Friday, September 10, 2021

HIDUP SEPERTI SEGENGGAM GARAM

Seorang guru sufi bertanya kepada seorang muridnya yang sejak kebelakangan ini murung dan sedih. "Kenapa kamu sentiasa murung dan sedih. Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?" si guru bertanya.
"Tuan, kebelakangan ini hidup saya penuh dengan masalah. Sukar bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tiada akhirnya" jawab si murid muda itu.

Si guru tersenyum. "Ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biarku perbaiki keadaan hatimu itu".
"Ambil segenggam garam dan masukkan ke dalam segelas air itu. Setelah itu, cuba kau minum airnya sedikit," kata si guru.

Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini berkerut kerana minum air yang sangat masin.

"Bagaimana rasanya?" tanya si guru.

"Masin dan perutku menjadi mual," jawab si murid dengan wajah yang masih berkerut.

Si guru tersenyum sekali lagi apabila melihat wajah muridnya yang berkerut kemasinan.

"Sekarang kau ikut aku". Si guru membawa muridnya ke sebuah tasik berhampiran tempat mereka. "Ambil garam yang segenggam lagi itu dan taburkan ke tasik".

Si murid menaburkan segenggam garam yang berbaki itu ke tasik tanpa bersuara. Rasa masin mulutnya belum hilang. Ingin rasanya diludahkan sahaja rasa masin dari mulutnya tetapi tidak dilakukannya. Rasa kurang sopan meludah di hadapan gurunya itu.

"Sekarang cuba kau minum air tasik itu," kata si guru. Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air tasik itu, mengambil air tasik dan membawanya ke mulutnya lalu meneguknya. Ketika air tasik yang dingin dan segar mengalir di tekaknya, si guru bertanya, "Bagaimana rasanya, nak?"

"Segar... segar sekali tuan,"kata si murid mengelap bibirnya dengan tangan. Tentu sahaja tasik itu berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti air tasik itu juga menghilangkan rasa masin yang tersisa di mulutnya.

"Masih adakah rasa garam yang kau taburkan tadi?" tanya si guru.

"Tidak sama sekali," kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Si guru hanya tersenyum memerhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air tasik tersebut sepuas-puasnya.

"Nak" kata si guru setelah muridnya selesai minum. "Segala masalah dalam hidup ini seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam.
"Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang hidupmu sudah ditakdirkan ALLAH, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap begitu, tidak berkurang, tidak bertambah".
"Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah".

Si murid terdiam mendengar kata-kata gurunya itu.

"Tetapi nak, rasa "masin" dari penderitaan yang dialami itu sangat bergantung dari besarnya "kalbu" (jiwa) yang menampungnya. Jadi nak, supaya tidak terus menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikanlah kalbu dalam dadamu itu sebesar tasik", ujar si guru lagi.



MEMANDANG AMAL


لا عمل ارجى للقبول من عمل يغيب عنك شهوده

"Tiada amal yang paling diharapkan untuk diterima selain amal yang hilang dari pandanganmu dan keberadaannya tidak berharga menurutmu.” [Al-Hikam]

قل بفضل الله وبرحمته فبذلك فليفرحوا هو خير مما يجمعون

Katakanlah : "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." [Surah Yunus 58]

Kalam hikmah dan ayat Quran di atas menyentuh tentang amalan.
Dalam memandang amal boleh dibahagikan pada dua golongan :

Golongan yang pertama iaitu mereka yang suka dan gembira sebab telah berjaya melakukan amalan. Semisal berjaya telah mengerjakan solat, puasa, haji, mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bila kegembiraannya itu didorong oleh kesedaraan telah melakukan amal maka orang itu disukaan pada syariat. Sebab dia merasa telah melakukan amal.

Golongan kedua iatu mereka yang jika telah beramal suka gembira (dalam ruhani) kerana Allah kurniakan amalan tersebut pada dirinya. Orang tersebut bersyukur atas kurniaan Allah dan dalam ruhani mamandang bahwa dirinya hanya menerima Amal. Inilah orang yang disukaan pada hakikat amal, sehingga ia merasa amalan tersebut hilang (hilang dalam ruhani atau hilang dalam pandangan musyahadah) dan pada syariat ia merasa amalanya penuh cacat.

Kita boleh menilai diri kita. Selepas kita mengerjakan solat, puasa, Haji, membaca quran, dzikrullah dan sebahagainya apa yang membuat kita gembira, apakah kita gembira kerana telah berhasil berbuat amal, atau gembira sebab Allah kurniakan kita amal.


Wednesday, September 1, 2021

ORANG YANG SEMPURNA

"Orang yang sempurna adalah orang yang menyedari dua bahagian kewujudan. Dia menyaksikan secara berkekalan akan kewujudan Allah سبحانه وتعالی yang azali dan abadi yang berdiri dengan diriNya sendiri lalu mengagungkan keTuhananNya, dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan diri yang baharu yang berdiri dengan (kekuasaan) Allah سبحانه وتعالی lalu menunaikan tanggungjawab kehambaan kepadaNya."

