Tuesday, February 28, 2023

Hakikat Kefakiran kepada Allah

Allah سبحانه وتعالی berfirman :

"Wahai sekalian manusia, kalian adalah fuqara' (yang fakir berhajat) kepada Allah."

Hakikat faqir pada zahir dan batinnya adalah seiring. Zahir sang faqir adalah zuhudnya terhadap perihal-perihal duniawi sementara batinnya sang faqir adalah tiadanya kebergantungan kepada hal-hal akhirat. Hal ini kerana hakikat kesibukan sang faqir itu hanyalah dengan Allah, tiada selainNya bahkan segala yang disaksikan hanya kembali kepada Dia.

Wahai para Murid, menjadi kewajipanmu untuk bersifat dengan sifat faqir ini hinggalah Allah 
سبحانه وتعالی melimpahimu dengan ketulusan dalam kefaqiranmu.

Wahai Murid, janganlah kau gantungkan hatimu melainkan hanya kepada Allah. Hal ini kerana jika hatimu masih terikat dengan amal ibadah atau hal-hal lain (meskipun zahirnya kebaikan) hakikatnya kau sedang tenggelam dengan selain Allah. Inilah hakikat penghambaan yang sebenar kepada Sang Pentadbir alam ini iaitu seluruh hajatmu dan kebergantunganmu hanyalah kepadaNya semata-mata.

Biarlah kefaqiran itu menyelubungi tiap gerak dan diammu. Jika kau masih berhajat kepada selain Allah itu ertinya hilang kebergantunganmu kepada al Maula. Hatta seekor lalat pun takkan mampu kau usir jika Allah tak memperkenankan. Meski sekalian manusia berkumpul untuk mencipta seekor lalat selamanya takkan mampu mereka lakukan. Hal ini kerana kalian dan lalat kedua-duanya bersifat lemah sementara Allah 
سبحانه وتعالی Maha Kuasa dan segala yang ditakdirkan adalah selayaknya dengan kekuasaanNya.

[ Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour al Hasani ]


PERJALANAN SEORANG MURIDEEN MELALUI SEORANG SYEIKH

Telah menukilkan Sayyidi Syeikh Ahmad al Hadi al Hasani al Maghribi at Tijany حفظه الله تعالى dalam kitab beliau الإرشاد الأصفياء :

Setakat mana seorang murid itu mampu mahabbah akan Syeikhnya, maka setakat itulah Sir-Sir Syeikhnya akan mengalir ke dalam dirinya dan setakat itu jualah Madad itu akan mengalir kepadanya, dan setakat itu jualah perjalanannya bersama Syeikhnya.

Dan syarat mahabbah itu adalah MENUNGGALKAN seorang Syeikh di dalam hatinya dan mengikat hatinya dengan hati Syeikhnya, dan Taslim akan Syeikhnya, dan tidak memandang akan dirinya pada Syeikh-Syeikh yang lain, walaupun Syeikh-Syeikh yang lain itu memenuhi segala pelusuk dunia.

مَّا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

"Tidaklah Allah sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya"


Jika Mahu Sampai Kepada Allah

“Jika engkau mahu sampai kepada Allah سبحانه وتعالى, maka mohonlah pertolongan kepada-Nya dan duduklah di atas tikar ketulusan lalu eratkanlah hatimu di dalam penghambaan yang murni di atas jalan pengenalan. Jangan engkau pisahkan dirimu daripada zikir, tanamkanlah rasa selalu diawasi oleh-Nya dan teruslah beristighfar dan bertaubat.”

[ Al-Imam Abul Hasan Asy-Syadzili رضى الله عنه ]


CUAI & LALAI AKAN PERKARA WAJIB

Dan di antara penyakitnya (jiwa) :

"Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan dan menyempurnakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu lansung tidak ambil peduli terhadap kelalaian dan kecuaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.

Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang tertuntut ke atas dirinya itu, sifat syukur di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam diri, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati & menjunjung perintah-Nya kepada maqam lalai & cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijab daripada dapat melihat kelemahannya, bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan & dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal ini adalah yang ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud ;

"Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan ia mempercayainya baik?" (Surah Fathir : 8)

RAWATANNYA ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati & teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada awliya Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan & kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini. Di samping Allah akan membukakan hijab untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah."

[ Petikan Risalah "Jiwa: Penyakit Dan Penawarnya {عيوب النفس ودواؤها}" karya Al-Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy; Tahqiq oleh Dr. Mohammad Al-Sayyid Al-Julainid. Diterbitkan oleh Mufti Negeri Sembilan ]


Sedekah Seluruh Tubuh

Imam Ja’far Al-Shadiq رضى الله عنه berkata, “Sedekah itu wajib dilakukan setiap anggota tubuhmu, untuk setiap helai rambutmu, dan untuk setiap saat dalam hidupmu.

Sedekahnya mata bererti memandang dengan penuh pertimbangan dan memalingkan penglihatan dari nafsu dan hal-hal serupa itu. Sedekahnya telinga adalah mendengarkan suara-suara yang baik, seperti ucapan-ucapan bijak, ayat-ayat Al-Quran, dan keutamaan agama yang terkandung dalam ceramah dan khutbah. Sedekahnya telinga juga bererti menghindari dusta, kepalsuan, dan perkataan-perkataan sejenis.

Sedekahnya lidah adalah memberikan nasihat yang baik, menegur mereka yang lalai, memuji orang lain, dan mengingatkan mereka.

Sedekahnya tangan bererti menginfakkan harta kepada orang lain, bermurah hati dengan kurniaan Tuhan kepadamu, memakai jemarimu untuk menuliskan pengetahuan yang berguna bagi orang lain dalam ketaatan kepada Tuhan, dan juga bererti menahan tanganmu dari berbuat dosa.

Sedekahnya kaki bererti bergegas mengunjungi orang-orang soleh, menghadiri majlis-majlis ilmu, mendamaikan orang, menyambungkan silaturahmi, melaksanakan jihad, dan melakukan perbuatan-perbuatan yang menenteramkan hatimu dan memperkuat imanmu…”


REDHALAH

"Ketika mana kamu tidak berjaya dalam apa-apa urusan maka ketahuilah olehmu sesungguhnya Allah سبحانه وتعالی mengetahui bahawa ia bukan milikmu sama ada engkau belum bersedia untuknya atau kerana engkau tidak mampu menanggungnya pada masa sekarang atau sesungguhnya di sana adanya perkara mendatang yang lebih baik bagimu, maka redhalah dengan sesuatu yang telah Allah سبحانه وتعالی tentukan ke atasmu, dan senyumlah." 

[ Syeikh Mutawalli Sya'rawi رحمة الله تعالى ]


Jangan Menangguh Untuk Bersedekah


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه dia berkata : "Seorang lelaki datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab : “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga ruh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan." (HR Bukhari no: 2748) Hadis Sahih.

Pengajaran :

1. Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.

2. Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita

3. Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai di halkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.


Saturday, February 25, 2023

8 GOLONGAN

Seorang Faqih terkenal, Abu Laits As-Samarkandi رحمة الله تعالى pernah berkata, barang siapa yang duduk dengan 8 golongan ia akan bertambah 8 perkara ;

1. Barang siapa yang sering duduk dengan orang kaya, ia akan bertambah cinta dan gemar pada dunia.

2. Barang siapa yang sering duduk bersama penguasa, ia bertambah takabbur dan keras hati.

3. Barang siapa yang sering duduk dengan anak-anak, ia bertambah banyak main-main.

4. Barang siapa yang sering duduk bersama perempuan, ia akan bertambah jahil dan syahwat.

5. Barang siapa yang sering duduk bersama orang faqir, ia akan bertambah rasa syukur.

6. Barang siapa yang sering duduk bersama orang fasik, ia bertambah berani berbuat dosa.

7. Barang siapa yang sering duduk bersama orang salih, ia bertambah cinta akhirat dan semakin ingat mati.

8. Barang siapa yang sering duduk bersama Ulama, ia akan bertambah ilmu dan wara'.

[ Bujairimi Alal Khatib juz 1 hal 69 ]


PENYESALAN YANG PALING DALAM

"Penyesalan yang paling dalam, adalah bukan saat kita melakukan hal yang salah, akan tetapi pada saat kebaikan yang semestinya bisa kita lakukan, namun tak pernah kita lakukan."

[ Al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad رحمة الله تعالى ]


PERMINTAAN KEPADA ALLAH

“Nak, kalau meminta kepada Allah سبحانه وتعالى itu jangan banyak-banyak. Empat permintaan sahaja sudah cukup iaitu :

1. Mintalah nikmatnya hidup.
2. Mintalah rezeki melimpah berkat.
3. Mintalah keluarga yang tenteram damai dan sejahtera.
4. Mintalah kebahagiaan di dunia dan Akhirat.”

[ KH Maimon Zubair رحمة الله تعالى ]


Thursday, February 16, 2023

Wasiat al-Qutub al-Nafis Sayyidi Ahmad bin Idris رضى الله عنه Berkenaan Suhbah & Kebersamaan Dengan Ikhwan

"...Saya mewasiatkan kalian agar bertaqwa kepada Allah. Ia merupakan wasiat Allah bagi golongan terawal dan terkemudian. Saya juga mewasiatkan kalian agar saling berkasih sayang dan sangga-menyangga (sokong-menyokong) antara satu sama lain kerana Allah. Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda bahawa kambing yang tinggal jauh terasing itu akan mudah dibaham oleh serigala dan serigala manusia ialah syaitan.

Apabila seseorang manusia itu tidak bersama ikhwannya dan mengasingkan diri daripada mereka, nescaya jiwa dan agamanya akan terancam dan tidak akan selamat.

Syaitan terbahagi kepada dua jenis, iaitu syaitan jenis manusia dan syaitan jenis jin. Syaitan manusia lebih dahsyat daripada syaitan jin. Oleh itu, Allah memulakan sebutan-Nya dengan syaitan dari jenis manusia dalam firman-Nya :

شياطين الإنس والجن

"Syaitan-syaitan dari spesies manusia dan jin" (Al-An'am: 112)

Sesungguhnya apabila syaitan jin tidak menemui jalan untuk masuk ke dalam hati seseorang hamba, bisikannya tidak didengari oleh hamba tersebut, maka dia akan pergi kepada syaitan manusia untuk masuk kerana pada kedua-duanya ada persamaan jenis iaitu sesama bangsa manusia. Maka syaitan manusia itu akan datang dengan rupa seorang penasihat. Sekiranya hamba tersebut menerima nasihat buruk daripada syaitan manusia itu, maka dia berjaya memutuskan manusia itu daripada melakukan kebaikan dan terhasillah keinginan syaitan jin tersebut..."

