Tuesday, February 14, 2023

PANDANGAN & SIKAP ORANG 'ARIF BILLAH

Mengenai sikap terhadap ahli maksiat dan kekufuran, maka sikap ahli tasawwuf/ma`rifat berbagai-bagai menurut tahap kearifan dan ehwal kerohanian yang mereka alami. Ini kerana seseorang `arif itu memandang dengan dua pandangan iaitu `ayn al-hikmah dan `ayn al-qudrah.

`Ayn al-hikmah bermaksud pandangan zahir/hukum syariat, manakala `ayn al-qudrah bermaksud pandangan batin iaitu takdir, rahmat, hikmah kebijaksanaan Tuhan dan sebagainya. Maka adakalanya pandangan rohani seseorang `arif itu cenderung kepada `ayn al-hikmah ini, maka sikapnya adalah menghukum, tegas, marah, benci (dari sudut-sudut yang dibenarkan) dan sebagainya. Namun adakalanya pandangan rohaninya cenderung kepada `ayn al-qudrah, maka sikapnya adalah pemaaf, mengharapkan hidayah, mendoakan kebaikan, membetulkan, meluruskan, menasihati dan sebagainya. Semua ini telah dipedomankan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم di mana Baginda pernah mendoakan hidayah kepada kaum yang menolak seruan malah mencederakan Baginda di Taif, dan Baginda juga pernah mendoakan (qunut) kebinasaan ke atas kaum Za`l dan Zaqwan.

Namun kelaziman/kebiasaan golongan `arif, lebih-lebih lagi yang mendalam ke`arifannya, cenderung kepada `ayn al-qudrah.

Adakalanya kepelbagaian sikap ini terjadi berasaskan hikmah syariat dan keadaan ahli maksiat/kekufuran tersebut. Ini berpedomankan kepada peristiwa yang terjadi di zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, di mana apabila seorang Arab Badwi yang datang ke Masjid Nabi صلى الله عليه وسلم, membuang air (kencing), maka para sahabat رضي الله عنهم marah dan ingin memukulnya, tetapi dilarang oleh Nabi صلى الله عليه وسلم.

Penelitian para alim ulama menjelaskan bahawa ini dilakukan kerana melihat kepada Arab Badwi tersebut yang baru masuk Islam dan kejahilan, dan juga bertujuan menolak kemudaratan yang lebih banyak/berat, serta mengajarkan cara menyelesaikan masalah tersebut (menyuci/membersihkan najis).

Berbeza dari kita yang tidak memandang dgn 'ayn al-hikmah, tidak pula dengan 'ayn al-qudrah, tapi memandang dengan 'ayn al-nafs al-ammarah bi al-su', pandangan nafsu buruk bersalut hukum/agama. Kerana itu pandangan/sikap kita penuh dengan kemarahan dan kebencian, bercampur kedengkian dan permusuhan secara total/mutlaq, sehingga kemarahan, kebencian dan permusuhan itu tetap tidak padam, walaupun orang berkenaan sudah berubah dan beralih arah, sampai kematian.

[ Ustaz Prof Madya Dr Abdul Manam Mohamad Hafidzohullah, Ahli Panel Tasawwuf JAKIM ]


No comments:

Post a Comment