Thursday, May 29, 2025

FUTUH DALAM TAREKAT

Dalam perjalanan tarekat, futuh bukan sekadar hasil daripada banyaknya amalan yang dilakukan secara lahiriah. Ada murid yang wiridnya tidak pernah tinggal, zikirnya banyak, tahajjudnya istiqamah, namun tetap tidak dibukakan hijab hati, tidak dilimpahkan waridat, malah makin jauh dari kefahaman dan rasa dekat dengan Allah. Di mana silapnya?

Silapnya ialah kerana dia menyangka tarekat ini seperti ilmu akademik dan merasa cukup hadir baiah, dapat silibus amalan, maka dia boleh “belajar sendiri” di rumah tanpa perlu hadir ke kelas lagi. Sedangkan jalan suluk ini dibina atas adab dan hubungan, bukan sekadar hafalan dan pengulangan.

Tarekat bukan sekadar zikir, ia adalah ikatan. Ikatan antara murid dengan mursyid. Hubungan antara hati murid dan ruhaniyah mursyid. Jika hubungan ini tidak dijaga dengan adab, tidak disiram dengan mulazamah, tidak dipupuk dengan riadhah, tidak diperkuat dengan suhbah, dan tidak disuburkan dengan khidmat maka zikir yang dibaca hanya akan kekal sebagai bunyi, bukan pintu futuh.

Mereka yang meninggalkan guru dengan alasan ingin “membaiki diri” selalunya terperangkap dalam sangkaan bahawa mereka sudah cukup kuat. Sedangkan diri mereka hanya ghurur dengan diri sendiri, kerana nafsu mampu menyamar sebagai keikhlasan. Lalu mereka abaikan pertemuan, mereka tinggalkan halaqah, mereka tidak lagi menziarahi guru, bahkan lebih buruk iaitu mereka mulai memberi pandangan terhadap guru dan jalan yang mereka belum pun sampai penghujungnya.

Guru arifbillah pernah berkata, “Lazimilah guru kamu dalam semua keadaan, kerana murid yang terputus dari mursyid ibarat layang-layang yang terputus talinya yang akan jatuh ke tanah atau tersangkut di tempat yang menyesatkan.”

Maka fahamilah, bahawa jalan tarekat ini tidak pernah berdiri atas banyaknya amal semata. Ia berdiri atas keberkatan hubungan dan keberadaban yang tinggi. Dan sesiapa yang ingin futuh, maka jadikan dirinya seperti pelita di sisi guru, tetap setia, walau tidak disebut, walau tidak dipuji, kerana dia tahu, cahaya pelita itu datang dari sumbu yang dibakar dengan khidmat dan kasih.

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا طَرِيقَ لِمُرِيدٍ إِلَى ٱللَّهِ إِلَّا عَلَى يَدِي شَيْخٍ مُرَبِّي

- Ketahuilah, tiada jalan bagi murid menuju Allah kecuali melalui tangan seorang syeikh yang murabbi.

No comments:

Post a Comment