Saturday, September 9, 2023

PERINGKAT MANUSIA DALAM BERIBADAH

Janganlah semua hak itu menjadi tujuan, kerana semuanya merupakan balasan dari Allah, baik yang segera ataupun yang ditangguhkan. Setiap tujuan menyimpan kekurangan pada ikhlas dan membatalkan kebenaran penghambaanmu. Ibn Atha'illah رحمة الله تعالى berkata, "Barangsiapa beribadah kerana mengharapkan sesuatu dari-Nya atau mentaati-Nya agar terhindar dari hukuman-Nya, bererti dia tidak menjalankan hak dari sifat-sifat-Nya."

Dalam beribadah, manusia terbahagi kepada tiga kelompok sesuai dengan tahap keikhlasannya. Di antara mereka ada yang beribadah kepada Allah kerana takut atas hukuman-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat, atau sangat mengharapkan rahmat dan penjagaan-Nya di dunia ataupun di akhirat, mereka adalah orang-orang awam kaum Muslim. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, "Seandainya mereka tidak ada (syurga atau neraka), tentu tidak akan ada orang yang bersujud." (kelompok pertama).

Di antara mereka ada yang beribadah kepada Allah kerana mencintai-Nya dan merindukan pertemuan dengan-Nya, bukan kerana mengharapkan syurga atau penjagaan-Nya, juga bukan kerana takut pada neraka dan seksa-Nya. Mereka adalah orang-orang yang mencintai dari kalangan orang-orang yang berjalan menuju Allah (kelompok kedua). Di antara mereka ada yang beribadah kepada Allah kerana menjalankan tugas-tugas sebagai hamba dan beretika kepada Tuhan Yang Maha Agung. Dengan erti kata lain, mengakui kehambaannya dan menjalankan tugas-tugasnya kepada Tuhan. Mereka adalah orang-orang arif yang mencintai (kelompok ketiga).

[ Kitab Iqazul Himam Fi Syarhi al-Hikam, Syeikh Ibnu 'Ajibah رحمة الله تعالى ]

ZAHIRKAN KETAATANMU

"Zahirkan (tunjukkan) ketaatanmu kepada Allah سبحانه وتعالى sebagai bukti penghambaanmu seperti mana orang lain yang tidak malu untuk menunjukkan kemaksiatannya. Sebarkan juga ilmu dan kebijaksanaan yang telah dianugerahkan Allah سبحانه وتعالى kepadamu pada orang ramai.”

[ Imam Abul Hasan Asy-Syadzili رضى الله عنه ]