Wednesday, October 15, 2025

BAHAYA WAHABI

Oleh Roslan Ibrahim dan Mohd Fadly Samsudin


GERAKAN Wahabi diasaskan Imam Muhamad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703-1791). Beliau muncul ketika pengaruh mazhab Hambali sedang merosot dan umat Islam ketika itu melakukan pencemaran akidah seperti khurafat dan bidaah.

Perkembangan fahaman berkenaan di Malaysia kebanyakan dibawa pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di negara Arab yang terpengaruh dengan ajaran itu.

Kehadiran golongan itu di sini dapat dirasakan berikutan ada pengikutnya berani mencerca ulama ahlu Sunnah Wal-Jamaah termasuk amalan sunat yang terdapat dalam ajaran Islam seperti doa qunut dan berzikir selepas solat.

Aliran Wahabi ibarat api dalam sekam dan boleh mengancam negara dan menyebabkan umat Islam bergaduh sesama sendiri jika tidak dibendung pihak berkuasa agama di Malaysia.

Mereka juga seperti musuh dalam selimut kerana sukar untuk mengenal pasti golongan ini apatah lagi mereka turut hadir dalam majlis agama, bersolat di masjid atau surau dan tidak mengaku diri mereka pengikut ajaran Wahabi.

Bagaimanapun, secara halus mereka menyusup dalam kelompok masyarakat Islam di negara ini dengan menghina mazhab Ahlu Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi rujukan umat Islam dengan membawa Islam mudah sehingga masyarakat keliru.

Mazhab Ahlu-Sunnah dalam syariat beragama sangat penting bukan saja kepada umat Islam sendiri, malah seluruh masyarakat.

Fahaman Wahabi turut menolak ijmak dan qias. Ijmak ialah persepakatan dalam hukum syarak di kalangan umat Islam dari satu zaman ke satu zaman selepas Nabi Muhamad s.a.w wafat.

Ini jelas dibuktikan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman. Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa', ayat 115).

Jadi, wajib kita mengikut apa yang diputuskan ijmak kerana ia senarai yang ketiga terpenting daripada sumber perundangan Islam.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemantauan Akidah dan Pentauliahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Mahfuz Mohamad, fahaman Wahabi bertapak di negara ini sejak awal tahun 1900 apabila Sheikh Abdul Hadi membuka sekolah agama di Melaka.

"Bagaimanapun, sekolah itu tidak mendapat sambutan dan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Melalui sekolah itu lahir tokoh fahaman Wahabi iaitu Sheikh Abu Bakar al-Ashaari.

"Selepas menamatkan pengajian di sekolah terbabit pada tahun 1925 beliau menyambung pengajiannya di Mesir dan pulang ke negara ini pada tahun 1932.

"Beliau menyebar fahaman Wahabi di Pulau Pinang, tetapi mendapat tentangan hebat ramai tokoh ulama ahlu Sunnah, antaranya Sheikh Abdullah Fahim.

"Beliau lari ke Kedah dan kemudian menetap di Perlis bagi menyebarkan fahaman Wahabi," katanya.

Mahfuz berkata, ketika itu ia dinamakan fahaman muda atau mudah kerana mereka selalu bermudah-mudahan.

Ini dicatatkan di dalam Kitab Senjata Syariat yang diterbitkan pada tahun 1953 khas bagi menjawab gerakan Wahabi oleh tiga tokoh ulama besar ketika itu: Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Tun Hussein Pokok Sena dan Sheikh Abdul Rahman Abdullah Merbok.

Abu Bakar as-Ashaari pernah menerbitkan buku bertajuk Ibadah Rasulullah s.a.w yang menimbulkan keraguan kerana 'menjelmakan' petua menghalalkan memakan biawak, ular, labi-labi dan penyu.

"Di dalam buku itu, Abu Bakar as-Ashaari mencaci amalan bermazhab yang dikatakan haram dan bidaah dalal.

"Ulama ketika itu sudah memberi amaran bahawa gerakan Wahabi sudah menyusup dalam masyarakat dan perlu membendung segera," katanya.

Hasil ketegasan ulama sebelum ini, fahaman Wahabi kian menyepi, tetapi kini muncul kembali berikutan banyak kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja atas 'tiket' menyebarkan Islam.

"Golongan Wahabi tidak berpegang kepada mana-mana mazhab kononnya hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis.

"Tetapi, sejarah membuktikan ramai tokoh tersohor Islam seperti Imam Nawawi, Imam al-Ghazali, Termidzi, Bukhari dan Muslim berpegang kepada mazhab yang empat itu," katanya.

Katanya, tuduhan Wahabi terhadap beberapa amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia seperti doa qunut, membaca al-Quran di atas kubur dan wirid selepas solat membuatkan umat keliru.

Merujuk kepada buku Makna Sebenar Bid'ah : Satu Penjelasan Rapi yang dikarang oleh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari yang turut disemak oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya serta Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad menyebutkan ulama bersepakat mengenai pembahagian bid'ah antara yang terpuji dan tercela. Orang pertama yang mengatakan demikian ialah Umar r.a.

Ulama juga bersepakat bahawa sabda Rasulullah s.a.w yang menyebutkan: "Setiap yang bid'ah itu sesat" adalah hadis umum yang perlu dikhususkan.

Imam al-Syafie berkata: "Setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak, bukannya bid'ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Mereka meninggalkan perkara itu mungkin kerana keuzuran."

Al-Imam Ibn Lub dalam menyangkal pendapat golongan yang tidak menyenangi amalan berdoa selepas sembahyang mengatakan perkara berkenaan tidak diamalkan generasi salaf.

Namun, tidak mungkin mengatakan hukumnya haram atau makruh kerana perkara yang dilakukan itu mempunyai asas dalam syarak.

Mengenai amalan membaca wirid beramai-ramai selepas sembahyang. Memang ia tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, tetapi tidak haram. Sesiapa yang mendakwa amalan ini diharamkan bererti dia melakukan pembohongan atas nama Allah s.w.t.

Pengharaman amalan itu tidak disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Hadis Muslim yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mengulangkaji antara sesama mereka melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dan mereka diliputi oleh rahmat dan dinaungi oleh malaikat, dan Allah menyebut perihal mereka kepada makhluk yang di sisiNya."

Hadis ini memberikan kefahaman bahawa membaca al-Quran secara beramai-ramai di dalam masjid adalah disyariatkan.

Dalam Sahih Muslim terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari daripada nabi s.a.w yang bersabda yang maksudnya: "Selalulah membaca al-Quran, demi Dia Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, al-Quran itu lebih mudah terlepas (hilang) daripada unta yang diikat." (Muslim. Kitab Salah al-Musafirin (231/791).

Kesimpulannya, dari segi tauhid, fahaman Wahabi bukan ajaran baru atau termasuk antara 73 cabang ajaran sesat, cuma ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat Islam kerana pendekatan yang diambil terlalu mudah tetapi bahaya.


INFO

Amalan dalam fahaman Wahabi antaranya:

# Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah

# Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)

# Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias

# Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)

# Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w

# Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya

# Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain

# Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya

# Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh

# Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah

# Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w

# Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja

# Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang

# Amalan tariqah dilarang sama sekali

# Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

Wednesday, June 18, 2025

PINTU MASUK BAGI SYAITAN

Pintu masuk bagi syaitan ke dalam Hati anak Adam itu ada Tiga.
Syaitan tidak akan masuk padamu melainkan dengan 3 pintu ini.

Sekiranya ketiga-tiga pintu ini ditutup, maka tiadalah bagi syaitan pintu untuk masuk padamu.

1. Pintu Syahwat (Nafsu).
Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan mentarbiyah/mendidik nafsu. Mendidik nafsu itu caranya adalah dengan mengingkari dan menyanggah kehendaknya.

2. Pintu Kelalaian (Ghaflah).
Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan Berzikir. Barangsiapa yang Berzikir mengingati Allah dia akan sentiasa berada dalam benteng yang kukuh.

3. Pintu Kejahilan.
Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan Ilmu.

[ Ini adalah petikan dari Pengajian Syarah Soheh Al-Bukhari oleh Fadhilatus Syaikh Yusri Rusydi As-Sayyid Jabr Al-Hasani. Fadhilatus Syaikh menamakan nasihat ini dengan "Petikan dari Al-Yusriyat" ]

Thursday, May 29, 2025

MUJAHADAH MASA DALAM TAREKAT

Murid dalam mujahadahnya yang pertama apabila mula berguru tarekat, ialah belajar menyusun masa. Ini bukan sekadar soal pengurusan waktu, tapi ia adalah adab awal dalam menyambut limpahan madad. Masa yang berselerak, hidup yang tiada tertib, dan amalan yang dilakukan secara lintang-pukang hanyalah tanda murid masih belum memuliakan jalan ini.

Syeikh tidak pernah meminta murid untuk tinggalkan dunia, tetapi murid perlu belajar memposisikan dunia. Supaya apabila tiba waktu zikir, waktu rabitah, waktu khidmat, maka seluruh tubuhnya hadir, fikirannya jernih, hatinya lapang. Dia duduk di hadapan gurunya dengan masa yang sudah dikosongkan untuk itu. Kerana dia sedar, sekali hatinya terputus dari rabitah, maka jalannya menjadi kabur.

Adab masa ini adalah tanda awal kesetiaan. Murid yang benar akan mengatur dirinya mengikut jadual guru. Bangun sekurangnya satu jam sebelum subuh kerana gurunya demikian. Menghadirkan diri di majlis biarpun penat kerana ia tanda pengorbanan. Menyusun kerja dunia agar tidak bertembung dengan waktu wirid, kerana dia tahu tiada keberkatan rezeki kalau waktu rabitahnya tercarik.

Inilah riadhah pertamanya, bukan sekadar zikir yang banyak, tetapi mengosongkan waktu demi guru dan jalan ini. Kerana masa itu adalah wadah adab. Dan siapa yang tidak beradab, dia tidak akan diberi rasa.

Kata guru,
“Jangan tuntut limpahan keberkatan waktu, sebelum engkau belajar hadir tepat waktu.”

Tarekat bukanlah untuk mereka yang hanya mencari “masa lapang”. Ia bukan aktiviti tambahan selepas urusan kerja, keluarga, dan dunia selesai. Bahkan, ia adalah keutamaan yang menjadikan urusan lain itu tersusun dan diberkati. Murid yang hanya hadir bila senang, dan ghaib bila sibuk, belum memahami makna suluk. Kerana mujahadah itu sendiri mengandungi unsur halangan, kepayahan dan pengorbanan.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 9:

﴿وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ﴾
“…dan mereka menghalang (orang lain) dari jalan Allah…”

Jalan tarekat ini ialah jalan Allah. Dan sesiapa yang tidak mempersiapkan diri dengan mujahadah masa, maka dirinya sendiri menjadi penghalang kepada jalannya sendiri.

