Thursday, November 28, 2019

IMAM YUSUF BIN AL-HUSSAIN AR-RAZI رحمة الله تعالى GAGAL MENDAPATKAN IJAZAH ISMUL 'AZAM DARI GURUNYA

Seorang gadis Arab yang hartawan dan rupawan telah jatuh cinta dengan Yusuf bin Al-Husain رحمة الله تعالى. Suatu malam gadis itu dengan diam-diam pergi ke tempat Yusuf.

Oleh kerana Yusuf tidak mahu bertemu dengan gadis itu, maka Yusuf pun lari dari situ. Apabila beliau tidur malam itu, beliau telah bermimpi melihat Nabi Yusuf sedang duduk di atas kerusi yang indah dan dikelilingi oleh malaikat.

Setelah melihat Yusuf bin Al-Husain, Nabi Yusuf pun berdiri dan memeluk beliau dan mempelawakan beliau duduk di sampingnya. Menurutnya Nabi Yusuf berkata yang bermaksud:

“Allah telah memberi salam-Nya kepadamu. Allah juga memberitahu kepadaku demikian: ‘Yusuf, bila Zulaikha datang kepadamu dengan niat yang jahat, kamu berdoa kepada-Ku supaya dilindungi dari niat jahatnya itu. Tetapi lihatlah Yusuf bin Al-Husain ini, kerana takutkan kemurkaan-Ku dia lari dari gadis yang hendak menemuinya itu. Dia patut dipuji. Pergilah berjumpa dengannya’. Oleh itu, saya pun pergi berjumpa denganmu. Saya sampaikan kepadamu salam sejahtera Tuhan dan nama kamu akan direkodkan dalam senarai hamba-hamba Tuhan yang soleh. Sekarang pergilah kamu berjumpa dengan Dzun Nun Al-Misri agar kamu disyafaatinya dan akan menyampaikan kepada kamu nama Allah yang teragung (اسم الله الأعظم)." (Ijazah ini merupakan nama-nama Allah yang rahsia dan hanya diberi hadiah oleh Allah nama-nama tersebut untuk para wali-Nya sahaja yang mana apa sahaja doa akan segera makbul selepas nama-nama itu dibacakan- admin)

Yusuf pun pergi ke tempat Dzun Nun Al-Misri رحمة الله تعالى dan berkhidmat kepadanya selama setahun di Mesir. Apabila Dzun Nun bertanya kepadanya apa yang ia mahu. Yusuf hanya berkata tidak ada apa-apa selain dari hendak berkhidmat selama setahun lagi.

Dzun Nun membenarkan. Setelah cukup tempohnya, Dzun Nun menyuruh Yusuf membuat satu permintaan lagi. Yusuf akhirnya berkata bahawa beliau ingin diijazahkan dengan nama Allah oleh Dzun Nun. Dzun Nun tidak berkata apa-apa. Yusuf terus berkhidmat dengan Dzun Nun.

Suatu hari Dzun Nun menyuruh Yusuf membawa sebuah mangkuk yang telah dibungkus dengan kain untuk diberi kepada seorang sufi di seberang sungai sana. Beliau berpesan supaya bungkus itu tidak boleh dibuka. Yusuf menurut sahaja dan terus pergi. Kata Dzun Nun, sufi di seberang sungai itu akan mengijazahkan Yusuf.

Sedang menyeberang sungai itu (dengan sampan), Yusuf dengar bunyi dalam mangkuk itu. Kerana pelik mendengar bunyi itu, Yusuf membuka bungkusan itu. Dengan serta-merta keluarlah seekor tikus dari dalam mangkuk itu dan jatuh ke dalam sungai (Sungai Nil) dan dihanyutkan oleh air.

Apabila sampai ke seberang sungai itu, mangkuk itu diberinya kepada sufi tersebut dan beliau memohon supaya diijazahkan. Sufi itu menjawab,

“Kamu tidak boleh memelihara seekor tikus yang diamanahkan kepada kamu. Bagaimanakah kamu boleh memelihara rahsia nama Allah yang teragung? Kamu telah gagal dalam ujian ini.”

Yusuf dukacita dan terus pulang berjuma dengan Dzun Nun dan menceritakan hal itu semuanya. Dzun Nun berkata,

“Saya telah memohon kepada Allah semasa kamu tinggal bersamaku tiga tahun di sini untuk mengijazahkan kamu. Saya memohon tidak kurang dari tujuh puluh kali. Tetapi tidak dibenarkan. Kamu sendiri tahu yang kamu telah gagal dalam ujian. Oleh itu, pulanglah ke negerimu. Tidak lama lagi kamu akan diberi ijazah di sana.”

Yusuf memohon supaya diajar lagi. Dzun Nun berkata,

“Lupakanlah semua yang telah kamu pelajari itu. Agar hijab itu boleh disingkap. Selanjutnya, lupakanlah saya ini dan janganlah sebut nama saya pada sesiapa sebagai gurumu.”

Yusuf berkata,

“Saya tidak mampu menurut kedua-dua arahan tuan itu.”

Kemudian Dzun Nun berkata,

“Oleh itu, mulalah mengajar orang ramai dengan syarahan-syarahan, tetapi ingatlah bahawa kamu jangan sekali-sekali mendirikan (mengisbatkan) dirimu (ego).”

Yusuf bersetuju menerima nasihat itu. Tetapi sedikit benar orang yang mahu mendengar syarahannya. Satu hari, langsung tidak ada orang yang mendengar syarahannya.

Tidak lama kemudian, datanglah seorang perempuan tua kepada beliau dan berkata,

"Kamu telań berjanji kepada Dzun Nun untuk memberi syarahan tiap-tiap hari dan jangan mengisbatkan dirimu (jangan letakkan dirimu antara Tuhan dengan manusia). Sekarang kamu berdiam diri sahaja. Bukankah ini telah mungkir janji?”

Barulah Yusuf mengetahui kesalahannya. Semenjak itu beliau terus memberi syarahan tiap-tiap hari selama lima puluh tahun. Tidak peduli sama ada orang hadir atau tidak.

Rujukan:

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]



Wednesday, November 27, 2019

IMAM ABU YAZID AL-BUSTAMI رحمة الله تعالى YANG MABUK DENGAN KEKASIHNYA

Seorang daripada guru Imam Abu Yazid Al-Bustami رحمة الله تعالى ialah Imam Ja'far رحمة الله تعالى. Guru ini menyuruh beliau membawa sebuah buku yang terletak di almari dalam biliknya.

Abu Yazid bertanya kepadanya di mana letaknya almari itu. Gurunya berkata,

"Kamu telah bertahun-tahun lamanya bersama aku tetapi kamu tidak tahu tempat almari itu."

Abu Yazid menjawab,

"Selama ini aku tidak pernah memandang ke atas atau ke bawah dalam bilik itu. (kerana hanya fokus kepada Allah dan ibadahnya -admin)".

Gurunya berkata, dengan hati yang puas,

"Kamu telah cukup maju, kembalilah ke Bustam, di sana kamu akan menjadi maju dan masyhur lagi dalam bidang kesufian atau kerohanian ini."

Abu Yazid pun akur kepada gurunya dan pulang ke kampung halamannya di Bustam.

~~~~~~~~~~~~~

Seorang murid beliau telah berkhidmat dengan Abu Yazid selama tiga puluh tahun. Dalam tempoh yang tersebut, setiap kali Abu Yazid berjumpa dengan murid itu beliau bertanya siapa namanya. Setelah diberitahu beliau pun memanggil nama itu. Kemudian barulah disuruh murid itu membuat sesuatu kerja.

Satu hari, murid itu bertanya,

"Tuan, kenapa tuan memain-mainkan saya? Saya telah bekerja dengan tuan semenjak tiga puluh tahun yang lalu, tetapi tuan masih tidak ingat nama saya."

Yazid yang sentiasa tenggelam dalam mengenang Allah, berkata,

"Oleh kerana nama Allah itu telah meliputi seluruh sudut hatiku, maka aku tidak ingat nama lain kecuali nama Allah."

~~~~~~~~~~~~~

Abu Yazid sendiri menceritakan apa yang dicapainya dalam bidang kerohanian ini demikian:

"Apabila Allah melepas dan memisahkan aku dari semua makhluk dan kurniakan aku dengan sinaran-Nya dan diberinya aku tahu rahsia-rahsia-Nya, maka terlihatlah oleh aku Allah itu dengan mata hatiku.

Apabila aku bandingkan nur (cahaya) Allah dengan diriku, maka terasa hina dan tidak bernilainya aku. Di hadapan kesucian-Nya, aku adalah sangat kotor."

"Aku dapati bahawa hanya dengan adanya kurniaan Allah untuk memberi daya upaya kepada kita untuk melakukan latihan kerohanian itu sahaja, maka kita dapat melakukannya; oleh itu pada hakikatnya (semua amalan kita) ialah (perbuatan) Allah jua."

"Apabila Allah memfanakan (tenggelam dalam kemabukan rohani) aku dan membawa aku baqa (kekal dalam keadaan berzikir) dengan-Nya dan membuka hijab yang mendinding aku dengan Dia, maka aku pun dapat memandang-Nya (dengan mata hati) dan ketika itu hancur leburlah pancainderaku (segala rasa dan nafsu) dan tidak dapat hendak berkata apa-apa. Hijab diri (ego) tersingkap dan aku berada di keadaan itu beberapa lama tanpa pertolongan sebarang pancaindera (kemabukan dan tidak dapat mengawal diri).

Kemudian Allah kurniakan aku mata ketuhanan dan telinga ketuhanan, dan aku dapati segala-galanya adalah di dalam Dia jua (yakni kesedaran makrifat sehingga dia hanya 'melihat' Allah dalam segala perbuatannya)."

“Dalam Dia itu (keadaan sentiasa ingat dan mabuk cinta kepada Allah), aku pinta kepada-Nya dan bermohon kepada-Nya agar Dia berada di sampingku dan jauh dari manusia dan hal-hal keduniaan, dan apa sahaja selain Dia.

Allah pun mengurniakan kepadaku rahmat-Nya dan masuklah aku ke dalam bidang tauhid (kesatuan rasa dalam hati bahawasanya segalanya adalah milik Allah), dan di situ aku diberitahu bahawa semenjak peristiwa itu, kehendak aku adalah kehendak Dia jua."

"Aku pun masuk ke dalam satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi dan wujud aku adalah kekal (cinta Allah itu kekal, berbeza dengan cinta manusia yang tidak kekal)."

"Kemudian, suara ketuhanan memberitahuku bahawa makhluk ingin melihatku. Aku menjawab, 'Aku hendak melihat Engkau sahaja, tidak mahu melihat yang lain. Tetapi sekiranya sudah kehendak-Mu supaya makhluk melihatku, maka aku patuh kepada perintah-Mu. Aku berdoa agar Engkau kurniakan kepadaku wahdaniyat (keesaanMu), agar apabila makhluk melihatku akan menumpukan pandangan mereka kepada kejadian-Mu dan kepada-Mu, dan aku tidak menjadi pengantara antara Engkau dengan kejadian (makhluk) Engkau.' lalu Allah perkenankan doaku.

Semenjak itu, dalam keadaan itu, makhluk boleh melihat aku."

