad dan hulul.[7]

5. Ketika Nabi Ibrahim a.s. dizalimi kaumnya, beliau berkata sebagaimana yang diabadikan Allah SWT dalam firman-Nya:

إنِّيْ ذاهِبٌ إلى رَبِّيْ سَيَهْدِينِ.

Ertinya: Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap Tuhanku dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (Q.S. ash-Shaffat: 99)

Nabi Ibrahim as. tidak hidup di langit dan beliau juga tidak hendak pergi ke langit untuk menjumpai Allah, lalu setelah itu beliau kembali lagi ke muka bumi. Apabila ayat seperti ini harus ditafsirkan secara makna zahirnya sebagaimana dakwaan kaum Mujassimah, maka tentu ayat ini akan bermakna bahwa Nabi Ibrahim a. s. hendak pergi ke langit menghadap tuhannya di sana. Tentu penafsiran seperti ini tidak pernah dikemukakan oleh sesiapa pun dari umat Islam yang sihat akalnya.

Para mufassir menerangkan bahawa kata-kata yang diucapkan Nabi Ibrahim a.s. itu adalah pada saat beliau hendak berhijrah. Beliau akan pergi menuju tempat yang diperintah Allah untuk berhijrah ke sana. Atau menuju tempat yang beliau dapat beribadah kepada Allah di sana.[8]

6. Firman Allah Q.S al-Baqarah: 115, berbunyi:

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Ertinya: Kemana saja kamu menghadap, maka di sana zat Allah. (Q.S. al-Baqarah: 115)

Zahir ayat ini menunjukkan bahawa Allah ada di mana kita menghadap. Ertinya apabila yang kita hadap itu rumah, maka di rumah itu ada Allah, apabila yang kita hadap ka’bah, maka di ka’bah itu ada Allah, na’udzubillah ‘an zalik.

Lalu apakah kita harus memahami ayat ini dengan makna zahirnya? Jawabnya, tentu tidak sama sekali dan tidak ada umat Islam yang sihat akalnya yang mentafsirkan demikian. Imam al-Razi, ahli tafsir dari kalangan Ahlussunnah wal Jama’ah menjelaskan dalam tafsir beliau, Mafatih al-Ghaib bahwa salah satu kemungkinan makna wajhullah pada ayat ini adalah bermakna arah yang dihadap pada waktu solat, yakni qiblat. Diidhafah wahj kepada Allah adalah seperti idhafah bait kepada Allah (baitullah) dan naaqah (unta) kepada Allah (naaqatullah). Idhafah seperti ini, maksudnya adalah idhafaf bil-khlaq wal-ijaad ‘ala sabilil tasyrif (menyandarkan penciptaannya untuk memuliakannya).[9]

7. Dari Abdullah ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا كان أحدكم يصلي فلا يبصق قبل وجهه فإن الله قبل وجهه إذا صلى .

Ertinya: Jika seorang dari kamu solat maka janganlah ia meludah di arah wajahnya, sebab sesungguhnya Allah berada di sisi wajahnya jika ia solat. (H.R. Bukhari[10] dan Muslim[11])

Dalam riwayat lain dalam kitab Sahih al-Bukhari berbunyi, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ القِبْلَةِ، فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ

Ertinya: Sesungguhnya Tuhan seseorang itu di antaranya dan qiblat, maka janganlah meludahi salah seorang kamu pada arah qiblat, tetapi di kiri atau di bawah dua tumitnya. (H.R. Bukhari)[12]

Apakah dengan zahir kedua hadits ini, kita akan mengatakan bahawa Allah berada di antara orang yang solat dan qiblatnya? Tentu hanya orang gila dan bodoh yang berani mengatakan seperti itu. Kerana tidak seorang pun dari orang-orang yang beriman dan berakal sihat yang beri’tiqad seperti itu. Disebabkan itu, para ulama tidak memaknai kedua hadits tersebut dengan makna zahirnya. Dalam menerangkan kedua hadits ini, al-Khuthabi mengatakan menghadap seseorang ke arah qiblat mengisyaratkan qashadnya itu adalah tuhannya, maka seolah-olah tuhannya itu ada di antaranya dan qiblatnya, kerana yang menjadi qashadnya adalah tuhannya.