[ Petikan surat utusan al-Qutub Daeratu al-Taqdis Sayyidi Ahmad bin Idris 
رضى الله عنه kepada para ikhwan berkenaan Sayyid Muhammad bin Ali al-Sanusi رضى الله عنه ]


Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه dia berkata ; Nabi صلى الله عليه وسلم pernah ditanya ; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?" Baginda menjawab : "Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia." Baginda ditanya lagi ; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?" Baginda menjawab : "Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan." (HR Ibnu Majah No: 4236) Hadis Hasan

Pengajaran :

1. Bertaqwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia antara perkara yang banyak menyebabkan orang masuk syurga dengan rahmat Allah.

2. Dua perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka ialah dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.

3. Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan : maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.

4. Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan : makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan.

Jadilah orang yang bertaqwa dan memiliki akhlak yang mulia. Peliharalah mulut dan kemaluan.


Wednesday, February 15, 2023

Berwajah Ceria, Berakhlak Mulia

Syeikh Ibrahim bin Adham رحمة الله تعالى berkata :

من لم يواس الناس بماله وطعامه وشرابه، فليواسهم ببسط الوجه والخلق الحسن

“Siapa yang tidak mampu menggembirakan orang lain dengan harta, makanan dan minuman yang dia punya, maka hendaklah ia menggembirakan mereka dengan wajah yang ceria dan akhlak yang mulia.”

[ Hilyatul Auliya, jilid 7 hal. 389 ]


11 Golongan Orang Yang Selamat

Habib Abdullah Bin Husein Bin Thohir Ba'alawi di dalam Kitab Is'adur Rofiq karangannya menyebutkan sejumlah orang yang bernasib baik tanpa hisab di Hari Akhirat :

1. Orang yang diuji kehilangan penglihatan atau ujian lainnya lalu dia bersabar hingga datang kematiannya.

2. Orang yang meninggal dipertengahan jalan samada menuju ke Makkah mahupun ketika keberangkatan pulang.

3. Setiap orang penyayang lagi penyabar.

4. Perempuan yang taat pada suaminya.

5. Orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

6. Orang yang membantu keperluan orang lain.

7. Orang yang mendidik anak kecil mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" (لا اله الا الله).

8. Orang yang meninggal pada siang atau malam Hari Jumaat.

9. Orang yang ditimpa musibah pada tubuh badannya atau hartanya lalu dia bersabar.

10. Orang yang membaca surah Al Qodr sebanyak 3 kali selesai sahaja berwudhuk.

11. Orang yang membuat telaga untuk kepentingan orang ramai.


ORANG YANG BAKHIL BERSELAWAT

Pengarang kitab Fathul Muin, Syeikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz bin Zainuddin al-Malibari رحمة الله تعالى menyebut di dalam kitabnya Irsyadul 'Ibād ilā Sabīlir Rasyād :

Dalam kitab “Syaraful Musthofa” bagi Abu Sa`id رحمة الله تعالى dinyatakan bahawa satu ketika sedang Sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها menjahit di waktu sahur, jarumnya terjatuh dan lampu rumahnya terpadam. Kemudian masuk Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم dalam rumahnya maka bercahayalah rumah tersebut dengan cahaya Baginda صلى الله عليه وسلم sehingga Sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها dapat mencari dan mendapat semula jarumnya yang jatuh tadi.

Sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها berkata : “Alangkah bersinarnya wajahmu, wahai Rasulullah.”

Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : “Kebinasaanlah bagi sesiapa yang tidak dapat melihatku.”

Sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها bertanya : “Siapa yang tidak dapat melihatmu?”

Junjungan صلى الله عليه وسلم menjawab : “Orang bakhil.”

Sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها bertanya lagi : “Siapakah orang bakhil?”

Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab : “Orang yang tidak berselawat ke atasku apabila mendengar namaku.”


KISAH NABI ISA عليه السلام DENGAN PENCINTA DUNIA

Dahulu ada seorang lelaki yang datang kepada nabi Isa عليه السلام, ia ingin sekali bersahabat dengan beliau, kerana itu ia berkata : "Aku ingin sekali bersahabat denganmu kemana saja engkau pergi." Jawab Isa عليه السلام : "Baiklah kalau demikian."

Pada suatu hari berjalanlah keduanya di tepi sungai dan makanlah berdua tiga potong roti, Nabi Isa 
عليه السلام satu potong dan satu potong untuk orang itu, sisa satu potong. Kemudian ketika Nabi Isa عليه السلام pergi minum ke sungai, dan kembai roti yang sepotong itu tidak ada, lalu beliau bertanya kepada sahabatnya : "Siapakah yang telah mengambil sepotong roti?" Jawab sahabat itu : "Aku tidak tahu."

Maka berjalanlah keduanya, tiba-tiba terlihat rusa dengan kedua anaknya, maka dipanggillah salah satu dari anak rusa itu lalu disembelihnya dan dibakar. Kemudian dimakan berdua, lalu Nabi Isa 
عليه السلام menyuruh anak rusa yang telah dimakan itu supaya hidup kembali maka hiduplah ia dengan izin Allah, kemudian Nabi Isa عليه السلام bertanya : Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti kekuasaan-Nya itu siapakah yang mengambil sepotong roti itu?" Jawab sahabatnya : "Aku tidak tahu."

Kemudian keduanya meneruskan perjalanan hingga sampai ke tepi sungai, lalu Nabi Isa 
عليه السلام memegang tangan sahabatnya itu dan mengajaknya berjalan hingga sampai ke seberang, lalu ditanyalah sahabatnya itu sekali lagi : "Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti ini, siapakah yang mengambil sepotong roti itu?" Sahabat itu menjawab : "Aku tidak tahu."

Kemudian berjalanlah keduanya ketika berada di hutan dan keduanya sedang duduk-duduk, Nabi Isa 
عليه السلام mengambil tanah dan kerikil/anak batu, lalu diperintahkan : "Jadilah emas dengan izin Allah." Maka dengan tiba-tiba tanah dan kerikil itu berubah menjadi emas, lalu dibagi menjadi tiga bahagian, kemudian beliau berkata : "Untukku sepertiga, dan kamu sepertiga, sedang sepertiga ini untuk orang yang mengambil roti." Serentak sahabat itu menjawab : "Akulah yang mengambil roti itu."

Nabi Isa 
عليه السلام berkata : "Maka ambillah semua bahagian ini untukmu." Lalu keduanya berpisah. Kemudian orang itu didatangi oleh dua orang yang akan merompak harta itu dan membunuhnya lalu orang itu (sahabat Isa عليه السلام) berkata : "Lebih baik kita bagi tiga saja." Ketiga orang itu menjadi setuju, lalu menyuruh salah seorang pergi ke pasar berbelanja makanan, maka timbul perasaan orang yang berbelanja itu, dan berkata dalam hatinya : "Untuk apa kita membagi wang/harta, lebih baik makanan ini saya bubuh racun saja biar keduanya mati, dan ambil semua harta itu."

Lalu diberinya racun makanan itu. Sementara orang yang tinggal itu berkata : "Untuk apa kita membagi harta ini, lebih baik jika ia datang, kita bunuh saja, lalu harta itu kita bagi dua." Maka ketika datang orang yang berbelanja itu, segera dibunuh oleh keduanya, lalu hartanya dibagi menjadi dua, kemudian keduanya makan dari makanan yang telah diberi racun itu, maka matilah keduanya, dan tinggallah harta itu di hutan, sedang mereka mati di sekitar harta itu.

Kemudian ketika Nabi Isa 
عليه السلام berjalan di hutan dan menemukan (melihat) hal itu, maka ia pun berkata kepada sahabat-sahabatnya : "Inilah contohnya dunia, maka berhati-hatilah kamu kepadanya."

[ Sumber : Kitab Ihya Ulumuddin Karangan Imam Ghazali رحمة الله تعالى ]


BICARA TENTANG TAUBAT

Segeralah Bertaubat Nasuha Sementara Pintu Taubat Masih Terbuka Luas

Syeikh al-Siddiqi al-Syafi'i رحمة الله تعالى (W. 1057 H) berkata :

"Orang yang kembali kepada Allah kerana takut terhadap siksa Allah, disebut al-ta'ib.

Orang yang kembalinya kepada Allah kerana rasa malu kepada Allah, disebut al-Munib.

Dan orang yang kembali kepada Allah kerana memuliakan keagungan Allah, disebut al-Awwab."

Taubat menurut kebanyakan ahli sufi adalah :

"Senantiasa bertafakkur dan khalwat (menyepikan diri untuk menyadari akan segala kesalahan yang diperbuat kepada Allah dan mohon ampun kepada-Nya). Menyedari bahawa maksiatnya banyak dan beristighfar dengan sesungguhnya, taubat akan segala dosa, taubat akan segala tipu daya hawa dan nafsu dunia serta meningkatkan amal ibadah sebanyak-banyaknya guna menunjukkan bakti taubat yang sebenarnya. Jangan sama sekali suka atau selalu berburuk sangka kepada Allah bahwa taubatnya tidak diterima, namun dengan keyakinan penuh harus yakin bahwa taubatnya diterima, kerana Allah Maha Penerima taubat hamba-Nya yang bersungguh-sungguh."


KISAH SUFI DAN SI PEMUKUL KUCING

Telah datang seorang ahli sufi di hadapan rumah seorang lelaki. Ahli sufi itu terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang memukul seekor kucing. Ahli sufi bertanya kepada lelaki tersebut, "Kenapa kamu pukul kucing yang lemah ini?"

Jawab lelaki tersebut, "Aku telah menjumpainya di sebuah lorong ketika ia dalam keadaan yang tersangat lemah dan kesejukan, kemudian aku mengambilnya dan memberinya makanan serta minuman. Aku pelihara sehingga ia benar-benar sihat, tetapi apabila sihat, ia membuang najis di merata tempat di rumahku."

Kemudian berkatalah ahli sufi, "Ini sebenarnya peringatan dan tamsilan antara kita dengan Allah.

Dia telah memelihara kita sejak dari kecil yang tersangat lemah dan dhaif, lalu Allah beri kita makan, pakaian dan segala-galanya tetapi setelah begitu banyak kebaikan dan nikmat Allah yang kita kecapi, kita durhaka kepada-Nya. Lihatlah betapa baiknya dan rahmatnya Allah, walaupun kita durhaka kepada-Nya, Dia masih belum menyiksa atau memukul kita dengan azab-Nya."