[ Imam An-Nablusi رضى الله عنه dalam Khamratul Khan ]


CAHAYA ZIKRULLAH


Nur zikrullah akan bersama seseorang itu sama ada didunia mahupun di dalam kubur dan nur tersebut berada di hadapannya ketika dia melintas titian sirat. Allah سبحانه وتعالی berfirman;

"Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kekufuran) kemudian Kami hidupkan dia (semula dengan hidayah dan iman) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah dan dapatlah) dia berjalan dengan cahaya itu di tengah-tangah masyarakat manusia. (Adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti orang yang berada dalam kegelapan (kufur) yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?" [ Surah al An'am ayat 122 ]

Orang pertama yang dimaksudkan ialah orang-orang mukmin yang hatinya bercahaya dengan beriman kepada Allah 
سبحانه وتعالی, 'mahabbah' (mencintaiNya), 'makrifat' (mengenaliNya) dan 'zikrullah' (sentiasa mengingatiNya). Sementara orang yang kedua tidak mempunyai sifat-sifat tersebut. Sebenarnya 'nur' itu adalah sesuatu yang begitu unggul, dalam 'nur' itu terdapat kejayaan yang sempurna. Justeru, diriwayatkan dalam beberapa hadith, Rasulullah ﷺ sentiasa berdoa supaya Allah سبحانه وتعالی menjadikan nur pada daging, tulang, otot, rambut, kulit, telinga, mata, di atas, di bawah, di kanan, di kiri, di hadapan dan di belakang Baginda . Baginda  memohon supaya keseluruhan dirinya dijadikan nur. Mengikut kadar nur daripada zikir, amalan-amalan yang lain akan bercahaya. Amalan daripada sesetengah orang menuju ke langit dalam keadaan seumpama cahaya matahari dan cahaya yang sempurna inilah akan kelihatan pada wajah mereka pada hari kiamat.

Zikir adalah perkara utama dalam ilmu tasawwuf dan diamalkan oleh setiap ahli tasawuf dalam thariqat mereka. Sekiranya pintu zikir telah terbuka bagi seseorang, berarti telah terbuka baginya jalan menuju kepada Allah 
سبحانه وتعالی. Sesiapa yang telah sampai kepada Allah سبحانه وتعالی nescaya dia akan mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak ada apa-apa yang berkurangan di sisi Allah سبحانه وتعالی.

Di dalam hati manusia ada suatu bahagian yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka zikir bukan saja dapat mengisi bahagian hati bahkan menjadikan seseorang itu kaya, menjadikannya dipandang mulia, walaupun tidak mempunyai puak dan bukan dari keturunan bangsawan. Menjadikannya seperti seorang raja, walaupun tidak mempunyai kerajaan. Sebaliknya orang yang lalai daripada zikrullah pasti dia akan dihina walaupun dia mempunyai harta kekayaan, keturunan bangsawan dan kerajaan.

Zikir menghimpun kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah berhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Maksud 'menghimpun kembali yang telah bercerai' ialah pelbagai kerisauan, dukacita dan kegelisahan yang ada di dalam hati manusia diganti dengan ketenangan. Maksud 'menceraikan yang terhimpun' ialah kesalahan dan dosa yang telah terhimpun pada seseorang dipisahkan daripadanya. Tentera-tentera syaitan yang menguasai seseorang diceraikan daripadanya. Cinta akhirat yang jauh itu didekatkan dan cinta dunia yang dekat itu dijauhkan daripada seseorang.

Zikir menyedarkan hati yang tidur dan menjadikan hati itu sentiasa berwaspada daripada kelalaian. Selagi hati masih tidur maka selama itulah manusia dalam kerugian.

Zikir merupakan pohon yang menghasilkan buah makrifatullah. Semakin diperbanyakkan zikir itu semakin kukuh tunjang pohon itu, semakin kuat tunjang pohon itu maka semakin banyak buah yang terhasil.

Zikir juga mendekatkan seseorang kepada Allah 
سبحانه وتعالی sehingga terhasil 'Mai'iyattullah' yakni Allah سبحانه وتعالی sentiasa bersamanya. Sebagaimana diterangkan dalam Al-Qur'an;

"Sesungguhnya Allah 
سبحانه وتعالی bersama orang yang bertakwa."

Disebutkan dalam satu hadith qudsi;

"Aku bersama hambaKu selagi dia mengingatiKu."

Disebutkan dalam sebuah hadith qudsi bahawa Allah 
سبحانه وتعالی berfirman, "Orang yang mengingatiKu adalah orangKu, Aku tidak akan menjauhkannya daripada rahmatKu. Sekiranya mereka sentiasa bertaubat daripada dosa-dosa maka Aku menjadi habib (kekasih) mereka. Sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi tabib (pengubat) untuk mereka dengan membawa kesusahan dan keperitan kepada mereka untuk mensucikan mereka daripada dosa-dosa."

