Saturday, October 13, 2012

Sebahagian Para Ulama’ Masyhur dan Muktabar yang Mengambil Tarbiah Thariqat Sufiyyah

Imam Abu Hanifah رضى الله عنه

Imam Al-Haskafi Al-Hanafi رضى الله عنه berkata :

أن أبا علي الدقاق رحمه الله تعالى قال: (أنا أخذتُ هذه الطريقة من أبي القاسم النصر أباذي، وقال أبو القاسم: أنا أخذتها من الشبلي، وهو من السري السقطي، وهو من معروف الكرخي، وهو من داود الطائي، وهو أخذ العلم والطريقة من أبي حنيفة رضي الله عنه، وكلٌ منهم أثنى عليه وأقرّ بفضله..

Maksudnya :

“Abu ‘Ali Ad-Daqqaq رضى الله عنه (guru Imam Al-Qusyairi رضى الله عنه) berkata : “Saya mengambil thariqat (sufi) ini daripada Abi Al-Qasim An-Nasr Abazi رضى الله عنه”. Abu Al-Qasim berkata : “Saya mengambilnya (thariqat sufi) daripada Imam As-Syibli رضى الله عنه dan beliau (As-Syibli) mengambilnya dari Imam As-Sirri As-Saqati رضى الله عنه. Beliau (As-Sarri/As-Sirri) mengambilnya daripada Imam Ma’ruf Al-Karkhi رضى الله عنه dan beliau (Al-Karkhi) mengambilnya (thariqat sufi) daripada Imam Daud At-Tho’ie رضى الله عنه. Adapun Imam Da’ud At-Tha’ie mengambil ilmu dan thariqat (sufi) daripada Imam Abi Hanifah رضى الله عنه. Seluruh ulama’ tersebut memujinya (ilmu tasawwuf) dan mengakui kelebihannya.” [Ad-Durr Al-Mukhtar merujuk kepada Hasyiyah Ibn ‘Abidin: 1/43].

Imam Al-Haskafi رضى الله عنه berkata sebagai catatan terhadap hal tersebut dengan berkata :

فيا عجباً لك يا أخي! ألم يكن لك أسوة حسنة في هؤلاء السادات الكبار ؟ أكانوا مُتَّهمين في هذا الإِقرار والافتخار، وهم أئمة هذه الطريقة وأرباب الشريعة والحقيقة ؟ ومَن بعدهم في هذا الأمر فلهم تبع، وكل ما خالف ما اعتمدوه مردود مبتدع

Maksudnya : “Betapa anehnya wahai saudaraku! Bukankah contoh terpuji ada pada para ulama’ agung tersebut (yang mengambil tarbiah sufi)? Adakah mereka adalah golongan yang ditohmah pada pengakuan (terhadap keagungan ilmu tasawwuf) dan bermegah (dengan ilmu tasawwuf) sedangkan merekalah para imam thariqat (sufi) dan para pemimpin dalam ilmu syariah dan hakikat? Adapun orang yang setelah mereka (kaum sufi), maka kepada merekalah (para ulama’ sufi dahulu) mereka (kaum sufi sehingga hari ini) ikuti. Adapun orang yang bercanggah dengan pegangan mereka (ulama’ sufi terdahulu), maka dialah yang tertolak dan pelaku bid’ah.” [ibid].

Para ulama’ seperti Imam Ibn Mubarak رضى الله عنه, Imam Ahmad رضى الله عنه dan Imam Sufiyan At-Thauri رضى الله عنه turut memuji Imam Abu Hanifah رضى الله عنه sebagaimana disebut oleh Imam Ibn ‘Abidin رضى الله عنه dalam Hasyiyahnya terhadap kitab tadi. [ibid].


Imam Al-Harith bin Al-Asad Al-Muhasibi رضى الله عنه

Imam Az-Zahabi رضى الله عنه menceritakan tentang kecenderungan Imam Al-Muhasibi رضى الله عنه terhadap ilmu tasawwuf. Imam Az-Zahabi berkata :

صاحب المصنفات في التصوف والأحوال

“(Beliau) adalah empunya tulisan dalam ilmu tasawwuf dan ahwal.” [Al-‘Ibar 1/328].


Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali رضى الله عنه

Imam Al-Ghazali رضى الله عنه sememangnya seorang ulama’ sufi yang masyhur khususnya di marhalah akhir daripada usianya. Beliau mengarang banyak kitab dalam ilmu tasawwuf khususnya kitab Ihya’ 'Ulumuddin, Minhaj Al-‘Abidin, Minhaj Al-‘Arifin dan sebagainya.


Imam Ibn As-Sholah رضى الله عنه

Imam As-Suyuti رضى الله عنه meriwayatkan bahawasanya, Imam Ibn As-Sholah رضى الله عنه turut dipakaikan khirqah sufiyyah daripada Imam Abu Al-Hasan Al-Mu’ayyad bin Muhammad At-Thusi رضى الله عنه. [Ta’yiid Al-Haqiqah Al-‘Aliyyah 12-13].


Sultan Al-Ulama’ Imam Izzuddin bin Abdul Salam رضى الله عنه

Imam As-Suyuti رضى الله عنه meriwayatkan bahawasanya Imam Izzuddin رضى الله عنه mengambil pemakaian khirqah sufi daripada Imam As-Sahruwardi رضى الله عنه. [Husn Al-Muhadarah 1/273].

Malah, Imam Izzuddin bin Abdil Salam juga mengarang kitab Zubd Khulasah At-Tasawwuf, suatu kitab yang membahaskan ilmu tasawwuf secara mendalam.


Imam Ibn Al-Jazari رضى الله عنه

Beliau turut memakai khirqah sufi dan mengambilnya daripada ulama’ sufi. Beliau berkata dalam Manaqib Al-Asad Al-Ghalib :

وأما لبس الخرقة، واتصالها بأمير المؤمنين علي كرم الله وجهه، فإني لبستها من جماعة، ووصلت إلي منه من طرق رجاء أن أكون في زمرة محبيه، وجملة مواليه يوم القيامة

Maksudnya : “Adapun pemakaian khirqah (sufi) maka bersambung (sanad pemakaian khirqah) kepada Imam Amirul-Mu’minin Sayyidina Ali كرم الله وجهه, maka saya sendiri memakainya daripada beberapa ulama’ (sufi). Maka sampai pemakaian ini kepadaku daripada beliau (Sayyidina Ali كرم الله وجهه) dengan banyak jalan dengan harapan agar saya menjadi dalam kalangan golongan pencintanya (Sayyidina Ali كرم الله وجهه) dan dalam golongan pengikut-pengikutnya pada hari Kiamat nanti."

Beliau berkata lagi :

وللشيخ عز الدين المذكور في خرقة التصوف ثلاث طرق: أحمدية، وقادرية، وسهروردية

Maksudnya : “Di sisi Syeikh Izzuddin yang disebutkan tadi ada riwayat pemakaian khirqah tasawwuf (pakaian sufi) melalui tiga jalan (thariqat) sufi iaitu: thariqat Ahmadiyyah, thariqat Qadiriyyah dan thariqat Sahruwardiyyah.”

Beliau kemudian berkata :

وأجمع مشايخ التصوف على أن الحسن البصري صحب علي بن أبي طالب ولبس منه والله أعلم، وسألت شيخنا الحافظ إسماعيل بن كثير فقال: لا يبعد أنه أخذ عنه بواسطة، ولقيه له ممكن، فإنه سمع عثمان بن عفان

Maksudnya : "Telah bersepakat para ulama’ tasawwuf bahawasanya Imam Al-Hasan Al-Bashri رضى الله عنه bersahabat dengan Sayyidina Ali كرم الله وجهه lalu mengambil pemakaian khirqah daripada Sayyidina Ali كرم الله وجهه, wallahu a’lam. Maka saya bertanya sendiri guruku Al-Hafiz Isma’il bin Kathir رضى الله عنه maka beliau berkata: “Tidak mustahil juga kalau beliau (Imam Hasan Al-Bashri رضى الله عنه) mengambil pemakaian khirqah daripada Sayyidina Ali كرم الله وجهه dengan seorang perantara. Namun, pertemuannya (Imam Hasan Al-Bashri رضى الله عنه) dengannya (Sayyidina Ali كرم الله وجهه) suatu yang mumkin (boleh berlaku). Ini kerana, Imam Hasan Al-Bashri رضى الله عنه meriwayatkan hadith daripada Sayyidina Uthman bin Affan رضى الله عنه." [boleh rujuk kitab beliau Manaqib Al-Asad Al-Ghalib tentang manaqib Sayyidina Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه].


