Wednesday, January 8, 2025

Benarkah Empat Imam Mazhab Sepakat Allah Berada di Atas Langit?

Oleh : Dr Mohd Khafidz Soroni

1. Di antara musibah besar yang banyak pada zaman ini ialah kemunculan golongan yang menolak fahaman ASWJ sebenar dan mendakwa pula bahawa mereka itulah yang sebenar-benarnya ASWJ. Antara isu usul yang sering mereka canangkan kepada masyarakat umum ialah “Allah Berada di Atas Langit”. Kalimah “Berada” yang menunjukkan tempat merupakan tasybih (serupa dengan makhluk) yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ. Sedangkan Allah SWT itu Maha Tinggi lagi Maha Kaya tanpa perlu dan berhajat kepada tempat.

2. Fahaman golongan ini sebenarnya dikutip daripada akidah Musyabbihah-Mujassimah yang berinteraksi dengan nas-nas sifat khabariyyah sebagai Muhkamat, iaitu menentukan satu makna baginya dan tiada makna yang lain. Seolah-olah mereka mengatakan sepenuh yakin: ‘Inilah sahaja maksud dan kehendak Allah pada nas ini’. Sedangkan golongan ASWJ berinteraksi dengan nas-nas ini sebagai Mutasyabihat, iaitu mempunyai makna berlapis dan tidak menentukan mana-mana makna serta menyerahkan penentuannya kepada Allah SWT (iaitu tafwidh), di samping merujukkannya kepada nas-nas yang Muhkamat (رد المتشابهات إلى المحكمات).

3. Bagi mempromosikan akidah ini kepada masyarakat awam, golongan ini menggunakan pelbagai dalil meskipun hujah-hujah yang dikemukakan adalah daif sama sekali. Antaranya, mereka mendakwa dalam satu tulisan: Empat Imam Madzhab Sepakat Bahwa Allah Berada di Atas Langit. Maka, apakah benar demikian???

4. Dakwaan 1:
Imam Abu Hanifah

((Dari Abu Muthi’ Al Hakam bin Abdillah Al Balkhiy -Pemilik Kitab Al Fiqhul Akbar– beliau berkata:

سألت أبا حنيفة عمن يقول لا أعرف ربي في السماء أو في الأرض فقال قد كفر لأن الله تعالى يقول الرحمن على العرش استوى وعرشه فوق سمواته فقلت إنه يقول أقول على العرش استوى ولكن قال لا يدري العرش في السماء أو في الأرض قال إذا أنكر أنه في السماء فقد كفر رواها صاحب الفاروق بإسناد عن أبي بكر بن نصير بن يحيى عن الحكم

Artinya: Aku bertanya pada Abu Hanifah mengenai perkataan seseorang yang menyatakan, “Aku tidak mengetahui di manakah Rabbku, di langit ataukah di bumi?” Imam Abu Hanifah lantas mengatakan: “Orang tersebut telah kafir karena Allah Ta’ala sendiri berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Artinya: “Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Dan ‘Arsy-Nya berada di atas langit”. Orang tersebut mengatakan lagi, “Aku berkata bahwa Allah memang menetap di atas ‘Arsy.” Akan tetapi orang ini tidak mengetahui di manakah ‘Arsy, di langit ataukah di bumi. Abu Hanifah lantas mengatakan, “Jika orang tersebut mengingkari Allah di atas langit, maka dia kafir”.))

Ulasan:
Pertamanya, sanad riwayat ini daif kerana perawinya, Abu Muthi’ Al Hakam bin Abdillah Al Balkhiy dihukum daif oleh para pengkritik hadis seperti Ahmad, Ibn Ma‘in, Abu Dawud, Ibn ‘Adi, Abu Hatim dan lain-lain, bahkan ada yang mengatakannya memalsukan hadis. Justeru, ia tidak dapat dijadikan hujah, apatah lagi dalam bab akidah yang merupakan perkara agama yang serius.

Terjemahan “istawa” di atas sebagai “menetap” merupakan tafsiran golongan Musyabbihah-Mujassimah dan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ. Ini kerana Musyabbihah-Mujassimah berinteraksi dengan ayat ini sebagai Muhkamat (menentukan suatu makna dan tiada makna yang lain), sedangkan ASWJ berinteraksi dengan ayat ini sebagai Mutasyabihat (makna berlapis dan tidak menentukan mana-mana makna serta menyerahkan penentuannya kepada Allah SWT).

Memadailah untuk mengetahui akidah Imam Abu Hanifah yang sebenar dengan merujuk kepada matan al-‘Aqidah al-Tahawiyyah kerana Imam al-Tahawi (w. 321H) dengan jelas menyebut ianya merupakan pegangan Imam Abu Hanifah, dan dua sahabatnya; Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin al-Hasan رحمهم الله. Dinyatakan dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah:

تَعَاْلَىْ – أي الله- عَنِ الْحُدُوْدِ وَالْغَاْيَاْتِ وَالْأَرْكَاْنِ وَالْأَعْضَاْءِ وَالْأَدَوَاْتِ لَاْ تَحْوِيْهِ الْجِهَاْتُ السِّتُّ كَسَاْئِرِ الْمُبْتَدَعَاْتِ

Terjemahan: “Maha Suci Allah daripada mempunyai had ukuran, batasan, sudut/sisi, anggota badan dan juga alat. Arah yang enam tidak menanggung-Nya sepertimana semua makhluk yang baharu.”

5. Dakwaan 2:
Imam Malik bin Anas

((Dari Abdullah bin Ahmad bin Hambal ketika membantah paham Jahmiyah, ia mengatakan bahwa Imam Ahmad mengatakan dari Syraih bin An Nu’man, dari Abdullah bin Nafi’, ia berkata bahwa Imam Malik bin Anas berkata:

الله في السماء وعلمه في كل مكان لا يخلو منه شيء

Artinya: “Allah berada di atas langit. Sedangkan ilmu-Nya berada di mana-mana, segala sesuatu tidaklah lepas dari ilmu-Nya”.))

Ulasan:
Sanad riwayat ini juga daif kerana perawinya, Abdullah bin Nafi’ didaifkan oleh para pengkritik hadis seperti Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim, Ibn ‘Adi dan lain-lain. Maka, ia juga tidak dapat menjadi hujah sama sekali, apatah lagi dalam bab akidah.

Malah Kitab as-Sunnah yang disandarkan kepada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal itu juga bersanad daif dan tidak sahih kepada beliau. Maka, tidaklah mustahil jika ada tangan-tangan yang merubah dan menokok tambah di dalamnya.

Sedangkan masyhur daripada Imam Malik, beliau enggan menyentuh perbincangan tentang nas-nas Mutasyabihat. Beliau pernah ditanya tentang istiwa’ lalu jawabnya:

الاستواء غير المجهول والكيف غير المعقول والايمان به واجب و السؤال عنه بدعة

Terjemahan: “Istiwa’ itu tidak majhul (diketahui ada berbagai makna), dan kaif (bentuk) pula tidak diterima akal, serta beriman dengannya itu wajib, dan menyoal tentangnya pula bidaah.”

Termasuk kaif (bentuk) ialah mengatakan Allah itu berada di bahagian atas dalam keadaan Arasy berada di bahagian bawah-Nya. Ini sudah dikira menetapkan kaif bagi kedudukan Allah SWT sehingga tertakluk pada arah sebelah atas dan arah sebelah bawah bagi zat-Nya. Sebab itu Imam Malik menyebut: “…dan kaif (bentuk) tidak diterima akal”.

6. Dakwaan 3:
Imam Asy Syafi’i

((Syaikhul Islam berkata bahwa telah mengabarkan kepada kami Abu Ya’la Al Kholil bin Abdullah Al Hafizh, beliau berkata bahwa telah memberitahukan kepada kami Abul Qosim bin ‘Alqomah Al Abhariy, beliau berkata bahwa Abdurrahman bin Abi Hatim Ar Roziyah telah memberitahukan pada kami, dari Abu Syu’aib dan Abu Tsaur, dari Abu Abdillah Muhammad bin Idris Asy Syafi’i (yang terkenal dengan Imam Syafi’i), beliau berkata:

القول في السنة التي أنا عليها ورأيت اصحابنا عليها اصحاب الحديث الذين رأيتهم فأخذت عنهم مثل سفيان ومالك وغيرهما الإقرار بشهادة ان لااله الا الله وان محمدا رسول الله وذكر شيئا ثم قال وان الله على عرشه في سمائه يقرب من خلقه كيف شاء وان الله تعالى ينزل الى السماء الدنيا كيف شاء وذكر سائر الاعتقاد

Artinya: “Perkataan dalam As Sunnah yang aku dan pengikutku serta pakar hadits meyakininya, juga hal ini diyakini oleh Sufyan, Malik dan selainnya: “Kami mengakui bahwa tidak ada sesembahan yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah. Kami pun mengakui bahwa Muhammad adalah utusan Allah.” Lalu Imam Asy Syafi’i mengatakan, “Sesungguhnya Allah berada di atas ‘Arsy-Nya yang berada di atas langit-Nya, namun walaupun begitu Allah pun dekat dengan makhluk-Nya sesuai yang Dia kehendaki. Allah Ta’ala turun ke langit dunia sesuai dengan kehendak-Nya.” Kemudian beliau rahimahullah menyebutkan beberapa keyakinan (i’tiqod) lainnya.))

