Thursday, December 26, 2019

PINTU-PINTU MASUK SYAITAN KE DALAM HATI


Antara pintu-pintu besar syaitan masuk ke qalbu kita ialah kenyang. Hal ini kerana kenyang itu menguatkan nafsu syahwat sedangkan nafsu syahwat itu ialah senjata syaitan.

Antara kecelaan banyak makan ialah :

1) Mengurangkan dan menghilangkan rasa takut akan Allah. Orang yang asyik kenyang kan biasanya akan berasa selesa di mana-mana. Oleh itu, orang yang asyik kenyang biasanya banyak lupa akan Allah.

2) Mengurangkan dan menghilangkan rasa belas kasihan kepada orang lain (khususnya orang susah) kerana apabila kita kenyang, kita terdorong untuk merasakan yang orang lain juga sedang kenyang. Kerisauan kita terhadap laparnya orang lain jadi berkurangan.

3) Membuatkan hati dan tubuh badan kita berasa berat dan malas untuk melakukan amal.

4) Hati menjadi kurang cekap untuk memaham pengajaran dan hikmah.

5) Pengajaarn dan hikmah yang disampaikan oleh orang yang kenyang pun biasanya kurang berkesan terhadap orang lain.

6) Mendatangkan penyakit.


Pintu syaitan yang lain untuk masuk ke hati kita ialah kegemaran dan keterujaan kita terhadap perhiasan diri, pakaian, kenderaan, rumah dan sebagainya. Apabila kehendak-kehendak ini kuat, nescaya seolah-olah syaitan itu bertelur dan menetas di dalam hati itu. Lalu sentiasalah syaitan itu mengajak-ajak manusia itu untuk melayan kehendak-kehendak dalam hal ehwal hiasan.

Pintu besar syaitan yang lain ialah membodek. Membodek itu berlaku apabila kita suka berbuat-buat sangat baik terhadap seseorang kerana kita terlalu mengharapkan sesuatu daripadanya. Banyaklah lakonan dan kepuran-puraan yang kita lakukan.

Pintu lainnya ialah bersikap terburu-buru yakni kelam kabut yang tidak kena dengan tempatnya.

Pintu lainnya ialah wang dan harta benda kekayaan termasuklah haiwan ternakan, tanah, bangunan dan sebagainya.

Pintu lainnya ialah kedekut (kikir) dan takut miskin.

Pintu lainnya ialah fanatik (taksub) terhadap seseorang atau sesuatu.

Pintu lainnya ialah perbuatan membawa orang awam yang tiada asas agama yang memadai kepada berfirkir tentang Zat Allah, sifat-sifatNya dan hal-hal yang tinggi-tinggi.

Pintu lainnya ialah suka berburuk sangka. Suka menuduh dan mengumpat.


Begitulah antara pintu-pintu masuknya syaitan ke dalam hati kita. Banyak lagi pintu-pintu yang lain. Ringkasnya, pintu-pintu ini mestilah kita tutup rapat-rapat.



No comments:

Post a Comment