Sunday, March 4, 2018

HADITH DA'IF BUKAN HADITH PALSU

Perbuatan golongan Pseudo-Salafi (salafi palsu) menyamakan hadith da’if dengan hadith mawdu’ adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melampau. Meskipun majoriti ulama’ menerima hadith da’if, namun terdapat ulama’ kontemporari seperti Sheikh al-Albani yang menyanggah kesepakatan ulama ini dengan berkata : “kami menasihatkan saudara Muslim di timur dan di barat untuk meninggalkan beramal dengan semua hadith-hadith da’if, dan memberi perhatian kepada apa yang benar-benar thabit daripada Rasulullah saw padanya mencukupi daripada yang da’if, kerana daripada pengalaman kami tahu bahawa orang-orang yang berpandangan lain dalam hal ini telah jatuh ke dalam pembohongan...maka aku berkata: cukuplah seseorang itu menjadi sesat apabila ia beramal dengan segala apa yang ia dengar”. (Da’if al-Jami’ al-Saghir 1:45-51).

Hadith Da’if adalah hadith yang tidak memenuhi syarat sahih dan hasan, sama ada kerana bermasalah pada sanadnya atau pada perawinya. Maka hadith yang diriwayatkan tanpa sanad, atau sanadnya tidak lengkap seperti hadith mu’allaq dan hadith mursal, atau diriwayatkan oleh orang yang kurang dipercayai seperti bermasalah dari segi kekuatan ingatan dan hafalan, atau tidak dikenali perawinya adalah dikategorikan sebagai hadith da’if. Hadith da’if memiliki banyak pecahan, ada ulama’ yang membahagikan kepada 40 bahkan 60 bentuk hadith da’if.

Majoriti ulama’ mutaqaddimin, seperti Imam-imam mazhab yang empat, Sufyan al-Thawri, Abdullah Ibn al-Mubarak, Yahya bin Ma’in, dan ulama’ muta’akhkhirin seperti al-Nawawi, al-Iraqi (Shafi’i), Ibn al-‘Arabi, Ibn Qudamah, Abu Ya’la al-Farra’ (Hanbali), Ibn Abd al-Barr (Maliki), al-Sindi (Hanafi), al-Suyuti, Ibn Kathir dan ramai lagi berpendapat bahawa hadith da’if boleh diterima pakai khususnya dalam fada’il al-a’mal. Majoriti mereka menerima hadith mursal. Bahkan Imam Ahmad bin Hanbal mendahulukan hadith da’if daripada qiyas “hadith da’if lebih aku sukai daripada ra’y (qiyas)” (I’lam al-Muwaqqi’in 1:31) . Umumnya mereka hanya menolak hadith da’if yang tersangat da’ifnya seperti hadith munkar dan shaz.

Mengamalkan hadith da’if dalam perkara fada’il dan bukan halal haram atau permasalahan usul Aqidah adalah dibenarkan menurut Imam al-Nawawi dan beliau berkata: telah bersepakat para muhaddithin (ahli hadith) bahawa hadith da’if boleh diamalkan. Mulla Ali al-Qari juga berkata demikian. (Al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Maudu’ah, 315). Disebutkan sebagai hadith da’if kerana, sebagaimana ditegaskan oleh Nuruddin ‘Itr, para ulama’ tidak menghukum dusta (khizb) terhadap hadith ini, dan tidak cukup untuk disabitkan sebagai hadith sahih tetapi masih berkemungkinan untuk menjadi kuat apabila tiada yang bertentangan dengannya. (Manhaj al-Naqd, 294).

Kecenderungan tashaddud (mempersusah) golongan Pseudo-Salafi menyebabkan mereka tidak menerima ruang perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dan kerananya mudah menghukum amalan yang dilakukan oleh umat Islam sebagai bid’ah dan sesat hanya kerana hadith yang dijadikan sandaran dalam hal ini dianggap da’if bahkan sama martabatnya dengan mawdu’ (palsu).

[ Penulisan Dr. Khalif Muammar ]


No comments:

Post a Comment