Thursday, July 23, 2020

DIALOG IMAM ABU HANIFAH رحمة الله تعالى DENGAN ATEIS


Sorotan menunjukkan bahawa golongan ateis telah masuk menyerang Islam sejak sekian lama. Malangnya, karya ulama ASWJ silam khusus berkaitan ateis tidak ditemui ataupun mungkin hilang sehingga tidak sampai ke tangan generasi hari ini. Kebanyakkan kisah mengenai penyelewengan golongan ateis dikutip secara berasingan daripada pelbagai kitab yang datang terkemudian. Sedangkan masalah ateis Muslim pada kurun ke-3 dan ke-4 Hijrah berada dalam keadaan yang merisaukan. Dalam hal ini, dialog yang berlaku (Imam) Abu Hanifah (m. 150H/ 772M) dengan golongan ateis merupakan salah satu kisah masyhur yang dirakamkan oleh ramai ulama Islam dengan lafaz cerita yang berbeza-beza.

Ketika (Imam) al-Razi dan (Imam) Ibn Kathir membahaskan ayat 21 surah al-Baqarah, mereka menukilkan sebuah kisah dialog Abu Hanifah dengan golongan ateis secara ringkas, yang mana ia diriwayatkan daripada (Imam) Malik. Kisah dialog Abu Hanifah sebegini turut dinukilkan dalam kitab jawi ulama Tanah Melayu. Abu Hanifah menceritakan bahawa terdapat seorang ilmuwan besar yang berfahaman ateis dan kafir dari bangsa Rom yang sering mengadakan perdebatan dengan ulama Islam pada ketika itu. Ramai ulama telah dikalahkan olehnya kecuali seorang, iaitu (Imam) Hammad bin Abi Sulayman, guru kepada Abu Hanifah. Walau masih kecil, gurunya meyakini Abu Hanifah dapat menggantikan tempatnya untuk berdialog dengan ateis tersebut.

Pada hari yang ditetapkan, manusia berkumpul di masjid, maka orang ateis itu naik ke atas mimbar dan ingin mengadakan perdebatan dengan ulama Islam. Katanya: "Siapakah yang akan menjawab soalan-soalanku?" Abu Hanifah lantas bangun dan menjawab: "Nyatakan soalan kamu. Orang yang mengetahuinya akan menjawab." Ateis itu bertanya: "Siapakah engkau ini wahai kanak-kanak? Engkau bercakap kepadaku sedangkan orang-orang yang mempunyai kemegahan dan orang-orang yang tua, berserban besar, berpakaian jubah labuh dan berlengan baju yang luas tidak berupaya menandingiku. Inikan pula engkau seorang yang masih kecil, mentah dan hina?." Abu Hanifah menjawab: "Allah SWT tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Dia memberikannya kepada para ulama." Kemudian beliau membaca ayat 11 surah al-Mujadalah.

Ateis tersebut terus bertanya: "Apakah Allah itu wujud?" Abu Hanifah menjawab: "Ya." Ateis bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah menjawab: "Allah tidak bertempat." Ateis bertanya: "Bagaimana yang wujud itu tiada tempat" Abu Hanifah menjawab: "Dalilnya ada pada diri kamu sendiri." Ateis bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah bertanya semula: "Bukankah kamu ada nyawa?" Ateis menjawab; "Ya, memang." Abu Hanifah bertanya: "Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau diperut kamukah? Atau di kaki kamukah?" Ateis tersebut tercengang dan tidak tahu menjawab soalan tersebut. Kemudian Abu Hanifah terus bertanya: "Bukankah air susu itu mempunyai minyaknya?" Ateis menjawab: "Ya."Abu Hanifah bertanya: "Di manakah tempat minyak itu di dalam susu? Di sebelah atas susu atau di sebelah bawahnya?" Sekali lagi ateis tersebut tidak mampu menjawab soalan Abu Hanifah.

Abu Hanifah berkata: "Sepertimana roh itu tiada tempat di tubuh badan dan minyak tidak bertempat di dalam susu, maka begitu jugalah Allah SWT tidak bertempat di alam buana ini." Ateis bertanya lagi: "Apa yang ada sebelum Allah dan apa pula selepas-Nya." Abu Hanifah menjawab: "Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesuatu selepas-Nya." Ateis berkata: "Betapa dapat digambarkan sesuatu yang wujud itu tiada sesuatu mendahuluinya dan tiada sesuatu selepasnya?" Abu Hanifah menjawab: "Dalilnya ada pada anggota badanmu sendiri." Ateis bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah menjawab: "Tiada sesuatu pun mendahului ibujari tanganmu, dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. Begitu jugalah dengan Allah SWT Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya." Ateis itu berkata lagi: "Tinggal satu soalan lagi yang mahu aku kemukakan kepadamu."Abu Hanifah menjawab: " Kemukankanlah, insya-Allah aku akan menjawabnya." Ateis itu segera bertanya: "Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang ini?"Abu Hanifah menjawab: "Cara engkau ini tidak kena. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di atas mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan jawab pertanyaanmu jika aku berada di atas mimbar dan engkau turun ke bawah." Ateis itu pun turun dan Abu Hanifah pun naik ke atas mimbar tersebut. Setelah duduk, ateis itu mengemukakan semula soalan tadi dan lantas dijawab oleh Abu Hanifah: "Inilah yang Allah SWT sedang lakukan sekarang. Dia menggugurkan yang batil seperti kamu daripada atas ke bawah, dan Dia menaikkan yang benar sepertiku daripada bawah ke atas." Ateis itu tidak mampu menjawab dan tewas.