"Aku keluar selangkah dari bendul ketuhanan itu (lalai dari mengingati Allah seketika) tetapi aku berasa lemah lalu jatuh. Terdengar suara ketuhanan berkata, "Bawa kembali kekasih-Ku kepada Aku, kerana dia tidak dapat hidup tanpa Aku dan tidak dapat bergerak selangkah pun tanpa Aku."
Rujukan:

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]



SYEIKH IBRAHIM ADHAM رحمة الله تعالى DIPUKUL SEHINGGA BERDARAH

Satu hari, semasa melintas sebuah belantara, Syeikh Ibrahim Adham رحمة الله تعالى bertemu dengan seorang askar yang sesat dan askar itu bertanya kepada beliau jalan menuju ke bandar.

Ibrahim menunjukkan askar itu jalan ke kubur. Apabila Askar sampai ke kuburan, dia sangat marah lalu kembali semula ke belantara tadi mencari Ibrahim. Dilihatnya Ibrahim masih di tempat sama lalu memukul kepala Ibrahim sehingga darah mengalir.

Ibrahim diikatnya dengan tali dan ditariknya ke bandar. Orang berkata bahawa yang ditarik itu ialah Sultan Ibrahim, raja kerajaan Balkh!

Askar itu berkata,

“Tapi, dia menunjukkan padaku jalan yang salah!"

Ibrahim lalu menjawab,

"Bandar ialah tempat di mana penduduknya sentiasa bertambah. Penduduk kubur itu sentiasa bertambah. Tetapi penduduk bandar pula berkurangan apabila ada orang mati. Bukankah tanah perkuburan itu sebenarnya bandar yang sedang membesar?"

Mendengar jawapan itu, askar itu pun kenal bahawa Ibrahim ialah seorang wali Allah. Dia pun menundukkan badannya tanda hormat serta memohon maaf.

Ibrahim berkata,

“Dengan sebab engkau telah berkasar denganku, aku telah dijadikan sebagai seorang penghuni syurga. Oleh itu, aku berdoa kepada Allah supaya memberimu syurga juga kerana budi baikmu terhadapku."

Rujukan: 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Syurga dipagari dengan pelbagai musibah dan kesengsaraan, tidak masuk orang ke syurga melainkan mesti mengharungi segala jerih payah itu. Para wali Allah adalah hamba Allah yang paling memahami hakikat ini maka mereka sangat gembira apabila ditimpa musibah bahkan berterima kasih pula kepada yang menzalimi mereka kerana asbab kezaliman orang kepada mereka, lalu mereka bersabar, maka mereka diredhai Allah dan dimasukkan ke syurga-Nya. Inilah Maqam nafsu Mardhiyah, iaitu satu capaian nafsu yang redha dan gembira dengan segala musibah dari Allah dan menganggap ia sebagai satu perhatian khusus dari Allah untuknya kerana mereka memahami musibah hanyalah untuk para kekasih Allah. Oleh sebab itulah para Nabi dan Rasul lah yang paling banyak menerima musibah dan kesengsaraan di dunia ini, dan orang fasik, orang kafir, orang fajir, orang munafik pula bergembira, bergelak ketawa dan bersenang lenang serta diberi kesenangan hidup oleh Allah supaya mereka terus lalai dan terus lalai.


RABI'ATUL ADAWIYYAH رحمة الله تعالى TIDAK MAHU TERIMA 18 KETUL ROTI

Suatu hari Rabi'atul 'Adawiyyah sedang duduk di rumahnya menunggu ketibaan seorang darwisy (ahli sufi) untuk makan bersamanya dengan maksud untuk melayan darwisy itu sebagai tetamu.

Rabi'atul 'Adawiyyah meletakkan dua buku roti yang dibuatnya itu di hadapan darwisy itu. Darwisy itu terkejut kerana tidak ada lagi makanan untuk Rabi'atul 'Adawiyyah (semuanya dihidangkan untuk tetamu).

Tidak lama kemudian, dilihatnya seorang perempuan membawa sehidang roti dan memberinya kepada Rabi'atul 'Adawiyyah menyatakan tuannya menyuruh dia membawa roti itu kepada Rabi'atul 'Adawiyyah,

Rabi'atul 'Adawiyyah bertanya berapa ketul roti yang dibawanya itu. Perempuan itu menjawab,

"Lapan belas."

Rabi'atul 'Adawiyyah tidak mahu menerima roti itu dan disuruhnya kembalikan kepada tuannya. Perempuan itu pun pergi.

Tidak lama kemudian perempuan itu datang semula membawa hidangan roti seperti tadi. Sekali lagi Rabi'atul 'Adawiyyah bertanya berapa ketul roti yang dibawanya itu. Perempuan itu menjawab,

"Dua puluh."

Rabi'atul 'Adawiyyah menerima roti itu selepas diberitahu bahawa ada dua puluh ketul roti dibawa perempuan itu.

Perempuan itu menangis lalu menceritakan hal yang berlaku. Sebenarnya dia itu seorang hamba sahaya kepada seorang kaya dan hidangan roti itu datang daripada si kaya tersebut. Tuannya mengirim 20 ketul roti untuk dihadiahkan kepada Rabi'atul 'Adawiyyah tetapi kerana kelaparan, perempuan itu telah makan 2 ketul ketika dalam perjalanan. Apabila sampai kepada Rabi'atul-Adawiyyah lalu hidangan itu ditolak, maka dia pun pulang dengan tangisan kerana takut kepada tuannya jika diketahui dia mencuri makan 2 ketul roti tersebut.

Apabila hidangan itu dikembalikan kepada tuannya, tuannya berasa hairan dan mendesak supaya ceritakan apa sebenarnya yang berlaku sehingga hadiahnya ditolak. Dia berlaku jujur kepada tuannya dan menceritakan hal sebenar lalu tuannya memaafkannya dan kembali menambah 2 ketul roti lagi lalu diminta hantar kepada Rabi'atul 'Adawiyyah sekali lagi.

Darwisy itu bertanya kenapa Rabi'atul 'Adawiyyah enggan menerima dan kemudian menerima pula.

Rabi'atul 'Adawiyyah menjawab, "Allah berfirman dalam Quran iaitu: Orang yang memberi dengan nama Allah maka Dia akan beri ganjaran sepuluh kali ganda. Oleh itu, saya terima hadiah apabila suruhan dalam Quran itu dilaksanakan."
Rujukan:

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar. Terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Beliau telah menjamu tetamunya itu 2 ketul roti dengan nama Allah yang Maha Kaya sehingga beliau sendiri tidak ada makanan untuk dirinya, maka Allah telah gantikan 20 ketul roti kerana setiap sedekah dengan nama-Nya akan digandakan 10 kali. Inilah tahap keimanan, keyakinan dan tawakkal yang tinggi seorang wali Allah kepada tuhannya sehinggakan 18 roti pun beliau tidak terima kerana yakin dengan janji Allah iaitu setiap sedekah pasti dibalas 10 kali ganda. Semoga Allah berikan kita Taufik dan hidayah untuk mengambil pengajaran dan teladan dari kisah pendek ini.

SEORANG SULTAN MENJADI WALI HANYA KERANA ASBAB UCAPAN RINGKAS IMAM SIRRI AS-SAQTI رحمة الله تعالى

Satu hari, semasa Imam Sirri As-Saqti رحمة الله تعالى memberi syarahan, khalifah pun datang dengan segala kebesarannya.

Pada masa itu Al-Saqti sedang berkata,

"Makhluk yang paling dimuliakan Allah ialah manusia, namun begitu manusia melakukan banyak dosa."

Khalifah sangat terkesan dengan ceramah ringkas itu lalu kembali ke istananya. Pada malam itu khalifah tidak dapat tidur kerana terkenangkan balasan Allah di akhirat kelak. Besoknya, baginda buangkan pakaian kerajaan dan memakai pakaian darwisy.

Baginda terus berjumpa As-Saqti dan berkata bahawa syarahan beliau itu telah mempengaruhinya dan menyebabkan baginda ingin membuangkan segala hal keduniaan dan ingin memencilkan diri untuk menuju jalan Allah. Baginda meminta As-Saqti menunjukkan jalan itu.

As-Saqti memberitahu baginda bahawa ada dua jalan menuju Allah itu.

1) Pertama ialah apa yang diperintahkan oleh Quran (jalan syariat) seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, memberi zakat, membaca Quran dan lain- lain perintah agama.

2) Jalan yang kedua ialah jalan yang lebih dekat (jalan tareqat/kesufian), iaitu membuangkan hal-hal keduniaan dan menghabiskan masa beribadat kepada Allah, tidak meminta kepada makhluk dan tidak menerima daripada mereka, terima pemberian (baik atau buruk) daripada Allah dan meminta kepada Dia sahaja.

Setelah mendengar itu, khalifah itu pun memilih jalan kedua dan terus pergi ke belantara. Ibunya menangis dan merungut yang As-Saqti menyebabkan anaknya jadi darwisy (sufi) dan sekarang tidak diketahui di mana dia.

Kata As-Saqti janganlah risau, dia akan kembali tidak lama lagi. Setelah khalifah yang jadi darwisy itu kembali ke tempat As-Saqti, beliau pun menjemput ibu dan anak isteri khalifah itu bertemu dengannya. Melihatkan keadaan khalifah yang telah jadi darwisy itu, mereka semuanya menangis, dan memujuknya supaya menjadi khalifah semula.

Khalifah itu pun cuba hendak pergi lagi kerana enggan menurut kata mereka. Isterinya meminta supaya dibawa anaknya seorang bersamanya (dengan harapan cinta pada anak akan buat dia kembali kepada dunia -admin).

Khalifah itu pun menanggalkan pakaian indah anaknya itu dan memakainya pakaian kasar darwisy. Apabila ibu kanak-kanak itu melihat pakaian yang buruk itu, maka disambarnya anaknya kembali dan terus mereka kembali ke istana, dengan meninggalkan khalifah yang telah jadi darwisy itu kembali ke hutan belantara.

Beberapa hari kemudian, ada orang memberi khabar kepada As-Saqti menyatakan khalifah itu tidak lama lagi akan meninggal dunia dan beliau meminta As-Saqti bertemu dengannya. As-Saqti sampai ke tempat perkuburan di mana dilihatnya khalifah itu terbaring di atas tanah. As-Saqti terus duduk dan meletakkan kepala khalifah itu di ribanya.

Khalifah itu berkata, "Tuan terlambat sedikit."

Setelah menyebut nama Allah, baginda pun mati. Semasa As-Saqti pulang ke desanya untuk mengambil alat-alat untuk menguburkan baginda itu, di tengah jalan bertemulah beliau dengan ramai orang membawa alat-alat yang diperlukan itu.

Mereka berkata bahawa mereka telah terdengar suara ketuhanan yang menyuruh mereka membawa alat-alat itu dan menyembahyangkan baginda sebagai hamba kecintaan Allah yang baru sahaja meninggal dunia.