Ulasan:
Perawi riwayat ini, Abu al-Hasan al-Hakkari yang digelar ‘Syeikhul Islam’ itu adalah perawi daif, malah dituduh memalsukan hadis, sebagaimana yang boleh dirujuk biografinya dalam kitab Siyar A‘lam an-Nubala’ dan Mizan al-I’tidal oleh al Zahabi serta Lisan al Mizan oleh Ibnu Hajar.

Selepas menukilkan riwayat di atas dalam kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar, al Zahabi menukilkan satu riwayat lain dengan sanad yang tak diketahuinya tentang wasiat Imam as-Syafii. Kemudian beliau menghukum: “Sanad kedua-duanya adalah lemah”.

Seperkara lagi yang meragukan, Abu Syu’aib yang didakwa mendengar perkataan di atas daripada Imam al-Syafi’i pula sebenarnya lahir dua tahun setelah Imam al-Syafi’i wafat! Kerana Abu Syu’aib lahir pada tahun 206H dan Imam al-Syafi’i wafat pada tahun 204H. Bagaimana boleh dia bertemu dengan Imam al-Syafi’i?!

Kalimah “berada” di dalam terjemahan merupakan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ.

7. Dakwaan 4:
Imam Ahmad bin Hambal

(I)
(Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanya,

ما معنى قوله {وهو معكم أينما كنتم} {وما يكون من نجوى ثلاثه الا هو رابعهم} قال: علمه عالم الغيب والشهاده علمه محيط بكل شيء شاهد علام الغيوب يعلم الغيب ربنا على العرش بلا حد ولا صفه وسع كرسيه السموات والأرض.

Artinya: “Apa makna firman Allah,

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ

Artinya:“Dan Allah bersama kamu di mana saja kamu berada”.

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ

Artinya: “Tiada pembicaraan rahasia antara tiga orang, melainkan Dia-lah keempatnya”.

Yang dimaksud dengan kebersamaan tersebut adalah ilmu Allah. Allah mengetahui yang ghoib dan yang nampak. Ilmu Allah meliputi segala sesuatu yang nampak dan yang tersembunyi. Namun Rabb kita tetap menetap tinggi di atas ‘Arsy, tanpa dibatasi dengan ruang, tanpa dibatasi dengan bentuk. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Kursi-Nya pun meliputi langit dan bumi.”))

Ulasan:
Riwayat ini meragukan kerana ia dicatatkan oleh al-Lalika’i (w. 418H) dalam kitab Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tanpa sebarang sanad. Maka tentunya ia hujah yang lemah dan tidak dapat dijadikan pegangan sama sekali.

(II)
((Diriwayatkan dari Yusuf bin Musa Al Baghdadiy, beliau berkata,

قيل لأبي عبد الله احمد بن حنبل: الله عز و جل فوق السمآء السابعة على عرشه بائن من خلقه وقدرته وعلمه بكل مكان قال نعم على العرش وعلمه لايخلو منه مكان

Artinya: Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanyakan, “Apakah Allah ‘azza wa jalla berada di atas langit ketujuh, di atas ‘Arsy-Nya, terpisah dari makhluk-Nya, sedangkan kemampuan dan ilmu-Nya di setiap tempat (di mana-mana)?” Imam Ahmad pun menjawab, “Betul sekali. Allah berada di atas ‘Arsy-Nya, setiap tempat tidaklah lepas dari ilmu-Nya”.))

Ulasan:
Riwayat ini juga meragukan yang dicatatkan oleh al-Lalika’i (w. 418H) dalam kitab Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tanpa sebarang sanad. Justeru, ia tidak dapat dijadikan hujah sama sekali.

Memadai untuk mengetahui akidah Imam Ahmad yang sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn al-Jawzi dalam kitab Daf‘u Syubah al-Tasybih bi Akuff al-Tanzih, dan Imam Taqiyyuddin al-Hisni dalam kitab Daf‘u Syubah Man Syabbaha wa Tamarrada wa Nasaba Zalika ila as-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad.

Adapun kitab al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah yang disandarkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal, maka menurut az-Zahabi dalam Siyar A‘lam an-Nubala’ (11/286), ia adalah palsu ke atas beliau. Syeikh al-Kawthari menyatakan, kitab tersebut diriwayatkan oleh al-Khallal daripada seorang lelaki yang majhul, iaitu al-Khidr bin al-Muthanna daripada ‘Abdullah bin Ahmad daripada Ahmad bin Hanbal. Maka, sanad kitab yang sebegini tentunya tidak dirasakan selamat dan bebas daripada sebarang tokok tambah dan perubahan.

8. Dakwaan 5:
[Dakwaan Ijmak]

(I)
((Itulah perkataan empat Imam Madzhab yang jelas-jelas perkataan mereka meyakini bahwa Allah berada di atas langit, di atas seluruh makhluk-Nya. Bahkan sebenarnya ini adalah ijma’ yaitu kesepakatan atau konsensus seluruh ulama Ahlus Sunnah. Lantas mengapa aqidah ini perlu diragukan oleh orang yang jauh dari kebenaran?

Ini bukti ijma’ ulama yang dibawakan oleh Ishaq bin Rohuwyah.

قال أبو بكر الخلال أنبأنا المروذي حدثنا محمد بن الصباح النيسابوري حدثنا أبو داود الخفاف سليمان بن داود قال قال إسحاق بن راهويه قال الله تعالى الرحمن على العرش استوى إجماع أهل العلم أنه فوق العرش استوى ويعلم كل شيء في أسفل الأرض السابعة

Artinya:“Abu Bakr Al Khollal mengatakan, telah mengabarkan kepada kami Al Maruzi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Muhammad bin Shobah An Naisaburi. Beliau katakan, telah mengabarkan pada kami Abu Daud Al Khonaf Sulaiman bin Daud. Beliau katakana, Ishaq bin Rohuwyah berkata, “Allah Ta’ala berfirman,

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Artinya: “Allah menetap tinggi di atas ‘Arsy”. Para ulama sepakat (berijma’) bahwa Allah berada di atas ‘Arsy dan beristiwa’ (menetap tinggi) di atas-Nya. Namun Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang terjadi di bawah-Nya, sampai di bawah lapis bumi yang ketujuh.))

Ulasan:
Sanad riwayat ini juga daif kerana Muhammad bin as-Sabah an-Naisaburi adalah perawi majhul. Kalimah “menetap” dan “berada” di dalam terjemahan juga merupakan tasybih yang jelas bercanggah dengan akidah ASWJ.

Ijmak yang dikemukakan juga diragui kerana tafsiran ayat secara jelas menjadikan ayat tersebut berkedudukan Muhkamat tanpa syak lagi. Jika seluruh ulama berijmak bahawa ayat tersebut adalah Muhkamat, sudah tentu perkara ini tidak menjadi isu sejak awal-awal lagi kerana zahir makna ayat tersebut tidaklah begitu susah bagi umat Islam, apatah lagi bila para ulama turut menegaskan tafsirnya.

Namun, apabila para ulama salaf tidak mentafsirkannya sesuka hati dan menyatakan supaya melalukan ayat tersebut sebagaimana ia diwahyukan (أمروها كما جاءت), iaitu tafwidh, maka tahulah kita bahawa ianya adalah Mutasyabihat. Justeru, dakwaan ijmak yang dikemukakan itu adalah lemah. Ia juga bertentangan dengan pernyataan ijmak yang disebut oleh Imam Abu Mansur al-Baghdadi di dalam kitab al-Farq bain al-Firaq ketika menyenaraikan perkara yang diijmakkan oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah:

وأجمعوا على أنه لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان

Terjemahan: “Mereka bersepakat bahawa sesungguhnya Dia tidak ditanggung oleh tempat dan juga tidak berlalu ke atas-Nya masa”.

(II)
((Adz Dzahabi rahimahullah ketika membawakan perkataan Ishaq di atas, beliau rahimahullah mengatakan,

اسمع ويحك إلى هذا الإمام كيف نقل الإجماع على هذه المسألة كما نقله في زمانه قتيبة المذكور

Artinya: “Dengarkanlah perkataan Imam yang satu ini. Lihatlah bagaimana beliau menukil adanya ijma’ (kesepakatan ulama) mengenai masalah ini. Sebagaimana pula ijma’ ini dinukil oleh Qutaibah di masanya”.))

Ulasan:
Perlu diketahui, ketika al-Zahabi mula menyusun kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar ini beliau baru berusia 18 tahun. Dalam usia ini, pastinya beliau masih agak muda dan masih begitu terkesan dengan gurunya, Syeikh Ibn Taimiyyah. Beliau kemudian telah membuat penambahan dan akhirnya menyusunnya semula ketika berusia 25 tahun. Pada usia ini juga tentunya beliau masih belum lagi menjadi seorang imam & tokoh besar yang disegani.