Waktu bukan untuk diisi dengan tarekat hanya apabila lapang, tetapi tarekatlah yang membentuk seluruh makna waktu.

FUTUH DALAM TAREKAT

Dalam perjalanan tarekat, futuh bukan sekadar hasil daripada banyaknya amalan yang dilakukan secara lahiriah. Ada murid yang wiridnya tidak pernah tinggal, zikirnya banyak, tahajjudnya istiqamah, namun tetap tidak dibukakan hijab hati, tidak dilimpahkan waridat, malah makin jauh dari kefahaman dan rasa dekat dengan Allah. Di mana silapnya?

Silapnya ialah kerana dia menyangka tarekat ini seperti ilmu akademik dan merasa cukup hadir baiah, dapat silibus amalan, maka dia boleh “belajar sendiri” di rumah tanpa perlu hadir ke kelas lagi. Sedangkan jalan suluk ini dibina atas adab dan hubungan, bukan sekadar hafalan dan pengulangan.

Tarekat bukan sekadar zikir, ia adalah ikatan. Ikatan antara murid dengan mursyid. Hubungan antara hati murid dan ruhaniyah mursyid. Jika hubungan ini tidak dijaga dengan adab, tidak disiram dengan mulazamah, tidak dipupuk dengan riadhah, tidak diperkuat dengan suhbah, dan tidak disuburkan dengan khidmat maka zikir yang dibaca hanya akan kekal sebagai bunyi, bukan pintu futuh.

Mereka yang meninggalkan guru dengan alasan ingin “membaiki diri” selalunya terperangkap dalam sangkaan bahawa mereka sudah cukup kuat. Sedangkan diri mereka hanya ghurur dengan diri sendiri, kerana nafsu mampu menyamar sebagai keikhlasan. Lalu mereka abaikan pertemuan, mereka tinggalkan halaqah, mereka tidak lagi menziarahi guru, bahkan lebih buruk iaitu mereka mulai memberi pandangan terhadap guru dan jalan yang mereka belum pun sampai penghujungnya.

Guru arifbillah pernah berkata, “Lazimilah guru kamu dalam semua keadaan, kerana murid yang terputus dari mursyid ibarat layang-layang yang terputus talinya yang akan jatuh ke tanah atau tersangkut di tempat yang menyesatkan.”

Maka fahamilah, bahawa jalan tarekat ini tidak pernah berdiri atas banyaknya amal semata. Ia berdiri atas keberkatan hubungan dan keberadaban yang tinggi. Dan sesiapa yang ingin futuh, maka jadikan dirinya seperti pelita di sisi guru, tetap setia, walau tidak disebut, walau tidak dipuji, kerana dia tahu, cahaya pelita itu datang dari sumbu yang dibakar dengan khidmat dan kasih.

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا طَرِيقَ لِمُرِيدٍ إِلَى ٱللَّهِ إِلَّا عَلَى يَدِي شَيْخٍ مُرَبِّي

- Ketahuilah, tiada jalan bagi murid menuju Allah kecuali melalui tangan seorang syeikh yang murabbi.

Monday, January 27, 2025

KRITIK KERAS SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS TERHADAP GERAKAN SALAFIYYAH MODERN

Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan salah seorang ilmuwan Muslim yang telah diakui keilmuan-nya tidak hanya di dunia Islam namun juga di negara² Barat. Beliau menjadi tokoh sentral bagi berbagai ilmuwan Muslim di dunia khususnya di Asia Tenggara kerana sikap-nya yang gigih dan sangat kritik terhadap pemikiran sekular-liberal Barat.

Ilmuwan besar dari keluarga habaib ini memandang worldview peradaban Barat yang sekarang diusahakan menjadi ideologi global menjadi sebab eksternal utama kemunduran Islam.

Selain itu, menurut Al-Attas, faktor dalaman yang menjadi penyebab serius kemunduran Islam di dunia adalah penyakit hilangnya adab (loss of adab). “Mengenai sebab dalaman dilemma yang kita hadapi sekarang bagi saya, masalah dasar dapat disimpulkan pada suatu krisis yang jelas saya sebut sebagai kehilangan ADAB (the loss of adab).” (Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dan Sekularisme, 2011, hal.129)

Ramai kalangan yang menggunakan dasar pemikiran Syed Naquib al-Attas ini sebagai perspektif untuk mengkritik cendekiawan Muslim yang membiuskan pemikiran sekular-liberal Barat di tengah² ummat. Al-Attas mengkritik mereka telah kehilangan adab kerana miskin pemahaman Islam dari sumber² Islam terpercaya sendiri dan malah menggunakan faham² Barat sebagai pisau analisis memahami Islam. Dalam buku-nya berjudul "Risalah untuk Kaum Muslimin", Syed Muhammad Naquib al-Attas menulis:

“Golongan sarjana sekular serta cerdik pandai di kalangan kaum Muslimin memperoleh ilham tentang cara-gaya dan pemikirannya hampir pada keseluruhannya dari Barat… yang kebanyakan dari golongan sarjana sekular dan cerdik-pandai ini tiada memiliki kebakatan akali dan ruhani dan kebolehan bahasa yang mensyaratkan penguasaan ilmu² Islamiah, mahupun kebolehan cara-gaya pendekatan serta faham ilmu yang Islam… Di kalangan mereka yang menghidapi penyakit keruntuhan adab, golongan sarjana sekular dan cerdik-pandai inilah yang paling gegabah kurang-ajar.” (Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Risalah untuk Kaum Muslimin", hlm. 178)

Akan tetapi, di dalam buku yang sama, Syed Muhammad Naquib al-Attas juga melancarkan kritik keras terhadap tokoh dan kelompok yang mengaku sebagai pembaharu Islam seperti Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, dan para pengikut-nya yang seringkali lebih ekstrim dari guru-nya. Beliau mengemukakan kritik-nya yang tajam sekaligus memberikan pandangan yang tepat sesuai tingkat keruntuhan adab yang dilakukan masing².

Kaum Salafi TIDAK SAH Menolak al-Madzahib’l-Arba’ah

Al-Attas menetapkan bahawa gerakan pembaharuan salafi-modern di atas telah kemasukan faham² Barat yang telah dipupuk ke dalam pemikiran-nya dan semakin menjadi-jadi pada pemikiran para pengikut-nya. Diantara yang beliau sebutkan adalah:

(1) faham keutamaman akal hayawani (ratio) yang menimbulkan:

(2) faham kebebasan untuk menentukan nasib-nya sendiri (freedom) yang erat dengan:

(3) hak² asasi manusia (human rights) yang semakin mengukuh-nya (1) dan (2). Kemudian:

(4) kesamaan taraf manusia (equality) dalam undang² buatan manusia. Faham² ini menimbulkan penerimaan:

(5) faham evolusi manusia, sejarah, dan dunia-nya (evolution) yakni perubahan tanpa batas, ditambah:

(6) faham sosialisme dan demokrasi yang disalahartikan sama dengan faham kemasyarakatan dan politik Islam. (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 158-159)

Syed Naquib al-Attas menyebutkan tentang bagaimana para pengikut Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab (Wahabi) telah menyimpang jauh dari dua kiblat ajaran-nya tersebut kerana melarang faham bermazhab yang menjadi kebiasaan majoriti ummat Islam Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Beliau menulis:

“Meskipun dapat diakui benar bahawa ulama² penggugat seperti ibn Taimiyyah dan beberapa ratus kemudiannya, ibn ‘Abd al-Wahhab, yang bawaan-nya gemar mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan darjat yang cukup sempurna ke taraf yang kurang sempurna, dalam ajaran-nya masing² tiada menganjurkan perpisahan dari faham bermazhab. Bahkan mereka tetap mengisbatkan ajaran para Imam dalam gelanggang Ahlu’l-Sunnah wa’l-Jama’ah, yang berpegang kepada ajaran Sunnah dan para Sahabat dan Tabi'īn dan para pengikut Tabi'īn. Akan tetapi kita lihat bagaimana perkembangan pengaruhnya di negeri Arab lebih kurang dua ratus tahun ini, dan dengan timbulnya aliran baru di Mesir akibat ajaran al-Afghani dan Muhammad Abduh, maka semakin terjadi deras aliran yang menganjurkan perpisahan dari ajaran² ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana ummat Islam berabad². Dengan ajaran al-Afghani dan Abduh mulai menyeludup masuk pengaruh² dari jurusan luar yang merupakan sebab² tambahan yang membawa akibat keruntuhan adab di kalangan kita.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 158)

Lanjutnya, “Tanpa berpandukan ajaran ulama lama dan para Imam mujtahidin, tanpa merujuk kepada hasil pemikiran-nya dan mengamalkan tafsiran agungnya -yang semuanya berdasarkan penerokan akali dan naqali terhadap Al-Qur'an dan Sunnah- maka golongan yang beraliran dari Ibn Taimiyyah, yang terbahagi ke dalam golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaannya, dan golongan pembaharu yang dipelopori oleh yang menyeludupkan faham² asing ke dalam Islam, sesungguhnya tiada berkemampuan untuk menafikan sah-nya pelbagai mazhab yang sah, dan mendirikan mazhab baru yang berdasarkan faham sendiri merujuk terus kepada kedua Sumber Agung Islam itu… Mereka asyik dalam mempersoalkan perkara² remeh, yang menganggapnya seolah² para Imam mujtahidin itulah yang mempersoalkan keremehan -padahal kekecilan pandangan dan tanggapan mereka sendirilah yang memperlihatkan pada fahaman-nya bahawa yang kecil itu besar sehingga yang benar besar itu tiada terlihat langsung. Mereka telah melakukan jauh lebih banyak kesilapan² yang besar pula- dari kesilapan² yang terdapat pada yang lama.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 160-161)

Rasulullah  Hanyalah Manusia Biasa?

Selanjutnya, Al-Attas mengkritik pemikiran kaum Salafi-Wahabi-Modernis yang mendakwahkan pemikiran bahawa Nabi Muhammad ﷺ hanya seorang manusia biasa sama seperti lainnya, sehingga mereka mengharamkan dan membid’ahkan acara penghormatan dan perenungan kemuliaan dan keagungan Baginda ﷺ di atas seluruh makhluk.