Kemudian beredarlah ahli sufi dan beristighfarlah lelaki tersebut kerana mengenangkan dosa-dosanya terhadap Allah. Jika ia lambat diperingatkan oleh ahli sufi itu, sudah tentu dipertanggungjawabkan atas kesalahannya di mahkamah Allah kelak kerana percubaan mendera kucingnya.


44 WASIAT AL-'ARIFBILLAH ASY-SYEIKH ABDUL WAHAB ROKAN AL-KHOLIDI AN-NAQSYABANDI QADDSALLAHU SIRRUHU

BISMILLAH-IR ROHMAN NI-ROHIM

Selawat serta Salam buat Junjungan Nabi Besar Sayyidina Muhammad صلى الله عليه وسلم dan sekalian Para KekasihNYA.

44 WASIAT AL-'ARIFBILLAH ASY-SYEIKH ABDUL WAHAB ROKAN, BABUS SALAM, LANGKAT MEDAN

Syeikh Abdul Wahab Rokan al-Kholidi an-Naqsyabandi Qoddasollohu Sirrohu, yang lebih dikenali dengan sebutan Tuan Guru Besilam (Babus Salam), adalah seorang Wali Allah yang banyak memiliki kekeramatan.

Beliau lahir pada tanggal 19 Rabiul Akhir 1230H bertepatan dengan tanggal 28 September 1811M. Tempat kelahiran beliau bernama Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Negeri Tinggi, Rokan Tengah, Kabupaten Kampar, Propinsi Riau. Ayahandanya bernama Abdul Manap bin M.Yasin bin H.Abdullah bin Edek, suku Tembusai. Ibundanya bernama Arbaiyah binti Datuk Dagi binti Tengku Perdana Menteri bin Sultan Ibrahim, Kepenuhan (Riau). Beliau wafat pada tanggal 21 Jumadil Awal 1345H bertepatan dengan tanggal 27 Desember 1926M.

Sebelum meninggal dunia Syeikh Abdul Wahab sempat menulis wasiat yang terdiri dari 44 pasal.

Wasiat ini ditujukan kepada anak cucunya, baik anak kandung maupun anak murid. Beliau berpesan kepada anak cucunya untuk menyimpan buku wasiat ini dan sering-sering membacanya, seminggu sekali, atau sebulan sekali dan sekurang-kurangnya setahun sekali, serta diamalkan segala apa yang tersebut di dalamnya.

Menurut wasiatnya itu kalau sering-sering dibaca dan kemudian diamalkan segala yang termaktub di dalamnya, mudah-mudahan beroleh martabat yang tinggi, kemuliaan yang besar dan kekayaan dunia dan akhirat. Naskah asli dari wasiat itu berbunyi sebagai berikut :

Alhamdulillah Al-Lazi Afdholana 'Ala Katsiri 'Ubbadihi Tafdhila. Washsholatu Wassalamu 'Ala Sayyidina Muhammadin Nabiyyan Warosula, Wa alihi Wa Ashabihi Hadiyan Wa Nashiran. Amin, Mutalazimaini daiman Abada. Amma Ba'du, maka masa hijrah Nabi kita Sayyidina Muhammad saw 1300 dan kepada 13 hari bulan Muharram makbul dan kepada hari Jum'at jam 2.00, masa itulah saya Haji Abdul Wahab Rokan al-Kholidi an-Naqsyabandi asy-Syazili bin Abd.Manaf, Tanah Putih bin Yasin bin Al-Haj Abdullah Tambusai, membuat surat wasiat ini kepada anak dan cucu saya laki-laki atau perempuan, sama ada anak kandung atau anak murid.

Maka hendaklah taruh surat wasiat ini satu surat satu orang dan baca se Jum'at sekali, atau sebulan sekali. Dan sekurang-kurangnya setahun sekali. Dan serta amalkan seperti yang tersebut di dalam wasiat ini, supaya dapat martabat yang tinggi dan kemuliaan yang besar dan kaya dunia akhirat.

Dan adalah wasiatku ini 44 wasiat. Dan lagi hai sekalian anak cucuku, sekali-kali jangan kamu permudah-mudah dan jangan kamu peringan-ringan wasiatku ini, kerana wasiatku ini datang daripada Allah dan Rasul صلى الله عليه وسلم dan guru-guru yang pilihan. Dan lagi telah kuterima kebajikan wasiat ini sedikit-dikit dan tetapi belum habis aku terima kebajikannya, sebab taqshir daripada aku, kerana tiada habis aku kerjakan seperti yang tersebut di dalam wasiat ini. Dan barangsiapa mengerjakan sekalian wasiat ini tak dapat tiada dapat kebajikan sekaliannya dunia akhirat.
-------------------------------------------------------------
Wasiat yang pertama,
Hendaklah kamu sekalian masygul dengan menuntut ilmu al-Qur'an dan kitab kepada guru-guru yang mursyid dan rendahkan dirimu kepada guru-guru kamu. Dan perbuat apa-apa yang disuruhkan, jangan bertangguh-tangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan i'tikadkan diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu, maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucuku. Kemudian maka orang yang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan anak cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu. Tetapi pinta upah dan gaji itu kepada Tuhan Yang Esa lagi kaya serta murah, yaitu Allah Ta'ala.

Wasiat kedua,
Apabila sudah kamu baligh, berakal, hendaklah menerima thoriqat Syaziliyah atau thoriqat Naqsyabandiah, atau thoriqat-thoriqat muktabar yang lainnya supaya sejalan kamu dengan aku.

Wasiat yang ketiga,
Jangan kamu berniaga sendiri, tetapi hendaklah berserikat. Dan jika hendak mencari nafkah, hendaklah dengan jalan tulang gega (dengan tenaga sendiri), seperti berhuma dana berladang dan menjadi amil. Dan di dalam mencari nafkah itu maka hendaklah bersedekah pada tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus sedekahkan sepuluh, dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira 40 hari, maka barulah mencari.

Wasiat yang keempat,
Maka hendaklah kamu berbanyak sedekah sebilang sehari, istimewa pada malam Jum'at dan harinya. Dan sekurang-kurangnya sedekah itu 40 duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.

Wasiat yang kelima,
Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang-orang 'alim dan Ulama dan shalih-shalih.

Wasiat keenam,
Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya, seperti hendak menjadi kadhi dan imam dan lainnya, istimewa pula hendak menjadi penghulu-penghulu. Dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang harus.

Wasiat yang ketujuh,
Jangan kamu menuntut 'ilmu sihir seperti kuat dan kebal dan pemanis dan lainnya, karena sekalian ilmu ada di dalam al-Qur'an dan kitab.

Wasiat kedelapan,
Hendaklah kamu kuat merendahkan diri kepada orang Islam. Dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syara'.

Wasiat kesembilan,
Jangan kamu menghinakan diri kepada kafir laknatullah serta makan gaji serta mereka itu. Dan jangan bersahabat dengan mereka itu, melainkan sebab uzur syara'.

Wasiat kesepuluh,
Hendaklah kamu kuat menolong orang yang kesempitan sehabis-habis ikhtiar sama ada tolong itu dengan harta benda atau tulang gega, atau bicara atau do'a. Dan lagi apa-apa hajat orang yang dikabarkannya kepada kamu serta dia minta tolong, maka hendaklah sampaikan seboleh-bolehnya.

Wasiat yang kesebelas,
Kekalkan air sembahyang (wudhuk) dan puasa tiga hari pada tiap-tiap bulan.

Wasiat yang kedua belas,
Jika ada orang berbuat kebajikan kepada kamu barang apa kebajikan, maka hendaklah kamu balas akan kebajikan itu.

Wasiat yang ketiga belas,
Jika orang dengki khianat kepada kamu, telah dipeliharakan Allah kamu dari padanya, maka hendaklah kamu sabar dan jangan dibalas dan beri nasihat akan dia dengan perkataaan lemah lembut, karena mereka itu orang yang bebal.

Wasiat yang keempat belas,
Jika kamu hendak beristeri, jangan dipinang orang tinggi bangsa seperti anak datuk-datuk. Dan jangan dipinang anak orang kaya-kaya. Tetapi hendaklah pinang anak orang fakir-fakir dan miskin.

Wasiat yang kelima belas,
Jika memakai kamu akan pakaian yang lengkap, maka hendaklah ada di dalamnya pakaian yang buruk. Dan yang aulanya yang buruk itu sebelah atas.

Wasiat yang keenam belas,
Jangan disebut kecelaan orang, tetapi hendaklah sembunyikan sehabis-habis sembunyi.

Wasiat yang ketujuh belas,
Hendaklah sebut-sebut kebajikan orang dan kemuliaannya.

Wasiat yang kedelapan belas,
Jika datang orang 'alim dan guru-guru ke dalam negeri yang tempat kamu itu, istimewa pula khalifah thoriqat Naqsyabandiah, maka hendaklah kamu dahulu datang ziarah kepadanya dari pada orang lain serta beri sedekah kepadanya.

Wasiat yang kesembilan belas,
Jika pergi kamu kepada suatu negeri atau dusun dan ada di dalam negeri itu orang alim dan guru-guru khususnya khalifah thoriqat Naqsyabandiah, maka hendaklah kamu ziarah kepadanya kemudian hendaklah membawa sedekah kepadanya.

Wasiat yang kedua puluh,
Jika hendak pergi orang 'alim itu daripada tempat kamu itu atau engkau hendak pergi dari pada tempat itu, maka hendaklah kamu ziarah pula serta memberi sedekah supaya dapat kamu rahmat yang besar.

Wasiat yang kedua puluh satu,
Sekali-kali jangan kamu kahwin dengan janda guru kamu, khususnya guru thoriqatmu. Dan tiada mengapa kahwin dengan anak guru, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh membawa adab kepadanya serta jangan engkau wathi akan dia, melainkan kemudian daripada meminta izin. Dan lebihkan olehmu akan dia daripada isterimu yang lain, kerana dia anak guru, hal yang boleh dilebihkan.

Wasiat yang kedua puluh dua,
Hendaklah segala kamu yang laki-laki beristeri berbilang-bilang. Dan sekurang-kurangnya dua, dan yang baiknya empat. Dan jika isterimu tiada mengikut hukum, ceraikan, cari yang lain.

Wasiat yang kedua puluh tiga,
Hendaklah kamu yang perempuan banyak sabar, jika suami kamu beristeri berbilang-bilang. Janganlah mengikut seperti kelakuan perempuan yang jahil, jika suaminya beristeri berbilang, sangat marahnya, dan jika suaminya berzina tiada marah.

