Saturday, October 9, 2021

RENUNGLAH SELALU HATI KITA

Renunglah selalu hati kita. Kerana ia merupakan sumber kebaikan dan kejahatan. Wadah kekufuran dan keimanan. Rebutan di antara malaikat dan syaitan.

Hati perasaannya halus. Sentuhannya tiada terasa. Tapi sangat memberi kesan di dalam kehidupan kita. Siapa yang arif perjalanan hatinya. Faham kebaikan dan kejahatannya. Bersungguh-sungguh bermujahadah membuang kejahatannya. Diganti segera dengan kebaikan, orang itu akan selamat dari tipu daya syaitan dan dunia.

Ramai orang tidak faham perjalanan hatinya, sekalipun ulama (ulama dunia). Terima sahaja yang baik dan yang buruknya. Kemudian merasakan baik semuanya. Tiada terasa lagi membuat dosa. Di sinilah perlu pimpinan guru mursyid yang mengenal hati manusia.


Saturday, September 11, 2021

Mutiara Kata Imam Dzun Nun Al Misri

Berkata Imam Dzun Nun Al Misri رحمة الله تعالى ;

“Hendaknya kamu belajar bersama orang yang dengan melihatnya mengingatkan dirimu kepada Allah. Kamu memiliki rasa segan kepadanya di dalam hatimu.

Orang yang pembicaraannya menambah ilmumu. Orang yang tingkah lakunya membuatmu semakin zuhud kepada dunia. Kamu pun tidak mahu bermaksiat kepada Allah selama sedang berada di sisinya.

Dia memberikan nasihat kepadamu dengan perbuatannya, tidak dengan ucapannya semata.”


ADAB BERSAHABAT

Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali رحمة الله تعالى telah menyenaraikan adab-adab bersahabat di dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, antaranya :

1. Melebihkan sahabatnya itu dengan hartanya (apa yang dimiliki). Sepertimana dia berkehendakkan sesuatu kebaikan untuk dirinya, begitu jugalah yang dia harapkan buat sahabatnya (mendapat kebaikan yang sama).

2. Memberikan hartanya padahal dirinya berhajat kepada harta itu.

3. Menghulurkan bantuan kepada sahabatnya walaupun tanpa diminta.

4. Menyembunyikan akan rahsia sahabatnya.

5. Menutup aib sahabatnya.

6. Apabila terdengar celaan seseorang kepada sahabatnya, tidak disampaikan celaan tersebut kepada sahabatnya itu. Apabila diketahui sahabatnya dicela, maka janganlah ia sesekali mendengar celaan itu.

7. Apabila diketahui sahabatnya dipuji, maka hendaklah ia menyampaikan pujian tersebut kepada sahabatnya itu.

8. Hendaklah memberi perhatian kepada sahabatnya tatkala ia berbicara.

9. Menghindarkan diri dari berbantah-bantah dengan sahabatnya.

10. Apabila melihat kebajikan yang dibuat oleh sahabatnya, maka hendaklah ia memuji akan sahabatnya.

11. Menegah orang yang sedang mencela sahabatnya walaupun ketika ketiadaan sahabatnya.

12. Memberi nasihat dan teguran kepada sahabat apabila diminta.

13. Memaafkan segala kesalahan sahabatnya itu dan tidak mencacinya atas kesalahan yang telah dilakukan.

14. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada sahabat sama ada yang masih hidup atau telah mati.

15. Hendaklah membuat kebajikan kepada sahabatnya dan kepada keluarganya apabila dia telah meninggal dunia.

16. Tidak memberati akan sahabatnya itu daripada suatu hajatnya supaya senang hati sahabat itu dari kesusahan.

17. Mendahului memberi salam ketika berjumpa sahabatnya.

18. Memuliakan akan sahabatnya itu akan segenap hal kebaikan.

19. Apabila sahabatnya berkata, hendaklah dia mendengar sehingga selesai sahabatnya berkata, sesudah itu barulah dia berkata.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه berkata :
"Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu."