Sebenarnya, 'mai'iyattullah' ialah keadaan Allah 
سبحانه وتعالی bersama seseorang yang akan terhasil menerusi zikir. Keadaan tersebut tidak mungkin dapat ditandingi walau seseorang itu ditemani oleh sesiapa pun selain Allah سبحانه وتعالی. Keadaan itu tidak mungkin diterangkan dengan lidah dan tidak boleh diluahkan melalui tulisan. Kelazatan itu hanya dirasai oleh orang yang telah mengecapi keadaan itu.

"Ya Allah berikanlah kepadaku hakikatnya."

Aamiin...


Tuesday, August 31, 2021

WATAK SEBENAR SESEORANG

“Jika engkau ingin tahu watak (sifat) sebenar seseorang itu, jangan engkau bertanya kepada dia. Tetapi lihatlah dengan siapa dia bersahabat. Kerana sememangnya tidak mungkin dua sifat seseorang yang berbeza dapat bersatu menjadi satu.”

[ Habib Abdul Rahman Asseggaf ]


RENUNGAN BUAT DIRI


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ ، الحَمْدُلِلّٰهِ رَبِّ اْلعٰالَمِيْنَ ، اللَّهُمَ صَل ِعَلَى سَيدِنـَا مُحَمَّدٍ الفاتـِح ِلِمَا أُغلِقَ وَالخاتمِ لِمَا سبقَ نَاصِرِالْحَقِ بِالْحَق ِوَالهـَادِي إلىَ صِراطِكَ المُسْتَـَقـِيم وَعَلىَ آلِه حَقَّ قـَدْرِه وَمِقـْدَارِهِ العـَظـِيم

Terkadang sebahagian orang menilaimu sebagai orang yang bertaqwa, sementara ada sebahagian lain menilaimu sebagai orang jahat.

Terkadang sebahagian orang menilaimu sebagai orang yang berakhlak mulia, sementara ada sebahagian lain menilaimu sebagai orang yang tak bermoral.

Akan tetapi apapun penilaian orang lain terhadapmu, engkau lebih mengetahui dirimu daripada orang lain.

Satu-satunya rahsia yang tak diketahui oleh seorangpun kecuali dirimu adalah :

*RAHSIA HUBUNGANMU DENGAN ROBBMU*

Maka jangan kau tertipu dengan para pemujamu dan jangan kecewa atau putus asa atau marah pada orang yang berbuat jahat atau menghinamu.

Allah Ta'ala berfirman :

بَلِ ٱلۡإِنسَٰنُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦ بَصِيرَةٞ

Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri,

-Surat Al-Qiyamah, Ayat 14

Di antara perkara yang paling berbahaya dalam kehidupan adalah antara ta'at dan maksiat, kerana engkau tidak tahu mana di antara keduanya yang akan menjadi akhir hayatmu.

Lakukanlah perbuatan ta'at dengan ikhlas bukan hanya untuk menyelamatkan diri, jagalah perbuatan sunnah untuk mendekatkan diri pada Allah Ta'ala bukan untuk mencari kemuliaan.

Demi Allah, engkau sangat memerlukan perbuatan ta'at sementara Robb-mu tidak memerlukannya.

Jangan terlalu fokus untuk mencari kecintaan manusia, kerana hati manusia selalu berbolak-balik, terkadang hari ini ia mencintaimu boleh jadi besok hari ia justeru membencimu.

Jadikanlah fokusmu bagaimana agar Allah Ta'ala mencintaimu? Kerana jika Allah Ta'ala mencintaimu, IA akan menjadikan hati manusia mencintaimu.

Perkara haram tetaplah haram meskipun semua orang melakukannya.

Jangan pernah mengalah dari prinsipmu. Biarkan mereka berbicara tentang dirirmu, jangan pernah berubah dari prinsipmu.

Kerana di akhirat kelak engkau akan di perhitungkan dan mempertanggung jawabkan semua perbuatanmu sendirian...

Oleh kerana itu istiqomahlah dalam berbuat baik sebagaimana yang telah diperintahkan bukan menurut keinginanmu...

Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan bimbingan Allah Ta'ala, selalu mawas diri, diberi istiqomah dalam berbuat ta'at dan memberi manfa'at sampai mati dalam keadaan husnul khotimah. Aaamiiin...


Monday, April 19, 2021

TAQWA

Asy-Syeikh Al-Arifbiilah Dhiyauddin Ahmad bin Musthafa Al-Kamashanawi Al-Naqsyabandi قدس الله سره berkata

"Taqwa terbagi tiga tingkatan :

1. Taqwanya orang awam dengan lisan, yaitu lebih mendahulukan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

2. Taqwanya orang khawas, dengan anggota tubuh, yaitu lebih mendahulukan melayani Allah daripada melayani makhluk.

3. Taqwanya orang khawasul khawas, dengan hati, yaitu lebih mendahulukan cinta kepada Allah daripada cinta kepada makhluk."

[ Kitab: Jami' A-Ushul fi Al-Auliya
Dar Al-Kutob Al-ilmiyah Beirut hal 96 ]