“Mereka dan pengikut-nya yang sudah menjadi tebal-muka serta lebih takbur daripada guru²-nya, telah melakukan suatu perbuatan janggal yang tiada pernah dilakukan oleh sebarang golongan atau mazhab, dan yang tiada terlintas pun pada renungan Muslimin dahulu. Perbuatan janggal yang dimaksudkan itu iaitu penyebaran faham kepada pengertian awam bahawa Rasulullah ﷺ tiadalah lebih dari manusia biasa seperti tiap orang lain… Sayugia golongan pembaharu aliran naqali diingatkan bahawa bagi para Mu’minin dan Muslimin Allah, ﷻ, memberitahukan bahawa Rasulullah ﷺ itu Mohor Para Anbiya; Pesuruh Allah yang Terakhir bagi Alam Semesta dan bagi Bangsa Insani; Pelita Agung yang menyebarkan Cahaya Murni; Rahmat Ilahi bagi Makhluk Jelata; Teragung Murni sifat khuluqiahnya sebagai Ukuran bagi menilai Insan; Tauladan serta Contoh terbaik bagi Anak Adam-dan banyak lagi sepertinya… Maka sifat² kelebihan yang terjelma pada diri Rasulullah ﷺ, inilah semua yang seharusnya dititik-berat serta diingat²-kan kepada Kaum Muslimin lelaki dan perempuan, tua dan muda.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 164)

Al-Attas melihat bahawa kaum Salafi telah salah mendiagnosa kekeliruan dan penyimpangan yang terjadi di tengah² ummat Islam dalam masalah ini. “Kekeliruan iman yang berlaku di kalangan sebahagian besar kaum Muslimin tiada kena-mengena dengan kefahaman serta tanggapan hati-nya, atau berkisar di sekitar kepercayaan-nya, terhadap sifat makhluk serta kemanusiaan Baginda Rasulullah ﷺ. Sebab kekeliruan itu bukannya terletak pada kesilapan mengenai perkara seperti itu, akan tetapi berpunca pada kejahilan mengenai tawhid, dan mengenai rukun² iman dan Islam, dan lain² dasar kepercayaan, yang semuanya telah dijelaskan di sini sebagai terumus dalam bahagian ilmu berjenis fardhu ain.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 165)

Kesenangan Salafi Merendahkan Ulama Pendahulunya

Al-Attas juga mengkritik sikap kaum Salafi (baik Wahabi ataupun Modernis-Mesir) yang menonjolkan sikap angkuh dan merendahkan martabat para ulama pendahulu yang sejatinya melebihi mereka.

“Adab ini pengenalan serta pengakuan adanya cahaya² seperti itu di kalangan bangsa insani: dan pengakuan adanya yang demikian itu mensyaratkan adanya suatu sikap pada diri yang mengakuinya, yakni sikap hormat tawaduk, kasih-patuh, rendah-diri yang ikhlas-sejati; bagi diri itu mengenali makam yang wajar bagi-nya bernisbah kepada yang menyorotkan cahaya seperti itu. Akan tetapi ulama golongan pembaharu aliran naqali zaman kita, walaupun merupakan hanya pelbagai kandil kecil sahaja, jauh mengurangi pelita² agung zaman lampau; walaupun cahayanya justeru hilang langsung apabila dilawankan dengan kilauan cahaya lama, beria-ia sangat memainkan lakonan ‘pembaharuan’ kepada penonton yang keliru, yang tiada berdaya menilai dengan sempurna kemurnian mutu ‘pembaharuan’ yang ditanggapkan kepada-nya, melainkan dengan ukuran nilaian yang suntuk seperti yang lazim berlaku dalam suasana kekeliruan.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 162-163)

Lanjut Al-Attas: “Maka keadaan demikian menggalakkan golongan pembaharu, yang modernis dan yang beraliran naqali, dan yang mengekorinya, untuk melabrak para mujtahidin yang dihasut-nya dengan tuduhan palsu sebagai yang salah. Dengan ini mereka telah menggasir merosakkan dasar kewibawaan yang sah, dan memburukkan faham serta pengesahan hidup bermazhab dalam Islam… Kesibukannya senantiasa melanjutkan penekanan masalah² palsu dan yang remeh telah membawa kepada pengabaian masalah pokok yang sebenarnya, iaitu masalah pendidikan dan penyusunan sistemnya yang sempurna. Mereka berpuas-hati sahaja membiarkan pendidikan asasi Muslim dalam ilmu fardhu ain itu mandek pada peringkat kanak², sedangkan sepanjang hayatnya si-Muslim itu dibiarkan pula memperkembangkan menambah pencapaian ilmu fardhu kifayah dengan berkali-kali ganda lebihnya dari yang fardhu ain.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 167)

Ambisi Negara Islam, Lupa Ilmu Fardhu 'Ain

Syed Muhammad Naquib al-Attas juga mengkritik beberapa tokoh dan golongan yang sangat menggebu² dalam usaha-nya mendirikan negara Islam akan tetapi lupa dengan masalah pendidikan ilmu² fardhu ain. Menurut beliau, hal tersebut tidak akan mencerabut akar permasalahan utama ummat Islam yang semakin jauh dari ajaran Islam yang benar kerana pendidikan tidak dikelola dengan baik. Semua hanya ingin masuk dalam ranah politik yang masuk wilayah ilmu fardhu kifayah.

“Kesibukan di zaman kita perihal hasrat terhadap mendirikan negara Islam dan menjelmakan ummat Islam-seperti juga yang terbayang di zaman lampau pada golongan ulama yang kurang sempurna kewibawaan-nya dan pada pengikut-nya yang berlebih kurang kesempurnaan itu -memang merupakan suatu ciri yang jelas tentang keutamaan melampau yang diberikan kepada pencapaian ilmu fardhu kifayah, yang memang lazim berlaku pada masa kekeliruan serta kehidupan yang tegang mendesak Kaum Muslimin dari semua jurusan.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 167)

Al-Attas menambahkan, kecenderungan ummat Islam yang tidak berimbang dalam mendudukkan ilmu fardhu kifayah di atas ilmu fardhu ain tersebut menjadikan mereka mudah terbawa arus penyamarataan manusia sebagai manusia (sosialisme) dan masyarakat awam sebagai penentu hukum bukan ulama (demokrasi).

“Merujuk kepada kedudukan istimewa yang diberikan kepada ilmu fardhu kifayah itu juga, maka yang menagih perhatian penuh melampaui hak tuntutan ilmu fardhu ain dan secara yang tiada berpatutan sehingga menawan nilaian hidup serta kesedaran kita adalah ilmu² kemasyarakatan, politik, dan hukum dan undang². Dalam suasana demikian maka mudah sekali pelbagai peristiwa kehidupan serta pandangan hidup Muslim terbawa ke arah ‘pensosialisasian’ Islam-yakni pemahaman serta pengalaman Islam sebagai suatu falsafah dan rencana-bentuk politik yang mengutamakan masyarakat dan golongan awam; dan penyamarataan RasuluLlah ﷺ, ke taraf yang sama serupa dengan orang awam hanyalah merupakan akibat nisbi pensosialisasian itu jua. Berturut serta dengan peristiwa pensosialisasian maka cara-gaya ‘rasionalisme’ -yakni dengan maksud pengertian yang difahamkan oleh pemikiran Barat…- berkuat-kuasa menepis nilaian hidup dan kesedaran-mu.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 168)

Akibat terbius secara tidak sadar oleh sosialisme, demokrasi, dan rasionalisme di atas, menjadikan sebahagian golongan berani membuat penafsiran baru terhadap Al-Qur'an yang sejalan dengan tiga faham di atas. Tentu saja, selain sebagai kritik pedas terhadap penafsiran kaum sekular-liberal, Al-Attas ingin menunjukkan bahawa kasus ini terjadi pada beberapa tokoh pembesar yang berfahaman salafiyah modern abad ini seperti teori ‘cacar’ yang menimpa pasukan Abrahah oleh Muhammad Abduh, penafsiran jin sebagai mikroba dan Malaikat sebagai daya spiritual manusia oleh Rasyid Ridha, dan teori ‘teriakan demokrasi Malaikat’ oleh Jamaluddin al-Afghani. (lihat lebih detail: Syaikh Muhammad Najih, al-Tahdzir al-Mubin, hlm. 182-202)

“Tetapi golongan modernis, yang menuturi tauladan guru²-nya pada penghujung abad yang kesembilan-belas, dengan tiada memahami benar faham² Islam dan Barat yang diperolehkan-nya, dan dengan tiada firasat akan timbulnya kekeliruan besar di masa hadapannya akibat penyebaran serta penerapan faham perolahan mereka itu pada pemikiran Muslim kini, dengan giat sekali menyadurkan faham ratio serta cara ‘rasionalisme’ itu-tanpa disesuaikan dengan faham akal dan pemikiran Islam. Dan lebih mengagumkan lagi mereka terus mengenakan cara rasionalisme itu pada ‘mentafsirkan’ Al-Qur’an’l-Karim…. Dan anehnya orang² inilah yang rebut menuntut ijitihad sedangkan sebenarnya tiada menunaikan syarat² bagi seorang mujtahid!” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 169)

Tasawuf Biang Keladi Kemunduran Ummat?

Penolakan kaum Salafiyah baik Wahabi dan Modernis terhadap tasawuf juga menjadi perhatian Al-Attas. Beliau mengkritik mereka kerana tidak memiliki pemahaman yang memadai tentang tasawuf, dengan mengatakan bahawa tasawuf itu bukan istilah Islam dan asing bagi Islam.

“Meskipun golongan pembaharu aliran naqali tiada semestinya bersetuju dengan golongan modenis dalam segala hal mengenai perkara² yang difikirkan dan dikatakan dan dianjurkan-nya, namun demikian mereka juga terpengaruh olehnya dan sama terjangkit menghidap penyakit memperdewakan masyarakat dan awam, menghilangkan unsur² ruhaniah dalam Islam dan menyamaratakan semua Muslim. Dengan itu maka mereka secara yang mungkin tiada disedarinya membantu gerak-daya mensekularkan Islam dengan daya usaha-nya menindas unsur² akali dan ruhani dalam Islam itu. Mereka bersama dengan golongan modernis menyalah-tuduhkan tasawuf khususnya sebagai sebab tunggal yang mengakibatkan kemerosotan kaum Muslimin. Sebenarnya mereka tiada memiliki daya akli mahupun pandangan ruhani untuk memahami tasawuf; dan apa yang tiada difahami-nya dituduh-nya… Mereka buta terhadap hakikat bahawa tasawuf itu suatu bahagian penting Islam yang tiada dapat diasingkan dari-nya; bahawa sebagaimana hakikat semesta dan kebenaran itu mempunyai kenyataan zahir-batinnya, begitulah tasawuf merupakan luasan kenyataan batin Islam.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm.171)

Beliau menjelaskan bahawa yang salah bukan tasawuf-nya, akan tetapi perilaku sebahagian orang yang tidak memahami dan mengamalkan tasawuf dengan benar sehingga menimbulkan kekeliruan dan penyimpangan dalam Islam. Kerana itu, kaum Salafi salah diagnosa kerana memukul rata seluruh tasawuf keliru dan menolaknya secara keseluruhan.

