Saturday, June 27, 2020

TERKADANG UJIAN ADALAH NIKMAT


قال إسحاق العابد :

"ربما امتحن الله العبد بمحنة يخلصه بها من الهلكة، فتكون تلك المحنة أجل نعمة."

منقول من صفحة سيدي أ.د.علي جمعة حفظه الله تعالى


Asy-Syeikh Ishaq Al 'Abid رحمة الله تعالى berkata :

"Terkadang Allah Ta'ala menguji hamba dengan satu ujian yang dapat membebaskannya dari kebinasaan sehingga ujian tersebut menjadi sebuah nikmat yang paling mulia."


Hakikat Pemberian


سئل حكيم عن كريم، فقال الكرم في اللقاء ف البشاشة وأما في الأخلاق فهو في السماحة وأما في الغنى فهو في المشاركة.

Ditanya seorang Ahli Hikmah tentang apakah yang dikatakan (diertikan) dengan dermawan? Maka Ahli Hikmah itu menjawab, "Dermawan di dalam pertemuan adalah senyuman, di dalam akhlak adalah kelembutan dan mudah memaafkan, di dalam kekayaan adalah pemberian (kepada orang lain)".



Antara Musuh dan Teman

"Musuh yang menyakiti hatimu atau menyiksa tubuhmu tetapi membuatmu semakin dekat kepada Allah, adalah lebih baik daripada teman yang menyenangkan hatimu atau memberimu sesuatu tetapi membuatmu semakin jauh dari-Nya."

[ Syeikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani رحمة الله تعالى, al-Anwar al-Qudsiyah, hlm. 24 ]


Anugerah Allah yang sebenarnya adalah segala yang membuatmu semakin dekat dengan Allah.

ليس المهم أن تكون نجماً ، بل المهم أن يكون فيك من الضوء ما يكفي لأن ترى نفسك بكل وضوح.

Tidaklah penting kamu menjadi bintang, tetapi yang penting bahwa kamu memiliki cahaya yang cukup untuk melihat dirimu dengan jelas.



RABITAH SYEIKH


Dalam ilmu tasawuf dan kerohanian, khususnya ilmu Thariqah. Rabitah Syeikh adalah sesuatu yang amat digalakkan semasa berzikir dan mempunyai faedah yang sangat besar. Rabitah bermaksud mengikat diri dengan syeikh dengan menghadirkan wajah syeikh semasa berzikir kepada Allah.

Banyak orang orang yang tidak menjalani latihan kerohanian selalunya menyalah anggap bahawa rabitah itu adalah sesuatu yang syirik. Ia bukanlah sesuatu yang syirik. Ia banyak disebutkan oleh ulama-ulama akan faedahnya seperti Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, Syeikh Daud Al Fathoni dalam kitab Dhiyaul Murid, Syeikh Abdus Samad Falimbani dalam Hidayatus Salikin, Syeikh Abdul Wahab As Sya'rani dalam kitabnya Madarijus Salikin dan banyak lagi ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menulis dalam kitab mereka. Untuk memahami ini kita perlu memahami cara masuk ke hadrat Allah سبحانه وتعالی.

Tujuan kita beramal adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, namun untuk masuk terus kepada Allah, kita tidak dapat membayangkan rupa bentuk Allah, pintu masuk kepada Allah adalah melalui Sayyidina Rasulullah ﷺ. Pun begitu kita juga tidak dapat membayangkan wajah Rasulullah 
ﷺ kerana tidak pernah berjumpa dengan Baginda Rasulullah ﷺ. Oleh kerana tidak dapat membayangkan wajah Allah سبحانه وتعالی dan Rasulullah ﷺ, maka wajah yang boleh dibayangkan yakni dihadirkan rupanya adalah wajah Syeikh Mursyid kita sebagai Warisatul Anbiya' yang menjadi pintu masuk kepada Baginda Rasulullah ﷺ.

Kita tidak boleh melihat wajah Rasulullah 
ﷺ, maka dihadirkanlah wajah-wajah orang yang dicintai oleh Rasulullah ﷺ dari para salihin dan para auliya’, kerana hal itu akan mengingatkan kita kepada Allah, bukan membuat kita syirik tetapi membuat kita semakin taat, hanya saja syaitan tidak suka kerana syaitan terbakar jika melihat wajah-wajah mereka.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Abdullah bin Mas’ud 
رضى الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda :

عن عبد الله بن مسعود قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

“إن من الناس مفاتيح لذكر الله إذا رؤوا ذكر الله“

”Sesungguhnya ada daripada golongan manusia yang dijadikan oleh Allah 
سبحانه وتعالی sebagai kunci (pembuka) untuk berdzikir kepada Allah سبحانه وتعالی. Jika wajah mereka dipandang maka seketika akan mengingatkan kepada Allah سبحانه وتعالی... ” 

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ibn ‘Abbas رضى الله عنه, bahwasanya seseorang telah bertanya kepada Rasulullah ﷺ :

يا رسول الله من أولياء الله؟ قال: ” الذين إذا رؤوا ذكر الله “

"Wahai Rasulullah 
ﷺ, siapakah mereka para wali Allah? Maka Baginda ﷺ bersabda : " Mereka adalah kaum yang ketika dipandang wajah mereka, maka akan langsung mengingatkan kepada Allah سبحانه وتعالی (dengan pandangan tersebut)."

