Monday, January 27, 2025

TEMAN ADALAH PENENTU AKHLAQ KITA

Al-Faqih Abu al-Laits al-Samarqandî رحمة الله تعالى berkata :

Barang siapa berteman dengan delapan golongan manusia, maka Allah menambahkan padanya delapan perkara :

1) Barangsiapa yang bergaul 
dengan orang-orang kaya, maka Allah menambahkan padanya kecintaan dunia dan rakus akan dunia.

2) Barangsiapa yang bergaul dengan orang-orang fakir, maka Allah menambahkannya rasa syukur dan ridha pada pemberian Allah Taala.

3) Barangsiapa yang bergaul dengan penguasa, maka Allah menambahinya kesombongan dan kerasnya hati.

4) Barangsiapa yang bergaul dengan perempuan, maka Allah menambahinya kebodohan dan syahwat.

5) Barangsiapa yang bergaul dengan anak-anak kecil maka Allah menambahinya permainan dan senda gurau.

6) Barangsiapa yang bergaul dengan orang-orang fasik, maka Allah menambahinya keberanian melakukan dosa dan kemaksiatan dan penundaan taubat.

7) Barangsiapa yang bergaul dengan orang-orang saleh, maka Allah menambahinya kesungguhan dan kecintaan pada ketaatan.

8) Barangsiapa yang bergaul dengan ulama, maka Allah menambahinya ilmu dan amal.

[ Kitab Bughyah Al Mustarsyidin hal 5 ]

Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2. Al-Baghawi menyatakan: "Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya).” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3. Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4. Antara tujuan utama Allah سبحانه وتعالی menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah سبحانه وتعالی:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita. Aamiin...

TUAN GURU SYEIKH IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI

NAMA LENGKAP

Nama lengkap tuan guru Imam Hj Ishaq ialah Ishaq bin Muhammad Arif bin Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut bin Merah Mas. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Hj. Ishaq. Tuan Hj. Ishaq dilahirkan pada tahun 1908 di kampung Rawa, Cemur, Perak. Beliau adalah anak bongsu daripada enam orang adik beradik yang terdiri dari tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan.

Datuk dan nenek beliau di sebelah ayahanda beliau adalah dari keturunan keluarga Kesultanan Rawa, Sumatera, Indonesia. Datuk lelaki beliau yang bernama Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut itu telah meninggalkan tanah Rawa, Sumatera, berhijrah ke Malaysia dan terus ke Pahang di sekitar tahun 1830-an iaitu lebih kurang 170 tahun yang lalu. Selain beliau, kedapatan ramai juga dari kalangan adik-beradik dan saudara mara beliau yang lain yang turut sama berhijrah ke Semenanjung Malaysia yang pada masa itu disebut Tanah Melayu. Antara mereka ialah Fakih Khalifah Saka yang bergelar Sutan Segentar Alam iaitu abang kandung beliau, Khatib Abdullah iaitu saudara sepupu beliau dan Dato’ Pertemuan iaitu bapa saudara beliau dari sebelah ibu.

Tidak lama sesudah berada di Pahang, maka datuk beliau itu telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Siti Umai, anak perempuan Dato' Paduka iaitu hasil perkahwinan beliau dengan Halimah. Dato' Paduka adalah seorang bangsawan yang berasal dari Kampar, Sumatera. Dato' Paduka inilah yang telah datang ke Pahang dan membuka kampung Temau, Dong, Raub yang mana pada masa dahulu ia dikenali sebagai kampung Lata Limau. Perkahwinan Sutan Tujuan Saka dengan Siti Umai tersebut, telah melahirkan enam orang anak iaitu Soman, Muhammad Arif, Mahida, Muhammad Amin, Ahmad dan Muhammad Diah. Sutan Tujuan dan bapa mertuanya iaitu Dato' Paduka, telah meninggal dunia di Temau dan jenazah kedua-duanya itu dimakamkan di tanah perkuburan Bukit Kepayang, Temau.


AYAHANDA

Ayahanda Tuan Hj. Ishaq iaitu Muhammad Arif ialah seorang yang lama berkhidmat di bawah pemerintahan kesultanan Pahang iaitu pada zaman pemerintahan al-Marhum Sultan Ahmad. Beliau masih dapat mewarisi sifat-sifat kepahlawanan datok-nenek beliau. Beliau pernah menjadi salah seorang panglima tentera Pahang dan dikenali di zaman beliau itu sebagai Panglima Perang Muhammad Arif. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan seperjuangan beliau seperti Imam Perang Yusuf bin Tan Ibrahim dan Panglima Alam, pernah beberapa kali mengetui tentera Pahang di dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti peperangan yang dikenali sebagai Perang Tengku Wan Aman.

Muhammad Arif juga telah turut memimpin tentera Pahang di dalam peperangan yang berlaku di negeri Selangor seperti Perang Sayyid al-Masyhur yang dikenali juga oleh orang-orang Pahang sebagai Perang Sayyid Suhur dan peperangan saudara antara Tengku Kudin dengan Raja Mahdi. Dalam peperangan yang berlaku di antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi tersebut, beliau memihak dan membantu Tengku Kudin. Muhammad Arif juga selalu bersama-sama dengan Dato’ Gajah iaitu panglima Pahang dan juga dengan anak beliau iaitu Dato’ Mat Kilau.

Muhammad Arif pada mulanya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Zulihan. Ayahanda Zulihan berasal dari Selangor dan ibunya pula berasal dari kampung Dong, Raub, Pahang. Beliau kemudiannya telah menceraikan Zulihan dan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Shamsiah. Ibu Shamsiah bernama Zuyah iaitu anak kepada Fakih Tan Fakih Ali. Hasil perkahwinan beliau dengan Zuyah tersebut, beliau telah dikurniakan seorang anak bernama Itam. Beliau kemudiannya menceraikan Shamsiah dan terus mengembara ke Perak dan menetap di Gopeng. Di Gopeng, Muhammad Arif mengahwini seorang lagi perempuan yang bernama Qamariah yang berketurunan Rawa. Namun kemudiannya beliau menceraikan Qamariah tersebut dan kembali ke Pahang. Di Pahang, beliau telah mengahwini Hindun atau Nujumah binti Tengku Nahmad iaitu bonda kepada Tuan Hj. Ishaq.


BONDA

Bonda Tuan Hj. Ishaq berasal dari keturunan orang kenamaan di Selangor. Tengku Nahmad yang asalnya berketurunan Siak, Sumatera, telah mengembara dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia dan menetap di kampung Kuantan, Klang, Selangor. Di sana beliau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Ubah. Setelah beberapa lama tinggal di kampung Kuantan tersebut, Tengku Nahmad telah mengahwini seorang perempuan yang bernama Maryam yang berasal dari kampung Teluk Pulai, Kelang iaitu anak saudara kepada Dato’ Buang. Hasil perkongsian hidup dengan Maryam tersebut, Tengku Nahmad telah dikurniakan dua orang anak iaitu Maryam dan Hindun. Tengku Nahmad kemudiannya telah meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di daerah Kajang (Hulu Langat).

Apabila berlakunya peperangan di Selangor yang dikenali dengan nama perang Raja Mahdi, maka Maryam telah meninggalkan kampung Teluk Pulai kerana melarikan diri dari huru-hara peperangan tersebut dengan membawa bersama kedua-dua orang anaknya itu. Hindun pada masa itu masih kecil lagi iaitu berumur kurang dari tiga tahun. Selepas itu Maryam terus melarikan diri sehingga sampai ke Bidur, Perak dan di sana anaknya yang bernama Kalthom telah meninggal dunia. Maryam kemudiannya meninggalkan Bidur dan menuju pula ke Pahang iaitu ke kampung Gali, Dong.

Di Dong, Maryam dan anaknya itu tinggal di rumah Hajjah Syarifah, anak kepada Fakih Khalifah Saka (Sutan Segentar Alam) iaitu abang kepada Sutan Tujuan Saka. Hindun telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Hajjah Syarifah kerana beliau sendiri secara kebetulannya tidak mempunyai anak. Nama Hindun kemudiannya telah ditukarkan kepada Nujumah. Setelah dewasa, Nujumah dikahwinkan dengan Muhammad Arif, ayahanda Tuan Hj. Ishaq, iaitu saudara sepupu dengan Hajjah Syarifah tersebut. Kemudian, Muhammad Arif telah membawa isteri dan mertuanya itu berpindah ke Perak dan menetap di sebuah perkampungan yang bernama Pelong iaitu satu tempat yang terletak di antara Cemur dan Sungai Siput. Di Pelong itulah bonda Nujumah meninggal dunia dan dimakamkan di perkuburan kampung tersebut.

