Tuesday, February 14, 2023

BAHAYANYA TIPU DAYA SUFI PALSU

Al-Hafiz Abu Nu'aim رحمة الله تعالى menuliskan sebuah karya besar tentang biografi kaum sejati dengan ajaran-ajarannya yang berjudul Hilayah al-Auliya' Fi Tabaqat al-Asfiya'. Hal ini sebagaimana diucapkan oleh beliau sendiri di permulaan kitab tersebut bahawa yang mendorongnya menulis kitab ini adalah untuk membezakan antara kaum sufi sejati dengan kaum sufi palsu. Bahkan ungkapan-ungkapan al-Hafiz Abu Nu'aim dalam menyerang kaum sufi palsu cukup keras.

Beliau menamakan mereka sebagai orang pemalas, kerana tidak kurang daripada mereka ialah orang mulhid berakidah hulul, ittihad atau kaum Ibahiyah (kaum yang menghalalkan segala sesuatu). Beliau juga mengatakan bahawa menyebutkan kesesatan-kesesatan kaum sufi palsu dan menghindarkan diri dari mereka merupakan satu kewajiban yang telah dibebankan oleh syariat atas setiap orang Muslim. Kerana hanya dengan demikian kemurniaan ajaran Islam dapat dijaga. Juga hanya dengan cara ini, orang yang soleh terdiri daripada para wali Allah dapat dielakkan di tempat yang selayaknya, dengan tidak mencampuradukkan antara mereka dengan kaum sufi palsu yang dikategorikan sebagai orang sesat.

Demikian juga Imam al-Qusyairi 
رحمة الله تعالى dengan kitab tasawuf unggulnya, al-Risalah al-Qusyairiyah, beliau mengatakan bahawa yang mendorongnya menulis kitab tersebut adalah untuk membezakan antara sifat-sifat kaum sufi sejati dengan kaum sufi palsu. Pada pembukaan kitabnya ini Imam al-Qusyairi menulis sebuah subjudul; "Dawafi' Ta'lif Hadhihi al-Risalah (Sebab-sebab yang mendorong dituliskan risalah ini)", bahawa salah satunya untuk tujuan tersebut.

Bahkan sebelum datang Imam al-Qusyairi, Imam Abu Nasr al-Sarraj 
رحمة الله تعالى dalam karya besarnya, al-Luma' telah menjelaskan bahawa kewujudan sufi palsu pada masa beliau hidup sudah mulai merebak dalam kalangan orang Islam. Tentang keadaan ini, dalam kitab al-Luma', Imam al-Sarraj berkata :

"Ketahuilah bahawa pada zaman kita ini banyak orang yang telah terjerumus dalam ilmu-ilmu kelompok ini (kaum sufi). Dan telah banyak pula orang yang mengaku-aku ahli tasawuf. Mereka seakan-akan dapat memberikan petunjuk kepada ilmu-ilmu tasawuf dan dapat menjawab segala permasalahan-permasalahan".

Setiap orang daripada mereka seakan-akan memiliki rujukan kitab bagi dirinya yang ia banggakan, atau memiliki perkataan-perkataan yang sudah sangat akrab dengan dirinya, padahal mereka sama sekali tidak memahami hakikat tasawuf tersebut. Padahal para ulama' sufi terdahulu (al-Sufiyah al-Muhaqqiqun) yang berbicara dalam masalah tasawuf ini dengan segala kandungan-kandungan bijak dalamnya, mereka hanya berbicara setelah melalui berbagai-bagai rintangan dalam menjalani tasawuf itu sendiri (Qat'u al-Ala-iq), mengalahkan berbagai-bagai kekangan hawa nafsu dengan mujahadah, riyadah dan sebagainya. Ertinya, mereka masuk dalam medan tasawuf setelah mereka benar-benar mengetahui ilmu-ilmu agama dan telah beramal dengannya.

Pada akhir-akhir ini tidak kurang orang yang mengaku sufi, merasa telah mendapat maqam tertentu, memakai pakaian kebesaran layaknya sufi sejati, melilit serban besar (Imamah) di atas kepala, memelihara janggut tebal dan panjang dengan warna putih walaupun warna tersebut berasal daripada bahan pewarna, mengaku dirinya sebagai mursyid tarekat, dan berbagai-bagai lagi tanda-tanda "asing" lainnya.

Tidak kurang juga daripada kalangan orang awam yang bising dengan penampilan seperti itu. Padahal mereka mungkin jauh lebih awam daripada kebanyakan orang awam. Tidak kurang juga daripada seperti itu yang tidak mengetahui Ilm al-Din al-Daruri, dan memiliki keyakinan rosak seperti keyakinan hulul. Jangan hairan jika mereka tidak mengetahui hal-hal yang asas seperti perkara yang membatalkan wudhu', rukun-rukun solat, tidak mengetahui riba', tidak mengetahui hal-hal yang diwajibkan atau diharamkan oleh syariat, dan hal-hal pokok lainnya. Kerana orang seperti mereka ini hanya bertujuan meraih populariti dan kesenangan. Dan tasawuf ialah alat yang sangat relevan untuk mereka jadikan kenderaan dalam mengelabui orang awam.