Tafsir lain mengatakan maksudnya adalah kebesaran tuhan dan pahala-Nya.[13] Ibnu Hajar al-Asqalani ahli hadis terkenal mengatakan, dalam hadis ini terdapat bantahan atas orang yang menganggap bahwa Allah bersemayam di atas arsy-Nya dengan Zatnya. Hujahnya seandainya hadits ini boleh ditakwil dengan makna yang layak dengan kesucian Allah, tentu kebolehan takwil itu juga dapat berlaku untuk ayat yang zahirnya bermakna Allah bersemayam di atas arasy.[14]

8. Dari Abu Musa al Asy’ari bahwa Rasulullah SAW bersabda:

الذى تدعونه أقرب إلى أحدكم من عنق راحلة أحدكم.

Ertinya: Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat daripada seorang dari kamu kepada leher kenderaannya. (H.R. Muslim)[15]

Hadits ini tentunya bukan bermakna zat Allah berada di suatu tempat yang lebih dekat kepada penunggang unta daripada leher unta. Imam al-Nawawi mengatakan, hadits ini bermakna kiasan (majaz). Tujuan ucapan hadits itu adalah memastikan Allah mendengar doa hambanya.[16]

9. Dari Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Umar bahwa Rasulullah SAW jika telah menaiki kenderaannya untuk pergi bermusafir beliau berdoa:

اللهم أنت الصاحب في السفر والخليفة في الاهل

Ertinya: Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan khalifah/pengganti yang mengurus keluarga. (H.R. Muslim)[17]

Sesiapa pun jelas mengatakan tidak mungkin maksud hadits ini bahawa Rasullulah SAW berdoa agar Allah menjadi teman dalam perjalanan dengan erti bahawa zat Allah berada di bumi dalam perjalanan bersama beliau dan juga menjadi teman yang berada di sekitar keluarga beliau yang ditinggalkan. Akan tetapi maksudnya hanyalah pertolongan dan rahmat Allah selalu menyertai beliau dalam perjalanan serta keluarga beliau yang ditinggalkan.

Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadits Nabi SAW yang zahirnya bermakna Allah berada bukan hanya di langit, tetapi juga di bumi, namun para ulama Islam bersepakat memahami nas-nas syara’ tersebut tidak dengan makna zahirnya, tetapi mentakwilkannya sesuai dengan kesucian dan keagungan Allah SWT.

Seandainya kaum Mujassimah tetap berkeras memaknai ayat-ayat yang menyatakan secara zahir bahwa Allah berada di langit dan menolak pentakwilan dengan takwil yang sesuai dengan kemahasucian Allah SWT, maka kita minta mereka bersikap jujur dan objektif memaknai nas-nas syara’ yang kita sebutkan di atas yang menegaskan bahwa Allah tidak di langit.

Bukankah nas-nas syara’ yang kita sebutkan itu secara zahir menentang ayat-ayat yang mereka jadi dalil bahawa Allah berada di langit? Jika mereka mentakwilkannya dengan takwil tertentu, maka kita katakan, “Apa yang membenarkan mereka mentakwilkan nas-nas yang itu dan menolak takwil pada Q.S. al-Mulk :16-17 ini?”

Tafsir yang Benar Q.S. al-Mulk: 16-17
Setelah kita tetapkan dengan keyakinan yang pasti bahwa Allah tidaklah mungkin berada di suatu tempat, baik di langit mahupun di bumi ataupun di suatu yang lain yang bernama tempat, maka para ulama berusaha menafsirkan Q.S. al-Mulk: 16-17 sesuai dengan kemahasucian dan keagungan-Nya.

