Tuesday, December 24, 2019

TAKABBUR : Kisah Imam Abu 'Abdullah al-Andalusi رحمة الله تعالى


Imam Abu 'Abdullah رحمة الله تعالى merupakan Syeikh ul-Masyaikh (guru kepada para syeikh) dan berada dalam kalangan wali Allah yang besar di Andalus (Sepanyol). Ribuan tempat suluk menjadi begitu makmur di bawah bimbingan beliau, ribuan madrasah berjalan dengan tunjuk ajar beliau dan beliau mempunyai ribuan anak murid sehingga diberitahu bahawa anak murid beliau mencecah dua belas ribu orang.

Sekali, beliau telah keluar bermusafir. Ribuan para masyaikh dan ulama menyertai beliau termasuk Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam Syibli.

Imam Syibli menceritakan, "Kafilah kami bergerak dengan penuh keberkatan sehingga kami melalui satu perkampungan orang Kristian. Ketika itu, waktu solat sudah hampir habis. Kami tidak menemui air di dalam kampung itu. Di luar kampung tersebut ada sebuah perigi yang beberapa orang gadis mengambil air darinya. Imam Abu 'Abdullah telah terpandang salah seorang gadis tersebut. Selepas terpandang akan gadis tersebut, Imam Abu 'Abdullah telah berubah serta-merta.

Selepas beliau bercakap-cakap dengan gadis itu, beliau menundukkan kepalanya lalu duduk. Selama tiga hari penuh berlalu, beliau tidak makan, tidak minum dan tidak bercakap dengan sesiapa. Semua khadim beliau berasa bimbang dengan keadaan diri beliau. Selepas tiga hari, saya memberanikan diri untuk berbicara dengan beliau. Saya berkata, "Wahai Tuan Imam, ribuan murid tuan berasa bimbang melihat keadaan tuan."

Lalu Imam Abu 'Abdullah pun berkata kepada murid-muridnya, "Wahai sahabat-sahabatku, sampai bila aku akan merahsiakan keadaan aku ini kepada kamu semua? Gadis yang telah aku lihat kelmarin, kecintaan kepadanya telah menguasai diriku sehinggakan seluruh anggota badan aku telah dikuasainya. Sekarang, dalam apa-apa keadaan pun, tidak mungkin aku akan meninggalkan tempat ini."

"Tuan Imam, tuan merupakan Imam dan mursyid besar kepada penduduk Iraq. Keilmuan, kehebatan, kezuhudan dan ibadah tuan tersebar ke segenap pelosok Iraq. Para murid tuan melebihi dua belas ribu orang. Dengan perantaraan al-Quran yang mulia, janganlah tuan hampakan kami semua."

Imam Abu 'Abdullah telah berkata, "Wahai anak muridku yang dikasihi, nasibku dan nasibmu telah ditetapkan dalam takdir Tuhan. Pakaian kewalian telah ditanggalkan daripadaku dan tanda-tanda hidayah telah dilenyapkan daripadaku." Beliau telah mengucapkan perkataan ini lalu menangis sambil berkata lagi, "Wahai kaumku, qada' dan qadar telah terlaksana. Sekarang urusan ini bukan lagi dalam tanganku." Kami benar-benar terkejut dengan peristiwa ini dan kami mulai menangis kerana kehampaan dan kekecewaan. Imam Abu 'Abdullah juga turut menangis bersama-sama dengan kami seumpama air banjir yang sangat deras.

Selepas itu, kami pun terpaksa pulang semula ke tanah air kami di Baghdad. Apabila kami menceritakan peristiwa ini kepada anak-anak murid beliau selepas pulang, keadaan menjadi riuh-rendah sehingga ada beberapa orang pada waktu itu juga telah meninggal dunia kerana terlalu sedih. Sementara yang lain pula berdoa merintih-rintih di hadapan Allah supaya Allah Zat yang mengubah hati, memberi hidayah dan mengembalikan Imam Abu 'Abdullah pada kedudukan yang tinggi semula. Selepas itu, semua tempat zikir beliau telah ditutup. Selama setahun kami senantiasa terkenangkan perpisahan dengan beliau.

Selepas setahun berlalu, anak-anak murid Imam Abu 'Abdullah bercadang untuk bertemu dengan beliau dan melihat keadaan beliau setelah berpisah agak lama. Maka, sekumpulan murid Imam Abu 'Abdullah telah pergi. Apabila mereka telah sampai di kampung tersebut, mereka bertanya kepada penduduk kampung tersebut mengenai Imam Abu 'Abdullah. Penduduk kampung telah memberitahu bahawa beliau sedang mengembala babi di dalam hutan.

Kami pun bertanya, "Semoga Allah melindungi dirinya, bagaimana keadaan ini boleh berlaku?" Lalu mereka memberitahu bahawa Imam Abu 'Abdullah telah meminang anak perempuan ketua mereka. Beliau telah bersetuju dengan syarat mesti menurut setiap perintah bakal mertuanya iaitu beliau dikehendaki untuk mengembala babi di dalam hutan. Mendengarkan hal ini, kami menjadi tergamam dan jantung kami bagaikan dikoyak-rabak kerana terlalu bersedih.

Tanpa disedari, air mata kami mengalir begitu deras. Dengan berat hati, kami pergi ke hutan tempat di mana Imam Abu 'Abdullah mengembala babi. Kami melihat beliau memakai topi nasrani dan di pinggang beliau terikat zunnar (iaitu sejenis kain yang diikat di badan orang kafir zimmi sebagai tanda mereka ialah kafir zimmi). Beliau sedang berdiri di hadapan babi sambil memegang tongkatnya yang suatu ketika dahulu digunakan untuk memberikan nasihat dan khutbah kepada kami. Melihatkan hal ini menambahkan Iagi kedukaan di hati kami.

