Sunday, December 29, 2019

MENGHISAB DIRI

"Sungguh ringannya hisab di akhirat hanya berlaku pada orang-orang yang selalu menghisab dirinya ketika di dunia ini."

[ Imam Hassan Al-Basri رحمة الله تعالى ]


JAGALAH HATI DARI MAKSIAT

“Jagalah hati kita dari perbuatan maksiat dan dosa, kerana maksiat dan dosa berpengaruh pada setiap hati, seperti pengaruh racun pada tubuh.”

[ Habib Muhammad Al-Bagir Bin Alwy Bin Yahya ]



BELAJAR TASAWWUF TANPA MURSYID

Syeikh Abu Ali al-Daqqaq رضى الله عنه berkata :

"Pokok yang tumbuh dengan sendirinya, tanpa ditanam, tumbuh daun tetapi tiada buah-buahan. Jika ia tumbuh buah buahnya tidak seperti buah-buahan pokok yang ditanam itu." 

[ Syeikh Abu Ali al-Daqqaq رضى الله عنه membuat perbandingan belajar Tasawwuf tanpa Mursyid dengan sebatang pokok yang tumbuh tanpa penjagaan daripada penanamnya boleh tumbuh tetapi tidak boleh berbuah. ]


BISIKAN YANG PALING BURUK!

"Syeikh Abul Hasan Asy-Syadzulli رضى الله عنه mengatakan, "Pada satu malam aku membaca surah An-Nass. Lalu dikatakan kepadaku, "Bisikan yang paling buruk adalah bisikan yang masuk antara dirimu dan kekasihmu. Bisikan itu mengingatkanmu pada perbuatan yang buruk dan membuatmu lupa akan perbuatan yang baik, memperbanyak untukmu sisi kiri dan menyedikitkan sisi kanan.

Akibatnya, kamu menjauhi prasangka baik kepada Allah Ta'ala dan membesarkan prasangka buruk kepada-Nya. Maka jauhilah pintu ini. Ikutilah jalan ahli zuhud. Ikutilah juga ahli taat dan ahli shiddiq (kebenaran!)".  

Al-Hikam, Al-Imam Syeikh Ibnu Atha'illah رضى الله عنه - Syarah Al-Imam Syeikh Ahmad Zarruq رضى الله عنه ]


IKHLASKAN HATIMU DARI SELAIN ALLAH WALAUPUN PADA SANDARAN DUNIA DAN AKHIRATMU SEKALIPUN...


Secara bahasa, Ikhlas ertinya membersihkan (bersih, jernih, suci dari campuran dan pencemaran, baik berupa material ataupun non material). Adapun secara istilah iaitu : membersihkan hati supaya menuju kepada Allah semata, dengan kata lain dalam beribadah hati tidak boleh menuju kepada selain Allah.

Imam Abu Muhammad Sahl bin Abdullah al-Tustari رحمة الله تعالى berkata :

الإخلاص...أن تكون حركته وسكونه في سره وعلانيته لله تعالى وحده لا يمازجه شئ لا نفس ولا هوى ولا دنيا

"Ikhlas... adalah gerak dan diamnya dalam keadaan sendirian atau di hadapan orang lain hanyalah kerana Allah Ta'ala semata-mata, tidak bercampur sesuatupun, sama ada nafsu, keinginan mahupun tujuan keduniaan mahupun akhiratmu.”

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah." [Abu Daud dan An-Nasa'i]

Hakikat Ikhlas adalah Tauhid. Berdasarkan keterangan-keterangan Ulama 'Arif Billah yang mengetahui rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan, ikhlas membawa makna yang sangat murni terhadap kehambaan insan dan hakikat Tauhid. Ikhlas merupakan cabang utama Tauhid dan pintu masuk kepada Hadrat Ilahi. Tanpa ikhlas seseorang hamba (insan) tidak akan menemui hakikat ketuhanan. Bahkan tidak mungkin dia menjadi hamba Allah yang sempurna!


Tiga tingkatan Ikhlas orang Awam

Tingkatan Pertama :

Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tetapi pada masa yang sama mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan-kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah, segala macam makanan enak dan hiburan syurga.


Tingkatan ke 2 :

Melakukan solat (dan juga ibadah lain) dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan TIDAK mempunyai cita-cita di dalam hatinya (tiada menuntut hatinya) kepada syurga dan segala kesenangannya. Tetapi hamba ini melihat dirinya melakukan amal ibadah dari dirinya dan dengan dirinya (melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah).


Tingkatan ke 3 :

Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, TIDAK mempunyai cita-cita kepada kesenangan syurga, TIDAK melihat dirinya melakukan amal ibadah, tetapi dia merasakan dirinya sudah ikhlas.


Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk " ikhlas" ini adalah SAH, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai mukallaf) namun apabila di renungi pada sisi Tasawwuf / Ma'rifat, bentuk-bentuk ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada 'mempersekutukan' Allah. Ini kerana menuntut selain wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk 'penyekutuan' kepada Ketuhanan.


Firman Allah :

وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya..." [Al-Bayyinah: 5]


يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

"Pada hari yang tiada berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (daripada syirik)." [Asy-syuara : 88,89].


Kata Guru-guru kita Ahli Ma'rifat, inilah Tingkatan ikhlas permulaan bagi salikin, iaitu ikhlas pada peringkat mentauhidkan sekalian Af'al Allah. Pada peringkat ini suci lah hatinya daripada sekalian aghyar (selain Allah), bersih hatinya daripada sifat-sifat keji, dan bebas daripada syirik khafi.

Ketika hamba Allah melihat dirinya tiada daya upaya melakukan sesuatu melainkan dengan Kemurahan Allah swt semata-mata, dan tiada lagi cita-cita lain selain Allah ketika melakukan ibadahnya, maka inilah permulaan ikhlas yang benar, tanpa sedikit pun mempersekutukan Allah di dalam niatnya!

Jika anda melihat sebelum ini, orang-orang pada tingkatan awam tidak terlepas daripada mempersekutukan Allah di dalam niatnya, samada mempersekutukan kerana menuntut syurga atau kerana melihat dirinya mempunyai daya upaya. Di sini, pada diri orang yang telah di sucikan hatinya sehingga terbit Tauhid yang benar, tiada lagi cita-cita selain Allah, tiada lagi melihat dirinya mempunyai daya upaya melainkan hanya Allah Yang Berkuasa di atas setiap sesuatu. Dia melihat dirinya tidak mampu untuk berdiri melainkan dengan Anugerah Allah. Ini maqam permulaan kesucian hati, kesucian Tauhid dan kemurnian niat yang ikhlas

Pada saat anda di kurniakan oleh Allah cahaya Tauhid yang murni di dalam hati, anda tidak lagi memandang wujud upaya diri anda untuk melakukan ibadah. Anda lemah daripada mengakui wujud kemampuan diri untuk melakukan ibadah. Seluruh jiwa dan perasaan anda karam di dalam melihat anugerah Allah kepada anda untuk melakukan ibadah - untuk melakukan takbiratul ihram, ruku' dan sujud! Lalu anda berkata : Tidak ada daya upaya melainkan Allah!


Empat Tingkatan ikhlas para salikin yang kita maksudkan adalah :


1. Ikhlas ketika Cahaya Af'al Allah menguasai si salik.

2. Ikhlas ketika Cahaya Asma' Allah menguasai si salik.

3. Ikhlas ketika Cahaya Sifat Allah menguasai si salik .

4. Ikhlas ketika fana dari segalanya dan Dzat Allah سبحانه وتعالی yang mentajalli segalanya hingga tidak lagi merasa wujud dirinya.


Kata Sheikh Abdul Qadir al Jailani رضى الله عنه, ikhlas itu apabila tiada lagi memandang wujud dirinya dari dirinya dan dengan dirinya... sirna dan fana dari merasa berdiri dirinya dengan hakikat dirinya!


وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya,


Dari Tafsir Ibn Abbas, Kalam Allah "mukhlisin" (ikhlas) di tafsirkan oleh Ibn Abbas 
رضى الله عنه dengan makna " Tauhid" yang murni...!


TANDA BUTANYA MATA HATI

"Kesungguhanmu mencari rezeki yang sudah dijamin (oleh Allah) untukmu, dalam masa yang sama lalai terhadap kewajipan yang dituntut darimu, membuktikan butanya mata hatimu."

[ Al-Hikam, Al-Imam Asy-Syeikh Ibnu Atha'illah As-Sakandari قدس الله سره ]


Firman Allah سبحانه وتعالی : “Dan berapa banyak makhluk bernyawa yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Ankabut :60)


Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) di akhirat adalah bagi orang yang bertaqwa.”

(Surah ThaaHaa :132)


Sesungguhnya rezeki harta yang sudah, sedang mahupun akan kita terima, telah ditetapkan oleh Allah (qadha') di Luh Mahfudz. Namun bergantung kepada keyakinan serta sikap kita mengikut tahap keimanan dan ketaqwaan masing-masing. Itulah yang dimaksudkan oleh 
Syeikh Ibnu Atha'illah As-Sakandari قدس الله سره dengan perkataan 'apa yang telah dijaminkan bagimu'.

Sedangkan istiqamah dalam zikrullah, solat yang khusyu’, ikhlas dalam ibadah, penyerahan diri kepada Allah, atau menerima ujian dengan redha tidaklah Allah berikan dengan mudah jika kita tidak berjuang dengan keras, itulah yang dimaksud oleh beliau dengan 'kewajiban-kewajiban yang telah diamanahkan kepadamu.'

Oleh yang demikian, jika kita mengabaikan kewajiban sehingga tenaga dan kesempatan kita habis dipergunakan mencari perkara yang sudah dijamin oleh Allah 
سبحانه وتعالی, maka itulah yang disebut buta mata hati.

TANDA PEMBERIAN ALLAH


مَتَى أطْلَقَ لِسَانَكَ بِالطَّلَبِ، فَاعْلَمْ أنَّهُ يُرِيْدُ أنْ يُعْطِيَكَ

"Apabila Dia meringankan lidahmu untuk meminta (berdoa), ketahuilah bahawa Dia hendak menganugerahkan untukmu pemberian-Nya."


Hati yang mula kembali menghadap Allah akan dikurniai rasa seronok dan gembira dengan-Nya.

Di antara tanda keseronokan itu ialah dia akan suka berdoa dan meminta pada-Nya kerana ingin bermesra dan bermanja-manja dengan-Nya.

Justeru apabila Allah meringankan lidahmu duhai saudaraku untuk meminta dan memohon kepada-Nya maka ketahuilah bahawasanya Dia hendak mengurniakan sesuatu pemberian-Nya kepadamu.