Sewaktu menetap di Pelong, Muhammad Arif pernah berkerja mengambil upah menebang hutan untuk membina jalan keretapi di antara Ipoh dan Kuala Kangsar yang mana pada waktu itu masih belum ada perhubungan jalan keretapi di antara kedua-dua bandar tersebut. Ketika berada di Pelong, beliau telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Manan, Sa`diah dan kemudian Khadijah. Setelah lama berada di Pelong, beliau telah didatangi oleh seorang yang bernama Qasim iaitu saudara sepupu beliau lalu mengajak beliau berpindah ke Cemur, Perak, kerana di Cemur itu, menurutnya, terdapat ramai kaum kerabat Sutan Tujuan Saka. Memandangkan ramai orang Melayu yang telah berpindah ke tempat lain sehingga yang tinggal di Pelong itu hanya beberapa buah sahaja rumah yang didiami oleh orang-orang Melayu di samping yang ramai tinggal di situ adalah terdiri dari orang-orang Cina yang kebanyakan mereka berkerja sebagai pemotong papan, maka beliau pun akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Cemur.

Ketika menetap di Cemur inilah Tuan Hj. Ishaq dilahirkan, begitu juga dengan abang kandung beliau, Ayub. Walau bagaimanapun, di Cemur ini jugalah berlakunya perkara yang sangat mendukacitakan. Bonda Tuan Hj. Ishaq, Nujumah (Hindun), telah meninggal dunia pada tahun 1914 di kampung Rawa, Cemur. Pada masa itu Tuan Hj. Ishaq masih kanak-kanak lagi iaitu berumur lebih kurang enam tahun. Setelah kewafatan bonda Tuan Hj. Ishaq, kaum keluarga beliau di Pahang, khasnya di daerah Raub, meminta serta mendesak supaya ayahanda beliau, Muhammad Arif, berpindah ke Pahang. Pada tahun 1915, keluarga beliau telah berpindah ke Pahang dan terus menetap di Kampung Pasir Bayam, Dong, Raub. Setelah lebih kurang lapan tahun berada di Pahang, maka pada tahun 1923, ayahanda Tuan Hj. Ishaq pula meninggal dunia, ketika berusia 75 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kuala Gali. Tuan Hj Ishaq pada masa itu masih remaja iaitu berumur lebih kurang 15 tahun.

Kematian ayahanda beliau itu menjadikan beliau yatim piatu. Walau bagaimanapun beliau kemudiannya telah dipelihara pula oleh saudara sepupu beliau yang bernama Muhammad Tahir bin Osman bin Sutan Tujuan yang tinggal di Kampung Pasir Bayam, Dong. Dua tahun setelah kematian ayahanda beliau iaitu dalam tahun 1925, beliau pun mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan yang bernama Rubiah binti Awaludin yang berasal dari kampung Bukit Kemuning, Dong. Usia beliau pada waktu itu agak muda iaitu lebih kurang 17 tahun. Dalam tahun yang sama beliau telah berpindah ke kampung Bukit Kemuning bagi menjalani hidup berkeluarga.

Tuan Hj. Ishaq menyara hidup keluarga beliau dengan berkebun dan bersawah padi. Beliau juga pandai bertukang dan beliau adalah merupakan salah seorang tukang rumah yang agak mahir. Beliau juga ada membuka kelas pengajian al-Qur’an, fardu ain dan qasidah di rumah beliau di kampung Bukit Kemuning dengan dibantu oleh isteri beliau, Rubiah. Tidak hairanlah kalau rumah beliau itu sentiasa saja dipenuhi dengan murid-murid beliau yang datang untuk belajar ilmu-ilmu agama.

Tuan Hj. Ishaq adalah merupakan seorang imam dan amil masjid yang bertauliah yang agak lama berkhidmat memegang jawatan beliau itu, iaitu semenjak awal tahun 1930-an sehinggalah pertengahan tahun 1960-an. Beliau dengan sebulat suara telah dilantik sebagai imam serta amil masjid di kampung Lecar, mukim Dong pada tahun 1931. Ketika itu beliau telah berusia 23 tahun. Pada mulanya beliau ditauliahkan sebagai imam masjid tersebut oleh Hj. Zayadi iaitu qadi yang ketiga di daerah Raub yang juga merupakan seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin suluk serta murid Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Pada tahun 1951, beliau ditauliahkan pula oleh al-Marhum Sultan Abu Bakar ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. Jawatan imam dan amil masjid kampung Lecar ini disandang oleh Tuan Hj. Ishaq hingga tahun 1965 iaitu selama lebih kurang 34 tahun. Di samping itu beliau juga merupakan seorang guru agama sukarela yang telah diberikan kebenaran mengajar agama di Masjid Bukit Pampong, Dong, Raub bermula tahun 1977/1978.

Tahun 1976 adalah merupakan tahun kesedihan bagi Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana isteri beliau yang bernama Rubiah binti Awwaluddin meninggal dunia pada tahun tersebut dan jenazahnya dimakamkan di tanah perkuburan kampung Bukit Kemuning. Sepanjang tempoh perkongsian hidup Tuan Hj. Ishaq dengan Rubiah selama lebih kurang 51 tahun, beliau tidak dikurniakan sebarang cahaya-mata. Tidak lama setelah kematian isteri beliau itu, Tuan Hj. Ishaq berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Hajjah Fatimah binti Mat Yasin yang berasal dari kampung Ulu Gali, Raub. Perkahwinan beliau yang kedua itu terjadi pada tahun 1977. Perkahwinan tersebut juga tidak melahirkan sebarang zuriat.

Pada tahun 1982, Tuan Hj. Ishaq telah pergi ke Mekah bagi tujuan menunaikan fardu haji bersama-sama dengan isteri beliau, Hajjah Fatimah, dengan diikuti oleh beberapa orang murid beliau. Sepanjang hidup beliau itu, hanya sekali sahaja beliau pergi menunaikan fardu haji ke Mekah. Tuan Hj. Ishaq telah meninggal dunia pada 21 hb. Febuari, tahun 1992 di kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang, kerana sakit tua. Usia beliau ketika itu adalah lebih kurang 84 tahun. Jenazah beliau kemudiannya telah dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut.


LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Dari segi latar-belakang pendidikan khususnya pendidikan keagamaan, Tuan Hj. Ishaq tidak seperti tokoh-tokoh lain yang mendapat pendidikan keagamaan secara formal di pusat-pusat pengajian sama ada di dalam atau di luar negeri. Ini mungkin kerana kehidupan beliau yang agak susah lantaran kematian bonda dan ayahanda beliau itu. Sekalipun begitu, namun beliau tetap berusaha secara sendirian bagi mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu keislaman menerusi pengajian tidak rasmi iaitu pengajian yang dilakukan di masjid-masjid dan juga surau-surau.

Walau bagaimanapun Tuan Hj. Ishaq juga pernah mengecapi alam persekolahan ala moden iaitu sewaktu beliau masih kanak-kanak. Beliau mula mengenali alam persekolahan tersebut ketika keluarga beliau mula menetap di kampung Pasir Bayam, Dong, Raub, setelah dua tahun berpindah dari Cemur, Perak iaitu setelah kematian bonda beliau, Nujumah (Hindun). Beliau mula bersekolah dalam tahun 1917 di Sekolah Melayu Dong ketika berusia sembilan tahun. Guru besar sekolah tersebut pada waktu itu bernama Muhammad Jabar bin Hj. Abdul Qadir dan penolong beliau ialah anak beliau sendiri iaitu Abdul Majid bin Muhammad Jabar.

Muhammad Jabar bukanlah orang lain, beliau adalah merupakan saudara dua pupu dengan Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana ayahanda Muhammad Jabar, Hj. Abdul Qadir adalah merupakan anak kepada Raja Parmainan yang bergelar Dato’ Raja Ninda. Raja Parmainan itu pula adalah merupakan anak kepada Sutan Limbang Laut Selingkar Alam. Dengan itu Raja Parmainan adalah saudara kandung kepada Sutan Tujuan Saka iaitu datuk kepada Tuan Hj. Ishaq. Muhammad Jabar ini merupakan orang yang pertama dari kalangan orang-orang Melayu yang menjadi guru besar Sekolah Melayu di kampung Dong, Raub. Sekolah tersebut kemudiannya dinamakan Sekolah Menengah Muhammad Jabar, sempena nama guru besar pertamanya.