Imam Az-Zahabi رضى الله عنه

Imam Az-Zahabi رضى الله عنه turut memakai khirqah (pakaian simbolik bagi kaum sufi yang bersambung silsilah pemakaiannya) sebagaimana perkataan beliau :

ألبسني خرق التصوف شيخنا المحدث الزاهد ضياء الدين عيسى بن يحيى الأنصاري بالقاهرة وقال ألبسنيها الشيخ شهاب الدين السهروردي بمكة

“Syeikhna Al-Muhaddith Az-Zahid Dhiya’uddin Isa bin Yahya Al-Anshari رضى الله عنه memakaikanku pakaian khirqah tasawwuf di Kaherah. Lalu, beliau berkata : “Syeikh Syihabuddin As-Sahruwardi رضى الله عنه memakaikanku khirqah tasawwuf di Makkah…” [As-Siyar 22/377].

Imam Az-Zahabi رضى الله عنه turut menceritakan tentang Imam As-Sahruwardi رضى الله عنه dengan berkata :

الشيخ الامام العالم القدوة الزاهد العارف المحدث شيخ الاسلام أوحد الصوفية

Maksudnya : “(Beliau ialah) Syeikh Al-Imam Al-‘Alim Al-Qudwah Az-Zahid Al-‘Arif Al-Muhaddith Syeikhul Islam seorang Sufi yang hebat…” [Siyar pada menterjemahkan manaqib Imam As-Sahruwardi].


Imam Al-‘Iraqi رضى الله عنه

Imam Al-Iraqi رضى الله عنه merupakan guru kepada Imam Ibn Hajar Al-Asqollani رضى الله عنه. Imam Al-‘Iraqi memakai khirqah daripada sebahagian ulama’ sufi, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ibn Hajar رضى الله عنه.

Antaranya, Imam Imam Al-‘Iraqi رضى الله عنه mengambil pemakaian khirqah daripada Imam Majduddin At-Tabari رضى الله عنه [Ad-Durar Al-Kaminah 1/204] dan juga daripada Imam Muhammad bin ‘Atho’illah Al-Iskandari As-Syadzili رضى الله عنه [Ad-Durar Al-Kaminah 2/180].


Imam Ahmad bin Muhammad Al-Qostollani رضى الله عنه

Imam Ibn Hajar رضى الله عنه berkata :

ولبس الخرقة من جدته عائشة بنت الشيخ قطب الدين القسطلاني

Maksudnya : Beliau memakai khirqah (sufi) daripada neneknda beliau ‘Aisyah binti Sheikh Qutubuddin Al-Qostollani. [Ad-Durar Al-Kaminah: 1/101].


Imam Ibn Kathir رضى الله عنه

Imam As-Sofadi رضى الله عنه meriwayatkan kesufian Imam Ibn Kathir رضى الله عنه yang mengambil thariqat Syadziliyyah. [Al-Wafi fi Al-Wafiyyat 21-141].


Imam An-Nawawi رضى الله عنه

Imam Al-Nawawi رضى الله عنه memang terkenal sebagai seorang ulama’ beraqidah Ahlus-Sunnah Al-Asya’irah dan juga seorang sufi. Beliau mengarang kitab bernama “Maqosid At-Tasawwuf” dalam menjelaskan pendirian beliau terhadap ilmu tasawwuf dan kesufian.