Wasiat yang kedua puluh empat,
Jika ada sanak saudara kamu berhutang atau miskin dan sempit nafkahnya dan kamu lapang nafkah, maka hendaklah kamu beri sedekah sedikit-sedikit seorang supaya sama kamu. Inilah makna kata orang tua-tua, jika kamu kaya maka hendaklah bawa sanak saudara kamu kaya pula, dan jika kamu senang, maka hendaklah berikan senang kamu itu kepada sanak saudara kamu.

Wasiat yang kedua puluh lima,
Mana-mana sanak saudara kamu yang beroleh martabat dan kesenangan, maka hendaklah kamu kuat-kuat mendo'akannya supaya boleh kamu bernaung di bawah martabatnya.

Wasiat yang kedua puluh enam,
Hendaklah kasih akan anak-anak dan sayang akan fakir miskin dan hormat akan orang tua-tua.

Wasiat kedua puluh tujuh,
Apabila kamu tidur, hendaklah padamkan pelita, jangan dibiarkan terpasang, kerna sangat makruh, sebab demikian itu kelakuan kafir Yahudi.

Wasiat yang kedua puluh delapan,
Jika kamu hendak bepergian, maka hendaklah ziarah kepada ibu bapa dan kepada guru-guru dan orang saleh-saleh. Minta izin kepada mereka itu serta minta tolong do'akan, dan lagi hendaklah mengeluarkan sedekah supaya dapat lapang.

Wasiat yang kedua puluh sembilan,
Jangan berasah gigi laki-laki dan perempuan. Dan jangan bertindik telinga jika perempuan, karena yang demikian itu pekerjaan jahiliah.

Wasiat yang ketiga puluh,
Jangan kuat kasih akan dunia, hanya sekedar hajat. Siapa kuat kasih akan dunia banyak susah badannya dan percintaan hatinya dan sempit dadanya. Siapa benci akan dunia, sentosa badannya dan senang hatinya dan lapang dadanya.

Wasiat yang ketiga puluh satu,
Hendaklah kasih sayang akan ibu bapa seperti diikut apa kata-katanya dan membuat kebajikan kepada keduanya sehabis-habis ikhtiar. Dan jangan durhaka pada keduanya, seperti tiada mengikut perintah keduanya dan kasar perkataan kepada keduanya dan tiada terbawa adabnya.

Wasiat yang ketiga puluh dua,
Jika mati kedua ibu bapa kamu atau salah seorang, maka hendaklah kamu kuat-kuat mendoa'akannya pada tiap-tiap sembahyang dan ziarah pada kuburnya pada tiap-tiap hari Jum'at.

Wasiat yang ketiga puluh tiga,
Hendaklah kuat membuat kebajikan serta dengan yakin kepada guru-guru dan jangan durhaka kepadanya.

Wasiat yang ketiga puluh empat,
Hendaklah berkasih-kasihan dengan orang sekampung dan jika kafir sekalipun dan jangan berbantah-bantah dan berkelahi dengan mereka itu.

Wasiat yang ketiga puluh lima,
Jangan diberi hati kamu mencintai akan maksiat, artinya membuat kejahatan, kerna yang demikian itu percintaan hati. Dan jika banyak percintaan hati, membawa kepada kurus badan.

Wasiat yang ketiga puluh enam,
Jangan kamu jabatkan tangan kamu kepada apa-apa yang haram, kerna yang demikian itu mendatangkan bala.

Wasiat yang ketiga puluh tujuh,
Jika datang bala dan cobaan, maka hendaklah mandi tobat mengambil air sembahyang, dan meminta do'a kepada Allah Ta'ala. Dan banyak-banyak bersedekah kepada fakir dan miskin dan minta tolong do'akan kepada guru-guru dan shalih-shalih karena mereka itu kekasih Allah Ta'ala.

Wasiat yang ketiga puluh delapan,
Apabila hampir bulan Ramadhan, maka hendaklah selesaikan pekerjaan dunia supaya senang beramal ibadat di dalam bulan Ramadhan dan jangan berusaha dan berniaga di dalam bulan Ramadhan, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh beramal dan ibadat dan membuat kebajikan siang dan malam, khususnya bertadarus Quran dan bersuluk.

Wasiat yang ketiga puluh sembilan,
Hendaklah kuat bangun pada waktu sahur, beramal ibadat dan meminta do'a, karena waktu itu tempat do'a yang makbul, khususnya waktu sahur malam Jum'at.

Wasiat yang ke empat puluh,
Hendaklah kuat mendo'akan orang Islam, sama ada hidup atau mati.

Wasiat yang keempat puluh satu,
Apabila bertambah-tambah harta benda kamu dan bertambah-tambah pangkat derjat kamu, tetapi amal ibadat kamu kurang, maka jangan sekali-kali kamu suka akan yang demikian itu, karena demikian itu kehendak setan dan iblis dan lagi apa faedah harta bertambah-tambah dan umur berkurang-kurang.

Wasiat yang keempat puluh dua,
Maka hendaklah kamu i'tikadkan dengan hati kamu, bahwasanya Allah Ta'ala ada hampir kamu dengan tiada bercerai-cerai siang dan malam. Maka Ia melihat apa-apa pekerjaan kamu lahir dan batin. Maka janganlah kamu berbuat durhaka kepada-Nya sedikit jua, karena Ia senantiasa melihat juga tetapi hendaklah senantiasa kamu memohonkan keridhaan-Nya lahir dan batin. Dan lazimkan olehmu i'tikad ini supaya dapat jannatul 'ajilah artinya sorga yang di atas dunia ini.

Wasiat yang keempat puluh tiga,
Maka hendaklah kamu ingat bahwa malikal maut datang kepada setiap seorang lima kali dalam sehari semalam, mengabarkan akan kamu bahwa aku akan mengambil nyawa kamu, maka hendaklah kamu ingat apabila sudah sembahyang tiada sampai nyawa kamu kepada sembahyang kedua, demikian selama-lamanya.

Wasiat yang keempat puluh empat,
Hendaklah kamu kuat mendo'akan hamba yang dha'if ini dan sekurang-kurangnya kamu hadiahkan kepada hamba pada tiap-tiap malam Jum'at dibaca surotul Fatihah sekali dan Qul Huwallahu Ahad (suroh al-Ikhlas) sebelas kali, atau surotul Yasin sekali pada tiap-tiap malam Jum'at atau ayatul Kursi 7 kali dan aku mendo'akan pula kepada kamu sekalian.

Inilah wasiat hamba yang empat puluh empat atas jalan ikhtisar dan hamba harap akan anak cucu hamba akan membuat syarahnya masing-masing dengan kadarnya yang munasabah, supaya tahu dha'ifut thullab wa qashirul fahmi. Wallahu Khairul Hakimin, wa Maqbulus Sailin. Aamiin.
-----------------------------------------------------------------------------
Demikianlah bunyi wasiat beliau, dengan tidak mengubah text asalnya. Apabila kita perhatikan dengan teliti, maka akan kita dapati, bahawa isi wasiat itu sesuai benar dengan firman Allah dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Kita yakin dan percaya apabila wasiat itu kita amalkan, nescaya kita memperolehi keberuntungan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

[ Penulis, H.M.Fahmi El Fuad, adalah cicit langsung dari Syeikh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi an-Naqsyabandi, Tuan Guru Babus Salam ].


HIJAB DI DALAM PERJALANAN MENUJU ALLAH

Perjalanan menuju kepada Allah سبحانه وتعالى bukanlah perjalanan fizikal yang berdimensi jarak dan waktu, akan tetapi perjalanan hakiki iaitu sebuah penyingkapan hijab-hijab yang menjadi penghalang antara hamba dan Tuhannya.

Hijab itu terbahagi kepada dua; pertama hijab dzulumat (sisi kegelapan) iaitu nafsu, syaitan, dunia dan berbagai kecenderungan buruk yang terdapat dalam diri manusia, hijab ini mesti dijauhkan dan dihindari.

Manakala hijab kedua adalah hijab nur (cahaya), iaitu ketaatan, kebaikan dan segala amal soleh. Hijab ini mesti dimiliki, sandang satu persatu dan tidak boleh tertumpu di situ, kerana semua hijab nur itu adalah pemberian-pemberian Allah, dan pemberian itu bukan dan selain Allah. Kerana selain Allah adalah hijab dan bukan tujuan. Tujuan itu hanyalah Allah sahaja.

Maka semua hijab-hijab tersebut mesti dilalui dan dilintasi satu persatu oleh seorang salikin sehingga ia sampai (wushul) kepada Allah. Penyingkapan hijab demi hijab tersebut dinamakan perjalanan melintasi maqamat demi maqamat menuju kepada Allah.

[ Syeikh Rohimuddin Nawawi al-Banteni; Kata Pengantar Buku Terjemahan Manazil al-Sairin ]


Tuesday, February 14, 2023

PEMBERI NASIHAT


قال ابو عثمان قال لي أبو حفص: إذا جلست للناس، فكن واعظاً لقلبك ولنفسك، ولا يغرنك اجتماعهم عليك ، فإنهم يراقبون ظاهرك ، والله تعالى يراقب باطنك

Abu Utsman bercerita : Abu Hafs memberi nasihat kepadaku,

"Apabila kamu duduk dengan manusia maka jadilah kamu pemberi nasihat untuk hati dan dirimu. Dan jangan kamu tertipu dengan berkumpul mereka kepadamu. Kerana manusia melihat zahirmu sedangkan Allah melihat batinmu."