Rujukan:

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]


IMAM ABDULLAH BIN MUBARAK رحمة الله تعالى MEMPERHAMBAKAN WALI ALLAH SEHINGGA BELIAU SENDIRI MENJADI WALI

Imam Abdullah bin Mubarak رحمة الله تعالى merupakan seorang wali Allah yang mahsyur. Sebelum menjadi sufi, beliau ialah seorang kaya. Beliau ini ada mempunyai hamba. Beliau berjanji akan membebaskan hamba ini jika dia dibayar seratus dinar (Nilai pada hari ini lebih kurang RM70,000 -admin). Hamba itu pun membayarnya beransur-ansur tiap-tiap hari.

Satu hari sahabat Abdullah memberitahu beliau,

"Hambamu itu pergi ke kubur tiap-tiap hari mencuri kain kapan dan menjualnya ke pasar. Dari hasil jualan itu dibayarnya kepada tuan."

Beliau sangat marah dan satu malam pergilah ia ke kubur mengintai apakah benar yang dikatakan oleh sahabatnya itu. Di sana dilihatnya hamba itu memakai kain yang kasar dan gelang besi di lehernya. Hamba itu masuk ke dalam kubur dan menangis merayu dan berdoa sehingga pagi. Kemudian pergi ke masjid.

Abdullah menurut hamba itu tanpa diketahuinya. Hamba itu berdoa,

"Oh Tuhan! Tidak lama lagi saya akan membayar pendapatan harianku kepada tuan badanku ini.”

Tiba-tiba satu cahaya datang hampir dengannya. Cahaya itu datang ke tapak tangannya dan menjadi wang. Semasa beliau hendak bangun pergi mengirim wang itu kepada Abdullah, maka Abdullah pun keluar dari tempat sembunyinya dan memanggil hambanya itu, lalu berkata,

“Dari hari ini marilah kita bertukar. Engkau jadi tuan dan aku jadi hamba."

Hamba itu pun lalu berdoa dan berkata,

"Sekarang rahsia telah terbuka, saya tidak mahu hidup lagi."

Dengan serta-merta hamba itu pun meninggal dunia. Beliau pun dikebumikan oleh tuannya dengan pakaian yang kasar itu.

Pada malam itu, Abdullah bermimpi Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan lain-lain aulia datang bertemu dengannya, lalu berkata yang bermaksud,

"Abdullah bin Al-Mubarak, adakah patut kamu kebumikan orang yang kami kasihi dengan pakaian kasar itu?"

Akibat daripada peristiwa inilah dikatakan Abdullah pun bertaubat dan mula menjalani hidup sebagai sufi sehingga mahsyur namanya hingga ke hari ini sebagai salah seorang wali Allah yang besar dan tinggi martabatnya. Wallahualam.

Rujukan: 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, pustaka Aman Press. ]


SOAL JAWAB DENGAN IMAM ABU YAZID AL-BUSTAMI رحمة الله تعالى

Soalan : Bagaimana hendak mencapai Allah?

Jawapan : Janganlah pandang dunia. Jangan
mendengar cakap-cakap keduniaan. Jangan
bercakap dengan orang-orang keduniaan.

Soalan : Kenapa syarahan orang lain tidak seronok
seperti syarahan tuan?

Jawapan : Saya mengeluarkan yang jati, tetapi
mereka bercampur aduk. Orang lain mengatakan 'Dia' dan 'aku', tetapi saya berkata 'Dia' sahaja.

Soalan: Kenapa orang naik haji ini tidak mencapai
kedamaian?

Jawapan : Kerana yang dicari itu terletak di satu 'tempat'. Dia sedia dan berdiri sendiri, kenapa pula mencari-Nya dengan melalui perjalanan? (Ertinya kedamaian dan ketenangan tidak terhad berada di Mekah sahaja sebaliknya di mana pun kita berada tetapi kita menjaga hubungan baik dengan Allah, maka kita akan peroleh rahmat dan ketenangan dari-Nya -admin).

Soalan : Berapa umur tuan?

Jawapan : Empat tahun, kerana hanya semenjak empat tahun yang lalu saya 'melihat' Tuhan. Tujuh puluh tahun yang terdahulu itu sia-sia sahaja dengan cakap-cakap kosong dan saya tidak kira itu sebagai umur saya.

Soalan : Siapakah wali Allah?

Jawapan : Orang yang cinta kepada Allah sahaja, tidak kepada yang lain.

Soalan : Apakah yang patut kita awasi dalam latihan
kerohanian kita?

Jawapan : Tumpukan pandanganmu pada Allah sahaja dan bukan kepada usaha kerohanian yang kamu buat itu.

Soalan : Bagaimana kita boleh mencapai Allah?

Jawapan : Buangkan diri (ego) kamu, di situ terletak jalan menuju Allah. Barangsiapa yang melenyapkan (fana) dirinya dalam Allah, maka didapatinya bahawa Allah itu segala-galanya.

Rujukan : 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Semoga soal jawab ringkas ini menjadi panduan besar buat para Salik (para murid sufi yang sedang dalam perjalanan menuju Allah) kerana ilmu tasawwuf itu bukan ilmu "sembang" sebaliknya adalah ilmu "praktikal" yang sangat menitikberatkan praktikal dalam kehidupan harian. Mengetahui "teori" dan "ilmu" atau "maklumat" tentang tasawwuf tidaklah menjadikan seseorang itu sufi, sebaliknya mereka yang mengikuti jejak langkah para wali ini lah yang layak digelar salik dan sufi. Semoga Allah Islah kita semua dengan sebenarnya Islah. Wallahualam.


IMAM ABU YAZID AL-BUSTAMI رحمة الله تعالى DITEGUR ANJING

Suatu hari, tatkala Abu Yazid رحمة الله تعالى berjalan di satu lorong, maka datang seekor anjing.

Beliau menarik pakaiannya ke atas sedikit agar tidak tersentuh oleh anjing itu.

Anjing itu pun berkata dalam bahasa manusia,

“Jika aku kering, sia-sia menyinggung aku, dan jika aku basah, tuan boleh cuci pakaian itu dengan air (dan tanah untuk menyucikan najis mughallazah -admin). Tetapi rasa hina yang ada di dalam hatimu terhadap aku tidak dapat dibasuh dengan air dari tujuh batang sungai. Dosa batin itu payah hendak dibasuh. Hatimulah yang sebenarnya kotor."

Abu Yazid tersentap dengan teguran itu lalu berkata,

"Wahai anjing, kamu ini sangat bijak, marilah tinggal denganku seketika."

Anjing itu menjawab,

"Tidak, kita berdua tidak boleh tinggal bersama kerana aku ini dihina oleh dunia tetapi tuan dipuji oleh dunia. Di samping itu, aku tidak menyimpan makanan untuk besok tetapi tuan menyimpan makanan untuk setahun."

Abu Yazid berkata,

"Sekiranya aku tidak sesuai dan layak tinggal dengan anjing, bagaimana pula aku hendak hampir dengan Tuhan dan duduk di majlis-Nya. Puji-pujian bagi Tuhan yang menghinakan aku dan mengajar orang-orang melalui perkara-perkara yang kecil."

Rujukan: 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]


SULTAN IBRAHIM ADHAM رحمة الله تعالى "MEMBUNUH" ANAK KANDUNGNYA SENDIRI DI HADAPAN KA'BAH

Semasa Syeikh Ibrahim Adham رحمة الله تعالى raja dahulu, beliau ada seorang anak. Setelah anak itu dewasa dan mendapat tahu bapanya ada di Mekah (beliau berpindah ke sana kerana tidak mahu dikenali sesiapa -admin), maka anak itu bersama ibunya dan empat ratus orang rakyatnya pergi ke Mekah hendak berjumpa dengan bapanya itu.

Setelah sampai di Mekah, mereka bertanya kepada murid-murid Ibrahim di mana beliau sekarang berada. Kata mereka Ibrahim telah pergi ke hutan mengambil kayu api untuk dijual dan hasil jualan itu digunakannya untuk dirinya dan murid-muridnya.

Anak itu pun terus menuju hutan mencari bapanya. Alangkah tercengangnya anak itu melihat bapanya terbongkok-bongkok membawa kayu api yang berat di belakangnya. Si anak menangis melihat keadaan bapanya dan terus mengikuti bapanya itu beberapa jauh tanpa terlihat mata si bapa.

Setelah sampai ke pasar, bapanya itu pun berteriak,

"Orang yang mencari duit dengan halal, marilah beli kayu api yang dicari secara halal ini!"

Datang seorang hamba Allah membeli kayu itu dan sebagai tukaran dengan kayu itu diberinya beberapa buku roti. Diterimanya roti itu dan dibawanya kembali ke tempatnya dan diberinya kepada murid-muridnya. Sambil mereka makan roti itu, Ibrahim sedang duduk menyembah Allah. Apabila mereka telah habis makan, Ibrahim dengan murid-muridnya itu pun bertawaf mengelilingi Ka'abah. Murid-murid itu diberi amaran supaya jangan melihat belia-belia yang lawa atau duduk bersama-sama mereka.

Tatkala Ibrahim mengelilingi Ka'abah itu, anaknya pun pergi berjumpanya. Dengan tidak sengaja, beliau terpandang anaknya. Murid-muridnya tercengang kenapa beliau sendiri melanggar larangan itu. Murid-muridnya bertanya kenapa Ibrahim melihat anak muda itu pada hal beliau sendiri melarang mereka berbuat demikian.

Ibrahim berkata,

"Sebenarnya sebelum aku menjadi orang sufi dahulu, aku adalah seorang raja dan mempunyai anak, dan rupa anak itu serupa dengan dia (anaknya) yang nampak di sana itu. Rasaku dia itu adalah anakku."

Seorang murid beliau pergi mencari anak itu dan menemuinya sedang mengaji Quran, sambil air matanya mengalir membasahi pipinya. Murid Ibrahim itu bertanya siapakah anak itu.

Anak raja Ibrahim itu pun menjawab,

"Aku ini anak raja Balkh. Bapaku menjadi seorang sufi dan sekarang aku hendak mencari dia (Ia terus menangis). Kelmarin aku nampak dia tetapi aku tidak mahu berjumpa dengannya sebab khuatir dia akan menyembunyikan dirinya. Nama bapaku ialah Ibrahim bin Adham."

Murid itu membawa anak raja itu serta ibunya pergi berjumpa Ibrahim. Apabila ternampak sahaja Ibrahim, isterinya itu pun berteriak,

“Dialah sultanku!"

Permaisuri, anaknya dan murid-murid Ibrahim pun bercucuran air mata. Anak itu menangis hingga pengsan. Apabila sedar, anak itu pun memberi salam kepada bapanya. Bapa itu pun memeluk anaknya dan bertanya kepada anak itu apakah ugamanya. Anak itu menjawab bahawa ia adalah orang Islam.

"Tahukah kamu Quran?" Tanya Ibrahim.

"Ya." Kata anaknya.

Tatkala Ibrahim berdiri hendak pergi, anaknya terus memeluk beliau dan permaisuri itu merasa sedih kerana perjumpaan yang sebentar benar itu. Ibrahim diam.

Kemudian beliau berdoa, "Aku cinta kepadaMu ya Allah, tidak kepada yang lain."

Sebentar itu juga anak itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam pelukan bapanya. Murid-murid Ibrahim terkejut melihat peristiwa itu dan bertanya kepada beliau apakah maksud peristiwa itu.