Tuan Hj. Ishaq berjaya menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Dong. Pada tahun 1922 beliau telah berhenti dari sekolah tersebut kerana telah tamat darjah lima yang merupakan darjah tertinggi di sekolah tersebut pada waktu itu. Beliau termasuk salah seorang pelajar yang agak pintar dan berjaya di sekolah itu. Kerana itu beliau bersama dengan seorang pelajar lain yang bernama Dakhili telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak yang merupakan tempat mendidik para pelajar untuk menjadi guru. Tawaran tersebut dibuat oleh nazir sekolah yang pada waktu itu disandang oleh Muhammad Idrus, pada tahun 1922, iaitu setelah Tuan Hj. Ishaq tamat pengajian di sekolah itu.

Rakan beliau, Dakhili menerima tawaran tersebut dan terus menyambung pelajarannya di sana sehingga beliau berjaya menjadi seorang pendidik. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi guru besar dan terus berkhidmat sehinggalah beliau bersara. Tuan Hj. Ishaq pula menolak tawaran tersebut kerana beliau melihat ayahanda beliau sudah terlalu tua dan uzur sehingga beliau tidak sanggup untuk meninggalkannya. Tuan Hj. Ishaq adalah seorang yang berminat dan mempunyai kemahuan yang agak tinggi untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Ini dapat dilihat pada usaha dan kesungguhan beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dan bahasa Arab dari guru-guru tempatan setelah beliau menamatkan persekolahan beliau.

Setelah tamat pengajian di Sekolah Melayu Dong, Tuan Hj. Ishaq mula giat belajar ilmu-ilmu agama dengan guru-guru tempatan. Umur beliau pada masa itu adalah lebih kurang 15 tahun. Pada peringkat permulaannya beliau belajar membaca al-Qur’an sehingga khatam dengan guru beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Muhammad Saman. Beliau berjaya menamatkan pengajian al-Qur’an tersebut setelah hampir setahun belajar dengan guru beliau itu. Di samping itu beliau juga mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu usuluddin dan fiqh dan seterusnya beliau belajar pula ilmu tajwid, qasidah dan lagu-lagu dengan seorang guru beliau yang lain yang bernama Tuan Guru Lebai Muhammad Din bin Imam Sani yang berasal dari Kg. Semantan Hilir, Temerloh, Pahang.

Dalam tahun 1927 iaitu ketika Tuan Hj. Ishaq berumur lebih kurang 19 tahun, beliau pergi belajar pula, bagi tujuan mendalami lagi ilmu fiqh dan tasawuf, dengan guru beliau yang bernama Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang sebelum itu merupakan seorang guru agama di Tanjung Malim, Perak. Ketika belajar dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib inilah beliau mula diperkenalkan dengan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang kemudiannya beliau menyambung pengajian tarekat tersebut dengan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad yang juga merupakan guru kepada Hj. Muhammad Khatib.

Tuan Hj. Ishaq juga ada mempelajari bahasa Arab dari beberapa orang guru. Antara guru beliau yang mengajarkan beliau ilmu bahasa Arab itu ialah Tuan Guru Hj. Abdul Razak iaitu kadi yang keenam di daerah Raub, Pahang. Bagi tujuan mendalami lagi pengetahuan tentang bahasa Arab tersebut, Tuan Hj. Ishaq belajar pula dengan Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar bin Hanafiah iaitu seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan juga menantu kepada Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar ini berasal dari Banjar Masin, Kalimantan Barat, Indonesia.

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh Tuan Hj. Ishaq sejak dari zaman remaja beliau itu telah dikembangkan sedikit demi sedikit menerusi pengkajian dan pembacaan kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab. Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan utama Tuan Hj. Ishaq ialah Kitab Bahr al-Madhi, Furu` al-Masail, Tanwir al-Qulub, Qut al-Qulub, Hidayah al-Salikin, Siyar al-Salikin, Kashf al-Mahjub, Tafsir al-Baidawi, Tafsir Ibn `Abbas, Tafsir al-Jalalain dan Sahih al-Bukhari.

Sekalipun Tuan Hj. Ishaq mempunyai latar belakang pendidikan keagamaan yang agak sederhana, tidak seperti tokoh-tokoh agama lain, namun beliau didapati agak aktif menulis dan menghasilkan buku-buku agama terutamanya tentang ajaran tasawuf dan tarekat dan juga sejarah perkembangannya di Raub, Pahang. Antara karya-karya beliau yang telah dihasilkan ialah Majmu` al-Masa'il, Tanbih al-Muridin, Majmu` al-Mau`izah, Cara-Cara Menjalani Amalan Dalam Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah Untuk Mencapai Kepada Tasawuf, Asal-Usul Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah di Daerah Raub, Pahang, dan Sejarah Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang Dar al-Ma`mur, di samping tulisan-tulisan dan risalah-risalah lain yang tidak dibukukan.


PENGLIBATAN DALAM KEGIATAN
TAREKAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH


Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah sudah lama bertapak dan berkembang di daerah Raub, Pahang. Sejarah awal kemasukan dan perkembangan tarekat ini di Raub adalah dipelopori oleh golongan pentadbir agama dan penguasa tempatan. Kadi-kadi dan beberapa orang penghulu terawal di beberapa mukim di Raub didapati terlibat dengan pengamalan dan penyebaran Tarekat Naqshabandiyyah ini. Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan yang menetap di kampung Kuala Gali, Raub, adalah kadi pertama di daerah Raub sebelum zaman penjajahan Inggeris. Hj. Salim adalah orang pertama yang mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah di daerah tersebut. Beliau telah belajar dan menerima asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah tersebut dari seorang yang berasal dari Sumatera yang bernama Shaikh Muhammad Salih.

Kadi yang kedua di Raub ialah Tuan Hj. Muhammad Arif. Beliau berasal dari Minangkabau, Sumatera dan kemudian telah berpindah ke Raub dan menetap di Sana. Beliau adalah menantu kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Di samping sebagai seorang kadi, beliau juga pengamal dan pengembang Tarekat Naqshabandiyyah. Beliau telah menerima tarekat itu dari seorang shaikh di Jabal Hindi, Mekah. Manakala kadi yang ketiga di daerah Raub pula ialah Tuan Hj. Ziyadi iaitu anak kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Beliau juga seorang pengamal dan juga pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Raub. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi adalah guru yang telah mengijazahkan kepada beliau tarekat tersebut.

Di kalangan penguasa tempatan pula, didapati penghulu-penghulu terawal di mukim Gali, Raub terlibat dengan kegiatan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Lima orang penghulu pertama di situ adalah pengamal tarekat ini. Mereka ialah Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda, Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin dan Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad bin Tengku Abdul Majid. Penghulu pertama di mukim Gali iaitu Tengku Abdul Samad, menerima dan mempelajari Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Tuan Hj. Muhammad Arif, kadi kedua di Raub, pada tahun 1914 di kampung Durian Sebatang, mukim Gali, Raub, Pahang. Begitu juga dengan penghulu yang kedua iaitu Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, di mana beliau juga mengambil tarekat tersebut dari Tuan Hj. Muhammad Arif pada tahun yang sama.

Manakala penghulu ketiga iaitu Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, telah mengambil Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Hj. Umar bin Muhammad. Penghulu keempat pula iaitu Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin, telah menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Sidiq bin Hj. Salim, iaitu salah seorang murid dan khalifah Shaikh Hj. Umar. Penghulu kelima iaitu Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim, juga merupakan salah seorang murid dan khalifah kepada Shaikh Hj. Umar.

Tuan Hj. Ishaq mula mengenali Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah ketika beliau belajar ilmu tasawuf dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang mana pada ketika itu beliau berumur 19 tahun. Beliau telah mengambil talqin zikir dan bai`ah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari guru beliau, Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib, pada tahun 1927. Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib berasal dari kampung Rokan Kanan, Langkat, Sumatera, iaitu sekampung dengan Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi al-Naqshabandi yang telah membuka pusat Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di kampung Babussalam, Langkat, Sumatera.

Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib adalah antara anak murid Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi dan khalifah beliau yang paling tua. Sebelum beliau berpindah ke Raub, Pahang, beliau adalah merupakan seorang guru agama serta pemimpim suluk di kampung Bertam, Tanjung Malim, Perak dan mempunyai ramai murid di sana. Setelah Tuan Hj. Ishaq menerima bai`ah tarekat dari guru beliau itu, maka pada penghujung tahun 1927 iaitu pada tahun yang sama, beliau mula menjalani suluk di bawah pimpinan Tuan Guru Shaikh Hj. Umar ibn Muhammad di Surau Suluk Kubu di kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Shaikh Hj. Umar adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan, Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.

