Tuesday, September 18, 2012

Tasawwuf Dan Tariqat: Satu Pengenalan Dan Kepentingan Beramal Dengannya (1)


Salah satu aspek terpenting di dalam disiplin ilmu dan amalan tasawuf ialah amalan zikrullah dan wirid. Amalan ini sering menonjol di kalangan pengamal tareqat tasawuf. Zikir atau zikrullah merujuk kepada maksud mengingati Allah S.W.T. Di dalam amalan tareqat dan tasawuf zikrullah atau mengingat Allah S.W.T. itu dibantu dengan bermacam-macam ungkapan yang secara langsung atau tidak langsung membawa maksud mengingati Allah S.W.T.. Seperti dengan menyebut nama-nama Allah S.W.T., sifat-sifat-Nya, dan perbuatan-Nya.

Ahli tareqat dan tasawuf berkeyakinan bahawa seorang insan melalui amalan zikir akan menjadikan dirinya dapat merasakan lahir dan batinya dilihat oleh Allah S.W.T. dan segala urusan pekerjaannya diawasi oleh Allah S.W.T., perkataannya didengar oleh Allah S.W.T., manakala cita-cita dan niatnya pula tidak terlepas dari pengetahuan Allah S.W.T. Benarlah seperti apa yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis Jibril yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi di dalam Sunannya tentang situasi ini, antara lain menyatakan:

ما الإحسان : الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك
Bermaksud:

“Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Ihsan? Baginda bersabda: Ihsan itu ialah sesungguhnya engkau menyembah (mengabdi diri) kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Maka sesungguhnya jika engkau tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat kamu”

Di dalam amalan tareqat dan tasawuf, dengan amalan zikrullah seseorang akan mencapai makrifah kepada-Nya dan akan melahirkan dua sifat kepada pengamalnya; Pertama akan melahirkan sifat takwa manakala yang kedua akan melahirkan sifat mahabbah iaitu sifat cintakan kepada Allah S.W.T. Dengan sifat takwa seorang hamba akan menuruti segala perintah tuannya selaku Khalik, manakala sifat mahabbah pula akan melahirkan sifat cintakan kepada perbuatan yang disuruh oleh Allah S.W.T. selaku penciptanya.


Kebaikan Mengamalkan zikir dan Wirid

Seperti yang telah dijelaskan oleh al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang kebaikan-kebaikan yang diperolehi oleh seseorang yang melakukan zikir dan wirid. Antaranya Allah berfirman di dalam surah al-Ra’ad ayat  28 yang menerangkan keadaan tenteram yang diperolehi oleh orang yang berzikrullah. 


الذين ءامنوا وتطمئن قلونهم بذكر الله ألا بذكر الله تطمئن القلوب
Bermaksud
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia”


Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut, (dianugerahkan ketenangan dan ketenteraman di dalam hati mereka) adalah orang yang mengingati kalam-kalam Allah yang terkandung di dalam al-Quran al-Karim. Kalam Allah S.W.T. adalah mukjizat terbesar  yang tidak terdapat padanya sebarang kesalahan dan kesilapan. Oleh yang demikian adalah layak untuk al-Quran tersebut dijadikan sebagai zikir untuk memberikan ketenangan dan ketenteraman terhadap jiwa manusia. 

Kemudian Allah S.W.T di dalam ayat yang sama memberikan penekanan dan pengulangan bahawa hanya dengan berzikrullah kepada Allah S.W.T. sahaja satu-satunya jalan untuk mencapai ketenangan dangan ketenteraman  dalam hati. Tanpa zikir kepada Allah S.W.T. hati dan nafsu akan cenderung kepada dunia dan seisinya. Apabila  nafsu sudah bertapak di dalam hati maka sukarlah  bagi hati untuk mengingati Allah S.W.T.    
   