Ibrahim menjawab, "Apabila aku mula-mula memeluk anakku itu, perasaan cinta timbul padaku. Tiba-tiba terdengar suara berkata, 'Ibrahim, engkau mengaku cinta seluruhnya kepada-Ku, tetapi kenapa engkau cinta pula kepada yang lain? Engkau larang murid-muridmu melihat belia-belia tetapi engkau sendiri bercakap-cakap dengan isteri dan anak kau. Buatlah pilihan: Sama ada cinta kepada-Ku sahaja atau anak dan isterimu.'

Dengan segera aku berdoa, 'Dengarlah rayuanku, wahai Tuhan, oleh kerana cinta kepada anak menarik perhatianku daripada-Mu dan tidak mengingat-Mu walau sedetik pun, maka lebih baiklah Engkau cabut nyawaku atau nyawanya'".

Tuhan kabulkan doa Ibrahim, lalu nyawa anaknya itu pun diambil Allah.

Rujukan: 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar. Terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Dunia ini dipenuhi dengan "pecinta" yang palsu, mereka menyebut di lidah tetapi tidak di hati. Mereka tak sanggup korban apa pun untuk "cinta" mereka dan tanpa berfikir panjang akan terus memilih "selain Allah" apabila perlu memilih. Membaca kisah-kisah para "pecinta" sebenar akan membuatkan hati kita tawadhuk, rendah diri dan malu dengan sifat munafik yang membarah dalam hati kita. Semoga Allah Islah kita semua dengan sebenarnya Islah. Aamiin.


SYEIKH DZUN NUN AL-MISRI رحمة الله تعالى MENJADI SUFI SELEPAS BERTEMU PARA WALI YANG MENYEKSA DIRI

Beliau ini ialah seorang yang handal dalam bidang kerohanian ini dan termasyhur kerana warak, salih dan ibadatnya. Penduduk Mesir banyak yang menganggap beliau sebagai tukang bidaah dan beliau ditentang oleh orang-orang yang anti kepada beliau. (Hal ini biasa berlaku kepada mana-mana wali Allah kerana keadaan zahir mereka berbeza dengan hakikat mereka. -admin).

Bagaimana beliau termasuk dalam bidang kerohanian atau kesufian ini, adalah diceritakan seperti berikut: 


Ada seorang hamba Allah memberitahu beliau bahawa seorang wali Allah yang besar telah menggantungkan dirinya tunggang balik pada sepohon pokok.

Beliau pun pergi berjumpa orang yang menggantung diri itu dan bertanya kenapa beliau menyeksa dirinya seperti itu.

Kedengaran orang yang menggantung diri itu berkata kepada dirinya sendiri,

"Wahai badanku! Selagi kamu tidak patuh kepada rohaniku aku akan hukum kamu hingga mati!"

Dzun Nun menangis melihat perkara itu. Orang yang menggantung diri itu mendengar tangisan Dzun Nun dan terus orang itu berkata,

"Siapakah orang yang berdosa itu yang menangis dan kasihan kepadaku?"

Dzun Nun pergi ke depan orang itu dan memberi salam lalu bertanya kenapa ia menyeksa badannya.

Orang itu menjawab, "Badanku tidak diam dalam ibadatku kepada Allah, oleh itu, aku hukum dia."

Dzun Nun berkata, "Saya sangka tuan telah membunuh orang atau membuat dosa yang besar."

Beliau berkata, “Tidak ada dosa yang paling besar daripada berkawan dengan ahli dunia kerana semua dosa terbit dari berkawan dengan mereka itu!"

Dzun Nun berkata, “Tuan benar-benar wali Allah yang salih".

Orang itu berkata, "Tidak! Jika kamu hendak bertemu dengan wali Allah yang salih, pergilah ke bukit sana."

Dzun Nun pergi ke bukit yang dikatakan oleh orang itu. Di situ dijumpainya seorang darwisy (sufi) dan sebelah kakinya bercerai dari badannya. Kaki yang bercerai itu tergelimpang di depan pintu dan telah busuk di makan ulat. Darwisy tersebut sedang duduk mengenang Allah di ruangan gua itu.

Dzun Nun bertanya apakah maksud perkara ganjil yang dilihatnya itu. Darwisy atau wali itu menjawab,

"Satu hari aku duduk di bilikku. Sedang duduk itu aku terdengar bunyi kaki seorang gadis melangkah. Gadis itu sedang berjalan di situ. Di waktu itu timbullah nafsu jantina di hatiku. Aku pun bangun melihat dia. Tiba-tiba terdengar suara berkata,

'Tidakkah engkau malu menghambakan diri kepada syaitan, setelah engkau menghambakan dirimu kepadaKu, semenjak 30 tahun yang silam?'

Suara ketuhanan itu menyindir aku. Oleh itu, kakiku yang telah melangkah bendul kerana tujuan yang jahat tadi pun aku potong."

Orang itu bertanya kepada Dzun Nun kenapa beliau mahu berjumpa dia yang berdosa itu (beliau pun menjelaskan kedatangan beliau untuk bertemu wali Allah -admin).

Katanya lagi, jika hendak bertemu dengan wali Allah yang sebenarnya, Dzun Nun hendaklah naik lagi ke atas bukit itu dan akan dijumpai di situ seorang yang benar-benar wali Allah.

Oleh kerana Dzun Nun tidak mahu naik lagi ke atas, maka beliau pun meminta orang itu menceritakan tentang wali Allah yang dimaksudkan itu.

Orang itu berkata, "Telah bertahun-tahun lamanya wali Allah itu tinggal di atas bukit itu. Semasa ia tinggal di situ, suatu hari, datanglah seorang hamba Allah melihatnya dan berkata bahawa pergilah mencari nafkah sendiri (orang tersebut tidak senang wali Allah ini hanya beribadat tanpa bekerja mencari nafkah seperti kebanyakan orang pada hari ini yang memandang sinis kepada ahli agama- admin).

Semenjak itu wali itu pun tidak mahu meminta sesuatu dari manusia lagi. Kadang-kadang dia tidak makan langsung. Tetapi lama kelamaan, dengan kehendak Allah, dia diberi rezeki oleh Allah melalui lebah yang memberinya makan madu. Lebah-lebah itu datang menggugurkan madunya untuk dia. Itulah yang dimakannya dan menghilangkan lapar dan dahaga."

Dzun Nun sungguh terpesona mendengar cerita ganjil itu.

Semasa beliau turun bukit tersebut, Dzun Nun lihat seekor burung buta bertenggek atas dahan pohon. Terlintas di hatinya hendak tahu bagaimana burung itu dapat makan. Tiba-tiba burung itu turun ke tanah dan mematuk tanah itu dengan muncungnya. Setelah tanah itu digalinya maka di situ dilihatnya ada jagung dan besen emas mengandungi air. Itulah yang dimakan burung itu . Kemudian tanah itu balik seperti biasa semula. Burung itu pun balik terbang ke dahan pokok itu.

Selepas peristiwa itu, Dzun Nun pun bertambah yakin bahawa siapa yang sentiasa mengenang Allah, dia akan diberi Allah rezeki dan dipelihara oleh Allah, dan dia tidak akan berlindung kepada yang lain selain Allah. Semenjak itu Dzun Nun tidak lagi menghiraukan halhal keduniaan, dan terus menyebut nama Allah sentiasa dan menjalankan amalan-amalan kerohanian. (Sehingga menjadi wali Allah yang terkenal sehingga ke hari ini- admin).

Rujukan:

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa' Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Orang yang berdosa besar pun masih tidak merasai nikmat taubat dalam munajatnya, jauh sekali ingin bertaubat kerana bermalas-malasan dalam ibadat. Sungguh kisah-kisah orang Soleh akan menghidupkan hati kita sepertimana yang disarankan oleh para ulama tasawwuf. Semoga Allah Islah kita semua dengan sebenarnya Islah.

SYEIKH IBRAHIM ADHAM رحمة الله تعالى, SULTAN KERAJAAN BALKH SEBELUM MENJADI SUFI

Sebelum menjadi seorang sufi, Syeikh Ibrahim Adham رحمة الله تعالى ialah raja di Balkh. Beliau sangat kaya. Suatu malam, tatkala ia sedang tidur di istana, beliau terdengar bunyi langkah orang sedang berjalan di atas atap istananya.

Beliau terjaga dan bertempik. "Siapakah di atas atap itu?"

Terdengar jawapan, "Bukan orang asing, tetapi ialah orang yang engkau ketahui. Aku mencari unta kami yang kehilangan di sini."

Raja itu pun berkata, "Wahai orang asing, bagaimana kamu sangka unta kamu boleh dijumpai di sini?"

Suara itu menjawab, "Seperti kamu menyangka bahawa Allah itu ada di istana ini dan memakai pakaian raja." (Ertinya, kau mahukan cinta Allah, tetapi masih bersenang-senang dengan kelalaian dunia seperti harta dan pangkat - admin)

Kemudian, perasaan takut kepada Allah pun menguasai raja itu.

Beberapa hari kemudian, satu lagi peringatan telah datang kepada beliau semasa beliau duduk di penghadapan. Peringatan itu ialah datang seorang hamba Allah menuju kepada raja itu. Orang itu gagah dan agung rupanya. Tiada siapa hadirin yang berani menegur orang yang datang itu. Orang itu terus menuju raja dan memandang keliling. Raja Ibrahim bertanya apakah yang hendak dicari.

Orang itu menjawab, "Aku hendak mencari tempat yang sesuai untuk duduk di kafilah (penempatan awam) ini."

Ibrahim berkata, "Tapi di sini tidak ada kafilah. Ini istanaku."

Orang yang ganjil itu menjawab, "Siapa punya istana ini sebelum tuanku?"

Jawab Ibrahim, "Bapaku."

Orang itu bertanya lagi, "Sebelum bapamu?!"

Ibrahim menjawab, “Datukku."

Orang itu berkata, "Apakah yang tuan panggil tempat ini, yang di dalamnya seseorang itu duduk sementara waktu, kemudian pergi, dan diambil alih oleh orang lain pula?"

Orang itu pun ghaib. Ibrahim berdoa kepada Tuhan agar ia diberitahu siapakah orang yang ganjil itu. Beliau akhirnya mendapat tahu bahawa orang yang ganjil itu ialah Nabi Khidr عليه السلام. Serta merta Raja Ibrahim pun berasa takut kepada Allah.

Pada suatu hari, Ibrahim pergi berburu dengan pengikut-pengikutnya. Sedang mengejar seekor rusa yang cantik, dia dan kudanya telah terpisah dari pengikut-pengikutnya itu, lalu sesat di tengah belantara.

Di situ terdengar olehnya suara, "Ibrahim, berjaga-jagalah sebelum nyawa bercerai dengan badan."

Suara itu berulang-ulang berkata demikian. Ibrahim berasa ketakutan dan terus pengsan. Apabila sedar semula, dilihatnya rusa itu ada di sisinya. Ibrahim terus hendak memanah rusa itu. Sebelum anak panah itu melancar, rusa itu menghambur menuju Ibrahim dan bercakap,

"Aku hendak memburumu, bukan aku yang engkau buru. Engkau tidak boleh bunuh aku. Adakah Allah menjadikan kamu untuk membuat apa yang engkau lakukan ini? Tidakkah ada kerja lain yang lebih baik lagi?"

