Thursday, March 7, 2019

Asy-Syeikh Abdul Qadir Isa Asy-Syadzuli رضى الله عنه


Image result for ‫الشيخ عبد القادر عيسى‬‎



Nama dan Nasab Beliau :


Nama beliau ialah Sayyidi Asy-Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah bin Qasim bin Muhammad bin Isa Azizi Al-Halabi Asy-Syadzuli.


Nasab beliau bersambung kepada Sayyidina Al-Husein رضى الله عنه melalui susur jalur Asy-Syeikh Umar Al-Ba’aj رضى الله عنه.



Kelahiran Beliau :


Beliau dilahirkan di Madinah Halab As-Syuhba’ pada tahun 1338 Hijrah bersamaan dengan 1920 Masihi. Ibu bapa beliau merupakan orang awam yang tidak tahu membaca dan menulis, namun hidup dalam keadaan senang.



Kehidupan Beliau :


Pada awal kehidupan beliau, beliau sentiasa memakai pakaian yang indah-indah, memakai perhiasan yang mewah dan memakai wangi-wangian yang tinggi harganya di pasaran.

Setelah itu, Allah سبحانه وتعالی menarik beliau dengan jazbah inayah (tarikan bantuan dan hidayah Allah سبحانه وتعالی) yang mana menyebabkan setelah itu, beliau hidup dalam keadaan zuhud.

Bermula dari saat itulah, beliau bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan zuhud dalam rangka untuk membersihkan diri dari belenggu nafsu. Keadaan itu berlanjutan sejak 1939 Masihi sehinggalah tahun 1942 Masihi.

Beliau banyak menceburi pelbagai bidang pekerjaan namun tidak tetap di dalam pekerjaan tersebut. Setelah itu, Allah سبحانه وتعالی memberi bantuan kelapangan hidup kepadanya tanpa disangka-sangka dan seterusnya terpandu ke arah berjalan menuju Allah سبحانه وتعالی.

Kemudian, terdetik di hatinya untuk mempelajari ilmu agama. Maka, beliau pun bersahabat dengan ramai para ulama’ antaranya :

Asy-Syeikh Muhammad Zammar

Asy-Syeikh Ahmad Mua’wwad

Dan lainnya.

Setelah itu, beliau mengambil jalan thariqat di bawah tarbiah Asy-Syeikh Al-Mursyid Hasan Hassani, yang merupakan syeikh bagi Thariqat Al-Qadiriyah. Maka, beliau melalui jalan tarbiah sufiyah di bawah tarbiah Asy-Syeikh Hasan. Setelah itu, Syeikh Hasan memberi izin kepada beliau dengan Khatam Al-Qadiri. Dalam pada beliau mengambil tarbiah tersebut, beliau juga belajar di Madrasah As-Syu’baniyah pada tahun 1949 sehinggalah enam tahun tempoh pengajiannya.

Beliau juga secara sukarela menjadi imam di Masjid Hamad, sebuah masjid yang usang dan tidak lagi digunakan oleh orang untuk menunaikan solat Jumaat. Akhirnya, pada 21/1/1957 Masihi, beliau memulakan usaha untuk membaik pulih masjid tersebut agar boleh digunakan semula.

Beliau juga turut mengajar di Madrasah As-Syu’baniyah dan pengajian beliau diikuti oleh ramai murid. Ketika beliau masih menuntut ilmu di Madrasah As-Syu'baniyah, beliau terkenal dengan sifat-sifatnya yang baik, dan budi pekertinya yang luhur, semangatnya yang tak pernah pantang menyerah, semua itu menunjukkan akan kepribadiannya yang baik. Maka tak hairan meskipun beliau masih menjadi seorang pelajar, banyak teman-teman di madrasahnya berada dalam bimbingan dan irsyadatnya. Walaupun beliau telah mendapat keizinan untuk menjadi Syeikh, namun beliau masih merasakan diri serba kekurangan dan jahil, serta masih memerlukan tarbiah dari seorang mursyid yang kamil. Beliau pernah berkata :