Hal ini adalah kerana doa adalah sejumlah asbab yang dengannya Allah melunaskan keperluan para hamba-Nya. Ia seperti bertani, berniaga, berubat dan sebagainya.

Maka apabila Allah hendak mengurniakan kepadamu apa yang tertulis pada azali maka Dia akan menjadikan lisanmu ringan untuk meminta pada-Nya dan permintaan tersebut menjadi sebab penzahiran takdir itu yang hanya Allah mengetahui akan hikmahnya.

Oleh kerana doa adalah sebahagian dari asbab dan ia tidak memberi bekas dengan sendirinya melainkan dengan izin Allah, maka sayugia apabila makbul doa tersebut tiada engkau melihat ia adalah kerana doa dan permintaanmu.

Sebaliknya lihatlah ia adalah semata-mata takdir Allah yang sememangnya hendak dizahirkan dan doa menjadi sebab Dia mengizinkan ia dizahirkan.

Hal ini kerana jika engkau melihat ia disebabkan doamu semata-mata nanti akan terselit dihatimu kehebatan dirimu dan bahawa dirimu adalah hamba-Nya yang istimewa.

Sedangkan engkau hanyalah ibarat "anjing kurap" yang menagih simpati tuannya...

Berkata Ibnu 'Ajibah قدس الله سره : "Apabila Allah meringankan lidahmu untuk meminta kepada-Nya atau terlintas dalam hatimu akan suatu perkara yang engkau hajati maka ketahuilah bahawa Al-Haq hendak mengurniakannya kepadamu sesuatu keperluan oleh itu janganlah hendaknya engkau terlalu tamak dan gopoh kerana setiap sesuatu itu mempunyai ketetapannya. Sementara apabila lidahmu menzahirkan permintaan tanpa apa-apa sebab yang melatarinya maka sebaik-baik permintaanmu kepada Allah ialah keampunan dan kemaafan dari-Nya."

Sabda Rasulullah ﷺ :

. وفي الحلية لأبي نعيم عن أنس رضي الله عنه مرفوعا : ( ما أذن الله لعبد في الدعاء حتى أذن له بالإجابة ) انظر الفتح الكبير .

"Tiada diizinkan untuk seorang hamba itu berdoa melainkan sehingga dimustajabkannya."

Berkata Al Khaffaf رحمة الله تعالى : "Bagaimana mungkin Allah tidak mengkabulkan doa hamba-Nya sedangkan Dia suka mendengar suara hamba-Nya; jika tidak nescaya tiada diizinkan untuk hamba-Nya berdoa."


Saturday, December 28, 2019

Tidak Afdhal Nikahi Dengan Lelaki Ini


Berkata Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathani رحمة الله تعالى :

Dan kata Sayyidina Ali رضي الله عنه :

"Bermula yang terlebih jahat sifat lelaki itu, iaitu yang terlebih baik bagi sifat perempuan, iaitu tiga perkara : al-Bakhil, adz-Dzuhu, dan al-Jubnu".


1) al-Bakhil :
Yakni kikir atau kedekut kerana bahawa sesungguhnya apabila ada perempuan itu bakhil, maka memelihara akan harta suaminya


- Namun jika sifat Bakhil ini ada pada suami, maka buruk atau jahatlah ia sehingga boleh jadi dia tidak memberikan nafkah yang mencukupi terhadap Isteri dan anak-anaknya.


2) adz-Dzuhu : Yakni membesarkan dirinya (sombong) kerana bahawa sungguhnya apabila perempuan itu membesarkan akan dirinya (sombong), maka enggan ia daripada berkata-kata dengan tiap-tiap orang perkataan yang lemah-lembut (tidak melayan lelaki). Maka demikian itu terpeliharalah ia (daripada cemburu suaminya).


- Namun jika sifat adz-Dzuhu (membesarkan diri/sombong) ini ada pada lelaki, maka jahatlah ia kerana boleh jadi dia sombong daripada ingin menolong kerja-kerja agama atau menerima teguran dan sebagainya.


3) al-Jubnu : Yakni Penakut kerana bahawa sungguhnya apabila ada perempuan itu penakut maka takut ia daripada tiap-tiap sesuatu, maka tiada keluar ia daripada rumahnya dan memelihara akan ia daripada cemburu (suaminya) kerana ia takut daripada suaminya.


- Namun jika sifat al-Jubnu (penakut) ini ada pada suami, maka hinalah ia kerana boleh jadi dia tidak berani mempertahankan atau melindungi Isteri dan ahli keluarganya.


[ Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathani dalam Kitab Muhimmah ]

No photo description available.

Image may contain: text


PERKAHWINAN IKUT SIAPA?

Berkata al-Imam Abdullah Ibn al-Mubarak رضي الله عه :

اليهود يزوجون للمال، والنصارى يزوجون للجمال، والعرب الجاهليون يزوجون للحسب والنسب، وأتباع محمد ﷺ يزوجون للدين

"Orang Yahudi berkahwin melihat pada hartanya, orang Nasrani berkahwin melihat pada rupanya (cantik/tampan), orang Arab berkahwin melihat pada nasabnya (keturunan), dan pengikut Nabi Muhammad ﷺ berkahwin melihat pada agamanya (pasangan)."

[ Dalam Durus li Syeikh Sa'id ]


_______________________


Jika kita berkahwin atau mengkahwinkan anak kita melihat pada harta seseorang, maka kita telah mengikuti kebiasaan orang Yahudi.

Jika kita berkahwin atau mengkahwinkan anak kita melihat pada rupa paras seseorang, maka kita telah mengikuti kebiasaan orang Nasrani.

Jika kita berkahwin atau mengkahwinkan anak kita melihat pada nasab (keturunan) seseorang, maka kita telah mengikuti kebiasaan orang Arab.

Jika kita berkahwin atau mengkahwinkan anak kita melihat pada Agama seseorang itu, maka kita telah mengikuti Nabi Muhammad ﷺ.


SABAR ATAS UJIAN ALLAH

Kesabaran atas ujian Allah ﷻ itu antara perkara bathin yang diperintahkan oleh Allah ﷻ berdasarkan firman Allah ﷻ :

وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَا بَكَ

"Bersabarlah menghadapi musibah yang menimpamu..."


[ Sultan al-Ulama' al-'Allamah al-'Izz ibn Abdul Salam 
رحمة الله تعالى dalam kitab Syajarah al-Ma'arif wal Ahwal ]


TANGISI DIRIMU !

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani رضى الله عنه mengatakan, “Allah yang paling berhak menjadi tumpahan harapan dan rasa takut. Bahkan, sekalipun Dia tak menciptakan syurga dan neraka. Taatlah kerana Allah semata! Bukan kerana harapan pahala-Nya dan takut terhadap siksa-Nya!

Mentaati-Nya adalah melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-larangan-Nya, serta menerima segala takdir-Nya. Maka, bertaubatlah kepada-Nya. Merataplah di hadapan-Nya.

Tunjukkanlah kehinaan dirimu dengan cucuran air mata dan tangisan kalbumu! Menangis adalah ibadah, kerana itu merupakan bentuk kehinaan diri di hadapan-Nya, Jika kalian mati dengan membawa taubat, niat tulus dan amal soleh, maka Allah Azza Wa Jalla akan menyelamatkan kalian!”

[ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam kitab Fathu ar-Rabbani ]


TETAPLAH MENGHADIRI MAJLIS ILMU DAN ZIKIR

“Engkau harus tetap menghadiri Majlis Ilmu/Zikir , meskipun masih melakukan maksiat. Jika hari ini tidak mendapat manfaat, mungkin esok engkau akan mendapatkannya.

Ketahuilah, satu kali duduk di Majlis seorang Ulama yang tulus dapat membuatmu berubah dari pelaku maksiat, menjadi hamba yang ta’at dan takut kepada Allah Azzawajalla.”

[ Al-Imam Ibnu Atha’illah As-Sakandari 
رحمه الله تعالى ]


BERSUNGGUHLAH MENUNTUT ILMU

"Yang membezakan manusia dan haiwan, adalah ilmu. Bersungguh-sungguhlah kamu dalam menuntut ilmu. Jauhi sifat malas dan juga bosan, kerana jika tidak, engkau akan berada di dalam kesesatan."

[ Al-Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى ]



JANGANLAH BERSIFAT SOMBONG

"Jika seseorang itu menegur kesalahan kita, wajiblah kita terima tanpa bangkang untuk menang. Carilah kebenaran disebalik teguran. Janganlah mencari kemenangan.

Rendahkanlah hati kamu untuk menerima kebenaran. Kerana ianya dapat menyelamatkan diri kamu. Sebaliknya, jika kamu menolak kebenaran hatta daripada orang lain dengan apa pun alasannya. Ketahuilah, itu adalah sifat kesombongan."

[ Al-Imam Fudhail bin Iyadh رحمه الله تعالى ]


Keutamaan Duduk Bersama Orang Yang Soleh

Al-Imam Ahmad bin Hasan Al-Athas رحمة الله تعالى mengatakan :

“Seandainya tidak ada keutamaan dalam duduk bersama orang shaleh kecuali satu saja maka itu sudah cukup. Yaitu menarik semangat mereka dan hati mereka serta niat-niat mereka untukmu. Dan itu semua mengangkatmu ke derajat-derajat mereka. Jika tidak demikian, maka jika hatimu tidak kotor dengan pikiran-pikiran buruk, maka cukup bagimu bahwa engkau akan terjaga dari perbuatan maksiat selama engkau berada di sisi mereka.” 



RAHSIA IKHLAS

Rahsia Ikhlas itu ialah bersungguh-sungguh membaiki keikhlasan itu dengan menyatakan perasaan tidak ada daya upaya dan kekuatan sendiri, sedang semua kejadian itu hanya semata-mata kerana bantuan pertolongan Allah Ta'ala.

Syeikh Abu Thalib 
رضى الله عنه berkata : “Keikhlasan orang-orang mukhlisin itu ialah keluarnya makhluk (manusia) daripada merasa mengerjakan amal kerana itu Haq Ta'ala, sedangkan manusia (makhluk) yang pertama-melarikan diri daripada beramal itulah nafsu.”

“Keikhlasan orang-orang muhibbin ialah orang yang mengerjakan sesuatu amal bukan kerana nafsu tetapi jika ada nafsu yang datang, nescaya datang ke atasnya perasaan belas kasihan atau condong ke arah kepentingan nafsu.”

“Keikhlasan orang-orang yang muwahidin itu ialah keluarnya makhluk daripada pemerhatian mereka dalam segala perbuatan dan meninggalkan sukun (tenang diam) dan istirahat mereka dalam segala hal.”