Perkataan ini terdengar oleh pengikut-pengikut Ibrahim. Mendengarkan suara itu, Ibrahim pun takut. Iman pun mula bertambah tebal dalam hatinya. Ia terus bertaubat. Air matanya mengalir dan membasahi pakaiannya, terasa olehnya selama ini ia telah mensia-siakan hidupnya.

Ibrahim terus masuk ke dalam hutan. Pakaiannya ditukarnya dan dipakainya pakaian gembala kambing. Kasutnya dibuang. Beliau pun berjalan berkaki ayam ke dalam hutan itu. Sepanjang masa ia menangis terkenangkan dosa yang telah dilakukannya.

Dijumpainya satu gua. Ia pun terus masuk ke gua itu dan tinggal di situ selama sembilan tahun. Hanya pada hari Jumaat sahaja ia keluar mencari kayu api dan menjualnya ke pasar (dan untuk solat Jumaat - admin). Hasil jualan itu digunakannya (untuk keperluan seminggu) dan yang berlebihan disedekahnya kepada orang-orang fakir yang ada di sekitar tempat itu.

Lama-kelamaan orang pun tahu hal dirinya dan ramailah orang ingin hendak berjumpa dengan beliau. Oleh kerana beliau tidak suka dikunjungi orang ramai, beliau pun meninggalkan tempat itu dan pergi ke Mekah.

Syeikh Abu Said رحمه الله berkata, setelah Sultan Ibrahim Adham رحمه الله meninggalkan kerajaan dan menjadi sufi, beliau telah melawat gua tempat Ibrahim mengasingkan diri itu. Didapatinya gua itu masih ada berbau wangi meskipun Ibrahim telah lama meninggalkan gua itu.

Wallahualam.

Rujukan: 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa' Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Jika dibandingkan seluruh kerajaan dan kemewahan yang beliau telah korbankan demi sebuah cinta Allah yang hakiki, sesungguhnya mengorbankan seluruh kerajaan itu adalah tersangatlah kecil kerana cinta Allah yang dikurniakan kepadanya sehingga menjadi wali Allah besar dan namanya didoakan umat Islam sehingga ke hari ini merupakan nikmat yang begitu besar dan mungkin saja beliau kini sedang dikurniakan Allah kerajaan dan istana yang lebih besar dan berkali ganda lebih mewah dan hebat di syurga.


BAPA RATU SUFI, RABI'ATUL ADAWIYAH MENDAPAT "HADIAH" DARIPADA RASULULLAH ﷺ

Ibu bapa Rabi’atul Adawiyyah adalah orang miskin. Hinggakan dalam rumah mereka tidak ada minyak tanah untuk memasang pelita dan tidak ada kain untuk menyelimuti badan beliau yang masih kecil. 

Beliau ialah anak yang keempat (Disebabkan itu beliau diberi nama "Rabi'ah" رابعة yang bermaksud "ke empat"). Ibunya menyuruh ayahnya meminta minyak dari jiran. Tetapi bapa beliau telah membuat keputusan untuk tidak akan meminta kepada sesiapa kecuali kepada Allah.

Bapa itu pun pergilah berpura-pura ke rumah jiran dan perlahan-lahan mengetuk pintu rumah itu agar tidak didengar oleh orang dalam rumah itu. Kemudian dia pun pulang dengan tangan kosong. Katanya orang dalam rumah itu tidak mahu membuka pintu.

Pada malam itu si bapa bermimpi yang ia bertemu dengan Nabi ﷺ. Nabi ﷺ bersabda kepadanya yang bermaksud,

“Anak perempuanmu yang baru lahir itu adalah seorang yang dikasihi Allah, dan akan memimpin banyak orang Islam ke jalan yang benar. Kamu hendaklah pergi berjumpa amir (gabenor/ketua) Basrah (ibu kota Iraq) dan beri dia sepucuk surat yang bertulis – kamu istiqamah berselawat kepada Nabi ﷺ seratus kali tiap-tiap malam dan empat ratus kali tiap-tiap malam Jumaat. Tetapi oleh kerana kamu tidak mematuhi peraturan pada hari Khamis sudah, maka sebagai dendanya kamu hendaklah membayar kepada pembawa surat ini empat ratus dinar".

Bapa Rabi'atul Adawiyyah pun terus jaga dari tidur dan pergi berjumpa dengan amir tersebut, dengan airmata kesukaan mengalir di pipinya. Apabila berita itu sampai kepada Amir, beliau sungguh berasa gembira membaca surat itu dan faham bahawa beliau ada dalam perhatian Nabi ﷺ. Amir pun memberi sedekah kepada fakir miskin sebanyak seribu dinar dan dengan gembira memberi bapa Rabi'atul 'Adawiyyah sebanyak empat ratus dinar.

Amir itu meminta supaya bapa Rabi'atul 'Adawiyah selalu mengunjungi beliau apabila hendakkan sesuatu kerana beliau sungguh berasa bertuah dengan kedatangan orang yang hampir dengan Allah.

Rujukan: 

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa'Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press. ]

Nota: Ayah yang Soleh akan melahirkan anak yang Soleh. Anak yang Soleh membawa keberkatan yang banyak dalam keluarga sehingga keberkatan Rabiatul Adawiyah mendapat perhatian daripada Baginda Nabi ﷺ. Semoga kita semua dikurniakan hidayah dan Taufik untuk menjadi Soleh, disucikan hati dan mendapat pula anak-anak yang Soleh dan solehah. Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin.


BAGAIMANA IMAM HASSAN AL-BASRI رحمة الله تعالى BERTAUBAT DAN MENJADI SUFI

Sebelum Imam Hasan Al-Basri رحمة الله تعالى menjadi seorang sufi, beliau ialah seorang jauhari (peniaga intan berlian). Satu hari beliau pergi ke satu tempat bernama Rum (di Asia Minor) kerana berniaga, dan pergi berjumpa menteri sultan. 

Menteri itu berkata kepada beliau, “Anda hendaklah menunggu beberapa hari lagi kerana pada masa ini saya akan menemani sultan dalam satu kerja pentingnya. Jika anda mahu, anda bolehlah bersama kami."

Hasan pun berangkatlah bersama sultan, menteri dan lain-lain. Mereka masuk ke satu hutan yang luas. Di tengah hutan itu ada terdiri sebuah khemah yang hebat, yang dikawal oleh askar-askar.

Pegawai-pegawai tentera masuk ke khemah itu dan kemudian keluar. Kemudian mereka berjalan mengelilingi khemah itu, dan kemudian pergi.

Setelah itu tiba pula orang-orang tua yang kehormatan masuk ke khemah itu, berkata sesuatu, kemudian keluar, lalu mengelilingi khemah itu dan pergi.

Kemudian datang pula golongan pakar-pakar perubatan dan berbuat demikian juga.

Kemudian giliran dua ratus orang gadis yang cantik-cantik pula berbuat demikian.

Akhirnya datanglah sultan dengan menterinya; baginda masuk ke dalam khemah itu, berkata sesuatu, keluar dan mengelilingi khemah itu dan terus pergi.

Hasan hairan melihat peristiwa itu. Beliau bertanya kepada menteri yang menemaninya itu.

Kata menteri tersebut, "Sultan itu mempunyai anak yang kacak dan berani telah meninggal dunia di sini. Anak itu dikuburkan di tempat khemah itu terdiri. Tiap-tiap tahun kami mengunjungi tempat ini dan melakukan upacara yang tuan baru saksikan tadi.

Mula-mulanya pihak tentera pergi ke kubur itu dan berkata kepada yang berkubur di situ iaitu anak raja itu, "Jikalah dengan senjata kami, dapat kami menyelamatkan kamu dari Tuhan Kematian, akan kami korbankan nyawa kami untuk menyempurnakan tujuan itu, tetapi apakan daya kami tidak berupaya."

Kemudian datang pula pihak cendekiawan yang berkata, “Jikalau ilmu dan pengalaman kami dapat menyelamatkan kamu dari mati, tetapi apakan daya kami tidak berupaya."

Kemudian datang pula pihak tabib, berkata, "Jika ubat-ubat kami dapat menyelamatkan kamu dari mati, tentu kami akan berusaha menyelamatkan kamu, tetapi apakan daya, kami tidak berupaya."

Kemudian pihak gadis-gadis yang cantik itu pula berkata, "Jikalau kecantikan kami dapat menyelamatkan kamu dari mati, nescaya kami korbankan apa sahaja untuk kamu, tetapi apakan daya, kami tidak berupaya."

Selepas itu, datang pula sultan ditemani oleh menteri-menterinya dan berkata, "Anakku! Kami berusaha sedaya upaya dengan kekuatan tentera, tabib-tabib, dan lain-lain untuk menyelamatkan kamu dari mati, namun takdir Tuhan itu tetap berlaku jua. Selamatkanlah kamu tinggal di sini dan kami akan datang lagi tahun depan, pada masa ini juga."

Peristiwa ini sangat mengharukan fikiran Hasan dan mengubah sikapnya. Beliau lalu bertaubat dan menghabiskan hidupnya dengan beribadat kepada Allah dan bersedia untuk menghadapi mati. Beliau kembali ke Basrah. Perniagaannya ditinggalkannya. Beliau pergi jauh dari manusia ramai dan bersumpah tidak akan senyum sepanjang hidupnya. Tujuh puluh tahun lamanya beliau tidak berhenti-henti beribadat kepada Allah. Dalam hidupnya hanya satu sahaja keperluan dan tujuannya iaitu Allah. Dia tidak peduli apa sahaja selain Allah.


Rujukan:

[ Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syeikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu Pustaka Aman Press. ]



Saturday, November 23, 2019

ZIKIR SAMBIL MENARI DAN MENGUCUP TANGAN & KAKI ORANG SOLEH : SUATU PENJELASAN ILMIAH


Berkenaan dengan zikrullah, Allah سبحانه وتعالی berfirman (mafhumnya) : “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ‘Ali-‘Imran ayat 191). 

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya. Allamah al-Alusi رحمة الله تعالى dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini dijelaskan dengan sebuah riwayat oleh Sayyidina Ibnu Umar رضى الله عنه, Sayyidina Abdullah bin Zubair رضى الله عنه dan lain-lain bahawa suatu hari mereka keluar ke tempat solat raya. Sampai di sana mereka mula berzikir kepada Allah سبحانه وتعالی, tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata "Bukankah Allah berfirman 'dan mereka mengingati Allah ketika berdiri dan duduk...". Maka mereka semua bangkit dari tempat duduk masing-masing dan mula berzikir dengan berdiri untuk mengambil berkat dengan mengamalkan ayat al-Quran tersebut.

Sebuah hadits yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad رحمة الله تعالى di dalam Musnadnya dan al-Hafiz al-Maqdisi رحمة الله تعالى dengan rijal sahih, daripada hadits Sayyidina Anas رضى الله عنه telah berkata ; "Adalah orang Habsyah menari di hadapan Rasulullah ﷺ dan sambil mereka berkata "Muhammad hamba yang soleh".

