Wednesday, February 17, 2021

ZIKIRULLAH MENGGAPAI MA'RIFATULLAH

Kita, sama ada mengetahui atau tidak, mempercayai atau tidak, menyedari atau tidak, sentiasa berhubungan dengan Allah سبحانه وتعالی dengan erti, kita sentiasa tertakluk dengan sifat-sifat ketuhananNya yang Maha Sempurna seperti Qudrat, Iradat, Ilmu dan sebagainya.

Tiada satu makhluk pun, sama ada kecil atau besar, nyata atau tersembunyi, yang terlepas dari taklukan sifat-sifatNya. Hakikat inilah yang perlu diketahui, difahami, diyakini dan disedari oleh setiap mukmin.

Mengetahui, memahami, meyakini, menyedari dan merasai hakikat-hakikat ketuhanan inilah yang dinamakan ma'rifat. Abah (Syeikh Ahmad Sohibul Wafa Tajul Ariffin) menjelaskan, menurut kadar ma'rifat terhadap hakikat-hakikat ketuhanan inilah yang menjadi ukuran tahap hubungan manusia dengan Tuhannya, sama ada dekat atau jauh, bukannya hubungan diri makhluk dengan Dzat Tuhan, kerana Allah 
سبحانه وتعالی itu bersifat "mukhalafah" (bersalahan/tidak menyerupai segala yang baharu).

Menurut Abah, hubungan itu merupakan hubungan iman (kepercayaan), yaqin (keyakinan), mahabbah (kasih/kecintaan), pergantungan hati, kecenderungan hati, kehadiran/ingatan hati, mencari keredhaanNya, mengutamakanNya dari yang lain, dsb.

Ma'rifat inilah yang perlu diusahakan untuk dicapai menerusi pengamalan zikir jahr dan khafi.

[ Ustaz Prof Madya Dr Abdul Manam Mohamad ]


No comments:

Post a Comment