Thursday, October 17, 2024

BERSYUKURLAH ATAS SETIAP KELEBIHAN DAN KEKURANGAN NESCAYA ALLAH SWT AKAN TINGKATKAN KEIMANAN DAN MEMBUKA PINTU-PINTU REZEKI

Bersyukur atau rasa terima kasih kepada Allah سبحانه وتعالی adalah satu perasaan atau sikap positif menghargai faedah atau nikmat yang telah atau akan diterima. Islam sangat menganjurkan umatnya agar sentiasa bersyukur di atas kelebihan dan kekurangan rezeki dan nikmat yang dikurniakan Allah سبحانه وتعالی. Malah sifat syukur berada pada tahap tertinggi keimanan seseorang kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur atas semua anugerah diterima di dunia ini. Allah سبحانه وتعالی berfirman :

“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.” (QS Saba’: 13).

Orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah 
سبحانه وتعالی termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidupnya. Allah سبحانه وتعالی menjanjikan akan menambah nikmat bagi orang-orang yang bersyukur. Allah سبحانه وتعالی berfirman :

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrahim: 7).

Seterusnya, kita akan meraih ketenangan hidup dan meraih ganjaran syurga kerana Allah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang sentiasa bersyukur seperti firman Allah 
سبحانه وتعالی yang bermaksud :

“Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingnya).” (QS Ali Imran: 144).

Dalam ayat yang lain Allah 
سبحانه وتعالی berfirman :

“Mengapa Allah akan menyiksamu jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” (QS an-Nisa’: 114).

Bersyukur mengajar kita erti lebih menghargai dengan setiap pemberian mahupun kurniaan Allah 
سبحانه وتعالی. Justeru, syukur itu tidak terhenti hanya di dunia sebaliknya haruslah berkekalan hingga ke akhir hayat supaya terhindar daripada sifat kufur terhadap nikmat diberi.

No comments:

Post a Comment