Tuesday, October 1, 2019

Maksud Wahdatul-Wujud

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali رحمة الله تعالى ketika berbicara tentang maksud Wahdatul-Wujud ini menjelaskan;

"Setiap makhluk tiada berdiri dengan dirinya sendiri. Ia berdiri dengan selainnya (iaitu berdiri dengan kekuasaan Allah سبحانه وتعالی). Ia (makhluk) tersebut dari sudut dirinya sendiri adalah bathil. Ini kerana, hakikatnya (hakikat makhluk) itu, dengan selainnya (iaitu dengan hakikat Allah 
سبحانه وتعالی), bukan dengan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, tiada yang haq (benar) pada hakikatnya melainkan Allah سبحانه وتعالی yang Maha Hidup lagi Maha Mentadbir, yang tiada menyerupai sesuatu. Dialah yang berdiri dengan diri-Nya sendiri, sedangkan selain daripada-Nya, berdiri dengan kekuasaan-Nya. Maka, Dialah Al-Haq dan selain daripada-Nya adalah bathil (pada hakikatnya)."


Imam Al-Ghazali رحمة الله تعالى berkata lagi tentang penyaksian Wahdatul-Wujud dalam pandangan para sufi (Al-Ihya' tajuk As-Syauq):

"Sesiapa yang kuat pandangan mata hatinya, maka keadaannya akan menjadi seimbang, di mana dia tidak lagi melihat selain daripada Allah 
سبحانه وتعالی. Dia tidak lagi mengenal selain daripada Allah سبحانه وتعالی (tidak fokus kepada yang lain-ini hal fana'). Maka, ketika itu dia mengetahui (bukan dengan pengetahuan akal semata-mata, tapi dengan penghayatan) bahawa tiada yang wujud kecuali Allah سبحانه وتعالی. (Dia mengetahui) perbuatan dirinya merupakan kesan daripada kekuasan-Nya, yang mana ianya wujud daripada-Nya. Maka, tiada wujud bagi perbuatan-perbuatannya kalau tanpa-Nya. Sesungguhnya wujud itu milik Allah سبحانه وتعالی semata-mata, yang mana dengan-Nyalah, sekalian makhluk itu wujud. Sesiapa yang dalam keadaan ini, tidak akan melihat satupun perbuatan, melainkan dia melihat Pembuatnya yang Hakiki (iaitu Allah سبحانه وتعالی)…"


Inilah kefahaman para penghulu sufi dan ahli tasawwuf yang benar, berkenaan dengan Wahdatul-Wujud. Siapakah yang berasakan dirinya lebih berilmu daripada Hujjatul-Islam Imam Al-Ghazali 
رحمة الله تعالى takkala berani menyesatkan kaum sufi hanya kerana tidak memahami maknanya dengan makna yang benar?


No comments:

Post a Comment