Bagaimana keburukan orang lain akan terdapat pada diri kita?

"Bagaimana keburukan orang lain akan terdapat pada diri kita? Ianya dengan kita menyebut-nyebut dan menceritakan keburukan orang lain (mengumpat).

Diceritakan dalam sebuah kampung ada seorang perempuan (dihina orang kampung), dan orang kampung sering menyebut-nyebut dan menceritakan keburukan perempuan ini dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya.

Suatu hari, perempuan tersebut meninggal dunia. Seorang orang soleh dalam kampung tersebut bermimpi melihat perempuan tersebut berada di dalam syurga dengan kedudukan yang tinggi, dan perempuan tersebut berada dalam syurga dengan penuh bangga dengan memakai pakaian yang cantik.

Orang soleh bertanya kepada perempuan tersebut "Bagaimana engkau boleh memperolehi kedudukan sebegini?" Perempuan tersebut menjawab "Amalanku tidak banyak, namun orang-orang kampungku sering memperkatakan yang tidak baik tentangku (mengumpat).

Jadi pahala-pahala solat, puasa, dan kebaikan-kebaikan mereka telah diberikan kepadaku oleh Allah سبحانه وتعالی sehingga aku mendapat kedudukan sebegini di dalam syurga."

[ Al-Allamah Al-Musnid Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafidz ]


DOA TANPA DIKETAHUI

Kisah seorang pemuda yang selalu pergi solat di sebuah masjid. Setiap kali masuk waktu solat, dia akan ke sana untuk mengerjakan solat berjemaah. Tidak pernah ketinggalan.

Seorang syeikh tua sangat kagum melihat kerajinan pemuda itu. Berbeza dengan pemuda-pemuda lain yang lalai mengerjakan solat jemaah.

Oleh kerana pemuda ini seorang yang baik dan taat pada agama, sahabat-sahabat dan kawan-kawannya selalu meminta pemuda ini mendoakan mereka. Alhamdulillah! Doanya selalu dimakbulkan Allah Ta'ala.

Kawan yang minta dia doakan dapat jodoh, akan berkahwin. Kawan yang minta dia doakan dapat anak, isteri kawannya akan mengandung. Begitulah seterusnya, apa sahaja yang didoakan pasti akan dimakbulkan oleh Allah Ta'ala.

Sampailah masa pemuda itu berkahwin dan isterinya mengandung. Ketika isterinya hampir melahirkan anak, pemuda itu berdoa agar anaknya yang bakal lahir sempurna sifat dan anggota badannya.

Namun, apa yang menyedihkan, anak pemuda tersebut cacat dan tidak sempurna. Pemuda tersebut hairan kenapa doanya sudah tidak dimakbulkan Allah Ta'ala.

Selepas itu, doa pemuda tadi sudah tidak dimakbulkan lagi oleh Allah. Apabila pemuda ke masjid, dia perasan seorang syeikh tua di masjid sudah tidak kelihatan.

Dia bertanya kepada jemaah di sana. Mereka mengatakan syeikh tua tersebut telah meninggal dunia.

Kemudian, datang seorang lelaki berkata kepada pemuda tersebut, "Kamu tahu tak, syeikh itu selalu berdoa kepada kamu, ya Allah! Makbulkanlah segala permintaan pemuda itu. Setiap hari syeikh itu mendoakan untuk kamu."

Pemuda tersebut terkejut mendengar khabar itu. Pemuda itu rasa insaf dan dia sedar bahawa bukan doa dia yang dimakbulkan Allah, tetapi doa syeikh tadi.


Friday, September 10, 2021

HIDUP SEPERTI SEGENGGAM GARAM

Seorang guru sufi bertanya kepada seorang muridnya yang sejak kebelakangan ini murung dan sedih. "Kenapa kamu sentiasa murung dan sedih. Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?" si guru bertanya.
"Tuan, kebelakangan ini hidup saya penuh dengan masalah. Sukar bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tiada akhirnya" jawab si murid muda itu.

