Friday, August 23, 2019

JANGAN MEREMEHKAN KEBAIKAN KECIL

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Zar رضى الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda: "Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu."
(HR Muslim No 4760) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1. Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah

2. Berwajah ceria dan senyuman apabila bertemu sesama kita adalah antara amal kebaikan yang dituntut

3. Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4. Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.

5. Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar.


Wednesday, August 21, 2019

UJIAN adalah tarbiah dari Allah... Bersabarlah...

Ujian hadir berbagai bentuk...
Menjadi orang kaya juga suatu bentuk ujian...
Menjadi orang miskin juga suatu bentuk ujian...

Usia muda bukan syarat Allah tidak beri ujian... Bila melangkah usia dewasa, Allah beri lagi ujian yang lebih hebat. Adakala ujian buat kita semakin jauh dari Allah, adakala ujian buat kita semakin dekat kepada Allah. Semuanya untuk menguji tahap keimanan seseorang muslim. Allah menguji adakah betul kita percaya kepada Allah, percaya kepada qada' dan qadar? Orang yang berputus asa amatlah jauh dirinya dari rahmat Allah. Maka bersyukurlah saat diuji. Boleh jadi ujian itu menghapus dosa yang lalu, boleh jadi ujian itu memberi pengajaran untuk masa hadapan.


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوٓا أَنْ يَقُولُوٓا ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [QS. Al-Ankabut: Ayat 2]

Orang yang beriman adalah orang yang redha dengan ujian Allah. Melaluinya dengan hati yang ikhlas.


MENCARI GURU MURSYID - Pesanan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani

Pesan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani قدس الله سره

"Jika ingin mencari guru yang mursyid yang dapat membimbing perjalanan kerohanian dan memasuki maqam tauhid :

Bangunlah pada sepertiga malam, lakukan solat dua rakaat dan berdoalah seperti berikut :


"Ya Tuhanku..! Tunjukkanlah kepadaku hamba-hambaMu yang soleh. Tunjukkanlah kepadaku orang-orang yang mampu membimbingku kepada Engkau, iaitu orang-orang yang memberi makan kepadaku dengan makanan Engkau, yang memberi minum dengan minuman Engkau, memberi celak mata kedekatanku dengan cahaya kedekatan Engkau dan memberi tahu kepadaku akan sesuatu yang sudah dilihatnya dengan nyata, bukan dengan sekadar taklid atau ikut-ikutan. "

"Ya Allah, tunjukkanlah aku kepada seorang hamba daripada hamba-hambaMu yang soleh untuk menyampaikan aku kepada keredhaanMu dan memperkenalkan aku jalan menuju keredhaan itu."



AHLI IBADAH YANG RUGI

Ada seorang ahli ibadah bernama Abu bin Hasyim yang kuat sekali tahajudnya. Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah gagal melakukan solat tahajud.

Pada suatu ketika saat hendak mengambil wudhu' untuk tahajud,
Abu dikejutkan oleh keberadaan sesosok makhluk yang duduk di bibir telaganya.

Abu pun bertanya:

“Wahai hamba Allah, siapakah engkau....???”

Sambil tersenyum, sosok itu berkata:

“Aku Malaikat utusan Allah.”

Abu Bin Hasyim terkejut sekaligus bangga kerana kedatangan tamu malaikat mulia.

Dia lalu bertanya:

“Apa yang sedang kamu lakukan di sini....??????”

Malaikat itu menjawab:

“Aku disuruh mencari hamba pencinta Allah.”

Melihat Malaikat itu memegang kitab tebal, Abu lalu bertanya lagi:

“Wahai Malaikat, buku apakah yang kau bawa.....?????”

Malaikat menjawab:

“Ini adalah kumpulan nama hamba-hamba pencinta Allah.”

Mendengar jawapan Malaikat, Abu bin Hasyim berharap dalam hati
namanya ada di situ. Maka ditanyalah Malaikat itu.

“Wahai Malaikat, adakah namaku di situ....?????”

Abu sangat yakin bahawa namanya ada di buku itu, kerana mengingat amalan ibadahnya yang tidak kenal putusnya. Selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdoa dan bermunajat pada Allâh سبحانه وتعالی di sepertiga malam.

“Baiklah, aku buka,”

Kata Malaikat sambil membuka kitab besarnya. Dan, ternyata Malaikat itu tidak menemui nama Abu di dalamnya. Tidak percaya, Abu bin Hasyim meminta Malaikat mencarinya sekali lagi.

“Betul … namamu tidak ada di dalam buku ini...!!!!”
Kata Malaikat.

Abu bin Hasyim pun gementar dan jatuh tersungkur di depan Malaikat.
Dia menangis dengan teruk sekali dan semahu-mahunya.

Selepas terhenti tangis sendunya, Abu berkata:

“Rugi sekali diriku yang selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan bermunajat tetapi namaku tidak masuk dalam golongan para hamba pencinta Allah,” ratapnya.