Dan inilah yang dikatakan usaha sebagai wasilah atau jalan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Allah 
سبحانه وتعالی berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan.” [Al-Maa-idah: 35]


Sucikan Hatimu

Syeikh Abu Turab al-'Askar bin al-Hushain an-Nakhsyabiy رضي الله عنه (meninggal 245 H), mengatakan :

"Apabila hati telah biasa menyimpang daripada Allah, maka ia akan ditemani sikap suka mencela orang yang akrab dengan Allah (ahlullah)."

Orang yang sentiasa mensucikan hatinya, insyaAllah akan sentiasa akrab dan mahabbah dengan ahlullah. Jadi, mana mungkin akan timbul desah benci, apalagi kebencian.

Sebaliknya, orang yang hatinya kotor dengan dosa, akan buta sanubarinya dan terhijab daripada nampak akan kebenaran jalan menuju Allah, termasuklah memusuhi para pembimbing menuju jalan Allah, yakni ahlullah.

Begitu juga, al-Imam al-Quthb al-Ghauts Abu al-'Abbas Ahmad bin Idris asy-Syarif al-Idrisi al-Hasani رضي الله عنه (meninggal 1253 H), pernah mengingatkan :

"Jangan sampai engkau menghina seorang Islam atau pun menyakitinya, kerana boleh jadi dia seorang wali Allah, dan engkau tidak mengetahuinya, nanti engkau akan masuk dalam kemurkaan Allah."

Bahkan, sesama Islam, orang awam biasa pun, mesti ada prasangka yang baik. Tidak boleh jahat sangka dalam apa keadaan yang tidak sepatutnya. Inikan pula terhadap awlia Allah; orang yang akrab dengan Allah, lebih lagi perlu dijaga adab zahir dan batin, supaya tidak tersalah langkah dan mengundang kemurkaan Allah.

- Semoga Allah membimbing kita menuju jalan petunjuk-Nya, dan mencintai serta bersahabat dengan mereka yang istiqomah berada di landasan tersebut, dengan keberkatan penghulu sekalian kejadian. Aamiin.


Friday, June 26, 2020

DI ANTARA DUA KEMULIAAN

Manakah yang lebih mulia, di antara Malaikat Jibril عليه السلام atau sandal Rasulullah ﷺ?

Malaikat Jibril عليه السلام tentu lebih mulia daripada sandal yang hanya dibuat dari kulit kambing, tapi kerana sandal tersebut dipakai pada kaki Sayyidina Muhammad ﷺ, walaupun terbuat dari kulit kambing bahkan menjadi mulia kerana dikaitkan dengan kaki Rasulullah ﷺ yang mulia.

Demikianlah juga sandal Rasulullah ﷺ itu ikut naik bersama Baginda 
ﷺ ke Sidratul Muntaha. Rasulullah ﷺ tidak diperintah Allah Taala untuk membuka kedua sandalnya.

Ini sebagai tanda kepada kita bahawa orang-orang yang terikat hatinya dengan Rasulullah ﷺ sangat dekat dengan Allah ﷻ dan memiliki kemuliaan. Kerana itu Allah ﷻ tidak memerintahkan apa-apa yang bersama Rasul ﷺ untuk dipisahkan, bahkan sandalnya juga tidak diperintah untuk dibuka.

Orang-orang yang mencintai Baginda 
ﷺ akan mendapatkan rahsia kemuliaan dari peristiwa isra’ wal mi’raj, dan kita seluruh ummat Baginda ﷺ tidak terlepas akan mendapat kemuliaan kerana hati yang terpaut pada Rasul, tidak akan sirna walau dengan apa jua keadaan sekalipun.

Buktinya iaitu saat kita solat, kita mengulangi kembali kalimah di antara Allah dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Semoga Allah ﷻ mengurniakan kepada kita hati yang sentiasa terpaut kepada Nabi Muhammad 
ﷺ.

۞ﺍَﻟﻠّٰﻬُﻢَّ ﺻَﻞِّ ﻋَﻠَﻰ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ ﻭَﻋَﻠَﻰ ﺁﻝِ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ۞

[ Habib Husin Baagil ]


ILMU TANPA AMAL DAN AMALAN TANPA ILMU


Imam Ghazali رحمة الله تعالى berkata : "Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia.''

Ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan diri kita daripada maksiat, kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak akan mampu menolong manusia melarikan diri daripada melakukan maksiat selama-lamanya.

Di samping itu, ilmu yang ada juga masih belum mampu mendorong kita untuk taat kepada Allah سبحانه وتعالی. Ini kerana beramal dan taat kepada Allah itu datangnya daripada kesedaran diri bahawa ia akan menghadapi maut suatu hari nanti.

Seseorang itu juga tidak mampu menjauhkan dirinya daripada api neraka hanya dengan bergantung kepada pencapaian hidup dan ilmunya semata-mata.

Ia hendaklah diikuti dengan amalan yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya.

Apabila kita tidak beramal dengan ilmu yang ada pada diri kita, kita sudah tentu tidak dapat melepasi perhitungan Allah pada Hari Akhirat kelak.

Janganlah sampai kita menjadi orang yang menyesal dan meminta dikembalikan semula ke dunia, suatu perkara yang tidak mungkin terjadi. Sebagaimana firman Allah 
سبحانه وتعالی dalam surah as-Sajdah ayat 12 yang bermaksud :

"Wahai Tuhan kami, kami telah melihat kebenaran di hadapan mata kami, kami telah mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan perkara yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan perkara yang baik-baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin."

Maka pergunakanlah masa di dunia ini sebaik-baiknya dengan menuntut ilmu dan beramal dengannya, dan jauhilah sikap hanya berbangga-bangga dengan amalan sedangkan ilmunya tiada.