“Sanya sesungguhnya kuman² kemunduran dan kemerosotan bukannya terkandung dalam tasawuf, dan jauh lagi dalam sumber² agungnya, akan tetapi kuman² kemunduran dan kemerosotan itu terkandung dalam akal-pengertian yang jahil, yang menyalah-fahami dan menyalah-kena dan menyalah-amalkannya sehingga membawa kepada pelbagai macam kekeliruan dan kerosakan dan keterlaluan dan penyelewengan dari ajaran sebenarnya dan dari Islam… Serangan yang telah mereka lontarkan terhadap tasawuf itu sesungguhnya difahamkan sebagai akibat-balas dari pengaruh buruk ajaran² keterlaluan setengah golongan tariqat yang membawa faham² yang menyeleweng dari ajaran Islam. Akan tetapi bagaimanapun, serangan-balas golongan ulama yang ku maksudkan di atas itu juga bersifat keterlaluan jua, sebab mereka tiada memandangkan benar-palsunya dengan teliti ajaran² yang menjadi asa faham yang menimbulkan serta mengembangkan tariqat itu di dalam Islam.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 172-173)

Lanjut Al-Attas: “Sebaliknya pula serangan mereka terhadap ilmu tasawuf dan para awliya telah membawa akibat kemerosotan dalam amalan Islam yang mengisbatkan unsur² ruhaniah seperti zikir dan muraqabah dan musyahadah dan solat sunnah dan nawafil dan sebagainya, yang semuanya memimpin seorang Muslim sejati ke arah pencapaian peringkat budipekerti ruhani yang merupakan makam ihsan. Sebagaimana yang telah disentuh tadi, gugatan serta kecaman terhadap para pemimpin agung ulama lama kita itu kebanyakannya berlandaskan pemencilan penilikan terhadap kesilapan² kecil yang dibesar²-kan justeru kerana kekecilan pandangan yang menggugat dan mengecam, yang melihat yang kecil itu besar dan yang besar itu tiada terlihat langsung oleh-nya!” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 174)

Kaum Salafi Gemar Takfir dan Permusuhan

Syed Muhammad Naquib al-Attas mengkritik keras golongan Salafi-Wahabi-Modernis yang gemar menyematkan tuduhan bid’ah dan kafir serta menebar permusuhan di antara kaum Muslimin. Setelah mereka merosak ajaran Islam dengan mengabaikan ilmu² ulama pendahulu, tindakan takfir yang membabi-buta dan serampang semakin menjerumuskan ummat Islam dalam kemerosotan. Beliau menyamakan kaum Salafi dengan Timur Lenk yang pernah membuat kekacauan wilayah kekuasaan Islam.

“Seperti juga ulama² palsu gemarkan pertelingkahan dan pertentangan faham yang tiada berputusan, saling-melontarkan tuduhan takfir satu sama lain, begitulah yang memerintah gemarkan pertikaian peperangan berpanjangan yang merosak bagi kita semua. Suatu contoh yang senantiasa mengagumkan adalah riwayat Timur (Lenk, red.), misalnya, yang perkasa pada zaman-nya dan mampu boleh menaklukkan Rusia dan China, yang jikalau dilakukannya penaklukkan itu tentu akan merubah aliran sejarah dunia sehingga mungkin membawa kepada keadaan yang lebih baik kini, memandangkan peranan Rusia dan China dewasa ini dalam menyebarkan ketegangan. Akan tetapi bukannya Rusia dan China yang diserang ditaklukkannya; bahkan tanpa sebab yang sah yang diserang dihancurkannya tiada melainkan Farsi dan Turki dan Mesir sesama Muslim jua.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 177)

Kaum Wahabi-Salafi Modernis selama ini selalu mengklaim diri-nya sebagai penerus golongan Salafiyyah, dengan jargon mengembalikan ummat Islam pada akidah dan amalan kaum Salaf. Namun, kerana tindakan mereka yang merendahkan martabat ulama² pendahulu, Al-Attas tahu bahawa jargon mereka tersebut hanyalah menjadi slogan tanpa isi.

“Keduanya juga mendakwa berhasrat memulihkan pentafsiran Islam dalam faham dan cara dan amal kepada yang difaham serta di-cara dan di-amalkan oleh golongan salafiyyah-meskipun sebenarnya mereka tiada menghampiri hasrat yang mulia itu.” (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 175)

Namun, meski begitu banyak penyimpangan dan kekeliruan yang dilakukan oleh kaum Salafi-Wahabi-Modernis ini, Al-Attas tetap berpandangan adil bahawa golongan ini memainkan peranan dalam mengingatkan ummat Islam akan kekacauan ilmu dan iman ummat Islam sekarang di tengah ombang-ambing peradaban Barat.

“Maka dalam keadaan demikian sekurang²-nya kedua golongan itu merupakan tumpuan kewaspadaan Ummah akan kesedaran tugasnya di waktu genting agar supaya jangan bertempiaran (baca: berpecah-belah); dalam keadaan di waktu keturunan anak zaman kehilangan haluan dan memerlukan bimbingan, sekurang²-nya mereka menyedarkan semula keinsafan kepercayaan terhadap kebolehan diri mengatasi cabaran zama sambil tetap setia kepada Islam. Dan walaupun kesilapannya menggugat zaman lampau itu memang besar, namun demikian tiada pula mereka memisahkan diri daripada sumber² lampau dan keyakinannya terhadap keagungan serta keluhuran dan ketunggalan kebenaran Islam itu menanamkan dalam hati harapan sebagai ganti kekecewaan. (Risalah untuk Kaum Muslimin, hlm. 178)

TANDA-TANDA CINTA KEPADA NABI S.A.W.

Cinta kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ada tanda-tandanya. Barangsiapa yang dzahir pada dirinya tanda-tanda tersebut, adalah ia benar-benar mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dan sekiranya tidak, maka cintanya dakwaan semata-mata.

Tanda-tanda tersebut adalah :

• Meneladani Baginda صلى الله عليه وآله وسلم samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya.

• Mengamalkan sunnah-sunnah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya, berusaha beradab dengan adab Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dalam semua keadaan, baik dikala susah, maupun senang, dikala cergas maupun malas.

• Mengutamakan apa yang telah disyariatkannya dan yang digalakkannya untuk dilakukan daripada mengikuti hawa nafsu dan syahwat.

• Banyak menyebutnya yakni bershalawat ke atas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, sebab orang yang mencintai sesuatu, banyak atau sering menyebutnya dengan perasaan rindu kepada yang dicintainya, mengagungkannya, memuliakannya dan mendzahirkan kekhusyu’kan dan rendah diri tatkala mendengar nama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disebut.

• Rindu untuk bertemu dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, kerana sesungguhnya setiap kekasih ingin bertemu dengan yang dikasihinya.

• Mencintai mereka yang dicintai oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu yang punya hubungan dengan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم seperti ahlibait Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, para shahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dari kalangan Muhajirin dan Anshar.

• Membenci orang-orang yang dibenci oleh Allah dan RasulNya, memusuhi orang yang memusuhinya, menjauhi orang yang menyimpang dari sunnahnya serta berkeberatan terhadap orang yang menyimpang dari sunnahnya.

• Mencintai al-Quran yang diturunkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Mencintai al-Quran bererti membaca, memahami dan mengamalkan segala tuntutan-tuntutannya di dalam mengatur kehidupan kita dan seterusnya memperjuangkannya.

• Mencintai sunnahnya serta memperhatikan dan memahami hukum-hakamnya. Sahal bin ‘Abdullah at-Tusturi berkata: Tanda-tanda mencintai Allah adalah mencintai al-Quran dan mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Tanda-tanda mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah mencintai sunnahnya. Tanda-tanda mencintai sunnahnya adalah membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia adalah enggan mengambilnya melainkan untuk bekalan menuju kampung akhirat.

• Belas kasihan (bersikap lemah lembut dan mengasihi) terhadap ummatnya, memberi nasihat kepada mereka tanpa jemu, berusaha memberi kemaslahatan dan menghindarkan mereka daripada marabahaya.

Petikan dari kitab an-Nuur al-Mubiin fi Mahabbah Sayyid al-Mursaliin. Oleh Hadrat Syeikh Hasyim Asy’ari (pendiri Nahdatul ‘Ulama Indonesia dan Pengasas Pesantren Tebuireng, lahir 1875 – 1947)
Kredit Terjemahan oleh : al-Fadhil al-Ustaz Abu Zahrah Abdullah Thohir.

Tarekat Umum & Tarekat Khusus

Tarekat yang umum dan tarekat yang khusus tersebut boleh kita lihat dan difahami menerusi konsep mujahadah dalam agama Islam seperti yang diutarakan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya Syifa’us Sail. Menurutnya, mujahadah dalam agama Islam ada tiga; yang dua umum dan satu lagi khusus.

Mujahadah yang umum ialah mujahadah taqwa yang betujuan melepaskan diri dari seksa neraka dan dapat masuk ke syurga sahaja. Keduanya ialah mujahadah istiqamah yang bertujuan lepas dari seksa neraka dan dapat masuk syurga dan dapat nikmat yang lebih baik dan istimewa.

Mujahadah yang khusus ialah mujahadah al-Kasyfi wal-ittila’ iaitu mujahadah yang berakhir dengan terangkat berbagai hijab hati sehingga mata hati akan dapat melihat ayat-ayat Allah di alam malakut. Menurut Ibnu Khaldun, orang yang melakukan mujahadah di peringkat ini terus menerus aspek rohaninya akan menjadi kuat dan aspek jasmaninya akan menjadi lemah, akhirnya aspek rohaninya cukup kuat dan jasmaninya cukup lemah, maka orang tersebut boleh di panggil sebagai insanul ruhiyyon atau manusia roh semata-mata. Ketika itulah Allah kasyafkan berbagai rahsianya dalam pandangan mata hati. Menurut beliau mujahadah ini khusus kerana mesti dipimpin oleh seorang syeikh mursyid.

Kesimpulannya, tarekat tasawuf atau at-Toriqah as-Sufiyyah adalah satu kaedah mujahadah khusus atau satu madrasah mujahadah khusus yang diamalkan oleh golongan sufiyyah, yang teratur, tersusun dan terpimpin yang membolehkan tercapainya darjat ehsan. Ianya mempunyai berbagai prinsip antaranya mesti ada syeikh mursyid, berbai’ah dan ditalkinkan oleh guru, adanya suhbah (hubungan yang erat dengan guru), ada zikir dan tafakkur, melakukan uzlah dan khalwat, ada himmah yang tinggi, bertaqwa, mencari ilmu, menjaga adab yang ditentukan dan sebagainya.