Bagaimanapun, ketika ini beliau sudah sedar dan mengakui bahawa di dalam kitab beliau itu terdapat hadis-hadis yang daif dan kata-kata yang amat berlebihan di dalam mengungkap ibarat masing-masing serta beliau tidak menyetujuinya sama sekali (sepertimana yang tercatat pada manuskrip kitab).

Namun, tidak pula beliau menentukan mana kata-kata yang amat berlebihan itu serta yang beliau tidak persetujui. Malah, ulasan-ulasan beliau yang cenderung menyokong fahaman Tasybih masih ada di dalamnya. Maka, dapat kita katakan bahawa kitab al-‘Ulu li al-‘Aliy al-Ghaffar ini adalah ibarat catatan penulisan pada zaman mudanya yang tidaklah dapat dijadikan sumber pegangan dan rujukan utama umat Islam di dalam bab akidah. Kata Syeikh al-Kawthari: “Di dalamnya terdapat kekeliruan yang banyak”.

9. Golongan Musyabbihah-Mujassimah selalu menyatakan fahaman mereka terhadap nas-nas Mutasyabihat ini (bagi mereka Muhkamat) bahawa ianya adalah ‘tanpa kaifiat’ (بلا كيف). Sedangkan iktikad bahawa Allah itu berada di atas langit atau berada di atas ‘Arasy dengan makna Allah berada di bahagian atas dalam keadaan langit/Arasy pula berada di bahagian bawah-Nya sudah pun mengkaifiatkan kedudukan bagi zat Allah Taala.

Tanpa mereka sedar, mereka menyalahi kaedah tersebut dengan mengkaifiatkan-Nya, iaitu dengan adanya arah sebelah atas dan arah sebelah bawah bagi-Nya sepertimana makhluk! Wal ‘iyazubillah. Selepas zaman Imam Ahmad, fahaman ini terus menular dalam kalangan sebahagian Hanabilah dan juga sebahagian ahli hadis sehingga wujud berbagai riwayat yang diragukan.

10. Kesimpulannya, dakwaan bahawa ‘Empat Imam Mazhab Sepakat Allah Berada di Atas Langit’ adalah lemah dan tidak benar sama sekali. Ini bukan bermakna mereka beriktikad bahawa Allah Taala tidak berada di langit atau tidak berada di ‘Arasy. Maha Suci Allah! Bukan seperti ini dan bukan seperti itu sama sekali. Akan tetapi maksudnya ialah mereka tidak mentafsir atau membincangkan hal tersebut sebagaimana para ulama salaf lain dan menyerahkan hakikatnya kepada Allah SWT semata-mata (iaitu tafwidh). Pastinya, iktikad mereka bukanlah sepertimana iktikad golongan Musyabbihah-Mujassimah yang terkeluar daripada ASWJ.


Wassalam.

Sunday, December 1, 2024

TASAWUF TANPA TAREQAH

Akhir-akhir ini ramai yang membicarakan tentang pentingnya tasauf dalam pembentukan peribadi. Namun apa yang pincangnya adalah ramai yang hendakkan tasauf tetapi tidak mahu bertarekat. Dalam hal ini Ustaz Haji Saari Hussin menjelaskan bahawa tasauf itu adalah ilmu Ihsan, iaitu ilmu merasa seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW 'beribadat seolah olah melihat Allah, jika tidak melihat Allah, merasa di lihat oleh Allah'.

Ilmu Ihsan ini akan membantu melengkapkan Fiqah dan Tauhid seseorang kerana apabila seseorang itu ingin mengadap Allah dalam solatnya atau melalui amalan zikir, yang dihadapkan bukan hanya badan sahaja namun harus keempat-empat pancaindera iaitu :-

1.Jasad
2.Ruh
3.Akal
4.Nafsu

Jika belajar Fiqh dan Tauhid memerlukan guru yang mengajar. Sudah pastilah untuk belajar ilmu tasauf ini memerlukan guru yang melatih untuk merasa melalui keempat empat pancaindera ini.

Kerana itulah para ulama tasauf mengatakan:

'Wajib bagi seseorang itu mempunyai syeikh, walaupun dia seorang alim yang besar'

Kenapa perlu berguru? Jawapannya adalah kerana keguruan inilah yang akan memancarkan Nur. Nur yang berpindah dari Rasulullah kepada sahabat, sahabat kepada tabi'in, tabi'in kepada tabit tabi'in dan seterusnya kepada para ulama dan seterusnya nur itu berpindah kepada murid murid.

Apabila seseorang telah mendapat pancaran dan perpindahan Nur ini, maka ia akan lebih mudah menggerakan pancaindera yang 4 tadi. Maka proses merasa Ihsan ini akan lebih mudah dirasai. Kerana itulah fungsi Mursyid dalam bertareqah ini perlu dan untuk mencapai pancaran Nur ini, harus seseorang murid melalui 5 disiplin iaitu:

1. Adab
2. Mulazamah
3. Suhbah
4. Riadhah
5. Khidmat

Kerana apabila berlaku 5 perkara ini, ia akan mengerakkan mata rantai silsilah keguruan yang bersambung kepada Rasulullah SAW. Oleh kerana inilah tidak mungkin orang mencapai tasauf tanpa bertarekat melalui mursyid.

Kata Ustaz Haji Saari Hussin, Tasauf itu adalah buah daripada kelazatan beribadah, Tarekat pula adalah pokoknya, orang yang menjalani tarekat pula adalah penanamnya. Tidak mungkin mendapat buah yang manis yang lazat lagi enak tanpa menanam pokok (tarekat) . Yang kaedah menanamnya diajarkan oleh Mursyid.

Kata Ustaz Haji Saari Hussin lagi, pada zaman ini, ramai orang beragama dan berilmu agama hanya di mulut sahaja tetapi bukan dengan pancaindera.

Semoga kita beroleh sedikit ilmu di atas tarbiyah ini.

Wallahua'alam

[ Catatan nota pentadbir FB Ustaz Haji Saari Hussin iaitu ringkasan pengisian kuliah tasawuf yang disampaikan oleh Ustaz Haji Saari Hussain di Pusat Tarbiyah Surau Haji Awang Alim ]

ILMU TASAWWUF TANPA GURU MURSYID

Mereka yang hanya membaca kitab-kitab Tasawwuf tanpa guru itu, maka terdapat beberapa sifat kecelaannya, iaitu :

1. Riak
2. ‘Ujub
3. Takabbur
4. Hasad
5. Kasihkan dunia
6. Maksiat batin

Apa yang tersebut itu tiada hilang dari hatinya. Oleh kerana itu telah menjadi syarat, walaupun Ulama’ besar sekalipun yang mempunyai ijazah yang sangat tinggi, wajib ia mengambil ijazah dari seorang Masyaikh yang ahli di dalam Ilmu Tasawwuf, iaitu kepada Zawiyyah atau Syaikh atau Khalifah.

Contohnya Hujjatul Islam Imam Ghazali رحمة الله تعالى mengambil ijazah dan berguru (musyafahah) dengan Gurunya seorang tukang kasut. Beliau tidak malu berguru dengan orang yang berpangkat rendah, kerana beliau mengamalkan syarat mempelajari Ilmu Tasawwuf dengan ahlinya.

Adapun mereka yang hanya membaca kitab-kitab Tasawwuf dengan tanpa guru, pada permulaannya akan terpedaya pada dirinya sendiri kerana kalimat-kalimat yang ada di dalam kitab-kitab Tasawwuf itu tidak boleh diertikan sama dengan kalimat sastera ataupun persuratan, kerana istilahnya bersendirian dan mempunyai rahsia. Dari kerana itulah orang bodoh tidak akan dapat memahami Ilmu Tasawwuf.

Friday, November 8, 2024

ZUHUD

Zuhud dalam Islam merujuk kepada sikap tidak cenderung atau tidak terlalu mengambil berat terhadap kehidupan duniawi dengan tujuan untuk memperoleh keredhaan Allah dan mempertingkatkan hubungan dengan-Nya.
Zuhud bukanlah bermakna meninggalkan dunia sepenuhnya, tetapi bersikap sederhana dan lebih mengutamakan kehidupan akhirat.

Takrif Zuhud Menurut Islam:

Dalam konteks Islam, zuhud bermaksud menjauhkan diri daripada kecintaan terhadap dunia dan lebih mengutamakan akhirat.

Zuhud bukanlah bermakna meninggalkan dunia sepenuhnya atau menjadi miskin, tetapi mengekang diri dari keterikatan hati terhadap kesenangan duniawi dan berusaha mencapai keredaan Allah SWT.

Zuhud ialah sebuah sifat hati yang mengutamakan keredaan Allah di atas segala perkara duniawi, sehingga harta, kekuasaan, atau kemewahan tidak lagi menggoda hati seorang Muslim.

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, zuhud di dunia ialah "pendek angan-angan", iaitu tidak menjadikan dunia sebagai matlamat hidup yang kekal. Sebaliknya, seseorang yang zuhud melihat dunia hanya sebagai perjalanan sementara ke alam akhirat.

Secara umum, Zuhud dalam istilah tasawwuf ialah sifat meninggalkan keterikatan kepada dunia, di mana seorang individu tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utamanya.

