Thursday, December 26, 2019

Apakah ubat untuk menghalang syaitan itu?


Selain berzikir (ingat akan Allah), ubatnya adalah dengan menyumbat atau menutup segala pintu-pintu masuk syaitan ke dalam hati kita itu. Bersihkanlah hati kita daripada sifat-sifat yang tercela itu (sifat-sifat mazmumah).

Syaitan itu seumpama kera lapar. Apabila ia menghampiri engkau sedangkan pada engkau tidak ada makanan, ia boleh beredar walau dengan satu perkataan atau satu gerakan badan engkau. Tetapi jika ia sedang lapar sedangkan pada engkau ada makanan, ia akan berusaha untuk menyerang engkau walaupun engkau menyuruh ia pergi dan menghalaunya. (Imam Al-Ghazali رحمة الله تعالى mencontohkannya dengan anjing lapar).

Sebahagian orang berharap agar syaitan menjauh daripada dirinya dengan lafaz zikir dan bacaan-bacaan tertentu sahaja, sedangkan bahan-bahan umpan syaitan di dalam hatinya tidak dikeluarkan dan pintu-pintu masuk syaitan ke hatinya tidak pula ditutup.

Meminum ubat untuk menyihatkan badan dalam keadaan perut kita sentiasa penuh dengan makanan dan banyak pula makanan yang tidak berkhasiat, seakan-akan tindakan yang sia-sia. Selain meminum ubat, lebih penting agar perut itu tidak banyak makan dan tidak berisi dengan makanan yang memudaratkan. Maka barulah ubat tadi berkesan.

Dalam usaha untuk menjauhkan syaitan dan menyihatkan hati, maka kita hendaklah menutup pintu-pintu masuknya dan mengosongkan diri kita daripada sifat-sifat yang memudaratkan iaitu sifat-sifat mazmumah.

No comments:

Post a Comment