Tuan Hj. Ishaq kemudiannya telah memimpin suluk di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, mukim Gali, Raub, Pahang. Suluk pertama kali di surau tersebut berlaku pada bulan oktober tahun 1965. Pada ketika itu beliau telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai imam dan amil masjid kampung Lecar yang disandang oleh beliau selama lebih kurang 34 tahun. Dengan terbinanya surau tersebut, ramailah orang yang datang untuk belajar, menerima dan seterusnya mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di bawah pimpinan beliau itu. Mereka datang dari seluruh pelusuk tanah air dan juga dari Singapura, Thailand dan Sumatera. Murid-murid Tuan Hj. Ishaq dianggarkan melebihi 5000 orang yang terdiri dari laki-laki dan juga perempuan. Murid-murid yang diangkat menjadi khalifah beliau sahaja melebihi dua ratus lima puluh orang.

Murid-murid Tuan Hj. Ishaq itu adalah dari latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berbeza. Di samping orang-orang kampung yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak rendah, ada di antara murid-murid Tuan Hj. Ishaq yang terdiri dari ahli akademik bidang keagamaan yang sebahagiannya merupakan lulusan universiti di timur tengah dan juga universiti tempatan. Antara mereka ialah seperti Ustaz Mukhtar bin Yaqub yang merupakan seorang graduan Universiti al-Azhar yang memiliki ijazah sarjana dan juga bekas timbalan Shaikh al-Arqam, Prof. Madya Ustaz Hj. Jahid bin Sidek iaitu pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Ustaz Muhammad bin Long iaitu guru agama Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, Temerloh, Ustaz Hj. Husain bin Abdul Latif iaitu guru agama Balai Muzakarah, Pauh Sembilan, Bacok, Kelantan dan Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad guru agama di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.

Di kalangan murid-murid Tuan Hj. Ishaq ada juga yang menjadi wakil rakyat iaitu Yang Berhormat Tengku Mustafa bin Tengku Hj. Seti yang kemudiannya menjadi salah seorang khalifah yang menggantikan beliau. Ramai juga di kalangan murid-murid beliau itu yang terdiri dari golongan profesional seperti Hj. Hafas bin Idin iaitu seorang peguam di Kuantan, Pahang, Abdul Rahim bin Muhammad iaitu seorang pegawai Bank Nasional di Kuala Lumpur, Wan Abdul Rasyid bin Wan Abu Bakar iaitu seorang hakim di Mahkamah Tengah, Kuantan dan Hj. Aman Syah iaitu penyelia sekolah-sekolah di Raub, Pahang.

Sepanjang 18 tahun menjadi khadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah; beliau telah menganjurkan 120 amalan bersuluk di Surau Ehyaul Qulub, Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang; di samping menghasilkan banyak tulisan yang berkaitan dengan amalan tareqat. Khalifah yang diangkat di zaman hayatnya ialah seramai 350 orang.

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 21 Februari 1992 bersamaan 18 Sya’ban 1412 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di Kg Bukit Kemuning, Dong, Raub, Pahang.


PENGGANTI PEMIMPIN TARIQAH DAN SULUK

Al-marhum Tuan Guru Imam Hj. Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi telah meninggalkan beberapa orang pengganti yang dibenarkan memimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Antara mereka ialah al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Hasan bin Wan Abdullah yang memimpin tarekat tersebut di surau suluk kampung Pulau Rumput, Pekan, Pahang. Al-Marhum Ustaz Mukhtar bin Yaqub, Pekan, Pahang, juga adalah antara khalifah beliau yang dibenarkan memimpin tarekat ini, namun beliau terlebih dahulu meninggal dunia sebelum guru beliau. Al-Marhum Imam Haji Sani, Raub Pahang juga dizinkan untuk memimpin suluk dan tarekat. Salah seorang khalifah dan pengganti beliau yang sangat giat menyebarkan ajaran tarekat guru beliau ialah TUAN GURU DR HAJI JAHID BIN SIDEK AL-KHALIDI yang sehingga sekarang masih memimpin suluk dan pengamalan tarekat ini melalui 2 surau suluknya di SURAU SULUK BABUL KHAYRAT, KAMPUNG MELAYU MAJDI, JOHOR BHARU, JOHOR dan MADRASAH MANARATIL 'ILMI, PEKAN PAHANG. Manakala al-Marhum Tengku Mustafa bin Tengku Seti pula adalah merupakan khalifah beliau yang menggantikan tempat beliau sebagai pemimpin tarekat di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub sehingga sekarang. Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad juga merupakan salah seorang khalifah Tuan Hj. Ishaq yang dibenarkan memimpin tarekat namun beliau diberitakan tidak begitu aktif mengembangkan tarekat tersebut.

============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين


[ TUAN GURU SYEIKH IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI Al-NAQSHABANDIYYAH AL-KHALIDIYYAH ]

Monday, January 13, 2025

SYEIKH ABDUR RAUF AL-FANSURI AL-SINGKILI (1592-1693 M)

Oleh : Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI ulama ini sangat banyak ditulis orang, namun tulisan ini terlebih dahulu mengemukakan kelainan penulisan yang bersumber daripada orientalis yang diikuti oleh hampir semua penulis dunia Melayu, iaitu tentang namanya yang dikemukakan sebagai Abdur Rauf Singkil atau al-Sinkili. Walhal daripada Syeikh Abdur Rauf sendiri belum ditemui penambahan perkataan Sinkili di hujung namanya, yang ada hanyalah ‘al-Fanshuri’.

Penambahan nama ‘al-Fanshuri’ bukan ‘as-Sinkili’ di hujung nama untuk Syeikh Abdur Rauf bin Ali yang tersebut dilanjutkan oleh semua ulama Melayu, yang dimulai oleh muridnya Baba Daud bin Ismail ar-Rumi ketika beliau menyelesaikan Turjumanul Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi, demikian juga pada salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyahnya.

Hal yang sama dilanjutkan pula oleh murid Baba Daud bin Ismail ar-Rumi bernama Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dalam Manzharul Ajlanya. Malahan juga sama dengan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi di dalam Bidayatul Hidayahnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalush Shafi juga menyebut nama Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Demikian halnya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani di dalam Siyarus Salikin. Demikian halnya dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani di dalam Aqidatun Najin dan juga Syeikh Ahmad al-Fathani pada kenyataannya sewaktu mentashhih kitab Turjumanul Mustafid/Tafsir al-Baidhawi.

Barangkali tulisan terawal di kalangan ulama yang menyebut ulama ini berasal dari Singkel ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dalam karyanya berjudul Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Di antara tulisannya, “… dan berkata orang yang arif, iaitu Syeikh Abdur Rauf anak Ali, Singkil nama negerinya”.

Pada halaman terakhir manuskrip tertulis, “Ini kami mengambil risalah ini karangan Syaikhu Masyaikh segala Jawi Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkil nama kampungnya ….”

Namun dalam tulisan ini, penulis tetap mengikut tulisan ulama-ulama kita, iaitu menyebut nama lengkapnya Syeikh Aminuddin Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Nama Aminuddin yang biasa dipakai pada awal namanya, namun jika dihilangkan tidaklah cacat kerana untuk memendekkan kalimat.


ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Menurut pendapat A. Hasymi, ada dua orang ulama yang bersaudara keturunan Parsi, iaitu Ali al-Fansuri dan Hamzah al-Fansuri. Datuk nenek kedua-duanya diberi kepercayaan oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria. Ulama tersebut bernama Syeikh al-Fansuri.

Bahawa pada masa pemerintahan Sultan Alaiddin Riayat Syah Said Mukammil, 997-1011 H/1589-1604 M, dua orang keturunan Syeikh al-Fansuri itu mendirikan dua pusat pendidikan Islam di pantai barat Tanah Aceh, iaitu Syeikh Ali al-Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adiknya Syeikh Hamzah al-Fansuri mendirikan Dayah Obah di Simpang Kiri Rundeng.

Pada 1001 H/1592 M, Syeikh Ali al-Fansuri dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abdur Rauf. Ada pendapat lain menyebut bahawa Abdur Rauf lahir dalam tahun 1024 H/1615 M. Pendapat tersebut berbeza dengan pendapat Dada Meuraxa, menurutnya Abdur Rauf lahir di Singkel (Aceh Selatan), ibunya berasal dari Barus. Katanya, dalam sejarah abad ke-16 terdapat dua ulama yang serupa namanya, Syeikh Abdur Rauf dari Singkel dan Syeikh Abdur Rauf dari Barus.

Hamka dalam bukunya yang bercorak menyerang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berjudul “Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao” telah memansuhkan pendapatnya sendiri yang sebelumnya mengatakan bahawa yang bernama Syeikh Abdur Rauf itu adalah dua, dalam buku tersebut beliau mengatakan hanya seorang.