Bertanya Rasulullah ﷺ : "Apa yang mereka katakan?" Maka dikatakan kepada Rasulullah ﷺ, "Sesungguhnya mereka berkata, "Muhammad hamba yang soleh".

Ketikamana Rasulullah ﷺ melihat mereka dalam keadaan itu Nabi ﷺ tidak mengingkari mereka dan membenarkan perkara tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan hadits taqriri atau sunnah taqririyyah sepertimana diistilahkan oleh ulamak hadits seperti Al-Imam Nawawi رحمة الله تعالى dan dinaqalkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani رحمة الله تعالى ;

ما أضيف إلى النبي صلى الله عليه وسلم من قول أو فعل أو تقرير

[ Apa yang disandarkan kepada Nabi ﷺ daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan.]


Latar belakang kepada hadits di atas seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari (949), Imam Muslim (2062), Imam Ibnu Hibban (5870) ialah orang-orang Habsyah mengadakan persembahan tarian kebudayaan mereka di dalam masjid Nabawi sambil mendendangkan qasidah memuji Rasulullah ﷺ "Muhammad hamba yang soleh". Mereka saling bermain lemparan tombak dalam persembahan tarian tersebut. Sayyidatina Aishah رضي الله عنها ingin sekali melihat persembahan tersebut maka Rasulullah ﷺ telah mengangkat Sayyidatina Aishah di atas bahunya supaya Sayyidatina Aishah dapat melihat dari jauh lantaran ramai para sahabat lelaki di hadapan yang menyaksikan sama persembahan tersebut.

Sesuatu yang Nabi ﷺ tidak larang maka ia kekal HARUS kerana jika ia sesuatu yang mungkar pasti Nabi ﷺ akan melarangnya kerana Nabi ﷺ tidak akan redha dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh umat Baginda dan inilah sebab Nabi dan Rasul diutuskan untuk menjelaskan apa yang betul dan apa yang salah di sisi syara’.

Hadits di atas menjadi dalil di atas keharusan berzikir dan memuji Rasulullah ﷺ dalam keadaan menari dan mengerakkan tubuh. Berzikir dalam keadaan menari atau menggerakkan tubuh tidak termasuk daripada tarian yang haram kerana ada dalil yang membenarkannya. Bahkan ia HARUS kerana boleh mencergaskan badan dan boleh membantu untuk menghadirkan hati mengingati Allah.

Oleh itu, niat dan tujuannya betul kerana kaedah menyebut

الأمور بمقاصدها

“setiap perkara itu mengikut tujuannya”. Adapun jika niat dan tujuannya baik tetapi caranya diharamkan oleh Allah maka ia tetap haram tetapi dalam masalah ini ada nas yang membenarkan zikir sambil menggerakkan badan dan menari seperti yang telah dinyatakan di atas dan tujuannya juga baik maka ia kekal sebagai HARUS di sisi syara’.

Sebuah hadits sahih yang dilaporkan oleh Imam Ahmad (3/68) dan Imam al-Hakim (1/499) bahawa Sayyidatina Aishah رضي الله عنها mengatakan Rasulullah ﷺ bersabda; "Hendaklah kamu berzikir sehingga manusia menyangka kamu gila".

Dalam hadits yang lain beliau mengatakan bahawa "Rasulullah ﷺ sentiasa berzikir kepada Allah setiap masa dan keadaan".


Mufti As-Saadah As-Syafiiyyah di Makkah, Al-Allamah Al-Kabir Ahmad Zaini Dahlan رحمة الله تعالى menyebut di dalam kitabnya yang masyhur iaitu As-Sirah An-Nabawiyyah wal Aasar Al-Muhammadiyyah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya pada (كتاب الصلح ) : Selepas pembukaan Khaibar telah kembali daripada Habsyah Sayyidina Ja’far Bin Abi Tholib رضى الله عنه dan bersamanya daripada kalangan muslimin. Bilangan mereka 16 orang lelaki dan Nabi ﷺ menemui Sayyidina Ja’faar dan mengucup dahinya dan memeluknya.

Rasulullah ﷺ berdiri kepada Sofwan bin Umayyah dan ‘ Udayy bin Hatim رضي الله عنهم dan Rasulullah ﷺ bersabda : "Aku tidak tahu dengan dua sebab aku gembira sama ada sebab fathu khaibar ataupun dengan kepulangan Ja’faar?" Dan bersabada Nabi ﷺ kepada Sayyidina Ja’faar رضى الله عنه : "Kamu menyerupai kejadianku dan akhlakku." Maka Sayyidina Ja’far رضى الله عنه menari dengan kelazatan perkataan Nabi ﷺ kepadanya. Nabi ﷺ tidak mengingkari perbuatan menari-nari Sayyidina Ja’afar Bin Abi Tholib رضى الله عنه itu.

Inilah yang menjadi dalil asas kepada golongan sufi ketikamana mereka mendapat kelazatan wijdan (keghairahan kerohanian) di dalam majlis zikir dan mereka menari-nari dengan asbab wijdan yang dicampakkan ke dalam hati-hati mereka ketika mengingati Allah سبحانه وتعالی.

Perasaan seronok dan lazat berzikir itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah سبحانه وتعالی.

Sayyidina Ali Bin Abi Tholib كرم الله وجهه menyifatkan sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ ketika berzikir. Katanya :

"Maka apabila datang waktu pagi maka mereka (sahabat Rasulullah ﷺ) berzikir pada Allah سبحانه وتعالی
 maka bergoyanglah tubuh mereka seperti bergoyangnya pokok yang ditiup angin dan berhamburan air mata mereka hingga basah pakaian mereka".

(Imam Ibnu Kathir رحمة الله تعالى dalam Kitab Bidayah Wan Nihayah dan Syeikh Yusuf Kandahlawi رحمة الله تعالى dalam Hayatus Sahabah).


Telah sah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam رحمة الله تعالى dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini رحمة الله تعالى tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi رحمة الله تعالى, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Kata Syeikh Ahmad al-Burrulisi ('Umairah) رحمة الله تعالى [w.957 H] :

قَوْلُ الْمَتْنِ: (لَا الرَّقْصُ) قَالَ ابْنُ أَبِي الدَّمِ لَوْ رَفَعَ رِجْلًا وَقَعَدَ عَلَى الْأُخْرَى فَرَحًا بِنِعْمَةِ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ إذَا هَاجَ بِهِ شَيْءٌ أَخْرَجَهُ وَأَزْعَجَهُ عَنْ مَكَانَهُ، فَوَثَبَ مِرَارًا مِنْ غَيْرِ مُرَاعَاةِ تَزَيُّنٍ فَلَا بَأْسَ بِهِ.

Maksudnya "Lafaz dari teks (Tidak Haram juga Tarian الرقص) kata Ibnu Abi ad-Dam رحمة الله تعالى : Jika seseorang mengangkat sebelah kaki dan duduk atas kaki yang sebelah lagi kerana gembira dengan nikmat ALLAH Ta'ala ketika mana datang sesuatu yang mengujakannya sehingga mengeluarkan dia dari kedudukan asalnya lalu dia melompat berkali-kali tanpa meraikan bentuk gerakan tertentu maka tidak mengapa". (Hasyiah Qalyubi).

Kata al-Imam al-Nawawi رحمة الله تعالى dalam al-Raudah (11/229) :

وَالرَّقْصُ لَيْسَ بِحَرَامٍ.

Maksudnya : "dan الرقص menari tidaklah haram".


Mungkin ada yang menganggap berzikir dengan menari adalah suatu yang pelik. Namun perlu diketahui bahawa bukan semua pelik itu salah. Pelik atau tidak bukan persoalannya. Persoalannya boleh atau tidak? Ia perlu dikembalikan kepada kaedah dan usul feqah.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah yang mengharamkannya, berbaliklah kepada hukum feqah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Walhasil, amalan berzikir sambil menari itu sendiri tidak diharamkan kecuali jika ada unsur dari luar yang boleh menyebabkan ia tidak dibenarkan seperti percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sebagainya.

Pelik pada pandangan kita kerana kejahilan kita terhadapnya bukan kerana ia sesuatu yang salah. Pelik tidak dijadikan kaedah hukum untuk menyatakan sesuatu itu haram atau tidak. Bila ada nas yang membenarkan walaupun macamana pelik sekalipun kita harus akur.


MENCIUM ANGGOTA TUBUH ORANG SOLEH


Sebenarnya amalan ini telah ada sejak zaman Rasulullah ﷺ, perhatikan hadits di bawah ;

Daripada Buraidah رضي الله عنه :

“Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada Nabi ﷺ lantas mencium tangan dan kaki Baginda ﷺ”. 

(Rujuk Kitab Al-Mustadrak oleh diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim).


Juga daripada Safwan رضي الله عنه mengkhabarkan tentang kisah dua orang Yahudi yang bertanya kepada Nabi ﷺ berkenaan 9 ayat keterangan, maka Baginda ﷺ menjawabnya. Lalu mereka berkata : "Kami bersaksi bahwa engkau seorang Nabi”. Lantas kedua-dua orang Yahudi tersebut mencium TANGAN dan KAKI Baginda Nabi ﷺ. Dan Rasulullah ﷺ tidak melarangnya.

(Rujuk riwayat Imam An-Nasa’ie, Imam Ibnu Majah, Imam At-Tirmidzi, Imam Al-Hakim) dengan sanad yang kuat.



Dalam sebuah hadits dijelaskan :

عَنْ زَارِعٍ وَكَانَ فِيْ وَفْدِ عَبْدِ الْقَيْسِ قَالَ لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِيْنَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَهُ – رَوَاهُ أبُوْ دَاوُد

Artinya : Dari Zari’ رضي الله عنه ketika beliau menjadi salah satu delegasi suku Abdil Qais, beliau berkata, "Ketika sampai di Madinah kami bersegera turun dari kendaraan kita, lalu kami mengecup tangan dan kaki Nabi ﷺ." (H.R. Abu Dawud).

Dalam hadits yang lain, dari Az-Zair' Al-Abdi رضي الله عنه yang termasuk utusan dari Abdi Qais berkata, “Ketika kami tiba di Madinah, kami cepat memburu Nabi ﷺ dan kami cium tangan dan kaki Baginda ﷺ“. (HR. Abu Daud dan Al-Baihaqi).

Dalam kitab at-Talkhish al-Habir, al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani رحمة الله تعالى menuliskan sebagai berikut : “Tentang masalah mencium tangan bahkan kaki ada banyak hadits yang dikumpulkan oleh Abu Bakar ibn al-Muqri رحمة الله تعالى, beliau mengumpulkannya dalam satu juz penuh.

Di antaranya hadits ‘Abdullah ibn ‘Umar رضي الله عنه, dalam menceritakan suatu peristiwa di zaman Rasulullah ﷺ, beliau berkata :

فَدَنَوْنَا مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبَّلْنَا يَدَهُ وَرِجْلَهُ (رواه أبو داود)

“Maka kami mendekat kepada Rasulullah ﷺ lalu kami cium tangan dan kakinya”. (HR. Abu Dawud).


Adakah mencium tangan dan kaki itu khususiah hanya untuk Nabi ﷺ sahaja, TIDAK ! Ia juga dilakukan oleh sahabat kepada selain Rasulullah ﷺ.

