Sunday, December 1, 2019

Majlis Maulid Nabi ﷺ adalah Sunnah dan bukan Bid'ah

Majlis Maulid Nabi Muhammad ﷺ yakni dengan mensyukuri kurniaan Allah سبحانه وتعالی iaitu diutuskan Nabi Muhammad ﷺ kepada ummat ini, atau dengan memperingati atau mengenangkan pemberian dan anugerah Allah سبحانه وتعالی dan sebagainya adalah Sunnah yang dibenarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri dan termasuk perbuatan yang dibanggakan oleh Allah سبحانه وتعالی.

Hal ini sepertimana yang telah dilakukan oleh para Sahabat رضي الله عنهم dan disaksikan oleh Rasulullah ﷺ sendiri sepertimana Hadith :

"Telah mengkhabarkan kepada kami Sawwur bin Abdullah ia berkata; telah menceritakan kepada kami Marhum bin Abdul Aziz dari Abu Na'amah dari Abu Uthman an-Nahdi dari Abu Sa'id al-Khudri ia berkata ; Mu'awiyah رضي الله عنه berkata :

"Rasulullah ﷺ keluar menemui serombongan orang, yakni para sahabatnya.

Baginda ﷺ lalu bertanya : "Apa yang membuat kamu duduk (berkumpul)?"

Para sahabat menjawab ; "Kami duduk untuk berdoa kepada Allah dan memuji-Nya atas petunjuk yang Dia berikan hingga kami memeluk agama-Nya. *Serta memberikan kepada kami kurniaan dengan perantaraanmu (Nabi Muhammad ﷺ)*."

Baginda ﷺ bertanya lagi ; "Demi Allah, apakah hanya itu yang menjadikan kamu duduk berkumpul?"

Para sahabat menjawab ; "Demi Allah, kami tidak duduk berkumpul di sini kecuali hanya untuk itu."

Baginda ﷺ bersabda : "Sungguh, aku tidak akan meminta kamu bersumpah untuk menghilangkan keraguan, namun Jibril عليه السلام datang kepadaku, ia mengkhabarkan bahawa Allah سبحانه وتعالی membanggakan kamu di hadapan para malaikat-Nya."


[ Hadith riwayat an-Nasa'i dalam Sunannya dengan Sanad yang Sahih ]


Para sahabat Rasulullah ﷺ telah pun melakukan Majlis Maulid dengan berkumpul dan bersyukur atas kurniaan Allah سبحانه وتعالی iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang menjadi perantara di antara manusia dengan Allah سبحانه وتعالی untuk mengenal Islam dan sebagainya.

Maka Majlis Maulidur-Rasul ﷺ yakni Majlis bersyukur atas kurniaan Allah سبحانه وتعالی (iaitu dilahirkan atau diutuskan Nabi Muhammad ﷺ sebaik-baik kurniaan) bukanlah Bid'ah yang sesat sepertimana yang dikatakan oleh Salafi-Wahhabi.

No comments:

Post a Comment