Imam Abu 'Abdullah menundukkan kepala beliau apabila menyedari akan kedatangan kami. Kami menghampiri beliau lalu mengucapkan salam, beliau dengan suara yang agak tertahan menjawab salam kami. Setelah bertanya mengenai perkhabaran beliau, maka kami bertanya lagi, "Wahai tuan Imam, bagaimanakah keadaan sebegini boleh berlaku kepada tuan dalam keadaan tuan mempunyai ilmu dan kelebihan serta mengetahui tentang hadith dan tafsir?"

Beliau telah menjawab, "Wahai rakan-rakanku, saya tidak berada dalam kemampuan diri saya. Tuhanku telah bertindak terhadapku sepertimana yang Dia kehendaki. Selepas Dia menjadikan aku begitu hampir dengan-Nya, maka Dia juga mengkehendaki untuk melemparku jauh dari pintu-Nya, siapakah yang boleh menghalang ketentuan-Nya? Wahai teman-temanku, takutilah kemurkaan Tuhan yang tidak berhajat kepada sesiapa, jangan kamu terpedaya dengan ilmu dan kelebihan kamu."

Selepas menerangkan keadaan dirinya, beliau memandang ke langit lalu berkata, "Wahai Tuhanku, aku tidak pernah menyangka Kau akan menghina aku sebegini sehingga menghalau aku dari pintu-Mu." Imam Abu 'Abdullah berkata sedemikian lalu mulai berdoa sambil menangis. Kemudian beliau berkata, "Wahai Syibli, lihat dan ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku pada orang lain."

Saya (Imam Syibli) menangis lalu berdoa, "Wahai Tuhan yang memelihara kami, hanya kepada-Mu-lah kami meminta bantuan dan pertolongan dan hanya kepada-Mu-lah kami bergantung. Jauhkanlah kami daripada musibah ini kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh menjauhkannya selain daripada-Mu." Mendengarkan tangisan dan suara mereka yang sayu ini, segerombolan babi pun berkumpul berhampiran mereka dan mereka juga turut mulai menangis dan berbunyi. Di samping itu juga, Imam Abu 'Abdullah terus menangis teresak-esak.

Saya (Imam Syibli) bertanya lagi, "Wahai tuan Imam, tuan dahulunya seorang hafiz al-Quran dan boleh membaca tujuh qiraat. Adakah tuan masih boleh mengingati apa-apa mengenai ayat al-Quran?" lalu lmam Abu 'Abdullah menjawab "Wahai temanku, aku tidak boleh mengingati apa-apa mengenai ayat al-Quran melainkan hanya dua ayat sahaja. Ayat yang pertama ialah,

وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ ۥ مِنْ مُّكْرِمٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ

"... dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya."

[ Surah Al-Hajj 22 : 18 ]


Manakala ayat kedua pula ialah,

وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ السَّبِيلِ

"...Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus."

[ Surah Al-Baqarah 2 : 108 ]


Saya (Iman Syibli) bertanya lagi, "Wahai tuan Imam, dahulunya tuan boleh membaca tiga puluh ribu Hadith bersama sanadnya secara hafalan. Adakah tuan masih mengingatinya lagi?" Imam Abu 'Abdullah menjawab, "Hanya satu hadith yang masih aku ingat iaitu,

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

"Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia."
[ Hadith Sahih riwayat Bukhari ]


Melihatkan keadaan ini, kami meninggalkan beliau di sana dan pulang semula ke Baghdad.

Selepas melepasi tiga persinggahan dalam perjalanan, pada hari yang ketiga tiba-tiba kami melihat Imam Abu 'Abdullah di hadapan kami. Beliau telah mandi di sebatang sungai lalu keluar dan dengan suara yang kuat, beliau mengucapkan,

أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَــــهَ إِلَّا اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Ketika itu, kegembiraan kami yang amat sangat hanya boleh dibayangkan oleh sesiapa yang mengetahui betapa beratnya musibah yang menimpa kami sebelum ini. Selepas itu kami bertanya kepada beliau, "Adakah ada apa-apa sebab tuan diuji sebegini?"

Imam Abu 'Abdullah, menjawab, "Ya, sewaktu kita sampai di kampung orang Kristian tersebut dan kita melalui berhampiran sebuah rumah berhala dan gereja mereka, apabila melihat penyembah api dan penyembah salib yang sedang sibuk beribadah, maka timbul dalam hatiku sifat takabbur dan bangga, "Kami orang mukmin dan mentauhidkan Allah sedangkan orang ini amat malang!" Bagaimana mereka ini amat bodoh sehingga boleh menyembah benda-benda yang tidak mempunyai deria rasa?" Ketika itu juga aku telah diseru dengan satu suara ghaib, "Iman dan Tauhid ini bukan kesempurnaan daripadamu sendiri bahkan segalanya daripada taufiq Kami. Adakah kau menganggap Iman itu dalam ikhtiarmu? Kalau kau mahu, sekarang Kami boleh beritahu kepada kau!" Ketika itu juga aku merasai seolah-olah seekor burung keluar dari hatiku lalu ianya terbang dan secara hakikatnya yang keluar itu ialah Imanku."

[ Syeikhul-Hadith Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhalawi dalam Ummul Amradh ]

Sifat takabbur ini merupakan bala yang amat buruk sehinggakan sebesar-besar syeikh pun telah diuji sebegitu rupa.

Semoga Allah dengan kemurahan dan kurniaan-Nya menyelamatkan kita semua daripada musibah yang amat besar ini. Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...

No comments:

Post a Comment