Syeikhul Islam Imam Zakaria Al-Anshori رضى الله عنه


Beliau terkenal bukan sahaja sebagai ulama’ fiqh mazhab As-Syafi’e, malah beliau juga dianggap sebagai ulama’ sufi yang agung. Beliau juga tidak terlepas daripada tradisi memakai khirqah yang diambil daripada para ulama’ sufi. Antara mereka yang memberi pemakaian khirqah sufi kepada Imam Zakaria رضى الله عنه adalah : Syeikh Abu Al-Abbas Ahmad bin Ali Al-Atakawiy رضى الله عنه, Syeikh Abu Al-Fath Muhammad bin Abi Ahmad Al-Ghizzi رضى الله عنه, Syeikh Abu Hafsh Umar bin ‘Ali رضى الله عنه, Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Ali Ad-Dailami رضى الله عنه (Ibn Az-Zalbani), Syeikh Zainuddin Abdullah bin Ali Al-Khalil رضى الله عنه dan sebagainya (mereka semua adalah ulama’ mazhab Syafi’e). [rujuk Al-Kawakib As-Sayyarah oleh At-Tamimi dan Ad-Dhau’ Al-Lami’e oleh Sheikh Syamsuddin As-Sakhawi 2/250].


Imam As-Sakhawi رضى الله عنه


Beliau berkata dalam menceritakan beberapa ulama’ agung sangat menitik beratkan pemakaian khirqah dalam Al-Maqasid Al-Hasanah [331] antaranya Imam Ad-Dailami رضى الله عنه, Imam Az-Zahabi رضى الله عنه, Imam Al-Hikari رضى الله عنه, Imam Abu Hayyan رضى الله عنه, Imam Al-‘Ala’ie رضى الله عنه, Imam Al-‘Iraqi رضى الله عنه dan sebagainya. Lalu beliau sendiri menjelaskan bahawasanya dirinya sendiri memakai khirqah sufi daripada sebahagian ulama’ sufi dalam kitab tersebut.


Imam As-Suyuti رضى الله عنه


Imam As-Suyuti رضى الله عنه juga seorang ulama’ sufi yang agung di samping kemasyhuran beliau dalam bidang fiqh, hadith dan tafsir. Beliau mengarang banyak risalah membela ilmu tasawwuf dan masalah-masalah kesufian. Malah, beliau mengarang kitab khusus membela keagungan thariqat Syadziliyyah yang diberi nama “Ta’yiid Al-Haqiqah Al-‘Aliyyah”.


Tuesday, October 9, 2012

Cahaya Allah

Tasawwuf Islam adalah intipati keharuman yang terdapat dalam seluruh adab Islam; inti segala fadhilat dalam sifat-sifat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan pengajaran baginda yang mulia. Itulah semua pengajaran yang baik serta suci yang dikerjakan bersama oleh akal dan ruh sama seiring beratnya.

Tasawwuf Islam adalah Nur, iaitu cahaya Allah yang menerangi seluruh langit dan bumi alam ini.

Dr Muhammad Al-Bahi menulis dalam kitabnya, al-Janibul Ilahi minat-Tafkiril Islami (Perkembangan pemikiran umat Islam terhadap Ketuhanan Allah) beliau kaitkan Surah an-Nur : 35 yang isinya memperkatakan tentang cahaya Allah yang menerangi langit dan bumi ;

"Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayanya laksana sebuah misykat yang di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah kaca. Kacanya itu laksana bintang yang bergemerlapan (bercahaya-cahaya), dipasang dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun - tidak timur dan tidak barat; hampir saja minyaknya itu bernyala-nyala walaupun ia belum pun disentuh api. Cahaya di atas cahaya. Allah menunjukki siapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Demikianlah Allah memberikan perumpamaan bagi sekelian manusia, dan Allah Maha Mengetahui dengan setiap sesuatu."


Menurut huraian Ibnu Sina bahawa kata langit dan bumi itu mencakup sekelian alam ini selaras dengan tahap pemikiran manusia.

Cahaya Allah atau agama Allah, iaitu petunjuk Allah سبحانه وتعالی itu ibarat lampu di dalam lampu. Lampu luar itu misykat, sementara lampu dalamnya ialah lampu yang memakai kaca, sehingga ia tidak mungkin mati ditiup angin. Kaca lampu itupun sebelum dipasang lampunya sudah bersinar-sinar mengerlap kerana bahannya yang sedemikian indah ibarat bintang yang sentiasa berkerlipan cahayanya.

Minyak lampu itu pula terdiri daripada minyak pohon zaitun, di mana pohon itu pula ditanam di suatu tempat yang tidak terlindung daripada cahaya waktu pagi dan petang. Jadi, hasil minyaknya banyak dan berkualiti jauh berbeza dengan pohon yang terlindung dengan hasil minyak yang kurang dan rendah nilainya. Maka cahaya yang dipancarkan daripadanya amat terang dan bersinar.