Melihat itu, Malaikat berkata:

“Wahai Abu bin Hasyim.....!!!! Bukan aku tidak tahu engkau bangun setiap malam ketika yang lain tidur. Mengambil air wudhu' dan kedinginan pada saat orang lain terlelap dalam buaian malam. Tetapi ketahuilah tanganku dilarang Allâh menulis namamu.”

“Apakah yang menjadi penyebabnya???”
Tanya Abu bin Hasyim.

“Engkau memang bermunajat kepada Allâh, tapi engkau pamerkan dengan rasa bangga ke mana-mana dan asyik beribadah memikirkan hal dirimu sendiri sedangkan di kanan kirimu ada orang sakit atau lapar, tidak engkau tengok dan beri makan. Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba Pencinta Allah kalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allâh...???” ...kata Malaikat itu.

Abu bin Hasyim seperti disambar petir bila mendengar penjelasan malaikat itu. Dia baru tersedar bahawa hubungan ibadah manusia tidaklah hanya kepada Allâh semata (hablumminAllâh), tetapi juga sesama manusia (hablumminannâs) dan alam.



Gambaran Orang Sombong Di Akhirat


عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari Nabi ﷺ bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal." (HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan


Pengajaran:

1. Sombong adalah sifat syaitan yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan Nabi Adam.

2. Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

3. Orang sombong akan diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas.

4. Orang yang sombong akan diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.


Tuesday, August 20, 2019

SANGKAAN TERHADAP REZEKI

"Jangan Engkau menyangka bahawa rezeki itu akan datang dengan kekuatan, atau dengan banyaknya sesuatu benda, atau dengan kebijaksanaan dan kepandaian. Namun REZEKI itu adalah mutlak dalam penguasaan Allah, Allah yang mengurniakan rezeki kepada orang yang buta, yang bisu, yang Islam dan yang Kafir."

Maka apakah kau mampu mendatangkan rezeki dengan kekuatan dan kadar diri kau sendiri. Sungguh tidak sama sekali. Berapa banyak pun usaha yang kau lakukan, namun jika sudah ditakdirkan kadar rezeki kau sebanyak itu, maka usaha dan cerdik kau tidak akan mengubah kadar yang akan kau perolehi.

Cuba kita renungkan ayat Al Quran ini:


قال تعالى : (وفي السماء رزقكم وما توعدون)


"Dan di langitlah rezeki kalian dan apa yang telah dijanjikan..."



As Syarif As Syeikh Yusuf Al Bakhour Al Hasani Hafizahullahu taala selalu menyebut tentang ayat ini kata beliau: "Sedarlah anakku, bahawa usaha yang engkau lakukan di muka bumi, tapi rezeki yang Allah janjikan itu dari alam langit. Kenapa tidak Allah sebutkan rezekimu itu di tempat kamu usahakan dan sebagainya.

Jawapannya "Kerana Allah Pemberi Mutlak Rezeki yang kamu usahakan, maka berserah kepada Allah dan berusahalah."

Dahulukan penyerahan sebelum usaha. Kerana apabila penyerahan sudah sempurna, maka Allah akan gerakkan dirimu sesuai dengan apa yang dikehedaki-NYA dan diredhai-NYA.



HIKMAH DUDUK BERSAMA ORANG SOLEH

Al Imam Al Arif Billah Ahmad bin Zain Al Habsyi رحمة الله تعالى mengatakan :

“Kefahaman adalah cahaya yang menyinari hati. Ia tidak diberikan kecuali kepada orang yang duduk bersama orang-orang shaleh atau mempelajari kitab-kitab mereka.”

Beliau juga berkata :

“Duduk bersama orang-orang soleh lebih bermanfaat bagi seorang hamba daripada seratus kali (atau beliau menyebut seribu) uzlah (menyepi untuk ibadah).”

“Terkadang duduk bersama satu orang (yang soleh) lebih bermanfaat bagi seseorang daripada duduk bersama tujuh puluh ribu orang.”



Friday, August 16, 2019

Faktor Kekaburan Ilmu Tasawwuf di Malaysia

SELOK belok ilmu tasawuf kabur dan tidak difahami dengan baik oleh ramai kalangan Muslim di Malaysia. Ia terjadi disebabkan oleh beberapa faktor yang menyumbang ke arah tersebut. Tidak sama dengan ilmu tauhid dan fikah yang diberi ruang dan pendedahan dalam kehidupan harian masyarakat, ilmu tasawuf - sekali pun ia juga merupakan antara komponen utama dalam keseluruhan ajaran Islam - agak tersisih dan tidak diberi pendedahan yang sewajarnya.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor utama yang menjadi penyebab mengapa disiplin ilmu tasawuf menjadi terpinggir, sehingga tidak difahami dengan baik oleh kalangan masyarakat Islam di Malaysia.


1. Disiplin ilmu tasawuf tidak dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam yang diajarkan kepada para pelajar Muslim dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.


Ia termasuk silibus khusus untuk sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama yang ada di seluruh negara.

Perkara sama juga berlaku kepada silibus untuk aliran sekolah agama-Arab yang kebanyakannya dikelolakan oleh majlis-majlis atau jabatan-jabatan agama negeri dan sekolah-sekolah agama rakyat.