Oleh 
:

TUAN GURU DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI 
(Syeikh Mursyid Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah) ; 
Kertas Kerja: Tarekat Suatu Kewajipan - Simposium Tarekat Tasawuf Siri Ke-VI anjuran Jabatan Mufti Negeri Sembilan & Madrasah As-Saidiyyah].

TEMAN ADALAH PENENTU AKHLAQ KITA

Al-Faqih Abu al-Laits al-Samarqandî رحمة الله تعالى berkata :

Barang siapa berteman dengan delapan golongan manusia, maka Allah menambahkan padanya delapan perkara :

1) Barangsiapa yang bergaul 
dengan orang-orang kaya, maka Allah menambahkan padanya kecintaan dunia dan rakus akan dunia.

2) Barangsiapa yang bergaul dengan orang-orang fakir, maka Allah menambahkannya rasa syukur dan ridha pada pemberian Allah Taala.

3) Barangsiapa yang bergaul dengan penguasa, maka Allah menambahinya kesombongan dan kerasnya hati.

4) Barangsiapa yang bergaul dengan perempuan, maka Allah menambahinya kebodohan dan syahwat.

5) Barangsiapa yang bergaul dengan anak-anak kecil maka Allah menambahinya permainan dan senda gurau.

6) Barangsiapa yang bergaul dengan orang-orang fasik, maka Allah menambahinya keberanian melakukan dosa dan kemaksiatan dan penundaan taubat.

7) Barangsiapa yang bergaul dengan orang-orang saleh, maka Allah menambahinya kesungguhan dan kecintaan pada ketaatan.

8) Barangsiapa yang bergaul dengan ulama, maka Allah menambahinya ilmu dan amal.

[ Kitab Bughyah Al Mustarsyidin hal 5 ]

Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2. Al-Baghawi menyatakan: "Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya).” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3. Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4. Antara tujuan utama Allah سبحانه وتعالی menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah سبحانه وتعالی:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita. Aamiin...

TUAN GURU SYEIKH IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI

NAMA LENGKAP

Nama lengkap tuan guru Imam Hj Ishaq ialah Ishaq bin Muhammad Arif bin Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut bin Merah Mas. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Hj. Ishaq. Tuan Hj. Ishaq dilahirkan pada tahun 1908 di kampung Rawa, Cemur, Perak. Beliau adalah anak bongsu daripada enam orang adik beradik yang terdiri dari tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan.

Datuk dan nenek beliau di sebelah ayahanda beliau adalah dari keturunan keluarga Kesultanan Rawa, Sumatera, Indonesia. Datuk lelaki beliau yang bernama Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut itu telah meninggalkan tanah Rawa, Sumatera, berhijrah ke Malaysia dan terus ke Pahang di sekitar tahun 1830-an iaitu lebih kurang 170 tahun yang lalu. Selain beliau, kedapatan ramai juga dari kalangan adik-beradik dan saudara mara beliau yang lain yang turut sama berhijrah ke Semenanjung Malaysia yang pada masa itu disebut Tanah Melayu. Antara mereka ialah Fakih Khalifah Saka yang bergelar Sutan Segentar Alam iaitu abang kandung beliau, Khatib Abdullah iaitu saudara sepupu beliau dan Dato’ Pertemuan iaitu bapa saudara beliau dari sebelah ibu.

Tidak lama sesudah berada di Pahang, maka datuk beliau itu telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Siti Umai, anak perempuan Dato' Paduka iaitu hasil perkahwinan beliau dengan Halimah. Dato' Paduka adalah seorang bangsawan yang berasal dari Kampar, Sumatera. Dato' Paduka inilah yang telah datang ke Pahang dan membuka kampung Temau, Dong, Raub yang mana pada masa dahulu ia dikenali sebagai kampung Lata Limau. Perkahwinan Sutan Tujuan Saka dengan Siti Umai tersebut, telah melahirkan enam orang anak iaitu Soman, Muhammad Arif, Mahida, Muhammad Amin, Ahmad dan Muhammad Diah. Sutan Tujuan dan bapa mertuanya iaitu Dato' Paduka, telah meninggal dunia di Temau dan jenazah kedua-duanya itu dimakamkan di tanah perkuburan Bukit Kepayang, Temau.


AYAHANDA

Ayahanda Tuan Hj. Ishaq iaitu Muhammad Arif ialah seorang yang lama berkhidmat di bawah pemerintahan kesultanan Pahang iaitu pada zaman pemerintahan al-Marhum Sultan Ahmad. Beliau masih dapat mewarisi sifat-sifat kepahlawanan datok-nenek beliau. Beliau pernah menjadi salah seorang panglima tentera Pahang dan dikenali di zaman beliau itu sebagai Panglima Perang Muhammad Arif. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan seperjuangan beliau seperti Imam Perang Yusuf bin Tan Ibrahim dan Panglima Alam, pernah beberapa kali mengetui tentera Pahang di dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti peperangan yang dikenali sebagai Perang Tengku Wan Aman.

Muhammad Arif juga telah turut memimpin tentera Pahang di dalam peperangan yang berlaku di negeri Selangor seperti Perang Sayyid al-Masyhur yang dikenali juga oleh orang-orang Pahang sebagai Perang Sayyid Suhur dan peperangan saudara antara Tengku Kudin dengan Raja Mahdi. Dalam peperangan yang berlaku di antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi tersebut, beliau memihak dan membantu Tengku Kudin. Muhammad Arif juga selalu bersama-sama dengan Dato’ Gajah iaitu panglima Pahang dan juga dengan anak beliau iaitu Dato’ Mat Kilau.

Muhammad Arif pada mulanya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Zulihan. Ayahanda Zulihan berasal dari Selangor dan ibunya pula berasal dari kampung Dong, Raub, Pahang. Beliau kemudiannya telah menceraikan Zulihan dan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Shamsiah. Ibu Shamsiah bernama Zuyah iaitu anak kepada Fakih Tan Fakih Ali. Hasil perkahwinan beliau dengan Zuyah tersebut, beliau telah dikurniakan seorang anak bernama Itam. Beliau kemudiannya menceraikan Shamsiah dan terus mengembara ke Perak dan menetap di Gopeng. Di Gopeng, Muhammad Arif mengahwini seorang lagi perempuan yang bernama Qamariah yang berketurunan Rawa. Namun kemudiannya beliau menceraikan Qamariah tersebut dan kembali ke Pahang. Di Pahang, beliau telah mengahwini Hindun atau Nujumah binti Tengku Nahmad iaitu bonda kepada Tuan Hj. Ishaq.


BONDA

Bonda Tuan Hj. Ishaq berasal dari keturunan orang kenamaan di Selangor. Tengku Nahmad yang asalnya berketurunan Siak, Sumatera, telah mengembara dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia dan menetap di kampung Kuantan, Klang, Selangor. Di sana beliau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Ubah. Setelah beberapa lama tinggal di kampung Kuantan tersebut, Tengku Nahmad telah mengahwini seorang perempuan yang bernama Maryam yang berasal dari kampung Teluk Pulai, Kelang iaitu anak saudara kepada Dato’ Buang. Hasil perkongsian hidup dengan Maryam tersebut, Tengku Nahmad telah dikurniakan dua orang anak iaitu Maryam dan Hindun. Tengku Nahmad kemudiannya telah meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di daerah Kajang (Hulu Langat).

Apabila berlakunya peperangan di Selangor yang dikenali dengan nama perang Raja Mahdi, maka Maryam telah meninggalkan kampung Teluk Pulai kerana melarikan diri dari huru-hara peperangan tersebut dengan membawa bersama kedua-dua orang anaknya itu. Hindun pada masa itu masih kecil lagi iaitu berumur kurang dari tiga tahun. Selepas itu Maryam terus melarikan diri sehingga sampai ke Bidur, Perak dan di sana anaknya yang bernama Kalthom telah meninggal dunia. Maryam kemudiannya meninggalkan Bidur dan menuju pula ke Pahang iaitu ke kampung Gali, Dong.

Di Dong, Maryam dan anaknya itu tinggal di rumah Hajjah Syarifah, anak kepada Fakih Khalifah Saka (Sutan Segentar Alam) iaitu abang kepada Sutan Tujuan Saka. Hindun telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Hajjah Syarifah kerana beliau sendiri secara kebetulannya tidak mempunyai anak. Nama Hindun kemudiannya telah ditukarkan kepada Nujumah. Setelah dewasa, Nujumah dikahwinkan dengan Muhammad Arif, ayahanda Tuan Hj. Ishaq, iaitu saudara sepupu dengan Hajjah Syarifah tersebut. Kemudian, Muhammad Arif telah membawa isteri dan mertuanya itu berpindah ke Perak dan menetap di sebuah perkampungan yang bernama Pelong iaitu satu tempat yang terletak di antara Cemur dan Sungai Siput. Di Pelong itulah bonda Nujumah meninggal dunia dan dimakamkan di perkuburan kampung tersebut.

Sewaktu menetap di Pelong, Muhammad Arif pernah berkerja mengambil upah menebang hutan untuk membina jalan keretapi di antara Ipoh dan Kuala Kangsar yang mana pada waktu itu masih belum ada perhubungan jalan keretapi di antara kedua-dua bandar tersebut. Ketika berada di Pelong, beliau telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Manan, Sa`diah dan kemudian Khadijah. Setelah lama berada di Pelong, beliau telah didatangi oleh seorang yang bernama Qasim iaitu saudara sepupu beliau lalu mengajak beliau berpindah ke Cemur, Perak, kerana di Cemur itu, menurutnya, terdapat ramai kaum kerabat Sutan Tujuan Saka. Memandangkan ramai orang Melayu yang telah berpindah ke tempat lain sehingga yang tinggal di Pelong itu hanya beberapa buah sahaja rumah yang didiami oleh orang-orang Melayu di samping yang ramai tinggal di situ adalah terdiri dari orang-orang Cina yang kebanyakan mereka berkerja sebagai pemotong papan, maka beliau pun akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Cemur.

Ketika menetap di Cemur inilah Tuan Hj. Ishaq dilahirkan, begitu juga dengan abang kandung beliau, Ayub. Walau bagaimanapun, di Cemur ini jugalah berlakunya perkara yang sangat mendukacitakan. Bonda Tuan Hj. Ishaq, Nujumah (Hindun), telah meninggal dunia pada tahun 1914 di kampung Rawa, Cemur. Pada masa itu Tuan Hj. Ishaq masih kanak-kanak lagi iaitu berumur lebih kurang enam tahun. Setelah kewafatan bonda Tuan Hj. Ishaq, kaum keluarga beliau di Pahang, khasnya di daerah Raub, meminta serta mendesak supaya ayahanda beliau, Muhammad Arif, berpindah ke Pahang. Pada tahun 1915, keluarga beliau telah berpindah ke Pahang dan terus menetap di Kampung Pasir Bayam, Dong, Raub. Setelah lebih kurang lapan tahun berada di Pahang, maka pada tahun 1923, ayahanda Tuan Hj. Ishaq pula meninggal dunia, ketika berusia 75 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kuala Gali. Tuan Hj Ishaq pada masa itu masih remaja iaitu berumur lebih kurang 15 tahun.