Diantara tafsir ayat di atas adalah bahawa apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang kekuasaan-Nya Maha Agung lagi Dahsyat dan itu tidak menunjukkan bahawa Allah berada dan bertempat di langit. Sebab orang-orang Arab jika hendak mengagungkan sesuatu perkara biasa menyifatkannya dengan sesuatu yang tinggi. Kerana itu, kira-kira makna ayat itu adalah : “Apakah kamu berasa aman terhadap Zat Yang Maha Agung dan Maha Kuasa yang dapat menggoncangkan bumi dan mengirimkan badai batu yang dapat membinasakan kamu ?”[18]

Syair-syair klasik orang-orang Arab membuktikan bahawa mereka terbiasa jika hendak mengagungkan sesuatu perkara menyifatkannya dengan sesuatu yang tinggi, seperti bait syair yang digubah pujangga kenamaan Arab di masa jahiliyah, `Antarah ibn Syaddâ al-Absi:

مقامك في جو السماء مكانه * وباعي قصير عن نوال الكواكب

“Kedudukanmu di awang-awang langit tempatnya * sedangkan lenganku pendek untuk menggapai bintang-bintang.”[19]

Akhthal salah seorang penyair terkenal pada zaman Bani Umayyah juga menggubah bait syair berbunyi:

بنو دارم عند السماء وأنتم * قذى الارض أبعد بينما بين ذلك

”Suku Bani Darim di langit sedangkan kamu* debu bumi, duhai alangkah jauhnya antara keduanya.”[20]

Atau boleh jadi yang dimaksud dengannya adalah para malaikat yang dikirim Allah untuk menurunkan azab-Nya, sebab tempat para malaikat di langit,[21]


[1] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. V, Hal. 34
[2] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. V, Hal. 33
[3] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. III, Hal. 215
[4] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VIII, Hal. 43
[5] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VII, Hal. 299
[6] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VIII, Hal. 35
[7] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VII, Hal. 371-372
[8] Al-Qurthubi, Tafsir al-Qurthubi, Maktabah Syamilah, Juz. XV, Hal. 97
[9] Imam al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Maktabah Syamilah, Juz. II, Hal. 307-308
[10] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 90, No. hadits: 406
[11] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 388, No Hadits: 547
[12] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 90, No. hadits: 405
[13] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Barri, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 508
[14] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Barri, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 508
[15] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 2077, No Hadits: 2704
[16] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. XVII, Hal. 43
[17] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. II, Hal. 978, No Hadits: 1342
[18] Lihat Tafsir al-Qurthubi, Maktabah Syamilah, Juz. XVIII, Hal. 216
[19] Al-Khatib al-Tabrizy, Syarah Diwan ’Antarah, Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut, Hal. 35
[20] Mahdi Muhammad Nashiruddin, Syarah Dewan al-Akhthal, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Hal. 221
[21] Lihat Khatib Syarbaini, Tafsir Siraj al-Munir, Juz. IV, Hal. 344

[ Tuan Guru Kiyai Alizar Usman (MA) ]


TERKADANG UJIAN ADALAH NIKMAT


قال إسحاق العابد :

"ربما امتحن الله العبد بمحنة يخلصه بها من الهلكة، فتكون تلك المحنة أجل نعمة."

منقول من صفحة سيدي أ.د.علي جمعة حفظه الله تعالى


Asy-Syeikh Ishaq Al 'Abid رحمة الله تعالى berkata :

"Terkadang Allah Ta'ala menguji hamba dengan satu ujian yang dapat membebaskannya dari kebinasaan sehingga ujian tersebut menjadi sebuah nikmat yang paling mulia."


Hakikat Pemberian


سئل حكيم عن كريم، فقال الكرم في اللقاء ف البشاشة وأما في الأخلاق فهو في السماحة وأما في الغنى فهو في المشاركة.

Ditanya seorang Ahli Hikmah tentang apakah yang dikatakan (diertikan) dengan dermawan? Maka Ahli Hikmah itu menjawab, "Dermawan di dalam pertemuan adalah senyuman, di dalam akhlak adalah kelembutan dan mudah memaafkan, di dalam kekayaan adalah pemberian (kepada orang lain)".