Peringkat menengah atas iaitu tingkatan enam, juga tiada mata pelajaran ilmu tasawuf. Silibus peringkat ini hanya memberi tumpuan kepada akhlak yang langsung tidak dikaitkan dengan ilmu tasawuf.

Hanya peringkat pengajian di universiti, barulah mata pelajaran ini diperkenal. Itu pun untuk kalangan pelajar yang mengkhususkan dalam bidang pengajian Islam.

Kalangan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat universiti terhad bilangannya, di samping pelajar yang membuat pengkhususan dalam bidang pengajian Islam pula hanya sebilangan kecil sahaja. Maka, jelaslah bahawa pendedahan ilmu ini menerusi pengajian formal kepada warga Muslim Malaysia sememangnya amat terhad sekali.

Pengajian tidak formal yang diadakan di masjid dan surau, seperti dapatan daripada kajian di Kelantan juga tidak memasukkan ilmu tasawuf dan tarekat sebagai antara mata pelajaran yang diajar.

Apa yang diajar hanyalah aspek akhlak yang langsung tidak dihubungkan dengan disiplin tasawuf. Alasan yang diberikan ialah kerana isi kandungan asasi ilmu tasawuf agak tinggi dan mendalam, dengan itu ia dikatakan tidak sesuai untuk golongan awam dan kalangan remaja.


2. Faktor kaitan disiplin ilmu tasawuf dengan permasalahan ajaran sesat di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Malaysia dalam menangani permasalahan akidah umat Islam, boleh disimpulkan bahawa disiplin kerohanian Islam atau ilmu tasawuf termasuk juga tarekat dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh golongan yang terlibat dalam kancah ajaran sesat.

Dengan gaya anyaman yang cukup seni dan halus, disiplin tasawuf dan tarekat dimanipulasi dan dieksploitasi secara menyeleweng untuk kepentingan jahat ajaran sesat berkenaan.

Prof. Dr. Abdulfatah Ibrahim di dalam bukunya, Beberapa Masalah Utama Dalam Tasawuf’ menulis bahawa apabila disebut sahaja ajaran sesat, biasanya telunjuk mengarahkan kepada tarekat-tasawuf.

Ungkapan tersebut menggambarkan betapa dalamnya keterlibatan ilmu tasawuf dan tarekat dalam keseluruhan kerangka ajaran sesat. Ia sudah bagaikan sesuatu yang teranyam rapi lalu menjadi semacam sinonim.


3. Merujuk kepada gerakan Salafi-Wahabi yang menolak disiplin ilmu tasawuf sebagai disiplin ilmu yang sah dalam Islam.

Pegangan golongan ini dipromosi dalam pelbagai ceramah dan seminar yang kemudiannya dimuatkan ke dalam media sosial untuk sebaran kepada khalayak Muslim.

Mereka juga menulis buku untuk menjelaskan sikap mereka mengenai ilmu tasawuf seperti yang dilakukan, misalnya oleh Rasul Dahari yang menulis buku, ‘Bahaya Tarekat/Tasawuf Terhadap Masyarakat.’

Buku ini secara terangan menyatakan bahawa disiplin ilmu tasawuf dan tarekat sebagai ilmu yang bertentangan dengan syarak dan mesti ditolak oleh orang yang memiliki akal fikiran waras.

Walaupun hujahan Rasul Dahari disangkal secara ilmiah menerusi analisis cukup menarik dan meyakinkan oleh Nordi Achie seperti yang termuat dalam bukunya, Fitnah Sufi: Fatamorgana Tasawuf, Fenomena Tarekat’, namun tidak semua ahli masyarakat berpeluang membaca sanggahan yang dibuat misalnya oleh Nordi Achie tersebut.


KESIMPULAN

Adalah jelas bahawa ketiga-tiga faktor utama yang dihuraikan di atas memberikan sumbangan cukup bermakna kepada berlakunya ketidakfahaman dan kekaburan tentang selok belok ilmu tasawuf kepada sebahagian besar umat Islam di Malaysia.

Sumbangan ketiga-tiga faktor utama itu seolah-olahnya dapat digambarkan bahawa pada satu pihak pengajaran pendidikan Islam di sekolah tidak mendedahkan ilmu berkenaan sebagai sebahagian daripada silibus, sedangkan di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat pula tidak juga didedahkan secara tidak formal, malahan ilmu tersebut pula ditanggapi bagaikan sejenis ilmu yang sinonim dengan ajaran sesat dan dipromosi sebagai bukan sebahagian daripada ilmu Islam.

Dalam keadaan sedemikian sudah pastilah disiplin ilmu ini menjadi jauh terpinggir dan tidak menjadi sebahagian daripada kandungan keilmuan agama yang dimiliki dalam kalangan ummah.

Dalam lain perkataan, istilah ilmu agama dalam konteks kefahaman umat Islam semasa di Malaysia, adalah tidak termasuk ilmu tasawuf dan tarekat.