Saturday, September 11, 2021

ADAB BERSAHABAT

Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali رحمة الله تعالى telah menyenaraikan adab-adab bersahabat di dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, antaranya :

1. Melebihkan sahabatnya itu dengan hartanya (apa yang dimiliki). Sepertimana dia berkehendakkan sesuatu kebaikan untuk dirinya, begitu jugalah yang dia harapkan buat sahabatnya (mendapat kebaikan yang sama).

2. Memberikan hartanya padahal dirinya berhajat kepada harta itu.

3. Menghulurkan bantuan kepada sahabatnya walaupun tanpa diminta.

4. Menyembunyikan akan rahsia sahabatnya.

5. Menutup aib sahabatnya.

6. Apabila terdengar celaan seseorang kepada sahabatnya, tidak disampaikan celaan tersebut kepada sahabatnya itu. Apabila diketahui sahabatnya dicela, maka janganlah ia sesekali mendengar celaan itu.

7. Apabila diketahui sahabatnya dipuji, maka hendaklah ia menyampaikan pujian tersebut kepada sahabatnya itu.

8. Hendaklah memberi perhatian kepada sahabatnya tatkala ia berbicara.

9. Menghindarkan diri dari berbantah-bantah dengan sahabatnya.

10. Apabila melihat kebajikan yang dibuat oleh sahabatnya, maka hendaklah ia memuji akan sahabatnya.

11. Menegah orang yang sedang mencela sahabatnya walaupun ketika ketiadaan sahabatnya.

12. Memberi nasihat dan teguran kepada sahabat apabila diminta.

13. Memaafkan segala kesalahan sahabatnya itu dan tidak mencacinya atas kesalahan yang telah dilakukan.

14. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada sahabat sama ada yang masih hidup atau telah mati.

15. Hendaklah membuat kebajikan kepada sahabatnya dan kepada keluarganya apabila dia telah meninggal dunia.

16. Tidak memberati akan sahabatnya itu daripada suatu hajatnya supaya senang hati sahabat itu dari kesusahan.

17. Mendahului memberi salam ketika berjumpa sahabatnya.

18. Memuliakan akan sahabatnya itu akan segenap hal kebaikan.

19. Apabila sahabatnya berkata, hendaklah dia mendengar sehingga selesai sahabatnya berkata, sesudah itu barulah dia berkata.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه berkata :
"Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu."


No comments:

Post a Comment