Tuesday, February 14, 2023

Kesudahan Yang Baik

Ada sebuah kisah, di zaman ulama besar islam yakni Al-Imam Abu Yazid Al-Bustami قدس الله سره. Ada seorang pemuda yang kerjanya mencuri. Dia menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual.

Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan Imam Abu Yazid untuk menyatakan kekesalannya dan keinginannya untuk bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى.

Kemudian anak-anak murid Imam Abu yazid menanyakan adakah perkara-perkara aneh yang berlaku sepanjang kerjayanya sebagai pencuri di depan guru mereka Imam Abu Yazid.

Pemuda itu menjawab; "Sepanjang aku menggali dan membongkar kubur sebanyak seribu atau lebih kubur. Aku mengali untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat tujuh perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

"Pengalaman pertama, di satu kubur aku melihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi apabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telah pun membelakangkan kiblat. Kemudian pemuda itu bertanya kepada Imam Abu Yazid. Mengapa terjadi begitu, wahai Tuan Guru?" tanya pemuda itu.

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai anak muda, sebab terjadinya begitu kerana mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah سبحانه وتعالى sewaktu hidupnya. Mereka menduakan Allah. Lantaran itu Allah menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim dan golongan yang lain."

Kemudian pemuda itu berkata; "Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, aku melihat wajah mereka telah pun bertukar menjadi khinzir. Mengapa begitu halnya, wahai Tuan Guru?"

Maka jawab Imam Abu Yazid; "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solatnya, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain."

Kemudian pemuda itu menyambung lagi; "Wahai Tuan Guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, kulihat perutnya besar mengelembung, keluar pula ulat-ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu."

Maka jawab Imam; "Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram."

"Wahai Tuan Guru, golongan keempat, yang aku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam legam warnanya. Mengapa terjadi sebegitu, wahai Tuan Guru?"

Jawab Imam Abu Yazid itu; "Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai kedua ibu bapa mereka."

"Dan golongan yang kelima, kulihat, ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. Kenapa begitu wahai Tuan Guru?"

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Bukankah Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi tiga hari bukanlah termasuk dalam golongan umat Baginda."

"Kemudian pemuda itu berkata; "Wahai Guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, kulihat mayat tersebut terapung dan liang lahadnya dipenuhi air hitam legam kotor yang amat busuk baunya. Kenapa begitu?"

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sepanjang hayatnya."

"Kemudian pemuda itu berkata; "Wahai Guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai Tuan Guru?" tanya pemuda itu lagi.

Jawab Imam Abu Yazid; "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu sepanjang hayat mereka."

"Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah سبحانه وتعالى baik di dunia mahupun sesudah matinya mereka. Inilah yang dinamakan khusnul khotimah. Kesudahan yang baik. Moga-moga Allah سبحانه وتعالى mengurniakan pemberian yang amat berharga tersebut kepada kita."

[ Daripada Al-Habib Ali bin Abdurrahman Al-Jufri ]


No comments:

Post a Comment