Kemudian, minyak itu setelah diletakkan dalam lampu dan belum pun dipasang sudah mengeluarkan cahaya yang indah. Jelasnya, ada dua bahan yang bercahaya-cahaya sebelum lampu itu dipasang; iaitu kaca dan minyaknya. Jadi apatah pula tatkala lampu itu dipasang menjadikan tiga cahaya bercantum menjadi satu. Dan lampu itu pula memakai pelindung yang tidak dapat dihembus oleh angin - tidak rosak oleh gangguan luar dan tidak ada cahaya lain yang akan menggugat kegemilangannya.

Demikian cahaya Allah yang menerangi langit dan bumi; cahaya di atas cahaya. Perumpamaan ini diberikan Allah سبحانه وتعالی bagi sekelian manusia biar mereka mengerti akan hakikat cahaya Allah, iaitu agama Islam ini.


Saturday, October 6, 2012

Awan Nafsu dan Khayalan Akal Menutupi Nur Makrifat

Firman Allah :
“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak melihat (tanda-tanda dan bukti kebesaranNya)?” (Adz-Dzaariyaat : 21)

Awal agama adalah mengenal Allah, awal mengenal Allah adalah mengenal diri. Kata ‘arifbillah : “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka mengenal ia akan Tuhannya. Sesiapa yang mengenal Allah, maka binasalah (fana) dirinya.”


Firman Allah di atas sebagai pembuka segala rahsia dalam rahsia. Hanya Allah wajibal wujud dan Dia wujud pada DzatNya. Adapun sekelian wujud yang lain bukan wujud pada dzatnya, tapi wujudnya diwujudkan oleh Allah. Makhluk diwujudkan Allah untuk menunjukkan sifat Keagungan dan KebesaranNya.

Firman Allah dalam hadis Qudsi :


كنت كنزا مخفيا فأردت أن أعرف فخلقت الخلق ليعرفوني

“Aku adalah ‘Kanzun Mahfiyyan’ (yang terpendam dan tertutup). Aku ingin ditemukan dan dikenali. Kuciptakan makhluk agar mereka mengenalKu.”

Makhluk dan diri kita tiada lain melainkan ayat-ayat Allah untuk menunjukkan DiriNya. Pada kita Dia menunjukkan wujudNya, menunjukkan SifatNya, menunjukkan Asma’Nya dan menunjukkan Af’alNya. Maka barangsiapa yang melihat dirinya dan alam tanpa melihat ‘wajah Allah’, mereka adalah golongan yang terdinding dengan waham (kegelapan awan nafsu dan khayalan akal).

Mereka adalah golongan yang syirik dalam penglihatan, pendengaran, sentuhan, pemikiran dan perasaan apabila hal tersebut tiada berhubung atau bertali simpul dengan Allah. Melihat diri dan alam tanpa melihat ‘wajah Allah’ bersamanya adalah jahil murakab; Yakni jahil pada Tuhannya, tiada mengenal Ketunggalan sifat Allah dan jahil pada dirinya yakni tiada mengenal hak pada dirinya!

Firman Allah :


“Dimana kamu hadap di situlah wajah Allah سبحانه وتعالی.” (Al-Baqarah : 115)

Berkata Syeikh Ibnu ‘Athaillah Askandary رضى الله عنه dalam Syarah Hikam :

“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah jua yang menzahirkan tiap-tiap suatu daripada tiada kepada ada.”

“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah yang telah zahir dengan tiap-tiap sesuatu.”

“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah jua yang telah zahir dalam tiap-tiap sesuatu dengan KudratNya dan dengan KeagunganNya daripada segala SifatNya.”


La ilaahaa illaLlah wahdahu laasyariikalah…Tiada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu yang lain disisiNya!