[ Risalah Qusyairiyah ]


NASEHAT KEHIDUPAN

Al-Imam Sufyan ats-Tsauri رحمة الله تعالى berkata, di antara wasiat Ali bin al-Hasan as-Sulami رحمة الله تعالى ialah,

ﻋﻠﻴﻚ ﺑﻘﻠﺔ ﺍﻟﻜﻼﻡ، ﻳﻠﻴﻦ ﻗﻠﺒﻚ. ﻭﻋﻠﻴﻚ ﺑﻄﻮﻝ ﺍﻟﺼﻤﺖ، ﺗﻤﻠﻚ ﺍﻟﻮﺭﻉ. وﻻ ﺗﻜﻮﻧﻦ ﺣﺮﻳﺼﺎً ﻋﻠﻰ ﺍﻟﺪﻧﻴﺎ. وﻻ ﺗﻜﻦ ﺣﺎﺳﺪﺍً، ﺗﻜﻦ ﺳﺮﻳﻊ ﺍﻟﻔﻬﻢ. وﻻ ﺗﻜﻦ ﻃَﻌَّﺎﻧﺎً، ﺗﻨْﺞ ﻣﻦ ﺃﻟﺴُﻦ ﺍﻟﻨﺎﺱ. وﻛﻦ ﺭﺣﻴﻤﺎً، ﺗﻜﻦ ﻣﺤﺒّﺒﺎً ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻨﺎﺱ. وارﺽَ ﺑﻤﺎ ﻗﺴﻢ ﻟﻚ ﻣﻦ ﺍﻟﺮﺯﻕ، ﺗﻜﻦ ﻏﻨﻴﺎً. ﻭﺗﻮﻛﻞ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ، ﺗﻜﻦ ﻗﻮﻳﺎً. وﻻ ﺗﻨﺎﺯﻉ ﺃﻫﻞ ﺍﻟﺪﻧﻴﺎ ﻓﻲ ﺩﻧﻴﺎﻫﻢ، ﻳﺤﺒﻚ ﺍﻟﻠﻪ ﻭ ﻳﺤﺒﻚ ﺃﻫﻞ اﻷﺭﺽ. وﻛﻦ ﻣﺘﻮﺍﺿﻌﺎً، ﺗﺴﺘﻜﻤﻞ ﺃﻋﻤﺎﻝ ﺍﻟﺒﺮ .

1. Hendaklah kamu mengurangi banyak berbicara, niscaya hatimu akan menjadi lembut. Dan perbanyaklah diam, niscaya kamu akan memiliki sifat wara' (berhati-hati).

2. Dan janganlah berambisi terhadap urusan dunia dan menjadi seorang pendengki, niscaya kamu akan mudah dalam memahami (sesuatu).

3. Dan janganlah suka mencaci-maki orang lain, niscaya kamu akan selamat dari cercaan mereka. Dan hendaknya menjadi orang yang penyayang, niscaya kamu akan dicintai oleh manusia.

4. Dan hendaklah selalu meredhoi rezeki yang telah ditetapkan Allah ‘Azza wa Jalla kepadamu, niscaya kamu akan menjadi manusia yang selalu merasa cukup.

5. Bertawakkallah selalu kepada Allah ‘Azza wa Jalla, niscaya kamu akan menjadi pribadi yang kuat lagi optimis.

6. Dan janganlah bersaing dengan para pecinta dunia dalam urusan dunia mereka, niscaya Allah ‘Azza wa Jalla dan semua penduduk bumi akan mencintaimu.

7. Serta jadilah sebagai seorang yang selalu rendah hati, niscaya akan sempurna semua amalan kebaikanmu.

[ Sumber : Hilyatul Aulia : (jilid: 8/hlm. 82) ]


TAUBAT BISYR AL-HAFI رحمة الله تعالى

Dihikayatkan bahawa Bisyr al-Hafi رحمة الله تعالى (w. 277 H) ketika zaman lalainya beliau berada di rumahnya. Bersama beliau ada rakan-rakanya yang sedang minum-minum dan berhibur.

Tiba-tiba seorang lelaki soleh melintasi mereka dan mengetuk pintu. Seorang hamba perempuan keluar bertemu dengan lelaki soleh tersebut.

Lelaki tersebut berkata : "Pemilik rumah ini adakah dia seorang yang merdeka ataupun hamba?"

Hamba perempuan tersebut menjawab : “Bahkan dia seorang yang merdeka.”

Lelaki tersebut kemudian berkata : “Kamu benar. Kalaulah dia seorang hamba nescaya dia akan beradab sebagaimana seorang hamba dan meninggalkan kelalaian dan hiburan.”

Bisyr mendengar perbualan antara hamba dan lelaki tersebut dan beliau segera ke pintu dalam keadaan tidak berkasut dan bersedih. Dia mendapati lelaki tersebut telah pergi.

Bisyr bertanya kepada hamba perempuan : “Siapa yang bercakap dengan kamu di pintu itu?”

Hamba tersebut menceritakan apa yang terjadi.

Bisyr bertanya lagi : “Arah manakah yang dilalui oleh lelaki tersebut?”

Hamba tersebut menjawab : “Sini.”

Bisyr berjalan melalui arah tersebut sehingga bertemu semula dengan lelaki tersebut.

Bisyr bertanya kepadanya : “Wahai tuanku, adakah engkau yang berdiri di pintu dan bercakap dengan hamba perempuan tersebut?”

Lelaki itu menjawab : “Ya.”

Bisy berkata : “Ulang semula ucapan kamu.”

Lelaki tersebut mengulang semula apa yang dikatakannya. Mendengar ucapan lelaki tersebut menyebabkan Bisyr jatuh ke bumi dan berkata : “Bahkan aku hamba. Aku adalah hamba.”

Kemudian Bisyr berlalu pergi tanpa arah tuju dalam keadaan tidak berkasut dan berduka sehinggalah dia dikenali sebagai al-Hafi (tidak berkasut).

Beliau pernah ditanya : “Mengapa engkau tidak memakai kasut?”

Beliau menjawab : “Tuhanku tidak menjadikan aku baik melainkan ketika aku tidak berkasut. Aku mahu kekal dalam keadaan ini sehingga aku mati.”

[ Al-Tawwabin, Ibnu Qudamah al-Maqdisi ]




PANDANGAN & SIKAP ORANG 'ARIF BILLAH

Mengenai sikap terhadap ahli maksiat dan kekufuran, maka sikap ahli tasawwuf/ma`rifat berbagai-bagai menurut tahap kearifan dan ehwal kerohanian yang mereka alami. Ini kerana seseorang `arif itu memandang dengan dua pandangan iaitu `ayn al-hikmah dan `ayn al-qudrah.

`Ayn al-hikmah bermaksud pandangan zahir/hukum syariat, manakala `ayn al-qudrah bermaksud pandangan batin iaitu takdir, rahmat, hikmah kebijaksanaan Tuhan dan sebagainya. Maka adakalanya pandangan rohani seseorang `arif itu cenderung kepada `ayn al-hikmah ini, maka sikapnya adalah menghukum, tegas, marah, benci (dari sudut-sudut yang dibenarkan) dan sebagainya. Namun adakalanya pandangan rohaninya cenderung kepada `ayn al-qudrah, maka sikapnya adalah pemaaf, mengharapkan hidayah, mendoakan kebaikan, membetulkan, meluruskan, menasihati dan sebagainya. Semua ini telah dipedomankan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم di mana Baginda pernah mendoakan hidayah kepada kaum yang menolak seruan malah mencederakan Baginda di Taif, dan Baginda juga pernah mendoakan (qunut) kebinasaan ke atas kaum Za`l dan Zaqwan.

Namun kelaziman/kebiasaan golongan `arif, lebih-lebih lagi yang mendalam ke`arifannya, cenderung kepada `ayn al-qudrah.

Adakalanya kepelbagaian sikap ini terjadi berasaskan hikmah syariat dan keadaan ahli maksiat/kekufuran tersebut. Ini berpedomankan kepada peristiwa yang terjadi di zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, di mana apabila seorang Arab Badwi yang datang ke Masjid Nabi صلى الله عليه وسلم, membuang air (kencing), maka para sahabat رضي الله عنهم marah dan ingin memukulnya, tetapi dilarang oleh Nabi صلى الله عليه وسلم.

Penelitian para alim ulama menjelaskan bahawa ini dilakukan kerana melihat kepada Arab Badwi tersebut yang baru masuk Islam dan kejahilan, dan juga bertujuan menolak kemudaratan yang lebih banyak/berat, serta mengajarkan cara menyelesaikan masalah tersebut (menyuci/membersihkan najis).

Berbeza dari kita yang tidak memandang dgn 'ayn al-hikmah, tidak pula dengan 'ayn al-qudrah, tapi memandang dengan 'ayn al-nafs al-ammarah bi al-su', pandangan nafsu buruk bersalut hukum/agama. Kerana itu pandangan/sikap kita penuh dengan kemarahan dan kebencian, bercampur kedengkian dan permusuhan secara total/mutlaq, sehingga kemarahan, kebencian dan permusuhan itu tetap tidak padam, walaupun orang berkenaan sudah berubah dan beralih arah, sampai kematian.

[ Ustaz Prof Madya Dr Abdul Manam Mohamad Hafidzohullah, Ahli Panel Tasawwuf JAKIM ]


TUNDUKKAN NAFSU-MU SEBELUM ENGKAU DI TUNDUKKAN-NYA

KULIAH SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI رضى الله عنه :

- TUNDUKKAN NAFSUMU SEBELUM ENGKAU DITUNDUKKANNYA. -
(disampaikan di Madrasah al-Ma’murah, hari Ahad pagi, 3 Syawal 545 H)

"Sesungguhnya, siapa yang ingin memperbaiki dirinya, maka hendaklah dia berlatih memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada cengkaman nafsu kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada kejahatan.

Hai pemuda…! Nasihatilah dirimu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menasihati orang lain. Janganlah engkau berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu sendiri masih bersemayam sesuatu yang engkau perlu perbaiki. Celakalah engkau…! Sekiranya engkau tahu bagaimana membersihkan orang lain, sedangkan engkau buta untuk membersihkan dirimu sendiri. Bagaimana seorang yang buta dapat memimpin orang lain.

Wahai hati…! Wahai roh…! Wahai manusia..! Wahai jin…! Wahai orang-orang yang berharap kepada Maha Raja..! Marilah kita ketuk pintu Maha Raja. Bersegeralah kamu kepada-NYA dengan tapak hatimu, dengan tapak takwa dan tauhid kamu, makrifat dan kewarakan kamu yang tinggi, kezuhudan kamu di dunia, di akhirat dan di dalam sesuatu selain daripada yang berkaitan secara langsung dengan Tuhanmu.

Ketahuilah…! Bahawa taubat itu adalah pusat kekuasaan dan menyesali segala perbuatan. Tanggalkanlah baju kederhakaanmu itu dengan taubat yang tulus ikhlas. Jika engkau bertaubat, hendaklah taubat itu lahir dari hatimu, bertaubatlah engkau zahir dan batin."


[ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani رضى الله عنه dalam kitab Fath Rabbani ]


GURU MURSYID

Mursyid dalam peristilahan ahli tasawwuf/thariqat, secara mudah, bermaksud orang yang mendapat pengajaran, didikan dan bimbingan (ta`lim/tarbiyah/irsyad) dari seseorang guru/syeikh, seterusnya dipertanggungjawabkan dan diberi keizinan untuk mengajarkan, mendidik dan membimbing para murid oleh guru/syeikh tersebut pada masa hayatnya, dan berlanjutan sampai selepas mati/wafatnya.