Walau bagaimana pun kalimat di bawah ini mencerminkan bahawa beliau masih belum tahqiq atau ragu-ragu. Katanya, “Tetapi saya akan kembali pula mengatakan dua kalau ada orang yang dapat mengemukakan fakta yang dapat dipertanggungjawabkan”.

Pendapat Dada Meuraxa dan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan yang menyebut Syeikh Abdur Rauf ada dua orang disokong kuat oleh Abdullah Abbas Nasution dalam bukunya Sejarah Islam Sedunia 14 Abad Silam.

Dengan bersyukur kepada Allah, penulis menemukan bukti bahawa di Aceh pada zaman yang sama memang terdapat dua orang yang bernama Syeikh Abdur Rauf. Penulis juga menemukan sebuah manuskrip berjudul ‘Durratun Nakhirah Tanbihan li Durril Fakhirah’ karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang diselesaikan pada 1238 H/1822 M. Di dalam kitab tersebut diceritakan dua orang yang bernama Abdur Rauf, iaitu yang seorang Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi Abdur Rauf Hitam.

Menurut jalan cerita kitab itu, yang Abdur Rauf saja iaitulah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Kedua-dua Abdur Rauf itu menerima wasiat daripada Syeikh Muhammad az-Zainusy Syakhiyah sewaktu mereka masuk ke dalam kubah Syeikh Syazili di Mokha.

Jadi berdasarkan kepada kitab yang tersebut bererti Syeikh Abdur Rauf memang ada dua orang. Walaupun dalam kitab tersebut tidak memberi maklumat secara jelas bahawa mereka berasal dari Aceh, namun secara logiknya dapat diterima bahawa mereka memang datang dari negeri yang sama.

Secara umumnya, mereka sama-sama berasal dari Sumatera. Penulis tidak bermaksud mencampuri pertikaian-pertikaian pendapat yang tersebut, tetapi dua orang yang bernama Abdur Rauf itu, penulis ungkapkan adalah menceritakan suatu penemuan penulis yang terbaru. Sekaligus adalah merupakan jawaban terhadap tulisan Almarhum Buya Hamka yang masih mencari-cari tentang Syeikh Abdur Rauf satu atau dua orang itu.

Syeikh Abdur Rauf Hitam tidak dibicarakan dengan panjang di sini, yang dibicarakan ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, penyusun Turjumanul Mustafid iaitulah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Hampir semua karya beliau sudah penulis pegang dan baca, baik yang manuskrip mahupun cetakan. Ada pun karya ulama bernama Syeikh Abdur Rauf Hitam belum lagi penulis menemuinya. Oleh itu tidak perlu dibicarakan mengenai beliau dalam artikel ini.

Mengenai para gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri mencatatkan dalam karyanya, Umdatul Muhtajin, secara keseluruhannya, termasuk salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah, telah penulis tulis dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1. Namun begitu, baik pada manuskrip ‘Umdatul Muhtajin mahupun Kifayatul Muhtajin koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terdapat ketinggalan beberapa nama jika dibandingkan dengan salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tidak tersebut nama Syeikh Abdullah asy-Syathari. Seharusnya guru Imam Qadi Syathari ialah Syeikh Abdullah asy-Syathari, dan guru Syeikh Abdullah asy-Syathari ialah Syeikh Muhammad Arif. Demikian menurut salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri langsung saja sesudah Syeikh Qadi Syathari berguru kepada Syeikh Muhammad Arif.

Orang-orang anti tarekat selalu berpendapat bahawa salasilah tarekat ada yang terputus-putus artinya seseorang guru tarekat meninggal dunia, muridnya pula belum lahir. Hal ini berlaku seperti Syeikh Hasan al-Kharqani tidak pernah berjumpa dengan Abi Yazid al-Bistami. Demikian juga Abi Yazid al-Bistami tidak pernah berjumpa dengan Imam Ja’far Shadiq.

Pandangan yang keliru dan salah itu perlu dijawab, jawabannya ialah bahwa kedua-dua tempat pada salasilah itu tidak terputus, dengan hujah-hujah sebagai yang berikut, bahawa yang tersebut ini memang ada golongan tarekat yang lebih suka menyebut bahawa penerimaan itu adalah secara rohaniah.

Namun secara arif, pengkaji-pengkaji dan pengamal-pengamal tarekat mempunyai hujah-hujah lain, iaitu sebenarnya Syeikh Hasan al-Kharqani sebelum menerima secara rohaniah daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami. Beliau terlebih dahulu belajar dengan Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi. Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi belajar pula kepada Khawajah Abi Yazid al-Asyqi. Khawajah Abi Yazid al-Asyqi belajar kepada Muhammad al-Maghribi. Khawajah Muhammad al-Maghribi inilah yang sebenarnya menerima tawajuh tarekat daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami.

Adapun perantaraan Syeikh Abi Yazid al-Bistami dengan Imam Ja’tar Shadiq pula, ialah Syeikh Abi Yazid al-Bistami berguru kepada Imam Ali Ridha. Imam Ali Ridha belajar kepada ayahnya Imam Musa al-Kazhim, Imam Musa al-Kazhim belajar pula kepada ayahnya Imam Ja’far as-Shadiq.

Dengan keterangan di atas tidak ragu lagi bahawa tarekat-tarekat yang diterima oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dari guru-gurunya selama berada di Mekah, Madinah dan Timur Tengah adalah sah ditinjau dari segi salasilah menurut istilah tasauf atau sanad dalam ilmu hadis.

Dari keseluruhan gurunya yang cukup ramai, yang paling banyak beliau sebut ialah Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.


MURID-MURID DAN KETURUNAN

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri sangat ramai, tetapi yang dapat dipastikan ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, beliau dikenal dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’.

Ada pun Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi di atas beliau inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu.

Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di halaman terakhir pada semua cetakan tafsir itu.

Turjumanul Mustafid yang diterbitkan sampai sekarang adalah merupakan lanjutan daripada cetakan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan dua orang muridnya itu (keterangan lanjut mengenai ini lihat buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, 1990:157-172).

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang lain pula ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau inilah yang disebut sebagai orang yang pertama sebagai penyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.

Di Jawa Barat, Indonesia terkenal seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang dianggap sebagai seorang Wali Allah. Beliau ialah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sepanjang catatan sejarah, beliau dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.

Adapun mengenai Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis ada riwayat menyebut bahawa beliau juga murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Riwayat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi itu adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Walau bagaimanapun, selembar salasilah yang ada pada penulis, yang ditemui di Kalimantan Barat, menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan.

Bahkan dianggap juga beliau sebagai orang pertama menyebarkan pelbagai tarekat lainnya, di antaranya Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah. Tetapi berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tertulis, “… kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pula, yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Kitab Kifayah.’

Ada yang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tetapi dalam penelitian penulis tidaklah demikian. Yang betul ialah ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itu, iaitu Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani dipercayai adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kerana sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani. Sebagai pengenalan awal penyelidikan murid-murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di sini setakat ini dulu dan penyelidikan lanjut masih sedang dijalankan.


KARYA-KARYA

Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu. Karya beliau telah penulis senaraikan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, sebanyak 25 buah.

Setelah buku tersebut diterbitkan, diketahui pula karya beliau yang belum termasuk dalam senarai yang tersebut. Karya-karya tersebut ialah: Aghmadhus Sail. Kitab ini baru ditemui hanya sebuah saja, iaitu yang diamanahkan kepada Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur. Kandungan kitab ini mengenai ilmu tauhid. Judul yang lain juga baru diketahui pula ialah Kanzul Insaniyi, telah menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM, nombor kelas MS1530.

Karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM pula ialah Durratul Baidha’ Tanbihan lin Nisa’ nombor kelas MS 1625.

Oleh itu, terdapat tiga karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru diketahui, dengan disebutkan tiga buah kitab yang tersebut bererti ada 27 buah karya beliau yang telah dikenalpasti kerana Hujjatul Balighah ternyata bukan karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, judul itu terpaksa digugurkan dari senarai yang telah lalu.


PENUTUP

Demikianlah satu tinjauan mengenai Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama Asia Tenggara yang berasal dari Aceh Selatan atau menurut pendapat yang lain berasal dari Mandailing (daerah Batak) yang telah menggunakan masa hidup mulai tahun 1001/1592 M.

Namun menurut pendapat lain 1024 H/1615 M, dan juga ada pendapat lain mengatakan 1620 M, hingga wafat tahun 1693 M. Setelah wafat lebih terkenal dengan sebutan Teuku Syiah Kuala.