(( كنت أقرا في كتاب شرح الحكم لابن عجيبة فأرى فيه أشياء لم أكن متحققا بها -رغم كوني شيخاً- فعرفت انه لا بد لي من صحبة مرشد كامل ))

Maksudnya : "Aku telah membaca buku Syarah Hikam bagi Ibn ‘Ajibah, maka aku dapati pada karangan tersebut, ada beberapa perkara yang aku masih lagi tidak merealisikannya (tidak sampai kepada tahap tersebut) walaupun aku telah dilantik menjadi syeikh. Oleh yang demikian, tahulah aku bahawa aku perlu mencari dan bersahabat dengan seorang mursyid yang kamil."

Beliau seterusnya bermusafir ke Damsyiq untuk mencari mursyid tersebut. Beliau sering berulang-alik dari Halab ke Damsyiq untuk mencari seorang mursyid yang kamil namun masih tidak lagi menemuinya. Sekiranya beliau singgah ke Damsyiq, beliau sering bersolat di masjid yang menempatkan maqam Ibn Arabi رضى الله عنه dan bertawassul kepada Allah سبحانه وتعالی dengan Ibn Arabi رضى الله عنه agar ditunjukkan oleh Allah سبحانه وتعالی perihal mursyid tersebut.

Suatu ketika, dia terlena di sisi maqam Ibn Arabi رضى الله عنه, lalu terdengar satu suara dalam mimpi yang menyuruhnya pergi ke masjid Umawi untuk mencari Syeikh Muhammad Al-Hasyimi.

Setelah tersedar, beliau bergegas ke Masjid Umawi Al-Kabir dan mendapati Syeikh Muhammad Al-Hasyimi sedang mengajar sambil dikelilingi oleh segelintir manusia sahaja. Syeikh Muhammad Al-Hasyimi رضى الله عنه merupakan Syeikh bagi Thariqat Asy-Syadzuliyah.

Apabila Syeikh Muhammad Al-Hasyimi melihat beliau, maka Syeikh berkata :


(( جئت آخر الناس و تكون أولهم بإذن الله فأنا أنتظرك منذ زمن طويل ))


Maksudnya : "Kamu datang sebagai manusia terakhir (muridnya yang terakhir yang datang), tetapi kamulah yang pertama (mendapat futuhat) dengan izin Allah سبحانه وتعالی. Sudah lama saya menunggu kehadiranmu."

Setelah itu, Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه bersahabat dengan Syeikh Muhammad Al-Hasyimi رضى الله عنه sejak tahun 1952 Masihi sehinggalah kewafatan Syeikh Muhammad Al-Hasyimi wafat tahun 1961 M.


Tatkala Syeikh Muhammad Al-Hasyimi رضى الله عنه mendapati bahawa Syeikh Abdul Qadir Isa sudah cukup keahliannya untuk menjadi mursyid, maka Syeikh Muhammad Al-Hasyimi رضى الله عنه memberi kepada beliau dengan izin wirid am dan khas bagi Thariqat Asy-Syadzuliyah, dan turut juga memberi izin irsyad kepada beliau dengan izin bertulis, pada tahun 1337 Hijrah (1958M).

Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه terus menjadi Imam dan Khatib di Masjid Hamad sehinggalah kematian Syeikh Muhammad Al-Razzaz, yang merupakan imam dan khatib kepada Masjid Al-‘Adaliyah, di mana setelah itu, Syeikh Abdul Qadir Isa menggantikan tempat beliau di Masjid Al-‘Adaliyah tersebut.