Sesungguhnya Sayyidina Ali كرم الله وجهه mencium TANGAN dan KAKI Sayyidina Abbas رضي الله عنه. (Rujuk kitab Adab Al-Mufrad oleh Imam Al-Bukhari).

Dalil ini menunjukkan bahawa mencium TANGAN dan KAKI bukanlah KHUSUSIYYAT NABI ﷺ seorang (perkara-perkara khusus yang dilakukan oleh Nabi ﷺ sahaja).

Dan ada lagi beberapa dalil yang lain...

Al-Imam an-Nawawi رحمة الله تعالى (mujtahid fatwa dalam Mazhab Asy-Syafie) mengatakan amalan mencium tangan, kepala dan KAKI orang-orang yang salih, zuhud dan alim adalah MUSTAHAB (sesuatu yang digalakkan dalam agama) melainkan jika dilakukan atas dasar keduniaan (kekayaan dan pangkat).

(Rujuk al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, Kitab Solat, Bab Salam, Fasal ke-5, Furu' ke-4.)


Manakala membongkokkan tubuh mereka seperti rupa bersujud ialah untuk mencium kaki adalah merupakan tabi' (pengikut) kepada perbuatan cium, bukan cium itu mengikut perbuatan sujud. Kerana asal perbuatan ialah cium dan bukan sujud. Ianya diperbolehkan kerana ia bukan niat bersujud kepada makhluk namun berniat cium untuk menghormati dan memuliakan orang alim, orang soleh, guru dan ibubapa.

Benarlah kata Sayyidina Ali Bin Abi Tholib كرم الله وجهه ;

الناس أعداء بما جهلوا

“Manusia akan bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu”.



Janganlah mudah mengatakan tidak ada tetapi belajarlah mengatakan saya belum menjumpainya. Kerana kemungkinan ia ada tetapi belum sampai kepada pengetahuan kita. Seharusnya kita berlapang dada dengan sesuatu yang tidak kita setujui lantaran adanya dalil di pihak lain, supaya kita tidak tergesa-gesa menyesatkan orang lain yang tidak sehaluan dengan kita.


Bagaimana Rindu Kepada Allah Dan Kematian?

Ibn Sa’ad رضى الله عنه dalam Ath-Thabaqat dan Imam Al-Baihaqi رضى الله عنه dalam Asy-Syu’ab menuturkan bahawa Sayyidina Abu ad-Darda رضى الله عنه berkata, "Aku mencintai kemiskinan sebagai wujud sikap tawadhu' kepada Tuhanku. Aku mencintai kematian sebagai wujud kerinduanku kepada Tuhanku. Aku pun mencintai sakit sebagai penghapus kesalahanku.”

Imam Sahal ibn Abdillah at-Tustari قدس الله سره pernah mengatakan, "Tidak ada yang mengharapkan kematian kecuali 3 orang, yakni : orang yang tidak mengetahui apa yang terjadi setelah kematian, orang yang lari dari takdir Allah, atau orang yang rindu dan mengharapkan pertemuan dengan Allah.”

Hayyan Ibn al-Aswad 
رضى الله عنه mengatakan, "Kematian itu adalah jambatan yang menghubungkan antara seorang kekasih dengan Kekasihnya.” Abu Utsman رضى الله عنه menuturkan, "Tanda kerinduan (kepada Allah) adalah kecintaan pada kematian.”

Sebagian ulama mengatakan, "Sesungguhnya para pecinta akan merasakan manisnya kematian pada saat kemunculannya. Saat itu, terbukalah bagi mereka bahwa rahmat kematian itu lebih manis daripada kehidupan.”

Ibn Asakir 
رضى الله عنه menuturkan bahwa Dzunnun al-Misri رضى الله عنه pernah mengatakan, "Kerinduan itu berada di posisi dan derajat tertinggi. Jika seorang hamba telah mencapainya, dia akan melangkah menuju kematian; sebagai wujud rasa rindunya kepada Tuhannya serta rasa cintanya pada pertemuan dan perjumpaan langsung dengan Tuhannya.”

[ Disadur dari kitab Syarh ash-Shudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur, Imam Jalaluddin as-Suyuthi 
رضى الله عنه ]



Majlis Haul adalah Sunnah Rasulullah ﷺ

Majlis Haul yakni memperingati sosok yang agung seperti seseorang Ulama' atau seseorang yang mempunyai Keistimewaan dan sebagainya dan menceritakan mengenai riwayatnya serta menjamukan makanan dalam Majlis Haul tersebut telah dimulakan oleh Rasulullah ﷺ sendiri iaitu dengan melakukan Haul Sayyidatina Khadijah al-Kubra رضي الله عنها.

Bahkan Rasulullah ﷺ juga memberikan makanan sempena memperingati Sayyidatina Khadijah رضي الله عنها.

Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam Hadith yang Sahih :

Telah bercerita kepadaku 'Umar bin Muhammad bin Hasan telah bercerita kepada kami ayahku telah bercerita kepada kami Hafsh dari Hisyam dari ayahnya dari 'Aisyah رضي الله عنها berkata :

"Tidaklah aku cemburu kepada salah seorang isteri-isteri Nabi ﷺ sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah.

Padahal aku belum pernah melihatnya. Akan tetapi ini kerana Baginda ﷺ sering menyebut-nyebutnya (memuji dan menyanjungnya) dan acapkali Baginda ﷺ menyembelih kambing, memotong-motong bahagian-bahagian daging kambing tersebut, lantas Baginda ﷺ kirimkan daging kambing itu kepada teman-teman Khadijah.

Suatu kali aku pernah berkata kepada Baginda ﷺ yang intinya seolah tidak ada wanita di dunia ini selain Khadijah. Maka spontan Baginda ﷺ menjawab :

"Khadijah itu begini dan begini dan dari dialah aku mempunyai anak."


[ Hadith riwayat Bukhari ]

Maka Majlis Haul adalah termasuk Sunnah Rasulullah ﷺ dan bukannya Bid'ah.



Berjuang Kerana Allah atau Kerana Bangga Diri

Hadis Sunan Abu Daud

Kitab Jihad


Bab : Berjuang Kerana Allah atau Kerana Bangga Diri


Halaman : 2154


حَدَّثَنَا حَيْوَةُ بْنُ شُرَيْحٍ الْحَضْرَمِيُّ حَدَّثَنَا بَقِيَّةُ حَدَّثَنِي بَحِيرٌ عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ عَنْ أَبِي بَحْرِيَّةَ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْغَزْوُ غَزْوَانِ فَأَمَّا مَنْ ابْتَغَى وَجْهَ اللَّهِ وَأَطَاعَ الْإِمَامَ وَأَنْفَقَ الْكَرِيمَةَ وَيَاسَرَ الشَّرِيكَ وَاجْتَنَبَ الْفَسَادَ فَإِنَّ نَوْمَهُ وَنُبْهَهُ أَجْرٌ كُلُّهُ وَأَمَّا مَنْ غَزَا فَخْرًا وَرِيَاءً وَسُمْعَةً وَعَصَى الْإِمَامَ وَأَفْسَدَ فِي الْأَرْضِ فَإِنَّهُ لَمْ يَرْجِعْ بِالْكَفَافِ

"Telah menceritakan kepada kami Haiwah bin Syuraih Al Hadhrami, telah menceritakan kepada kami Baqiyyah, telah menceritakan kepadaku Bahir dari Khalid bin Ma'dan dari Abu Bahriyyah dari Mu'adz bin Jabal رضى الله عنه dari Rasulullah  bahwa Baginda ﷺ bersabda : 

"Berperang ada dua, adapun orang yang mengharapkan wajah Allah, mentaati pemimpin, menginfakkan barang berharga, dan bergaul dengan sekutunya dengan mudah, serta menjauhi kerosakan maka tidurnya dan jaganya adalah pahala semua. Adapun orang yang berperang kerana berbangga diri, ingin dilihat dan didengar orang, derhaka kepada pemimpin serta membuat kerosakan, maka ia tidak kembali dengan membawa manfaat."


Para 'Ariffin Tidak Lagi Membicarakan Hukum-Hakam Ketika Menghadap Allah سبحانه وتعالی (Solat)

Sebahagian Ulama apabila mereka mengerjakan Solat, mereka tidak lagi membicarakan hukum-hakam (Haidh, Zakat, Hudud dll) di hadapan Allah سبحانه وتعالی , yakni mereka tidak membaca ayat-ayat berkaitan hukum.

Akan tetapi apabila mereka menghadap Allah سبحانه وتعالی  mereka akan membaca ayat-ayat berkaitan Iman atau berkaitan keagungan Allah سبحانه وتعالی .

Hal ini dilakukan kerana mereka mengambil iktibar daripada kisah Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى yang solat bersama Adiknya sepertimana kisah berikut :

Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى kebiasaannya melakukan Solat dan menjadi Imam Solat di Masjidnya (Masjid yang biasa beliau Solat), akan tetapi adiknya yang bernama Ahmad رحمة الله تعالى nyaris tidak pernah dilihat berjemaah dengannya.

Lalu Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى meminta kepada Ibunya : "Wahai ibu, perintahlah saudaraku, Ahmad, untuk berjemaah di Masjid bersamaku agar orang tidak menuduhku yang bukan-bukan." Lalu pesan Imam al-Ghazali tersebut disampaikan kepada adiknya oleh si ibu.

Ahmad akhirnya berkenan untuk solat berjemaah di masjid yang dipimpin oleh abangnya, Imam al-Ghazali.

Lalu (ketika sedang solat berjemaah) Ahmad melihat darah pada perut (tubuh) Imam al-Ghazali kemudian Ahmad mufaraqah (berhenti bermakmum atau melanjutkan solat sendirian) daripada jemaah tersebut.

Setelah semua (Imam al-Ghazali dan jemaahnya pun Ahmad yang solat sendiri) selesai mengerjakan solat, Imam al-Ghazali lalu bertanya kepada adiknya Ahmad mengenai apa puncanya dia mufaraqah daripada jemaah tersebut.

Berkata adiknya : "Aku melihat perutmu (tubuhmu) penuh dengan lumuran darah. Kerana itu, aku mufaraqah."

Hal tersebut (adiknya melihat darah pada tubuh Imam al-Ghazali secara kasyaf) adalah kerana Imam al-Ghazali ketika solat beliau memikirkan permasalahan berkaitan Haidh.

[ Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi رحمة الله تعالى dalam Kitab Maraqi al-'Ubudiyyah ]


Maka daripada kisah ini, sebahagian Ulama dikalangan 'Ariffin menghentikan segala perbicaraan mengenai hukum-hakam di hadapan Allah سبحانه وتعالی yakni tidak membaca ayat-ayat berkaitan hukum-hakam di hadapan Allah سبحانه وتعالی. Akan tetapi mereka lebih memilih untuk membaca atau mendahulukan ayat-ayat berkaitan Iman dan ayat-ayat berkaitan keAgungan dan keEsaan Allah سبحانه وتعالی.


Image may contain: textNo photo description available.


Apa Yang Tampak Pada Luaran, Itulah Yang Terdapat Dalam Hati

Ada yang mengatakan luaran buruk tapi Hati baik dan sebagainya. Namun sebenarnya jika luaran itu buruk, maka buruk jugalah apa yang ada dalam Hati.