Kematian ayahanda beliau itu menjadikan beliau yatim piatu. Walau bagaimanapun beliau kemudiannya telah dipelihara pula oleh saudara sepupu beliau yang bernama Muhammad Tahir bin Osman bin Sutan Tujuan yang tinggal di Kampung Pasir Bayam, Dong. Dua tahun setelah kematian ayahanda beliau iaitu dalam tahun 1925, beliau pun mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan yang bernama Rubiah binti Awaludin yang berasal dari kampung Bukit Kemuning, Dong. Usia beliau pada waktu itu agak muda iaitu lebih kurang 17 tahun. Dalam tahun yang sama beliau telah berpindah ke kampung Bukit Kemuning bagi menjalani hidup berkeluarga.

Tuan Hj. Ishaq menyara hidup keluarga beliau dengan berkebun dan bersawah padi. Beliau juga pandai bertukang dan beliau adalah merupakan salah seorang tukang rumah yang agak mahir. Beliau juga ada membuka kelas pengajian al-Qur’an, fardu ain dan qasidah di rumah beliau di kampung Bukit Kemuning dengan dibantu oleh isteri beliau, Rubiah. Tidak hairanlah kalau rumah beliau itu sentiasa saja dipenuhi dengan murid-murid beliau yang datang untuk belajar ilmu-ilmu agama.

Tuan Hj. Ishaq adalah merupakan seorang imam dan amil masjid yang bertauliah yang agak lama berkhidmat memegang jawatan beliau itu, iaitu semenjak awal tahun 1930-an sehinggalah pertengahan tahun 1960-an. Beliau dengan sebulat suara telah dilantik sebagai imam serta amil masjid di kampung Lecar, mukim Dong pada tahun 1931. Ketika itu beliau telah berusia 23 tahun. Pada mulanya beliau ditauliahkan sebagai imam masjid tersebut oleh Hj. Zayadi iaitu qadi yang ketiga di daerah Raub yang juga merupakan seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin suluk serta murid Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Pada tahun 1951, beliau ditauliahkan pula oleh al-Marhum Sultan Abu Bakar ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. Jawatan imam dan amil masjid kampung Lecar ini disandang oleh Tuan Hj. Ishaq hingga tahun 1965 iaitu selama lebih kurang 34 tahun. Di samping itu beliau juga merupakan seorang guru agama sukarela yang telah diberikan kebenaran mengajar agama di Masjid Bukit Pampong, Dong, Raub bermula tahun 1977/1978.

Tahun 1976 adalah merupakan tahun kesedihan bagi Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana isteri beliau yang bernama Rubiah binti Awwaluddin meninggal dunia pada tahun tersebut dan jenazahnya dimakamkan di tanah perkuburan kampung Bukit Kemuning. Sepanjang tempoh perkongsian hidup Tuan Hj. Ishaq dengan Rubiah selama lebih kurang 51 tahun, beliau tidak dikurniakan sebarang cahaya-mata. Tidak lama setelah kematian isteri beliau itu, Tuan Hj. Ishaq berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Hajjah Fatimah binti Mat Yasin yang berasal dari kampung Ulu Gali, Raub. Perkahwinan beliau yang kedua itu terjadi pada tahun 1977. Perkahwinan tersebut juga tidak melahirkan sebarang zuriat.

Pada tahun 1982, Tuan Hj. Ishaq telah pergi ke Mekah bagi tujuan menunaikan fardu haji bersama-sama dengan isteri beliau, Hajjah Fatimah, dengan diikuti oleh beberapa orang murid beliau. Sepanjang hidup beliau itu, hanya sekali sahaja beliau pergi menunaikan fardu haji ke Mekah. Tuan Hj. Ishaq telah meninggal dunia pada 21 hb. Febuari, tahun 1992 di kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang, kerana sakit tua. Usia beliau ketika itu adalah lebih kurang 84 tahun. Jenazah beliau kemudiannya telah dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut.


LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Dari segi latar-belakang pendidikan khususnya pendidikan keagamaan, Tuan Hj. Ishaq tidak seperti tokoh-tokoh lain yang mendapat pendidikan keagamaan secara formal di pusat-pusat pengajian sama ada di dalam atau di luar negeri. Ini mungkin kerana kehidupan beliau yang agak susah lantaran kematian bonda dan ayahanda beliau itu. Sekalipun begitu, namun beliau tetap berusaha secara sendirian bagi mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu keislaman menerusi pengajian tidak rasmi iaitu pengajian yang dilakukan di masjid-masjid dan juga surau-surau.

Walau bagaimanapun Tuan Hj. Ishaq juga pernah mengecapi alam persekolahan ala moden iaitu sewaktu beliau masih kanak-kanak. Beliau mula mengenali alam persekolahan tersebut ketika keluarga beliau mula menetap di kampung Pasir Bayam, Dong, Raub, setelah dua tahun berpindah dari Cemur, Perak iaitu setelah kematian bonda beliau, Nujumah (Hindun). Beliau mula bersekolah dalam tahun 1917 di Sekolah Melayu Dong ketika berusia sembilan tahun. Guru besar sekolah tersebut pada waktu itu bernama Muhammad Jabar bin Hj. Abdul Qadir dan penolong beliau ialah anak beliau sendiri iaitu Abdul Majid bin Muhammad Jabar.

Muhammad Jabar bukanlah orang lain, beliau adalah merupakan saudara dua pupu dengan Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana ayahanda Muhammad Jabar, Hj. Abdul Qadir adalah merupakan anak kepada Raja Parmainan yang bergelar Dato’ Raja Ninda. Raja Parmainan itu pula adalah merupakan anak kepada Sutan Limbang Laut Selingkar Alam. Dengan itu Raja Parmainan adalah saudara kandung kepada Sutan Tujuan Saka iaitu datuk kepada Tuan Hj. Ishaq. Muhammad Jabar ini merupakan orang yang pertama dari kalangan orang-orang Melayu yang menjadi guru besar Sekolah Melayu di kampung Dong, Raub. Sekolah tersebut kemudiannya dinamakan Sekolah Menengah Muhammad Jabar, sempena nama guru besar pertamanya.

Tuan Hj. Ishaq berjaya menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Dong. Pada tahun 1922 beliau telah berhenti dari sekolah tersebut kerana telah tamat darjah lima yang merupakan darjah tertinggi di sekolah tersebut pada waktu itu. Beliau termasuk salah seorang pelajar yang agak pintar dan berjaya di sekolah itu. Kerana itu beliau bersama dengan seorang pelajar lain yang bernama Dakhili telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak yang merupakan tempat mendidik para pelajar untuk menjadi guru. Tawaran tersebut dibuat oleh nazir sekolah yang pada waktu itu disandang oleh Muhammad Idrus, pada tahun 1922, iaitu setelah Tuan Hj. Ishaq tamat pengajian di sekolah itu.

Rakan beliau, Dakhili menerima tawaran tersebut dan terus menyambung pelajarannya di sana sehingga beliau berjaya menjadi seorang pendidik. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi guru besar dan terus berkhidmat sehinggalah beliau bersara. Tuan Hj. Ishaq pula menolak tawaran tersebut kerana beliau melihat ayahanda beliau sudah terlalu tua dan uzur sehingga beliau tidak sanggup untuk meninggalkannya. Tuan Hj. Ishaq adalah seorang yang berminat dan mempunyai kemahuan yang agak tinggi untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Ini dapat dilihat pada usaha dan kesungguhan beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dan bahasa Arab dari guru-guru tempatan setelah beliau menamatkan persekolahan beliau.

Setelah tamat pengajian di Sekolah Melayu Dong, Tuan Hj. Ishaq mula giat belajar ilmu-ilmu agama dengan guru-guru tempatan. Umur beliau pada masa itu adalah lebih kurang 15 tahun. Pada peringkat permulaannya beliau belajar membaca al-Qur’an sehingga khatam dengan guru beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Muhammad Saman. Beliau berjaya menamatkan pengajian al-Qur’an tersebut setelah hampir setahun belajar dengan guru beliau itu. Di samping itu beliau juga mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu usuluddin dan fiqh dan seterusnya beliau belajar pula ilmu tajwid, qasidah dan lagu-lagu dengan seorang guru beliau yang lain yang bernama Tuan Guru Lebai Muhammad Din bin Imam Sani yang berasal dari Kg. Semantan Hilir, Temerloh, Pahang.

Dalam tahun 1927 iaitu ketika Tuan Hj. Ishaq berumur lebih kurang 19 tahun, beliau pergi belajar pula, bagi tujuan mendalami lagi ilmu fiqh dan tasawuf, dengan guru beliau yang bernama Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang sebelum itu merupakan seorang guru agama di Tanjung Malim, Perak. Ketika belajar dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib inilah beliau mula diperkenalkan dengan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang kemudiannya beliau menyambung pengajian tarekat tersebut dengan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad yang juga merupakan guru kepada Hj. Muhammad Khatib.

Tuan Hj. Ishaq juga ada mempelajari bahasa Arab dari beberapa orang guru. Antara guru beliau yang mengajarkan beliau ilmu bahasa Arab itu ialah Tuan Guru Hj. Abdul Razak iaitu kadi yang keenam di daerah Raub, Pahang. Bagi tujuan mendalami lagi pengetahuan tentang bahasa Arab tersebut, Tuan Hj. Ishaq belajar pula dengan Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar bin Hanafiah iaitu seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan juga menantu kepada Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar ini berasal dari Banjar Masin, Kalimantan Barat, Indonesia.

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh Tuan Hj. Ishaq sejak dari zaman remaja beliau itu telah dikembangkan sedikit demi sedikit menerusi pengkajian dan pembacaan kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab. Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan utama Tuan Hj. Ishaq ialah Kitab Bahr al-Madhi, Furu` al-Masail, Tanwir al-Qulub, Qut al-Qulub, Hidayah al-Salikin, Siyar al-Salikin, Kashf al-Mahjub, Tafsir al-Baidawi, Tafsir Ibn `Abbas, Tafsir al-Jalalain dan Sahih al-Bukhari.

