Thursday, February 16, 2023

Wasiat al-Qutub al-Nafis Sayyidi Ahmad bin Idris رضى الله عنه Berkenaan Suhbah & Kebersamaan Dengan Ikhwan

"...Saya mewasiatkan kalian agar bertaqwa kepada Allah. Ia merupakan wasiat Allah bagi golongan terawal dan terkemudian. Saya juga mewasiatkan kalian agar saling berkasih sayang dan sangga-menyangga (sokong-menyokong) antara satu sama lain kerana Allah. Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda bahawa kambing yang tinggal jauh terasing itu akan mudah dibaham oleh serigala dan serigala manusia ialah syaitan.

Apabila seseorang manusia itu tidak bersama ikhwannya dan mengasingkan diri daripada mereka, nescaya jiwa dan agamanya akan terancam dan tidak akan selamat.

Syaitan terbahagi kepada dua jenis, iaitu syaitan jenis manusia dan syaitan jenis jin. Syaitan manusia lebih dahsyat daripada syaitan jin. Oleh itu, Allah memulakan sebutan-Nya dengan syaitan dari jenis manusia dalam firman-Nya :

شياطين الإنس والجن

"Syaitan-syaitan dari spesies manusia dan jin" (Al-An'am: 112)

Sesungguhnya apabila syaitan jin tidak menemui jalan untuk masuk ke dalam hati seseorang hamba, bisikannya tidak didengari oleh hamba tersebut, maka dia akan pergi kepada syaitan manusia untuk masuk kerana pada kedua-duanya ada persamaan jenis iaitu sesama bangsa manusia. Maka syaitan manusia itu akan datang dengan rupa seorang penasihat. Sekiranya hamba tersebut menerima nasihat buruk daripada syaitan manusia itu, maka dia berjaya memutuskan manusia itu daripada melakukan kebaikan dan terhasillah keinginan syaitan jin tersebut..."

[ Petikan surat utusan al-Qutub Daeratu al-Taqdis Sayyidi Ahmad bin Idris 
رضى الله عنه kepada para ikhwan berkenaan Sayyid Muhammad bin Ali al-Sanusi رضى الله عنه ]


No comments:

Post a Comment