Imam Ahmad bin Hanbal menyebut, "Zuhud di dunia bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, tetapi zuhud adalah tidak menjadikan dunia sebagai perkara yang lebih penting dari akhirat" (Riwayat Ahmad).

Dalil-Dalil dari Al-Quran dan Hadis tentang Zuhud:

1. Allah SWT berfirman: "Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan hiburan serta perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta dan anak-pinak; umpama hujan yang tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu melihatnya berwarna kuning, kemudian menjadi hancur..." (Surah Al-Hadid, 57:20).

Ayat ini mengingatkan agar manusia tidak tertipu dengan keindahan dunia yang sementara dan menyedari tujuan sebenar penciptaan iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Ayat ini juga menjelaskan hakikat dunia yang sementara, mengingatkan umat Islam agar tidak tertipu oleh keindahannya. Zuhud adalah menerima bahawa dunia tidak kekal dan berusaha mengutamakan akhirat.

2. Rasulullah SAW bersabda: "Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah engkau terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya manusia akan mencintaimu." (Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menekankan bahawa zuhud adalah jalan untuk memperoleh cinta Allah dan cinta manusia, apabila hati tidak bergantung pada dunia dan tidak iri terhadap apa yang ada di tangan orang lain.

3. Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang bijak ialah yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan selepas mati, dan orang yang lemah ialah yang mengikut hawa nafsunya lalu berharap kepada Allah dengan harapan kosong." (Riwayat Tirmizi)

Zuhud membawa erti kebijaksanaan, kerana ia menghalang seseorang dari menjadi hamba nafsu, dan mendorong untuk mempersiapkan bekalan untuk akhirat.

4. Rasulullah SAW bersabda: "Jadilah kamu di dunia seolah-olah seorang perantau atau orang yang melalui suatu jalan." (Riwayat Bukhari).

Hadis ini menggambarkan bahawa sifat zuhud ialah sentiasa sedar bahawa dunia hanyalah persinggahan dan bukan tempat tinggal yang kekal.

Pandangan Para Ulama Salaf dan Khalaf tentang Kepentingan Zuhud:

1. Ulama Salaf: Ulama-ulama generasi awal Islam (Salaf) sangat menekankan zuhud sebagai jalan mencapai kesucian hati dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Antara tokoh utama yang banyak berbicara tentang zuhud ialah Imam al-Ghazali, Sufyan al-Thawri, dan Hasan al-Basri.

- Hasan al-Basri berkata, "Zuhud di dunia bukanlah mengharamkan yang halal atau membuang harta, tetapi ialah lebih yakin dengan apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tangan manusia."

- Sufyan al-Thawri pula menyebut, "Zuhud ialah apabila seseorang lebih memilih akhirat daripada dunia dan tidak menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya."

- Sufyan Al-Thawri berkata: "Zuhud adalah pendeknya angan-angan, bukanlah bermaksud kamu tidak memiliki harta, tetapi zuhud adalah apabila hati tidak terikat pada harta yang ada."

2. Ulama Khalaf:

- Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyatakan bahawa zuhud terbahagi kepada tiga peringkat:

1. Zuhud orang awam, yang meninggalkan perkara-perkara haram.
2. Zuhud orang khusus, yang meninggalkan perkara yang makruh dan syubhat.
3. Zuhud para Nabi dan awliya, yang tidak merasa berat untuk meninggalkan dunia walaupun dunia datang kepada mereka.

- Ibn al-Qayyim berkata: "Zuhud yang hakiki bukanlah meninggalkan harta, tetapi menempatkan hati di akhirat, tidak dalam kenikmatan dunia yang sementara."

Ulama Khalaf, yang datang selepas Salaf, terus mengembangkan konsep zuhud dengan penekanan pada mengharmonikan kehidupan dunia dan akhirat.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan bahawa zuhud adalah inti dari tasawuf dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Al-Ghazali menyebut bahawa zuhud adalah tentang “melepaskan keterikatan hati” dari dunia, yang tidak semestinya bermakna miskin, tetapi mengendalikan nafsu agar tidak menjadi hamba dunia.

Cara Menghasilkan Sifat Zuhud dalam Kehidupan Seharian:

1. Memperkuat Keimanan: Sentiasa mengingat kematian dan kehidupan akhirat.
Firman Allah: "Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati." (Surah Al-Ankabut, 29:57).

2. Mengamalkan Kesederhanaan: Bersederhana dalam kehidupan dan tidak berlebihan dalam perkara yang dibolehkan.
Rasulullah SAW bersabda: "Sederhana dalam hal kekayaan lebih baik daripada banyak tetapi tidak mampu dijaga." (Riwayat Tirmizi).

3. Menyedari Sementara dan Terhadnya Dunia: Mengambil iktibar daripada kisah-kisah Nabi dan para sahabat yang hidup sederhana walaupun mereka berpeluang memiliki harta. Rasulullah SAW pernah menolak dunia yang ditawarkan kepadanya dan memilih kehidupan yang sederhana.

4. Memperbanyak Zikir dan Solat Malam: Zikir dan qiyamulail mengingatkan bahawa hati tidak bergantung kepada dunia tetapi kepada Allah.
Firman Allah: "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra’d, 13:28).

5. Memperbanyakkan Ingatan terhadap Akhirat: Sering mengingati mati dan kehidupan akhirat adalah langkah utama untuk membina zuhud.
Rasulullah SAW menyarankan kita untuk sering mengingat "pemusnah kelazatan" iaitu kematian sebagai motivasi untuk lebih zuhud terhadap dunia.

6. Mengelakkan Pemborosan dan Hidup Secara Sederhana: Kehidupan zuhud bukanlah hidup dalam kemiskinan tetapi hidup secara sederhana dan berbelanja menurut keperluan sahaja. Ini termasuk menjauhi pemborosan dan tidak terlalu mementingkan kemewahan.

7. Menjaga Hati daripada Kecintaan terhadap Dunia: Zuhud bermula dari hati. Amalan ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati dari kecintaan yang berlebihan terhadap harta dan kedudukan. Melaksanakan ibadah dengan ikhlas serta menzahirkan syukur pada setiap nikmat yang diberikan Allah dapat membantu membina zuhud.

8. Memperbanyakkan Ibadah dan Amal Soleh: Mengutamakan ibadah daripada kegiatan duniawi yang melalaikan, seperti solat, puasa, membaca Al-Quran, dan berzikir. Zuhud juga bermakna menggunakan masa dengan baik untuk mendekatkan diri kepada Allah.

9. Bersahabat dengan Orang yang Zuhud: Seseorang akan dipengaruhi oleh lingkungan sekitarnya. Bersahabat dengan orang-orang yang zuhud dan bertakwa dapat membantu dalam membina sifat zuhud kerana mereka memberi contoh amalan yang baik dan zuhud dalam kehidupan.

Perkaitan Zuhud dengan Ilmu Tasawwuf:

Zuhud mempunyai kedudukan yang penting dalam Tasawwuf, yang merupakan ilmu penyucian jiwa. Tasawwuf bertujuan membentuk hati yang bersih dan jiwa yang dekat dengan Allah, dan zuhud adalah asas kepada pencapaian tersebut.

Perkaitan Zuhud dengan Ilmu Tasawwuf
Zuhud adalah salah satu aspek utama dalam tasawwuf kerana tasawwuf menekankan pembersihan jiwa dari penyakit-penyakit duniawi, termasuk kecintaan berlebihan terhadap dunia.

Para ulama tasawwuf melihat zuhud sebagai cara untuk mencapai maqam yang lebih tinggi dalam hubungan dengan Allah SWT. Para ulama tasawwuf melihat zuhud sebagai salah satu maqam tingkatan rohani yang perlu dilalui oleh para salik penempuh jalan tasawwuf.

Para sufi seperti Imam al-Junaid dan Rabi'ah al-Adawiyah melihat zuhud sebagai tangga untuk mencapai maqam Mahabbah iaitu cinta kepada Allah dan maqam Ridha yakni keredhaan. Mereka berpendapat bahawa hanya dengan meninggalkan kecintaan dunia, hati akan kosong dari kehendak nafsu dan sepenuhnya tertumpu kepada cinta kepada Allah.

Menurut Imam al-Ghazali, tanpa sifat zuhud, seseorang tidak dapat mencapai keikhlasan dan ketenangan jiwa yang sebenar.

Seperti yang dinyatakan oleh Syaikh Abdul Qadir al-Jilani, zuhud adalah pintu untuk seseorang mencapai keikhlasan dan mahabbah cinta kepada Allah.

Ibn Ata'illah al-Sakandari dalam Hikam beliau menyebut: "Jangan engkau mencari apa yang tidak kekal, tetapi carilah apa yang kekal, kerana yang kekal itulah yang lebih baik untukmu."

Sumber Rujukan:

1. Al-Quran, Surah Al-Hadid: 20, Surah Al-Ankabut
2. Sahih Bukhari, Kitab Al-Riqaq.
3. Sunan Ibn Majah, hadis tentang zuhud.
4. Sunan al-Tirmizi, hadis tentang orang yang bijak.
5. Kitab Siyar A’lam al-Nubala’ karya Imam al-Zahabi
6. Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin.
7. Madarij as-Salikin oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah.
5. Al-Hikam oleh Ibn Ata'illah al-Sakandari.