Sebuah lagi kisah, dilaporkan bahawa Abu Hanifah telah dijemput oleh golongan ateis untuk berdialog tentang Tuhan. Pada hari dan masa yang ditentukan, kelibat Abu Hanifah tidak kelihatan dan mereka hampir putus asa menantinya. Tiba-tiba Abu Hanifah muncul dan meminta maaf di atas kelewatannya dan menjelaskan sebab beliau terlambat. Abu Hanifah berkata: "Sejak pagi tadi aku berada di tepi sungai. Menunggu kedatangan tukang perahu yang akan menyeberangiku. Namun setelah lama aku menunggu, dia tidak datang juga. Ketika itu aku melihat sejumlah papan terapung-apung di atas air. Lama- kelamaan papan-papan itu saling menyatu dan membentuk sebuah sampan. Aku pun segera menaiki dan mendayungnya menuju ke tempat kalian ini." Mendengar cerita Abu Hanifah tersebut, para ateis berkata: "Kamu mengarut, wahai Abu Hanifah. Bagaimana mungkin papan-papan itu membentuk sampan dengan sendirinya?" Abu Hanifah menjawab: "Jika kalian tidak percaya papan- papan itu dapat membentuk sampan dengan sendirinya, lalu bagaimana mungkin aku percaya bahawa alam semesta yang begitu teratur dan indah ini tercipta dengan sendirinya, tanpa adanya Pencipta Yang Maha Agung?" Mendengar jawapan itu, para ateis terdiam dan tidak mampu berkata-kata lagi. Hujah mereka telah dipatahkan oleh Abu Hanifah dalam sekelip mata. Akhirnya, golongan ateis ini bertaubat di tangan Abu Hanifah.

Selain itu, Allah SWT turut merakamkan beberapa kisah umat terdahulu, antaranya kisah Nabi Ibrahim AS dengan kaumnya yang kafir. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan, orang itu berkata: Saya dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang- orang yang zalim."Ayat ini membuktikan bahawa tiada manusia yang dapat menafikan kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan Maha Pencipta.

Ustaz Rashidi Wahab (UNISZA)

(1) Penulis tidak berhasrat untuk memanjangkan perbahasan berkaitan topik ini. Berikut antara buku yang membincangkan tentang sejarah ateis dalam Islam: 'Abd al-Rahman Badawi. 1980. Min Tarikh al-Ilhad fi al-Islam. Bayrut: Muassasah al-'Arabiyyah. Dalam pendahuluan buku ini, penulis menyenaraikan empat prinsip ateis Muslim bagi membezakan dengan ateis Barat, iaitu:

1. Kecenderungan penggunaan akal (rasionalisme) sebagai penguasa serta penentu pertama dan terakhir, di mana tidak ada yang berhak menolak serta membatalkan keputusannya terhadap segala sesuatu.

2. Berpegang dengan idea yang menyatakan bahawa manusia berkembang secara progresif dan berjalan terus menerus, termasuklah perkembangan dalam medan ilmu.

3. Kecenderungan manusia untuk mengarahkan kepada nilai-nilai kemanusiaan yang murni (humanisme) dalam kaitan hubungannya dengan nilai-nilai ketuhanan dan kenabian.

4. Tuntutan terhadap kebebasan (liberalisme) dengan segala harganya tanpa menghiraukan kesan yang mungkin ditimbul daripada tuntutan ini.

(2) Golongan ateis dalam kisah ini hanya dikenali sebagai golongan dahri (dahriyyah) atau golongan zindiq (zanadiqah). Malah dalam tulisan yang Iain, kebanyakkan kisah hanya menisbahkan kepada golongan ateis tanpa menamakan terus invididu ateis tersebut.

(3) Walaupun sebilangan sarjana mempertikaikan kesahihahan kisah dialog ini, namun ia diriwayatkan oleh ramai ulama yang beribawa dalam kitab-kitab mereka.

(4) al-Razi, Fakhr al-Din Muhammad bin 'Umar. 1981. Tafsir al-Fakhr al-Razi: Tafsir al- Kabir wa Mafatih al-Ghaib. Bayrut: Dar al-Fikr. Jld. 2. Hlm. 108; Ibn Kathir, Abi al-Fida' Isma'il bin 'Umar bin Kathir. 1999. Tafsir al-Qur 'an al- 'Azim. Tahqiq: al-Salamah, Sami bin Muhammad. Riyad: Dar Thaibah. Jld. 1. Hlm. 197.

(5) al-Fatani, Zain al-'Abidin bin Muhammad. T.th. 'Aqidah al-Najinfi '11m Usul al-Din. Fatani: Matba'ah Bin Halabi. Hlm. 8. Dialog yang dinyatakan dalam topik ini diambil daripada kitab tersebut.

(6) al-Maydani, 'Abd al-Rahman Hasan Habannakah. 1979. Al- 'Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha. Damshiq: Dar al-Qalam. Hlm. 142.

(7) Surah al-Baqarah (2): ayat 258.

No comments:

Post a Comment