Hak jasad adalah kaku terbujur yang tiada dapat berfungsi apa-apa walaupun ada mata, telinga, mulut, hidung, tangan, akal dan hati. Ia tidak dapat menepis walau seekor lalat atau nyamuk jika hinggap padanya. Ia bisu, buta, pekak, tiada bernafas, bodoh, lemah dan tiada kehendak. Tiada siapa mahu menyimpan jasad kaku ini dalam rumah walaupun di kalangan ahli keluarga yang amat menyayanginya.
Jasad adalah sarung untuk diri kita (ruh) di alam dunia ini. Diri kita telah beribu tahun di alam ruh memuji dan memandang Allah mengikut kadar yang diizinkan. Maka sampai saat Allah mahu diri kita melihat dan memujinya di alam zahir, maka diri kita dimasukkan dalam sarung badan manusia dari pelbagai jenis keturunan yang berlainan warna kulit, bentuk badan dan sebagainya.

Diri kita di alam ruh telah mengenal Allah dengan pandangan yang dibuka secara kasyaf dan memuji Allah dengan Nur Allah. Diri kita (ruh) juga adalah kaku, tiada baginya sifat melainkan Allah persifatkan ia dengan diperlihatkan, diperdengarkan, diperkalamkan, diperhidupkan, diperkehendakkan, diperilmukan dan diperkuasakan tanpa alat zahir seperti mata, telinga dan lainnya. Apabila ia dimasukkan dalam sarung badan manusia, maka segala alat anggota badan berfungsi dengan kadar yang ditentukan sesuai di alam zahir pula. Tiada tujuan lain kita dimasukkan dalam badan yang lengkap dengan alat-alat tersebut melainkan agar tetap bertauhid dan bertasbih padaNya.

Firman Allah :

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Adz-Dzaariyaat : 56)

Kita diperintah mentauhidkan DiriNya dalam pandangan, dalam pendengaran, dalam pernafasan, dalam rasa, dalam sentuhan dan dalam gerak diam.

Firman Allah :


“… Maka ke mana pun kamu menghadap disitulah wajah Allah.” (al-Baqarah: 115)

“Dan Allah bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” (al-Hadid : 4)

“Allah menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat." (as-Shofat : 96)

Begitu juga kita diwajibkan mentauhidkan DiriNya dalam perbuatan yang merangkumi aspek kesyumulan kehidupan insan sama ada dalam ibadah, pendidikan, perubatan, pekerjaan, perniagaan, makan dan minum, perkahwinan, politik, perundangan, hiburan, pergaulan, akhlak, budaya dan lainnya.
Namun apabila diri kita berada dalam badan, segala makrifat kita telah terdinding oleh dua daging iaitu daging pada kepala (otak) dan daging pada sebelah kiri (jantung). Pada otak dinamakan akal dan pada jantung dinamakan nafsu. Akal membawa kita kepada ketuhanan logik (Muktazilah) dan nafsu mengajak kita kepada ketuhanan diri (Qadariah).
Segala maklumat Alam Ruh, Alam Jabarut dan Alam Malakut tersimpan kukuh dalam sirr sanubari setiap insan. Ia tiada hilang dan perlu dibuka kembali agar tiada tertipu dengan keindahan dunia dan mengingatkan kembali asal dirinya.

Al-Quran dan Hadis adalah cahaya yang memberi petunjuk bagi segala rahsia dalam rahsia. Ia memberi jawaban kepada persoalan dari mana asal manusia, apa tujuannya di alam ini dan ke mana mereka akan pergi selepas ini. Ia membuka rahsia alam di sebalik alam yang tiada dapat dicapai dengan akal manusia yang amat terbatas.

Bermula alam tiada, diciptaNya qalam, alam ruh, alam malaikat, alam jin dan syaitan, alam zahir, alam barzakh dan alam akhirat. Sesiapa yang berpegang dengan petunjuk keduanya (Al-Quran dan Hadis) dan memahami tafsiran keduanya mengikut jalan para ulama yang Haq, nescaya mereka akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.


Selawat dan salam pada HabibuLlah Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam!

Banyakkan selawat atas Nabi wahai saudaraku, cintai sunnahnya… dengannya kamu akan memiliki cahaya yang membuka pintu ketauhidan ihsan dan menanggalkan kekotoran syirik pada batinmu!



Petikan buku "ALLAH : SYARIAT DAN HAKIKAT"

Karya al faqir Walid Ibrahim Mohamad