Sunday, December 29, 2019

IKHLASKAN HATIMU DARI SELAIN ALLAH WALAUPUN PADA SANDARAN DUNIA DAN AKHIRATMU SEKALIPUN...


Secara bahasa, Ikhlas ertinya membersihkan (bersih, jernih, suci dari campuran dan pencemaran, baik berupa material ataupun non material). Adapun secara istilah iaitu : membersihkan hati supaya menuju kepada Allah semata, dengan kata lain dalam beribadah hati tidak boleh menuju kepada selain Allah.

Imam Abu Muhammad Sahl bin Abdullah al-Tustari رحمة الله تعالى berkata :

الإخلاص...أن تكون حركته وسكونه في سره وعلانيته لله تعالى وحده لا يمازجه شئ لا نفس ولا هوى ولا دنيا

"Ikhlas... adalah gerak dan diamnya dalam keadaan sendirian atau di hadapan orang lain hanyalah kerana Allah Ta'ala semata-mata, tidak bercampur sesuatupun, sama ada nafsu, keinginan mahupun tujuan keduniaan mahupun akhiratmu.”

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah." [Abu Daud dan An-Nasa'i]

Hakikat Ikhlas adalah Tauhid. Berdasarkan keterangan-keterangan Ulama 'Arif Billah yang mengetahui rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan, ikhlas membawa makna yang sangat murni terhadap kehambaan insan dan hakikat Tauhid. Ikhlas merupakan cabang utama Tauhid dan pintu masuk kepada Hadrat Ilahi. Tanpa ikhlas seseorang hamba (insan) tidak akan menemui hakikat ketuhanan. Bahkan tidak mungkin dia menjadi hamba Allah yang sempurna!


Tiga tingkatan Ikhlas orang Awam

Tingkatan Pertama :

Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tetapi pada masa yang sama mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan-kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah, segala macam makanan enak dan hiburan syurga.


Tingkatan ke 2 :

Melakukan solat (dan juga ibadah lain) dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan TIDAK mempunyai cita-cita di dalam hatinya (tiada menuntut hatinya) kepada syurga dan segala kesenangannya. Tetapi hamba ini melihat dirinya melakukan amal ibadah dari dirinya dan dengan dirinya (melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah).


Tingkatan ke 3 :

Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, TIDAK mempunyai cita-cita kepada kesenangan syurga, TIDAK melihat dirinya melakukan amal ibadah, tetapi dia merasakan dirinya sudah ikhlas.


Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk " ikhlas" ini adalah SAH, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai mukallaf) namun apabila di renungi pada sisi Tasawwuf / Ma'rifat, bentuk-bentuk ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada 'mempersekutukan' Allah. Ini kerana menuntut selain wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk 'penyekutuan' kepada Ketuhanan.


Firman Allah :

وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya..." [Al-Bayyinah: 5]


يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

"Pada hari yang tiada berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (daripada syirik)." [Asy-syuara : 88,89].


Kata Guru-guru kita Ahli Ma'rifat, inilah Tingkatan ikhlas permulaan bagi salikin, iaitu ikhlas pada peringkat mentauhidkan sekalian Af'al Allah. Pada peringkat ini suci lah hatinya daripada sekalian aghyar (selain Allah), bersih hatinya daripada sifat-sifat keji, dan bebas daripada syirik khafi.

Ketika hamba Allah melihat dirinya tiada daya upaya melakukan sesuatu melainkan dengan Kemurahan Allah swt semata-mata, dan tiada lagi cita-cita lain selain Allah ketika melakukan ibadahnya, maka inilah permulaan ikhlas yang benar, tanpa sedikit pun mempersekutukan Allah di dalam niatnya!

Jika anda melihat sebelum ini, orang-orang pada tingkatan awam tidak terlepas daripada mempersekutukan Allah di dalam niatnya, samada mempersekutukan kerana menuntut syurga atau kerana melihat dirinya mempunyai daya upaya. Di sini, pada diri orang yang telah di sucikan hatinya sehingga terbit Tauhid yang benar, tiada lagi cita-cita selain Allah, tiada lagi melihat dirinya mempunyai daya upaya melainkan hanya Allah Yang Berkuasa di atas setiap sesuatu. Dia melihat dirinya tidak mampu untuk berdiri melainkan dengan Anugerah Allah. Ini maqam permulaan kesucian hati, kesucian Tauhid dan kemurnian niat yang ikhlas

Pada saat anda di kurniakan oleh Allah cahaya Tauhid yang murni di dalam hati, anda tidak lagi memandang wujud upaya diri anda untuk melakukan ibadah. Anda lemah daripada mengakui wujud kemampuan diri untuk melakukan ibadah. Seluruh jiwa dan perasaan anda karam di dalam melihat anugerah Allah kepada anda untuk melakukan ibadah - untuk melakukan takbiratul ihram, ruku' dan sujud! Lalu anda berkata : Tidak ada daya upaya melainkan Allah!


Empat Tingkatan ikhlas para salikin yang kita maksudkan adalah :


1. Ikhlas ketika Cahaya Af'al Allah menguasai si salik.

2. Ikhlas ketika Cahaya Asma' Allah menguasai si salik.

3. Ikhlas ketika Cahaya Sifat Allah menguasai si salik .

4. Ikhlas ketika fana dari segalanya dan Dzat Allah سبحانه وتعالی yang mentajalli segalanya hingga tidak lagi merasa wujud dirinya.


Kata Sheikh Abdul Qadir al Jailani رضى الله عنه, ikhlas itu apabila tiada lagi memandang wujud dirinya dari dirinya dan dengan dirinya... sirna dan fana dari merasa berdiri dirinya dengan hakikat dirinya!


وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya,


Dari Tafsir Ibn Abbas, Kalam Allah "mukhlisin" (ikhlas) di tafsirkan oleh Ibn Abbas 
رضى الله عنه dengan makna " Tauhid" yang murni...!


No comments:

Post a Comment