Tuesday, February 14, 2023

RABITAH - BIMBINGAN BERTERUSAN BAGI SI MURID

Syeikh Ibnu 'Athaillah As-Sakandari رضى الله عنه berkata di dalam kitabnya Lathaiful Ma'arif :

Beliau pernah berujar kepada beberapa orang ikhwannya bahawa beliau mempunyai keinginan supaya Syeikh Mursyidnya sentiasa mengingati dan memperhatikan diri beliau. Syeikh Mursyidnya (Sayyidi Syeikh Abu Al-Abbas Al-Mursi رضى الله عنه) telah menegur Syeikh Ibnu 'Athaillah di dalam suatu pertemuan : "Jangan menuntut Syeikh untuk memperhatikan dirimu. Tetapi tuntutlah dirimu untuk memperhatikan Syeikh, kerana perhatian Syeikh kepadamu sesuai perhatianmu kepadanya."

Sesuai dengan pesanan Syeikh Soleh al Ja'fari رضى الله عنه yang dinukilkan di dalam kitabnya al-Muntaqa al-Nafis :

“Murid seharusnya mengetahui sifat-sifat Syeikhnya supaya dia dapat membayangkan Syeikhnya ketika membaca auradnya, berdoa kepada Allah untuk Syeikhnya dan mengisi hatinya dengan kecintaan terhadap Syeikhnya. Dengan demikian, akan menjadi penyebab kepadanya untuk dapat melihat Syeikhnya dalam tidur. Ini adalah antara sebesar-besar jalan petunjuk daripada pemuka Sufi.

Sesungguhnya para wali itu hidup di sisi Tuhannya sepertimana para syuhada'. Para wali itu dinamakan sebagai Syuhada Mahabbah. Bimbingan dan tunjuk ajar mereka tidak pernah terputus walaupun selepas kematian mereka kepada pemilik-pemilik hati dalam kalangan murid-murid mereka yang suci hatinya, berhubungan ruhnya dan bercahaya jiwanya. Dengan itu, mereka mendapat pembukaan yang menakjubkan."


Melalui perkataan tokoh-tokoh Sufi di atas dapatlah dirumuskan bahawa di dalam ilmu tasawuf dan tarekat sufi, pengamalan rabitah Syeikh adalah sesuatu yang amat digalakkan semasa berzikir dan mempunyai faedah yang sangat besar. Rabitah bermaksud mengikat diri dengan Syeikh dengan mengkhayalkan atau menghadirkan wajah Syeikh semasa berzikir kepada Allah. Rabitah juga boleh dirumuskan sebagai suatu perasaan kasih dan ingatan murid yang mendalam terhadap gurunya sehingga terbayang rupa parasnya dalam khayalan, dengan harapan murid tersebut dikasihi oleh Allah kerana mencintai seorang yang dicintai Allah. Sementara guru yang dimaksudkan itu pula adalah seorang yang disifatkan sebagai al-kamil (sempurna) dari aspek ma`rifah dan ketakwaannya kepada Allah.

Wallahu A'lam
_

Rujukan :

1) Kitab Lathaiful Ma'arif; Sayyidi Syeikh Ibnu 'Athaillah Al-Sakandari RA
2) Kitab Muntaqa Al-Nafis; Sayyidi Syeikh Soleh Al-Ja'afari RA
3) Buku Kebersamaan Dalam Ilmu Tasawuf; Al-Fadhil Dr. Othman Napiah,
4) Kertas Kerja "Tawasul dan Rabitah Al-Haq Dalam Amalan Tarekat Tasawuf; Prof. Mayda Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar


No comments:

Post a Comment