Seorang Syeikh رضى الله عنه berkata : “Sahkanlah amalmu dengan ikhlas dan sahkanlah ikhlasmu dengan berlepas diri dengan pengertian : “ Laa haula wala quwwata illa billah.”

Terhasilnya seorang hamba itu hakikat yang sempurna, apabila sudah ketiadaan syahwat dalam erti kata amal perbuatan itu telah suci bersih daripada riak yang jelas mahupun yang samar. Tegasnya, apabila terzahirnya sesuatu daripadanya tidak menimbulkan apa-apa perasaan riak kecuali timbulnya perasaan cinta dan kasih sayang yang terpuji.

Tanamkanlah dirimu di bumi dari melihat adanya diri...



Thursday, December 26, 2019

RAHMAT ALLAH

Walau kita dituntut
Menjadi orang yang baik.

Namun usah
Merasa diri baik...

Bagus menjadi seorang
yang saleh. Tapi jangan
berasa diri saleh.

Terpuji bagi yang beramal.
Namun usah berbangga
Banyaknya amalan.

Kemuliaan bagi
Menuntut ilmu.
Tapi jangan sekali
meninggi diri dan
Angkuh dengan ilmunya...

Manusia berubah
Rahmat Allah

Rahmat ALLAH itu luas ,
Jangan kita sempitkan
Dengan syak wasangka .

Ekplorasi amal tanpa henti,
Titipkan doa bertalu tali
Pada ilahi,

Lancarkan terus ke hati,
Kerna di situ kau bakal temui
Apa yang kau cari selama ini...

Jangan putus harapan dengan
Allah سبحانه وتعالی. Sesungguhnya...

Menjadi seorang yang baik,
saleh, beramal dan berilmu
hakikatnya adalah anugerah
Nikmat dan Pilihan Allah...

Rahmat ALLAH itu Tiada penghujungnya...

Zahirkanlah kesyukuran hanya padaNYA...

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

(Ad Dhuhaa : 11)

Wahai Tuhan kami !

Kami telah menganiaya diri kami sendiri.
Jika Engkau tidak mengampunkan kami, dan memberi rahmat kepada kami nescaya kami tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.


(Surah al-A'raf : ayat 23)


SEBAIK-BAIK WAKTU


خَيْرُ أوْقَاتِكَ وَقْتٌ تَشْهَدُ فِيْهِ وُجُوْدَ فَاقَتِكَ، وَتُرَدُّ فِيْهِ إلىَ وُجُوْدِ ذَلَّتِكَ

Sebaik-baik waktu ialah waktu engkau dapat menyaksikan (syuhud) padanya kefakiranmu dan engkau dapat kembali merasai di dalamnya kehinaanmu.

Setelah menegaskan akan sifat hakiki hamba iaitu sentiasa faqir kepada Allah, maka pada kalam ini dijelaskan bilakah waktu terbaik seorang hamba itu berada padanya.

Iaitu waktu di mana dia dapat syuhud kepada Allah di dalamnya, ia lebih baik dari seribu rakaat yang ditunaikan dalam keadaan hati yang lalai kepada Allah.

Syuhud ialah pandangan yang dibukakan oleh Allah kepada seseorang hamba sehingga ternyata pada cermin hatinya keberadaan, kekuasaan, kehampiran, kasih sayang Allah dan sebagainya.

Pandangan yang disertai dengan rasa sama ada gerun, rindu, asyik dan sebagainya. Ia bukan semata-mata pengetahuan.

Seterusnya ia membawa kepada rasa hina, faqir dan lemah kerana gunung keakuan diri telah lebur disebabkan pancaran cahaya Jalal-Nya.

Apabila pandangan ini dibukakan oleh Allah maka terlihatlah oleh hatinya dengan ainul yakin bahawa dirinya terlalu faqir dan berhajat kepada Allah pada setiap keadaan dan masa.

Kefakiran ini membawanya merasakan kelemahan dan kehinaan dirinya kepada Allah.

Lantaran itu terbitlah rasa gerun dan malunya kepada Allah. Perasaan ini akan menyebabkan dirinya memperelokkan hubungannya dengan Allah dan hubungannya sesama manusia.

Oleh kerana itulah ia adalah waktu yang terbaik seorang hamba berada di dalamnya.

Diceritakan bahawa suatu malam Syeikh Fath Al Mosuliy رحمة الله تعالى pulang ke rumahnya, namun beliau tiada menu malam untuk dijamahnya, begitu juga pelita yang menerangi rumahnya dan kayu api. Lalu beliau terus memuji Allah dan berdoa kepada-Nya dengan katanya "Wahai Tuhanku di atas sebab apakah diriku layak untuk dilayan seperti para awliya' Mu ini."

Sidi Fath Al Mosuliy dapat bersikap begini kerana tersyuhud dirinya akan kefakiran dan kehinaan dirinya yakni sifat asal hamba.

Lalu ia membuahkan rasa syukur kapada Allah kerana telah memperlihatkan kefakiran dan kehinaannya di hadapan ZatNya Yang Esa.

Suka dan duka silih berganti dalam kehidupan seorang insan, ia tiada lain melainkan untuk menyatakan kelemahan dan kefakirannya kepada Allah yang bersangatan.

Mereka yang memiliki syuhud di dalam hatinya akan melihat ia adalah peringatan Allah akan hakikat dirinya.

Mereka akan menghadapinya dengan sabar atau redha atau syukur bahkan syukur itulah maqam kesempurnaan kehambaan.


Kelapangan dan Kesempitan

Allah سبحانه وتعالی memberi kelapangan agar engkau tidak terus berada dalam kesempitan.

Dia memberimu kesempitan agar engkau tidak terus berada dalam kelapangan.

Lalu Dia mengeluarkanmu dari keduanya agar engkau tidak bergantung kepada selain-Nya.

Rasailah 'sentuhan' lembut-Nya padamu.

Allah 
سبحانه وتعالی sengaja menghadirkan dua keadaan silih berganti dalam dirimu.

Dengan "kelapangan dan kesempitan" Allah ingin membuatmu tetap sedar bahwa hanya Dialah yang mengatur hidupmu.


MENCINTAI DUNIA

Seseorang itu dikira mencintai dunia jika tujuan hidupnya dikerahkan untuk mencari harta, pangkat, kemasyhuran dan kuasa. Meskipun ia berpakaian zuhud, memakai serban dan jubah. Tipudaya syaitan itu amat halus, antaranya dengan menawarkan harta, pangkat, kuasa dan kemasyhuran, hati yang tidak terdidik akan mudah tunduk kepadanya, walaupun ia seorang ustaz, abid, pakar itu dan ini.

Para Sahabat Nabi dulu memalingkan wajah mereka daripada dunia, memilih hidup zuhud, bukan kerana mereka benci dunia tetapi kerana mereka takut tipudaya dunia akan melalaikan mereka daripada menghambakan diri kepada Allah سبحانه وتعالی.

[ Dr. Khalif Muammar ]



IKUTI WALIYULLAH

Samahatul Imam Sholahuddin At Tijani Al Hasani رضى الله عنه berkata :

Al-Muhibbun (para pencinta / waliyullah) sentiasa tersingkap arsar (rahsia) ilahiyah bagi mereka. Bukan sebaliknya. Oleh kerananya, jadilah kekasih Allah. Jika belum boleh, dekati mereka, agar kamu dapat masuk kemana mereka masuk, dan dapat sampai kemana mereka sampai.

Bukankah anjing yang menemani ashabul Kahfi dianggap sebagai rombongan Ashabul Kahfi, dan mendapat kemuliaan sebagai pendamping orang-orang mulia, meski hanya seekor anjing. Sebagaimana firman-Nya :


{سيقولون ثلاثة رابعهم كلبهم ويقولون خمسة سادسهم كلبهم رجما بالغيب ويقولون سبعة وثامنهم كلبهم}


"Nanti (ada orang yang akan) mengatakan (jumlah mereka) adalah tiga orang yang keempat adalah anjingnya, dan (yang lain) mengatakan: "(jumlah mereka) adalah lima orang yang keenam adalah anjing nya", sebagai terkaan terhadap barang yang ghaib; dan (yang lain lagi) mengatakan: "(jumlah mereka) tujuh orang, yang ke delapan adalah anjingnya". (QS. Al-Kahfi: 22).



Perjalanan Salik Menuju Tuhan


Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, thariqat, hakikat dan makrifat.

Syariat itu adalah pakaian Nabi, thariqat itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi.

Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan thariqat.

Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul.

Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya.

Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.

[ Dipetik daripada “Kitab Pendakian Salik Menuju Allah” karangan Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad ]


Bagaimana Melepaskan Cinta Dunia?

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani رضى الله عنه mengatakan :

“Jauhilah sifat syirik, baik syirik lahiriah ataupun batiniah. Sifat syirik lahiriah seperti menyembah patung atau berhala, sementara syirik batiniah seperti bersandar kepada makhluk dan hanya memerhatikan kepadanya, baik dalam kemudharatan ataupun dalam manfaat.

Di antara manusia ada orang yang memiliki dunia, tetapi dia tidak mencintainya; dia memiliki dunia tetapi tidak dimiliki dunia; dunia mencintainya tetapi dia tidak mencintai dunia; dunia lari di belakangnya, tetapi dia tidak lari ke belakang mengejarnya; dia memanfaatkan dunia tetapi dunia tidak berhasil memanfaatkannya; dan dia berhasil memisahkan diri dari dunia, tetapi dunia tidak memisahkan diri darinya.

Dia benar-benar telah membuat hatinya menjadi baik karena Allah Azza wa Jalla, sedangkan dunia tak mampu merusaknya. Maka, dia mampu mengatur dunia, sementara dunia tak akan mampu mengaturnya.

Kerana itu, Rasulullah ﷺ bersabda, “Sebaik-baik harta yang bermanfaat adalah harta orang yang shaleh.” Baginda 
 juga bersabda, “Tidak ada kebaikan dalam dunia ini, kecuali bagi orang yang berkata begini dan begitu.” Baginda  mengisyaratkan bahwa orang itu memisahkan dunia dengan tangannya dalam berbagai segi yang baik.

Maka, hendaklah engkau membiarkan dunia di tanganmu untuk kebaikan hamba-hamba Allah Azza wa Jalla. Keluarkanlah dunia dari hatimu hingga dunia sama sekali tidak membahayakanmu. Janganlah kenikmatan dunia dan perhiasannya menipumu. Sebab, tidak lama lagi engkau akan pergi dan dunia pun akan pergi setelah kepergianmu.”

[ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam Fath Ar-Rabbani ]

KISAH BAJU & AMAL

Suatu ketika seorang Sufi, Imam Tarmimi رحمة الله تعالى, membuat sehelai baju. Setelah siap dia sangat menyenangi baju barunya itu. Tetapi kerana terdesak terpaksa dia menjualnya. Ketika baju itu ditawarkan kepada pembeli dan diamati, ternyata di dalam ada cacat, ada bahagian yang robek. Maka, baju itu pun dikembalikan. Tidak diduga Imam Tarmimi menangis tersedu-sedu, sehingga pembeli itu terharu lalu berkata, "Janganlah bersedih tuan, baju itu tetap akan kubayar." Mendengar teguran itu, Imam Tarmimi menjawab, "Apakah kamu kira aku menangis kerana baju itu? Tidak. Baju itu memang kesayanganku, dan kamu kembalikan kerana ada sedikit cacat. Tapi, aku menangis kerana teringat kepada amal-amalku sejak empat puluh tahun dahulu. Aku merasa khuatir dan takut jangan-jangan amal itu tidak diterima ALLAH akibat suatu kecacatan disebab tidak ikhlas."


Menyambut Maulidur Rasul Bid'ah?

Berkata guru kami Al-Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid dalam Tausiyah beliau :-


Maulidur Rasul; "Orang yang buat maulid Nabi ﷺ, memang itu tak ada di zaman Nabi ﷺ, adakah yang tak ada di zaman ﷺ, lalu dibuat selepas zaman Nabi ﷺ dikatakan salah, atau bid'ah disebabkan dengan dalil Nabi ﷺ tak buat? Maka orang yang buat apa Nabi ﷺ tak buat maka ianya bid'ah?"


"Kita kena sepakat dahulu dengan dalilnya sebelum menghukum sesuatu dengan dalilnya. Perkara yang ditinggalkan Nabi ﷺ adalah tak bermaksud larangan. Apa yang Nabi ﷺ tak buat, atau yang Nabi ﷺ tinggalkan tak bererti dilarang untuk kita membuatnya. Contoh, Nabi ﷺ solat tarawih lalu Nabi ﷺ tinggalkan. Lalu Nabi ﷺ tak buat lagi sampai akhir hayat Nabi ﷺ. Adakah dilarang solat tarawih?"


"Rasulullah ﷺ melihat sahabat untuk makan dhob, lalu Nabi ﷺ tak makan. Nabi ﷺ tinggalkan, adakah bermakna dhob tak boleh dimakan? Kata Nabi ﷺ; "Apa yang aku perintahkan, tunaikan mengikut apa yang kamu mampu. Apa yang aku larang maka tinggalkan."


"Yang Nabi ﷺ tak buat, Nabi ﷺ tak kata apa-apa pun. Berapa banyak di zaman sahabat apa yang tak dibuat Nabi ﷺ, tapi dibuat oleh sahabat. Al-Quran dibukukan di zaman Sayyidina Abu Bakar رضى الله عنه, tak dibuat di zaman Rasulullah ﷺ, Al-Quran hurufnya dibariskan di zaman Sayyidina Uthman 
رضى الله عنه, tak dibuat di zaman Rasulullah ﷺ."


"Maulid Nabi ﷺ, dibuat pertama kalinya pada Abad kelima, ketika itu sudah ada ramai kaum muslimin yang jauh daripada agama. Maka datang seseorang ulama yang nak tarik kembali ummat islam kepada Islam. Imam As-Suyuthi رحمة الله تعالى, menulis sebuah kitab dalil khas tentang maulid."


"Nak menilai Maulid ﷺ itu bukan dilihat dari namanya, tapi yang penting pengisian di dalamnya itu yang menjadi penilaiannya. Zaman kita sekarang, kalau golongan Si Fulan yang berada dalam gembira, kita sakit hati. Kerana hati kita problem. Hati gelap. Tak ada kasih sayang. Di zaman kita sekarang, nak bergembira dengan perkara-perkara yang baik, tak boleh. Bid’ah!"


"Suka-suka membid'ahkan orang. Lebih teruk lagi mengkafirkan orang. Nabi ﷺ susah payah dakwah orang lain masuk Islam, kamu senang-senang mengkafirkan orang lain. Tak boleh. Ini adalah bercanggah dengan Agama.

Nak bergembira dengan perkara yang baik, tak dibolehkan. Kaum Muslimin gembira dengan kemenangan mengalahkan Kaum Romawi. Disambut kemenangannya."


"Kita ini mendapatkan hidayah kerana Rasulullah ﷺ. Kita mendapat ini Islam, perjuangan Rasulullah ﷺ. Tak boleh kita gembira di Hari Kelahiran Rasulullah ﷺ? Kita bergembira dengan Hari Kelahiran Rasulullah ﷺ 12 Rabi’ul Awwal nak menyebut Maulid Nabi ﷺ saja, bid’ah!?"


"Timbangan apa yang kamu gunakan? Timbangan neraca yang rosak, tak boleh nak menimbang sesuatu tepat pada tempatnya. Dalam masalah kegembiraan itu bukan Dzat gembiranya, akan tetapi motif kegembiraan itu apa sebabnya dan kedua cara apa yang kita gunakan untuk gembira?"


"Dua perkara penting, yang pertama Motif atau Sebab. Yang kedua, Bentuk kegembiraan itu bagaimana kita lakukannya? Kalau sebab kegembiraan anak kita berjaya,dapat 9A, atau baru balik daripada luar negara belajar, kita nak buat apa namanya? Kenduri kesyukuran."


"Kalau kita buat satu Doa Keselamatan dengan tari-menari yang dilarang oleh Agama, dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah سبحانه وتعالى.ini gembira bukan pada tempatnya. Memang bercanggah dalam Syarak. Walaupun nak bergembira dengan anak balik berjaya adalah perkara yang menjadi kebanggaan dan kegembiraan khususnya pada ahli keluarga, silakan bergembira."


"Gembira kita itu kerana sebagai simbol atau tanda ingin mensyukuri nikmat Allah سبحانه وتعالى... Tapi cara mengungkapkan kegembiraan mesti ditimbang dengan Syarak.

Kita nak meraikan Maulid Nabi Muhammad ﷺ, baik atau tak baik? Kita nak mengingati Sejarah, Sirah, Akhlak, Budi Pekerti Rasulullah ﷺ. Di dalamnya ada ilmu. Baik atau tak baik? Maka tak ada seorang pun akan berkata tak baik."


"Kemudian cara kita nak mengungkapkannya macam mana?

Kita duduk di dalam Masjid, kita Iqtikaf di dalam Masjid, kita Selawat kepada Rasululllah ﷺ, kita berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى. Ada penceramah yang berceramah menyampaikan ilmu. Baik atau tak baik?"


"Fadhilat iqtikaf dapat, silatuhrahmi dapat, kemudian dia dapat ilmu, dapat Selawat, Zikir pun dapat. Pahala pun dapat. Makanya, baik atau tak baik? Kita kalau tak nak buat baik, jangan dihalang orang lain nak buat baik. Jangan dihalang orang yang nak melakukan perkara yang baik. Kelak, kita akan ditanya oleh Allah سبحانه وتعالى kenapa halang orang nak buat baik?"

[ Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid ]


Syeikh Ismail Al-Minangkabawi Penyebar Thariqat Naqshabandiyyah Khalidiyyah Pertama Di Nusantara


SEJARAH THARIQAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH DI NUSANTARA

Kedatangan Syeikh Ismail Al-Minangkabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, "Tuhfatun Nafis". Menurut Ensiklopedia Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Sanggahan adalah sebagai berikut, bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi jauh lebih muda dari gurunya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani. Mengenai kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani ada yang menyebut tahun 1133 Hijrah/1720 Masehi, 1153 Hijrah/1740 Masihi dan 1183 Hijrah/1769 Masehi. Yang pasti, sewaktu masih kanak-kanak Syeikh Ismail Al-Minangkabawi telah dibawa oleh ayahnya berpindah ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Utsman Ad-Dimyathi yang hidup dalam tahun 1196 Hijrah/1782 Masehi atau 1265 Hijrah/1848 Masehi. Oleh sebab Syeikh Ismail Al-Minangkabawi adalah murid Syeikh Utsman Ad-Dimyathi, maka tahun kelahirannya dapat kita bandingkan dengan tahun kelahiran beberapa orang murid Syeikh Utsman Ad-Dimyathi yang lain, seumpama Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan yang lahir tahun 1232 Hijrah/1816 Masihi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, lahir tahun 1233 Hijrah/1817 Masihi dan lain-lain. Jadi jelaslah bahawa tahun 1125 Hijrah/1713 Masihi yang dinyatakan tahun kelahiran Syeikh Ismail Al-Minangkabawi itu adalah ditolak berdasarkan fakta sejarah. Dari semua karya Syeikh Ismail Al-Minangkabawi yang ditemui, yang nyata tercatat tahun selesai penulisan hanya sebuah saja, iaitu "Ar-Rahmah Al-Habitah Fi Zikri Ismi Az-Zati Wa Ar-Rabitah" yang diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Ini sudah cukup untuk menyanggah kenyataan bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi wafat pada tahun 1160 Hijrah/1747 Masihi itu, bahkan beliau masih hidup hingga tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Menurut Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair dalam "Nashrun Naur Waz Zahar", bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi wafat melampaui tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi.


Syeikh Ismail bin Abdullah Al-Minangkabawi Al-Khalidi Asy-Syafi'i lahir di Minangkabau dan semenjak kecil beliau telah mengikut ayahnya berpindah ke Mekah Al-Musyarrafah. Beliau belajar pelbagai ilmu kepada Syeikh Utsman Ad-Dimyathi. Setelah ulama besar itu wafat, Syeikh Ismail Minangkabawi belajar pula kepada Syeikh Ahmad Ad-Dimyathi. Selain kedua ulama itu, Syeikh Ismail Minangkabau juga belajar kepada ulama-ulama lain dalam Masjidil-Haram, Mekah dan sempat belajar dari Mufti Mazhab Syafie pada ketika itu iaitu Syeikh Muhammad Sa'id bin Ali Asy-Syafi'i Al-Makki Al-Qudsi, wafat tahun 1260 Hijrah/1845 Masihi. Ulama dunia Melayu yang menjadi gurunya yang dapat diketahui secara pasti hanyalah Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani.


Mengenai Thariqat Naqshabandiyyah Khalidiyyah, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi telah menerima Bai'ah dan Tawajjuh dari Sayyid Abi 'Abdillah bin 'Abdullah Afandi Al-Khalidi iaitu murid kepada Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi. Sebelum itu, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi juga telah menerima Bai'ah dan Tawajjuh secara langsung dari Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi. Dari sinilah permulaan nama Silsilah Thariqat Naqshabandiyyah ada terdapat istilah Al-Khalidiyyah dalam Thariqat Naqshabandiyyah kerana Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi adalah seorang Mujaddid dalam Thariqat Sufiyyah. Tercatat dalam sejarah bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi adalah seorang ulama yang sangat kuat melakukan ibadah dan beramal dengan Thariqat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan Thariqat Syadziliyyah serta giat mengajar, mengarang, tilawah Al-Quran, berwirid dan berzikir sama ada pada waktu siang mahupun malam sehinggalah beliau wafat di Mekah tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi. Tidak tercatat suatu pekerjaan yang dilakukannya sepanjang siang dan malam selain yang tersebut itu.


