Tuesday, August 4, 2020

MELIHAT DAN MERASAI FENOMENA ALAM DENGAN PANDANGAN MATAHATI (ROH), PANDANGAN HAKIKAT


Apabila tingkatan tauhid seseorang mula meningkat kepada maqam "wahidiyyah", dia mula "memahami", "menyedari" dan "merasai" kebenaran keEsaan perbuatan Allah dalam segala kejadian yang berlaku (tauhid af'al).

Dia mula "memahami" pengertian firman Allah سبحانه وتعالی yang bermaksud :

"Tidak ada daya (melakukan ketaatan) dan upaya (meninggalkan kemaksiatan) melainkan dengan (keizinan / kekuasaan / ketentuan) Allah 
سبحانه وتعالی". Demikian juga firman Allah سبحانه وتعالی yang bermaksud "dan tidaklah engkau (Muhammad) yang melontar (tombak/panah) ketika engkau melontar, tetapi (hakikat sebenarnya) Allah lah yang melontar".

Dia mula memahami hikmah kebijaksanaan Tuhan dalam segala kejadian yang berlaku, sama ada baik atau buruk, yang mendorongnya untuk merasa senang hati dan redha terhadap segala kejadian yang berlaku, dan menyerahkan segala urusan kepada Pentadbirnya yang Hakiki, yang Maha Berkuasa, Berkehendak, Mengetahui dan Bijaksana.

Segala kejadian yang berlaku dilihatnya sebagai cerminan bagi perbuatan Tuhan. Inilah yang dikatakan "tajalli af'al" (melihat kenyataan perbuatan Tuhan dalam segala kejadian yang berlaku dengan pandangan matahati / pandangan roh / pandangan hakikat).


Masukkan Aku Dalam Golongan Yang Sedikit


Suatu ketika, Khalifah ‘Umar al-Khattab رضى الله عنه sedang melakukan tawaf dan dia mendengar seseorang memanjatkan doa :

اللهم اجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ القَلِيْل

“Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan hamba-Mu yang sedikit.”

Berasa hairan dengan doa itu, selepas tawaf Sayyidina Umar 
رضى الله عنه bertanya kepadanya : “Mengapa kamu berdoa sebegitu rupa? Belum pernah aku mendengar sesuatu seperti itu.”

Sahabat itu menjawab, Wahai Amirul Mukminin! Aku membaca doa itu kerana aku takut dengan penjelasan Allah :

وَلَقَدۡ مَكَّنَّٰكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلۡنَا لَكُمۡ فِيهَا مَعَٰيِشَۗ قَلِيلٗا مَّا تَشۡكُرُونَ ١٠

"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur." (Al A’raf ayat 10).

Sayyidina ‘Umar 
رضى الله عنه seperti tersentak mendengar jawapan itu, lantas memberi respon, “Sungguh setiap orang lebih faham tentang agama daripada aku.” Jawapan itu membuat Sayyidina Umar رضى الله عنه menangis.

Sedikit sekali orang yang bersyukur. Justeru berusahalah kita untuk menjadi orang bersyukur. Malah Allah akan tambahkan lagi nikmat kepada hamba-hambaNya yang bersyukur!

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka niscaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu. Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih.” (Ibrahim: 7)

اللهم اجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ القَلِيْل

“Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan hamba-Mu yang sedikit.”

آمِّيْنَ آمِّيْنَ آمِّيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