=============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين

Wednesday, January 8, 2025

Benarkah Empat Imam Mazhab Sepakat Allah Berada di Atas Langit?

Oleh : Dr Mohd Khafidz Soroni

1. Di antara musibah besar yang banyak pada zaman ini ialah kemunculan golongan yang menolak fahaman ASWJ sebenar dan mendakwa pula bahawa mereka itulah yang sebenar-benarnya ASWJ. Antara isu usul yang sering mereka canangkan kepada masyarakat umum ialah “Allah Berada di Atas Langit”. Kalimah “Berada” yang menunjukkan tempat merupakan tasybih (serupa dengan makhluk) yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ. Sedangkan Allah SWT itu Maha Tinggi lagi Maha Kaya tanpa perlu dan berhajat kepada tempat.

2. Fahaman golongan ini sebenarnya dikutip daripada akidah Musyabbihah-Mujassimah yang berinteraksi dengan nas-nas sifat khabariyyah sebagai Muhkamat, iaitu menentukan satu makna baginya dan tiada makna yang lain. Seolah-olah mereka mengatakan sepenuh yakin: ‘Inilah sahaja maksud dan kehendak Allah pada nas ini’. Sedangkan golongan ASWJ berinteraksi dengan nas-nas ini sebagai Mutasyabihat, iaitu mempunyai makna berlapis dan tidak menentukan mana-mana makna serta menyerahkan penentuannya kepada Allah SWT (iaitu tafwidh), di samping merujukkannya kepada nas-nas yang Muhkamat (رد المتشابهات إلى المحكمات).

3. Bagi mempromosikan akidah ini kepada masyarakat awam, golongan ini menggunakan pelbagai dalil meskipun hujah-hujah yang dikemukakan adalah daif sama sekali. Antaranya, mereka mendakwa dalam satu tulisan: Empat Imam Madzhab Sepakat Bahwa Allah Berada di Atas Langit. Maka, apakah benar demikian???

4. Dakwaan 1:
Imam Abu Hanifah

((Dari Abu Muthi’ Al Hakam bin Abdillah Al Balkhiy -Pemilik Kitab Al Fiqhul Akbar– beliau berkata:

سألت أبا حنيفة عمن يقول لا أعرف ربي في السماء أو في الأرض فقال قد كفر لأن الله تعالى يقول الرحمن على العرش استوى وعرشه فوق سمواته فقلت إنه يقول أقول على العرش استوى ولكن قال لا يدري العرش في السماء أو في الأرض قال إذا أنكر أنه في السماء فقد كفر رواها صاحب الفاروق بإسناد عن أبي بكر بن نصير بن يحيى عن الحكم

Artinya: Aku bertanya pada Abu Hanifah mengenai perkataan seseorang yang menyatakan, “Aku tidak mengetahui di manakah Rabbku, di langit ataukah di bumi?” Imam Abu Hanifah lantas mengatakan: “Orang tersebut telah kafir karena Allah Ta’ala sendiri berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Artinya: “Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Dan ‘Arsy-Nya berada di atas langit”. Orang tersebut mengatakan lagi, “Aku berkata bahwa Allah memang menetap di atas ‘Arsy.” Akan tetapi orang ini tidak mengetahui di manakah ‘Arsy, di langit ataukah di bumi. Abu Hanifah lantas mengatakan, “Jika orang tersebut mengingkari Allah di atas langit, maka dia kafir”.))

Ulasan:
Pertamanya, sanad riwayat ini daif kerana perawinya, Abu Muthi’ Al Hakam bin Abdillah Al Balkhiy dihukum daif oleh para pengkritik hadis seperti Ahmad, Ibn Ma‘in, Abu Dawud, Ibn ‘Adi, Abu Hatim dan lain-lain, bahkan ada yang mengatakannya memalsukan hadis. Justeru, ia tidak dapat dijadikan hujah, apatah lagi dalam bab akidah yang merupakan perkara agama yang serius.

Terjemahan “istawa” di atas sebagai “menetap” merupakan tafsiran golongan Musyabbihah-Mujassimah dan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ. Ini kerana Musyabbihah-Mujassimah berinteraksi dengan ayat ini sebagai Muhkamat (menentukan suatu makna dan tiada makna yang lain), sedangkan ASWJ berinteraksi dengan ayat ini sebagai Mutasyabihat (makna berlapis dan tidak menentukan mana-mana makna serta menyerahkan penentuannya kepada Allah SWT).

Memadailah untuk mengetahui akidah Imam Abu Hanifah yang sebenar dengan merujuk kepada matan al-‘Aqidah al-Tahawiyyah kerana Imam al-Tahawi (w. 321H) dengan jelas menyebut ianya merupakan pegangan Imam Abu Hanifah, dan dua sahabatnya; Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin al-Hasan رحمهم الله. Dinyatakan dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah:

تَعَاْلَىْ – أي الله- عَنِ الْحُدُوْدِ وَالْغَاْيَاْتِ وَالْأَرْكَاْنِ وَالْأَعْضَاْءِ وَالْأَدَوَاْتِ لَاْ تَحْوِيْهِ الْجِهَاْتُ السِّتُّ كَسَاْئِرِ الْمُبْتَدَعَاْتِ

Terjemahan: “Maha Suci Allah daripada mempunyai had ukuran, batasan, sudut/sisi, anggota badan dan juga alat. Arah yang enam tidak menanggung-Nya sepertimana semua makhluk yang baharu.”

5. Dakwaan 2:
Imam Malik bin Anas

((Dari Abdullah bin Ahmad bin Hambal ketika membantah paham Jahmiyah, ia mengatakan bahwa Imam Ahmad mengatakan dari Syraih bin An Nu’man, dari Abdullah bin Nafi’, ia berkata bahwa Imam Malik bin Anas berkata:

الله في السماء وعلمه في كل مكان لا يخلو منه شيء

Artinya: “Allah berada di atas langit. Sedangkan ilmu-Nya berada di mana-mana, segala sesuatu tidaklah lepas dari ilmu-Nya”.))

Ulasan:
Sanad riwayat ini juga daif kerana perawinya, Abdullah bin Nafi’ didaifkan oleh para pengkritik hadis seperti Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim, Ibn ‘Adi dan lain-lain. Maka, ia juga tidak dapat menjadi hujah sama sekali, apatah lagi dalam bab akidah.

Malah Kitab as-Sunnah yang disandarkan kepada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal itu juga bersanad daif dan tidak sahih kepada beliau. Maka, tidaklah mustahil jika ada tangan-tangan yang merubah dan menokok tambah di dalamnya.

Sedangkan masyhur daripada Imam Malik, beliau enggan menyentuh perbincangan tentang nas-nas Mutasyabihat. Beliau pernah ditanya tentang istiwa’ lalu jawabnya:

الاستواء غير المجهول والكيف غير المعقول والايمان به واجب و السؤال عنه بدعة

Terjemahan: “Istiwa’ itu tidak majhul (diketahui ada berbagai makna), dan kaif (bentuk) pula tidak diterima akal, serta beriman dengannya itu wajib, dan menyoal tentangnya pula bidaah.”

Termasuk kaif (bentuk) ialah mengatakan Allah itu berada di bahagian atas dalam keadaan Arasy berada di bahagian bawah-Nya. Ini sudah dikira menetapkan kaif bagi kedudukan Allah SWT sehingga tertakluk pada arah sebelah atas dan arah sebelah bawah bagi zat-Nya. Sebab itu Imam Malik menyebut: “…dan kaif (bentuk) tidak diterima akal”.

6. Dakwaan 3:
Imam Asy Syafi’i

((Syaikhul Islam berkata bahwa telah mengabarkan kepada kami Abu Ya’la Al Kholil bin Abdullah Al Hafizh, beliau berkata bahwa telah memberitahukan kepada kami Abul Qosim bin ‘Alqomah Al Abhariy, beliau berkata bahwa Abdurrahman bin Abi Hatim Ar Roziyah telah memberitahukan pada kami, dari Abu Syu’aib dan Abu Tsaur, dari Abu Abdillah Muhammad bin Idris Asy Syafi’i (yang terkenal dengan Imam Syafi’i), beliau berkata:

القول في السنة التي أنا عليها ورأيت اصحابنا عليها اصحاب الحديث الذين رأيتهم فأخذت عنهم مثل سفيان ومالك وغيرهما الإقرار بشهادة ان لااله الا الله وان محمدا رسول الله وذكر شيئا ثم قال وان الله على عرشه في سمائه يقرب من خلقه كيف شاء وان الله تعالى ينزل الى السماء الدنيا كيف شاء وذكر سائر الاعتقاد

Artinya: “Perkataan dalam As Sunnah yang aku dan pengikutku serta pakar hadits meyakininya, juga hal ini diyakini oleh Sufyan, Malik dan selainnya: “Kami mengakui bahwa tidak ada sesembahan yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah. Kami pun mengakui bahwa Muhammad adalah utusan Allah.” Lalu Imam Asy Syafi’i mengatakan, “Sesungguhnya Allah berada di atas ‘Arsy-Nya yang berada di atas langit-Nya, namun walaupun begitu Allah pun dekat dengan makhluk-Nya sesuai yang Dia kehendaki. Allah Ta’ala turun ke langit dunia sesuai dengan kehendak-Nya.” Kemudian beliau rahimahullah menyebutkan beberapa keyakinan (i’tiqod) lainnya.))