Syeikh memakmurkan Masjid Al-Adiliyah dengan majlis-majlis ilmu dan zikir, hingga tersebarlah kemasyhurannya keserata pelusuk negeri, maka berbondong-bondonglah orang-orang belajar kepada beliau dengan berbagai macam tingkat keilmuan mereka. Setelah itu tersebar luaslah Thariqat yang beliau pimpin di sebagian besar wilayah Syria, bahkan sampai hingga ke negara-negara tetangga seperti Jordan, Turki, Lubnan, dan Iraq. Dan terus menyebarluas kemasyhurannya sampai hampir tidak ada satu negara pun di dunia ini, melainkan terdapat para ikhwan dan murid-murid Syeikh. Dan Thariqat ini pun sampai juga ke negara Kuwait, Arab Saudi, Maghribi, Afrika Selatan, Hindia, Pakistan, England, Belgium, Perancis, Kanada, Amerika, dan negara-negara lainnya. Semua ini menunjukkan penguasaan Syeikh yang luas dalam bidang ma’rifat, tarbiyah dan irsyad. Hal ini terbukti dari kitab beliau Haqa'iq At-Tasawuf yang berulang kali dicetak dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Turki, Indonesia dan Melayu hingga nama beliau terkenal di mana-mana.

Related image


Ketinggian maqam Syeikh terbukti dengan banyaknya murid-murid beliau dari berbagai macam tingkat pendidikan dari setiap negara. Murid-murid beliau laksana penyambung lidah beliau dalam dunia thariqat, kerana Syeikh tidak meninggalkan kekayaan ilmiyah kecuali kitabnya itu sahaja. Itu semua disebabkan kewajiban-kewajiban da’wah yang harus diperbaiki yang berada di bahunya dalam rangka menyebarkan thariqat yang benar yang sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah. Masalah ini telah disebutkan dalam lembaran-lembaran kitab beliau.

Inti dari manhaj beliau dan apa yang ingin beliau sampaikan kepada orang-orang, telah dituangkan dan dijelaskan dalam kitabnya Haqa'iq At-Tasawuf di mana kitab ini sebagai pembuka dalam memahami ilmu syariat, thariqat dan hakikat. Hingga banyak orang menerima dan mengambil manfaat dari kitab ini sesuai dengan tingkat pendidikan mereka.


Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه giat dalam mengembangkan tarbiah Islamiyah Sufiyah yang sahih, bersesuaian dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah dan dianggap sebagai seorang mujaddid dalam bidang tasawuf pada zaman beliau. Anak-anak murid beliau amat ramai di peringkat antarabangsa umumnya. Beliau sering berdakwah ke serata dunia sehinggalah sampai ke barat seperti ke Kanada, Perancis, Amerika dan sebagainya.


Detik-detik Kewafatan :

Pada tahun 1991 Masihi, Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه menziarahi para ikhwannya di Turki. Di sana, beliau jatuh sakit lalu dimasukkan ke hospital. Kemudian, beliau dipindahkan ke hospital di Istanbul. Di sana, para doktor berasa terkejut kerana tidak dapat mengesan sebarang penyakit dalam jasad beliau. Asy-Syeikh terbaring sambil hatinya dan seluruh tubuhnya menghadap kepada Allah سبحانه وتعالی kekasih beliau yang hakiki.

Beliau membacakan beberapa bait sya’ir untuk menguatkan semangat mereka yang di sekeliling beliau agar tidak terus bersedih dengan keadaan yang beliau hadapi. Dalam membacakan rangkap-rangkap bait syair yang berisi cinta ketuhanan tersebut, matanya tidak berhenti mengalirkan air mata, tanda kerinduan kepada Maha Pencipta.

Pada hari Sabtu, pukul 6 pagi, 18 Rabi’ul Akhir 1412 Hijrah (1991 Masihi), beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dunia kehilangan sebuah permata yang berharga. Tempat terakhir beliau ialah bersebelahan dengan maqam Saiyyidina Abu Ayyub Al-Ansari رضى الله عنه di Istanbul.

Dengan wafatnya beliau kaum muslimim telah kehilangan seorang mursyid yang kamil, arif billah, dan tokoh sufi yang 'alim yang keberadaannya sangat diperlukan ummat. Semoga Allah merahmati dan menempatkan beliau disisiNya yang paling tinggi, dan menempatkan beliau di syurga yang luas bersama para Nabi, siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh...

Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...


No comments:

Post a Comment