Sunday, December 29, 2019

TANDA PEMBERIAN ALLAH


مَتَى أطْلَقَ لِسَانَكَ بِالطَّلَبِ، فَاعْلَمْ أنَّهُ يُرِيْدُ أنْ يُعْطِيَكَ

"Apabila Dia meringankan lidahmu untuk meminta (berdoa), ketahuilah bahawa Dia hendak menganugerahkan untukmu pemberian-Nya."


Hati yang mula kembali menghadap Allah akan dikurniai rasa seronok dan gembira dengan-Nya.

Di antara tanda keseronokan itu ialah dia akan suka berdoa dan meminta pada-Nya kerana ingin bermesra dan bermanja-manja dengan-Nya.

Justeru apabila Allah meringankan lidahmu duhai saudaraku untuk meminta dan memohon kepada-Nya maka ketahuilah bahawasanya Dia hendak mengurniakan sesuatu pemberian-Nya kepadamu.

Hal ini adalah kerana doa adalah sejumlah asbab yang dengannya Allah melunaskan keperluan para hamba-Nya. Ia seperti bertani, berniaga, berubat dan sebagainya.

Maka apabila Allah hendak mengurniakan kepadamu apa yang tertulis pada azali maka Dia akan menjadikan lisanmu ringan untuk meminta pada-Nya dan permintaan tersebut menjadi sebab penzahiran takdir itu yang hanya Allah mengetahui akan hikmahnya.

Oleh kerana doa adalah sebahagian dari asbab dan ia tidak memberi bekas dengan sendirinya melainkan dengan izin Allah, maka sayugia apabila makbul doa tersebut tiada engkau melihat ia adalah kerana doa dan permintaanmu.

Sebaliknya lihatlah ia adalah semata-mata takdir Allah yang sememangnya hendak dizahirkan dan doa menjadi sebab Dia mengizinkan ia dizahirkan.

Hal ini kerana jika engkau melihat ia disebabkan doamu semata-mata nanti akan terselit dihatimu kehebatan dirimu dan bahawa dirimu adalah hamba-Nya yang istimewa.

Sedangkan engkau hanyalah ibarat "anjing kurap" yang menagih simpati tuannya...

Berkata Ibnu 'Ajibah قدس الله سره : "Apabila Allah meringankan lidahmu untuk meminta kepada-Nya atau terlintas dalam hatimu akan suatu perkara yang engkau hajati maka ketahuilah bahawa Al-Haq hendak mengurniakannya kepadamu sesuatu keperluan oleh itu janganlah hendaknya engkau terlalu tamak dan gopoh kerana setiap sesuatu itu mempunyai ketetapannya. Sementara apabila lidahmu menzahirkan permintaan tanpa apa-apa sebab yang melatarinya maka sebaik-baik permintaanmu kepada Allah ialah keampunan dan kemaafan dari-Nya."

Sabda Rasulullah ﷺ :

. وفي الحلية لأبي نعيم عن أنس رضي الله عنه مرفوعا : ( ما أذن الله لعبد في الدعاء حتى أذن له بالإجابة ) انظر الفتح الكبير .

"Tiada diizinkan untuk seorang hamba itu berdoa melainkan sehingga dimustajabkannya."

Berkata Al Khaffaf رحمة الله تعالى : "Bagaimana mungkin Allah tidak mengkabulkan doa hamba-Nya sedangkan Dia suka mendengar suara hamba-Nya; jika tidak nescaya tiada diizinkan untuk hamba-Nya berdoa."


No comments:

Post a Comment