Demikian juga guru/syeikh tersebut, dan ini berantaian sampailah ke hadrat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, tanpa putus hubungan silsilah tersebut. Sesiapa yang mendapat semua ini, maka dia tergolong dalam kalangan mursyidin. Kealiman/kefaqihan dan kekeramatan, bukanlah menjadi syarat mursyid.

Cuma tahapan/tingkatan kearifan para mursyid itu sahaja yang berbeza di antara satu sama lain, di mana ada yang sangat arif dan ada yang kurang, ada yang nyata/banyak kekeramatannya dan ada yang tidak, ada yang ramai murid dan ada yang tidak, berbanding yang lain, tapi semua mereka berkelayakan dan berkeizinan untuk melaksanakan tugas kemursyidan sebagai satu tugas/amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan terhadap gurunya, dalam rangka pengabdian diri kepada Allah سبحانه وتعالى dan menghidupkan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

[ Ustaz Prof Madya Dr Abdul Manam Mohamad Hafidzohullah, Ahli Panel Tasawwuf JAKIM, Ahli Jilsah Sufiyyah Negeri Sembilan ]


TIGA CARA MENCAPAI KEBENARAN (HAQIQAH)

"Orang-orang ahli hikmah mempunyai tiga cara untuk mencapai kebenaran (al-haqiqah), iaitu melalui muraqabah, musyahadah dan muhasabah. Muraqabah itu ialah tidak melihat makhluk karena seseorang itu senantiasa sibuk melihat Sang Pencipta makhluk. Musyahadah pula ialah memandang kecemerlangan nur yang diterima di dalam hati. Dan maksud muhasabah ialah tidak mengizinkan segala ahwal yang telah diperoleh, menjadi batu penghalang bagi mencapai maqam-maqam yang lebih tinggi."

[ Syeikh Bahauddin Naqsyabandi قدس الله سره ]


RABITAH - BIMBINGAN BERTERUSAN BAGI SI MURID

Syeikh Ibnu 'Athaillah As-Sakandari رضى الله عنه berkata di dalam kitabnya Lathaiful Ma'arif :

Beliau pernah berujar kepada beberapa orang ikhwannya bahawa beliau mempunyai keinginan supaya Syeikh Mursyidnya sentiasa mengingati dan memperhatikan diri beliau. Syeikh Mursyidnya (Sayyidi Syeikh Abu Al-Abbas Al-Mursi رضى الله عنه) telah menegur Syeikh Ibnu 'Athaillah di dalam suatu pertemuan : "Jangan menuntut Syeikh untuk memperhatikan dirimu. Tetapi tuntutlah dirimu untuk memperhatikan Syeikh, kerana perhatian Syeikh kepadamu sesuai perhatianmu kepadanya."

Sesuai dengan pesanan Syeikh Soleh al Ja'fari رضى الله عنه yang dinukilkan di dalam kitabnya al-Muntaqa al-Nafis :

“Murid seharusnya mengetahui sifat-sifat Syeikhnya supaya dia dapat membayangkan Syeikhnya ketika membaca auradnya, berdoa kepada Allah untuk Syeikhnya dan mengisi hatinya dengan kecintaan terhadap Syeikhnya. Dengan demikian, akan menjadi penyebab kepadanya untuk dapat melihat Syeikhnya dalam tidur. Ini adalah antara sebesar-besar jalan petunjuk daripada pemuka Sufi.

Sesungguhnya para wali itu hidup di sisi Tuhannya sepertimana para syuhada'. Para wali itu dinamakan sebagai Syuhada Mahabbah. Bimbingan dan tunjuk ajar mereka tidak pernah terputus walaupun selepas kematian mereka kepada pemilik-pemilik hati dalam kalangan murid-murid mereka yang suci hatinya, berhubungan ruhnya dan bercahaya jiwanya. Dengan itu, mereka mendapat pembukaan yang menakjubkan."


Melalui perkataan tokoh-tokoh Sufi di atas dapatlah dirumuskan bahawa di dalam ilmu tasawuf dan tarekat sufi, pengamalan rabitah Syeikh adalah sesuatu yang amat digalakkan semasa berzikir dan mempunyai faedah yang sangat besar. Rabitah bermaksud mengikat diri dengan Syeikh dengan mengkhayalkan atau menghadirkan wajah Syeikh semasa berzikir kepada Allah. Rabitah juga boleh dirumuskan sebagai suatu perasaan kasih dan ingatan murid yang mendalam terhadap gurunya sehingga terbayang rupa parasnya dalam khayalan, dengan harapan murid tersebut dikasihi oleh Allah kerana mencintai seorang yang dicintai Allah. Sementara guru yang dimaksudkan itu pula adalah seorang yang disifatkan sebagai al-kamil (sempurna) dari aspek ma`rifah dan ketakwaannya kepada Allah.

Wallahu A'lam
_

Rujukan :

1) Kitab Lathaiful Ma'arif; Sayyidi Syeikh Ibnu 'Athaillah Al-Sakandari RA
2) Kitab Muntaqa Al-Nafis; Sayyidi Syeikh Soleh Al-Ja'afari RA
3) Buku Kebersamaan Dalam Ilmu Tasawuf; Al-Fadhil Dr. Othman Napiah,
4) Kertas Kerja "Tawasul dan Rabitah Al-Haq Dalam Amalan Tarekat Tasawuf; Prof. Mayda Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar


PERJALANAN MENUJU ALLAH سبحانه وتعالى

Jika engkau orang yang selalu berbuat taat dan kebaikan, kemudian engkau terjerumus pada suatu dosa dan kesalahan.

Maka janganlah engkau putus asa dan jangan terlalu memikirkannya, itu adalah ujian dari Allah, yang ingin memberitahu dirimu akan kelemahanmu dan kehinaanmu di hadapan-Nya, yang menginginkanmu untuk selalu meminta dan berharap kepada-Nya.

Jangan biarkan dirimu terpuruk oleh kesalahan dan dosa-dosamu, tetaplah melangkah ke depan, di depanmu ada tangga menuju Allah.

Menujulah kepada Allah meskipun dengan keadaan terpincang-pincang/tempang-tempang.

[ Habib Umar bin Hafidz ]


TUJUAN MENUNTUT ILMU

Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk tiga tujuan berikut ini, maka ia termasuk ahli neraka,

1. Membanggakan diri kepada Ulama'.
2. Berdebat dengan orang-orang bodoh.
3. Mencari perhatian orang lain.


Hendaknya dalam menuntut ilmu itu untuk empat perkara, kerana inilah hakikat dan tujuan orang menuntut ilmu,

1. Untuk membebaskan dirinya dari kebodohan.
2. Untuk menyebarkan manfaat kepada orang lain.
3. Untuk menghidupkan ilmu.
4. Untuk mengamalkannya dan yang terpenting adalah dengan niat untuk mencari redha Allah سبحانه وتعالى serta untuk memperoleh kesenangan akhirat.


Jika demikian, maka ia akan mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat.

[ Asy-Syeikh Abu Nashir As-Samarqandi رحمة الله تعالى ]


Mendapat Rahmat Allah

Berkata Farqad as-Sabakhi رضى الله عنه (w. 131 h) :

قَرَأْتُ فِيْ بَعْضِ الْكُتُبِ: قُلْ لِلْبَكَّائِيْنَ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ؛ أَبْشِرُوْا فَإِنَّكُمْ أَوَّلُ مَنْ تَنْزِلُ عَلِيْهِ الرَّحْمَةُ إِذَا نَزَلَتْ

"Aku pernah membaca di sebagian kitab-kitab terdahulu : Katakan kepada mereka yang banyak menangis karena takut kepada Allah, bergembiralah sebab kalianlah orang pertama yang mendapat bagian rahmat ketika rahmat itu turun."

[ Mausuat ibnu Abid Dunya, jilid 3 hal. 107 ]


WAJIB MURID MERABITHAHKAN SYEIKH MURSYIDNYA

Asy Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi رحمة الله تعالى menyatakan wajibnya seorang murid terus-menerus merabithahkan ruhaniahnya kepada ruhaniah Syeikh gurunya yang mursyid, guna mendapatkan karunia dari Allah سبحانه وتعالی. Karunia yang didapati itu bukanlah karunia dari mursyid, sebab mursyid tidak memberi bekas. Yang memberi bekas sesungguhnya hanya Allah سبحانه وتعالی, sebab di tangan Allah سبحانه وتعالی sajalah seluruh perbendaharaan yang ada di langit dan di bumi, dan tidak ada yang dapat berbuat untuk men-tasaruf-kannya kecuali Allah سبحانه وتعالی. Hanya saja Allah سبحانه وتعالی men-tasaruf-kannya itu, melalui pintu-pintu atau corong-corong yang telah ditetapkan-Nya, antara lain melalui para kekasih-Nya, para wali-wali Allah سبحانه وتعالی yang memberikan syafaat dengan izin-Nya (Amin al Kurdi: 1994, hlm. 448).‎

Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi Al-Irbili رحمة الله تعالى mengatakan :

“Sesungguhnya rasa dekat dengan Syeikh Mursyid bukan dikarenakan dekat zatnya, dan bukan pula karena mencari sesuatu dari pribadinya, tetapi karena mencari hal-hal yang dikaruniakan oleh Allah kepadanya (kedudukan yang telah dilimpahkan Allah atasnya) dengan mengi’tiqadkan (meyakini) bahwa yang membuat dan yang berbekas hanya semata-mata karena Allah Ta’ala seperti orang faqir berdiri di depan pintu orang kaya dengan tujuan meminta sesuatu yang dimilikinya sambil mengi’tiqadkan bahwa yang mengasihi dan memberi nikmat hanya Allah yang mempunyai gudang langit dan bumi, serta tidak ada yang menciptakan selain dari-Nya. Alasan ia berdiri di depan pintu rumah orang kaya itu karena ia meyakini bahwa di sana ada salah satu pintu nikmat Allah yang mungkin Allah memberikan nikmat itu melalui sebab orang kaya itu”. (Tanwirul Qulub : 527)


BAHAYANYA TIPU DAYA SUFI PALSU

Al-Hafiz Abu Nu'aim رحمة الله تعالى menuliskan sebuah karya besar tentang biografi kaum sejati dengan ajaran-ajarannya yang berjudul Hilayah al-Auliya' Fi Tabaqat al-Asfiya'. Hal ini sebagaimana diucapkan oleh beliau sendiri di permulaan kitab tersebut bahawa yang mendorongnya menulis kitab ini adalah untuk membezakan antara kaum sufi sejati dengan kaum sufi palsu. Bahkan ungkapan-ungkapan al-Hafiz Abu Nu'aim dalam menyerang kaum sufi palsu cukup keras.