Sekalipun Tuan Hj. Ishaq mempunyai latar belakang pendidikan keagamaan yang agak sederhana, tidak seperti tokoh-tokoh agama lain, namun beliau didapati agak aktif menulis dan menghasilkan buku-buku agama terutamanya tentang ajaran tasawuf dan tarekat dan juga sejarah perkembangannya di Raub, Pahang. Antara karya-karya beliau yang telah dihasilkan ialah Majmu` al-Masa'il, Tanbih al-Muridin, Majmu` al-Mau`izah, Cara-Cara Menjalani Amalan Dalam Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah Untuk Mencapai Kepada Tasawuf, Asal-Usul Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah di Daerah Raub, Pahang, dan Sejarah Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang Dar al-Ma`mur, di samping tulisan-tulisan dan risalah-risalah lain yang tidak dibukukan.


PENGLIBATAN DALAM KEGIATAN
TAREKAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH


Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah sudah lama bertapak dan berkembang di daerah Raub, Pahang. Sejarah awal kemasukan dan perkembangan tarekat ini di Raub adalah dipelopori oleh golongan pentadbir agama dan penguasa tempatan. Kadi-kadi dan beberapa orang penghulu terawal di beberapa mukim di Raub didapati terlibat dengan pengamalan dan penyebaran Tarekat Naqshabandiyyah ini. Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan yang menetap di kampung Kuala Gali, Raub, adalah kadi pertama di daerah Raub sebelum zaman penjajahan Inggeris. Hj. Salim adalah orang pertama yang mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah di daerah tersebut. Beliau telah belajar dan menerima asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah tersebut dari seorang yang berasal dari Sumatera yang bernama Shaikh Muhammad Salih.

Kadi yang kedua di Raub ialah Tuan Hj. Muhammad Arif. Beliau berasal dari Minangkabau, Sumatera dan kemudian telah berpindah ke Raub dan menetap di Sana. Beliau adalah menantu kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Di samping sebagai seorang kadi, beliau juga pengamal dan pengembang Tarekat Naqshabandiyyah. Beliau telah menerima tarekat itu dari seorang shaikh di Jabal Hindi, Mekah. Manakala kadi yang ketiga di daerah Raub pula ialah Tuan Hj. Ziyadi iaitu anak kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Beliau juga seorang pengamal dan juga pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Raub. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi adalah guru yang telah mengijazahkan kepada beliau tarekat tersebut.

Di kalangan penguasa tempatan pula, didapati penghulu-penghulu terawal di mukim Gali, Raub terlibat dengan kegiatan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Lima orang penghulu pertama di situ adalah pengamal tarekat ini. Mereka ialah Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda, Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin dan Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad bin Tengku Abdul Majid. Penghulu pertama di mukim Gali iaitu Tengku Abdul Samad, menerima dan mempelajari Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Tuan Hj. Muhammad Arif, kadi kedua di Raub, pada tahun 1914 di kampung Durian Sebatang, mukim Gali, Raub, Pahang. Begitu juga dengan penghulu yang kedua iaitu Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, di mana beliau juga mengambil tarekat tersebut dari Tuan Hj. Muhammad Arif pada tahun yang sama.

Manakala penghulu ketiga iaitu Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, telah mengambil Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Hj. Umar bin Muhammad. Penghulu keempat pula iaitu Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin, telah menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Sidiq bin Hj. Salim, iaitu salah seorang murid dan khalifah Shaikh Hj. Umar. Penghulu kelima iaitu Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim, juga merupakan salah seorang murid dan khalifah kepada Shaikh Hj. Umar.

Tuan Hj. Ishaq mula mengenali Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah ketika beliau belajar ilmu tasawuf dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang mana pada ketika itu beliau berumur 19 tahun. Beliau telah mengambil talqin zikir dan bai`ah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari guru beliau, Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib, pada tahun 1927. Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib berasal dari kampung Rokan Kanan, Langkat, Sumatera, iaitu sekampung dengan Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi al-Naqshabandi yang telah membuka pusat Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di kampung Babussalam, Langkat, Sumatera.

Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib adalah antara anak murid Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi dan khalifah beliau yang paling tua. Sebelum beliau berpindah ke Raub, Pahang, beliau adalah merupakan seorang guru agama serta pemimpim suluk di kampung Bertam, Tanjung Malim, Perak dan mempunyai ramai murid di sana. Setelah Tuan Hj. Ishaq menerima bai`ah tarekat dari guru beliau itu, maka pada penghujung tahun 1927 iaitu pada tahun yang sama, beliau mula menjalani suluk di bawah pimpinan Tuan Guru Shaikh Hj. Umar ibn Muhammad di Surau Suluk Kubu di kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Shaikh Hj. Umar adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan, Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.

Tuan Hj. Ishaq kemudiannya telah memimpin suluk di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, mukim Gali, Raub, Pahang. Suluk pertama kali di surau tersebut berlaku pada bulan oktober tahun 1965. Pada ketika itu beliau telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai imam dan amil masjid kampung Lecar yang disandang oleh beliau selama lebih kurang 34 tahun. Dengan terbinanya surau tersebut, ramailah orang yang datang untuk belajar, menerima dan seterusnya mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di bawah pimpinan beliau itu. Mereka datang dari seluruh pelusuk tanah air dan juga dari Singapura, Thailand dan Sumatera. Murid-murid Tuan Hj. Ishaq dianggarkan melebihi 5000 orang yang terdiri dari laki-laki dan juga perempuan. Murid-murid yang diangkat menjadi khalifah beliau sahaja melebihi dua ratus lima puluh orang.

Murid-murid Tuan Hj. Ishaq itu adalah dari latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berbeza. Di samping orang-orang kampung yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak rendah, ada di antara murid-murid Tuan Hj. Ishaq yang terdiri dari ahli akademik bidang keagamaan yang sebahagiannya merupakan lulusan universiti di timur tengah dan juga universiti tempatan. Antara mereka ialah seperti Ustaz Mukhtar bin Yaqub yang merupakan seorang graduan Universiti al-Azhar yang memiliki ijazah sarjana dan juga bekas timbalan Shaikh al-Arqam, Prof. Madya Ustaz Hj. Jahid bin Sidek iaitu pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Ustaz Muhammad bin Long iaitu guru agama Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, Temerloh, Ustaz Hj. Husain bin Abdul Latif iaitu guru agama Balai Muzakarah, Pauh Sembilan, Bacok, Kelantan dan Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad guru agama di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.

Di kalangan murid-murid Tuan Hj. Ishaq ada juga yang menjadi wakil rakyat iaitu Yang Berhormat Tengku Mustafa bin Tengku Hj. Seti yang kemudiannya menjadi salah seorang khalifah yang menggantikan beliau. Ramai juga di kalangan murid-murid beliau itu yang terdiri dari golongan profesional seperti Hj. Hafas bin Idin iaitu seorang peguam di Kuantan, Pahang, Abdul Rahim bin Muhammad iaitu seorang pegawai Bank Nasional di Kuala Lumpur, Wan Abdul Rasyid bin Wan Abu Bakar iaitu seorang hakim di Mahkamah Tengah, Kuantan dan Hj. Aman Syah iaitu penyelia sekolah-sekolah di Raub, Pahang.

Sepanjang 18 tahun menjadi khadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah; beliau telah menganjurkan 120 amalan bersuluk di Surau Ehyaul Qulub, Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang; di samping menghasilkan banyak tulisan yang berkaitan dengan amalan tareqat. Khalifah yang diangkat di zaman hayatnya ialah seramai 350 orang.

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 21 Februari 1992 bersamaan 18 Sya’ban 1412 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di Kg Bukit Kemuning, Dong, Raub, Pahang.


PENGGANTI PEMIMPIN TARIQAH DAN SULUK

Al-marhum Tuan Guru Imam Hj. Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi telah meninggalkan beberapa orang pengganti yang dibenarkan memimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Antara mereka ialah al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Hasan bin Wan Abdullah yang memimpin tarekat tersebut di surau suluk kampung Pulau Rumput, Pekan, Pahang. Al-Marhum Ustaz Mukhtar bin Yaqub, Pekan, Pahang, juga adalah antara khalifah beliau yang dibenarkan memimpin tarekat ini, namun beliau terlebih dahulu meninggal dunia sebelum guru beliau. Al-Marhum Imam Haji Sani, Raub Pahang juga dizinkan untuk memimpin suluk dan tarekat. Salah seorang khalifah dan pengganti beliau yang sangat giat menyebarkan ajaran tarekat guru beliau ialah TUAN GURU DR HAJI JAHID BIN SIDEK AL-KHALIDI yang sehingga sekarang masih memimpin suluk dan pengamalan tarekat ini melalui 2 surau suluknya di SURAU SULUK BABUL KHAYRAT, KAMPUNG MELAYU MAJDI, JOHOR BHARU, JOHOR dan MADRASAH MANARATIL 'ILMI, PEKAN PAHANG. Manakala al-Marhum Tengku Mustafa bin Tengku Seti pula adalah merupakan khalifah beliau yang menggantikan tempat beliau sebagai pemimpin tarekat di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub sehingga sekarang. Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad juga merupakan salah seorang khalifah Tuan Hj. Ishaq yang dibenarkan memimpin tarekat namun beliau diberitakan tidak begitu aktif mengembangkan tarekat tersebut.

============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين


[ TUAN GURU SYEIKH IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI Al-NAQSHABANDIYYAH AL-KHALIDIYYAH ]

Monday, January 13, 2025

SYEIKH ABDUR RAUF AL-FANSURI AL-SINGKILI (1592-1693 M)

Oleh : Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI ulama ini sangat banyak ditulis orang, namun tulisan ini terlebih dahulu mengemukakan kelainan penulisan yang bersumber daripada orientalis yang diikuti oleh hampir semua penulis dunia Melayu, iaitu tentang namanya yang dikemukakan sebagai Abdur Rauf Singkil atau al-Sinkili. Walhal daripada Syeikh Abdur Rauf sendiri belum ditemui penambahan perkataan Sinkili di hujung namanya, yang ada hanyalah ‘al-Fanshuri’.

Penambahan nama ‘al-Fanshuri’ bukan ‘as-Sinkili’ di hujung nama untuk Syeikh Abdur Rauf bin Ali yang tersebut dilanjutkan oleh semua ulama Melayu, yang dimulai oleh muridnya Baba Daud bin Ismail ar-Rumi ketika beliau menyelesaikan Turjumanul Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi, demikian juga pada salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyahnya.

Hal yang sama dilanjutkan pula oleh murid Baba Daud bin Ismail ar-Rumi bernama Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dalam Manzharul Ajlanya. Malahan juga sama dengan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi di dalam Bidayatul Hidayahnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalush Shafi juga menyebut nama Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Demikian halnya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani di dalam Siyarus Salikin. Demikian halnya dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani di dalam Aqidatun Najin dan juga Syeikh Ahmad al-Fathani pada kenyataannya sewaktu mentashhih kitab Turjumanul Mustafid/Tafsir al-Baidhawi.

Barangkali tulisan terawal di kalangan ulama yang menyebut ulama ini berasal dari Singkel ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dalam karyanya berjudul Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Di antara tulisannya, “… dan berkata orang yang arif, iaitu Syeikh Abdur Rauf anak Ali, Singkil nama negerinya”.