Si guru tersenyum. "Ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biarku perbaiki keadaan hatimu itu".
"Ambil segenggam garam dan masukkan ke dalam segelas air itu. Setelah itu, cuba kau minum airnya sedikit," kata si guru.

Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini berkerut kerana minum air yang sangat masin.

"Bagaimana rasanya?" tanya si guru.

"Masin dan perutku menjadi mual," jawab si murid dengan wajah yang masih berkerut.

Si guru tersenyum sekali lagi apabila melihat wajah muridnya yang berkerut kemasinan.

"Sekarang kau ikut aku". Si guru membawa muridnya ke sebuah tasik berhampiran tempat mereka. "Ambil garam yang segenggam lagi itu dan taburkan ke tasik".

Si murid menaburkan segenggam garam yang berbaki itu ke tasik tanpa bersuara. Rasa masin mulutnya belum hilang. Ingin rasanya diludahkan sahaja rasa masin dari mulutnya tetapi tidak dilakukannya. Rasa kurang sopan meludah di hadapan gurunya itu.

"Sekarang cuba kau minum air tasik itu," kata si guru. Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air tasik itu, mengambil air tasik dan membawanya ke mulutnya lalu meneguknya. Ketika air tasik yang dingin dan segar mengalir di tekaknya, si guru bertanya, "Bagaimana rasanya, nak?"

"Segar... segar sekali tuan,"kata si murid mengelap bibirnya dengan tangan. Tentu sahaja tasik itu berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti air tasik itu juga menghilangkan rasa masin yang tersisa di mulutnya.

"Masih adakah rasa garam yang kau taburkan tadi?" tanya si guru.

"Tidak sama sekali," kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Si guru hanya tersenyum memerhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air tasik tersebut sepuas-puasnya.

"Nak" kata si guru setelah muridnya selesai minum. "Segala masalah dalam hidup ini seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam.
"Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang hidupmu sudah ditakdirkan ALLAH, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap begitu, tidak berkurang, tidak bertambah".
"Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah".

Si murid terdiam mendengar kata-kata gurunya itu.

"Tetapi nak, rasa "masin" dari penderitaan yang dialami itu sangat bergantung dari besarnya "kalbu" (jiwa) yang menampungnya. Jadi nak, supaya tidak terus menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikanlah kalbu dalam dadamu itu sebesar tasik", ujar si guru lagi.



MEMANDANG AMAL


لا عمل ارجى للقبول من عمل يغيب عنك شهوده

"Tiada amal yang paling diharapkan untuk diterima selain amal yang hilang dari pandanganmu dan keberadaannya tidak berharga menurutmu.” [Al-Hikam]

قل بفضل الله وبرحمته فبذلك فليفرحوا هو خير مما يجمعون

Katakanlah : "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." [Surah Yunus 58]

Kalam hikmah dan ayat Quran di atas menyentuh tentang amalan.
Dalam memandang amal boleh dibahagikan pada dua golongan :

Golongan yang pertama iaitu mereka yang suka dan gembira sebab telah berjaya melakukan amalan. Semisal berjaya telah mengerjakan solat, puasa, haji, mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bila kegembiraannya itu didorong oleh kesedaraan telah melakukan amal maka orang itu disukaan pada syariat. Sebab dia merasa telah melakukan amal.

Golongan kedua iatu mereka yang jika telah beramal suka gembira (dalam ruhani) kerana Allah kurniakan amalan tersebut pada dirinya. Orang tersebut bersyukur atas kurniaan Allah dan dalam ruhani mamandang bahwa dirinya hanya menerima Amal. Inilah orang yang disukaan pada hakikat amal, sehingga ia merasa amalan tersebut hilang (hilang dalam ruhani atau hilang dalam pandangan musyahadah) dan pada syariat ia merasa amalanya penuh cacat.

Kita boleh menilai diri kita. Selepas kita mengerjakan solat, puasa, Haji, membaca quran, dzikrullah dan sebahagainya apa yang membuat kita gembira, apakah kita gembira kerana telah berhasil berbuat amal, atau gembira sebab Allah kurniakan kita amal.