Sunday, February 5, 2023

KEPENTINGAN SANAD DALAM ARENA KEILMUAN

Sanad atau Isnad merupakan perkara penting untuk memastikan kesahihan sesuatu ilmu. Ahli Salaf dan Khalaf telah bersepakat menyatakan, bahawa ilmu agama bukan diambil melalui bacaan atau pengkajian semata-mata, tetapi ia diambil melalui kaedah pembelajaran. Iaitu, dengan mempelajari sesuatu ilmu daripada seorang Arif yang dipercayai, yang telah mengambil ilmu tersebut daripada orang sepertinya juga hingga sampai kepada pada sahabat dan terus kepada Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Berkata Al-Hafiz Abu Bakar Al-Khatib Al-Baghdadi رضي الله عنه:

“Tidak diambil suatu ilmu melainkan melalui lidah-lidah ulama.”

Seseorang yang belajar tanpa berguru, tidak akan berani menyenaraikan nama gurunya dan menyebut sanadnya, kerana dia tidak mempunyai sanad dalam pengambilan sesuatu ilmu. Menyebut nama guru merupakan kebanggan bagi seseorang murid, selain untuk mendapatkan keberkatan ilmu. Ramai Ulama Hadith yang menulis kitab khusus untuk menyenaraikan nama guru-guru mereka dan sanad ilmu yang mereka terima. Antaranya:

1. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani - Tajrid Asanid Al-Kutub Al-Masyhurah Wa Al-Ajza’ Al-Manthurah.

2. Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari - Al-I’lam Bi Asanid Syeikh Al-Islam.

3. Syeikhul Islam Abdullah Al-Syarqawi - Al-Jami’ Al-Hawi.

Inilah disiplin ilmu Islam yang disepakati oleh Ulama Islam. Syeikh Soleh Ibn Muhammad Al-Ja’fari رضي الله عنه, Imam Masjid Al-Azhar menyebut bahawa ini adalah amalan yang dilakukan oleh Ulama Al-Azhar setiap sesi permulaan pengajian sesebuah kitab. Mereka akan membacakan sanad masing-masing yang sampai kepada pengarang kitab tersebut hingga kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

[ Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Ahmadi ]


No comments:

Post a Comment