Saturday, November 17, 2012

ILMU THARIQAT DAN TASAWWUF

Dinaqal daripada kitab SIRRUS SALIKIN karangan bagi ulama’ yang sangat ‘Alim lagi ‘Arifbillah Asy-Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani رحمة الله تعالى.
Juz 3 – Bab 1 - m/s 2-5

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

“Bahawasanya di dalam jasad anak adam itu ada seketul daging. Apabila baik ia nescaya baik sekelian badan dan apabila binasa ia nescaya binasa sekelian badan. Ketahui olehmu iaitu HATI.”

Kata Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى : Maka sungguhnya telah nyata dengan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم ini bahawasanya asal kemuliaan manusia itu iaitu hati dan iaitu seperi raja yang diangkat di dalam alam jasad itu dan sekalian anggota yang zahir yang tinggal yakni yang lain daripada hati itu iaitu seperti tenteranya yang mengikut akan dia. (Dan ketahui) olehmu hai saudaraku yang menjalani akan jalan thariqat yang menyampaikan kepada makrifat akan Allah Taala yang sebenar-benar makrifat itu bahawasanya adalah ahli sufi memisalkan ia akan hati itu seperti raja dan memisalkan ia akan badan manusia itu seperti negeri tempat kerajaannya itu dan memisalkan ia akan segala anggota yang zahir itu tenteranya. 

(Dan) murad (*maksud) dengan anggota yang zahir itu iaitu seperti mata dan hidung dan telinga dan lidah dan tangan dan perut dan faraj dan kaki. (Maka) jikalau baik hati itu nescaya baik segala anggota yang zahir itu maka jikalau baik anggota yang zahir itu nescaya sempurna badan itu dan jikalau binasa hati itu nescaya binasa segala anggota yang zahir itu dan jikalau binasa anggota yang zahir hati itu nescaya binasalah segala badan itu. (Dan) murad dengan baik hati itu iaitu mengerjakan taat yang bathin dan menjauh akan maksiat yang bathin. (Dan) murad dengan baik anggota yang zahir itu mengerjakan taat yang zahir dan menjauh akan maksiat yang zahir. 

(Dan) murad dengan taat yang bathin itu iaitu segala sifat yang kepujian dan segala perangai yang baik seperti (IKHLAS) di dalam segala ibadat dan seperti (ZUHUD) yakni tiada sangat gemar kepada dunia dan seperti (WARA’) yakni meninggalkan segala yang haram dan segala syubhat dan seperti (SABAR) dan (SYUKUR) dan (TAWAKKAL) dan (MAHABBAH) dan (REDHA) dan barang sebagainya seperti yang lagi akan datang Insya-Allahu Ta’ala.

(Dan) murad dengan maksiat yang bathin itu iaitu segala sifat yang kejahatan dan dan segala perangai yang jahat seperti (RIAK) dan (‘UJUB) dan seperti (TAKBUR), sangat kasih kepada dunia dan (GHADAB) dan (HASAD) dan barang sebagainya seperti lagi akan datang Insya-Allahu Ta’ala. (Dan) murad dengan taat yang zahir itu iaitu seperti sembahyang dan puasa (dan) memberi zakat (dan) naik haji dan barang sebagainya. (Dan) murad dengan maksiat yang zahir itu iaitu seperti berzina (dan) meminum arak (dan) mencuri (dan) merampas (dan) membunuh orang (dan) mengumpat orang (dan) berdusta (dan) barang sebagainya.

(Soal) : Jika ditanyai orang akan dikau dengan apa membaikkan akan hati itu supaya baik dengan dia segala anggota yang zahir itu?

(Maka Jawab) olehmu bahawa membaikkan hati dengan mengamalkan ILMU THARIQAT yakni ILMU TASAWWUF dan membanyakkan Zikrullahu Ta’ala kerana tiada jadi baik hati itu melainkan dengan menjalani ilmu Thariqat ahli sufi yakni dengan belajar ilmu Thariqat kepada ahlinya serta mengamalkan akan dia dan serta mengambil Talqin Zikir dan Bai’ah kepada guru yang mursyid yang sampai silsilahnya itu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم hingga kepada Jibril hingga kepada Hak Allah سبحانه وتعالی. Dan membanyakkan zikir yang diambil talqin zikir itu daripada gurunya itu dan serta mengerjakan ia akan segala aurad dan segala ratib yang diambilnya daripada gurunya itu.

(Dan lagi) tiada baik hati itu melainkan dengan belajar ilmu yang memberi manfaat seperti ilmu yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى di dalam kitab “BIDAYATUL HIDAYAH” (dan) di dalam “MINHAJ AL ‘ABIDIN” dan di dalam “IHYA’ ‘ULUMUDDIN” dan seperti yang tersebut di dalam kitab yang faqir terjemahkan ini dan lainnya seperti segala ilmu Tasawwuf dan seperti yang tersebut di dalam kitab نفحات الألوهيه في سلوك طريقة المحمدية karangan bagi syeikh kita Sidi Syeikh Muhammad As-Saman wali Allah yang di Madinah al-Rasul. (Dan) dengan menjalani Thariqat ahli sufi ini menyampaikan ia kepada Allah Ta’ala yakni kepada makrifat akan Allah Ta’ala dengan makrifat yang sebenar-benarnya. (Dan) dengan makrifat akan Allah Ta’ala yang sebenar itu hasillah kemuliaan manusia dan kelebihan. 