Beliau menamakan mereka sebagai orang pemalas, kerana tidak kurang daripada mereka ialah orang mulhid berakidah hulul, ittihad atau kaum Ibahiyah (kaum yang menghalalkan segala sesuatu). Beliau juga mengatakan bahawa menyebutkan kesesatan-kesesatan kaum sufi palsu dan menghindarkan diri dari mereka merupakan satu kewajiban yang telah dibebankan oleh syariat atas setiap orang Muslim. Kerana hanya dengan demikian kemurniaan ajaran Islam dapat dijaga. Juga hanya dengan cara ini, orang yang soleh terdiri daripada para wali Allah dapat dielakkan di tempat yang selayaknya, dengan tidak mencampuradukkan antara mereka dengan kaum sufi palsu yang dikategorikan sebagai orang sesat.

Demikian juga Imam al-Qusyairi 
رحمة الله تعالى dengan kitab tasawuf unggulnya, al-Risalah al-Qusyairiyah, beliau mengatakan bahawa yang mendorongnya menulis kitab tersebut adalah untuk membezakan antara sifat-sifat kaum sufi sejati dengan kaum sufi palsu. Pada pembukaan kitabnya ini Imam al-Qusyairi menulis sebuah subjudul; "Dawafi' Ta'lif Hadhihi al-Risalah (Sebab-sebab yang mendorong dituliskan risalah ini)", bahawa salah satunya untuk tujuan tersebut.

Bahkan sebelum datang Imam al-Qusyairi, Imam Abu Nasr al-Sarraj 
رحمة الله تعالى dalam karya besarnya, al-Luma' telah menjelaskan bahawa kewujudan sufi palsu pada masa beliau hidup sudah mulai merebak dalam kalangan orang Islam. Tentang keadaan ini, dalam kitab al-Luma', Imam al-Sarraj berkata :

"Ketahuilah bahawa pada zaman kita ini banyak orang yang telah terjerumus dalam ilmu-ilmu kelompok ini (kaum sufi). Dan telah banyak pula orang yang mengaku-aku ahli tasawuf. Mereka seakan-akan dapat memberikan petunjuk kepada ilmu-ilmu tasawuf dan dapat menjawab segala permasalahan-permasalahan".

Setiap orang daripada mereka seakan-akan memiliki rujukan kitab bagi dirinya yang ia banggakan, atau memiliki perkataan-perkataan yang sudah sangat akrab dengan dirinya, padahal mereka sama sekali tidak memahami hakikat tasawuf tersebut. Padahal para ulama' sufi terdahulu (al-Sufiyah al-Muhaqqiqun) yang berbicara dalam masalah tasawuf ini dengan segala kandungan-kandungan bijak dalamnya, mereka hanya berbicara setelah melalui berbagai-bagai rintangan dalam menjalani tasawuf itu sendiri (Qat'u al-Ala-iq), mengalahkan berbagai-bagai kekangan hawa nafsu dengan mujahadah, riyadah dan sebagainya. Ertinya, mereka masuk dalam medan tasawuf setelah mereka benar-benar mengetahui ilmu-ilmu agama dan telah beramal dengannya.

Pada akhir-akhir ini tidak kurang orang yang mengaku sufi, merasa telah mendapat maqam tertentu, memakai pakaian kebesaran layaknya sufi sejati, melilit serban besar (Imamah) di atas kepala, memelihara janggut tebal dan panjang dengan warna putih walaupun warna tersebut berasal daripada bahan pewarna, mengaku dirinya sebagai mursyid tarekat, dan berbagai-bagai lagi tanda-tanda "asing" lainnya.

Tidak kurang juga daripada kalangan orang awam yang bising dengan penampilan seperti itu. Padahal mereka mungkin jauh lebih awam daripada kebanyakan orang awam. Tidak kurang juga daripada seperti itu yang tidak mengetahui Ilm al-Din al-Daruri, dan memiliki keyakinan rosak seperti keyakinan hulul. Jangan hairan jika mereka tidak mengetahui hal-hal yang asas seperti perkara yang membatalkan wudhu', rukun-rukun solat, tidak mengetahui riba', tidak mengetahui hal-hal yang diwajibkan atau diharamkan oleh syariat, dan hal-hal pokok lainnya. Kerana orang seperti mereka ini hanya bertujuan meraih populariti dan kesenangan. Dan tasawuf ialah alat yang sangat relevan untuk mereka jadikan kenderaan dalam mengelabui orang awam.

Orang-orang sufi palsu seperti inilah yang wajib kita jauhi dan perangi kerana kerosakan yang ditimbulkan oleh mereka boleh memberi impak lebih besar daripada kerosakan yang ditimbulkan oleh orang kafir, seperti Yahudi dan Nasrani. Orang sufi besar terdahulu, seperti Imam al-Qusyairi, latar belakang mereka menulis kitab-kitab tentang tasawuf tidak lain hanya untuk membezakan antara kaum sufi sejati dengan kaum sufi palsu, sekali gus memerangi "sufi-sufi" perosak tersebut. Demikian juga yang dilakukan oleh al-Hafiz Abu Nu'aim ketika beliau menulis kitab fenomenalnya yang berjilid-jilid, Hilayah al-Auliya' Fi Tabaqat al-Asifya', tidak lain hanya untuk membezakan antara kaum sufi sejati dan kaum sufi palsu.

Sungguh menyedihkan keadaan mereka. Mereka telah bersusah payah menahan segala kenikmatan di dunia, tetapi tidak mampu memetik hasil dari jerih payahnya itu, kerana apa yang mereka lakukan adalah sia-sia belaka. Sementara di akhirat mereka pun akan mendapat hukuman, siksa di dalam api neraka untuk selama-lamanya kerana tidak mengikuti petunjuk yang benar.

Bagaimana dengan orang-orang yang beriman, tetapi kemudian yang tersesat jalan? Mungkin pada awalnya mereka melangkah di jalan yang benar atau berniat baik untuk tujuan Sufi. Tetapi tidak mustahil, mereka boleh tertipu dalam perjalanan kesufiannya itu, kerana terpengaruh oleh hawa nafsu.

Nafsu yang akan ditentangnya ternyata berbalik muka menjadi gejala yang menentangnya. Orang yang menentang hawa nafsu itu bertujuan menghadapkan wajahnya kepada Tuhan yang dicari-Nya agar dikenali-Nya. Perlakuannya di dalam kesufian itu bukanlah bertujuan untuk mencari pangkat atau memperoleh pujian dan nama dalam masyarakat pengikutnya.

Apabila dilihatnya dirinya dihormati, para pengikutnya berkerumun mengelilinginya, dan terharulah hatinya, ia sangat senang dengan keadaan ini. Padahal, inilah penyakit, yang dalam istilah kesufian disebut Istidraj, yakni perkara-perkara yang datang sebagai cobaan dan ujian kepada seorang Sufi.

Orang yang semacam ini, memang syaitan senang sekali berdampingan dengannya. Dia malah lebih senang menyandarkan dirinya dengan Sufi palsu ini daripada orang yang bodoh dari liku-liku urusan agamanya. Memang mudah orang yang ‘bodoh’ itu dapat dipengaruhi dan diperdayakan oleh syaitan, tetapi hasilnya hanya seorang saja. Berbanding dengan Sufi palsu ini, dia mempunyai pengikut yang banyak, kalau dapat diperdayakan syaitan satu orang Sufi, maka Sufi itu dapat menghantar perdayaan itu kepada semua pengikutnya, kecuali orang yang diselamatkan Allah.

Syaitan akan berbisik kepada si Sufi palsu itu: Engkau seorang besar! Pengaruhmu sungguh mengagumkan! Sebab para pengikutmu banyak sekali, kerana itu engkau jangan bimbang! Mereka tidak akan menyia-nyiakanmu. Engkaulah orang Sufi yang benar! Engkau wali, dan bukankah wali itu orang kesayangan Tuhan! Apa pedulimu kepada orang-orang bodoh yang merendahkan derajatmu. Mereka itu tidak mengerti. Masih jahil. Jahil murakkab. Engkau begini, dan begitu, dan seterusnya. Bisikan itu tidak ada akhirnya. Diberikan kepadanya lintasan-lintasan hati yang semuanya palsu dan keliru, sedang dia termakan semua umpan yang dipasangkan di dalam perangkapnya.

Itulah dia Istidraj yang selalu menimpa orang yang mengangan-angankan diri menjadi Sufi sebelum waktunya. llham yang diterimanya bukan ilham dari Allah سبحانه وتعالى, tetapi ilham dari syaitan, sedang dirinya tidak tahu.

Orang Sufi palsu ini sungguh berbahaya kepada umat Islam. Dia lebih berbahaya daripada sang Sufi sesat, yang perjalanannya benar, tetapi kepercayaannya salah dan sesat. Sebab orang Sufi sesat itu, semua orang Islam telah mengenalinya dan mudah dikenali. Namun sang Sufi palsu itu akan membawa kekeliruan kepada khalayak yang tidak mengerti, atau orang yang mudah terpengaruh dengan hal-hal yang tidak asli atau tiruan. Lalu bukan saja dia yang sesat, malah dia akan menyesatkan banyak orang yang tidak berdosa, hanya salahnya kerana terpengaruh dengan yang salah yang digambarkan sebagai benar.

Wallahualam.

[ Sumber: "Kitab Indahnya Tasawwuf Dan Hidup Sufi" ]


MANFAAT BERGAUL DENGAN ORANG SOLEH

Al-'Arifbillah Imam Ahmad bin Zain al-Habsyi رضي الله عنه pernah mengatakan : "Bergaul dengan orang soleh lebih bermanfaat bagi seorang hamba daripada 100 kali atau ada yang mengatakan 1000 kali uzlah."

Imam Asy-Syafie رضي الله عنه mengatakan : 
"Ada empat perkara yang boleh menambahkan kecerdasan akal; meninggalkan pertuturan yang tidak perlu, bersiwak, bergaul dengan orang soleh, dan ulama."

Ulama solehin mengatakan : 
"Sesiapa yang bersembahyang di belakang orang yang diampuni dosanya, maka dia akan diampuni. Sesiapa yang duduk bersama orang soleh, akan bertambah keinginan hatinya dalam ketaatan, dan sesiapa yang duduk bersama ulama, akan bertambah ilmu dan amalnya."


