Thursday, December 26, 2019

Menyambut Maulidur Rasul Bid'ah?

Berkata guru kami Al-Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid dalam Tausiyah beliau :-


Maulidur Rasul; "Orang yang buat maulid Nabi ﷺ, memang itu tak ada di zaman Nabi ﷺ, adakah yang tak ada di zaman ﷺ, lalu dibuat selepas zaman Nabi ﷺ dikatakan salah, atau bid'ah disebabkan dengan dalil Nabi ﷺ tak buat? Maka orang yang buat apa Nabi ﷺ tak buat maka ianya bid'ah?"


"Kita kena sepakat dahulu dengan dalilnya sebelum menghukum sesuatu dengan dalilnya. Perkara yang ditinggalkan Nabi ﷺ adalah tak bermaksud larangan. Apa yang Nabi ﷺ tak buat, atau yang Nabi ﷺ tinggalkan tak bererti dilarang untuk kita membuatnya. Contoh, Nabi ﷺ solat tarawih lalu Nabi ﷺ tinggalkan. Lalu Nabi ﷺ tak buat lagi sampai akhir hayat Nabi ﷺ. Adakah dilarang solat tarawih?"


"Rasulullah ﷺ melihat sahabat untuk makan dhob, lalu Nabi ﷺ tak makan. Nabi ﷺ tinggalkan, adakah bermakna dhob tak boleh dimakan? Kata Nabi ﷺ; "Apa yang aku perintahkan, tunaikan mengikut apa yang kamu mampu. Apa yang aku larang maka tinggalkan."


"Yang Nabi ﷺ tak buat, Nabi ﷺ tak kata apa-apa pun. Berapa banyak di zaman sahabat apa yang tak dibuat Nabi ﷺ, tapi dibuat oleh sahabat. Al-Quran dibukukan di zaman Sayyidina Abu Bakar رضى الله عنه, tak dibuat di zaman Rasulullah ﷺ, Al-Quran hurufnya dibariskan di zaman Sayyidina Uthman 
رضى الله عنه, tak dibuat di zaman Rasulullah ﷺ."


"Maulid Nabi ﷺ, dibuat pertama kalinya pada Abad kelima, ketika itu sudah ada ramai kaum muslimin yang jauh daripada agama. Maka datang seseorang ulama yang nak tarik kembali ummat islam kepada Islam. Imam As-Suyuthi رحمة الله تعالى, menulis sebuah kitab dalil khas tentang maulid."


"Nak menilai Maulid ﷺ itu bukan dilihat dari namanya, tapi yang penting pengisian di dalamnya itu yang menjadi penilaiannya. Zaman kita sekarang, kalau golongan Si Fulan yang berada dalam gembira, kita sakit hati. Kerana hati kita problem. Hati gelap. Tak ada kasih sayang. Di zaman kita sekarang, nak bergembira dengan perkara-perkara yang baik, tak boleh. Bid’ah!"


"Suka-suka membid'ahkan orang. Lebih teruk lagi mengkafirkan orang. Nabi ﷺ susah payah dakwah orang lain masuk Islam, kamu senang-senang mengkafirkan orang lain. Tak boleh. Ini adalah bercanggah dengan Agama.

Nak bergembira dengan perkara yang baik, tak dibolehkan. Kaum Muslimin gembira dengan kemenangan mengalahkan Kaum Romawi. Disambut kemenangannya."


"Kita ini mendapatkan hidayah kerana Rasulullah ﷺ. Kita mendapat ini Islam, perjuangan Rasulullah ﷺ. Tak boleh kita gembira di Hari Kelahiran Rasulullah ﷺ? Kita bergembira dengan Hari Kelahiran Rasulullah ﷺ 12 Rabi’ul Awwal nak menyebut Maulid Nabi ﷺ saja, bid’ah!?"


"Timbangan apa yang kamu gunakan? Timbangan neraca yang rosak, tak boleh nak menimbang sesuatu tepat pada tempatnya. Dalam masalah kegembiraan itu bukan Dzat gembiranya, akan tetapi motif kegembiraan itu apa sebabnya dan kedua cara apa yang kita gunakan untuk gembira?"


"Dua perkara penting, yang pertama Motif atau Sebab. Yang kedua, Bentuk kegembiraan itu bagaimana kita lakukannya? Kalau sebab kegembiraan anak kita berjaya,dapat 9A, atau baru balik daripada luar negara belajar, kita nak buat apa namanya? Kenduri kesyukuran."


"Kalau kita buat satu Doa Keselamatan dengan tari-menari yang dilarang oleh Agama, dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah سبحانه وتعالى.ini gembira bukan pada tempatnya. Memang bercanggah dalam Syarak. Walaupun nak bergembira dengan anak balik berjaya adalah perkara yang menjadi kebanggaan dan kegembiraan khususnya pada ahli keluarga, silakan bergembira."


"Gembira kita itu kerana sebagai simbol atau tanda ingin mensyukuri nikmat Allah سبحانه وتعالى... Tapi cara mengungkapkan kegembiraan mesti ditimbang dengan Syarak.

Kita nak meraikan Maulid Nabi Muhammad ﷺ, baik atau tak baik? Kita nak mengingati Sejarah, Sirah, Akhlak, Budi Pekerti Rasulullah ﷺ. Di dalamnya ada ilmu. Baik atau tak baik? Maka tak ada seorang pun akan berkata tak baik."


"Kemudian cara kita nak mengungkapkannya macam mana?

Kita duduk di dalam Masjid, kita Iqtikaf di dalam Masjid, kita Selawat kepada Rasululllah ﷺ, kita berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى. Ada penceramah yang berceramah menyampaikan ilmu. Baik atau tak baik?"


"Fadhilat iqtikaf dapat, silatuhrahmi dapat, kemudian dia dapat ilmu, dapat Selawat, Zikir pun dapat. Pahala pun dapat. Makanya, baik atau tak baik? Kita kalau tak nak buat baik, jangan dihalang orang lain nak buat baik. Jangan dihalang orang yang nak melakukan perkara yang baik. Kelak, kita akan ditanya oleh Allah سبحانه وتعالى kenapa halang orang nak buat baik?"

[ Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid ]


No comments:

Post a Comment