Monday, February 6, 2023

BERADAB DENGAN ULAMA TERDAHULU

Perselisihan sesama ulama merupakan perkara yang perlu ditangani dengan penuh cermat. Apatah lagi dengan situasi sekarang yang maklumat dan berita itu datang terlalu pantas. Kesannya pula sangat besar dan meluas. Sehinggakan berlaku cacian dan makian yang tidak sepatutnya. Dan yang paling parah sehingga sosok ilmuwan dipulaukan dan ilmunya dinafikan kesahihannya.

Perkara ini mungkin berlaku atas beberapa sebab antaranya sifat sesetengah golongan yang kurang teliti dalam menapis berita lantas menyebarkan tanpa usul periksa. Begitu juga dengan sifat ta'sub terhadap individu tanpa timbangan ilmu yang benar. Dan juga memperguna isu untuk kepentingan diri dan kelompok dan sebagainya.

Dalam isu seperti ini elok kiranya direnungkan sebaiknya nasihat Imam Tājuddīn Al-Subki رحمة الله تعالى dalam kitabnya Tobaqāt Al-Syafi'ieyyah,

Kata Al-Imam :

"Sayugianya bagi kamu wahai orang-orang yang inginkan petunjuk untuk beradab dengan ulama-ulama terdahulu, janganlah kamu melihat kritikan sesama mereka melainkan jika didatangkan dengan dalil yang jelas, dan jikalau kamu mampu untuk mentakwilnya dan berbaik sangka maka itu lebih baik, jika tidak, jangan terlalu sibukkan diri kamu dengan apa yang berlaku antara mereka, sibukkan diri kamu dengan apa yang penting dan bermakna bagi kamu.

Dan bagiku, setiap penuntut ilmu itu adalah orang yang cerdik melainkan mereka yang terlalu memperdalam tentang perselisihan ulama terdahulu lantas menghukum antara satu sama lain.

Awaslah, jangan kamu bersibuk-sibuk dengan perselisihan ulama-ulama terdahulu kerana aku bimbang jika kamu menyibukkan dirimu dengan perkara tersebut kamu akan rosak. Dan bagi setiap kaum itu ada ulama-ulama, dan bagi tiap kata-kata mereka ada kandungan makna yang pelbagai yang mungkin tidak difahami oleh sesetengah orang, maka tidak ada hak bagi kita melainkan untuk diam atas apa yang mereka perselisihkan sepertimana kita diam atas apa yang berlaku pada para sahabat radhiallahu 'anhum."


No comments:

Post a Comment