Dengan memahami zuhud, seseorang akan dapat menjalani kehidupan yang seimbang, menjauhi sifat tamak, dan sentiasa meletakkan akhirat sebagai matlamat utama. Zuhud membantu untuk mencapai ketenangan dan menguatkan ketaqwaan kepada Allah.

[ Syeikh Maulana Jalalluddin Ahmad Ar-Rowi Al-Naqsyabandi Mujaddidi ]

BERSABARLAH, ALLAH MEMBERI 5 JENIS UJIAN KESUSAHAN INI UNTUK MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA MANUSIA.

Dalam hidupnya, manusia tidak pernah luput dari kesusahan. Tidak selamanya hal-hal yang menyenangkan akan terus berlaku dalam kehidupan manusia. Sebab ada kalanya manusia perlu merasakan hal-hal yang tidak menyenangkan dalam hidupnya sebagai pembelajaran.

Bahkan para Nabi pun diuji dengan berbagai macam cobaan. Dari banyaknya kesusahan yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعالی, terdapat 5 jenis ujian yang boleh mneghapuskan dosa-dosa yang dilakukan manusia.

Apa 5 jenis kesusahan tersebut?

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda "Tidak akan menimpa muslim sakit, keletihan, kebimbangan, gangguan, kesedihan dan duka hingga duri yang mengenai dirinya. Kecuali Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya."

Berikut ini 5 kesusahan yang diberikan oleh Allah 
سبحانه وتعالی untuk menghapuskan dosa manusia:

1. Keletihan

Keletihan adalah kesusahan yang pertama yang akan diberikan oleh Allah SWT. Keletihan ini biasanya terjadi pada seseorang yang bekerja tanpa berehat. Dia akan merasakan keletihan yang berat. Kerana merasa lelah, dia sukar untuk melakukan aktiviti yang lain.

Tetapi percayalah bahawa Allah 
سبحانه وتعالی akan menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu jika seorang hamba dapat mengatasi keletihan yang dihadapinya. Setiap keringat yang dikeluarkan akan bernilai ibadah bagi Allah سبحانه وتعالی.

2. Sakit

Kesusahan lain iaitu merasakan sakit. Setiap manusia pasti pernah merasakan sakit dalam hidupnya walaupun hanya sekali. Rasa sakit yang dianugerahkan oleh Allah 
سبحانه وتعالی terasa amat menyeksa.

Nabi 
صلى الله عليه وسلم bersabda, "Setiap muslim yang terkena musibah penyakit atau yang lain, pasti akan hapuskan kesalahannya, sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya." (HR. Al-Bukhari no. 5661 dan Muslim no. 651)

Dalam hadis yang lain, Nabi 
صلى الله عليه وسلم bersabda, "Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau sesuatu perkara yang lebih berat dari itu melainkan diangkat darjatnya dan dihapuskan dosanya kerananya." (HR. Muslim no. 2572)

Bergembiralah saudaraku, bagaimana tidak, hanya kerana sakit tertusuk duri saja dosa-dosa kita terhapus. Kerana boleh jadi dengan penyakit ini kita akan bersih dari dosa bahkan tidak mempunyai dosa sama sekali, kita tidak punya timbangan dosa, kita menjadi suci sebagaimana anak yang baru lahir.

Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم juga bersabda, "Cubaan akan sentiasa menimpa seorang mukmin dan mukminah, baik pada dirinya, pada anaknya atau pada hartanya, sehingga ia bertemu dengan Allah tanpa dosa sedikitpun." (HR. Ahmad)

Hadits ini sangat sesuai bagi orang yang mempunyai penyakit kronik yang tidak boleh diharapkan kesembuhannya dan vonis doktor mengatakan umurnya tinggal hitungan minggu, hari bahkan jam. Ia bimbang penyakit ini menjadi sebab kematiannya. Hendaknya ia bergembira, kerana boleh jadi ia menghadap Allah suci tanpa dosa. Ertinya syurga telah menunggunya.

Jadi bersabarlah dan jangan mengeluh dengan penyakit yang diberikan Allah, kerana sakit adalah ujian dan dosa-dosa kita akan digugurkan olehNya. Kerana itu, tetap tabah ketika sakit dan terus mencari penawarnya.

3. Kebimbangan

Kesusahan selanjutnya adalah rasa bimbang. Kebimbangan tersebut perlu diatasi dengan baik. Jika tidak, akibatnya fatal. Serahkanlah semua urusan kepada Allah 
سبحانه وتعالی. Sebagai manusia, kita perlu berusaha dan berdoa. Hasilnya biarlah Allah سبحانه وتعالی yang menetapkan. Jadi, hati manusia menjadi lebih tenang kerana segala yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعالی adalah yang terbaik.

4. Gangguan

Kesusahan yang diberikan oleh Allah 
سبحانه وتعالی lain iaitu muncul gangguan-gangguan dalam kehidupan. Gangguan ini boleh datang dari pelbagai sisi. Di saat kita melakukan perkara yang baik, ada saja gangguan yang menghalang. Jika kita boleh yakin dan bersabar, dosa-dosa kita akan gugur.

5. Kesedihan

Setiap manusia tentunya mendambakan kehidupan yang menyenangkan, penuh ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan. Tidak ada satu orang manusia pun yang ingin merasakan kesusahan di dalam hidupnya.

Tetapi mustahil hidup manusia penuh dengan kesenangan. Dan Allah 
سبحانه وتعالی memberikan kesedihan kepada manusia untuk menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu. Jika kesedihan ini ditangani dengan bijak dan kesabaran maka dosa-dosa kita akan diampuni oleh Allah سبحانه وتعالی.

TAZKIYAH AL-NAFS DALAM ILMU TASAWUF

Oleh:
Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Hj Ahmad
Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan


Bicara Sufi @ Balai Kediaman Rasmi YTM Tunku Besar Tampi
6 Februari 2010


PENGERTIAN TAZKIYAH AL-NAFS

Tazkiyah bermaksud pembersihan atau penyuburan. Dalam konteks ahli tasawuf, tazkiyah merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah (Ibnu Arabi, t.thn: 389).

Dalam erti kata yang lain tazkiyah al-nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ( التخلي ) dan al-tahalli ( التحلي ). Al-takhalli ialah membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah yang Quddus sebagaimana najis yang zahir kepada Allah (al-Qurdi, 1995:457). Manakala al-tahalli pula ialah menghias jiwa dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Menurut al-Tusi, al-tahalli ialah mengikut golongan sodiqin sama ada dari sudut perkataan mahupun dalam amalan zahir (Abi Khuzam, 1993:58)

Ini adalah penting kerana manusia itu hakikatnya bukannya semata-mata keadaan fizikalnya tetapi yang membezakannya dengan kehidupan lain ialah kekuatan jiwanya. Tubuh badan yang jiwanya cerah hasil dari limpahan cahaya hidayah yang diberikan oleh Allah selepas melalui tazkiyah barulah dinamakan manusia sejati. Hidupnya benar-benar sebagai manusia, tidak lagi dikuasai oleh sifat alam rendah dan kebinatangan.


KEHIDUPAN MODEN SATU CABARAN

Kehidupan adalah tempat persinggahan hamba Allah dalam perjalanannya menuju Allah. Oleh itu, manusia ditaklifkan dengan syariat supaya mereka dapat mengatur kehidupan hariannya selaras dengan yang diperintahkan oleh Allah.

Pengutusan Rasulullah adalah bertujuan agar manusia menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Fath ayat 8 dan 9 iaitu:

Yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang yang engkar). (Kami mengutusimu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,dan supaya kamu kuatkan agama-Nya, dan supaya kamu beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Daripada ayat al-Qur’an di atas, menjelaskan kepada kita bahawa tujuan pengutusan rasul itu adalah untuk memandu manusia supaya menjalani kehidupannya sebagai seorang yang beriman dan mematuhi segala kehendak dan perintah-Nya. Seterusnya kekal dan istiqamah dalam setiap ketika. Ini bermakna bagi seseorang yang beriman tidak ada istilah berehat dari beragama atau berhenti seketika daripada menjadi seorang muslim.

Kehidupan ini mempunyai tuntutan yang perlu dilaksanakan. Walaupun secara zahirnya kehidupan itu seolah-olah ada perubahan dari semasa ke semasa namun hakikatnya kehidupan itu mempunyai tuntutan yang sama. Semenjak turunnya Nabi Adam ke bumi hinggalah ke zuriat terakhir manusia tuntutan untuk beragama tidak ada perubahan walau sedikit pun dan tidak ada pengecualian walau sekelumit pun.