Ulasan:
Perawi riwayat ini, Abu al-Hasan al-Hakkari yang digelar ‘Syeikhul Islam’ itu adalah perawi daif, malah dituduh memalsukan hadis, sebagaimana yang boleh dirujuk biografinya dalam kitab Siyar A‘lam an-Nubala’ dan Mizan al-I’tidal oleh al Zahabi serta Lisan al Mizan oleh Ibnu Hajar.

Selepas menukilkan riwayat di atas dalam kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar, al Zahabi menukilkan satu riwayat lain dengan sanad yang tak diketahuinya tentang wasiat Imam as-Syafii. Kemudian beliau menghukum: “Sanad kedua-duanya adalah lemah”.

Seperkara lagi yang meragukan, Abu Syu’aib yang didakwa mendengar perkataan di atas daripada Imam al-Syafi’i pula sebenarnya lahir dua tahun setelah Imam al-Syafi’i wafat! Kerana Abu Syu’aib lahir pada tahun 206H dan Imam al-Syafi’i wafat pada tahun 204H. Bagaimana boleh dia bertemu dengan Imam al-Syafi’i?!

Kalimah “berada” di dalam terjemahan merupakan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ.

7. Dakwaan 4:
Imam Ahmad bin Hambal

(I)
(Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanya,

ما معنى قوله {وهو معكم أينما كنتم} {وما يكون من نجوى ثلاثه الا هو رابعهم} قال: علمه عالم الغيب والشهاده علمه محيط بكل شيء شاهد علام الغيوب يعلم الغيب ربنا على العرش بلا حد ولا صفه وسع كرسيه السموات والأرض.

Artinya: “Apa makna firman Allah,

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ

Artinya:“Dan Allah bersama kamu di mana saja kamu berada”.

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ

Artinya: “Tiada pembicaraan rahasia antara tiga orang, melainkan Dia-lah keempatnya”.

Yang dimaksud dengan kebersamaan tersebut adalah ilmu Allah. Allah mengetahui yang ghoib dan yang nampak. Ilmu Allah meliputi segala sesuatu yang nampak dan yang tersembunyi. Namun Rabb kita tetap menetap tinggi di atas ‘Arsy, tanpa dibatasi dengan ruang, tanpa dibatasi dengan bentuk. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Kursi-Nya pun meliputi langit dan bumi.”))

Ulasan:
Riwayat ini meragukan kerana ia dicatatkan oleh al-Lalika’i (w. 418H) dalam kitab Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tanpa sebarang sanad. Maka tentunya ia hujah yang lemah dan tidak dapat dijadikan pegangan sama sekali.

(II)
((Diriwayatkan dari Yusuf bin Musa Al Baghdadiy, beliau berkata,

قيل لأبي عبد الله احمد بن حنبل: الله عز و جل فوق السمآء السابعة على عرشه بائن من خلقه وقدرته وعلمه بكل مكان قال نعم على العرش وعلمه لايخلو منه مكان

Artinya: Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanyakan, “Apakah Allah ‘azza wa jalla berada di atas langit ketujuh, di atas ‘Arsy-Nya, terpisah dari makhluk-Nya, sedangkan kemampuan dan ilmu-Nya di setiap tempat (di mana-mana)?” Imam Ahmad pun menjawab, “Betul sekali. Allah berada di atas ‘Arsy-Nya, setiap tempat tidaklah lepas dari ilmu-Nya”.))

Ulasan:
Riwayat ini juga meragukan yang dicatatkan oleh al-Lalika’i (w. 418H) dalam kitab Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tanpa sebarang sanad. Justeru, ia tidak dapat dijadikan hujah sama sekali.

Memadai untuk mengetahui akidah Imam Ahmad yang sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn al-Jawzi dalam kitab Daf‘u Syubah al-Tasybih bi Akuff al-Tanzih, dan Imam Taqiyyuddin al-Hisni dalam kitab Daf‘u Syubah Man Syabbaha wa Tamarrada wa Nasaba Zalika ila as-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad.

Adapun kitab al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah yang disandarkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal, maka menurut az-Zahabi dalam Siyar A‘lam an-Nubala’ (11/286), ia adalah palsu ke atas beliau. Syeikh al-Kawthari menyatakan, kitab tersebut diriwayatkan oleh al-Khallal daripada seorang lelaki yang majhul, iaitu al-Khidr bin al-Muthanna daripada ‘Abdullah bin Ahmad daripada Ahmad bin Hanbal. Maka, sanad kitab yang sebegini tentunya tidak dirasakan selamat dan bebas daripada sebarang tokok tambah dan perubahan.

8. Dakwaan 5:
[Dakwaan Ijmak]

(I)
((Itulah perkataan empat Imam Madzhab yang jelas-jelas perkataan mereka meyakini bahwa Allah berada di atas langit, di atas seluruh makhluk-Nya. Bahkan sebenarnya ini adalah ijma’ yaitu kesepakatan atau konsensus seluruh ulama Ahlus Sunnah. Lantas mengapa aqidah ini perlu diragukan oleh orang yang jauh dari kebenaran?

Ini bukti ijma’ ulama yang dibawakan oleh Ishaq bin Rohuwyah.

قال أبو بكر الخلال أنبأنا المروذي حدثنا محمد بن الصباح النيسابوري حدثنا أبو داود الخفاف سليمان بن داود قال قال إسحاق بن راهويه قال الله تعالى الرحمن على العرش استوى إجماع أهل العلم أنه فوق العرش استوى ويعلم كل شيء في أسفل الأرض السابعة

Artinya:“Abu Bakr Al Khollal mengatakan, telah mengabarkan kepada kami Al Maruzi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Muhammad bin Shobah An Naisaburi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Abu Daud Al Khonaf Sulaiman bin Daud. Beliau katakana, Ishaq bin Rohuwyah berkata, “Allah Ta’ala berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Artinya: “Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Para ulama sepakat (berijma’) bahwa Allah berada di atas ‘Arsy dan beristiwa’ (menetap tinggi) di atas-Nya. Namun Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang terjadi di bawah-Nya, sampai di bawah lapis bumi yang ketujuh.))

Ulasan:
Sanad riwayat ini juga daif kerana Muhammad bin as-Sabah an-Naisaburi adalah perawi majhul. Kalimah “menetap” dan “berada” di dalam terjemahan juga merupakan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ.

Ijmak yang dikemukakan juga diragui kerana tafsiran ayat secara jelas menjadikan ayat tersebut berkedudukan Muhkamat tanpa syak lagi. Jika seluruh ulama berijmak bahawa ayat tersebut adalah Muhkamat, sudah tentu perkara ini tidak menjadi isu sejak awal-awal lagi kerana zahir makna ayat tersebut tidaklah begitu susah bagi umat Islam, apatah lagi bila para ulama turut menegaskan tafsirnya.

Namun, apabila para ulama salaf tidak mentafsirkannya sesuka hati dan menyatakan supaya melalukan ayat tersebut sebagaimana ia diwahyukan (أمروها كما جاءت), iaitu tafwidh, maka tahulah kita bahawa ianya adalah Mutasyabihat. Justeru, dakwaan ijmak yang dikemukakan itu adalah lemah. Ia juga bertentangan dengan pernyataan ijmak yang disebut oleh Imam Abu Mansur al-Baghdadi di dalam kitab al-Farq bain al-Firaq ketika menyenaraikan perkara yang diijmakkan oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah:

وأجمعوا على أنه لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان

Terjemahan: “Mereka bersepakat bahawa sesungguhnya Dia tidak ditanggung oleh tempat dan juga tidak berlalu ke atas-Nya masa”.

