Saturday, November 12, 2022

JAUHI PERDEBATAN

Seorang yang gemar berdebat, biasanya kurang dalam beramal. Sebaliknya, seorang yang gemar beramal, biasanya tidak suka berdebat. Salah satu tanda kebaikan seorang hamba, manakala Allah membukakan pintu amal dan menutup pintu perdebatan baginya.

Syeikh Ma'ruf Al-Karkhi رحمة الله تعالى berkata :

إذا أراد الله بعبد شرًّا، أغلق عنه باب العمل، وفتح عليه باب الجَدَل.

"Apabila Allah menghendaki kejelekan kepada seorang hamba, maka Dia (Allah) akan menutup pintu amal dan membuka pintu perdebatan baginya."

[ Nuzhatul Fudhala : 2/714 ]

Berkata Imam Ghazali رحمة الله تعالى,

"Maka sesiapa yang selalu bergaul dengan ulama Su' ini pasti dia akan menjadi orang yang suka bertengkar dan suka berdebat dan susahlah dia untuk berdiam kerana ulama Su' telah mengatakan bahawa bertengkar itu adalah satu perbuatan yang terpuji dan kemampuan mengemukakan hujah-hujah dalam perbincangan itu satu perkara yang sangat baik.

Maka hendaklah engkau lari daripada ulama Su' seperti engkau lari daripada harimau dan ketahuilah bahawa pertengkaran itu adalah salah satu di antara sebab yang menurunkan kemurkaan Allah Ta'ala dan kemarahan manusia."

[ Kitab Bidayatul Hidayah Karangan Imam Ghazali رحمة الله تعالى]


AHLI MAKRIFAT

Berkata Al-Habib Umar bin Hafidz :

Ahli makrifat memahamkan kepada kita bahawa seseorang yang meningkat tinggi dalam perjalanan menuju Allah hendaklah tidak terlalu agresif untuk memaksa dirinya dalam pertarungan hawa nafsunya, bahkan hendaklah secara bijak mengendalikan hawa nafsu tersebut, jika tidak, hatinya berkemungkinan menjadi buta (bosan dan muak) kerana kejutan tersebut.

Seandainya ada perkara yang boleh merehatkan nafsu tersebut dari keletihan bermujahadah melawan nafsu, maka perkara tersebut diperbolehkan selagi mana ianya tidak haram di sisi syariat. Hal demikian dilakukan adalah bagi memberi ruang kepada hatinya untuk menguatkan perasaan kehadiran dengan Allah (hudhur) dan perasaan kebersamaanNya (mai'yyah).

Meskipun begitu, untuk orang yang baru saja bermula perjalanan rohaninya (al-mubtadi) hendaklah dia memiliki azam yang jitu dan semangat yang tinggi dalam menekan hawa nafsunya. Kerana tanpa semangat yang kuat dalam melawan hawa nafsunya, maka dia akan terperdaya dan terbuai dengan godaan hawa nafsunya untuk memuaskannya dari satu perkara yang kecil kepada perkara yang lebih buruk.

Lalu jika seseorang memiliki pembimbing rohani, maka panduan dalam menambahkan amalan-amalan dengan lebih banyak adalah berdasarkan bimbingan guru tersebut agar pengembara menuju Allah meniti fasa demi fasa, peringkat demi peringkat dalam keterbukaan mata hatinya (basirah) dan tersingkapnya hijab-hijab hati (raf'ul hujub).