Malahan semakin berkembang kehidupan duniawi ini maka mendesak kita kembali kepada agama. Ini bermakna semakin tinggi tamadun keduniaan manusia maka semakin jauh mereka dari landasan sebenar. Apabila penyelewengan terhadap tanggungjawab ini berlaku, satu-satunya jalan penyelesaiannya ialah dengan menghidupkan semula fitrah manusia. Ini bukanlah bermakna kita menolak keduniaan. Tetapi meletakannya ditempat yang sesuai baginya. Ianya digenggam di dalam tangan bukan disemadikan di dalam jiwa sanubari. Pernah satu masa Abu Hasan al-Shazali memakai pakaian yang hebat. Tiba-tiba datang seorang lain yang memakai pakaian bulu yang murah. Orang berkenaan bertanya kehairanan kepada al-Shazali, katanya: “Kamu menyembah Allah dengan pakaian yang mewah begini?”.

Lalu al-Shazali memegang baju orang berkenaan dan beliau bertanya soalan yang serupa, katanya: “Kamu menyembah Allah dengan pakaian begini? Cara kamu berpakaian begini wahai fakir menyebabkan engkau akan berkata, aku orang miskin, sedekahkanlah kepadaku. Tetapi pakaian mewah yang aku pakai ini menyebabkan aku berkata, aku antara orang yang senang maka tidak perlulah kamu bersedekah kepadaku, sesungguhnya kemuliaan itu tertentu bagi Allah, Rasul-Nya dan orang mukmin”.

Tazkiyah al-Nafs yang sering dibincang dalam pengajian tasawuf bukanlah bersifat kerahiban sebagaimana orang Nasrani tetapi ianya menghimpunkan antara kehidupan beribadat dan bermasyarakat (al-Taftazani:44)

Perlu diingat, yang kita permodenkan hari ini adalah kehidupan zahir sahaja. Ini adalah satu tuntutan bukanlah satu kehinaan. Pembangunan dan kemodenan dunia bukanlah satu penyakit bahkan ianya adalah satu keistimewaan penciptaan manusia. Namun pembangunan manusia agak berbeza. Pembangunan manusia bukan membawa mereka kepada nilai yang akan dipegang oleh masyarakat pada masa hadapan atau mencari nilai-nilai baru tetapi membangunkan manusia ialah dengan membawa mereka kembali semula kepada fitrah kejadiannya yang mulia. Fitrah yang dicipta oleh Allah untuk kesempurnaan kehidupan manusiawi. Hal ini Allah tegaskan dalam firman-Nya:

Yang bermaksud, (Setelah jelas kesesatan syirik itu maka hadapkanlah dirimu dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah – iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadi) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui. (surah al-Ruum ayat 30).

Kemajuan duniawi perlu diukur secara seimbang. Pembangunan yang pesat tetapi di dalam masa yang sama aspek pembangunan jiwa tidak dipelihara, ianya sudah tentu akan memakan diri. Sebagai contoh diketika kita mengecap nikmat yang melimpah ruah ini, negara diserang oleh satu wabak penyalahgunaan dadah. Mengikut laporan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) sejak tahun 1983 hingga 2002 terdapat 68,518 orang penagih tegar, 11,500 orang daripadanya didapati positif HIV. Ianya telah menyebabkan kerugian kepada negara bukan sahaja mengakibatkan kekurangan tenaga, bahkan kerajaan terpaksa membiayai hampir RM 3,000.00 bagi program pemulihan untuk seorang penagih. Bayangkan hampir RM 205 billion digunakan untuk tujuan tersebut.

Begitu juga peningkatan dalam kes-kes jenayah keganasan. Berdasarkan Laman Web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) statistik jenayah keganasan dari tahun 1997-2002 berjumlah 120,586 kes. Manakala Jenayah harta benda pula dalam tempoh yang sama berjumlah 921,834 kes. Walaupun pada zahirnya jumlah yang disebutkan tadi adalah kecil berbanding dengan negara-negara lain, namun gejala tidak sihat ini akan bertambah kronik jika tidak diberi penyelesaian.

Lihat sajalah dalam paparan satu daripada akhbar harian Malaysia yang menyatakan bahawa secara purata hampir 27% remaja di Malaysia telah melakukan hubungan seksual.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) melaporkan diseluruh dunia hampir 450 juta manusia menghadapi gangguan mental. Satu daripada empat keluarga, sekurang-kurangnya mempunyai seorang ahli keluarga yang sakit mental.

Fizikal manusia yang mewah tetapi spiritual yang lemah adalah satu petanda bahawa manusia berkenaan dalam kehinaan.

فَإِنْ أَرَادَ اللهُ أَنْ يُخْذَلَ عَبْدًا أَعْطَاهُ العِلْمَ وَمَنَعَهُ الخَشْيَةَ، أَوْ يُعْطِيهِ النِّعْمَةَ وَيَمْنَعُهُ الشُّكْرَ، أَوْ يُعْطِيهِ البَلاَءَ وَيَمْنَعُهُ الصَّبْرَ، أَوْ يُعْطِيهِ الحِكْمَةَ وَيَمْنَعُهُ الأَدَبَ، أَوْ يُعْطِيهَ القُوَّةَ وَيَمْنَعُهُ العَمَلَ، أَوْ يُعْطِيهِ الغِنَى وَيَمْنَعُهُ السَّخَاءَ.

Yang bermaksud, Jika Allah berkehendak untuk menghina seseorang lalu diberi kepadanya ilmu tetapi dicabutnya sifat takut, diberi kepadanya nikmat tetapi dibuangnya sifat syukur, dikenakan kepadanya bala tetapi dicabutnya sifat sabar, dikurniakan kepadanya hikmah tetapi ditiadakannya budi pekerti, dianugerahkan kepadanya kekuatan jasmani tetapi dilemahkannya untuk beramal atau diberikan kekayaan namun dibuangnya sifat pemurah (al-Laja’I, 2003:223).

Oleh itu, apakah erti pembangunan ini kalau dalam masa yang sama kita meruntuhkan nilai manusiawi dan tujuan asalnya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah.


FOKUS TAZKIYAH

Oleh kerana manusia yang hakiki itu dijelmakan oleh keharmonian spiritualnya maka fokus tazkiyah al-Nafs adalah nafsu itu sendiri. Nafsu ada dua bentuk iaitu nafs zahirah dan nafs batinah. Yang batin ini dikenali juga sebagai al-Madzmumah manakala nafs zahirah pula banyak bergantung kepada sesuatu yang dapat menguasainya (Hakim al-Tirmidzi, 35). Nafsu jenis ini mengikut apa yang berjaya menguasainya. Kalau yang menguasainya adalah malaikat maka ianya dianggap sebagai cahaya (nur). Mengikut Hakim al-Tirmidzi aqal hanya menjadi pengikut kepada kedua-dua jenis nafsu ini (ibid; 36). Oleh itu, tidak hairanlah kalau kita dapati aqal sering digunakan untuk melaksanakan sesuatu kebaikan dan pada kebanyakkan masa aqal juga digunakan untuk tujuan yang jahat dan memudaratkan. Ini kerana aqal tertakluk kepada nafsu yang mana paling kuat.

Hati perlu dibersihkan dan diasuh supaya sentiasa tunduk kepada kehendak agama. Kehendak agama yang dimaksudkan di sini bukan hanya semata-mata dari aspek ibadah khususiyah tetapi ianya mencakupi aspek agama yang lain termasuk dalam aspek tauhid, akhlaq dan menerima tanpa keraguan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Islam agama untuk hidup, dari alam ruh, alam dunia, alam barzakh hinggalah ke alam akhirat. Itulah fasa-fasa kehidupan manusia. Setiap fasa itu ada peraturannya yang telah ditetapkan oleh Allah. Fasa kehidupan di dunia, peraturannya adalah al-Din. Al-Din pula mencakupi keseluruhan demensi kehidupan. Justeru, tidak memadai seseorang itu kelihatan soleh dan wara’ tetapi hubungannya dengan alam lain cukup rakus dan takkabur. Kita pernah mendengar Nabi Muhammad menyatakan bahawa seorang perempuan yang sempurna melaksanakan ibadah khususiyahnya tetapi dihujam ke dalam neraka hanya kerana menganiayai seekor kucing. Kita juga pernah mendengar bahawa mengalih sesuatu yang boleh memudaratkan orang lain di laluan orang ramai adalah satu daripada cabang iman, malah banyak lagi contoh lain yang menggambarkan maksud yang sama. Oleh itu, hati adalah segala-galanaya. Penentu kesihatan dan arah tuju gerakan jasmani.


MEDIUM TAZKIYAH

Tazkiyah hakikatnya sentiasa di dalam kitaran taklif ( تكليف ). Proses penyucian jiwa banyak bergantung kepada komitmen terhadap apa yang telah ditaklifkan oleh Allah. Terdapat beberapa medium tazkiyah iaitu:

i Melaksanakan perkara wajib.

ii Meninggalkan perkara yang haram dan shubhat.

iii Menambahkan kesungguhan untuk melaksanakan perkara yang sunat.

iv Menjaga adab dan akhlaq.

v Pergaulan dengan orang solihin مجالسة الصالحين ( ).