Karya Syeikh Ismail Al-Minangkabawi berupa kitab maupun risalah yang ditemui adalah sebagai berikut :


1. Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah, diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf, khusus mengenai rabitah secara mendalam. Kitab ini merupakan terjemahan sebuah karya murid beliau sendiri, seorang Arab yang bernama Syeikh Husein bin Ahmad Ad-Dausari yang meninggal dunia dalam tahun 1242 Hijrah dalam usia hanya 39 tahun. Dari terjemahan kitab ini, kita banyak memperoleh informasi tentang diri Syeikh Ismail Al-Minangkabawi. Di antara petikan kalimatnya, "Dan adalah demikian itu dengan mengerjakan yang dia yang amat hina Ismail ibni 'Abdullah yang Syafie mazhabnya, Al-Ash'ari 'akidahnya, yang Syadzili Thariqatnya kemudian lagi Naqshabandi Khalidi Thariqatnya juga yang menumpang ia atas Ahli 'Ilmi di dalam Tanah Haram yang Makki yang maha mulia ia. Barang ditobatkan oleh Allah juga atasnya dan maaf daripadaNya oleh Tuhannya yang amat murah lagi amat penyayang. Dan adalah demikian itu di dalam Kampung Teluk Belanga dengan pertolongan Shah Amir yang dibesarkan dan ikutan yang dimuliakan ialah Amir Ibrahim bin Al-Marhum Amir Abdur Rahman At-Tamanqum Seri Maharaja.'' Yang dimaksudkan dengan perkataan At-Tamanqum ialah Temenggung. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, akhir Jamadilawal 1325 Hijrah, diusahakan oleh Syeikh Abdullah Al-Baz.


2. Risalah Muqaranah Sembahyang, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan niat sembahyang. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Bahiyah Al-Mashriyah, 1309 Hijrah. Dicetak atas zimmah Umar bin Khathib Abdus Shamad Al-Jawi, Jiyad. Selanjutnya ada cetakan pertama yang dikombinasi cetak dengan Bulughul Maram karya Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani oleh Mathba'ah Al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1310 Hijrah.


3. Kifayatul Ghulam fi Bayani Arkanil Islam wa Syurutihi, tanpa tarikh.

Kandungannya membicarakan Fiqah bahagian rubu' ibadat. Terdapat berbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Mathba'ah Mustafa Al-Babi Al-Halabi, Mesir, 1340 Hijrah. Kitab ini ditashih oleh beberapa orang di antaranya, Haji Abdullah bin Ibrahim Al-Qadhi Kedah.


4. Al-Muqaddimatul Kubra allati Tafarra'at minhan Nuskhatus Shughra, tanpa tarikh. Hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305 Hijrah di Mekah oleh 'Abdus Samad Kelantan. Kandungannya membahas ilmu 'Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara mendalam. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Amiriyah, Bulaq, Mesir tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah dan di halaman akhir dinyatakan Rabiul Akhir 1310 Hijrah. Di bahagian tepi dicetak kitab berjudul "Muqaddimatul Mubtadin" oleh pengarang yang sama. Pada halaman akhir dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah Al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah. Kitab ini ditashih Syeikh Ahmad Al-Fathani.


5. Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 30 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu akidah secara mendalam. Dicetak di bagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra.


6. Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Milaq. Kandungannya membicarakan tasawwuf, merupakan terjemahan dan syarah Qashidah al-'Arif Billah al-Qadhi Nashiruddin ibni Bintil Milaq Asy-Syadzili. Sebagian besar kandungannya membicarakan Thariqat Syadziliyyah. Kitab ini termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab. Saya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah Al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah.


Sewaktu Syeikh Ismail bin Abdullah Al-Minangkabawi wafat, beliau telah meninggalkan dua orang putera yang menjadi ulama, iaitu Syeikh Azhari (wafat 1303 Hijrah/1886 Masihi) dan Syeikh Muhammad Nur (1313 Hijrah/ 1895 Masihi). Syeikh Azhari bin Syeikh Ismail Al-Minangkabawi ketika wafat meninggalkan dua orang anak iaitu Salim dan Ismail. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail Al-Minangkabawi pula memperoleh dua anak perempuan. Salah seorang darinya menjadi isteri kepada Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Minangkabawi Al-Azhari, tokoh Tajdid yang sangat terkenal itu. Kedua anak Syeikh Ismail Al-Minangkabawi tersebut meneruskan kegiatan di rumah pusaka beliau yang dinamakan Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah telah menjadi tumpuan atau tempat berkumpul orang-orang yang berasal dari dunia Melayu, terutama Ikhwan Thariqah dan Kerabat Diraja Riau-Lingga. Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah itu telah dibina dan dimulai oleh Syeikh Ismail Al-Minangkabawi sendiri dan sewaktu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji pergi ke Mekah pada tahun 1243 Hijrah/1828 Masihi, beliau menghulurkan dana wakaf yang banyak kepada Syeikh Ismail Al-Minangkabawi. Dana wakaf tersebut kemudian diteruskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau-Lingga, para murid beliau. Murid Syeikh Ismail Al-Minangkabawi dari golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahupun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain.


Kesimpulan dari seluruh perbincangan bahawa Thariqat Naqshbandiyyah aliran al-Khalidiyyah di dunia Melayu, dimulai oleh Syeikh Ismail Al-Minangkabawi di Mekah, kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Pondok Upeh di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.


Apakah ubat untuk menghalang syaitan itu?


Selain berzikir (ingat akan Allah), ubatnya adalah dengan menyumbat atau menutup segala pintu-pintu masuk syaitan ke dalam hati kita itu. Bersihkanlah hati kita daripada sifat-sifat yang tercela itu (sifat-sifat mazmumah).

Syaitan itu seumpama kera lapar. Apabila ia menghampiri engkau sedangkan pada engkau tidak ada makanan, ia boleh beredar walau dengan satu perkataan atau satu gerakan badan engkau. Tetapi jika ia sedang lapar sedangkan pada engkau ada makanan, ia akan berusaha untuk menyerang engkau walaupun engkau menyuruh ia pergi dan menghalaunya. (Imam Al-Ghazali رحمة الله تعالى mencontohkannya dengan anjing lapar).

Sebahagian orang berharap agar syaitan menjauh daripada dirinya dengan lafaz zikir dan bacaan-bacaan tertentu sahaja, sedangkan bahan-bahan umpan syaitan di dalam hatinya tidak dikeluarkan dan pintu-pintu masuk syaitan ke hatinya tidak pula ditutup.

Meminum ubat untuk menyihatkan badan dalam keadaan perut kita sentiasa penuh dengan makanan dan banyak pula makanan yang tidak berkhasiat, seakan-akan tindakan yang sia-sia. Selain meminum ubat, lebih penting agar perut itu tidak banyak makan dan tidak berisi dengan makanan yang memudaratkan. Maka barulah ubat tadi berkesan.

Dalam usaha untuk menjauhkan syaitan dan menyihatkan hati, maka kita hendaklah menutup pintu-pintu masuknya dan mengosongkan diri kita daripada sifat-sifat yang memudaratkan iaitu sifat-sifat mazmumah.

PINTU-PINTU MASUK SYAITAN KE DALAM HATI


Antara pintu-pintu besar syaitan masuk ke qalbu kita ialah kenyang. Hal ini kerana kenyang itu menguatkan nafsu syahwat sedangkan nafsu syahwat itu ialah senjata syaitan.

Antara kecelaan banyak makan ialah :

1) Mengurangkan dan menghilangkan rasa takut akan Allah. Orang yang asyik kenyang kan biasanya akan berasa selesa di mana-mana. Oleh itu, orang yang asyik kenyang biasanya banyak lupa akan Allah.

2) Mengurangkan dan menghilangkan rasa belas kasihan kepada orang lain (khususnya orang susah) kerana apabila kita kenyang, kita terdorong untuk merasakan yang orang lain juga sedang kenyang. Kerisauan kita terhadap laparnya orang lain jadi berkurangan.

3) Membuatkan hati dan tubuh badan kita berasa berat dan malas untuk melakukan amal.

4) Hati menjadi kurang cekap untuk memaham pengajaran dan hikmah.

5) Pengajaarn dan hikmah yang disampaikan oleh orang yang kenyang pun biasanya kurang berkesan terhadap orang lain.

6) Mendatangkan penyakit.


Pintu syaitan yang lain untuk masuk ke hati kita ialah kegemaran dan keterujaan kita terhadap perhiasan diri, pakaian, kenderaan, rumah dan sebagainya. Apabila kehendak-kehendak ini kuat, nescaya seolah-olah syaitan itu bertelur dan menetas di dalam hati itu. Lalu sentiasalah syaitan itu mengajak-ajak manusia itu untuk melayan kehendak-kehendak dalam hal ehwal hiasan.

Pintu besar syaitan yang lain ialah membodek. Membodek itu berlaku apabila kita suka berbuat-buat sangat baik terhadap seseorang kerana kita terlalu mengharapkan sesuatu daripadanya. Banyaklah lakonan dan kepuran-puraan yang kita lakukan.

Pintu lainnya ialah bersikap terburu-buru yakni kelam kabut yang tidak kena dengan tempatnya.

Pintu lainnya ialah wang dan harta benda kekayaan termasuklah haiwan ternakan, tanah, bangunan dan sebagainya.

Pintu lainnya ialah kedekut (kikir) dan takut miskin.

Pintu lainnya ialah fanatik (taksub) terhadap seseorang atau sesuatu.

Pintu lainnya ialah perbuatan membawa orang awam yang tiada asas agama yang memadai kepada berfirkir tentang Zat Allah, sifat-sifatNya dan hal-hal yang tinggi-tinggi.

Pintu lainnya ialah suka berburuk sangka. Suka menuduh dan mengumpat.


Begitulah antara pintu-pintu masuknya syaitan ke dalam hati kita. Banyak lagi pintu-pintu yang lain. Ringkasnya, pintu-pintu ini mestilah kita tutup rapat-rapat.



TAFSIRAN KURNIA

Kurnia digunapakaikan mengikut tiga pengertian berdasarkan tingkat kefahaman / keimanan seseorang iaitu ;

1. Pengertian mengikut kebanyakan orang.

Mereka mentafsirkan Kurnia berdasarkan kepada kebendaan semata-mata. Bila mendapat rezeki harta benda yang banyak, kejayaan dalam usaha, peningkatan dalam status kehidupan seperti pangkat, berupaya memiliki apa yang dihajati mereka akan menyambutnya dengan gembira dan ceria sekali hinggakan ada yang menzohirkan kesyukurannya dengan majlis kenduri, parti dan sebagainya. Sebaliknya bila rezeki kurang, gagal dalam usaha, kehidupan dunia merosot mereka akan menganggap sebagai tiada kurnia dari Allah lagi. Mereka akan rasa sedih, resah dan ada yang menterjemahkannya sebagai satu bala atau musibah.

Golongan ini memahami kurnia mengikut apa yang diburu oleh kebanyakan orang [ahli dunia]. Mereka akan merasa susah dan penat untuk mendapat sesuatu kurnia kerana terikat dengan keinginan nafsu mereka yang sentiasa mendapatkan sesuatu yang lebih. Mereka banyak bergantung kepada syahwat mereka. Jika keyakinannya seperti demikian, maka ia telah menyekutukan Allah secara terang-terangan. Orang yang demikian termasuk orang yang lalai.

Firman Allah telah menegaskan kepadanya : 


"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)." (QS Al An’aam : 44). 


2. Pengertian mengikut sebilangan orang.

Mereka akan merasa senang dan bertuah bila dapat merasai manis dalam ibadat. Sebaliknya bila timbul rasa segan dan pahit dalam ibadat mereka, mereka bersedih dan menyesali di atas kesalahan dan taksir mereka.

Golongan ini memahami kurnia dengan menilik kepada apa yang dikurniakan tetapi tidak melihat kepada Yang Mengurniakan. Ini adalah kerana mereka suka pada 'makhluk' [sesuatu selain dari Allah] dengan melupakan Yang Haq. Mereka ini pun akan merasa susah dan perit untuk mendapat sesuatu kurnia dari Allah kerana merasakan banyak pantang larang yang perlu dijaga untuk menjaga ibadat mereka. Mereka masih lagi bergantung dengan amalan mereka (makhluk) sendiri dengan melupakan Allah Yang Maha Pemberi.

Katakanlah : “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (QS Yunus : 58) 


3. Pengertian mengikut beberapa orang.

Golongan ini melihat dan mentafsir sesuatu itu mengikut maksud dan makna yang tersirat. Mereka memandang sesuatu itu dengan pandangan 'Ainul Basyirah' atas jalan "Tafakur" yang seterusnya menterjemahkannya dengan 'Muraqobah' [mengintai-intai perbuatan, sifat, asma Allah] yang hasil daripada gabungan tersebut. Mereka melihat dan memahami kurnia itu adalah semata-mata dari Allah. Umpama seorang petani yang dhoif yang mendapat satu hadiah daripada seorang Raja yang mulia. Hadiah itu bukanlah menjadi nikmat kepadanya tetapi Ingatan Raja itu kepadanya. Betapa bererti padanya ingatan raja kepadanya.

Pandangan hatinya jelas melihat dan kadang-kadang menyaksikan betapa Allah sentiasa mengurniakannya Nur Makrifat untuk membolehkan dia sentiasa memandang dan melihat betapa hukum Allah sentiasa diluluskan ke atasnya. Sama pandangannya sama ada puji manusia, kutukan manusia, bala, taat, sakit, gembira, takut dan sebagainya semuanya datang dari Kehendak dan Kuasa Allah melalui Tajali (penzhohiran) sifat Kurnia-Nya yang jelas tertancap pada mata hatinya.

Golongan ini melihat atau menyaksikan kurnia Allah dalam bentuk-bentuk penzhohiran-Nya yang Mutlak. Tidak lepas sesuatu melainkan Allah meliputi tiap-tiap sesuatu. Mereka melihat Allah dalam tiap-tiap sesuatu dan mereka telah sampai kepada hakikat Syukur kerana hakikat Syukur itu ialah melihat kepada yang memberi bukan kepada apa yang diberi.


Tuesday, December 24, 2019

TAKABBUR : Kisah Imam Abu 'Abdullah al-Andalusi رحمة الله تعالى


Imam Abu 'Abdullah رحمة الله تعالى merupakan Syeikh ul-Masyaikh (guru kepada para syeikh) dan berada dalam kalangan wali Allah yang besar di Andalus (Sepanyol). Ribuan tempat suluk menjadi begitu makmur di bawah bimbingan beliau, ribuan madrasah berjalan dengan tunjuk ajar beliau dan beliau mempunyai ribuan anak murid sehingga diberitahu bahawa anak murid beliau mencecah dua belas ribu orang.

Sekali, beliau telah keluar bermusafir. Ribuan para masyaikh dan ulama menyertai beliau termasuk Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam Syibli.

Imam Syibli menceritakan, "Kafilah kami bergerak dengan penuh keberkatan sehingga kami melalui satu perkampungan orang Kristian. Ketika itu, waktu solat sudah hampir habis. Kami tidak menemui air di dalam kampung itu. Di luar kampung tersebut ada sebuah perigi yang beberapa orang gadis mengambil air darinya. Imam Abu 'Abdullah telah terpandang salah seorang gadis tersebut. Selepas terpandang akan gadis tersebut, Imam Abu 'Abdullah telah berubah serta-merta.

Selepas beliau bercakap-cakap dengan gadis itu, beliau menundukkan kepalanya lalu duduk. Selama tiga hari penuh berlalu, beliau tidak makan, tidak minum dan tidak bercakap dengan sesiapa. Semua khadim beliau berasa bimbang dengan keadaan diri beliau. Selepas tiga hari, saya memberanikan diri untuk berbicara dengan beliau. Saya berkata, "Wahai Tuan Imam, ribuan murid tuan berasa bimbang melihat keadaan tuan."

Lalu Imam Abu 'Abdullah pun berkata kepada murid-muridnya, "Wahai sahabat-sahabatku, sampai bila aku akan merahsiakan keadaan aku ini kepada kamu semua? Gadis yang telah aku lihat kelmarin, kecintaan kepadanya telah menguasai diriku sehinggakan seluruh anggota badan aku telah dikuasainya. Sekarang, dalam apa-apa keadaan pun, tidak mungkin aku akan meninggalkan tempat ini."

"Tuan Imam, tuan merupakan Imam dan mursyid besar kepada penduduk Iraq. Keilmuan, kehebatan, kezuhudan dan ibadah tuan tersebar ke segenap pelosok Iraq. Para murid tuan melebihi dua belas ribu orang. Dengan perantaraan al-Quran yang mulia, janganlah tuan hampakan kami semua."

Imam Abu 'Abdullah telah berkata, "Wahai anak muridku yang dikasihi, nasibku dan nasibmu telah ditetapkan dalam takdir Tuhan. Pakaian kewalian telah ditanggalkan daripadaku dan tanda-tanda hidayah telah dilenyapkan daripadaku." Beliau telah mengucapkan perkataan ini lalu menangis sambil berkata lagi, "Wahai kaumku, qada' dan qadar telah terlaksana. Sekarang urusan ini bukan lagi dalam tanganku." Kami benar-benar terkejut dengan peristiwa ini dan kami mulai menangis kerana kehampaan dan kekecewaan. Imam Abu 'Abdullah juga turut menangis bersama-sama dengan kami seumpama air banjir yang sangat deras.

Selepas itu, kami pun terpaksa pulang semula ke tanah air kami di Baghdad. Apabila kami menceritakan peristiwa ini kepada anak-anak murid beliau selepas pulang, keadaan menjadi riuh-rendah sehingga ada beberapa orang pada waktu itu juga telah meninggal dunia kerana terlalu sedih. Sementara yang lain pula berdoa merintih-rintih di hadapan Allah supaya Allah Zat yang mengubah hati, memberi hidayah dan mengembalikan Imam Abu 'Abdullah pada kedudukan yang tinggi semula. Selepas itu, semua tempat zikir beliau telah ditutup. Selama setahun kami senantiasa terkenangkan perpisahan dengan beliau.

Selepas setahun berlalu, anak-anak murid Imam Abu 'Abdullah bercadang untuk bertemu dengan beliau dan melihat keadaan beliau setelah berpisah agak lama. Maka, sekumpulan murid Imam Abu 'Abdullah telah pergi. Apabila mereka telah sampai di kampung tersebut, mereka bertanya kepada penduduk kampung tersebut mengenai Imam Abu 'Abdullah. Penduduk kampung telah memberitahu bahawa beliau sedang mengembala babi di dalam hutan.

Kami pun bertanya, "Semoga Allah melindungi dirinya, bagaimana keadaan ini boleh berlaku?" Lalu mereka memberitahu bahawa Imam Abu 'Abdullah telah meminang anak perempuan ketua mereka. Beliau telah bersetuju dengan syarat mesti menurut setiap perintah bakal mertuanya iaitu beliau dikehendaki untuk mengembala babi di dalam hutan. Mendengarkan hal ini, kami menjadi tergamam dan jantung kami bagaikan dikoyak-rabak kerana terlalu bersedih.

Tanpa disedari, air mata kami mengalir begitu deras. Dengan berat hati, kami pergi ke hutan tempat di mana Imam Abu 'Abdullah mengembala babi. Kami melihat beliau memakai topi nasrani dan di pinggang beliau terikat zunnar (iaitu sejenis kain yang diikat di badan orang kafir zimmi sebagai tanda mereka ialah kafir zimmi). Beliau sedang berdiri di hadapan babi sambil memegang tongkatnya yang suatu ketika dahulu digunakan untuk memberikan nasihat dan khutbah kepada kami. Melihatkan hal ini menambahkan Iagi kedukaan di hati kami.

Imam Abu 'Abdullah menundukkan kepala beliau apabila menyedari akan kedatangan kami. Kami menghampiri beliau lalu mengucapkan salam, beliau dengan suara yang agak tertahan menjawab salam kami. Setelah bertanya mengenai perkhabaran beliau, maka kami bertanya lagi, "Wahai tuan Imam, bagaimanakah keadaan sebegini boleh berlaku kepada tuan dalam keadaan tuan mempunyai ilmu dan kelebihan serta mengetahui tentang hadith dan tafsir?"

Beliau telah menjawab, "Wahai rakan-rakanku, saya tidak berada dalam kemampuan diri saya. Tuhanku telah bertindak terhadapku sepertimana yang Dia kehendaki. Selepas Dia menjadikan aku begitu hampir dengan-Nya, maka Dia juga mengkehendaki untuk melemparku jauh dari pintu-Nya, siapakah yang boleh menghalang ketentuan-Nya? Wahai teman-temanku, takutilah kemurkaan Tuhan yang tidak berhajat kepada sesiapa, jangan kamu terpedaya dengan ilmu dan kelebihan kamu."

Selepas menerangkan keadaan dirinya, beliau memandang ke langit lalu berkata, "Wahai Tuhanku, aku tidak pernah menyangka Kau akan menghina aku sebegini sehingga menghalau aku dari pintu-Mu." Imam Abu 'Abdullah berkata sedemikian lalu mulai berdoa sambil menangis. Kemudian beliau berkata, "Wahai Syibli, lihat dan ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku pada orang lain."

Saya (Imam Syibli) menangis lalu berdoa, "Wahai Tuhan yang memelihara kami, hanya kepada-Mu-lah kami meminta bantuan dan pertolongan dan hanya kepada-Mu-lah kami bergantung. Jauhkanlah kami daripada musibah ini kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh menjauhkannya selain daripada-Mu." Mendengarkan tangisan dan suara mereka yang sayu ini, segerombolan babi pun berkumpul berhampiran mereka dan mereka juga turut mulai menangis dan berbunyi. Di samping itu juga, Imam Abu 'Abdullah terus menangis teresak-esak.

Saya (Imam Syibli) bertanya lagi, "Wahai tuan Imam, tuan dahulunya seorang hafiz al-Quran dan boleh membaca tujuh qiraat. Adakah tuan masih boleh mengingati apa-apa mengenai ayat al-Quran?" lalu lmam Abu 'Abdullah menjawab "Wahai temanku, aku tidak boleh mengingati apa-apa mengenai ayat al-Quran melainkan hanya dua ayat sahaja. Ayat yang pertama ialah,

وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ ۥ مِنْ مُّكْرِمٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ

"... dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya."

[ Surah Al-Hajj 22 : 18 ]


Manakala ayat kedua pula ialah,

وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ السَّبِيلِ

"...Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus."

[ Surah Al-Baqarah 2 : 108 ]


Saya (Iman Syibli) bertanya lagi, "Wahai tuan Imam, dahulunya tuan boleh membaca tiga puluh ribu Hadith bersama sanadnya secara hafalan. Adakah tuan masih mengingatinya lagi?" Imam Abu 'Abdullah menjawab, "Hanya satu hadith yang masih aku ingat iaitu,

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

"Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia."
[ Hadith Sahih riwayat Bukhari ]


Melihatkan keadaan ini, kami meninggalkan beliau di sana dan pulang semula ke Baghdad.

Selepas melepasi tiga persinggahan dalam perjalanan, pada hari yang ketiga tiba-tiba kami melihat Imam Abu 'Abdullah di hadapan kami. Beliau telah mandi di sebatang sungai lalu keluar dan dengan suara yang kuat, beliau mengucapkan,

أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَــــهَ إِلَّا اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Ketika itu, kegembiraan kami yang amat sangat hanya boleh dibayangkan oleh sesiapa yang mengetahui betapa beratnya musibah yang menimpa kami sebelum ini. Selepas itu kami bertanya kepada beliau, "Adakah ada apa-apa sebab tuan diuji sebegini?"

Imam Abu 'Abdullah, menjawab, "Ya, sewaktu kita sampai di kampung orang Kristian tersebut dan kita melalui berhampiran sebuah rumah berhala dan gereja mereka, apabila melihat penyembah api dan penyembah salib yang sedang sibuk beribadah, maka timbul dalam hatiku sifat takabbur dan bangga, "Kami orang mukmin dan mentauhidkan Allah sedangkan orang ini amat malang!" Bagaimana mereka ini amat bodoh sehingga boleh menyembah benda-benda yang tidak mempunyai deria rasa?" Ketika itu juga aku telah diseru dengan satu suara ghaib, "Iman dan Tauhid ini bukan kesempurnaan daripadamu sendiri bahkan segalanya daripada taufiq Kami. Adakah kau menganggap Iman itu dalam ikhtiarmu? Kalau kau mahu, sekarang Kami boleh beritahu kepada kau!" Ketika itu juga aku merasai seolah-olah seekor burung keluar dari hatiku lalu ianya terbang dan secara hakikatnya yang keluar itu ialah Imanku."

[ Syeikhul-Hadith Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhalawi dalam Ummul Amradh ]

Sifat takabbur ini merupakan bala yang amat buruk sehinggakan sebesar-besar syeikh pun telah diuji sebegitu rupa.

Semoga Allah dengan kemurahan dan kurniaan-Nya menyelamatkan kita semua daripada musibah yang amat besar ini. Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...

Sunday, December 1, 2019

Pandangan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Berkenaan “Zikir Sambil Menari”

ZIKIR SAMBIL MENARI

Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Kadang-kadang ada yang memberi jawapan tentang sesuatu hukum itu mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda tentang hukum menari yang diamalkan oleh puak sufi seperti di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.

Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah سبحانه وتعالی berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ‘Ali-‘Imran ayat 191).

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.

Ummul Mukminin Sayyiditina Aisyah رضي الله عنه pernah melaporkan bahawa Rasulullah ﷺ berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah ﷺ.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Sayyidina Jaafar bin Abi Talib رضي الله عنه (sepupu Rasulullah ﷺ), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah ﷺ sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah ﷺ menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”

Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus ditakbirkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah ﷺ. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah ﷺ.

Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.

Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari- menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-‘Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jaafar bin Abi Talib رضي الله عنه. Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.

Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan. Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).

Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah سبحانه وتعالی. Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum feqah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah ﷺ dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram. 


PENJELASAN APABILA DICACI

Al-Habib Umar Ben Hafidz di dalam kitabnya yang bertajuk "Siap Dicaci & Dipuji", beliau ada menjelaskan ;

"Adakalanya seseorang ingin menghinakan dirimu padahal dirimu tidak termasuk orang yang hina di sisi Allah سبحانه وتعالی, maka engkau sebaiknya tidak boleh marah dan membencinya, tetapi periksalah dirimu dalam 3 perkara ; 

Pertama : 

Hendaknya engkau merasa bahwa dirimu banyak kekurangan dan segala kekuranganmu yang ditutupi oleh Allah سبحانه وتعالی masih lebih banyak. Kerana itu, hendaknya engkau bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالی kerana kekurangan dirimu masih banyak tetapi ditutupi oleh Allah سبحانه وتعالی. 

Kedua : 

Celaan orang lain kepadamu dapat menghapuskan segala kekurangan dirimu dan membersihkan dosa-dosamu yang telah mengotori dirimu, misalnya jika engkau dihina oleh orang lain, maka bergembiralah kerana engkau sebenarnya diberi pahala olehnya. Tetapi jika engkau dipuji orang lain, maka janganlah engkau gembira, sebaiknya engkau kecewa dengan pujiannya kerana engkau mengira bahwa dirimu dekat dengan Allah سبحانه وتعالی padahal engkau jauh dari Allah سبحانه وتعالی. 

Ketiga : 

Adakalanya si penghina itu merosak agamanya dan membinasakan dirinya dengan sikap suka menghina dan merendahkan orang lain, maka janganlah engkau marah kepadanya kerana itu membuat syaitan senang, tetapi sebaiknya engkau berkata: "Ya Allah! Perbaikilah dan ampunilah dosa si fulan itu." Hal ini sebagaimana ketika Baginda Rasulullah ﷺ dicaci oleh orang, lalu Baginda ﷺ pun berdoa: Ertinya, "Ya Allah berilah ampunan bagi kaumku dan berilah petunjuk bagi kaumku kerana mereka tidak mengetahui yang benar."


[ Kalam Al-Habib Umar Ben Hafidz di dalam kitab penulisannya berjudul "Siap Dicaci & Dipuji". ]

Moga manfaat buat semua. Insya Allah. Aamiin.


ISTIMDAD MURID DENGAN GURU KETIKA MULA BERZIKIR


أَنْ يَسْتَمِدَّ بِقَلْبِهِ عِنْدَ شُرُوْعِهِ فيِ ذِكْرِ بِهِمَّةٍ. فَإِذَا ابْتَدَأَ بَالذِّكْرِ, فَالْيُحْضِرْ صُوْرَةَ شَيْخِهِ فِي قَلْبِهِ,وَيَسْتَمِدَّ مِنْهُ, إِذْ قَلْبُ شَيْخِهِ يُحَاذِيْ قَلْبَ شَيْخِ الشَّيْخِ إِلَى الْحَضْرَةِ النَّبَوِيَّةِ, وَقَلْبُ النَّبِيِّ دَائِمُالتَّوَجُّهُ إِلَى الْحَضْرَةِ الْإلهِيَّةِ. فَالذَّاكِرُ إِذَا صَوَّرَ صُورَةَ شَيْخِهِ فِي قَلْبِهِ وَاسْتَمَدَّ مِنْ وِلاَيَتِهِ يَفِيْضُالإِمْدَادُ مِنَ الْحّضْرَةِ الْإِلهِيَّةِ عَلَى قَلْبِ سَيَّدِ الْمُرْسَلِيْنَ, ثُمَّ عَلَى قُلُوْبِ الْمَشَائِخِ عَلَى تَرْتِيْبِإِلَى أَنْ يَنْتَهِيَ إِلَى شَيْخِهِ فَيَقْوَى عَلَى اسْتِعْمَالِهِ, إِذْ هُوَ فِي الْإِبْتِدَاءِ عَلَى مِثَالِ الطِّفْلِ, لَيْسَلَهُ اسْتِعْمَالٌ لِهذِهِ الْكَلِمَةِ عَلَى وَجْهِ الَّذِيْ يُؤَثِّرُ لِلْغَرَضِ, وَإِنْ كَانَ بِيَدِهِ سيْفُ اللهِ وَهُوَ الذِّكْرُ...


“Seorang Murid harus meminta bimbingan (istimdad) dengan hatinya ketika akan memasuki dzikir dengan semangat. Maka apabila murid memulai dzikir maka hadirkanlah rupa Syeikhnya di dalam hatinya. Dan meminta bimbingan darinya (melalui hati). Kerana hati Syeikh selalu menghadap kepada hati gurunya Syeikh, sampai kepada hadirat Nabi ﷺ sedangkan hati Nabi ﷺ selamanya menghadap ke hadirat Ilahiyyah (Allah). Maka murid yang dzikir apabila menghadirkan rupa Syeikhnya di dalam hatinya dan meminta bimbingan (ruhani) dari kewaliannya, maka akan mengalir bimbingan dan kekuatan dari Allah سبحانه وتعالی, kepada hati Nabi ﷺ tuannya para Rasul, kemudian mengalir kepada hati para Syeikh secara berurutan (dalam silsilah) sampai berhujung kepada hati Syeikhnya. Maka murid menjadi kuat untuk menggunakan dzikir tersebut. Kerana murid dalam kondisi permulaan (mubtadi) bagaikan seorang anak kecil, yang tidak mampu menggunakan kalimat-kalimat (dzikir) ini dari segi memberikan pengaruh kepada tujuan dzikirnya. Meskipun di tangannya ada pedang Allah yaitu dzikrullah.”


Sayyidatina Fathimah az-Zahra رضي الله عنها Enggan Memandang Kepada Orang Yang Meremehkan Ahli Bait Rasulullah ﷺ


Syeikh Nawawi Al-Bantani رحمة الله تعالى mengutip pernyataan seorang mufassir terkenal, Ibnul Arabiy رحمة الله تعالى sebagai bukti kecintaan beliau kepada cucu keturunan Baginda Rasulullah ﷺ. Berikut ini kutipan Beliau :

"Telah bercerita kepadaku seorang yang thiqah di sisiku (seorang yang aku percaya) di kota Makkah bahawa ia benci terhadap kelakuan para Syurafa' (Ahli Bait Rasulullah ﷺ pada masa itu) terhadap orang lain.

Lalu dalam mimpi aku melihat Sayyidah Fatimah رضي الله عنها, Puteri Baginda Rasulullah ﷺ berpaling dariku, aku memanggil salam kepada Beliau dan bertanya mengapa Beliau berpaling dari aku?

Beliau menjawab : "Kau telah mencegah para Syurafa'", Aku berkata : "Apakah engkau tidak melihat apa yang mereka lakukan terhadap orang ramai?"

Beliau (Sayyidah Fathimah) menjawab lagi : "Apa (jika begitu) mereka bukan anak-anakku?"

Aku berkata : "Aku taubat sekarang", (mendengar jawapanku) Beliau رضي الله عنها (Sayyidah Fathimah) menghadapkan wajahnya ke arahku dan kemudian aku terbangun dari tidurku."


[ Syeikh Nawawi al-Bantani رحمة الله تعالى dalam Qami'ut Thughyan Syarah Mandzumah Syuabil Iman, juga Syeikh al-'Allamah Sayyidi Mufthafa ibn Kamaluddin al-Bakri رحمة الله تعالى dalam Fathul-Karim al-Khaliq ] 


Di Antara Sebab Nabi Ibrahim عليه السلام Digelar al-Khalil (Kekasih) Allah ﷻ

Suatu ketika, Nabi Ibrahim عليه السلام pernah ditanya, "Sebab apa Allah ﷻ menjadikanmu kekasih-Nya?"

Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab, :

Kerana tiga perkara, iaitu:

1) Aku selalu mengutamakan perintah Allah ﷻ di atas perintah selain-Nya,

2) Aku tidak pernah mengkhawatirkan ketentuan/rezeki yang telah ditanggung Allah ﷻ,

3) Aku tidak makan pada petang mahupun di pagi hari kecuali bersama tetamu."

[ Al-'Allamah Syeikh Nawawi al-Jawi رحمة الله تعالى Dalam Nashaih al-Ibad fi Bayan al-Fadz Munabihat 'Ala al-Isti'dad li Yaum al-Ma'ad ]

No photo description available.

Image may contain: text

ERTI KEBAIKAN DAN DOSA

Dari An-Nawwas bin Sim'an Al-Ansari رضي الله عنه dia berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang erti kebajikan (kebaikan) dan dosa. Sabda Baginda Nabi ﷺ :

"Kebajikan (kebaikan) itu ialah budi pekerti yang baik. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan (menggelisahkan) dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain."

[ Hadith riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad ]


Majlis Maulid Nabi ﷺ adalah Sunnah dan bukan Bid'ah

Majlis Maulid Nabi Muhammad ﷺ yakni dengan mensyukuri kurniaan Allah سبحانه وتعالی iaitu diutuskan Nabi Muhammad ﷺ kepada ummat ini, atau dengan memperingati atau mengenangkan pemberian dan anugerah Allah سبحانه وتعالی dan sebagainya adalah Sunnah yang dibenarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri dan termasuk perbuatan yang dibanggakan oleh Allah سبحانه وتعالی.

Hal ini sepertimana yang telah dilakukan oleh para Sahabat رضي الله عنهم dan disaksikan oleh Rasulullah ﷺ sendiri sepertimana Hadith :

"Telah mengkhabarkan kepada kami Sawwur bin Abdullah ia berkata; telah menceritakan kepada kami Marhum bin Abdul Aziz dari Abu Na'amah dari Abu Uthman an-Nahdi dari Abu Sa'id al-Khudri ia berkata ; Mu'awiyah رضي الله عنه berkata :

"Rasulullah ﷺ keluar menemui serombongan orang, yakni para sahabatnya.

Baginda ﷺ lalu bertanya : "Apa yang membuat kamu duduk (berkumpul)?"

Para sahabat menjawab ; "Kami duduk untuk berdoa kepada Allah dan memuji-Nya atas petunjuk yang Dia berikan hingga kami memeluk agama-Nya. *Serta memberikan kepada kami kurniaan dengan perantaraanmu (Nabi Muhammad ﷺ)*."

Baginda ﷺ bertanya lagi ; "Demi Allah, apakah hanya itu yang menjadikan kamu duduk berkumpul?"

Para sahabat menjawab ; "Demi Allah, kami tidak duduk berkumpul di sini kecuali hanya untuk itu."

Baginda ﷺ bersabda : "Sungguh, aku tidak akan meminta kamu bersumpah untuk menghilangkan keraguan, namun Jibril عليه السلام datang kepadaku, ia mengkhabarkan bahawa Allah سبحانه وتعالی membanggakan kamu di hadapan para malaikat-Nya."


[ Hadith riwayat an-Nasa'i dalam Sunannya dengan Sanad yang Sahih ]


Para sahabat Rasulullah ﷺ telah pun melakukan Majlis Maulid dengan berkumpul dan bersyukur atas kurniaan Allah سبحانه وتعالی iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang menjadi perantara di antara manusia dengan Allah سبحانه وتعالی untuk mengenal Islam dan sebagainya.

Maka Majlis Maulidur-Rasul ﷺ yakni Majlis bersyukur atas kurniaan Allah سبحانه وتعالی (iaitu dilahirkan atau diutuskan Nabi Muhammad ﷺ sebaik-baik kurniaan) bukanlah Bid'ah yang sesat sepertimana yang dikatakan oleh Salafi-Wahhabi.

PENTINGNYA KEBERKATAN ILMU

Janganlah bila makin belajar, makin berlagak dengan guru, bercakap menunjuk pandai depan guru, akhirnya semakin banyak dipelajari, semakin jauh kita dari Allah, dan semakin banyak belajar, semakin serabut hidupnya, berkahnya tidak ada, kehidupan makin susah, ujian bertimpa-timpa, rezeki semakin sempit, antaranya ialah sebab berkat ilmu tidak ada, dan sebab tidak berkat ialah Adab dengan guru kita tidak jaga. Berhati-hatilah.


Bermula adab orang yang belajar ilmu itu sebelas perkara.

1. Memberi salam dahulu apabila berhadapan dengan guru.

2. Tidak banyak berkata-kata di hadapan guru.

3. Tidak berkata dengan izin guru.

4. Tidak bertanya sebelum minta izin dari guru.

5. Tidak menyanggah kata-kata guru seperti berkata "si polan tak kata seperti yang guru kata".

6. Tidak menunjukkan diri lebih tahu dari guru.

7. Tidak berbisik-bisik dengan rakan di hadapan guru.

8. Tidak menoleh ke kiri & kanan BAHKAN hendaklah ia menunduk.

9. Tidak banyak bertanya tatkala guru segan hendak bercakap atau sedang keletihan.

10. Hendaklah ikut berdiri ketika guru berdiri atau ketika guru baru sampai ke tempat pengajian kerana berdiri itu tanda ta'zim (memuliakan). Dan ketika guru sedang bangun atau berjalan, jangan ditanya soalan KECUALI dharurat.

11. Jangan buruk sangka dengan guru pada segala perbuatannya yang zahir sebab berbeza denganmu kerana mereka lebih tahu segala hukum syarak dan rahsia syarak berbanding kamu.

[ Kitab SiyarusSalikin karangan Asy-Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani رحمة الله تعالى - Juz 1 m/s 16 ]

كتاب سير السالكين ج ١ م/س ١٦



JADILAH SEPERTI MATA LEBAH

Ada seorang 'alim bertanya pada saya,

"Apa yang lebah akan cari bila dicampak ke dalam sampah?"

Saya jawab,

"Dia akan mencari madu,"

Orang 'alim tu beritahu,

"Tidak sebaliknya dia akan cari bunga terlebih dahulu, kemudian baru akan datangnya madu."

Selepas itu dia bertanya lagi,

"Apa yang terjadi apabila lalat dicampakkan ke dalam taman yang dipenuhi dengan bunga?"

Saya jawab,

"Pasti lalat akan mencari sampah."

Kemudian orang 'alim tu beritahu,

"Jadilah kamu seperti mata lebah walaupun ditunjuk akan keburukan seseorang kepada kamu, tetap kamu mencari kebaikannya."

"Dan janganlah kamu jadi mata lalat walaupun ditunjuk seribu kebaikan seseorang kepada kamu, kamu masih lagi mahu mencari keburukan orang lain."

Jangan kau ambil ilmu ini sebagai maklumat tapi ambillah ilmu ini untuk amal dan sampaikan.

Semoga Allah سبحانه وتعالی beri taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...


KETIKA SEORANG MURID DIUJI KESEMPITAN EKONOMI

"Terkadang seorang Murid diuji dengan kemiskinan dan kesempitan ekonomi, pada saat itu maka hendaklah dia tetap bersyukur kepada Allah dan menganggap hal itu bagian dari curahan nikmat terbesar-Nya.

Sebab Dunia ini hakikatnya adalah musuh, oleh kerananya Allah mendatangkan duniawi pada musuh-musuh-Nya, dan menjauhkan hal-hal duniawi dari para kekasih-Nya. Maka hendak bersyukurlah seorang Murid tersebut lantaran Allah telah membuatnya senasib dengan para Nabi, para Wali dan hamba-hamba Allah yang Shalih.

Sungguh Baginda Nabi Muhammad ﷺ dahulu sampai mengikat perutnya dengan batu untuk menahan lapar. Terkadang sampai dua bulan lebih dapurnya tidak berasap kerana tidak memasak makanan, dan Baginda ﷺ hanya memakan kurma dan air saja."

[ Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad رضى الله عنه, Risalah Adab Suluk al-Murid ]