TANDA BERIMAN ATAU BERDOSA

Setiap perbuatan dosa itu apabila dilakukan akan menyebabkan hati gelisah.

Jika sesuatu yang dilakukan menyebabkan hati tidak tenang, segeralah jauhi, tinggalkan dan bersegeralah bertaubat.

Jika sesuatu perbuatan yang salah dan buruk dilakukan menyebabkan hati gelisah dan apabila perbuatan baik yang dilakukan menyebabkan hati gembira dan tenang itu bermakna tanda kita orang yang "BERIMAN".

Jika melakukan perkara dosa dan maksiat hati tak gelisah itu bermakna telah "LUNTUR IMAN" kita.

Marilah kita melakukan amal yang menenangkan dan menggembirakan hati bukan sebaliknya...

Daripada Zaid bin Sallam dari datuknya berkata ;

عَنْ زَيْدِ بْنِ سَلَّامٍ عَنْ جَدِّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا أُمَامَةَ يَقُولُ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا الْإِثْمُ فَقَالَ إِذَا حَكَّ فِي نَفْسِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ قَالَ فَمَا الْإِيمَانُ قَالَ إِذَا سَاءَتْكَ سَيِّئَتُكَ وَسَرَّتْكَ حَسَنَتُكَ فَأَنْتَ مُؤْمِن

"Aku mendengar Abu Umamah berkata : Seseorang bertanya pada Nabi 
صلى الله عليه وسلم; Apa itu dosa? Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda ; "Bila sesuatu menggelisahkan hatimu maka tinggalkanlah." Orang itu bertanya lagi ; Apa itu iman? Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda ; "Bila perbuatan buruk yang dilakukan menggelisahkanmu dan amal kebaikan menggembirakanmu berarti engkau mukmin." (HR Ahmad No: 21138) Hadis Sahih


FAEDAH UNTUK DIQABULKAN SEGALA HAJAT

Faedah diambil dari Habib Ahmad Masyhur bin Toha Al Haddad رحمة الله تعالى sebahagian Ulama berkata :

"Jika engkau memiliki sebarang urusan maka bacalah Basmalah 19 kali, bersamaan dengan jumlah huruf-hurufnya.

Kerana siir (rahsia) Al-Qur'an ada di dalam surah Al Fatihah dan siir Al Fatihah ada di dalam kalimah Basmalahnya dan siir Basmalah ada di dalam huruf Ba' (ب)nya".

Ini amalan mujarrab, semoga bermanfaat. Cubalah. Insya-Allah.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد


Kekayaan Hakiki


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi صلى الله عليه وسلم Baginda bersabda : "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (selalu merasa cukup)." (HR Bukhari No: 5965) Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Kekayaan dalam Islam bukan dilihat kepada pemilikan harta yang banyak.

2. Kekayaan hakiki seorang Muslim ialah apabila ia memiliki kaya hati (sifat merasa cukup dengan setiap rezeki yang dimiliki).

3. Berapa ramai orang kaya yang memilii harta namun sentiasa merasa masih kurang. Hatinya tidak merasa puas dengan rezeki yang dianugerah Allah. Ia masih terus mencari apa yang belum diraih. Hatinya masih belum puas dengan apa yang ada. Itu bermakna ia sentiasa miskin kerana ingin mencari dan mencari lagi.

4. Imam An Nawawi رحمة الله تعالى berkata : “Kaya yang terpuji adalah kaya hati, hati yang selalu merasa puas dan tidak tamak dalam mencari kemewahan dunia. Kaya yang terpuji bukanlah dengan banyaknya harta dan terus menerus ingin menambah dan terus menambah."


KEMURAHAN ALLAH

Berkata Syeikh Ibnu Ajibah Al-Hasani Asy-Syadzili رحمة الله تعالى,

"Wahai hamba, di antara kemurahan Allah dan pilihan baik-Nya terhadapmu adalah ketika Dia mengetahui bahawa kau tidak mampu bersabar untuk bertemu dengan-Nya maka Dia memperlihatkan padamu sesuatu yang muncul dari-Nya. Setelah Allah tahu bahawa di antara hamba-Nya ada orang yang tidak mampu menyaksikan-Nya dalam fenomena yang muncul dari-Nya maka Dia menyibukkannya untuk melayani-Nya. Setelah Dia tahu bahawa timbul rasa bosan pada diri hamba-Nya dalam satu khidmat maka Dia memberinya berbagai ketaatan pada-Nya. Di antara sifat nafsu adalah merasa bosan ketika mengulangi satu hal."

[ Kitab Iqaz Al Himam Karangan Syeikh Ibnu Ajibah 
Al-Hasani Asy-Syadzili رحمة الله تعالى ]


SIFAT PENGHAMBAAN ADALAH KEBANGGAAN DAN MAHKOTA TERINDAH SEORANG MAKHLUK

Baginda صلى الله عليه وسلم adalah Nabi dan juga Rasul, adapun status Baginda صلى الله عليه وسلم sebagai hamba maka itu adalah mahkotanya Baginda صلى الله عليه وسلم, dan sifat yang paling mulia bagi seorang hamba adalah sifatnya sebagai "hamba" (sifat penghambaan kepada Rabbnya).

Dan Imam 'Ali رضي الله عنه pernah berkata tentang 3 perkataan dalam bermunajat (kepada Allah), beliau berkata :

"Cukuplah sebuah kemuliaan bagiku dengan menjadi hamba untuk-Mu (Allah), dan cukuplah kebanggaan bagiku dengan Engkau (Allah) menjadi Tuhanku, bagiku Engkau sebagaimana aku mencintai-Mu, maka tunjukkanlah aku kepada apa-apa yang Engkau cintai".

Dan Baginda صلى الله عليه وسلم adalah hamba yang sempurna yang menghimpun maqam-maqam penghambaan yang tinggi dan mulia.

[ Al-Allamah Syeikh Abdul Aziz As-Syahawi ]


Kesudahan Yang Baik

Ada sebuah kisah, di zaman ulama besar islam yakni Al-Imam Abu Yazid Al-Bustami قدس الله سره. Ada seorang pemuda yang kerjanya mencuri. Dia menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual.

Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan Imam Abu Yazid untuk menyatakan kekesalannya dan keinginannya untuk bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى.

Kemudian anak-anak murid Imam Abu yazid menanyakan adakah perkara-perkara aneh yang berlaku sepanjang kerjayanya sebagai pencuri di depan guru mereka Imam Abu Yazid.

Pemuda itu menjawab; "Sepanjang aku menggali dan membongkar kubur sebanyak seribu atau lebih kubur. Aku mengali untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat tujuh perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

"Pengalaman pertama, di satu kubur aku melihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi apabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telah pun membelakangkan kiblat. Kemudian pemuda itu bertanya kepada Imam Abu Yazid. Mengapa terjadi begitu, wahai Tuan Guru?" tanya pemuda itu.

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai anak muda, sebab terjadinya begitu kerana mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah سبحانه وتعالى sewaktu hidupnya. Mereka menduakan Allah. Lantaran itu Allah menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim dan golongan yang lain."

Kemudian pemuda itu berkata; "Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, aku melihat wajah mereka telah pun bertukar menjadi khinzir. Mengapa begitu halnya, wahai Tuan Guru?"

Maka jawab Imam Abu Yazid; "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solatnya, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain."

Kemudian pemuda itu menyambung lagi; "Wahai Tuan Guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, kulihat perutnya besar mengelembung, keluar pula ulat-ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu."

Maka jawab Imam; "Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram."

"Wahai Tuan Guru, golongan keempat, yang aku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam legam warnanya. Mengapa terjadi sebegitu, wahai Tuan Guru?"

Jawab Imam Abu Yazid itu; "Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai kedua ibu bapa mereka."

"Dan golongan yang kelima, kulihat, ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. Kenapa begitu wahai Tuan Guru?"

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Bukankah Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi tiga hari bukanlah termasuk dalam golongan umat Baginda."

"Kemudian pemuda itu berkata; "Wahai Guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, kulihat mayat tersebut terapung dan liang lahadnya dipenuhi air hitam legam kotor yang amat busuk baunya. Kenapa begitu?"

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sepanjang hayatnya."

"Kemudian pemuda itu berkata; "Wahai Guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai Tuan Guru?" tanya pemuda itu lagi.

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu sepanjang hayat mereka."

"Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah سبحانه وتعالى baik di dunia mahupun sesudah matinya mereka. Inilah yang dinamakan khusnul khotimah. Kesudahan yang baik. Moga-moga Allah سبحانه وتعالى mengurniakan pemberian yang amat berharga tersebut kepada kita."

[ Daripada Al-Habib Ali bin Abdurrahman Al-Jufri ]


Sunday, February 12, 2023

MENGHADAPKAN SEGALA LINTASAN HATI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Kaedah yang digariskan oleh Sayyidi Ahmad ibn Idris رضي الله عنه ini adalah kaedah/metod yang penting bagi ikhwan Tarekat Ahmadiah Muhammadiah untuk menjaga diri daripada terjatuh dalam kesesatan dengan menghadapkan segala lintasan hati kepada dua perlembagaan utama Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Lintasan hati seseorang itu adakalanya baik atau hak dan adakalanya buruk atau batil. Maka untuk mengikuti atau menjauhinya perlu ditimbang di atas neraca Al-Quran dan As-Sunnah.

Syeikh Soleh Al-Ja`fari رضي الله عنه menyatakan jika Al-Quran dan As-Sunnah menerimanya, maka dapat diketahui bahawa lintasan itu adalah lintasan kebaikan, lalu segerakanlah diri untuk melaksanakannya. Jika Al-Quran dan As-Sunnnah tidak menerimanya, maka larilah daripadanya sebagaimana diri melarikan diri daripada binatang buas kerana lintasan itu daripada syaitan.

[ Syeikh Soleh Al-Ja’fari, Ilham An-Nafi’, m/s 237-238 ]


ULAMA NUSANTARA

Karya ulama Patani dalam ilmu Usuluddin dan Tasawwuf

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Kita mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara.

Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi.

Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awamkarya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah.Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin(1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja.

Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab.

Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah.

Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan.

Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia.

Maka ia pertama orang yang mengedarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

Ketuhanan

Dalam Warduz Zawahir pula, telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah. Selanjutnya, dan yang bersalahan antara orang Mu'minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu'minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya.

Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, "Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam'iyat, iaitu ..."

Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: 'Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam'ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

Menggubah Puisi

Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa'id Linggi (Sheikh Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A'ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan 'Unwanul Falah.

Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A'ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-'Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-'Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-'Arabi.