Walaupun pada kebanyakkan orang Islam perkara yang tersebut di atas lebih ditumpukan dalam hal-hal ibadat dan ritual, namun di sisi pengamal tasawuf yang sebenar ianya mencakupi keseluruhan aspek kehidupan sama ada dari aspek ritual ataupun keduniaan. Kedua-duanya perlu ditimbang supaya menepati perkara yang disebutkan di atas. Oleh itu, dakwaan bahawa orang sufi meninggalkan keduniaan adalah dakwaan yang melampau. Golongan ini sebenarnya amat berwaspada dari melampaui ketentuan Allah. Ini kerana Allah sendiri membenci segala yang melampaui batas.

Kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah jika dilakukan ianya akan membawa kebahagiaan kepada orang yang melakukannya. Ianya adalah punca kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Ketaqwaan itu sendiri adalah punca penyelesaian kepada sebarang kesulitan dan kepayahan hidup. Ianya merupakan kedamaian dan kemewahan rezeki. Hal ini diingatkan oleh Allah dalam ayat seribu dinar yang sering menjadi amalan masyarakat niaga. Ibn ‘Ata’illah di dalam al-Hikam ada menyatakan;

أَوْجَبَ عَلَيْـكَ وُجُودَ خِدْمَتِهِ، وَمَا أَوْجَبَ عَلَيْـكَ إِلاَّ دُخُولَ جَنَّـتِهِ

Yang bermaksud, (Allah) jadikan kamu adalah untuk mentaati-Nya dan tidak Dia menjadikannya kecuali supaya kamu masuk ke dalam Syurga-Nya.

Al-Sharnubi mengatakan Allah mewajibkan amalan zahir pada hakikatnya untuk mempastikan hamba-Nya dapat memasuki syurga. Ini kerana Allah menjadikan setiap amalan itu sebagai sebab untuk memasukinya. Kalam hikmah ini juga adalah untuk memberitahu manusia bahawa Allah itu Maha Kaya, ketaatan yang dilakukan oleh mereka tidak menambahkan kekayaan Allah dan tidak pula mendatangkan kemudaratan kepada-Nya jika mereka mengengkari-Nya. Bahkan segala manafaat daripada taklif itu kembali kepada mereka juga (al-Sharnubi, t.thn. 135).

العِبَادَةُ فِي الهَرْجِ كَهِجْرَةِ إِلَيَّ

Yang bermaksud, Beribadah diketika susah, ianya bagiku seperti berhijrah.

Tazkiyah juga mencakupi usaha untuk meninggalkan larangan dan perkara yang boleh membawa kepada haram.

Ibrahim al-Khawwas menyatakan lima perkara boleh menyucikan hati iaitu:

i Membaca al-Quran dan tadabbur.

ii Mendirikan solat malam.

iii Mengosongkan perut.

iv Tadarru’ التضرع( ) di waktu sahur.

v Mujalasah المجالسة ( ) orang soleh.

Menurut Shaykh Ahmad Fathullah al-Jami di dalam kitabnya Sawnih Qalbiyyah ( سوانح قلبية ) menyatakan al-Suhbah ( الصحبة ) atau al-Mujalasah sama kedudukannya dengan ibadah.


IMPAK TAZKIYAH AL-NAFS

Peningkatan Tahap Pengabdian Diri Kepada Allah.

Selaras dengan perintah Allah supaya beribadah kepada-Nya maka proses tazkiyah akan menjadikan seseorang itu ringan untuk melakukan ibadah dalam bentuk ritual.

Ibadah yang dilaksanakan mencapai tahap ikhlas sebagaimana yang dituntut oleh Allah. Ini kerana ibadah yang bercampur buar dengan kepentingan lain hakikatnya adalah sia-sia. Akhirnya orang yang melakukannya akan cepat kepenatan lalu meninggalkan ibadah yang dilakukan dan tidak beristiqamah.


Peningkatan Kualiti Peribadi.

Orang yang berjaya mentazkiyah jiwanya sudah tentulah akan menjadi manusia yang cemerlang. Mereka lebih mempunyai keyakinan yang tinggi. Ketenangan dalam menghadapi tekanan dan stress. Berlapang dada, mengasihi semua orang dan istiqamah dalam semua pekerjaan.


Peningkatan Kualiti Hubungan Sosial.

Orang yang bersih hatinya sudah tentu mempunyai hubungan yang baik dengan manusia lain. Kejernihan hati seseorang adalah merupakan medium hubungan sosial yang paling mantap.

Orang yang di dalam hatinya dilingkari oleh nafs al-Lawwamah sudah tentu tidak mendapat bersosial dengan baik kerana di dalam hatinya bersarang segala bentuk sifat kehinaan seperti dengki, sifat al-Nifaq dan sebagainya.


KESIMPULAN

Tazkiyah al-Nafs adalah amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu mencari kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Tazkiyah tidak bermaksud menolak perkembangan kehidupan semasa tetapi mengawal kerkembangan hatinya. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia yang sebenar dengan melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah dengan bimbingan seorang murabbi. Hati dibersihkan daripada sifat yang tercela dan dihias pula dengan sifat yang indah. Tazkiyah perlu melalui pelbagai kaedah di samping hidayah dan taufiq daripada Allah. Hanya manusia yang hatinya suci sahajalah yang dapat kembali kepada Allah dengan sejahtera.


Jabatan Mufti Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan

Thursday, November 7, 2024

JAUHAR, JIRIM, JISIM DAN 'ARADH

Dalam konteks ilmu kalam dan falsafah Islam, istilah-istilah Jauhar, Jirim, Jisim, dan ‘Aradh sering kali digunakan untuk menggambarkan elemen-elemen dasar dalam metafizik, khususnya dalam membincangkan tentang hakikat kewujudan dan kejadian alam.

Takrif mengenai konsep-konsep asas dalam falsafah Islam seperti Jauhar, Jirim, Jisim dan 'Aradh sering menjadi topik perbahasan penting dalam perbincangan metafizik dan ilmu kalam.
Berikut adalah takrif dan pembahagian secara terperinci bagi setiap istilah ini:

1. Jauhar (الجوهر)

Takrif: Jauhar ialah zat atau inti yang berdiri dengan sendirinya tanpa memerlukan tempat atau sesuatu yang lain. Dalam erti kata lain, Jauhar merujuk kepada sesuatu yang tidak memerlukan asas atau sokongan lain untuk wujud. Ia adalah elemen asas yang membentuk benda fizikal.

Jauhar merujuk kepada entiti atau unsur yang berdiri sendiri tanpa memerlukan tempat atau medium untuk wujud. Ia merupakan "inti" atau "substance" yang membentuk perkara asas bagi kewujudan.

Jauhar adalah entiti yang paling kecil dan tidak dapat dipecahkan lagi. Dalam konsep ilmu kalam, jauhar ini adalah sesuatu yang tidak memiliki keluasan atau saiz, tetapi ia dianggap sebagai asas segala sesuatu.

Pembahagian Jauhar:

- Jauhar Fard (الجَوْهَرُ الْفَرْد): Merujuk kepada jauhar yang paling asas atau tunggal yang menjadi unit terkecil. Ia kadang-kadang digambarkan sebagai "atom" metafizik dalam alam semesta.

Jauhar Fard adalah jauhar tunggal atau atom yang tidak dapat dipecahkan lagi. Konsep ini berkaitan dengan atomisme dalam falsafah Islam, yang merujuk kepada unsur-unsur paling kecil yang membentuk segala benda.
Contoh: Setiap atom atau bahagian asas yang tidak boleh dibahagikan lagi merupakan Jauhar Fard.

- Jauhar Murakkab (الجوهر المركب): Jauhar yang bergabung atau bercampur dengan jauhar-jauhar lain, menghasilkan jirim atau benda yang lebih besar.

- Jauhar Naqis (الجَوْهَرُ النَّاقِص): Jauhar yang ada kekurangan atau batasan; tidak lengkap secara mutlak.

Pandangan Ahli Kalam:

Ahli kalam seperti al-Ash’ari dan al-Maturidi menggunakan konsep jauhar untuk membuktikan kewujudan dan keesaan Allah dengan menyatakan bahawa semua yang diciptakan memerlukan jauhar sebagai unsur asas.

Allah bukanlah jauhar Fard, jauhar Murakkab ataupun jauhar Naqis, kerana DzatNya adalah sedia ada, tiada sesuatu yang menjadikanNya dan menciptakanNya, bahkan Dialah yang menjadikan dan menciptakan segala sesuatu jauhar ciptaan.

2. Jirim (الجِرْم)

Takrif: Jirim ialah himpunan atau gabungan beberapa Jauhar. Ia wujud apabila lebih daripada satu Jauhar bergabung, menghasilkan entiti atau objek yang lebih besar.

Jirim secara umum boleh dirujuk sebagai substansi atau material. Jirim ialah gabungan beberapa jauhar yang bersama-sama membentuk sesuatu benda yang bersifat material. Ia bererti “substance” yang memiliki keluasan atau saiz tertentu dan dianggap sebagai himpunan jauhar-jauhar.

Pembahagian Jirim:

- Jirim Basit (الجرم البسيط): Jirim yang tidak memiliki komposisi atau lapisan yang kompleks. Ia adalah jirim yang hanya mempunyai satu jenis zat tanpa campuran.

