Tuesday, February 28, 2023

Hakikat Kefakiran kepada Allah

Allah سبحانه وتعالی berfirman :

"Wahai sekalian manusia, kalian adalah fuqara' (yang fakir berhajat) kepada Allah."

Hakikat faqir pada zahir dan batinnya adalah seiring. Zahir sang faqir adalah zuhudnya terhadap perihal-perihal duniawi sementara batinnya sang faqir adalah tiadanya kebergantungan kepada hal-hal akhirat. Hal ini kerana hakikat kesibukan sang faqir itu hanyalah dengan Allah, tiada selainNya bahkan segala yang disaksikan hanya kembali kepada Dia.

Wahai para Murid, menjadi kewajipanmu untuk bersifat dengan sifat faqir ini hinggalah Allah 
سبحانه وتعالی melimpahimu dengan ketulusan dalam kefaqiranmu.

Wahai Murid, janganlah kau gantungkan hatimu melainkan hanya kepada Allah. Hal ini kerana jika hatimu masih terikat dengan amal ibadah atau hal-hal lain (meskipun zahirnya kebaikan) hakikatnya kau sedang tenggelam dengan selain Allah. Inilah hakikat penghambaan yang sebenar kepada Sang Pentadbir alam ini iaitu seluruh hajatmu dan kebergantunganmu hanyalah kepadaNya semata-mata.

Biarlah kefaqiran itu menyelubungi tiap gerak dan diammu. Jika kau masih berhajat kepada selain Allah itu ertinya hilang kebergantunganmu kepada al Maula. Hatta seekor lalat pun takkan mampu kau usir jika Allah tak memperkenankan. Meski sekalian manusia berkumpul untuk mencipta seekor lalat selamanya takkan mampu mereka lakukan. Hal ini kerana kalian dan lalat kedua-duanya bersifat lemah sementara Allah 
سبحانه وتعالی Maha Kuasa dan segala yang ditakdirkan adalah selayaknya dengan kekuasaanNya.

[ Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour al Hasani ]


PERJALANAN SEORANG MURIDEEN MELALUI SEORANG SYEIKH

Telah menukilkan Sayyidi Syeikh Ahmad al Hadi al Hasani al Maghribi at Tijany حفظه الله تعالى dalam kitab beliau الإرشاد الأصفياء :

Setakat mana seorang murid itu mampu mahabbah akan Syeikhnya, maka setakat itulah Sir-Sir Syeikhnya akan mengalir ke dalam dirinya dan setakat itu jualah Madad itu akan mengalir kepadanya, dan setakat itu jualah perjalanannya bersama Syeikhnya.

Dan syarat mahabbah itu adalah MENUNGGALKAN seorang Syeikh di dalam hatinya dan mengikat hatinya dengan hati Syeikhnya, dan Taslim akan Syeikhnya, dan tidak memandang akan dirinya pada Syeikh-Syeikh yang lain, walaupun Syeikh-Syeikh yang lain itu memenuhi segala pelusuk dunia.

مَّا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

"Tidaklah Allah sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya"


Jika Mahu Sampai Kepada Allah

“Jika engkau mahu sampai kepada Allah سبحانه وتعالى, maka mohonlah pertolongan kepada-Nya dan duduklah di atas tikar ketulusan lalu eratkanlah hatimu di dalam penghambaan yang murni di atas jalan pengenalan. Jangan engkau pisahkan dirimu daripada zikir, tanamkanlah rasa selalu diawasi oleh-Nya dan teruslah beristighfar dan bertaubat.”

[ Al-Imam Abul Hasan Asy-Syadzili رضى الله عنه ]


CUAI & LALAI AKAN PERKARA WAJIB

Dan di antara penyakitnya (jiwa) :

"Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan dan menyempurnakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu lansung tidak ambil peduli terhadap kelalaian dan kecuaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.

Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang tertuntut ke atas dirinya itu, sifat syukur di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam diri, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati & menjunjung perintah-Nya kepada maqam lalai & cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijab daripada dapat melihat kelemahannya, bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan & dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal ini adalah yang ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud ;

"Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan ia mempercayainya baik?" (Surah Fathir : 8)

RAWATANNYA ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati & teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada awliya Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan & kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini. Di samping Allah akan membukakan hijab untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah."

[ Petikan Risalah "Jiwa: Penyakit Dan Penawarnya {عيوب النفس ودواؤها}" karya Al-Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy; Tahqiq oleh Dr. Mohammad Al-Sayyid Al-Julainid. Diterbitkan oleh Mufti Negeri Sembilan ]


Sedekah Seluruh Tubuh

Imam Ja’far Al-Shadiq رضى الله عنه berkata, “Sedekah itu wajib dilakukan setiap anggota tubuhmu, untuk setiap helai rambutmu, dan untuk setiap saat dalam hidupmu.

Sedekahnya mata bererti memandang dengan penuh pertimbangan dan memalingkan penglihatan dari nafsu dan hal-hal serupa itu. Sedekahnya telinga adalah mendengarkan suara-suara yang baik, seperti ucapan-ucapan bijak, ayat-ayat Al-Quran, dan keutamaan agama yang terkandung dalam ceramah dan khutbah. Sedekahnya telinga juga bererti menghindari dusta, kepalsuan, dan perkataan-perkataan sejenis.

Sedekahnya lidah adalah memberikan nasihat yang baik, menegur mereka yang lalai, memuji orang lain, dan mengingatkan mereka.

Sedekahnya tangan bererti menginfakkan harta kepada orang lain, bermurah hati dengan kurniaan Tuhan kepadamu, memakai jemarimu untuk menuliskan pengetahuan yang berguna bagi orang lain dalam ketaatan kepada Tuhan, dan juga bererti menahan tanganmu dari berbuat dosa.

Sedekahnya kaki bererti bergegas mengunjungi orang-orang soleh, menghadiri majlis-majlis ilmu, mendamaikan orang, menyambungkan silaturahmi, melaksanakan jihad, dan melakukan perbuatan-perbuatan yang menenteramkan hatimu dan memperkuat imanmu…”


REDHALAH

"Ketika mana kamu tidak berjaya dalam apa-apa urusan maka ketahuilah olehmu sesungguhnya Allah سبحانه وتعالی mengetahui bahawa ia bukan milikmu sama ada engkau belum bersedia untuknya atau kerana engkau tidak mampu menanggungnya pada masa sekarang atau sesungguhnya di sana adanya perkara mendatang yang lebih baik bagimu, maka redhalah dengan sesuatu yang telah Allah سبحانه وتعالی tentukan ke atasmu, dan senyumlah." 

[ Syeikh Mutawalli Sya'rawi رحمة الله تعالى ]


Jangan Menangguh Untuk Bersedekah


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah رضى الله عنه dia berkata : "Seorang lelaki datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab : “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga ruh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan." (HR Bukhari no: 2748) Hadis Sahih.

Pengajaran :

1. Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.

2. Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita

3. Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai di halkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.