(II)
((Adz Dzahabi rahimahullah ketika membawakan perkataan Ishaq di atas, beliau rahimahullah mengatakan,

اسمع ويحك إلى هذا الإمام كيف نقل الإجماع على هذه المسألة كما نقله في زمانه قتيبة المذكور

Artinya: “Dengarkanlah perkataan Imam yang satu ini. Lihatlah bagaimana beliau menukil adanya ijma’ (kesepakatan ulama) mengenai masalah ini. Sebagaimana pula ijma’ ini dinukil oleh Qutaibah di masanya”.))

Ulasan:
Perlu diketahui, ketika al-Zahabi mula menyusun kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar ini beliau baru berusia 18 tahun. Dalam usia ini, pastinya beliau masih agak muda dan masih begitu terkesan dengan gurunya, Syeikh Ibn Taimiyyah. Beliau kemudian telah membuat penambahan dan akhirnya menyusunnya semula ketika berusia 25 tahun. Pada usia ini juga tentunya beliau masih belum lagi menjadi seorang imam & tokoh besar yang disegani.

Bagaimanapun, ketika ini beliau sudah sedar dan mengakui bahawa di dalam kitab beliau itu terdapat hadis-hadis yang daif dan kata-kata yang amat berlebihan di dalam mengungkap ibarat masing-masing serta beliau tidak menyetujuinya sama sekali (sepertimana yang tercatat pada manuskrip kitab).

Namun, tidak pula beliau menentukan mana kata-kata yang amat berlebihan itu serta yang beliau tidak persetujui. Malah, ulasan-ulasan beliau yang cenderung menyokong fahaman Tasybih masih ada di dalamnya. Maka, dapat kita katakan bahawa kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar ini adalah ibarat catatan penulisan pada zaman mudanya yang tidaklah dapat dijadikan sumber pegangan dan rujukan utama umat Islam di dalam bab akidah. Kata Syeikh al-Kawthari: “Di dalamnya terdapat kekeliruan yang banyak”.

9. Golongan Musyabbihah-Mujassimah selalu menyatakan fahaman mereka terhadap nas-nas Mutasyabihat ini (bagi mereka Muhkamat) bahawa ianya adalah ‘tanpa kaifiat’ (بلا كيف). Sedangkan iktikad bahawa Allah itu berada di atas langit atau berada di atas ‘Arasy dengan makna Allah berada di bahagian atas dalam keadaan langit/Arasy pula berada di bahagian bawah-Nya sudah pun mengkaifiatkan kedudukan bagi zat Allah Taala.

Tanpa mereka sedar, mereka menyalahi kaedah tersebut dengan mengkaifiatkan-Nya, iaitu dengan adanya arah sebelah atas dan arah sebelah bawah bagi-Nya sepertimana makhluk! Wal ‘iyazubillah. Selepas zaman Imam Ahmad, fahaman ini terus menular dalam kalangan sebahagian Hanabilah dan juga sebahagian ahli hadis sehingga wujud berbagai riwayat yang diragukan.

10. Kesimpulannya, dakwaan bahawa ‘Empat Imam Mazhab Sepakat Allah Berada di Atas Langit’ adalah lemah dan tidak benar sama sekali. Ini bukan bermakna mereka beriktikad bahawa Allah Taala tidak berada di langit atau tidak berada di ‘Arasy. Maha Suci Allah! Bukan seperti ini dan bukan seperti itu sama sekali. Akan tetapi maksudnya ialah mereka tidak mentafsir atau membincangkan hal tersebut sebagaimana para ulama salaf lain dan menyerahkan hakikatnya kepada Allah SWT semata-mata (iaitu tafwidh). Pastinya, iktikad mereka bukanlah sepertimana iktikad golongan Musyabbihah-Mujassimah yang terkeluar daripada ASWJ.


Wassalam.

Sunday, December 1, 2024

TASAWUF TANPA TAREQAH

Akhir-akhir ini ramai yang membicarakan tentang pentingnya tasauf dalam pembentukan peribadi. Namun apa yang pincangnya adalah ramai yang hendakkan tasauf tetapi tidak mahu bertarekat. Dalam hal ini Ustaz Haji Saari Hussin menjelaskan bahawa tasauf itu adalah ilmu Ihsan, iaitu ilmu merasa seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW 'beribadat seolah olah melihat Allah, jika tidak melihat Allah, merasa di lihat oleh Allah'.

Ilmu Ihsan ini akan membantu melengkapkan Fiqah dan Tauhid seseorang kerana apabila seseorang itu ingin mengadap Allah dalam solatnya atau melalui amalan zikir, yang dihadapkan bukan hanya badan sahaja namun harus keempat-empat pancaindera iaitu :-

1.Jasad
2.Ruh
3.Akal
4.Nafsu

Jika belajar Fiqh dan Tauhid memerlukan guru yang mengajar. Sudah pastilah untuk belajar ilmu tasauf ini memerlukan guru yang melatih untuk merasa melalui keempat empat pancaindera ini.

Kerana itulah para ulama tasauf mengatakan:

'Wajib bagi seseorang itu mempunyai syeikh, walaupun dia seorang alim yang besar'

Kenapa perlu berguru? Jawapannya adalah kerana keguruan inilah yang akan memancarkan Nur. Nur yang berpindah dari Rasulullah kepada sahabat, sahabat kepada tabi'in, tabi'in kepada tabit tabi'in dan seterusnya kepada para ulama dan seterusnya nur itu berpindah kepada murid murid.

Apabila seseorang telah mendapat pancaran dan perpindahan Nur ini, maka ia akan lebih mudah menggerakan pancaindera yang 4 tadi. Maka proses merasa Ihsan ini akan lebih mudah dirasai. Kerana itulah fungsi Mursyid dalam bertareqah ini perlu dan untuk mencapai pancaran Nur ini, harus seseorang murid melalui 5 disiplin iaitu:

1. Adab
2. Mulazamah
3. Suhbah
4. Riadhah
5. Khidmat

Kerana apabila berlaku 5 perkara ini, ia akan mengerakkan mata rantai silsilah keguruan yang bersambung kepada Rasulullah SAW. Oleh kerana inilah tidak mungkin orang mencapai tasauf tanpa bertarekat melalui mursyid.

Kata Ustaz Haji Saari Hussin, Tasauf itu adalah buah daripada kelazatan beribadah, Tarekat pula adalah pokoknya, orang yang menjalani tarekat pula adalah penanamnya. Tidak mungkin mendapat buah yang manis yang lazat lagi enak tanpa menanam pokok (tarekat) . Yang kaedah menanamnya diajarkan oleh Mursyid.

Kata Ustaz Haji Saari Hussin lagi, pada zaman ini, ramai orang beragama dan berilmu agama hanya di mulut sahaja tetapi bukan dengan pancaindera.

Semoga kita beroleh sedikit ilmu di atas tarbiyah ini.

Wallahua'alam

[ Catatan nota pentadbir FB Ustaz Haji Saari Hussin iaitu ringkasan pengisian kuliah tasawuf yang disampaikan oleh Ustaz Haji Saari Hussain di Pusat Tarbiyah Surau Haji Awang Alim ]

ILMU TASAWWUF TANPA GURU MURSYID

Mereka yang hanya membaca kitab-kitab Tasawwuf tanpa guru itu, maka terdapat beberapa sifat kecelaannya, iaitu :

1. Riak
2. ‘Ujub
3. Takabbur
4. Hasad
5. Kasihkan dunia
6. Maksiat batin

Apa yang tersebut itu tiada hilang dari hatinya. Oleh kerana itu telah menjadi syarat, walaupun Ulama’ besar sekalipun yang mempunyai ijazah yang sangat tinggi, wajib ia mengambil ijazah dari seorang Masyaikh yang ahli di dalam Ilmu Tasawwuf, iaitu kepada Zawiyyah atau Syaikh atau Khalifah.

Contohnya Hujjatul Islam Imam Ghazali رحمة الله تعالى mengambil ijazah dan berguru (musyafahah) dengan Gurunya seorang tukang kasut. Beliau tidak malu berguru dengan orang yang berpangkat rendah, kerana beliau mengamalkan syarat mempelajari Ilmu Tasawwuf dengan ahlinya.

Adapun mereka yang hanya membaca kitab-kitab Tasawwuf dengan tanpa guru, pada permulaannya akan terpedaya pada dirinya sendiri kerana kalimat-kalimat yang ada di dalam kitab-kitab Tasawwuf itu tidak boleh diertikan sama dengan kalimat sastera ataupun persuratan, kerana istilahnya bersendirian dan mempunyai rahsia. Dari kerana itulah orang bodoh tidak akan dapat memahami Ilmu Tasawwuf.