- Jirim Murakkab (الجرم المركب): Jirim yang terdiri daripada gabungan beberapa zat atau Jauhar. Ia memiliki lapisan atau komponen yang pelbagai, yang mencipta objek atau bahan yang lebih kompleks.
Contoh: Logam seperti emas atau perak yang hanya mempunyai satu jenis zat adalah Jirim Basit, manakala tubuh manusia yang terdiri daripada pelbagai unsur adalah Jirim Murakkab.

- Jirim Lathif (الجِرْمُ اللَّطِيف): Jirim yang halus seperti udara dan api, yang tidak kelihatan tetapi masih mempunyai kewujudan.

- Jirim Katsif (الجِرْمُ الْكَثِيف): Jirim yang kasar seperti batu dan air, yang dapat dilihat dan disentuh kerana mempunyai bentuk fizikal yang jelas.

Pandangan Ahli Kalam:

Ahli kalam menggunakan jirim untuk membahaskan bahawa kewujudan jirim adalah bukti akan adanya Pencipta kerana jirim tidak mampu wujud dengan sendiri tanpa digabungkan oleh unsur jauhar.

Allah bukanlah jirim Basit, jirim Murakkab, jirim Lathif atau jirim Katsif yang terdiri dari gabungan beberapa jauhar kerana gabungan beberapa jauhar yang membentuk jirim adalah memerlukan kepada ruang tempat, sedangkan Dia tidak memerlukan kepada ruang tempat kerana Dia bukanlah himpunan beberapa jauhar, bahkan Dia adalah Dzat yang Tunggal Maha Esa.

3. Jisim (الجِسْم)

Takrif: Jisim ialah sesuatu yang memiliki keluasan, ketebalan, panjang, dan lebar. Jisim merujuk kepada sifat ruang atau dimensi dalam sesuatu benda yang menandakan kehadiran bahan yang nyata dan mempunyai tempat tertentu.

Jisim adalah bentuk yang terbentuk daripada beberapa jirim. Jisim bererti sesuatu yang mempunyai keluasan, panjang, lebar, dan kedalaman tertentu, atau ringkasnya, ia adalah benda yang boleh diukur dan mempunyai dimensi.

Pembahagian Jisim:

- Jisim Basit (الجسم البسيط): Sama seperti Jirim Basit, ia tidak mempunyai lapisan atau komposisi yang berbeza. Ia memiliki satu bentuk yang tidak dapat dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang berlainan dari segi komposisinya.

- Jisim Murakkab (الجسم المركب): Jisim yang mempunyai pelbagai lapisan atau bentuk yang berbeza, terbentuk daripada pelbagai jenis Jirim.
Contoh: Sebuah batu besar yang terdiri daripada lapisan yang berbeza adalah Jisim Murakkab, manakala satu helaian logam yang homogen adalah Jisim Basit.

- Jisim Muttasil (الجِسْمُ الْمُتَّصِل): Jisim yang bersambung atau kompak, misalnya batu atau tanah.

- Jisim Munfasil (الجِسْمُ الْمُنْفَصِل): Jisim yang terpisah atau boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian, misalnya pasir atau biji-bijian.

Pandangan Ahli Kalam:

Konsep jisim menunjukkan bahawa setiap jisim memerlukan jirim dan jauhar untuk wujud. Dengan itu, konsep jisim digunakan untuk menunjukkan bahawa alam adalah tersusun dan memerlukan Tuhan sebagai pencipta yang menyusunnya.

Allah bukanlah jisim yang memiliki keluasan, ketebalan, panjang, dan lebar kerana kesemuanya itu adalah ciri-ciri yang ada pada setiap jauhar ciptaan, Allah bukanlah ciptaan, Dia adalah Maha Pencipta sekalian ciptaan.

4. ‘Aradh (العَرَض)

Takrif: 'Aradh ialah sesuatu yang memerlukan atau bergantung kepada Jauhar atau benda lain untuk wujud. Ia adalah sifat atau keadaan yang tidak wujud dengan sendirinya, seperti warna, bau, rasa, dan suhu. 'Aradh tidak memiliki kewujudan yang berdiri sendiri dan hanya ada sebagai sifat yang menyertai sesuatu zat atau benda.

Pembahagian 'Aradh:

- 'Aradh Lazim (العَرَضُ اللاَّزِم): 'Aradh yang kekal atau selalu ada bersama zatnya, tidak berubah.
Contohnya, kebulatan bagi roda adalah sifat lazim yang tidak berubah selama roda tersebut wujud. ‘Aradh Lazim adalah ‘Aradh yang kekal melekat pada sesuatu benda, contohnya juga seperti segala bentuk dan saiz.

- 'Aradh Mufariq (العرض المفارق): 'Aradh yang bersifat sementara, ia boleh hilang atau berubah seiring masa. Contohnya, warna pada daun yang berubah mengikut musim.

- ‘Aradh Muta’addi (العَرَضُ الْمُتَعَدِّي): ‘Aradh yang berubah-ubah, seperti pergerakan dan warna.
Contoh: Warna pada objek adalah 'Aradh, kerana warna tidak dapat berdiri dengan sendiri tanpa medium atau bahan yang membawanya. Begitu juga dengan rasa dan bau, mereka adalah 'Aradh yang bergantung kepada jirim atau benda lain untuk wujud.

‘Aradh merujuk kepada sifat atau kualiti yang melekat pada jauhar atau jirim tetapi tidak boleh berdiri sendiri. 'Aradh adalah sifat yang berubah-ubah, seperti warna, bau, rasa, pergerakan, atau diam. Aradh hanya wujud pada benda atau entiti lain dan tidak mempunyai keberadaan mandiri.

Pandangan Ahli Kalam:

'Aradh digunakan oleh ahli kalam untuk menjelaskan bahawa sifat atau keadaan pada sesuatu benda menunjukkan ia tidak kekal kerana ia mengalami perubahan, dan perubahan ini membuktikan kewujudan Yang Maha Pencipta yang tidak berubah.

Allah bukanlah 'Aradh yang bergantung kepada sesuatu Dzat yang lain, kerana Dia adalah Dzat yang Maha berdiri sendiri dengan DzatNya, Dia adalah bersifat Al-Samad dan Al-Ghani yang Maha Kaya tidak bergantung dan bersandar dengan atau pada sesuatu jauhar, jirim dan jisim yang selain DzatNya, yang tiada sebarang persamaan dan penyerupaan dengan sesuatu apa pun.

Kesimpulan:

Jauhar jika berkeadaan tunggal dan tidak dapat dibahagi-bahagikan maka dinamakan sebagai Jauhar Fard, jika jauhar yang terhimpun lebih dari satu jauhar dan dapat dibahagikan maka dinamakan sebagai Jauhar Murakkab atau Jirim.

Jirim yang terhimpun daripada satu jenis jauhar adalah dinamakan sebagai Jirim Basit, dan jika terhimpun daripada beberapa jenis jauhar adalah dinamakan sebagai Jirim Murakkab, yang sama ada bersifat halus dinamakan sebagai Jirim Lathif, dan jika bersifat kasar dinamakan sebagai Jirim Katsif atau diistilahkan sebagai Jisim.

Jisim Basit adalah terdiri daripada satu jenis Jirim Basit, dan jika ia terdiri daripada beberapa jenis Jirim dinamakan sebagai Jisim Murakkab, dan jika berhubung dan bersambungan antara satu jirim dengan jirim lain dinamakan sebagai Jisim Muttasil seperti campuran tembaga, dan jika terpisah-pisah maka dinamakan sebagai Jisim Munfasil seperti pasir.

Konsep-konsep Jauhar, Jirim, Jisim dan 'Aradh ini merupakan asas dalam memahami metafizik dalam falsafah Islam. Takrif dan pembahagian setiap satu konsep ini membantu dalam memperinci cara setiap elemen wujud dan berinteraksi dalam alam.

Keempat-empat istilah ini membentuk asas dalam pemikiran falsafah dan teologi Islam, khususnya dalam membahaskan sifat-sifat kejadian dan kewujudan. Penggunaan konsep ini adalah untuk menunjukkan kebergantungan semua yang wujud kepada Tuhan yang menciptakan, menyusun, dan mengatur segala sesuatu dengan hikmah-Nya.

Ahli kalam berpendapat bahawa alam ini tersusun dari jauhar-jauhar yang membentuk jirim, kemudian membentuk jisim, dan setiap jisim pula memiliki ‘aradh, menunjukkan alam adalah makhluk yang tidak sempurna dan memerlukan pencipta yang sempurna, iaitu Allah Ta'ala.

Allah bukanlah sesuatu jauhar, jirim, jisim mahupun 'aradh, bahkan Dia adalah Dzat yang menciptakan sekalian in jauhar, jirim, jisim dan segala a'raadh, dengan kehendak dan kuasaNya sesuai dengan IlmuNya yang bersifat ijmali dan tafsil, Dialah Dzat Tunggal yang tidak menyerupai segala sesuatu dan tiada sesuatu apa pun yang dapat menyerupaiNya.

Wallahu a'lam.

[ Syeikh Maulana Jalalluddin Ahmad Ar-Rowi Al-Naqsyabandi Mujaddidi ]