Wednesday, October 23, 2024

ADAB MURID KEPADA SHEIKH

Oleh:- Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani

Lazimilah ilmu, zikir dan muzakarah kerana sesungguhnya sheikh tidak akan mengajakmu kepada hal-hal yang lain. Lazimilah ia hingga kau benar-benar teguh dalam merasakan kehadiran Allah bersamamu.

Jika tidak, hadirkanlah sheikhmu dalam penglihatanmu (rabitah) seakan kamu menyaksikannya dalam tiap majlis yang kamu hadiri hinggalah pada akhirnya kau akan merasakan kehadiran bersama Allah. Maka ketika itu, kamu tidak akan pernah merasakan Allah itu ghaib dari dirimu atau dari seluruh alam kehidupan ini kerana kamu telah mula menyaksikan segalanya dengan mata hati, bukan lagi dengan mata zahirmu. Inilah nazrah atau cara penglihatan bagi para arifin yang tertumpu seluruhnya hanya kepada Allah.

Mereka justeru melihat ke seluruh alam kehidupan ini dengan pandangan yang benar lagi hakiki. Tak ada lagi yang terlihat pada mereka selain padanya mereka menyaksikan Allah.

Janganlah kamu berjalan beriringan sebelah kanan atau kiri sheikhmu seakan-akan kamu sama sepertinya melainkan jika sheikhmu yang memerintahkan kau berbuat demikian. Bahkan lebih baik kamu biarkan sheikhmu ke hadapan sedikit daripadamu kerana sheikh itu adalah imam, sementara murid adalah makmumnya. Seorang makmum itu tidak mungkin akan mendahului imam.

Firman Allah سبحانه وتعالی:

"Wahai orang-orang beriman janganlah kalian mendahului Allah dan RasulNya" (Surah al Hujurat 49:1).

Ketika seorang murid menyukai sesuatu perkara, dia menyukainya kerana gurunya menyukainya juga. Dia akan bergembira ketika gurunya gembira dan bersedih ketika gurunya bersedih.

Jika ada yang berperilaku sebaliknya, maka ketahuilah selama ini dia hanya orang yang suka riak (untuk menunjuk kedekatan dengan gurunya) dan juga munafiq semata.

Demi mencari keredhaan Allah, maka hendaklah murid itu menjadikan gurunya sebagai pedoman dan panduan serta mengambil kira hal-hal yang akan menimbulkan kemarahan gurunya.

Justeru wajib bagi seorang murid untuk mencintai sesiapa pun atau apa pun yang dicintai gurunya. Hati dan jasadnya tunduk kepada gurunya sehingga selari bersama gurunya. Jika murid telah mencapai sifat ini, maka dialah pencinta yang jujur.

Ia telah melazimi hatinya selari dengan gurunya, menjauhi segala kotoran jiwa, dan dari sinilah penentu sampainya mereka yang telah disampaikan kepada Allah, dan terpisahnya mereka yang terpisah daripada Allah.

Jauhilah saudara-saudaraku dari berakhlak dengan akhlak yang awam di mana lisan mereka sering ketawa, hati mereka sering syirik dan apabila mereka mengatakan sesuatu ucapan, ucapan itu berbeza dengan apa yang ada di dalam hati mereka. Ini adalah sifat orang-orang yang lalai lagi hina. Sementara orang yang memiliki kemuliaan itu selalu selari zahir dan batinnya.

Ketahuilah bahawa perjalanan menuju Allah itu memerlukan kesungguhan. Barangsiapa yang tidak bersungguh-sungguh, maka tidaklah dia mendapatkan suatu apa pun.

No comments:

Post a Comment