Tuesday, October 29, 2019

PENGERTIAN THARIQAT DAN TASAWWUF

Asal perkataan thariqat dengan maksud jalan. Ada juga menyebut dengan perjalanan menuju kepada Allah, sama ada disebut tariq atau tarekat, ia merupakan sama seperti dengan nama sirah dan mazhab. Dalam kitab Lisan al-Arab dan al-Sihah, ada juga menyebut thariqat kaum sufi dengan maksud yang terbaik dan terpilih di kalangan mereka. Ia lebih kepada perjalanan hati dalam menuju ma’rifatullah dan mardhatillah.


Dinyatakan di sini beberapa takrif berkenaan dengan thariqat :


Syeikh Al-Kasyi رضى الله عنه berkata : "T
hariqat ialah perjalanan yang khusus bagi ahli suluk menuju kepada Allah dengan memutuskan segala manzilah dan naik hingga mencapai kepada beberapa maqam."

Syeikh Al-Jurjani 
رضى الله عنه berkata : "Thariqat ialah perjalanan yang khusus oleh ahlinya dalam menuju kepada Allah dengan menghapuskan segala halangan dan menaiki kepada maqam." (Lihat al-Takrifat, hal. 160).

Imam al-Qusyairi 
رضى الله عنه berkata : "Thariqat ialah jalan atau suluk syariah, iaitu beramal dengan segala tuntutannya." (Lihat Syarh al-Risalah al-Qusyairiah, hal. 43).

Syeikh Al-Tahanawi 
رضى الله عنه pula berkata : "Ia merupakan jalan menyampaikan ke syurga. Ia adalah lebih khusus daripada syariah kerana terangkum padanya hukum-hukum syariat daripada amalan soleh yang bersifiat jasadi dan mengelakkan daripada semua yang haram dan makruh. Begitulah juga hukum-hukum yang khusus daripada amalan hati dan puncaknya berlepas diri selain Allah." 


Kebanyakan para ulama tasawwuf apabila mentakrifkan thariqat menyebut apa yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali رضى الله عنه dalam merumuskan thariqat dan tujuannya, antaranya kata beliau dalam Ihya’ 'Ulum al-Din,

"
Thariqat ialah jalan atau cara yang mendahulukan mujahadah, menghapuskan sifat mazmumah, memutus segala hubung kait dengan makhluk dan mengadap dengan penuh himmah kepada Allah. Sejauh mana pencapaian natijahnya, maka Allah lah yang menguasai hati hamba-Nya dan menanggung dalam memberi cahaya dengan cahaya-cahaya ilmu." (Lihat al-Fatawa oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud, 2/236).


Pengertian Tasawwuf

Oleh kerana hubung kait tasawwuf dengan thariqat begitu rapat dan tidak terpisah, maka dikemukakan di sini beberapa pengertian tasawwuf pada istilah yang menggambarkan hubung kait yang cukup mendalam, antaranya : 


Syeikh Ma’ruf al-Karkhi رضى الله عنه mengatakan bahawa : "Tasawwuf ialah pergantungan harap kepada Allah سبحانه وتعالی dan tidak kepada makhluk." 


Syeikh Sahl bin Abdullah al-Tustari رضى الله عنه berkata : “Sufi itu ialah seseorang yang bersih daripada maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah سبحانه وتعالی dan tidak dengan manusia. Oleh yang demikian, di sisinya tidak ada apa-apa perbezaan antara emas dan lumpur.” 


Syeikh Al-Jurairi رضى الله عنه pula menyatakan bahawa : "Tasawwuf ialah perlakuan akhlak yang tinggi dan meninggalkan perlakuan yang keji." 


Syeikh Al-Kattani رضى الله عنه menegaskan bahawa : “Sesiapa yang membekalkan kamu akhlaknya yang terpuji maka dia telah menambahkan kebersihan jiwamu.” 


Syeikh Abu al-Wafa’ al-Taftazani رضى الله عنه berkata : “Oleh itu, tasawwuf pada dasarnya adalah akhlak, dengan pengertian ini tasawwuf adalah ruh Islam kerana seluruh rukun Islam diasaskan kepada akhlak.” 


Syeikh Abu Husain An-Nuri رضى الله عنه berkata : “Tasawwuf itu bukan tulisan atau ilmu tetapi ia adalah akhlak. Jika tasawwuf itu tulisan, ia boleh diperolehi dengan latihan dan jika ilmu, ia boleh diperolehi dengan belajar. Tetapi sebenarnya maksud tasawwuf itu berakhlak dengan akhlak Allah سبحانه وتعالی (akhlak terpuji). Seseorang itu sama sekali tidak dapat berakhlak dengan akhlak ilahi hanya melalui ilmu dan tulisan." 


Syeikh Samnun bin Hamzah, dikatakan juga Samnun bin `Abdullah kunyahnya Abu al-Hasan al-Khawas رضى الله عنه berkata : “Tasawwuf ialah kamu berasa tidak memiliki sesuatupun di dunia ini, dan juga tidak dimiliki oleh sesiapapun di kalangan makhluk di dunia ini.” 


Syeikh Abu Bakar Asy-Syibli رضى الله عنه pula berkata : “Tasawwuf ialah pengabdian diri kepada Allah سبحانه وتعالی tanpa rasa keluh kesah.” Ketika ditanya sebab dinamakan dengan nama ini? Jawabnya : “Kerana baki kesan yang masih tinggal pada jiwa mereka. Kalau tidak nescaya tiada lagi nama ini bagi mereka.” 


Tasawwuf dari peringkat awal hingga akhirnya tidak boleh terlepas daripada syariat. Oleh yang demikian Al-Imam Junaid Al-Baghdadi رضى الله عنه berkata : “Zikir dengan ijtima’, tawajud dengan istima’ (seni pendengaran) dan beramal dengan ittiba’.” 


Syeikh Sariy Al-Saqaty رضى الله عنه berkata : “Tasawwuf ialah kata nama untuk tiga perkara iaitu cahaya ma’rifah seseorang tidak menghilangkan cahaya wara’nya, tidak berbicara tentang ilmu yang batin dan disanggah oleh al-Quran dan al-Sunnah, karamahnya tidak mendorong dia melanggar perkara yang diharamkan oleh Allah سبحانه وتعالی."


Syeikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani رضى الله عنه berkata  : “Tasawwuf Islam memancar di hati para wali ketika beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah. Tasawwuf juga merupakan intipati dari seseorang hamba yang beramal dengan hukum-hukum syariah.”



Hukum Mempelajari Tasawwuf

Imam Al-Ghazali 
رضى الله عنه berkata : “Hukumnya fardhu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para anbiya’.” 


Al-Imam Syeikh Abul Hasan Asy-Syadzuli رضى الله عنه berkata : "Siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya.” 


Syeikh Dahlan al-Kadiri رضى الله عنه di dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan : "Hukum belajar tasawwuf ialah wajib aini pada setiap orang mukallaf. Hal ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin."


Bertasawwuf tetapi tidak berthariqat adalah tidak sah. Tasawwuf itu ilmu sedangkan thariqat itu adalah amalannya. Barangsiapa yang ingin bertasawwuf maka wajib dia berthariqat.



No comments:

Post a Comment