Yakni keburukan hati itu terzahir atau dizahirkan pada luarannya.

Sepertimana Hadith :

Dari Abi Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ melihat seorang memainkan janggutnya ketika solat. Maka Baginda ﷺ bersabda :

"Seandainya hatinya khusyu' maka khusyu' pula anggota badannya."

[ Hadith riwayat at-Tirmidzi ]


Daripada Hadith tersebut menunjukkan apa yang terzahir pada luarannya, maka itulah yang terkandung dalam Hati. Yakni bilamana seseorang itu kelihatan tidak Khusyu' pada luarannya, maka demikian jugalah hatinya tidak Khusyu'.

Begitu jugalah apa yang kelihatan pada zahirnya, maka begitu jugalah apa yang ada dalam bathinnya (Hatinya).

Sesuatu yang terkandung dalam hati itu akan tampak pada zahirnya.


TIGA PERKARA YANG MENYEDIHKAN

1. Seorang lelaki yang tidak pernah masuk ke masjid kecuali ‘jenazah’nya.

2. Seorang wanita yang tidak pernah menutup auratnya kecuali ketika dia sudah dikafankan.

3. Seseorang yang tidak pernah mahu bersedekah kecuali ketika keluarganya bersedekah atas namanya ketika ia sudah di alam kubur. (Itu pun jika keluarganya peduli).


Mereka selalu terlambat untuk memahami erti sebuah penyesalan. Tetapi begitu cepat dan pantas dalam perkara dunia.

Firman Allah سبحانه وتعالی :

“Sedangkan kamu lebih mengutamakan kehidupan dunia...” (Surah Al-A'laa : Ayat 16).


Demikianlah sikap kita kebanyakan manusia :

1. Kita masuk awal ke tempat kerja sebelum waktunya.

2. Kita tiba di lapangan terbang sebelum waktunya.

3. Kita datang (menunggu giliran) di hospital sebelum waktunya.

4. Kita berada di dalam stesen kereta api, 2 atau 3 jam sebelum berangkat.

Akan tetapi ketika mendengar Azan kita bersantai tanpa merasa bersalah apa-apa... استغفرالله العضيم


Terus Lompat Kepada al-Quran & Hadith Tanpa Melalui Para Ulama Adalah Tidak Menepati Kehendak Sunnah

Jika kita ini terus lompat merujuk kepada al-Quran dan Hadith semata-mata tanpa merujuk kepada huraian para Ulama, maka untuk apa Rasulullah ﷺ bimbang terhadap pengabaian Ulama dan kematian Ulama sedang al-Quran dan Hadith telah dibukukan?

Sepertimana dalam Hadith berikut :

Dari Sahl bin Saad رضي الله عنه berkata : Rasulullah ﷺ bersabda :

"Ya Allah! Jangan Kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang 'Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)."


[ Hadith riwayat Ahmad ]


Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda :

"Fitnah akan muncul, al-harj (pembunuhan) bermaharajalela dan ilmu akan diangkat, " Ketika Sayyidina Umar 
رضي الله عنه mendengar Abu Hurairah رضي الله عنه menyebutkan 'ilmu akan diangkat', Sayyidina Umar رضي الله عنه berkata; "Sesungguhnya hal itu bukan dengan mengambilnya dari dada para ulama, akan tetapi ilmu itu akan hilang dengan perginya (dimatikan) ulama."

[ Hadith riwayat Ahmad ]


Jangan tertipu dengan slogan Wahhabi iaitu : "Kembali Kepada al-Quran & Sunnah."


Image may contain: 2 people, people standing


SIFAT MALU DIGANJARI SYURGA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ وَالْإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَذَاءُ مِنْ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه katanya, bersabda Rasulullah ﷺ : 

"Rasa malu adalah sebahagian daripada iman, sedang iman tempatnya di Syurga. Sedangkan tindakan atau perkataan kotor adalah sebahagian daripada tabiat atau perangai yang kasar, sedang tabiat kasar tempatnya di Neraka.” 

(HR Tirmidzî No. 1932) Status: Hadis Hasan Sahih.


Thursday, November 21, 2019

Berdzikir Di Kuburan Termasuk Sunnah Rasulullah ﷺ dan Para Sahabat رضي الله عنهم


Golongan Salafi-Wahhabi telah menuduh para Ulama dan juga para Habaib sebagai Syi'ah dan mereka (Salafi-Wahhabi) juga telah menuduh bahawa orang yang berdzikir di kuburan itu sebagai Kuburiyyun yakni sebagai penyembah kubur dan pelaku syirik.

Sedangkan perbuatan berdzikir di kuburan itu pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para Sahabat رضي الله عنهم sendiri sepertimana Hadith berikut :

"Telah menceritakan kepada kami Ya'qub, telah menceritakan kepada kami ayahku dari Ibnu Ishaq, telah menceritakan kepada ku Mu'adz bin Rifa'ah al-Ansari, az-Zuraqi dari Mahmud bin Abdur-Rahman bin 'Amr bin al-Jamuh dari Jabir bin Abdullah al-Ansari رضى الله عنه berkata;

Pada suatu hari kami berangkat bersama Rasulullah ﷺ menuju Sa'd bin Mu'adz ketika wafatnya. Tatkala Rasulullah ﷺ mensolatinya dan meletakkannya di kuburnya serta meluruskanya, Rasulullah ﷺ bertasbih dan kami pun ikut bertasbih yang panjang, lalu bertakbir dan kami pun ikut bertakbir.

Ada yang bertanya, wahai Rasulullah! kenapa engkau bertasbih lalu bertakbir? Baginda ﷺ bersabda: "Sungguh kuburan lelaki soleh ini sempit hingga kemudian Allah عز وجل meluaskan untuknya".


[ Hadith riwayat Ahmad dalam Musnadnya, Ibn Hibban dalam Sahihnya dan lain-lain ]

Maka apakah para Salafi-Wahhabi telah menuduh Rasulullah ﷺ dan para Sahabat sebagai penyembah kubur dan pelaku syirik juga?.

Mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukannya atau tidak pernah mengajarkannya padahal Rasulullah ﷺ ada melakukannya, maka ini termasuk menipu atas nama Rasulullah ﷺ.



JAMINAN SYURGA


عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian." 


(HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan.


Pengajaran :


Rasulullah  memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:


1.  Jujur jika berbicara.

Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran membezakan antara munafik dan beriman.

2.  Menepati janji.

Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3.  Menunaikan amanah.

Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan

4.  Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah dan halal).


5.  Menundukkan pandangan.

Menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran

6.  Menahan tangan.

Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya. 


Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan. 


Ahli Ilmu Yang Sombong Lagi Angkuh

Di antara tanda Ahli Ilmu itu sombong dan angkuh kepada orang awam yang jahil ialah mereka yang sering mengajukan soal tanpa diajarkan terlebih dahulu (melainkan seorang guru yang ingin mengetahui tahap kecerdikan muridnya).

Dan mereka itu sering merasakan diri mereka lebih baik dan lebih hebat daripada orang awam yang jahil apabila orang awam tidak mampu menjawab soalan-soalan mereka sambil mereka tersenyum sinis atau menggelakkan orang jahil bahkan ada yang merendah-rendahkan orang jahil dengan kata-kata yang bercanggah dengan adab.

Maka ahli Ilmu seumpama ini seolah mewarisi sifat syaitan yang sombong dan angkuh lagi banyak mempersoal.

Sepertimana dalam riwayat berikut :

Ali bin al-Hasan رحمة الله تعالى menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku mendengar Sufyan bin Uyainah رحمة الله تعالى berkata :

"Barangsiapa melihat bahawa dia lebih baik dari yang lain, maka sungguh dia telah bersikap sombong. Kerana yang menghalangi iblis sujud kepada Adam عليه السلام adalah kesombongannya."

[ Riwayat Abu Nu'aim dalam Hilyah al-Auliya' ]


DIAM ADALAH KUNCI MAKRIFAT

Nasihat dari Syeikh Al-Akbar Ibnu Arabi قدس الله سره bahawa diam ialah anak kunci yang membuka pintu makrifat. Wahai Murid !!! Bila kamu hendak berjalan menuju ke jalan ahli makrifat atau ahwal, seharusnya kamu atau siapa pun mengikuti hal-hal sebagai bantuan menuju jalan kebahagiaan kerana makrifat ialah pengetahuan hakiki tentang Allah dan ahwal ialah keadaan rohani atau ciri orang yang telah mencapai makrifat. Salah satu jalan menuju makrifat ialah DIAM.

Ada dua jenis diam iaitu pertama diam lisan (lidah) yang berbicara tentang selain Allah سبحانه وتعالی dan kedua diam hati dari hal-hal yang muncul di hati mengenal yang maujud, diam sama sekali. Dua jenis diam pula terbahagi kepada empat pecahan diam. 


Pertama barang siapa yang lisannya diam tapi hatinya tidak diam maka dosanya akan ringan. Kedua barang siapa yang lisannya diam dan hatinya diam maka yang rahsia akan menjadi jelas baginya dan Allah akan menjadi jelas pula baginya. Ketiga barang siapa yang hatinya diam tapi lisannya tidak diam maka dia akan berkata dengan kata-kata hikmah dan keempat barang siapa yang lisannya tidak diam dan hatinya tidak diam maka itu adalah kekuasaan syaitan dan dia tunduk kepadanya.

Tiga kategori diam yang dimilikki manusia iaitu pertama diam dengan lisan adalah kelas orang awam dan mereka yang melakukan suluk (perjalanan kerohanian), kedua diam dengan hati adalah sifat para muqarrabin (mereka yang didekatkan Allah kepada-Nya) dan ketiga diam milik ahli musyahadah (mereka mampu menyaksikan kebesaran Allah).

Hal (keadaan rohani) yang timbul dari diam para murid ialah selamat dari bahaya fitnah sedangkan hal yang timbul dari diam para muqarrabin ialah timbulnya dialog Qalbu yang lentur dan asyik kepada Tuhannya. Barang siapa menjalankan diam dalam segala keadaan maka dia tidak akan sempat lagi berbicara kecuali dengan Tuhannya sebab diam sepenuhnya sama sekali bagi manusia dalam dirinya sendiri adalah mustahil. Bila dia berbicara, bicaranya hanya kerana Allah maka dia akan menjadi orang yang selamat, dekat kepada Allah dan kuat ucapannya.

Bila dia berbicara, dia akan berbicara dengan benar dan pembicaraannya bersumber dari Allah. Firman Allah 
سبحانه وتعالی mengenai Nabi Muhammad ﷺ: “Dia tidak berbicara dari hawa nafsu..." (QS Al-Najm:3). Pembicaraan yang benar ialah hasil diam dari kesalahan, apa pun alasannya. Berbicara dengan selain Allah ialah kesalahan, sementara berbicara tentang selain Allah dilihat dari sudut mana sekalipun adalah keburukan. Salah satu hal yang timbul kerana diam adalah maqam (kedudukan) yang segala macamnya dan diam menghasilkan makrifat kepada Allah kerana di dalam diam terkandung tafakur. “Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadah setahun."