(Dan) dari kerana inilah berkata Imam Ghazali رحمة الله تعالى di dalam “IHYA’ ‘ULUMUDDIN” dengan katanya : Maka kemuliaan manusia dan kelebihannya yang dengan dia melebih ia akan perhimpunan daripada segala makhluk itu iaitu dengan sebab bersedia ia bagi makrifat akan Allah Ta’ala yakni dengan sebab menjalani Thariqat yang menyampaikan kepada Allah Ta’ala yang iaitu di dalam dunia keelokkannya dan kesempurnaannya dan kemegahannya dan di dalam akhirat iaitu bekalnya dan pertaruhannya dan hanyasanya bersedia bagi makrifat itu dengan hatinya dan bukan dengan anggota yang zahir daripada beberapa anggotanya maka adalah hati itu iaitulah yang mengetahui dengan keadaan Wujud Allah Ta’ala dan segala Sifat-Nya Yang Qadim dan iaitulah beramal kerana Allah Ta’ala dan iaitulah yang menjalani kepada Allah Ta’ala dan iaitu yang menghampirkan diri kepada Allah Ta’ala dan iaitulah yang membukakan dengan barang yang pada Hadrat Allah Ta’ala dan hanyasanya segala anggota yang zahir itu mengikut bagi hati dan seperti khadamnya dan seperti pegawainya yang perbuat berkhidmat akan dia oleh hati dan yang diperamalkan akan dia oleh hati seperti mengamalkan oleh raja bagi segala hambanya seperti mengkhidmatkan oleh orang yang mempunyai rakyat bagi rakyatnya dan seperti mengamalkan oleh orang yang mempunyai pegawai bagi pegawainya itu. 

(Dan) lagi kata Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى : Dan adalah hati itu iaitu yang maqbul (diterima) pada Allah Ta’ala apabila sejahtera ia daripada bimbang akan sesuatu yang lain daripada Allah Ta’ala dan adalah hati itu yang mahjub (terhalang) daripada Allah Ta’ala apabila jadi ia karam dengan bimbang akan yang lain daripada Allah Ta’ala dan adalah hati itu yang dituntut akan berbuat ibadat akan Allah Ta’ala dan iaitu yang di خطاب oleh Allah Ta’ala makrifat akan dia yakni yang disuruhkan oleh Allah Ta’ala dan iaitulah yang ditempelak Allah Ta’ala dan iaitu yang dimurkai oleh Allah Ta’ala jika تقصير pada berbuat ibadat dan iaitulah yang diseksa oleh Allah Ta’ala jika berbuat maksiat dan iaitu yang diberi bahagia oleh Allah Ta’ala dengan hampir daripada Hadrat Allah Ta’ala maka dapat kemenangan apabila disuci akan dia daripada segala kejahatan dan diberi celaka apabila dicemarkan akan dia dengan segala maksiat dan adalah hati itu yang berbuat taat pada hakikat bagi Allah Ta’ala dan hanyasanya hasil atas segala anggota yang zahir daripada segala ibadat itu sebab mesra daripada cahaya nur hati yang baik itu. 

Dan lagi adalah hati yang jahat itu asal segala maksiat kemudian maka mesra daripadanya kepada anggota yang zahir maka jadilah anggota yang zahir itu berbuat maksiat akan Allah Ta’ala kerana segala kejahatan anggota yang zahir itu bekas daripada hati yang jahat itu. (Dan sebab) itulah bersungguh-sungguh Masyaikh ahli sufi mengetahui akan ilmu bathin yang menyucikan akan hati daripada segala maksiat yang bathin iaitu ILMU TASAWWUF dan dinamakan ILMU THARIQAT dan dinamakan ILMU SULUK kerana tiada mengetahui akan kebaikkan hati dan jahatnya itu melainkan dengan mengetahui ilmu Tasawwuf itu dan barangsiapa mengetahui akan hatinya itu nescaya mengetahui ia akan nafsunya dan barangsiapa mengetahui akan nafsunya itu nescaya mengetahui ia akan Tuhannya (seperti) sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

(من عرف نفسه فقد عرف ربه) 
Artinya : “Barangsiapa mengetahui akan nafsunya itu nescaya mengetahui ia akan Tuhannya.”

Yakni barangsiapa mengetahui akan hatinya nescaya mengetahui akan nafsunya dan barangsiapa mengetahui akan nafsunya itu nescaya mengetahui akan Tuhannya yakni barangsiapa mengetahui akan nafsunya itu bersifat dengan papa nescaya mengetahui ia akan Tuhannya itu bersifat dengan Kaya dan barangsiapa mengetahui akan nafsunya itu bersifat dengan hina nescaya mengetahui ia akan Tuhannya itu bersifat dengan Mulia dan barangsiapa mengetahui akan nafsunya bersifat dengan dho’if nescaya mengetahui ia akan Tuhannya bersifat dengan Kuat dan barangsiapa mengetahui akan nafsunya bersifat dengan lemah nescaya mengetahui ia akan Tuhannya bersifat dengan Kuasa. (Dan lagi) barangsiapa mengetahui ia akan nafsunya itu fana nescaya mengetahui ia akan Tuhannya itu bersifat dengan Baqa dan barangsiapa mengetahui ia akan nafsunya bersifat dengan hadath (baharu) nescaya mengetahui akan Tuhannya itu bersifat dengan Qadim dan barang sebagainya daripada segala sifat yang lawannya antara hamba dengan Tuhannya.


[ Alhamdulillah... telah terang dan nyata bahawa jalan untuk menyucikan hati dan seterusnya untuk makrifat dengan Allah Ta'ala hanya boleh dicapai dengan mengamalkan ilmu Thariqat dan Tasawwuf. ]