Pada halaman terakhir manuskrip tertulis, “Ini kami mengambil risalah ini karangan Syaikhu Masyaikh segala Jawi Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkil nama kampungnya ….”

Namun dalam tulisan ini, penulis tetap mengikut tulisan ulama-ulama kita, iaitu menyebut nama lengkapnya Syeikh Aminuddin Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Nama Aminuddin yang biasa dipakai pada awal namanya, namun jika dihilangkan tidaklah cacat kerana untuk memendekkan kalimat.


ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Menurut pendapat A. Hasymi, ada dua orang ulama yang bersaudara keturunan Parsi, iaitu Ali al-Fansuri dan Hamzah al-Fansuri. Datuk nenek kedua-duanya diberi kepercayaan oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria. Ulama tersebut bernama Syeikh al-Fansuri.

Bahawa pada masa pemerintahan Sultan Alaiddin Riayat Syah Said Mukammil, 997-1011 H/1589-1604 M, dua orang keturunan Syeikh al-Fansuri itu mendirikan dua pusat pendidikan Islam di pantai barat Tanah Aceh, iaitu Syeikh Ali al-Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adiknya Syeikh Hamzah al-Fansuri mendirikan Dayah Obah di Simpang Kiri Rundeng.

Pada 1001 H/1592 M, Syeikh Ali al-Fansuri dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abdur Rauf. Ada pendapat lain menyebut bahawa Abdur Rauf lahir dalam tahun 1024 H/1615 M. Pendapat tersebut berbeza dengan pendapat Dada Meuraxa, menurutnya Abdur Rauf lahir di Singkel (Aceh Selatan), ibunya berasal dari Barus. Katanya, dalam sejarah abad ke-16 terdapat dua ulama yang serupa namanya, Syeikh Abdur Rauf dari Singkel dan Syeikh Abdur Rauf dari Barus.

Hamka dalam bukunya yang bercorak menyerang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berjudul “Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao” telah memansuhkan pendapatnya sendiri yang sebelumnya mengatakan bahawa yang bernama Syeikh Abdur Rauf itu adalah dua, dalam buku tersebut beliau mengatakan hanya seorang.

Walau bagaimana pun kalimat di bawah ini mencerminkan bahawa beliau masih belum tahqiq atau ragu-ragu. Katanya, “Tetapi saya akan kembali pula mengatakan dua kalau ada orang yang dapat mengemukakan fakta yang dapat dipertanggungjawabkan”.

Pendapat Dada Meuraxa dan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan yang menyebut Syeikh Abdur Rauf ada dua orang disokong kuat oleh Abdullah Abbas Nasution dalam bukunya Sejarah Islam Sedunia 14 Abad Silam.

Dengan bersyukur kepada Allah, penulis menemukan bukti bahawa di Aceh pada zaman yang sama memang terdapat dua orang yang bernama Syeikh Abdur Rauf. Penulis juga menemukan sebuah manuskrip berjudul ‘Durratun Nakhirah Tanbihan li Durril Fakhirah’ karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang diselesaikan pada 1238 H/1822 M. Di dalam kitab tersebut diceritakan dua orang yang bernama Abdur Rauf, iaitu yang seorang Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi Abdur Rauf Hitam.

Menurut jalan cerita kitab itu, yang Abdur Rauf saja iaitulah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Kedua-dua Abdur Rauf itu menerima wasiat daripada Syeikh Muhammad az-Zainusy Syakhiyah sewaktu mereka masuk ke dalam kubah Syeikh Syazili di Mokha.

Jadi berdasarkan kepada kitab yang tersebut bererti Syeikh Abdur Rauf memang ada dua orang. Walaupun dalam kitab tersebut tidak memberi maklumat secara jelas bahawa mereka berasal dari Aceh, namun secara logiknya dapat diterima bahawa mereka memang datang dari negeri yang sama.

Secara umumnya, mereka sama-sama berasal dari Sumatera. Penulis tidak bermaksud mencampuri pertikaian-pertikaian pendapat yang tersebut, tetapi dua orang yang bernama Abdur Rauf itu, penulis ungkapkan adalah menceritakan suatu penemuan penulis yang terbaru. Sekaligus adalah merupakan jawaban terhadap tulisan Almarhum Buya Hamka yang masih mencari-cari tentang Syeikh Abdur Rauf satu atau dua orang itu.

Syeikh Abdur Rauf Hitam tidak dibicarakan dengan panjang di sini, yang dibicarakan ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, penyusun Turjumanul Mustafid iaitulah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Hampir semua karya beliau sudah penulis pegang dan baca, baik yang manuskrip mahupun cetakan. Ada pun karya ulama bernama Syeikh Abdur Rauf Hitam belum lagi penulis menemuinya. Oleh itu tidak perlu dibicarakan mengenai beliau dalam artikel ini.

Mengenai para gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri mencatatkan dalam karyanya, Umdatul Muhtajin, secara keseluruhannya, termasuk salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah, telah penulis tulis dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1. Namun begitu, baik pada manuskrip ‘Umdatul Muhtajin mahupun Kifayatul Muhtajin koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terdapat ketinggalan beberapa nama jika dibandingkan dengan salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tidak tersebut nama Syeikh Abdullah asy-Syathari. Seharusnya guru Imam Qadi Syathari ialah Syeikh Abdullah asy-Syathari, dan guru Syeikh Abdullah asy-Syathari ialah Syeikh Muhammad Arif. Demikian menurut salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri langsung saja sesudah Syeikh Qadi Syathari berguru kepada Syeikh Muhammad Arif.

Orang-orang anti tarekat selalu berpendapat bahawa salasilah tarekat ada yang terputus-putus artinya seseorang guru tarekat meninggal dunia, muridnya pula belum lahir. Hal ini berlaku seperti Syeikh Hasan al-Kharqani tidak pernah berjumpa dengan Abi Yazid al-Bistami. Demikian juga Abi Yazid al-Bistami tidak pernah berjumpa dengan Imam Ja’far Shadiq.

Pandangan yang keliru dan salah itu perlu dijawab, jawabannya ialah bahwa kedua-dua tempat pada salasilah itu tidak terputus, dengan hujah-hujah sebagai yang berikut, bahawa yang tersebut ini memang ada golongan tarekat yang lebih suka menyebut bahawa penerimaan itu adalah secara rohaniah.

Namun secara arif, pengkaji-pengkaji dan pengamal-pengamal tarekat mempunyai hujah-hujah lain, iaitu sebenarnya Syeikh Hasan al-Kharqani sebelum menerima secara rohaniah daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami. Beliau terlebih dahulu belajar dengan Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi. Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi belajar pula kepada Khawajah Abi Yazid al-Asyqi. Khawajah Abi Yazid al-Asyqi belajar kepada Muhammad al-Maghribi. Khawajah Muhammad al-Maghribi inilah yang sebenarnya menerima tawajuh tarekat daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami.

Adapun perantaraan Syeikh Abi Yazid al-Bistami dengan Imam Ja’tar Shadiq pula, ialah Syeikh Abi Yazid al-Bistami berguru kepada Imam Ali Ridha. Imam Ali Ridha belajar kepada ayahnya Imam Musa al-Kazhim, Imam Musa al-Kazhim belajar pula kepada ayahnya Imam Ja’far as-Shadiq.

Dengan keterangan di atas tidak ragu lagi bahawa tarekat-tarekat yang diterima oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dari guru-gurunya selama berada di Mekah, Madinah dan Timur Tengah adalah sah ditinjau dari segi salasilah menurut istilah tasauf atau sanad dalam ilmu hadis.

Dari keseluruhan gurunya yang cukup ramai, yang paling banyak beliau sebut ialah Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.


MURID-MURID DAN KETURUNAN

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri sangat ramai, tetapi yang dapat dipastikan ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, beliau dikenal dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’.

Ada pun Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi di atas beliau inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu.

Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di halaman terakhir pada semua cetakan tafsir itu.

Turjumanul Mustafid yang diterbitkan sampai sekarang adalah merupakan lanjutan daripada cetakan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan dua orang muridnya itu (keterangan lanjut mengenai ini lihat buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, 1990:157-172).

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang lain pula ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau inilah yang disebut sebagai orang yang pertama sebagai penyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.

Di Jawa Barat, Indonesia terkenal seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang dianggap sebagai seorang Wali Allah. Beliau ialah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sepanjang catatan sejarah, beliau dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.

Adapun mengenai Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis ada riwayat menyebut bahawa beliau juga murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Riwayat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi itu adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Walau bagaimanapun, selembar salasilah yang ada pada penulis, yang ditemui di Kalimantan Barat, menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan.

Bahkan dianggap juga beliau sebagai orang pertama menyebarkan pelbagai tarekat lainnya, di antaranya Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah. Tetapi berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tertulis, “… kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pula, yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Kitab Kifayah.’

Ada yang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tetapi dalam penelitian penulis tidaklah demikian. Yang betul ialah ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itu, iaitu Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani dipercayai adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kerana sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani. Sebagai pengenalan awal penyelidikan murid-murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di sini setakat ini dulu dan penyelidikan lanjut masih sedang dijalankan.


KARYA-KARYA

Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu. Karya beliau telah penulis senaraikan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, sebanyak 25 buah.

Setelah buku tersebut diterbitkan, diketahui pula karya beliau yang belum termasuk dalam senarai yang tersebut. Karya-karya tersebut ialah: Aghmadhus Sail. Kitab ini baru ditemui hanya sebuah saja, iaitu yang diamanahkan kepada Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur. Kandungan kitab ini mengenai ilmu tauhid. Judul yang lain juga baru diketahui pula ialah Kanzul Insaniyi, telah menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM, nombor kelas MS1530.

Karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM pula ialah Durratul Baidha’ Tanbihan lin Nisa’ nombor kelas MS 1625.

Oleh itu, terdapat tiga karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru diketahui, dengan disebutkan tiga buah kitab yang tersebut bererti ada 27 buah karya beliau yang telah dikenalpasti kerana Hujjatul Balighah ternyata bukan karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, judul itu terpaksa digugurkan dari senarai yang telah lalu.


PENUTUP

Demikianlah satu tinjauan mengenai Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama Asia Tenggara yang berasal dari Aceh Selatan atau menurut pendapat yang lain berasal dari Mandailing (daerah Batak) yang telah menggunakan masa hidup mulai tahun 1001/1592 M.

Namun menurut pendapat lain 1024 H/1615 M, dan juga ada pendapat lain mengatakan 1620 M, hingga wafat tahun 1693 M. Setelah wafat lebih terkenal dengan sebutan Teuku Syiah Kuala.


=============================================

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين