Thursday, December 26, 2019

SEBAIK-BAIK WAKTU


خَيْرُ أوْقَاتِكَ وَقْتٌ تَشْهَدُ فِيْهِ وُجُوْدَ فَاقَتِكَ، وَتُرَدُّ فِيْهِ إلىَ وُجُوْدِ ذَلَّتِكَ

Sebaik-baik waktu ialah waktu engkau dapat menyaksikan (syuhud) padanya kefakiranmu dan engkau dapat kembali merasai di dalamnya kehinaanmu.

Setelah menegaskan akan sifat hakiki hamba iaitu sentiasa faqir kepada Allah, maka pada kalam ini dijelaskan bilakah waktu terbaik seorang hamba itu berada padanya.

Iaitu waktu di mana dia dapat syuhud kepada Allah di dalamnya, ia lebih baik dari seribu rakaat yang ditunaikan dalam keadaan hati yang lalai kepada Allah.

Syuhud ialah pandangan yang dibukakan oleh Allah kepada seseorang hamba sehingga ternyata pada cermin hatinya keberadaan, kekuasaan, kehampiran, kasih sayang Allah dan sebagainya.

Pandangan yang disertai dengan rasa sama ada gerun, rindu, asyik dan sebagainya. Ia bukan semata-mata pengetahuan.

Seterusnya ia membawa kepada rasa hina, faqir dan lemah kerana gunung keakuan diri telah lebur disebabkan pancaran cahaya Jalal-Nya.

Apabila pandangan ini dibukakan oleh Allah maka terlihatlah oleh hatinya dengan ainul yakin bahawa dirinya terlalu faqir dan berhajat kepada Allah pada setiap keadaan dan masa.

Kefakiran ini membawanya merasakan kelemahan dan kehinaan dirinya kepada Allah.

Lantaran itu terbitlah rasa gerun dan malunya kepada Allah. Perasaan ini akan menyebabkan dirinya memperelokkan hubungannya dengan Allah dan hubungannya sesama manusia.

Oleh kerana itulah ia adalah waktu yang terbaik seorang hamba berada di dalamnya.

Diceritakan bahawa suatu malam Syeikh Fath Al Mosuliy رحمة الله تعالى pulang ke rumahnya, namun beliau tiada menu malam untuk dijamahnya, begitu juga pelita yang menerangi rumahnya dan kayu api. Lalu beliau terus memuji Allah dan berdoa kepada-Nya dengan katanya "Wahai Tuhanku di atas sebab apakah diriku layak untuk dilayan seperti para awliya' Mu ini."

Sidi Fath Al Mosuliy dapat bersikap begini kerana tersyuhud dirinya akan kefakiran dan kehinaan dirinya yakni sifat asal hamba.

Lalu ia membuahkan rasa syukur kapada Allah kerana telah memperlihatkan kefakiran dan kehinaannya di hadapan ZatNya Yang Esa.

Suka dan duka silih berganti dalam kehidupan seorang insan, ia tiada lain melainkan untuk menyatakan kelemahan dan kefakirannya kepada Allah yang bersangatan.

Mereka yang memiliki syuhud di dalam hatinya akan melihat ia adalah peringatan Allah akan hakikat dirinya.

Mereka akan menghadapinya dengan sabar atau redha atau syukur bahkan syukur itulah maqam kesempurnaan kehambaan.


No comments:

Post a Comment