Friday, December 1, 2023

KEDATANGAN WARID YANG MENGELUARKAN DARI PENJARA WUJUD KEPADA KELUASAN DATARAN SYUHUD

أوْرَدَ عَلَيْكَ الوَارِدُ لِيُخْرِجَكَ مِنْ سِجْنِ وُجُوْدِكَ إلى فَضَاءِ شُهُوْدِكَ

Dia mendatangkan pada mu warid untuk mengeluarkan mu dari penjara wujud mu kepada keluasan dataran syuhud mu.

Hati yang telah bebas dari tawanan kekuasaan dunia dan makhluk, dan merdeka dari perhambaan pada syaitan dan nafsu ialah hati yang telah terbang ke langit makrifat yang keluasannya tiada terhingga.

Jiwa yang terbang itu disapa oleh hembusan bayu warid yang membawa jiwa pemiliknya itu keluar dari kesempitan penjara wujudnya kepada keluasan syuhudnya.

Yang dimaksudkan dengan wujudnya di sini ialah "ananiah diri" kerana pada hakikatnya segala yang ada ini adalah milik mutlakNya semata-mata, tiada yang menyertaiNya pada pemilikan itu.

Mereka yang masih merasai memiliki ialah mereka yang masih hidup mengikut hawa nafsu, jiwa mereka tiada dapat sebenar-benarnya meredhai Allah sebagai Tuhan mereka.

Mereka masih mempersoal-soalkan keadilan Allah pada takdir Nya apabila berlaku sesuatu perkara, khasnya apabila ditimpa musibah.

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
(Al-Jatsiyah: 23)

Justeru itu mereka berada dalam kehidupan yang sangat sempit ibarat sel penjara kerana mereka menghitung segala-segalanya berdasarkan keuntungan dunia yang sedikit dan sempit.

Jika mereka dikurnia nikmat mereka melihat nikmat itu adalah milik mereka dan sangat bakhil dengannya.

Khayalan mereka yang menyangka nikmat itu adalah milik mereka menyebabkan mereka angkuh dengan apa yang mereka miliki dan tamak dengannya.

Mereka hidup hanya untuk memuaskan nafsu mereka yang hanya terikat dengan dunia dan sangat sedih dan kecewa apabila nikmat tersebut hilang sehingga sanggup berbunuhan mempertahankannya.

Sebaliknya apabila mereka ditimpa musibah seluruh pandangan dan jiwa mereka hanya tertumpu pada sebab-sebab zahir sehingga menyebabkan mereka marah, kecewa dan putus asa.

Inilah sebahagian yang dimaksudkan dengan "penjara wujud diri" yang mana mereka yang mendiaminya pasti derita melainkan mereka yang dapat keluar dari penjara tersebut dan dapat melihat keluasan dataran wujud Nya dalam segala sesuatu.

(فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ)
(Al-Fajr: 15)

Maka adapun insan itu apabila dia diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dikurniakan nikmat lalu dia berkata "Tuhanku telah memuliakan ku".

Apabila datangnya cahaya Allah ke dalam hati seorang salik lalu dengannya dia dapat menyaksikan (syuhud) Allah pada diri dan alam ini sama ada ia af'al, atau asma' atau sifat atau wujudNya.

Dengan itu itu ia telah keluar dari penjara wujud dirinya kerana apabila cahaya itu datang (warid) leburlah rasa memiliki yang yang ada padanya dan jiwanya telah merasa atau memandang bahawa semua yang ada adalah dalam genggaman milikNya semata-mata.

Mereka ini telah keluar dari penjara wujud diri menuju ke dataran syuhud yang luas. Jiwa mereka tenang dan gembira dengan segala takdirNya kerana mereka hanya melihat takdir itu adalah senda gurau dari Allah.

Mereka yakin dengan sebenar-benarnya akan kasih sayang dan keadilan Allah justeru pada mereka semua yang berlaku adalah baik dan menceritakan tentang wujud diriNya semata-mata.

Perihal mereka ini pernah disabdakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

قالَ رَسُولُ اللهِ: عَجَبًا لأَمْرِ المؤمنِ إِنَّ أمْرَه كُلَّهُ لهُ خَيرٌ ليسَ ذلكَ لأَحَدٍ إلا للمُؤْمنِ إِنْ أصَابتهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فكانتْ خَيرًا لهُ وإنْ أصَابتهُ ضَرَّاءُ صَبرَ فكانتْ خَيرًا لهُ. رواه مسلم

Alangkah anehnya perihal orang mukmin itu! Sesungguhnya segala perkara yang berlaku baik baginya dan ia tiada berlaku kepada orang lain melainkan orang mukmin.

Jika dia dikurniakan nikmat dia akan bersyukur dan itu adalah baik buatnya. Manakala jika dia ditimpa musibah maka dia akan bersabar dan ia adalah baik buatnya juga.

No comments:

Post a Comment