2-   Allah S.W.T. berfirman di dalam surah al-Syu’ara ayat 227 menyatakan:

إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وذكروا الله كثيرا وانتصروا من بعد ما ظلموا وسيعلم الذين ظلموا أى منقلب ينقلبون

Bermaksud
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri mereka sesudah mereka dianiya, Dan ingatlah, orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan dikembalikan”  


Dari keterangan dan pentafsiran ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan zikrullah di sini adalah merujuk kepada para penyair dan ahli sastera Arab yang mentauhid, memuji Allah S.W.T., menggalakkan agar sentiasa berbuat taat, berbuat hikmah, memberi nasihat, menggalakkan hidup dengan zuhud dan memberikan peringatan agar tidak cenderung kepada dunia, menggalakkan apa yang di sukai oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya s.a.w. di dalam syair-syair mereka. Keadaan ini dapat kita ambi kesimpulan bahawa setiap syair yang diciptakan oleh mereka yang menyentuh tentang perkara di atas adalah dikira oleh Allah S.W.T. sebagai zikrullah kepada-Nya.    

3-   Allah S.W.T. berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 191 yang antara lain menyatakan sebagai berikut:

الذين يذكرون الله قياما وقعودا وعلى جنوبهم ويتفكرون فى خلق السموت والأرض ربنا ما خلقت هذا بطلا سبحنك فقنا عذاب النار 

Bermaksud
“(iaitu)orang-orang yang menyebut dan mngingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkkan tentang kejadian langit dan bumi (seraya berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” 


Ayat di ats mengkhabarkan tentang amalan khusus bagi mereka yang bergelar ululalbab. Antara sifat-sifat mereka yang diberitahu oleh Allah S.W.T. di dalam ayat ini ialah sentiasa berzikrullah dan bermuraqabah kepada Allah S.W.T. Kedua-dua amalan tersebut akan membawa seseorang  sampai kepada hakikat tauhid rububiyyah dan hakikat tauhid uluhiyyah.Amalan ini juga akan melahirkan sifat kehambaan diri kepada Allah S.W.T. Keadaan ini dapat kita perhatikan dari ungkapan mereka yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T. sebagai berikut:

1)   Ungkapan ربنا ما خلقت هذا باطلا  yang membawa maksud: “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia” Ungkapan tersebut adalah lambing kepada pengakuan mereka terhadap hakikat tauhid rububiyyah Allah S.W.T.

2)   Sedang ungkapan  سبحنك   yang bermaksud: Maha Suci Engkau adalah lambing sampainya mereka kepada hakikat tauhid uluhiyyah Allah S.W.T.

3)   Manakala ucapan فقنا عذاب النار   yang bermaksud: Maka peliharalah kami dari azab neraka pula adalah sebagai  lambang kelemahan diri insan di hadapan Tuhannya. Kelemahan tersebut adalah lahir dari sifat-sifat kehambaan diri seperti sifat kekurangan, miskin,jahil, fakir,  dan sebagainya lagi sehingga terserlah pada diri mereka sifat-sifat yang melambangkan ketergantungan hati rohani mereka semata-mata kepada Allah S.W.T. Keadaan tersebut dapat kita perhatikan dari firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Kahfi: 39:

ولو لا إذ دخلت جنتك قلت مشآء الله لا قوة إلا بالله إن ترن أنا أقل منك مالا وولدا
Bermaksud:
“Dan mengapa kamu tidak mengucapkan ما شأء الله لاقوة إلا بالله " “ Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit dari padamu hal harta dan keturunan”


Oleh yang demikian,benarlah anggapan serta keyakinan para ahli tareqat bahawa amalan zikrullah dan muraqabah merupakan suatu amalan yang mempercepatkan sampai kepada Allah S.W.T. أقرب الطرق إلى الله) ) . 

Sebab itulah apabila Saidina ‘Ali bin Abi Talib k.w. memohon kepada Nabi s.a.w. supaya Baginda mengajarkan suatu amalan khusus yang mempercepatkan wusul ila Allah dan yang paling afdal, maka Nabi s.a.w. menjawab “Wajiblah ke atas kamu sentiasa berzikrullah di tempat-tempat yang sunyi”  

Oleh yang demikian antara aspek yang menonjol dan terpenting di dalam amalan tasawuf ialah zikrullah. Amalan zikrullah adalah bertujuan untuk mengembalikan manusia ke matlamat asal kejadiannya iaitu berubudiyah kepada Allah S.W.T.



Petikan dari Tulisan Dr Othman Napiah



No comments:

Post a Comment