Tuesday, February 28, 2023

CUAI & LALAI AKAN PERKARA WAJIB

Dan di antara penyakitnya (jiwa) :

"Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan dan menyempurnakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu lansung tidak ambil peduli terhadap kelalaian dan kecuaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.

Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang tertuntut ke atas dirinya itu, sifat syukur di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam diri, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati & menjunjung perintah-Nya kepada maqam lalai & cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijab daripada dapat melihat kelemahannya, bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan & dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal ini adalah yang ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud ;

"Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan ia mempercayainya baik?" (Surah Fathir : 8)

RAWATANNYA ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati & teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada awliya Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan & kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini. Di samping Allah akan membukakan hijab untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah."

[ Petikan Risalah "Jiwa: Penyakit Dan Penawarnya {عيوب النفس ودواؤها}" karya Al-Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy; Tahqiq oleh Dr. Mohammad Al-Sayyid Al-Julainid. Diterbitkan oleh Mufti Negeri Sembilan ]


No comments:

Post a Comment