Orang-orang sufi palsu seperti inilah yang wajib kita jauhi dan perangi kerana kerosakan yang ditimbulkan oleh mereka boleh memberi impak lebih besar daripada kerosakan yang ditimbulkan oleh orang kafir, seperti Yahudi dan Nasrani. Orang sufi besar terdahulu, seperti Imam al-Qusyairi, latar belakang mereka menulis kitab-kitab tentang tasawuf tidak lain hanya untuk membezakan antara kaum sufi sejati dengan kaum sufi palsu, sekali gus memerangi "sufi-sufi" perosak tersebut. Demikian juga yang dilakukan oleh al-Hafiz Abu Nu'aim ketika beliau menulis kitab fenomenalnya yang berjilid-jilid, Hilayah al-Auliya' Fi Tabaqat al-Asifya', tidak lain hanya untuk membezakan antara kaum sufi sejati dan kaum sufi palsu.

Sungguh menyedihkan keadaan mereka. Mereka telah bersusah payah menahan segala kenikmatan di dunia, tetapi tidak mampu memetik hasil dari jerih payahnya itu, kerana apa yang mereka lakukan adalah sia-sia belaka. Sementara di akhirat mereka pun akan mendapat hukuman, siksa di dalam api neraka untuk selama-lamanya kerana tidak mengikuti petunjuk yang benar.

Bagaimana dengan orang-orang yang beriman, tetapi kemudian yang tersesat jalan? Mungkin pada awalnya mereka melangkah di jalan yang benar atau berniat baik untuk tujuan Sufi. Tetapi tidak mustahil, mereka boleh tertipu dalam perjalanan kesufiannya itu, kerana terpengaruh oleh hawa nafsu.

Nafsu yang akan ditentangnya ternyata berbalik muka menjadi gejala yang menentangnya. Orang yang menentang hawa nafsu itu bertujuan menghadapkan wajahnya kepada Tuhan yang dicari-Nya agar dikenali-Nya. Perlakuannya di dalam kesufian itu bukanlah bertujuan untuk mencari pangkat atau memperoleh pujian dan nama dalam masyarakat pengikutnya.

Apabila dilihatnya dirinya dihormati, para pengikutnya berkerumun mengelilinginya, dan terharulah hatinya, ia sangat senang dengan keadaan ini. Padahal, inilah penyakit, yang dalam istilah kesufian disebut Istidraj, yakni perkara-perkara yang datang sebagai cobaan dan ujian kepada seorang Sufi.

Orang yang semacam ini, memang syaitan senang sekali berdampingan dengannya. Dia malah lebih senang menyandarkan dirinya dengan Sufi palsu ini daripada orang yang bodoh dari liku-liku urusan agamanya. Memang mudah orang yang ‘bodoh’ itu dapat dipengaruhi dan diperdayakan oleh syaitan, tetapi hasilnya hanya seorang saja. Berbanding dengan Sufi palsu ini, dia mempunyai pengikut yang banyak, kalau dapat diperdayakan syaitan satu orang Sufi, maka Sufi itu dapat menghantar perdayaan itu kepada semua pengikutnya, kecuali orang yang diselamatkan Allah.

Syaitan akan berbisik kepada si Sufi palsu itu: Engkau seorang besar! Pengaruhmu sungguh mengagumkan! Sebab para pengikutmu banyak sekali, kerana itu engkau jangan bimbang! Mereka tidak akan menyia-nyiakanmu. Engkaulah orang Sufi yang benar! Engkau wali, dan bukankah wali itu orang kesayangan Tuhan! Apa pedulimu kepada orang-orang bodoh yang merendahkan derajatmu. Mereka itu tidak mengerti. Masih jahil. Jahil murakkab. Engkau begini, dan begitu, dan seterusnya. Bisikan itu tidak ada akhirnya. Diberikan kepadanya lintasan-lintasan hati yang semuanya palsu dan keliru, sedang dia termakan semua umpan yang dipasangkan di dalam perangkapnya.

Itulah dia Istidraj yang selalu menimpa orang yang mengangan-angankan diri menjadi Sufi sebelum waktunya. llham yang diterimanya bukan ilham dari Allah سبحانه وتعالى, tetapi ilham dari syaitan, sedang dirinya tidak tahu.

Orang Sufi palsu ini sungguh berbahaya kepada umat Islam. Dia lebih berbahaya daripada sang Sufi sesat, yang perjalanannya benar, tetapi kepercayaannya salah dan sesat. Sebab orang Sufi sesat itu, semua orang Islam telah mengenalinya dan mudah dikenali. Namun sang Sufi palsu itu akan membawa kekeliruan kepada khalayak yang tidak mengerti, atau orang yang mudah terpengaruh dengan hal-hal yang tidak asli atau tiruan. Lalu bukan saja dia yang sesat, malah dia akan menyesatkan banyak orang yang tidak berdosa, hanya salahnya kerana terpengaruh dengan yang salah yang digambarkan sebagai benar.

Wallahualam.

[ Sumber: "Kitab Indahnya Tasawwuf Dan Hidup Sufi" ]


No comments:

Post a Comment